Wednesday, January 24, 2007

Jalan Jauh ke Kampus - Ida Rizyani Tahir

Oleh :
Welma La'anda (welmalaanda@gmail.com)

Tajuk :
Jalan Jauh Ke Kampus
Penulis : Ida Rizyani Tahir
Halaman : 332 Harga : RM 21.00 Penerbit : PTS

Ini adalah salah satu novel Jibunsyi terbitan PTS. Kesemua novel Jibunsyi adalah sebanyak 7 judul setakat ini.

Novel Jibunsyi adalah sebuah novel yang mengisahkan kehidupan seseorang dan novel yang saya miliki ini adalah sebuah diari kehidupan seorang penghafaz quran.

Sudah lama saya ingin memiliki novel Jibunsyi ini semenjak saya selalu melawat laman web PTS. Saya juga selalu terfikir bagaimanakah sebenarnya novel jibunsyi, adakah sama seperti novel-novel lain yang pernah saya baca sebelum ini? Sempena melangkah ke tahun baru 2007, dan juga untuk mengisi cuti tahun baru saya yang pasti akan menjamin kebosanan, saya pun pergi ke kedai buku Popular di Megamall Pinang (rancangan asal hendak ke Borders di Queensbay yang digembar-gemburkan itu). Ada 3 atau 4 judul kalau tidak silap dalam siri novel jibunsyi ini yang terdapat di situ, namun yang satu ini memikat hati saya. Mungkin kerana perkataan ‘hafaz quran’ itu.

Saya memulakan pembacaan pada 30 Disember 2006, sebelah malam dan selesai pada 1 Januari 2007. Ini adalah salah satu lagi novel yang menuntut masa begitu lama dari saya untuk menghabiskannya (Kenapa ya sejak akhir-akhir ini tahap kelajuan membaca saya agak lambat?). Namun begitu, seperti novel-novel sebelum ini, ia juga berjaya membuat saya malas untuk membuat kerja lain sehingga selesaikan dulu pembacaannya. Ini adalah antara novel Malaysia yang menggunakan Bahasa Melayu yang berkualiti. Tetapi, saya merasakaan sesuatu dengan gaya bahasanya yang terlalu “lurus”(atau saya yang memang buta bahasa melayu tinggi). Sedikit sebanyak, mengongkong saya turut berkembara bersama Farid (watak utama).Saya pernah berjumpa gaya bahasa sebegini suatu ketika dahulu. Tapi, dimana? Buku yang mana satu?

Apa yang menariknya tentang novel ini ialah pembaca seolah-olah dibawa membaca sebuah buku motivasi yang sentiasa memberi semangat tetapi diolah dalam bentuk novel. Sekali lagi, walaupun saya rasa ‘kehilangan’ sesuatu tetapi novel ini sentiasa mengajak saya beribadah dalam kerangka membaca (atau membaca dalam kerangka ibadah, tidak kisahlah, janji faham apa yang saya cuba sampaikan ialah bukan setakat membaca novel sahaja, tetapi dalam masa yang sama bahan bacaan itu mampu mengajar kita erti kehidupan dan mengingati Allah). Itu yang membuatkan saya rasa tidak sia-sia RM21 saya.

Bab awal cerita dimulakan dengan pengenalan keluarga Farid. Watak utama novel ini berumur 12 tahun. Ayahnya merupakan Pegawai Penyelaras Gerak Tani Negeri, manakala ibunya adalah seorang suri rumah dan tidak mempunyai kesihatan yang baik. Farid mempunyai seorang kakak, pelajar jurusan perakaunan Tahun 3 dan 2 orang abang yang lain iaitu Faizal dan Fahmi. Lokasi certita adalah di negeri Pahang. Kehidupan keluarga Farid boleh dikatakan dari golongan orang yang senang, bahagia, berakhlak mulia dan mengamalkan ajaran Islam dengan begitu baik sekali. Farid adalah anak bongsu dan sesuai dengan watak anak bongsu, dia adalah anak yang manja dalam kerangka ‘manja terkawal’. Jikalau ada membaca novel ini, anda akan perasan banyak akhlak-akhlak mulia yang cuba dipamerkan seperti menghormati kedua ibu bapa, bersopan apabila bercakap dengan orang yang lebih tua dan sesama kawan, berkelakuan baik sesama adik beradik, simpati, berani mengaku kesalahan diri sendiri, bercakap benar dan menolong orang-orang yang susah serta kuat semangat dalam mengejar cita-cita.

