Monday, August 25, 2008

Menuju Rumah Cinta Mu + Ingin Aku Menggapai Mu

Oleh :
Welma La'anda (welmalaanda@gmail.com)

Pertama kali saya membaca buku genre ini :-Teen Islami. Ada 2 buah yang dimiliki saya iaitu Menuju Rumah Cinta Mu dan Ingin Aku Menggapai Mu. Ia adalah karya-karya terbitan Hikmah, iaitu sebuah anak syarikat di bawah syarikat penerbitan buku Indonesia, Mizan.

Hikmah membahagikan produk terbitannya kepada beberapa jenis iaitu Hikmah Populer, Hikmah Zaman Baru, Hikmah Novel, Hikmah Memoar, Hikmah Remaja dan pelbagai lagi, Saya tidak pasti 2 buah karya ini tergolong dalam golongan produk yang mana satu, Hikmah Populer, Hikmah Remaja atau Hikmah Novel.

Kemudiannya 2 buah karya ini diterjemahkan oleh PTS Litera dan dilabelkan sebagai Teen Islami. Saya mengagak label Teen Islami itu datang dari Teen Lit atau Teen Literature iaitu sastera untuk remaja. Mungkin definisi secara kasar untuk genre Teen Lit ialah sebuah genre yang memfokuskan kepada cerita-cerita remaja , kisah kehidupan di sekolah dan isi utama ceritanya adalah tentang percintaan.

Jikalau begitu, mungkin saya boleh beranggapan Teen Islami adalah sebuah genre yang memfokuskan kepada cerita-cerita remaja yang dikisahkan secara Islami. Jikalau jalan ceritanya ialah cinta, maka cinta Islami adalah mesej utama. Begitu juga, jikalau kisah seorang pelumba haram, maka di penghujung cerita pasti ada kisah penyelesaiannya, kisah taubatnya dan kisah dia kembali kepada Tuhan. Itu fahaman asas saya untuk setiap genre Islami.

Perkataan yang paling sesuai untuk saya jelaskan perasaan saya setelah menghabiskan pembacaan untuk kedua-dua buah buku terjemahan ini ialah "not bad" dan sejujurnya saya 'enjoy' membacanya.

Sebelum ini, saya selalu membaca buku cerita yang mempunyai watak-watak yang baik, berakhlak mulia, dan berlatar belakang yang baik, dan untuk dijadikan sebuah cerita, watak-watak ini mengalami pelbagai krisis dan dugaan tetapi akhirnya dia berjaya menghadapinya. Berbeza dengar 2 buah karya ini, watak utamanya digambarkan sebagai seorang yang kurang sempurna dari sudut pengamalan dan penghayatan Islam. Mereka cuba mencari jalan penyelesaian kepada konflik yang dihadapi dan di penghujung cerita mereka bertemu kepada jawapan itu iaitu kembali kepada Allah.

Saya menganggap jalan cerita sebegini agak baru jikalau mahu dibandin
gkan dengan koleksi buku-buku cerita yang saya ada. Membacanya membuatkan saya sentiasa terfikir bahawa sejahat mana pun seseorang muslim itu, kita harus yakin bahawa jauh di dalam hatinya pasti ada terfikir tentang Allah dan ada perasaan mahu kembali kepada Allah. Cuma kekadang, situasi dan keadaan mereka tidak mampu menyokong kepada perubahan itu. Jadi kepada sesiapa yang tergolong dalam golongan yang berkesedaran, haruslah sentiasa beringat agar tidak menyisihkan orang-orang sebegini tetapi harus cuba membantu mereka. Ayuh, mari berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran!

Tajuk :
Menuju Rumah Cinta Mu
Penulis : Yudhi Herwibowo
Halaman : 149 Penerbit : PTS Litera

Menurut Yudhi Herwibowo melalui blognya, Menuju Rumah Cinta Mu adalah sebuah novel yang emosional. Katanya lagi, dia sengaja membuka cerita sedikit demi sedikit agar pembaca "menjadi selalu ingin tahu, dan selalu ingin tahu".

