Tajuk :Dari Kepala Batas Ke New Heaven
Penulis :Ashadi Zain
Halaman : 331 Penerbit :PTS Fortuna Harga: RM21
Sebenarnya, saya sudah malas mahu membaca buku-buku yang berunsurkan novel. Bukan malas yang dibuat-buat, tetapi entah kenapa semakin berumur, saya semakin tidak boleh mesra dengan buku yang berjenis novel. Tetapi atas dasar mahu membantu golongan remaja, akhirnya saya gagahkan diri juga pergi mencari, membaca dan menyimpan novel yang berkualiti untuk dikongsikan dengan mereka.
Ceritanya begini. Setiap kali ada program bersama golongan remaja, saya pasti bertanya apakah cita-cita dan hobi mereka. Ramai juga antara mereka peminat novel. Tidak pula saya bertanya, novel apa yang mereka baca. Saya khuatir mereka baca novel yang bukan-bukan. Novel yang tidak membantu membina diri. Saya cukup tahu, jikalau tersilap baca novel, maka akan wujudlah generasi yang suka berangan-angan dan tidak suka berfikir. Lama juga saya membelek novel-novel PTS yang tersaji di atas rak Dunia Ilmu Sdn Bhd.
Perlu saya jelaskan saya bukan peminat fanatik buku terbitan PTS, saya juga membeli buku penerbit lain. Cuma PTS memberi saya banyak pilihan, saya yakin kualitinya dan kulit buku yang menarik! Dari Kepala Batas ke New Heaven adalah salah satu buku pilihan saya.Tanggapan awal saya berdasarkan tajuk diberi, saya rasa-rasa mungkin novel ini menceritakan kisah hidup seorang remaja yang tinggal di Kepala Batas dan akhirnya berjaya melanjutkan pelajarannya di New Heaven. Setelah berjaya dengan susah-payahnya (diulangi susah-payah), membaca bermula dari Bab 1 hingga Bab 26 selama 2 hari, saya masih tidak berjumpa nama tempat Kepala Batas.
Antara tempat-tempat yang disebut adalah seperti Sungai Dua, Bukit Mertajam dan Kuala Kangsar. Adakah Sungai Dua itu sebnarnya yang dimaksudkan Kepala Batas? Saya pelik keseorangan, saya tahu Sungai Dua itu bersebelahan dengan Kepala Batas tetapi setahu saya Sungai Dua bukan berada dalam kawasan Kepala Batas. Nanti saya mahu bertanya pada kawan saya orang Kepala Batas! Welma, Welma, nama tempat pun menganggu kamu! Sah budak-budak lagi!
Novel ini mengisahkan kehidupan anak-beranak iaitu Ustaz Karim(ayah), Ustazah Aisyah(ibu), Safiah(anak pertama), Halim(anak kedua), Khalili(anak ketiga), Rosmah(anak keempat), Khairi(anak kelima) dan Rashidah(anak keenam).Mereka tinggal di Sungai Dua, Pulau Pinang. Diceritakan pada awal bab, Ustaz Karim sakit. Pada mulanya cuma bisul sahaja tetapi akhirnya berlanjutan sehingga disahkan menghidap kanser.Rawatan hospital dan cara kampung telah diikhtiarkan, tetapi masih belum berjumpa penawarnya. Sampai pada satu tahap, kaki Ustaz Karim terpaksa dipotong hingga ke paras buku lali. Pada ketika itu, Ustaz Karim berada di Hospital Kuala Kangsar. Apabila Haji Mansor iaitu ayah mertua Ustaz Karim mendengar khabar kaki menantunya mahu dipotong, dia membawa lari Ustaz Karim keluar dari hospital.Dia tidak mahu kaki menantunya dipotong, pasti ada rawatan lain yang lebih baik selain potong kaki fikirnya.
