Welma La'anda (welmalaanda@gmail.com)
Syoknya Berpuasa
Penulis : Rajendra Kartawira
Halaman : 188 Penerbit : PTS Milennia
Saya ingat lagi, saya membaca buku ini di bulan Ramadhan pada tahun lepas, itupun kerana saya diberi amanah untuk menyampaikan sebuah tazkirah di tempat kerja. Saya tercari-cari isi tazkirah yang mahu disampaikan dan akhirnya saya pilih buku ini untuk dikongsi bersama. Ramadhan pada tahun ini saya baca semula ! Entri pada kali ini konon-kononnya merupakan resensi khas sempena menyambut Ramadhan.Apa pandangan pertama anda terhadap buku ini jikalau hanya menatap kulit muka hadapannya sahaja? Ya, kulit muka hadapannya cantik dan anda mungkin fikir isi kandungan buku ini pasti membicarakan tentang erti puasa, hukum puasa dan lain-lain seperti yang biasa dibaca pada buku-buku lain.
Namun siapa sangka, Syoknya Berpuasa adalah sebuah buku yang bercakap tentang puasa dari sudut sains. Kenapa kita perlu berniat ketika berpuasa, kenapa umat Islam berpuasa di bulan Ramadhan, kenapa tidak bulan Zulhijjah atau Rejab dan banyak lagi persoalan lain dijawab oleh buku ini.
Penulis pula mengolah cara penulisan buku ini ala-ala diskusi bersama keluarga. Pertanyaaan-pertanyaan tentang puasa di dalam Syoknya Berpuasa adalah soalan-soalan yang diajukan oleh anak-anaknya dan dijawab oleh penulis dan isterinya. Saya tidak tahu ini kisah sebenar atau penulis saja-saja mahu membuat kelainan dalam menyampaikan fakta yang berbentuk naratif ke bentuk kreatif.
Ada 16 bab kesemuanya yang terkandung di dalam buku ini dan setiap bab itu bermula persoalan Mengapa? Pada resensi ini, saya hanya berkongsi untuk 5 bab sahaja. Bab yang selebihnya, saya tinggalkan untuk memberi peluang kepada anda membaca sendiri. Sebenarnya, saya tidak mampu untuk bercerita kesemua bab-bab itu *_* Berikut ialah perkongsiannya di mana sumber utama maklumat diperolehi daripada buku ini.
Pada hakikatnya, amalan berpuasa bukan sahaja dilakukan oleh umat Islam tetapi penganut agama lain turut berpuasa seperti penganut agama Hindu dan Kristian. Bukan itu sahaja, malah haiwan juga diciptakan dengan kemampuan untuk berpuasa.
Menurut penulis, perubahan cuaca dan iklim sedunia seperti musim sejuk dan musim panas yang panjang akan menyebabkan gangguan bekalan makanan berlaku. Namun begitu, haiwan tidak terjejas dengan situasi sedemikian. Pada musim sejuk yang panjang, mereka akan berpuasa dan berhibernisasi ataupun melakukan tidur yang panjang. Begitu juga pada musim panas yang panjang, haiwan yang terlibat akan tidur pada satu tempoh yang lama yang dikenali sebagai aestivasi.
Selain daripada faktor kekurangan bekalan makanan, haiwan juga berpuasa atas faktor-faktor lain seperti ikan salmon, penguin, dan singa laut berpuasa berbulan-bulan pada musim mengawan, labi-labi dan anak ayam berpuasa selepas kelahiran, ular berpuasa kerana kekenyangan, anjing berpuasa beberapa minggu semasa marah, dan kuda, kucing, anjing serta lembu berpuasa semasa diserang penyakit sehingga sembuh.
Nah, ini contoh-contoh makhluk Allah yang lain juga turut berpuasa dan aktiviti berpuasa bukanlah amalan yang pelik untuk dilaksanakan tetapi ia seakan-akan sudah menjadi fitrah. Buat manusia pula, penjelasan mengapa Allah mewajibkan kita berpuasa dijelaskan melalui proses autolisis di dalam badan kita ataupun self digest. Berikut adalah penerangan seperti yang dihuraikan oleh penulis melalui bukunya ini. Saya cuba simpulkan.

Perintah makan dan berhenti makan dikawal oleh hipotalamus pusat lapar dan pusat kenyang yang terdapat di dalam sistem limbik bahagian otak. Apabila kandungan glikogen di dalam darah menjadi rendah, hipotalamus pusat lapar akan memerintahkan tubuh untuk makan dan apabila paras glikogen sudah menjadi tinggi, hipotalamus pusat kenyang akan memerintahkan tubuh untuk berhenti makan. Tetapi apa akan terjadi apabila kita berpuasa?
Ini berbeza apabila kita berpuasa kerana pada ketika ini program autolisis akan diaktifkan sebaik sahaja kandungan glikogen menjadi rendah. Program autolisis akan menyebabkan seluruh bahagian tubuh memberi maklumat kepada bahagian tubuh yang mempunyai lemak. Nanti, program ini akan mencari lemak-lemak itu dan mengubahnya menjadi nutrien dan sumber tenaga yang akan diedarkan melalui darah. Hasilnya, kandungan glikogen darah menjadi tinggi dan hipotalamus pusat lapar tidak lagi memerintahkan kita untuk makan.