Apa agaknya maksud penulis dengan kenyataan itu? Saya mahu mengingati kembali jalan cerita Menuju Rumah Cinta Mu.

Ya, seingat saya karya ini ada 2 situasi yang diceritakan serentak. Wajja adalah wa
tak utamanya. Dia digambarkan sebagai seorang pelumba haram, minum arak, merokok dan dia mempunyai seorang kembar, Majja namanya. Majja adalah seorang yang mempunyai sikap yang bertentangan dengan Wajja. Dia seorang yang baik dan teman lelaki kepada Kani. Pada masa yang sama, Wajja juga menyintai Kani.

Pada mulanya saya seperti kehilangan arah membaca Menuju Rumah Cinta Mu dan banyak yang saya tidak faham tentang situasi Wajja yang sebenarnya. Saya sedikit keliru apabila sekejap penulis menceritakan Wajja di Solo dan selepas itu ada pula kisah Wajja di Jakarta. Mula-mula kisah Wajja di sekolah merisik Kani dari salah seorang temannya, tetapi di lain cerita, ada kisah tentang Wajja di pasar, tempatnya mengutip wang perlindungan dan kisahnya bersama Da'a. Eh, manu satu ini.

Kemudian, baru saya perasaan rupa-rupanya novel ini ada 2 situasi:-situasi pertama di Solo, banyak menceritakan tentang Wajja di sekolah, keluarganya serta kehidupan yang senang dan situasi ked
ua ialah di Jakarta iaitu tempat Wajja melarikan diri setelah dihalau oleh bapanya kerana dianggap penyebab kepada kematian Majja dan di Jakarta Wajja bertemu dengan Da'a. Di sini kehidupannya agak susah dan dia mendapatkan duit dengan mengutip wang perlindungan di pasar, menaip dan menterjemah.

Selain daripada itu, Wajja beserta rakan-rakannya yang lain juga melakukan kerja-kerja memukul orang yang diketuai oleh Da'a. Pada mulanya, Wajja berfikir kerja mereka hanya sekadar memukul orang sahaja. Namun begitu, dia mula mengesyaki sesuatu setelah menerima sejumlah wang yang besar. Wajja merasakan kerja memukul orang yang disuruh oleh Da'a itu tidak sepatutnya menerima pembayaran sedemikian.

Wajja berusaha keras bertanya kepada Da'a dan akhirnya Da'a mengaku, kerja-kerja mereka bukan setakat memukul orang sahaja, tetapi merangkumi membunuh dan Da'a yang melakukannya. Da'a memaksa Wajja menerima kenyataan itu dan memekakkan telinga tetapi Wajja tidak boleh menerimanya. Bagi Wajja itu keterlaluan. Dia tidak mahu rakan-rakannya turut terlibat membunuh. Akibat daripada itu, Wajja bergaduh dengan Da'a dan Da'a hampir membunuhnya. Da'a sudahpun menusuk sebilah pisah pada perut Wajja, namun atas nama persahabatan Wajja membawa Da'a ke hospital. Da'a insaf!!

Novel berhalaman 149 ini, saya anggap sebuah karya yang ringkas. Walaupun begitu, saya suka ceritanya dan seperti dikata sebelumnya, sebuah cerita baru iaitu sebuah kisah orang-orang yang saya anggap masih tercari-cari arah hidupnya. Watak-watak utama cerita bukanlah terdiri dari golongan yang berakhlak mulia, justeru itu saya buat tidak endah (ehm sebenarnya saya cukup kisah) terhadap beberapa patah kata yang kurang baik seperti tolol. Saya mahu berfikiran positif dan menganggapnya seperti ini- "bukankah ini kisah orang jahat, takkanlah saya mengharapkan keluar bahasa yang sopan santun"

Saya kira Wajja mula nampak akan dirinya setelah pelbagai rentetan peristiwa menimpanya.
Memetik kata-katanya pada buku ini, "Sungguh saat ini aku jadi begitu takut akan Allah. Aku tahu selama ini aku sudah begitu jauh daripadaNya. Aku seakan tidak sedar kalau cuma Dia yang harus aku perlukan!". Kematian Majja cuma satu permulaan atau penyebab yang akhirnya membawa Wajja melarikan diri ke Jakarta. Akhirnya, dia kembali semula ke Solo dengan membawa dirinya yang baru!