Saya sebenarnya baru mengetahui bahawa rupa-rupanya kita tidak boleh suka-suka menanam pokok buah-buahan di halaman rumah kita. Ini adalah kerana pokok buah-buahan mempunyai akar yang besar dan tabiatnya yang suka menjalar itu besar kemungkinan akan merebak ke rumah sebelah dan boleh merosakkan pagar rumah. Jadi, kalau ada hajat hendak menanam pokok buah-buahan, pastikan dahulu ada halaman yang besar. Kalau setakat rumah teres, baik tidak payahlah!!. Mujur Allah izinkan saya mengetahuinya, kalau tidak, manalah tahu suatu hari nanti saya tiba-tiba mahu menanam pokok buah rambutan di halaman rumah(sudahlah halaman rumah kecil), Ha jenuh juga saya ‘mengawal’ akar pokok itu nanti. Terima kasih buku!

Seperti yang saya katakan sebelumnya, novel ini sarat dengan pengetahuan yang nampak remeh temeh tapi kita tidak amalkan. Itulah yang membuatkan saya terlupa dengan ‘bahasa skema’ yang digunapakai dalam novel ini. Contohnya: Memakan sedikit garam terlebih dahulu sebelum menjamah apa-apa makanan. Ini dapat mencegah 99 jenis penyakit. Secara rasional, apabila kita terbau makanan, enzim-enzim di dalam air liur bersiap mencernakan makanan yang hendak dimakan, jadi apabila kita mencecah sedikit garam, enzim-enzim tadi mula berfungsi dan lebih efektif mecernakan makanan. Kita sebaik-baiknya perlu minum sebelum makan atau selepas 30 minit makan nasi. Amalan pemakanan yang baik ialah berhenti makan sebelum benar-benar kenyang dan otak kita hanya memberi isyarat perut sudah penuh selepas 30 minit kita makan –dipetik dan diubahsuai dari halaman 32 dan 33.

Selain itu juga, mungkin kita selalu mengabaikan adab-adab sebelum tidur. Buku ini sekali lagi tidak lupa memberi peringatan kepada kita. Terima kasih buku. Bagaimana melaksanakan adab-adab sebelum tidur? Mula-mula, ambil wudhu’ dan disusuli dengan membaca surah al-fatihah, al-ikhlas, al-falaq dan an-nas. Kemudian, hembuskan kepada kedua belah tapak tangan, sapu ke atas muka hingga ke kaki kecuali pinggul dan tapak kaki. Sebelum baring hendaklah membaca Dua Kalimah Syahadah dan doa tidur. Selain itu, jangan lupa doakan untuk ibu bapa dan maafkan kesilapan orang lain, halalkan pemberian kita kepada orang lain dan halalkan orang yang berhutang dengan kita. Kita juga perlu berdoa supaya kita dapat bangun malam, subuh tepat pada waktunya dan sentiasa mudah melakukan amalan yang diberkati. Jikalau susah bangun malam, maka jangan lupa baca 5 ayat terakhir dari surah al-kahfi dan niat bangun awal. – dipetik dan diubahsuai dari halaman 71.

Secara keseluruhan, novel ini menceritakan kehidupan Farid sebagai seorang penghafaz quran dari A hingga Z. Ia memulakan pengajiannya di Madrasah Raudhatul Hasanah. Disitu dia mengenali perlbagai ragam manusia seperti Abang Ustaz. Dia dikenali dengan nama Raja Bersiung, mungkin kerana ketegasannya dia diberi jolokan sedemikian tetapi dia adalah seorang senior yang sentiasa mengambil berat tentang pelajar-pelajar di situ. Dia yang menyelamatkan Farid daripada dibuli oleh Abang Botak (Rizal), dia yang menyapu ubat kurap pada celah peha Farhan dan dia juga yang menjaga Farid dan budak-budak lain ketika sakit. Kehidupan mereka (Ustaz Hamdi, Rosli, Abang Faiz, Abang Rizal, Tarmizi, Sabri, Zaki, Azman dan banyak lagi nama) di madrasah itu sentiasa dipenuhi dengan kekuatan ukhuwwah yang selalu menjadi penyeri kepada novel ini.

