Sunday, September 21, 2008

Galaksi Muhsinin - Azrul Jaini

Oleh :
Welma La'anda (welmalaanda@gmail.com)

Tajuk :
Galaksi Muhsinin
Penulis : Azrul Jani
Halaman : 313 Penerbit : PTS Fortuna

Saya rasa tercas setelah habis membacanya! Mungkin itulah perkataan yang sesuai sebagai gambaran perasaan saya untuk novel sci fi Galaksi Muhsinin.

Suatu ketika dahulu, ketika saya membaca 1511 [Kombat], Ayat-Ayat Cinta dan Hafalan Shalat Delisa, saya juga merasakan perasaan seperti ini, tercas. Hari ini, saya merasakan semula perasaan itu!

Pada mulanya, saya khuatir juga, Galaksi Muhsinin akan ada bayangan 1511 [Kombat] karya Faisal Tehrani. Namun begitu setelah habis membacanya, saya berasa lega kerana jangkaan saya tidak betul. Berbaloi saya tunggu novel ini dari bulan Julai 2008 dan hanya berada di pasaran pada bulan September 2008.

Galaksi Muhsinin dan 1511 [Kombat] mungkin berkongsi tema yang sama iaitu perjuangan Islam dan menggunakan watak-watak orang muda, tetapi dari segi plot cerita, latar belakang dan gaya penyampaian berbeza total. Novel ini ada identitinya tersendiri dan tidak perlu dibayangi oleh 1511 [Kombat], walaupun kekadang saya rasa, akan ada pembaca yang akan cubacuba menyamakan Galaksi Muhsinin dengan 1511 [Kombat].

Galaksi Muhsinin adalah salah satu galaksi yang wujud di alam angkasa,jauh daripada galaksi bima sakti , dihuni oleh penduduk bertakwa, undang-undang Islam tertegak, kemajuan ekonomi, sains dan teknologi tercapai dan rakyat hidup aman damai. Pergerakan manusia bukan lagi dari daerah ke daerah, negara ke negara tetapi dari planet ke planet.

Plot cerita dimulakan dengan pengenalan Khalifah Zulqarnain, seorang pemuda yang memimpin Galaksi Muhsinin. Serangan ke atas planet Ferum ( Planet Hadid Hd-57) telah membawa kepada campur tangan Galaksi Muhsinin untuk membebaskan planet itu daripada kekejaman Empayar Sibernatik Cyborg yang diketuai oleh Maharaja Legion. Legion dan pengikutnya adalah cyborg. Mereka merupakan entiti kombinasi manusia dan mesin. Empayar sudah memerintah hampir 100 tahun dan menguasai 8 galaksi.

Planet Ferum, tempat tinggal koloni Athens sasaran mereka seterusnya. Mereka menyerang bandar-bandar utama, Hierapolis, Knossos dan Blomberg. Namun tiada manusia dijumpai melainkan hanya kemenangan memusnahkan tempat-tempat itu.

Proba spioniereen dilancarkan untuk mencari koloni Athens. Ia mengesan medan tenaga yang dijangka berasal daripada janakuasa di Puncak 363, timur bandar Blomberg planet Ferum.Mereka mengesyaki itulah tempat persembunyian koloni. Jeneral Furious mengarahkan Skuadron Geir, Auge dan pemintas Vormund dihantar untuk membedil kedudukan musuh.

Leftenan Kolonel Sturm, pemimpin sementara koloni Athens merangkap komander tentera koloni iaitu Rejimen Infrantri Phalanx ke-2 dan Batalion Tentera Rakyat Volkssturm ke-7 bimbang. Planet itu akan hancur. Mereka akan ditawan, diperintah oleh cyborg yang zalim. Dia dan koloninya tidak berseorangan di situ. Batalion Mujahidin Jurutera ke-451 ada di sana untuk pembinaan stesen Generetor Impuls Hiper yang masih belum siap lagi. Medan tenaga yang dikesan tadi adalah berpunca dari janakuasa ini.

Mereka menghantar isyarat kecemasan kepada Pusat Radar Kosmik Furqan Fr-25. Mereka mahu bantuan segera!Planet Furqan Fr-25 adalah stesen komunikasi Galaksi Muhsinin. Ia tidak didiami sesiapa melainkan hanya pegawai , krew pusat radar dan batalion mujahdiin.

