Wednesday, January 24, 2007

Atas Nama Cinta - Isa Kamari

Oleh :
Welma La'anda (welmalaanda@gmail.com)

Tajuk :
Atas Nama Cinta
Penulis : Isa Kamari
Harga : RM 29.00 Halaman : 284 Penerbit : Ameen

Atas Nama Cinta, saya tidak sangka, saya boleh memperolehinya dengan begitu mudah sekali di kedai buku Popular. Apa yang menyebabkan saya begitu ‘terhegeh-hegeh’ mencari novel ini ialah kerana ia adalah sebuah novel epik sejarah yang menceritakan kisah benar perebutan seorang gadis yang bernama Nadra di antara dua orang ibu (Adelaine yang beragama Kristian Katolik dan Aminah seorang yang beragama Islam). Kerajaan Belanda turut masuk campur-tangan kerana menganggap isu ini sebagai isu agama. Akhirnya, tercetuslah rusuhan yang begitu hebat Singapura di antara orang Islam dan bukan Islam (orang kulit putih).

Saya biasa mendengar kes Nadra meniti di bibir-bibir penceramah terutama untuk ceramah-ceramah isu murtad. Namun saya tidak pasti, bagaimanakah sebenarnya peristiwa itu dan apakah kesudahan hidup Nadra. Tapi, saya sedikit keliru, kerana sebelum ini mereka memanggil Nadra dengan Natrah. Apa yang pasti Nadra dan Natrah adalah orang yang sama. Terdapat CD yang disertakan sekali dengan novel ini yang mengandungi 3 buah lagu puisi (Atas Nama Cinta, Kasih Seorang Seniman dan Aksara Cinta di Hari Raya). Sedap juga telinga saya mendengarnya sambil mengiringi penulisan resensi ini.

Mula membaca Atas Nama Cinta pada 2 Januari 2007. Dimulakan dengan membelek helaian demi helaian. Ada ruangan kata-kata semangat dari Malaysia, Singapura dan Kemboja. Ada peta Malaya-Singapura 1940-1950 dan Malaya-Singapura-Indonesia 1940-1950. Juga ada nama insan-insan dalam sejarah dan lirik lagu puisi. Cara pembahagian bab juga menarik pemerhatian saya. Setiap bab akan dilabelkan dengan nama manusia, tarikh, tempat dan bait-bait puisi. Contohnya Bab 24:-

24
masjid hati bersangkar biara
impian suci terpadam sisa


PUTIH
Sejak 2 Disember 1950, biara The Good Shepherd,
Koloni Singapura

Novel ini sentiasa membawa saya menikmati keindahan Bahasa Melayu. Itulah pandangan pertama saya tentang novel ini - gaya bahasa yang mengagumkan. Baru saya menyedari, bahasa Melayu cukup indah apabila dituturkan dengan baik. Namun, pembacaan pada kali ini cukup meletihkan dan oleh kerana itu pembacaan di selang seli dengan tidur ( itulah akibatnya apabila membaca sambil baring). Untuk 2 Januari, cuma mampu membaca sebanyak 160 halaman sahaja.

Sambung pembacaan pada 3 Januari. Kerja amat meletihkan pada sebelah siangnya. Namun, tekad sudah dipasang untuk menghabiskan pembacaan Atas Nama Cinta malam itu juga. Tapi, apakan daya, termakan tulang ikan pula malam itu dan sekaligus mematikan selera membaca buku. Tulang ikan tidak dapat dikeluarkan, terpaksa tidur mengiring untuk menghilangkan kesakitan dan mata dipaksa tidur dengan harapan kepedihan itu akan hilang keesokannya bila bangun dari tidur. Entah dari mana saya belajar kaedah ini. Ini yang dinamakan kaedah putus asa setelah sedaya upaya mengeluarkannya!

4 Januari, Atas Nama Cinta selesai dibaca. Saya mengakhiri pembacaan novel ini dengan kekecewaan.Kecewa yang amat sangat. Kecewa kerana penghujung jalan cerita Nadra adalah sedemikian!

