Welma La'anda (welmalaanda@gmail.com)




Tajuk :
Hafalan Shalat Delisa
Penulis : Tere Liye (Indonesia)
Halaman : 248 Penerbit : Republika (PTS Litera - Malaysia) Harga : RM 29.50/RM21
Ini adalah novel terbaik yang pernah saya baca. Novel yang mengajar saya erti keikhlasan,erti kesenangan, erti kesusahan, erti ketabahan dan erti kebahagiaan.Hafalan Shalat Delisa
Penulis : Tere Liye (Indonesia)
Halaman : 248 Penerbit : Republika (PTS Litera - Malaysia) Harga : RM 29.50/RM21
Saya sangat menyayanginya. Saya bersyukur kerana saya dizinkan Allah untuk mengenali dan membacanya. Saya sendiri tidak tahu bagaimana secara professional untuk menilai kebagusan sebuah novel, tetapi sebagai pembaca saya menilai kebagusan sebuah buku itu daripada aspek pengaruhnya terhadap kejiwaan saya dan novel ini telah berjaya membawa saya berfikir sejenak tentang erti keyakinan dan kehidupan saya. Saya sendiri tidak tahu apa perkataan yang paling sesuai untuk meringkaskan mesej dalam novel ini tetapi ia cukup mengusik jiwa saya untuk terus memahami status kehambaan saya kepada Dia.
Saya sedikit mengalami kesukaran membacanya pada kali pertama kerana bahasa Indonesia yang digunakan bagi saya terlalu ‘pekat’. Saya juga merasa hairan kerana sebelum ini buku berbahasa Indonesia adalah antara bahan bacaan saya dan sepatutnya saya tidak merasakan kesulitan untuk membacanya dengan lancar tanpa perlu banyak berfikir makna sesuatu perkataan itu, tetapi berbeza dengan novel ini, buat pertama kalinya saya bekerja keras menumpukan konsentrasi saya membacanya dan memahami perkataan. Terdapat beberapa perkataan yang saya tidak faham, tetapi saya cuba buat-buat faham setelah menyesuaikannya dengan konteks ayat yang diberi.
Saya mulakan kembara membaca Hafalan Shalat Delisa pada 5 Januari 2007 , hari Jumaat sambil duduk di bawah sepohon pokok sementara menunggu solat Jumaat selesai.
Awal cerita dimulakan dengan suasana subuh di suatu tempat yang dikenali sebagai Lok Nga (pada mulanya saya tidak pasti Lok Nga terletak di daerah mana, akhirnya saya faham ia adalah satu kawasan yang terdapat di Acheh). Penulis membawa saya mengembara ke sebuah rumah yang sudah ‘ribut-ribut pada waktu shubuh. Suara-suara bising kak Aisyah mengejutkan adik Delisa daripada tidur, dan suara-suara kak Fatimah yang menegur Aisyah serta cuba untuk mengejutkan Delisa untuk kali kedua. Perkataan baru bagi saya ialah Meunasah (surau), menyeringai (sampai sekarang tidak tahu apa maknanya, mungkin menjeling), mukena (telekung) dan cut (perkataan ini digunakan di awal nama contohnya Cut Aisyah, Cut Fatimah, adakah maksudnya kakak?).
Untuk kali pertamanya saya terkesima dan tidak pernah terfikir untuk mempraktikkannya dalam mendidik anak iaitu tentang kaedah yang diguna pakai keluarga ini dalam mendidik Delisa menghafal bacaan solatnya. Umi akan menjadi imam dan Aisyah akan ditugaskan membaca bacaan solat nyaring sedikit dari ummi agar boleh didengar Delisa dan Delisa boleh mengikutinya. Kita mungkin sudah biasa dengan kaedah ini di masjid-masjid yang tidak ada mikrofon. Suara imam tidak kedengaran terutama untuk jemaah wanita, jadi ada seorang mubaligh (makmum lelaki ) yang akan menyaringkan suara agar boleh didengar oleh jemaah wanita. Begitulah setiap kali solat berjemaah, sudah menjadi tugas utama Aisyah menjadi mubaligh walaupun Delisa mempunyai 2 orang kakak yang lain iaitu Fatimah dan Zahra. Tetapi Ummi tidak mahu memindahkan tugas itu kepada kakak yang lain kerana mahu mendidik Aisyah agar lebih bertanggungjawab terhadap adiknya.