Khalifah Zulkarnain menghantar Detasmen Mujahidin Elit ke-15 seramai 14 orang yang diketuai oleh Komander Abu Yusuf. Mereka ini orang muda yang menyintai syahid. Mereka ini orang muda yang berjuang untuk memburu syurga. Dan jangan sekali-kali kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; sebenarnya mereka itu hidup di sisi Tuhannya mendapat rezeki, mereka bergembira dengan kurnia yang diberikan Allah kepadanya , dan bergirang hati terhadap orang yang masih tinggal di belakang yang belum menyusul mereka, bahawa tidak ada rasa takut pada mereka dan mereka tidak bersedih hati (Ali-Imran 169-170).

Sudah-sudahlah tu Welma. Nanti, habis satu novel Galaksi Muhsinin dicerita. Mujurlah tidak cukup masa. Saya nak "publish" cepat-cepat resensi ini. Kalau tidak, saya mahu sambung lagi, kisah Liga Lanun, Federasi Generasi Zenzaburo dan orang bumi Zion termasuk Maharaja Legion. Keempat-empat mereka ada misi tersendiri tetapi mempunyai cita-cita yang sama iaitu mahu menghancurkan Galaksi Muhsinin. Lagipun, memang saya tidak berniat mahu cerita secara terperinci, seperti biasa, saya syorkan anda membelinya sendiri.

Saya suka gagasan pemikiran penulis yang cuba disampaikan melalui Galaksi Muhsinin. Saya katakan ia sebagai "gagasan perjuangan Islam" dan Galaksi Muhsinin adalah sebuah novel perjuangan Islam. Satu perjuangan bermisi rahmatan lil alamin yang datang bukan untuk memusnahkan tetapi membawa kesejahteraan untuk umat dunia.

Gagasan pemikiran ini menekankan bahawa umat Islam tetap akan cemerlang selagi mana mereka berpegang kepada ajaran Quran dan sunnah Rasulullah. Hidup ini adalah untuk membina amal kebajikan dan harus kreatif memanfaatkan di sekelilingnya untuk misi sebagai insan soleh. Dunia ini hanya tempat sementara, tempat untuk kita bercucuk tanam amal kebajikan dan ini semua bukan alasan untuk kita melupakan akhirat.

Islam datang sebagai pelengkap kehidupan untuk mengatur kehidupan manusia dan kita sebagai manusia harus melengkapkan diri kita dengan Islam. Misi rahmatan lil alamin ini bukan untuk golongan tertentu sahaja tetapi untuk semua, ya, kemakmuran dan kesejahteraan itu untuk semua, tidak mengira bangsa, agama, jantina atau rupa paras. Kewajipan itu terlalu banyak berbanding dengan masa yang ada. Jadi gunakanlah setiap masa yang ada, setiap umur yang ada, setiap nafas yang ada untuk diinfakkan kepada perjuangan yang panjang ini, perjuangan yang bermisi rahmatan lil alamin.

Pada satu-satu ketika, kekadang saya merasakan membaca Galaksi Muhsinin seolah-olah membaca sejarah Islam dan kisah-kisah para sahabat dan kisah-kisah ini cuba dibawa semula dalam konteks dunia baru Galaksi Muhsinin, dunia yang penuh dengan kecanggihan teknologi.

Juga pada satu-satu ketika, saya merasakan pada halaman 68-69 mengandungi terlalu banyak dialog sehingga melenyapkan situasi saspen di mana situasi pada masa itu memerlukan tindakan yang "urgent" atau "jangan banyak cakaplah, sekarang kamu berada dalam keadaan genting, nanti sembang balik". Saya berpendapat, mungkin ada baiknya jika mesej itu tidak diterjemahkan secara dialog. Lagi satu, watak Khalifah Zulkarnain yang saya kurang nampak keperwiraannya. Memang saya akui, wataknya yang paling banyak dari segi menyampaikan nasihat-nasihat, tetapi dari segi pertempuran, entah, saya tidak dapat mengatakan kekagumaan untuk watak itu berbanding dengan Komander Abu Yusuf.

