Friday, July 25, 2008

Detektif Indigo + Detektif Indigo Kembali - Faisal Tehrani

Oleh:
Welma La'anda (welmalaanda@gmail.com)

Tajuk :
Detektif Indigo
Penulis : Faisal Tehrani
Halaman : 188 Penerbit : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd

Tajuk :
Detektif Indigo Kembali
Penulis : Faisal Tehrani
Halaman : 224 Penerbit : Al-Ameen

Saya terkejar-kejar mencari masa membaca buku seperti yang dirancangkan sempena mengakhiri usia 23. Namun begitu rasanya menulis resensi lagi susah. Tidak ada idea mahu menggunakan perkataan apa untuk mempersembahkan sesebuah karya agar setiap pembaca atau sesiapa sahaja mendapat gambaran jelas apa yang cuba disampaikan oleh sesebuah buku. Itu salah satu faktor. Tidak ada pengetahuan tentang satu-satu isu yang diceritakan sedikit sebanyak menganggu. Letih juga adalah satu alasan yang baik dan konkrit kepada kelembapan saya menulis resensi.

Alhamdulillah sebelum pukul 9.00 malam 22 Julai berjaya juga menyelesaikan pembacaan Detektif Indigo Kembali karya Faisal Tehrani. Lama sungguh saya membaca buku berhalaman 224 ini, jikalau tidak silap mula membacanya pada hari Jumaat, 18 Julai. Detektif Indigo pula telah selesai dibaca mungkin kira-kira 3 minggu yang lalu. Lain pula dengan buku yang satu ini, pada ingatan, saya hanya mengambil masa lebih kurang 2 hari untuk membacanya.

Saya suka membaca buku sejak dari kecil lagi, seingat saya ketika usia 7 tahun. Saya mula mengenali karya Enid Blyton sejak sekolah rendah, kurang ingat pada usia berapa dan saya adalah pembeli dan pembaca semi fanatik karya-karya beliau terutama untuk siri penyiasatan. Membaca kisah Detektif Indigo mengingatkan saya kepada karya penyiasatan Enid Blyton seperti Siri 7 Penyiasat. Dua karya ini ada persamaan. Pertama, ia menggunakan tema penyiasatan dan kedua, remaja adalah watak utamanya.

Detektif Indigo sedikit berbeza dengan karya penyiasatan Enid Blyton atau mana-mana penulis lain. Penceritaan aplikasi bidang forensik yang diketengahkan adalah perkara biasa untuk mana-mana karya bertema penyiasatan, dan jikalau ia diabaikan akan mencacatkan 80% emosi pembaca yang mengharapkan sebuah cerita penyiasatan (20% lagi adalah emosi berbaik sangka terutama untuk pembaca yang baik hati). Itu saya tidak mahu kongsikan panjang lebar melalui resensi ini.

Cuma, saya berminat dengan isu kanak-lanak Indigo dan telepati yang diadun bersama dalam karya ini. Pada mulanya, saya ingatkan cerita kanak-kanak indigo dalam Detektif Indigo cuma rekaan akal Faisal Tehrani semata-mata sehinggalah saya membaca bahagian Penghargaan pada halaman 187 di mana Faisal Tehrani menulis sebegini :

"Penulisan naskhah ini terdorong oleh kajian dan dapatan beberapa pengkaji, antaranya Doreen Virtue, Lee Caroll, Jan Tober dan Nancy Ann Tappe.Fenomena anak-anak indigo masih agak asing di negara ini meskipun telah diperdebatkan dengan hangat di barat. Selain di Barat, klinik dan sekolah khas bagi anak-anak indigo turut dibuka di Turki , juga di negara tetangga Indonesia dan Singapura ."

Istilah anak-anak Indigo saya kira begitu asing di Malaysia (atau saya seorang sahaja yang tidak tahu) berbanding dengan istilah anak-anak genius. Sedikit persoalan, adakah anak-anak genius adalah anak-anak indigo juga atau anak-anak genius tidak semestinya anak-anak indigo? Dikatakan anak-anak indigo mempunyai deria keenam tetapi setahu saya anak yang mempunyai IQ tahap genius tidak semestinya mempunyai deria keenam. Ehm, satu persoalan!

Saya cuba mencari sedikit maklumat berkenaan isu ini di internet. Berikut adalah maklumat yang diperolehi. Istilah 'anak indigo' atau 'indigo children telah diperkenalkan oleh kaunselor terkemuka di Amerika, Nancy Ann Tappe. Nancy telah menulis sebuah buku yang bertajuk Understanding Your lIfe Through Color (1982) dan melalui buku itu dia mengklasifikasikan manusia kepada beberapa warna tenaga atau cakra.