Pada lemak-lemak kita sebelum diproses tadi, turut mengandungi toksin. Setelah lemak-lemak itu diubah menjadi nutrien dan tenaga, toksin yang ikut bertimbun bersamanya turut diubah menjadi nutrien dan tenaga. Tetapi bukan semua. Sebahagian toksin yang tidak dapat diubah menjadi nutrien dan tenaga akan diedarkan melalui pembuluh darah dan akan melalui hati untuk disaring ataupun proses detosifikasi. Ia akan dikeluarkan dari badan menerusi pernafasan dan perkumuhan.
Apa akan terjadi jikalau seseorang itu tidak mempunyai lemak ? Untuk kes seperti ini, menurut penulis, program autolisis akan mencari sumber lain yang masuk ke dalam tubuh kita. Unsur yang dapat diurai akan ditukar dalam bentuk tenaga manakala yang tidak boleh diurai akan dibuang menerusi perkumuhan dan pernafasan.
Jadi jelas ditunjukkan kepada kita, apabila berpuasa, toksin-toksin di dalam badan yang tidak diperlukan akan dibuang keluar dari tubuh kita dan ini menjadikan kita sihat. Toksin-toksin yang terkumpul di dalam badan akan menyebabkan jerawat dan yang paling teruk kanser.
Persoalannya, bagaimanakah tubuh mengetahui kita berpuasa? Jawapan : Oleh kerana itu, anda patut baca bab Mengapa Puasa Bermula dengan Niat?
Dalam bab Mengapa Puasa Bermula dengan Niat?, penulis membawa kita terlebih dahulu memahami sistem saraf tubuh badan kita.
Sistem saraf di dalam tubuh kita terbahagi kepada 2 bahagian utama iaitu sistem saraf pusat dan sistem saraf autonomik. Sistem saraf pusat adalah sistem yang aktif dalam keadaan kita sedar dan contoh sistem saraf ialah otak. Penulis membuat analogi sebegini : Kita sedang mengulangkaji pelajaran. Tiba-tiba datang seorang kawan mengajak bermain bola. Kita menimbangkan permintaan itu dan akhirnya terpaksa menolak kerana mahu mengulangkaji pelajaran. Manakala sistem saraf autonomik ialah sistem saraf yang aktif secara automatik tanpa memerlukan kita untuk menggerakkannya, seperti sistem peredaran jantung, sistem pencernaan makanan dan sistem pernafasan. Maksudnya kita tidak perlu, "eh jantung, tolong berdegup, eh pankreas, limpa, hati, tolong bersiap sedia, aku mahu makan sekarang ni", tetapi sistem-sistem itu bekerja secara auto tanpa perlu kita berfikir-fikir untuk membuat sistem itu bekerja.
Tetapi, perlu kita tahu bahawa walaupun sistem saraf autonomik itu bekerja secara auto , ia juga boleh dikawal dan dipengaruhi oleh sistem saraf pusat. Satu analogi lagi yang saya ubahsuai sedikit menerusi buku Syoknya Berpuasa : Anda sedang memandu pada pukul 12.30 malam melalui kawasan kelapa sawit menuju balik ke rumah. Tiba-tiba anda ternampak sesuatu dan anda tidak pasti apakah itu tetapi fikiran anda mahu-mahu saja berfikir yang itu adalah hantu. Oleh kerana anda berfikir yang bukan-bukan pada ketika itu, takut dan cemas, maka otak berjaya mengawal sistem saraf autonomik. Otak memerintahkan jantung untuk berdegup kencang, peparu seperti sukar bernafas dan kaki menekan pedal kereta sekuat-kuatnya.
Begitu juga analogi yang sama untuk makan. Sebentar tadi pada Bab 1, kita sudah mengetahui bahawa apabila kandungan glikogen dalam darah rendah, hipotalamus pusat lapar akan memerintahkan tubuh untuk makan. Pada ketika ini, dalam masa yang sama, selain daripada menggerakkan tangan untuk mencari makanan, sebenarnya isyarat yang sama diberi untuk mengaktifkan sistem pencernaan:- mulut diarah mengeluarkan air liur, limpa mengeluarkan asid, hati dan pankreas mengeluarkan enzim dan usus menyerap protein. Anda nampak bukan bagaimana sistem saraf pusat (otak) mengawal sistem saraf autonomik (sistem pencernaan)!
Satu perkara lagi anda perlu tahu, iaitu otak kita ada menyimpan memori. Contohnya memori makanan yang disukai, memori makanan yang kotor serta menjijikkan dan sebagainya lagi. Jadi walaupun pada ketika itu anda tersangat lapar tetapi makanan yang ada di hadapan itu mengandungi sesuatu yang menjijikkan, anda tidak akan menjamah makanan itu.