Kemudian, Ustaz Karim dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur. Ustazah Aisyah bersama anak-anaknya, Rashidah dan Khairi tinggal di Kuala Lumpur menemani Ustaz Karim. Safiah dan Rosmah diaturkan tinggal bersama mak saudara mereka, iaitu Mak Esah. Manakala, Halim dan Khalili tinggal dengan Pak Ali, juga bapa saudara mereka. Ini untuk mememudahkan proses persekolahan mereka. Namun malang yang menimpa nasib Halim dan Khalili. Mereka didera secara fizikal dan emosi oleh Makcik Peah iaitu isteri Pak Ali.
Kisah mereka bukan terhenti setakat itu sahaja. Ustaz Karim akhirnya meninggal dunia. Ustazah Aisyah dan anak-anak tinggal bersama Haji Mansor di Kuala Kangsar. Tidak lama selepas itu, Haji Mansor pula meninggal. Ibunya, Hajah Aminah pula mula berubah sikap dan tiba-tiba berubah menjadi seorang ibu yang jahat, oops pembetulan ibu yang sangat jahatt!
Saya sudah letih menangis, dari tadi tadi air mata asyik jatuh sahaja. Saya tidak sedar sejak dari bab mana. Tapi apa yang pasti bermula dari Bab 1 hingga Bab 13, saya klasifikasikan sebagai bab air mata. Saya asyik bertanya sendiri bilalah nak habis baca buku ini!
Watak utama novel ini ialah Khalili, anak ketiga Ustazah Aisyah. Khalili pada usia remaja digambarkan sebagai seorang yang cepat marah terutama kepada mereka yang menfitnah dirinya dan Ustazah Aisyah tetapi dia adalah seorang anak yang sangat baik dan jelas faham akan tanggungjawab kepada keluarga. Bukan Khalili sahaja sedemikian, adik-beradiknya yang lain juga sepertinya, anak-anak yang baik. Bab 14 hingga Bab 26 pula, suka saya klasifikasikan sebagai bab proses perjuangan Khalili untuk mengecapi kejayaan. Hidup yang susah tidak menjadi penghalang buat dirinya dan adik-beradik yang lain untuk berjaya dalam pelajaran.
Khalili orangnya suka berdikari dan suka bekerja. Dia mahu mencari duit untuk mengurangkan beban ibu tercinta. Dalam masa yang sama dia juga belajar. Jikalau ada hasil duit yang diperolehi, pasti dia memberi pada ibunya. Sifat itu bukan sahaja terserlah pada usia muda, tetapi berkekalan sehingga sudah besar panjang. Khalili akhirnya berjaya melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat Master di New Heaven dan PHD di Melbourne. Bukan itu sahaja, dia juga memiliki syarikat motivasi sendiri. Walaupun, dalam keadaan yang sudah boleh dikatakan senang, tetapi Khalili masih tetap Khalili, orangnya tidak pandai duduk diam, ada sahaja yang diusahakannya. Cubalah beli novel ini dan boleh baca pengalaman belajar Khalili di New Heaven dan Melbourne, sedikit sebanyak boleh memberitahu kita bekerja sambil belajar tidak menjadi penghalang untuk mendapat keputusan yang baik.
Novel ini bagus untuk diwar-warkan kepada remaja. Remaja patut diajar tentang kepayahan hidup, baru boleh menghargai hidup yang senang. Kepayahan hidup bukan menjadi penghalang untuk berjaya. Setiap dari kita harus berani berimpian besar dan jangan biar orang lain mencurinya. Bila sudah senang pula, jangan mudah lupa diri dan ahli keluarga!
Wallahu alam
Sumber Gambar :Dari Kepala Batas ke New Heaven - http://www.pts.com.my/index.php/buku/dari_kepala_batas_ke_new_haven/







2 comments:
sungai dua tidak termasuk dalam kawasan kepala batas.
agaknya nama kepala batas diambil hanyalah sebagai gimik untuk melariskan jualan buku ini memandangakan kampung mantan PM kita iaitu PAK LAH adalah di kepala batas... hehehe.
Mungkin tiada kena mengena dengan Pak Lah kot, tetapi mungkin nama Kepala Batas lebih sedap bunyinya daripada sungai dua, hehe, saja teka :)
Post a Comment