Cakra ini diertikan sebagai pintu-pintu khusus di dalam tubuh manusia di mana ia adalah tempat keluar masuk tenaga. Di dalam tubuh manusia dikatakan ada 7 cakra kesemuanya. Menurut maklumat di dalam buku Detektif Indigo, cakra pertama berwarna merah terletak di pinggang, cakra kedua berwarna jingga di perut, cakra ketiga berwarna kuning di bahagian atas perut, cakra keempat berwarna hijau di dada, cakra kelima berwarna biru di kerongkong, cakra keenam berwarna nila di kening dan cakra ketujuh berwarna ungu di ubun-ubun.

Apa yang dapat difahami ialah kanak-kanak indigo memiliki ketujuh-tujuh warna cakra itu. Kanak-kanak Indigo dikatakan berperangai seperti orang dewasa, mempunyai kesedaran yang lebih tinggi daripada orang lain, mengenal siapa diri mereka dan tujuan hidup. Dikatakan juga kanak-kanak jenis ini ada yang boleh bertutur bahasa asing sejak dari kecil lagi seperti Perancis walaupun belum pernah mendengar pertuturan bahasa itu. Mereka mahu diperlakukan seperti orang dewasa dan tidak mahu mengikuti sesuatu peraturan yang ditetapkan.

Annisa Rania Putri, 5 tahun, merupakan salah satu anak indigo di Indonesia. Dia boleh berbahasa Inggeris dengan dialek Amerika Syarikat sejak pandai bercakap, sedangkan kedua ibu bapanya tidak boleh berbahasa Inggeris dengan baik.Dia juga boleh mengingat hal yang mustahil untuk manusia biasa seperti bagaimana dirinya dilahirkan.

Beralih kita kepada telepati. Melalui satu laman web, menyatakan bahawa telepati adalah satu kaedah perhubungan yang menggunakan minda dan tahap berjayanya perhubungan itu bergantung kepada persekitaran ketika itu. Dikatakan semasa penghantaran sesuatu maklumat kepada seseorang, gelombang elektromagnet yang berfrekuensi rendah akan digunakan. Penghantar akan memfokuskan maklumat kepada penerima. Pada ketika ini, akan berlaku keadaan yang kita beri nama - gelombang otak terkawal.

Isu telepati ini memerlukan pembacaan dan pengetahuan yang mendalam lagi untuk mengetahui konsepnya yang sebenar dan fakta penjelasan bagaimana ia boleh berlaku, cuma pada ketika ini saya mengambil langkah melontarkan ia dalam blog ini agar ia menjadi satu permulaan untuk saya mencari jawapannya.

Detektif Indigo merupakan pemenang kedua Pertandingan Novel Remaja anjuran Kumpulan Utusan dan diterbitkan pada tahun 2005. Ia diulang cetak semula pada tahun 2006.

Jikalau anda membaca Detektif Indigo kemudian disusuli Detektif Indigo Kembali, mungkin anda akan seperti saya menganggap Detektif Indigo adalah novel pengenalan; watak-watak yang terlibat, apa kelebihan mereka, apa karakter mereka, mereka bersekolah di mana, apa konsep pembelajaran sekolah itu, bagaimana mereka boleh bersekolah di situ, apa syarat kelayakannya dan lain-lain lagi.

Mungkin kerana itu, saya menganggap ia biasa sahaja dan saya merasakan o mungkin Faisal Tehrani menetapkan sasaran pembaca sekolah rendah dan menegah rendah untuk novel Detektif Indigo.

Namun begitu, ia tetap menarik dengan fakta-fakta berfikir dan paling penting saya suka mesej remaja Islam itu. Jikalau tiada mesej itu ataupun mesej itu tidak jelas, besar kemungkinan saya akan menulis resensi ini sebegini, " karya penyiasatan yang ditulis oleh Enid Blyton sama sahaja dengan Detektif Indigo karya Faisal Tehrani".

Remaja bukanlah golongan yang dikecualikan untuk berfikir isu ummah. Kisah Ashabul Kahfi, Ashabul Ukhdud dan Saidina Ali adalah contoh-contoh remaja yang mengajar kepada kita usia bukan maknanya berdiam diri atau membiarkan diri terjurumus ke lembah kejahilan. Remaja juga bukanlah golongan yang tidak perlu ingat kepada Allah tetapi dia harus tahu apa yang dilakukannya semua untuk Allah sahaja.