Saya tersenyum sendirian apabila sampai satu babak cerita Farid berasa loya untuk makan di talam. Memang saya akui, jikalau tidak biasa makan di talam, perut yang lapar pun jadi kenyang, loya dan pelbagai lagi perasaan tidak senang. Tetapi lama kelamaan, anda akan merinduinya, satu perasaan yang tidak boleh dilupakan, makanan yang tidak sedap bertukar sedap, kenyang bertukar lapar dan anda akan merasakan getaran ukhuwwah. Percayalah!

Farid dan kawan-kawannya akan dikejutkan oleh bunyi loceng setiap pukul 5 pagi. Setelah menyiapkan diri, mereka akan menyemak hafalan sesama rakan, subuh berjemaah, membersihkan kawasan madrasah, sarapan dan kembali menyemak hafalan. Menyemak hafalan dimulakan dengan menyemak sesama rakan. Rakan tersebut akan mencatatkan kesalahan pada buku catatan (seperti buku laporan kemajuan. Ini memudahkan pelajar merujuk kesalahan mereka dan tidak mengulangi kesalahan itu lagi). Setelah itu, hafalan akan disemak oleh Ustaz Hamdi. Hafalan yang diuji ialah 1 halaman untuk sehari. Jikalau kerap melakukan kesalahan atau terlupa hafalan, maka rotanlah sebagai ganjarannya!!!!.Kelas akan bersurai pada pukul 11 pagi untuk aktiviti Qailullah. Terdapat juga subjek-subjek pelajaran lain yang diajar, seperti fiqh dan lain-lain. Pada peringkat permulaan, pelajar akan dimasukkan terlebih dahulu ke kelas kefasihan dan tajwid sebelum memulakan hafalan. Hafalan surah dimulakan pada juz 30 dan selepas itu barulah berpindah ke Juz 1. Terdapat banyak kaedah untuk menghafal, antaranya ialah membaca setiap ayat sebanyak 30 kali. Setelah lancar, barulah berpindah ke ayat yang seterusnya.

Setelah menghabiskan pengajiannya di Madrasah Raudhatul Hasanah, Farid meneruskan pengajian di maahad lain dengan mengambil sijil hafalan. Subhanallah. Saya semakin kagum dan terpegun dengan kaedah hafalan yang diguna pakai. Jikalau tadi, Farid hanya menghafaz sebanyak 1 halaman untuk 1 hari, sekarang Farid perlu menghafaz sebanyak 1 juz untuk 1 hari, kemudian 3 juz , 5 juz, 7 juz dan 9 juz untuk sehari secara berperingkat. Sampai satu tahap, Farid menghafaz sebanyak 15 juz dan 30 juz sehari. Subhanaallah. Hebat sungguh, sedangkan mahu membaca quran 1 juz sehari pun sudah agak terlalu payah, inikan menghafaz 15 juz sehari. Banyak lagi sebenarnya rentetan hidup Farid dan jadual hafazannya seharian yang mengagumkan dan bukannya tidak mampu untuk saya menulis kesemuanya, tetapi memberi peluang kepada anda untuk membeli dan membacanya . (Cheh, ini adalah ayat promosi)