Aminah ialah seorang wanita dari Malaya. Dia berkahwin dengan Encik Abdul Ghani yang merupakan Setiausaha Peribadi Sultan Terengganu. Dia pernah mengikuti suaminya ke Jepun dan menetap di sana selama 12 tahun. Oleh kerana itu, Aminah fasih berbahasa Jepun. Jodoh mereka tidak panjang. Encik Abdul Ghani meninggal dunia kerena sakit batuk kering. Selepas itu, Aminah berkahwin pula dengan Encik Ma’arof bin Haji Abdul iaitu seorang saudagar intan permata dari Bandung dan Aminah berpindah ke Bandung mengikuti suaminya. Jodohnya dengan suami kedua juga tidak panjang. Mereka bercerai. Aminah tidak dikurniakan anak untuk kedua-dua perkahwinannya itu.

Tentera Jepun telah berjaya mengalahkan tentera Belanda. Ini memaksa tentera Belanda meninggalkan wilayah jajahan mereka di Hindia Timur Belanda (Bandung termasuk kawasan ini). Pada ketika itu, kehidupan masyarakat di Bandung amat susah terutama untuk para isteri tentera Belanda yang ditinggalkan. Tentera Jepun akan menangkap sesiapa sahaja orang kulit putih jika ternampak mereka. Adelaine adalah salah seorang isteri tentera Belanda yang ditinggalkan. Dia sendiri tidak tahu tentang nasib suaminya. Mungkinkah sudah ditangkap tentera Jepun?

Ibu Adelaine adalah seorang penganut Islam. Dulu, Adelaine juga beragama Islam. Tetapi setelah berkahwin dengan Adrianus (tentera Belanda), dia menukar agamanya ke Kristian Katolik. Semenjak suaminya hilang entah ke mana, Adelaine menetap di rumah ibunya. Kehidupan yang mencengkam ketika itu, memaksa dirinya menyerahkan Maria (5 tahun) kepada Aminah atas nasihat Nor Louise.

Aminah sangat menyayangi Maria. Dia memanggil Maria dengan nama Putih. Atas persetujuan Adelaine, Putih dikhitan dan diberi nama Nadra binti Haji Ma’arof. Setelah beberapa tahun menetap di Bandung dan Batavia, Aminah akhirnya mengambil keputusan untuk kembali ke Terengganu. Di sana Putih mula bersekolah. Pada masa yang sama, Adelaine telah bertemu semula dengan suaminya, Adrianus di Bandung. Adrianus sangat kecewa kerana Maria diberikan kepada keluarga Muslim. Dia bertekad untuk mencari Maria. Akhirnya mereka sekeluarga kembali ke Bergen Op Zoom. Namun begitu, Adrianus masih terus berusaha menjejak Maria dengan bantuan kerajaan Belanda.

Pada sekitar 1949, atas tipu helah Tuan Arthur Locke iaitu seorang Pegawai Pentadbiran Bahagian Timur Terengganu menyebabkan Aminah dan Nadra ke Singapura untuk mendapatkan surat rasmi pengambilan Nadra sebagai anak angkat dari Konsulat Belanda. Rupa-rupanya itu cuma satu helah sahaja bagi memudahkan Nadra dibicara mengikut undang-undang Belanda di Singapura. Ini kerana, jikalau Nadra masih berada di Terengganu, Nadra tidak boleh diadili disebabkan Terengganu bukan jajahan Belanda.

Bermula April 1950, berlaku cubaan merampas Nadra dari Aminah dengan menggunakan kekuatan undang-undang. Alasan utama yang digunakan ialah Nadra masih berada dibawah umur iaitu 13 tahun dan Aminah tiada sebarang surat rasmi penyerahan penjagaan Maria kepadanya. Nadra mula ditempatkan di Rumah Kebajikan Masyarakat di York Hill dan seterusnya di Biara The Good Shepherd untuk pendidikan semula ke atasnya. Sepanjang berada di Rumah Kebajikan Masyarakat, Aminah dibenarkan bertemu dengan Nadra. Nadra pula masih bersolat, membaca quran dan berpuasa. Tetapi berbeza ketika berada di biara , dia cuma dibenarkan bersolat untuk satu tempoh yang sekejap dan di sana semua perkara berada di luar kawalannya, segala-gala terpaksa. Di situ, Aminah tidak dibenarkan melawatnya. Cuma Adelaine sahaja!