Penghargaan kepada kejayaan seeorang remaja itu bukan kerana bakat atau kebolehannya tetapi kesungguhan dan kemampuannya untuk menghalakan segala kelebihan itu ke arah kebaikan. Masalah umat Islam pada ketika ini bukan lagi terletak pada ilmu, tetapi pada akhlak. Remaja yang berakhlak adalah aset penting umat Islam. Boleh baca halaman 173-178 untuk teks ucapan yang disampaikan oleh Prof. Recep Gul, di mana teks ucapan itu saya anggap sebagai mesej penting Detektif Indigo,

Kesinambungan Detektif Indigo ialah Detektif Indigo Kembali. Pada novel ini tertera Siri Detektif Indigo pada bahagian atas kulit novel. Adakah ia membawa maksud Detektif Indigo akan disirikan seperti Siri 7 Penyiasat karya Enid Blyton yang mengandungi 15 siri (jikalau tidak silap) seperti yang saya pernah miliki suatu ketika dahulu.

Besar kemungkinan YA terutama apabila setelah selesai membaca Detektif Indigo Kembali, saya merasakan cerita seolah-olah belum selesai.

Berbanding Detektif Indigo, saya lebih suka Detektif Indigo Kembali. Detektif Indigo Kembali lebih "mesra pembaca umur 23". Di dalamnya ada watak-watak tambahan iaitu Dendy, Sumitra, Cenderawasih, si kembar Hasan dan Husin serta Furqan. Isu penyiasatan yang diketengahkan juga adalah besar yang melibatkan penculikan Prof Recep Gul (pengasas Akademi Indigo) dan Prof Aslan ( Setiausaha Agung OIC).

Dalam novel ini, selain daripada mesej remaja Islam, Faisal Tehrani juga cuba menyampaikan mesej perpaduan umat Islam dan sikap pelampau sesetengah golongan umat Islam yang fanatik. Maka hasil daripada itu, pembaca akan membaca mesej-mesej pembelaan terhadap golongan Syiah atas sikap segelintir golongan Sunni. Mungkin adanya perkataan-perkataan ini, pembaca akan berfikir, o nampaknya Faisal Tehrani sudah mula mengorak langkah menyelitkan ke-Syiah-an dalam karyanya.

Pendapat peribadi saya, walaupun saya bukan peminat Faisal Tehrani (saya cuma pembaca karya dia sahaja, tetapi bukan bermakna menyetujui semua apa yang disampaikannya), saya menganggap ini soal moderat dan ia bukan ke arah mempengaruhi ke-syiah-an. Faisal Tehrani cuba membawa pembaca melapangkan dada, jangan cepat melenting tidak tentu pasal dan cuba fikir baik-baik, ada benda yang kita boleh sepakati dan bekerjasama untuk mewujudkan perdamaian walaupun sedikit berbeza, Sunni dan Syiah contohnya. Titik. Saya tidak mahu ulas panjang lebar kerana tiada ilmu tentang ini.

Satu perkara yang perlu saya ingatkan, anda perlu membaca Detektif Indigo dahulu sebelum membaca Detektif Indigo Kembali. Boleh saja, kalau Detektif Indigo Kembali didahului, cuma jikalau anda ingin menghayati dengan baik kisah ini, nasihat saya bacalah dulu Detektif Indigo.

Detektif Indigo dan Detektif Indigo Kembali atau mana-mana siri Detektif indigo yang bakal muncul adalah merupakan bahan bacaan yang sangat bagus untuk diwar-warkan kepada pelajar ketika usia di sekolah rendah lagi. Secara peribadi, saya menganggap ia adalah karya yang ringan (boleh dihadam oleh pelajar sekolah rendah) tetapi dalam masa yang sama boleh memotivasikan terutama dari segi tujuan hidup dan tanggungjawab terhadap agama. Saya rasa ini bukan masanya lagi memanjakan remaja dengan karya-karya yang tidak membawa kepada pemikiran kritis dan kreatif. Suka saya memetik kata-kata Ali Zainal Abidin bin Hussein yang ditulis di hadapan muka surat Detektif indigo Kembali sebagai penutup resensi ini. Mudah-mudahan ada yang boleh diambil iktibar bersama.

Berfikir dan buatlah sesuatu sesuai tujuan penciptaanmu kerana Allah tidak menciptkan dirimu secara sia-sia.

Wallahu alam

Sumber Gambar :
Detektif Indigo - http://www.ujanailmu.com.my/pd_detektif.cfm
Detektif Indigo Kembali - http://www.ujanailmu.com.my/pd-detektif-indigo-kembali.cfm

1 komen:

Anonymous said...

Sebelum Detektif Indigo Kembali (DIK) ada sequel ke-2nya iaitu Ikan Fugu, Lukisan dan Jimson.
DIK tu siri ke-3.