Antara lain babak-babak kegemaran saya ialah umrah yang dikerjakan Farid sekeluarga.Babak inilah yang membahagiakan saya (mungkin sebab tidak pernah pergi Makkah ‘kot’). Penulisan yang sungguh indah yang menceritakan satu persatu diari perjalanan ke Makkah bermula dari Malaysia-Colombo-Jeddah-Madinah-Makkah. Saya sebenarnya baru tahu (diulangi: baru tahu), ingatkan kapal terbang dari Malaysia membawa para jemaah ‘direct’ ke Arab Saudi, tetapi rupa-rupanya ‘transit’ di Sri Lanka dulu (ooooo baru tahu, tidak pernah terlintas bertanya tentang soalan yang satu ini). Dari Jeddah akan menaiki van/bas menuju ke Madinah dan seterusnya ke Makkah. (ooooo sekali lagi baru tahu). Selepas itu amalan-amalan umrah yang dicoretkan juga sedikit sebanyak mengingatkan saya subjek Pendidikan Agama Islam yang diajar di sekolah menengah dahulu, bab Haji dan Umrah. Dulu, saya menghafal rukun-rukun haji dan umrah dan saya antara orang yang terhebat memahami bab itu dengan baik dari segi teori (cheh, ini bukan ayat riya’) tapi sekarang saya sudah lupa apa yang dihafal itu. Tetapi, buku ini mengingatkan saya sekali lagi bagaimana untuk mengerjakan umrah (walaupun bukan secara praktikal). Niat ihram, tawaf 7 kali, saie dari Marwah ke Safa, dan penutup kepada umrah, menggunting rambut sekurang-kurangnya 7 helai. Sungguh seronok bila membaca bahagian Farid solat di Masjidil Haram dan berimamkan Imam Sudais (siapa sangka Imam Sudais tersenyum pada Farid dan saya baru tahu sekali lagi rupa-rupanya ada tentera yang mengawasi jalan ke tempat imam), Farid dan kakanya, Fauziah berebut roti Arab ( bukan roti arab yang lekeh-lekeh, diberi percuma siap dengan yogurt sekali) dan suasana pasar Makkah selepas waktu Asar dimana pak-pak Arab bersedekah kurma(kurma yang ada badam lagi dan Fauziah dipaksa pula mengambilnya) serta sejadah. (MasyaAllah, saya cuba bayangkan seorang peniaga buah-buahan di pasar Kulim memaksa saya mengambil sedekah buah duriannya, mungkinkah ini terjadi di Malaysia). Tapi saya masih hairan, adakah amalan bersedekah di pasar Makkah ini berjalan selama 365 hari atau cuma pada bulan Ramadhan sahaja?

Saya tidak tahu, kelompok yang disasarkan PTS untuk novel Jibunsyi, tetapi untuk pendapat peribadi saya, saya nampak novel ini (Jalan Jauh Ke Kampus) sangat sesuai dibaca oleh golongan remaja yang berumur 12 tahun hingga 19 tahun kerana ia banyak mengajar tentang akhlak-akhlak mulia dan cita-cita. Gaya bahasa “lurus” yang digunakan adalah mirip-mirip dengan gaya bahasa bahan bacaan yang saya baca semasa sekolah rendah dan menengah iaitu buku-buku berkenaan moral dan kehidupan. Bukan itu sahaja, ia juga mudah dibaca oleh golongan pelajar-pelajar bukan Islam dan ini memudahkan mereka memahami tentang kehidupan orang Islam kerana penulis menggunakan perkataan-perkataan yang standard, contohnya solat dibahasakan dengan sembahyang. Perpustakaan sekolah wajar memiliki novel-novel sebegini sebagai salah satu langkah menarik minat pelajar membaca novel yang berkualiti.

Saya kekadang agak pelik (pelik sikit sahaja), melihatkan pelajar sekolah membaca novel ‘klasik’ cinta di perpustakaan awam (saya tidak nafikan ada banyak novel-novel cinta di perpustakaan awam walaupun kulitnya sudah hampir koyak). Saya juga tidak nafikan bahan bacaan sedemikian akan membentuk jiwa-jiwa yang asyik masyuk dengan cinta tanpa cita-cita bermula dari peringkat awal baligh lagi. Kenapa ini terjadi? Mungkin kerana kita kekurangan buku bacaan di Malaysia. Jadi dengan adanya novel-novel Jibunsyi sebegini, sedikit sebanyak memberi pilihan kepada para pembaca muda yang suka membaca novel.

Walaupun saya menulis ringkasan novel ini sudah hampir 5 halaman saiz A4, tetapi ada lagi bahagian-bahagian yang sengaja tidak saya ceritakan seperti doa Farid di tapak Nabi Ibrahim (apakah doa itu??-kalau saya ada adik yang mendoakan sebegini, siaplah dia), kematian orang tersayang, kisah-kisah kehidupan penghafaz lain, cinta(walaupun cuma 5 % sahaja babak yang melibatkan perasaan itu) dan banyak lagi. Saya jamin anda akan sentiasa mendapat pengetahuan baru seperti saya, sampaikan harga sewa St. John Ambulance pun saya mengetahuinya. Selamat Membaca!!!

Wallahu alam

Sumber Gambar :
Jalan Jauh ke Kampus - http://www.pts.com.my/index.php/buku/jalan_jauh_ke_kampus/

2 comments:

Anonymous said...

assalamualikum cik welmaa landa..
boleh bagi tahu x pasal pofile detail awk..wassalam

Anonymous said...

A'kum Welmaa. Akak baru jumpa blog ni. Menarik...