Saya semakin dibuai untuk terus membaca buku ini kerana penulis cukup bijak menghuraikan suasana keluarga ini yang cukup bahagia mempraktikkan ajaran Islam dalam keluarga mereka. Setiap Ahad selepas Shubuh, sudah menjadi rutin, Ummi akan menyemak bacaan Quran anak-anaknya walaupun mereka semua juga mengaji quran di masjid. Ummi dan Abi (panggilan untuk mak dan ayah) dikurniakan 4 orang anak, Alisa Fatimah 15 tahun( merupakan kakak sulung), disusuli dengan kembar Alisa Aisyah dan Alisa Zahra(13 tahun) dan si bongsu Alisa Delisa (6 tahun). Setiap daripada mereka mempunyai karakter yang berbeza. Fatimah suka membaca buku dan pembicaraanya juga lebih kepada buku-buku yang dibacanya, Aisyah pula terkenal dengan sifat kenakalannya yang suka menyakat dan bergaduh dengan Delisa. Zahra adalah seorang yang pendiam dan Delisa adalah watak utama dalam novel ini, yang comel, yang suka bertanya dan seorang yang sentiasa riang walau apa pun dugaan yang menimpanya. Abi bekerja di pelantar dan akan balik 3 bulan sekali, tetapi Abi akan menelefon setiap Isnin selepas Shubuh. Oleh kerana itu, selepas shubuh setiap Isnin, sudah menjadi rutin Ummi dan 4 orang anaknya akan menunggu panggilan daripada Abi. Ummi pulak adalah seorang suri rumah dan mengambil upah menjahit (membordir).
Saya tersenyum sendirian apabila sampai babak Delisa yang suka melontarkan pertanyaan dan jawapan yang melucukan. Dalam novel ini, pembaca akan sentiasa dihiburkan dengan aksi-aksi Delisa yang pasti akan membuat pembacanya sentiasa tersenyum dan merasakan ‘saya kok sayang banget dengan kamu, Delisa’. Contohnya, Delisa pernah bertanya pada umminya kenapa dia selalu susah untuk bangun shubuh. Ummi menjawab, sebab delisa tidak membaca doa sebelum tidur dan membaca doa bangun tidur. Delisa dengan selambanya menjawab, “ada kok delisa berdoa, begini dong. Ya Allah Delisa mau bobo (tidur), dijaga ya, cuma sih doa delisa dalam bahasa Indonesia kok. Manakala doa bangun tidur pula “Ya Allah, Delisa sudah bangun terima kasih ya”. Bukan sahaja ummi dan kakak-kakaknya tergelak, saya yang membaca ini pun tergelak terkekeh-kekeh. Selepas itu, ummi akan menjelaskan kepada Delisa, lebih afdhal berdoa dalam bahasa Arab dan memang boleh berdoa dalam bahasa Indonesia tetapi bukan sedemikian penerjemahan doanya. Saya akui memang penting setiap ibu bapa perlu menjelaskan soal-soal ibadah pada anak-anak walaupun mereka masih kecil lagi. Cuma kaedah hendak menjelaskan itu harus disesuaikan dengan pemikiran mereka.