Balik semula kepada perbincangan awal kita tadi iaitu niat sebelum berpuasa. Memetik info pada buku ini, apabila kita berniat, kita sebenarnya telah melakukan satu penyimpanan memori iaitu tidak akan makan, minum atau apa-apa sahaja yang boleh membatalkan puasa bermula terbit fajar hingga terbenam matahari. Jadi apabila kandungan glikogen di dalam darah kita menurun dan hipotalamus pusat lapar memerintahkan kita untuk makan atau dalam perkataan lain kita sedang lapar tetapi pada masa itu kita sedang berpuasa, otak akan mengarahkan kita agar tidak makan kerana memori di dalam otak kita tadi "sedang berpuasa", dan seterusnya akan mengaktifkan program autolisis.
Apabila kita tidak berniat untuk puasa, ketika paras glikogen kita menurrun dan hipotalamus pusat lapar memerintahkan tubuh untuk makan, otak tidak ada memori kita sedang berpuasa dan seterusnya memberi arahan kepada limpa mengeluarkan asid, hati dan pankreas mengeluarkan enzim. Apabila sistem pencernaan kita sudah diaktifkan, maksudnya program autolisis tidak dapat diaktifkan. Malah bukan itu sahaja, oleh kerana limpa, hati dan pankreas sudah bersiap sedia menerima makanan tetapi kita masih tidak makan lagi, maka kita akan sakit perut atau nama lain untuk itu ialah gastrik.
Penulis juga memberi penjelasan mengapa kita berpuasa pada bulan Ramadhan. Di sini, penulis membawa kita memahami konsep pergerakan matahari mengelilingi bumi dan bumi mengelilingi bulan. Disimpulkan oleh beliau, kalendar tahun hijrah sentiasa bergerak ke hadapan mendahului kalendar masihi kira-kira 11 hari dan kita akan bertemu semula bulan hijrah yang bertepatan dengan bulan masihi dalam tempoh kira-kira 33 tahun.
Contohnya begini, pada tahun ini bulan Ramadhan jatuh pada bulan September dan kita akan bertemu semula bulan Ramadhan yang jatuh pada bulan September dalam tempoh kira-kira 33 tahun lagi. Hasilnya, bulan Ramadhan akan melalui kesemua musim:- musim panas, musim dingin, musim bunga dan musim luruh. Ini fakta pertama yang berjaya saya faham.Allah itu Maha Adil.Jadi tidaklah seseorang itu hanya merasa bulan Ramadhan dalam musim panas sahaja!
Penulis juga mengajak kita memahami konsep radiasi matahari dan kaitannya dengan gerakan otak. Kesan radiasi ini akan mempengaruhi getaran membran otak. Getaran yang lebih tinggi akan menjadikan sel-sel otak lebih bersedia untuk saling berkomunikasi dan hasilnya otak lebih berfikir jikalau mahu dibandingkan dengan hari tanpa radiasi. Menjawab kepada persoalan, mengapa kita berpuasa pada bulan Ramadhan, salah satu hikmahnya ialah kerana wujudnya aktiviti radiasi matahari pada bulan itu yang tidak terjadi pada bulan-bulan lain dan kesan radiasi ini baik untuk mencerdaskan pemikiran kita. Ditulis juga di sini, sinar elektromagnet bulan penuh saiz gelombang elektomagnet adalah sebesar kurang daripada 1 MeV particle s(-1) ster(-2) cm(-2). Manakala saiz gelombang elektromagnet radiasi matahari yang berlaku pada malam bulan Ramadhan pula ialah sebesar mendekati 1000 MeV particle s(-1) ster(-1) cm(-2). Mungkinkah ini maksudnya malam yang lebih baik daripada seribu bulan?
Wah, ada banyak lagi persoalan yang diceritakan oleh penulis yang tidak sempat saya kongsikan! Mungkin ada baiknya anda memiliki buku ini. Setiap apa yang Allah ciptakan dan takdirkan untuk kita terselindung pelbagai hikmah. Fakta-fakta yang disajikan melalui buku ini hanya sedikit menjelaskan tentang kekuasaanNya. Bila lagi agaknya kita mahu melihat semua itu dengan pandangan mata hati?
Wallahu alam
Sumber Gambar :
Syoknya Berpuasa - http://www.pts.com.my/index.php/buku/syoknya_berpuasa/








6 comments:
selamat berpuasa :-)
Selamat berpuasa dan jemput ya ke blog resensi kami di kelapangan nanti ... dari team mandala resensi
salam ukhwah fillah wa salam ramadhan alMubarak..blog yg bermanfaat buat saya...syukran
En Bahar,
Selamat Berpuasa juga :-)
fssf,
fssf = serunai faqir ???
Selamat Berpuasa juga. Memang selalu ke ketikamembaca.blogspot.com
hibab,
salam ukhwah fillah dan salam Ramadhan juga.
hehehe fssf = sf :)
Terima kasih
oo kalau begitu tahulah saya pengunjung blog saya ini penulis Dewangga Sakti rupanya! Nanti InsyaAllah saya baca buku itu.
Post a Comment