Ya, mungkin satu lagi, sebelum saya terlupa, Galaksi Muhsinin, novel yang ada humor, terutama untuk watak Maharaja Legion. Dia digambarkan sebagai cyborg yang ganas dan tidak berperikemanusiaan tetapi dalam satu-satu keadaan yang genting dan pembaca tengah khusyuk membaca , kekadang dia mengeluarkan "lawak selambanya". Contohnya, "ayam itu apa", "ayam itu dari spesies manok". Nasihat saya, belajarlah bahasa Sarawak untuk pembaca belajar ketawa apabila membaca kenyataan "ayam itu dari spesies manok".

Wallahu alam

Nota : Saya menanti sekuel kedua Galaksi Muhsinin - Galaksi Muhsinin:Projek Zenzaburo

Ralat :
15 - Zulqanain, 17- kerana (2X), 50 -bago, 63 - vagi, 103 - lua, 179 - mujahddin

Sumber Gambar :
Galaksi Muhsinin - http://www.pts.com.my/index.php/buku/galaksi_muhsinin/

Monday, September 08, 2008

(Akhir) Terapi Solat Tahajud - Mohammad Salleh

Oleh:
Welma La'anda (welmalaanda@gmail.com)


Tajuk :
Terapi Solat Tahajud
Penulis : Mohammad Salleh
Halaman : 234 Penerbit : PTS Milennia

Ini hari ke-7 saya membelek, membaca, dan cuba memahami buku ini, Terapi Solat Tahajud karangan Mohammad Salleh. Semalam saya sudah selesai membacanya. Namun, habis baca itu bukan sama makna dengan faham dan hadam 100%. Tetapi itu tidak menjadi masalah rasanya. Kalau tidak faham 100%, biar faham 50% dulu , 30%, 10%, atau kalau masih tidak sampai ke tahap itu lagi, sekurang-kurangnya saya berjaya menghadam semangat penulis, berkarya untuk ummah!

Kata penulis, buku ini memiliki satu semangat. Semangat yang mahu menajamkan kesedaran makna beragama dengan pembuktian sains.

Ini buku tesis. Ini buku ilmiah yang diberi nafas baru dan dipersembahkan untuk pembaca awam. Format penulisan tesis dibentangkan dengan kemas untuk diceritakan kepada pembaca tentang kajian ini. Ada bahagian pendahuluan, metodologi, penemuan dan perbincangan serta kesimpulan.

Objektif utama kajian ini yang penulis mahu buktikan ada 2. Pertama, penulis mahu membuktikan penurunan hormon kortisol dengan melaksanakan solat tahajud. Kedua, penulis juga mahu membuktikan dengan menunaikan solat tahajud, akan membantu meningkatkan sistem pertahanan badan manusia.

Kajian dilakukan di SMU Luqman Hakim, Pondok Pesantren Hidayatullah Surabaya yang melibatkan 41 pelajar baru sesi 1999/2000. Pelajar yang terpilih berdasarkan 2 kriteria iaitu kriteria terangkum dan kriteria eksklusif.

Kriteria terangkum ialah lelaki, berumur 16-20 tahun, sihat jasmani dan rohani, tidak pernah melakukan solat tahajud dan bersedia menjadi sampel dengan menandatangani surat perjanjian manakala kriteria eksklusif pula ialah diketahui mengikuti atau menjalankan meditasi transendental seperti yoga, diketahui menjalankan wirid yang lazim dilakukan oleh pengamal tarekat, diketahui gagal menjalankan solat tahajud secara berterusan dan diketahui meminum ubat yang bersifat imunosupresif.

Hemoglobin, eritrosit, leukosit, hematokrit, BUN, kreatinin, SGOT dan SGPT diperiksa dan dipastikan melalui ujian darah yang dilakukan ke atas responden sebelum kajian bermula. Ini untuk mengetahui tahap kesihatan awal responden.

Mereka dikehendaki melaksanakan solat tahajud sebanyak 13 rakaat (2 rakaat solat iftitah, 8 rakaat solat tahajud dan 3 rakaat solat witir) , berwirid (Subhannallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar, Astarghfirullah, Allahummasalli ala Muhammad Wa ala ali Muhammad, La ila ha Illah sebanyak 200 kali) dan waktu mengerjakan solat tahajud ialah sekitar 2-3.30 pagi.