Delisa dalam proses menghafal bacaan solat dan akan diuji oleh Ibu Guru Nur pada 26 Disember 2006. Sebagai ganjaran, Delisa akan memperolehi kalung yang ada huruf D. Jadi, sekarang ini, Delisa sangat sibuk menghafal bacaan-bacaan itu agar boleh lulus ujian hafalan solat dan boleh memakai kalungnya. Selepas Shubuh, dia akan membawa buku bacaan solat ke ayunan di luar rumah dan membuat aktiviti penghafalan. Subhanallah. Hebat sungguh dalam usia yang sedemikian! Tetapi Delisa selalu terlupa dan terbalik bacaan solatnya, sebagai contoh, bacaan tasbih ruku’ dibaca ketika sujud dan bacaan tasbih sujud dibaca ketika ruku’. Begitu juga dengan doa iftitah, Delisa selalu tertukar ‘wamah yaya wa mamati’ menjadi wa mamati wamahyaya”. Pernah ditanya tentang masalahnya ini kepasa Ustaz Rahman (seorang guru agama berusia 26 tahun dan sangat suka bercerita cerita-cerita teladan kepada anak-anak didiknya), “Apa ngak boleh kebolak-balik (tertukar) Ustaz”. Bagi Delisa, tertukar bacaan tidak ada bezanya dengan bacaan asal kerana bacaan itu tetap dibaca semuanya. Untuk menjawab soalan Delisa itu, Ustaz Rahman memberi satu analogi. “Bisa ngak kalau kita memakai kaos (saya rasa definisinya kasut) sebelah lain warna dan sebelah lagi lain warna”. “Eh bisa kok. Delisa pernah buat”. Aduuhh!!!Pening!!! Ustaz Rahman cuba memberi analogi lain yang lebih bagus. “Delisa, bisa ngak kalau kerudung(tudung) dipakai di kaki dan sepatu dipakai di kepala”. Haa!! Analogi yang satu ini tidak boleh disangkal Delisa.
Ada satu babak yang cukup mengharukan iaitu ketika Delisa mengucapkan kalimah “Delisa cinta Ummi kerana Allah”. Saya sendiri tidak tahu bagaimana untuk menceritakan suasana itu dalam resensi ini. Tetapi, kalimat itu cukup indah sekali diucapkan oleh Delisa pada 25 Disember 2005 selepas Shubuh yang membuatkan Ummi, Delisa dan kakak-kakaknya menangis. Saya juga turut menangis! Terima kasih Ustaz Rahman! Aiikk, apa kena mengena dengan Ustaz Rahman dalam hal ini? Juga, ada udang di sebalik mi rupa-rupanya kenapa Delisa menyebut kalimat sakti itu! Apa ya, ‘coba’ teka?
Kini bermula babak-babak cerita yang sentiasa membuatkan air mata jatuh tidak mahu berhenti. Hari itu 26 Disember 2005. Delisa ditemani Ummi ke sekolah untuk diuji bacaan solatnya di hadapan Ibu Guru Nur.
Allahu Akbar. Delisa mengangkat takbiratulihram. Seiring dengan itu, lautan di pantai mula bergerak.
Delisa membaca Iftitah. Tiba di ayat wamahyaya wamamati. Delisa hampir terbalik ayatnya. Lantai sekolah tempat pengujianan Delisa mula bergerak. Papan tulis , pasu bunga terjatuh dan serpihan kacanya terkena pada tangan Delisa. Tangan Delisa berdarah. Namun Delisa masih teruskan solat. “Ya Allah Delisa mahu khusyuk seperti para sahabat. Mereka tidak bergerak walaupun digigit kala jengking. Ya Allah ini kali pertama Delisa shalat sempurna di hadapanMu, Delisa ingin khusyuk Ya Allah”. Ibu Guru Nur yang melihatkan Delisa tidak bergerak walaupun suasana kelam kabut, juga turut tidak bergerak
Delisa terus ruku’ dan iktidal. Ombak terus mengganas menghentam tembok pagar sekolah Delisa. Allahu Akbar. Delisa ingin sujud. Tapi, air yang meninggi menghalangnya.
Air masuk ke kerongkongnya. “Ya Allah Delisa ingin sujud sempurna kepadaMu”. Akhirnya Delisa pengsan. Delisa dibawa air ke mana mana. Kaki kananya terlanggar pagar sekolah.
