Saturday, January 26, 2008

Menjadi Muslim Terbaik - Aa Gym

Oleh :
Welma La'anda (welmalaanda@gmail.com)

Tajuk :
Menjadi Muslim Terbaik
Penulis : Aa Gym
Halaman : 109 Penerbit : PTS Harga : RM10

Penyakit tidak konsisten yang dihidapi tahun lepas agak parah juga menyerang saya. Antara kesannya ialah menyebabkan laman blog ini tergendala kaku buat sekian lama. Bila dilihat semula, nyata cuma ada 3 buah artikel review buku sahaja untuk tahun 2007. Justeru itu pada tahun ini saya berazam kuat untuk merawat penyakit merbahaya ini yang kesannya bukan sahaja jelas kelihatan pada pengemaskinian blog tetapi juga dalam pelbagai aspek seperti kerjaya, belajar dan urusan ibadah yang lain.

Ini adalah review buku pertama pada tahun 2008 yang saya sangat teruja untuk berkongsi tentangnya. Ia diistilahkan oleh penerbitnya sebagai 'fast book'.

Kita agak sinonim dengan istilah 'fast food' yang memberi makna makanan segera dan ia tidak boleh diambil dengan frekuensi dan kekerapan yang tinggi kerana tidak baik untuk kesihatan. Tetapi berbeza dengan istilah 'fast book', walaupun maklumat yang disajikan begitu ringkas dengan saiz buku yang hanya sebesar telapak tangan namun kredebilitinya memberi ilmu yang berkhasiat kepada para pembaca tidak boleh saya nafikan. Malah berani saya katakan kandungan buku ini sama hebat daripada buku-buku motivasi lain yang ketebalannya berjumlah beratus-ratus halaman.

'Hari ini ramai orang ingin menjadi BINTANG. Mahukah anda menjadi BINTANG? Bukan di pentas, bukan di televisyen tetapi dihadapan Tuhan'. Itu adalah sinopsis pendek kepada buku comel ini yang tertulis di hadapan kulit bukunya.

Satu pertanyaan kepada kita setelah sekian lama mendefinisikan atau lebih biasa dengan makna BINTANG sebagai popular di televisyen atau terkenal di hadapan orang ramai. Kita merasa Wow! Hebat, gembira dan begitu senang sekali kerana dikenali ramai orang atas jasa-jasa kita, kebaikan kita serta kejayaan yang dihasilkan oleh kita sekaligus menjadikan kita BINTANG yang bersinar. Dalam keghairahan menjadi bintang itu, pernah atau tidak terdetik dalam hati kecil kita tentang harapan mahu menjadi BINTANG di hadapan Tuhan?

Persoalan yang mampu menggetarkan hati sahaja tidak cukup. Justeru itu buku kecil ini menceritakan bagaimana mahu menjadi bintang di hadapan Tuhan. Ia terbahagi kepada 3 bahagian yang penting iaitu:
Bahagian 1 : Bersyukurlah kita sebagai Muslim
Bahagian 2 : Tunjukkan Kemuslimanmu
Bahagian 3 : Agenda Hidup Muslim

Saya tertarik kepada nasihat Aa Gym yang terkandung di dalam buku ini di mana Aa Gym menyatakan bahawa kita harus sentiasa ingat yang kejayaan itu adalah milik kita dan lahirnya kita ke dunia ini adalah satu kejayaan awal yang dihadiahkan Allah kepada kita.

Bukankah satu kejayaan namanya ketika jutaan sperma memburu satu sel telur dan yang hanya berjaya disenyawakan cuma satu iaitu kita? Tanpa kita sedari, kita telah melalui satu proses perjuangan yang begitu mencabar ketika sedang bersaing dengan sperma lain dan kita BERJAYA dalam perjuangan itu.

Oleh kerana kejayaan adalah milik kita sejak awal lagi, kita harus terus membina potensi diri tanpa kenal putus asa dan jemu tetapi harus TERUS belajar, TERUS sabar dan TERUS tabah agar kejayaan itu terus menjadi milik kita, bukan sahaja ketika awal kelahiran kita tetapi juga sampai akhir hayat ketika kita berjumpa kembali Tuhan kita dalam keadaan BERJAYA mengharungi perjuangan yang begitu mencabar di atas muka bumi ini.

Dalam Bahagian 1, secara ringkasnya penulis cuba memberi kesedaran dan membawa pembaca bersyukur kerana dipilih oleh Allah lahir sebagai manusia dan lahir pula dalam keadaan beragama Islam. Apa yang suka saya kongsikan dalam Bahagian 1 ini ialah tentang peringatan daripada penulis bahawa kita umat Islam diberi oleh Allah modal yang lebih berbanding mereka yang bukan Islam. Tetapi apabila cara kita berfikir, bertindak, cita-cita dan kehidupan kita sama seperti mereka yang bukan Islam, maka secara tidak disedari modal itu akan berkurangan sedikit demi sedikit dan lama kelamaan akan habis. Oleh itu, jangan cuba lagi kita pura-pura bertanya kenapa umat Islam hari ini mundur, dipermainkan, diperbudakkan serta diperbodohkan oleh umat lain.