Tajuk :
Ingin Aku MenggapaiMu
Penulis : Nurhayati Pujiastuti
Halaman : 320 Penerbit : PTS Litera

Jikalau Menuju Rumah Cinta Mu adalah berkisar fiksyen kehidupan, Ingin Aku Menggapai Mu pula saya kelaskan dalam fiksyen cinta.

Saya selesa membaca karya ini, Ingin Aku Menggapai Mu yang ditulis oleh Nurhayati Pujiastati. Saya ulangi , sangat selesa.

Keselesaan ini saya maksudkan dari segi terjemahannya. Jikalau saya tidak tahu menahu tentang latar belakang novel ini, besar kemungkinan saya mengatakan ini adalah karya dari Malaysia. Saya merasakan penterjemah menterjemah 100%. Saya tidak perlu lagi mengatur psikologi pemikiran saya, pada sesetengah perenggan ada "mood" dialek Indonesia, dan pada perenggan yang lain ada pula "mood" dialek Malaysia. Akhirnya, saya keliru!Tetapi tidak untuk karya ini.

Ingin Aku Menggapai Mu mengisahkan seorang gadis yang bernama Ratih yang mahu mencari jodoh yang terbaik buatnya. Ratih berlatar belakangkan keluarga yang tidak baik. Ibunya dilabelkan sebagai pelacur. Ratih juga tidak tahu siapa ayah kandungnya yang sebenar. Orang-orang kampung tidak menyukai ibunya kerana dia dianggap sebagai perampas suami orang. Namun itu hanya anggapan. Sehingga habis novel ini pun, saya masih tidak dapat menyatakan kesahihan ibu Ratih seorang pelacur.

Pada mulanya, Ratih bercinta dengan Mahendra, seorang yang beragama Kristian. Mahendra mengalami kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke kampungnya dan akibat daripada kemalangan itu Mahendra lumpuh. Mahendra tidak dibenarkan meneruskan kuliahnya di tempat Ratih oleh kedua ibu-bapanya. Mereka juga menegah perhubungan antara Ratih dengan Mahendra. Namun begitu, cinta Mahendra terhadap Ratih tetap utuh.

Akibat daripada sikap ibu-bapa Mahendra yang tidak merestui perhubungan mereka, Ratih mula menjalinkan persahabatan dengan Sis, seorang lelaki yang digambarkan sebagai lelaki soleh. Keluarga Sis pula tidak menyukai Ratih kerana dianggap Ratih tidak mempunyai latarbelakang keluarga yang baik. Sis adalah seorang lelaki yang baik, dan Ratih tidak layak untuknya, bak kata keluarga Sis, lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Perempuan baik yang dimaksudkan itu ialah Ren, seorang yang solehah, bertudung dan pemalu.

Walaupun keluarga tidak merestui perhubungan itu, tetapi Sis tetap berkeras. Dia tetap mencintai Ratih dan dia mahu membantu Ratih mengenal dan menghayati Islam. Ratih tidak memakai tudung, dia mahu mengajarnya tentang itu. Ratih tidak tahu menunaikan solat dan tidak tahu membaca al-Quran. Sis mahu mengajar Ratih semua itu. Sis mahu Ratih tahu bahawa dia seorang wanita yang baik, dan dia akan dapat memiliki seorang suami yang baik juga iaitu Sis sendiri. Ibu Sis akhirnya merestui perhubungan mereka. Ketika membonceng bersama antara Sis dan Ratih, motosikal yang ditunggang mengalami kemalangan. Sis disahkan lumpuh.

Orang kampung marah kerana menganggap Ratih lah punca kepada kelumpuhan Sis. Akhirnya Ratih melarikan diri.