Dunia gempar dengan kejadian Tsunami di Acheh. Delisa terlantar di sebuah kaki bukit. Dia terbaring. Tidak boleh berdiri. Tidak boleh duduk. Dia cuma boleh bernafas dan membuka matanya. Hampir seminggu dia terlantar di atas kaki bukit itu.. Delisa ketakutan, kesejukan apabila hujan turun membasahinya pada waktu malam dan sebelah siangnya pula matahari panas membakar tubuhnya. Badannya terasa sakit, lebih sakit dari suntikan imunisasi. Tiba-tiba dia teringat hafalan solatnya yang belum selesai. “Ya Allah, Delisa ingin shalat”. Air mata saya jatuh lagi (kok kamu cengeng benar welma).
Akhirnya Delisa ditemui. Siapakah orang yang menjumpainya? Orang tersebut akhirnya memeluk agama Islam. Kenapa? Dimanakah pula Abi? Adakah dia berjaya menemukan semula Ummi, Fatimah, Aisyah, Zahra dan Delisa? Bagaimana pula keadaan Delisa, adakah normal seperti dahulu?. Apa yang pasti air mata ini tidak mahu berhenti mengalir tetapi kekadang tersenyum dengan perangai Delisa yang tidak pernah bertanya Kenapa?Mengapa? perkara itu terjadi dalam hidupnya. Bagaimana pula dengan hafalan solatnya? Delisa bukan sahaja menghadapi masalah tertukar bacaaan solat, malah lebih teruk dari itu. Dia lupa semua bacaan solatnya dan juga dia lupa tentang kalung itu.
Setelah 6 minggu kejadian tsunami dan 3 minggu Delisa berada di hospital, Delisa kembali semula ke Lok Nga. Babak seterusnya menceritakan suasana kehidupan di khemah-khemah mangsa Tsunami. Babak ini membuatkan saya bersyukur dengan kesenangan saya di Malaysia. Delisa juga banyak belajar tentang kehidupan. Dia sudah pandai mengemas rumah, menyapu sampah, memasak mi serta menyeterika baju. Delisa bersolat seperti biasa. Cuma, dia masih tidak mengingati bacaan solatnya. Itulah yang dirusingkan Delisa. Hebat sungguh kamu Delisa, dalam usia sedemikian, kamu risau kerana kamu masih tidak solat dengan sempurna!
Kemudian, tiba pada satu babak cerita yang bagi pendapat saya, inilah babak klimaks novel ini. Delisa cemburu dengan Teuku Umam. Kenapa? Kerana Allah mendatangkan ummi Umam!
“Bukankah Delisa sudah sabar, Ya Allah. Sabar untuk tidak bertanya pada Abi, sabar melewati hari-hari ini sebelumnya. Membantu umi dan abi di kala susah seperti Ustaz Rahman bilang anak yang baik makbul doanya. Delisa ngak tanya kenapa kaki harus pincang, ngak tanya kenapa harus cacat, ngak pernah mengeluh, keberatan, merajuk sedikit pun tiada. Ngak perrnah bertanya tentang umi kerana takut abi bersedih. Delisa mau jadi anak yang baik, banyak membantu abi, membersihkan rumah, cuci pakaian, makan abi masak. Apa lagi? Tapi lihatlah apa yang Delisa terima. Kau mendatangkan umi Umam. Umam ngak cacat. Nakal sebelum ini. Jahil kepada Tiur. Ngak pernah membagi makanan. Tidak Adil. Delisa Benci. Ustaz Rahman bohong. Umi bohong.Semua bohong”. Delisa lari dari perkuburan itu. Menangis. Sampai di rumah dia jatuh sakit! Panas!
Akhirnya Delisa sedar tentang kesalahannya itu. Dia malu tetang perasaan cemburunya itu pada Umam. Bagaimana Delisa boleh menyedarinya? Ya, setelah dia mengetahui tentang kalung itu! (Ish semakin pelik! Oleh kerana itu anda perlu membeli dan membaca sendiri novel ini).