Bab 10 – Bab 31:- adalah bab yang menceritakan rentetan perbicaraan Nadra. Secara keseluruhannya, perbicaraan itu tidak memihak kepada Aminah. Manakala, Bab 32:- sebanyak 15 halaman menceritakan tentang rusuhan di Singapura. Rusuhan berlaku selama 3 hari dan sepanjang itu diisytiharkan darurat. 18 orang terbunuh, 173 orang cedera, 119 kenderaan musnah dan 72 kes pembakaran. Rusuhan reda pada 14 Disember 1950.

4 Januari 2007 – Atas Nama Cinta selesai dibaca. Saya masih berfikir apakah agama anutan Nadra @ Maria kini?

Wallahu alam

Sumber Gambar :
Atas Nama Cinta - http://www.isakamari.com/

9 comments:

Jiwa Rasa said...

Salam,

Kisah Natrah memang tragis.

Saya mula tahu kisah Natrah bila baca buku Nadra Tragedy tulisan Haja Mahideen. Sebuah buku yg sangat bagus. Saya menangis bila baca buku itu.

Buku Isa Kamari ini saya sudah beli, menunggu masa untuk dibaca.. :)

WELMA LAANDA said...

Saya rasa bertuah kerana Encik Jiwa melawat blog saya yang tidak seberapa ini.

Untuk penegtahuan Encik jiwa, saya mengetahui novel Atas Nama Cinta melalui blogspot Encik jiwa.

Isa Kamari said...

terima kasih kepada encik jiwa dan cik welma kerana membeli ANC dan membacanya.

tujuan saya menulis buku itu ialah sekadar memperluaskan pengetahuan anak bangsa terhadap tragedi nadra. buku tulisan haja maideen dan rujukan pada bahan arkib telah saya gunakan sebagai asas cerita. intervensi saya ialah sekadar pada lukisan watak dan suasana. sejarah yang termaktub sudah cukup dramatik dan berwarna-warni. saya faham benar akan 'kekecewaan' cik welma pada 'akhir' cerita. memang kita semua mengharapkan kisah nadra tidak berakhir begitu. namun itulah hakikatnya. dari segi teknik memang saya sengajakan kerana sejarahnya juga begitu. ia berakhir secara mendadak. insya Allah ada sequelnya atau sekurang-kurangnya edisi yang menyambung cerita nadra setelah berpulang ke belanda.

WELMA LAANDA said...

Isa Kamari :

Saya sangat bertuah kerana encik/pakcik Isa Kamari sudi mencatatkan sedikit perkembangan tentang Atas Nama Cinta pada blog saya ini.Saya sangat menghargai.

Ummu Fatimah said...

Salam Welma,

Pernah dengar Allahyarham Tan Sri Ahmad Ibrahim salah seorang peguam muda yang terlibat membela kes Natrah dulu? Beliau masa hayatnya bila menyebut tentang kes Natrah di kelas pernah bergenang air matanya (seperti diceritakan pensyarah akak - bekas pelajarnya - masa di univ dulu). Memang kes yang menyedihkan.

CuraLara said...

saya ada terbaca yang kisah Natrah akan difilemkan oleh Belanda & S'pura, filem tersebut berjudul Nadra, dan sedang dalam pembikinan.
Gambar terbaru Natrah dapat dilihat di laman web ini :
http://www.channelnewsasia.com/stories/entertainment/view/278294/1/.html

rkukaudya said...

salam welma,

em...bukan pasal buku ANC yg org nk sentuh di sini, tapi kata2 welma (pasal tercekik tulang ikan tu)

"Tulang ikan tidak dapat dikeluarkan, terpaksa tidur mengiring untuk menghilangkan kesakitan dan mata dipaksa tidur dengan harapan kepedihan itu akan hilang keesokannya bila bangun dari tidur. Entah dari mana saya belajar kaedah ini. Ini yang dinamakan kaedah putus asa setelah sedaya upaya mengeluarkannya!"

cik welma manis, sy kira itu bukan kaedah putus asa...tapi kaedah tawakkal yg sebenarnya setelah sehabis daya berusaha. (da 2 thn, pastinya tulang ikan tu pun da xde kan?he!)

oye,bertuah cik welma, Tere liye sudi mampir, Isa kamari sudi hadir.

smoga cik welma dilindungi n drohmati ALLAH slalu. ;=)

Welma La'anda said...

kak rkukaudya yang manis-manis juga :),

keesokannya dah sembuh, bermakna cara itu ok ya kalau nak dipraktikkan :)

Anonymous said...

susah nak cari novel ni sekarang. Ingin nak baca novel tu..