Oh, terlupa saya nyatakan bahawa novel ini ada 3 Bahagian ! Bahagian 1 menceritakan kisah Ratih dan Mahendra sehinggalah Mahendra kemalangan. Bahagian ke-2 pula menceritakan kisah Ratih dan Sis. Pada masa yang sama, Mahendra juga kembali semula walaupun dia masih lumpuh dan mula menagih cinta Ratih. Selain itu, muncul juga Baskoro, iaitu anak kepada rakan ibu Ratih yang didakwa teman sepelacurannya. Ibu Ratih mahu menjodohkan Baskoro dengan Ratih tetapi Ratih tidak menyukai Baskoro dan tetap memilih Sis kerana dia merasakan Sis boleh membimbingnya. Dia kata, dia perlukan seorang imam.

Bahagian ke-3 pula adalah kisah Ratih setelah dia melarikan diri dari kampung halamannya. Pada bahagian ini, Ratih bertudung. Dia mengajar di sebuah sekolah ala-ala sekolah khas yang dimiliki oleh Pak Dedi. Pada ketika ini, Ratih cuba dijodohkan oleh Pak Dedi kepada anak saudaranya iaitu Muchlis. Muchlis ialah seorang lelaki duda yang mempunyai seorang anak. Muchlis suka kepada Ratih tetapi ibu-bapanya pula tidak suka. Mereka memberi alasan Ratih tidak mempunyai latar belakang keturunan yang jelas, tambahan pula Ratih tidak tahu siapa ayah kandungnya. Muchlis tetap bertegas mahu mengahwini Ratih. Ini menyebabkan ibunya marah dan mendoakan ada musibah akan menimpanya. Muchlis kemalangan dan kakinya lumpuh.

Ratih kecewa dengan semua itu. Pada masa yang sama, Mahendra terjumpa semula Ratih. Walaupun Ratih sudah menolak cintanya suatu ketika dahulu, namun Mahendra masih mencintai Ratih. Dia mula menghasut Ratih agar membuka tudungnya dan mengikutinya menganuti agama Kristian. Tidak ada ibu-bapa lelaki Muslim yang mahu menerimanya kerana latar belakang keturunannya sedemikian, begitu kata Mahendra. Ratih sedikit tergugat. Namun akhirnya, dia yakin akan pegangannya. Dia yakin akan ada seorang lelaki soleh untuknya. Dia akan menunggu sampai mati. Kalau bukan di dunia dia bertemu, insyaAllah di akhirat!

Siapakah lelaki yang akan mengahwini Ratih? Masih adakah lelaki soleh untuknya? Saya meninggalkan persoalan ini untuk anda jawab! :)Tetapi, buat pendapat peribadi saya, j
ikalau saya ialah penulis Ingin Aku Menggapai Mu, saya tidak akan menulis pengakhiran cerita Ratih akan berkahwin dengan......!

Saya begitu emosional membaca Ingin Aku Menggapai Mu. Saya marah kepada semua watak-watak yang membenci Ratih. Saya tidak boleh menerima alasan yang diberikan itu. Bagi saya, kalau ya pun ibu ratih ialah seorang pelacur, dan Ratih lahir daripada persetubuhan haram, Ratih tetap tidak bersalah.

Saya juga berasa sedikit pelik lelaki soleh seperti Sis boleh dengan selambanya atas nama cinta membiarkan Ratih membonceng Vespa yang ditungganginya. Di sisi lain, kenyataan Sis (dipetik pada buku ini) kepada Ren ini juga membuat saya semakin pelik , "..Motosikalku selesa dan kamu juga pasti selesa. Vespa tidak akan membuat kita duduk rapat-rapat,kan?". Saya berfikir lagi, "Ya, kah?". Mungkin vespa di Indonesia berbeza rekabentuknya seperti yang ada di Malaysia, saya agak!

Wallahu alam

4 comments:

Yudhi Herwibowo said...

terima kasih komentarnya...

saya senang buku saya ada di malaysia.

yudhi herwibowo

welma laa'anda said...

Tuan Yudhi,

Terima kasih kerana sudi ke sini. Semoga terus berkarya untuk memandaikan umat.

Hasnah said...

Salam Welma

Saya suka membaca ulasan saudari. Boleh saya link ke blog saya? Ingin salin sedikit ulasan dari ruangan ini.

welma la'anda said...

ya Hasnah, Silakan :)