“Ya Allah apa Delisa lakukan sebelum ini. Ya Allah Delisa jahat sekali. Delisa menipu umi kerana sebatang cokelat. Juga menipu abi. Juga menipu Kak Fatimah, Kak Aisyah, Kak Zahra, Ustaz Rahman. Delisa lebih jahat dibanding Umam. Sekarang menipu Engkau Ya Allah. Delisa ngak kepingin kalung. Delisa hanya ingin bisa shalat dengan baik, Delisa hanya ingin mendoakan Kak Aisyah, Kak Zahra, Kak Fatimah. Delisa hanya ingin berdoa bisa ketemu umi. Semuanya tidak bohong. Semuanya benar. Hanya Delisa yang tidak mengerti. Hanya Delisa yang tidak mengetahui selama ini. Kerana Delisa lalai melihatnya”.
Doa Delisa itu bukan penutup cerita novel ini. Tetapi, cukup memahamkan pembacanya apa yang cuba disampaikan penulis. Novel ini bukan novel kanak-kanak tetapi ia novel tentang akidah, sejauh mana keyakinan kita kepada Allah dan apa erti keikhlasan kita dalam setiap ibadah kepadaNya. Bukan Delisa sahaja mungkin pernah melontarkan pertanyaan-pertanyaan itu kepada Allah, bukan kanak-kanak sahaja tetapi mungkin majoriti orang dewasa. Benar kata Delisa, Semuanya tidak bohong. Semuanya benar. Hanya Delisa yang tidak mengerti. Hanya Delisa yang tidak mengetahui selama ini. Kerana Delisa lalai melihatnya. Semuanya tidak bohong. Semuanya benar. Hanya kami makhlukMu yang tidak mahu mengerti akan semua dugaan ini. Hanya kami makhlukMu yang tidak mengetahui kasih sayang Mu selama ini.Kerana kami lalai melihatnya.
Wallahu alam
Nota : Dialog yang disertakan di blog ini adalah diperolehi secara langsung dan disalin terus dari buku Hafalan Shalat Delisa Edisi Indonesia.
Sumber Gambar :







6 comments:
salam
menyeringai = tersengeh saya rasa
Assalammualaikum, Welma (kalau tak salah nama kamu Welma, bukan?).
menyeringai -> memainkan bibir, seperti cemberut. Sedangkan kata2 lain, tebakan Welma sudah benar.
Aku senang Welma menulis begitu panjang resensi/sinopsis ini. Semoga bukunya memberi manfaat.
Ada buku lainnya dari tere-liye, baru terbit di Jakarta Desember 2006: "Moga Bunda Disayang Allah" Aku tak tahu apa sudah beredar di Malaysia atau belum. http://www.republika.co.id/mypustaka/buku_detail.asp?id=75
Kalau hendak berkunjung di profileku, silahkan lihat ke www.friendster.com/maibelopah
anonymous : Terima kasih kerana prihatin dengan perkataan itu. Saya juga pada mulanya berfikir adakah menyeringai ini menjeling atau tersengeh!
Tere Liye : Fikiran saya berhenti sejenak. Apa betul Tere Liye yang melawat blog saya? Terfikir lagi, bagaimana mengetahui blog ini ada menceritakan hasil karya Tere Liye?
Terima kasih di atas makna perkataan yang diberikan.
Saya sudah memesan Moga Bunda Disayang Allah dari Republica. Dan juga sudah memesan Sang Penandai.
Semoga terus sukses dalam menghasilkan karya yang bermanfaat.
:-) bagaimana tahu? Tinggal open search engine macam google, ketiklah "Hafalan Shalat Delisa"/
Saya senang bisa berkenalan, berdiskusi dgn pembaca.
Salam dari Jakarta (yg sedang floaded/banjir).
Welma,
Bertuah Welma kerana tulisan sdr dibaca oleh penulisnya.
Saya suka komen dan tulsan Welma. Ulasan yang jujur dan ikhlas.
Teruskan membaca dan menulis!
aiyo..kene belajar dari welma ni.. =D penulisnya sendiri yang melawat dan beri komen..
saye terlambat 2thn, mungkin?baru saje sambung degree mase welma baca buku ni..biasa la..waktu belajar, financial mmg slalu sesak..huhu
tertarik dengan kebanyakan buku welma baca =D
Post a Comment