Bahagian 2 buku ini mengandungi nasihat-nasihat bagaimana mahu menjadi muslim terbaik. Saya membuat kesimpulan inilah isi kandungan sebenar buku ini. Berikut adalah sub-topik yang terkandung:

+Bersihkan Hatimu
+Hiasi Percakapanmu
+Perbuatan Yang Memberi Manfaat
+Beribadahlah Dengan Sebaik-Baiknya
+Sentiasa Memperbaiki Diri Hormati Ibu-Bapa
+Membina Rumah Tangga
+Memberi Manfaat Kepada Orang Lain
+Mencintai Dakwah dan Jihad
+Bekerja Dengan Bersungguh-sungguh
+Membina Ukhuwaah dan Silaturrahim
+Menjaga Kesihatan, Penampilan dan Kekuatan Fizikal
+Menggunakan Benda-benda Yang Halal
+Berwawasan Global dan Universal

Buat masa ini saya tidak berkemampuan untuk menceritakan satu persatu sub-topik yang dinyatakan itu walaupun ada keinginan ke arahnya. Oleh kerana itu, saya cuba menyenaraikan kesemua sub-topik itu agar pembaca boleh mendapat sedikit gambaran tentang isi kandungannya.

Apa yang mampu saya rumuskan dalam Bahagian 2 ini ialah keselesaan membaca dan menghadam nasihat-nasihat yang disampaikan. Penggunaan perkataan yang mudah dan ringkas, ditambah pula dengan cara penyampaian yang bagus seperti susun atur makna al-Quran, renungan dan hadis yang kemas menjadikan penyampaian mesej buku ini sangat berkesan.

Walaupun sub-topik yang diketengahkan adalah perkara dan isu biasa, namun entah kenapa saya merasakan buku ini memiliki auranya yang tersendiri. Nasihat-nasihat yang cuba disampaikan sangat menusuk qalbu dan secara peribadi saya tidak tahu mahu menggunakan apa lagi perkataan yang sesuai untuk menggambarkan kepada pembaca WOW! betapa hebatnya buku ini.

Bahagian 3 pula iaitu bahagian yang terakhir dalam buku ini ialah Agenda Hidup Muslim. Didalamnya terkandung cadangan-cadangan amalan yang perlu dilakukan oleh seorang muslim samada berbentuk harian, mingguan, bulanan, tahunan dan seumur hidup.

Sebagai tambahan, kita mungkin boleh membuat jadual masa kita sendiri atau yang lebih baik memiliki “ibadah organizer planner”. Pada kebiasaannya orang yang berkerjaya memiliki ‘organizer planner’ iaitu sebuah buku yang di dalamnnya terkandung perancangan dan agenda kerjaya. Apa salahnya jikalau kita juga mempunyai ‘organizer planner’ sendiri yang khusus untuk amalan-amalan ibadah yang kita pantau setiap masa sebagai langkah pertama untuk proses muhasabah. Contohnya, dalam sehari berapa halaman al-Quran yang perlu dibaca, bilakah jadual perancangan kita akan menunaikan Qiammulail, berpuasa, dan sebagainya.

Rumusan daripada keseluruhan isi kandungan buku ini ialah saya suka melihat cara penyampaian penulis menyampaikan mesej berbentuk nasihat. Jikalau kita perasan, penulis tidak gopoh terus menceritakan apakah amalan yang patut kita lakukan untuk menjadi muslim terbaik, tetapi penulis terlebih dahulu mengajak kita bersyukur kepada Allah kerana dipilih lahir menjadi seorang manusia dan Islam. Setelah mengetahui apakah ciri-cirinya menjadi muslim terbaik, penulis cuba membantu kita belajar mengatur agenda ibadah kita sendiri agar kita terus konsisten melakukan amal soleh dan terus bersemangat memasang impian menjadi BINTANG di hadapan Nya.

Selamat membeli buku ini. Ia adalah koleksi buku terbaik yang patut anda baca. Walaupun kecil, tetapi cukup bermakna. Kecil-kecil cili api, jangan disangka tidak berbisa.

Wallahu alam

Sumber Gambar :
Menjadi Muslim Terbaik - http://www.pts.com.my/index.php/buku/menjadi_muslim_terbaik/

1 comments:

Jiwa Rasa said...

Saya suka kulit buku ini. Menarik!