Daripada 41 orang responden, cuma tinggal 23 orang sahaja yang bertahan mengerjakan solat tahajud secara rutin selama 4 minggu berturut-turut. 8 minggu kemudiannya, cuma tinggal 19 orang sahaja yang mampu bertahan.

Dalam kajian ini, atas faktor-faktor kekurangan dana, penulis menyatakan dia cuma mampu menggunakan 9 pembolehubah sahaja sebagai tolok ukur kepada ujian ini untuk mencapai 2 objektif kajian tadi iaitu kortisol, IgM, IgG, IgA, jumlah limfosit, basofil, eosinofil, neutrofil dan monosit. 9 pembolehubah inilah nanti yang diperolehi daripada ujian darah responden yang diambil melalui vena periferal akan diuji di makmal untuk mengesan perubahan pada kortisol dan sistem ketahanan badan mereka.

Hormon kortisol digunakan sebagai tolok ukur untuk menguji stres manakala untuk menguji sistem pertahanan badan, komponen seperti neutrofil, basofil, eosinofil, monosit, total limfosit, igG, IgM, IgA pula digunakan.

Hasil kajian ini menunjukkan bahawa hormon kortisol menurun apabila solat tahajud dilaksanakan dengan niat ikhlas tetapi apabila ia tidak dilaksanakan secara ikhlas, ini akan menyebabkan pengamalnya stres dan meningkatkan hormon kortisol. Apabila stres juga, sistem pertahanan tubuhnya akan menjadi lemah.

Prosesnya lebih kurang begini :-
  1. Setelah emosi positif diterima oleh otak, ia akan diformat dan dihantar ke talamus.
  2. Talamus nanti akan merangsang hipokampus dan amigdala untuk merembeskan GABA. GABA ini tugasnya sebagai pengawal gerak balas emosi dan pengendali HPAA. Talamus juga akan merembeskan dopamin untuk merangsang prafrontal kiri-kanan.
  3. Kemudian, selepas ada timbal balik antara talamus-hipokampus-amigdala-prafrontal kiri dan kanan, talamus akan bersentuh dengan hipotalamus yang akan menyebabkan sekresi CRF.
  4. CRF akan menyebabkan tindakbalas HPAA.
  5. HPAA pula akan menyebabkan tindakbalas ACTH yang akhirnya turut merangsang sekresi kortisol oleh korteks adrenal.
  6. Dengan emosi positif tadi, sistem limbik-CRF-HPAA-ACTH akan mampu mengendalikan sekresi kortisol yang berlebihan dan akhirnya akan menyebabkan terhindar daripada stres serta meningkatkan sistem perrtahanan badan.
  7. Tetapi apabila, emosi negatif diterima (seperti dipaksa, berpura-pura), sekresi kortisol yang terhasil akan meningkat. Ia akan menyekat penghasilan imunoglobulin melalui penekanan ke atas proliferasi limfosit yang seterusnya menyebabkan sistem pertahanan menjadi lemah.
Nota :Peningkatan kortisol akan menyebabkan penurunan imfosit, eosinofil, neutrofil, monosit dan IgA atau sama makna dengan penurunan sistem pertahanan badan.

Proses (1)-(7) yang saya senaraikan itu adalah hasil daripada beberapa "proses tambah tolak" kepada beberapa kaedah penerangan proses anatomi yang diterangkan penulis dalam buku ini. Saya mengadunnya dan meringkaskannya mengikut pemahaman saya yang cetek ini sehinggalah tinggal seperti yang tersenarai. Jikalau anda memiliki buku ini, mungkin anda ada pemahaman yang lain malah lebih baik selain daripada yang saya senaraikan itu.

Ada 3 penemuan baru melalui kajian ini kata penulis. Pertama, tahap keikhlasan seseorang boleh dibuktikan secara ilmiah dengan menggunakan tolok ukur hormon kortisol di dalam badan seseorang. Kedua, sistem pertahanan tubuh badan bukan sahaja boleh dipulihkan dengan penggunaan teknologi kimia, tetapi juga melalui pendekatan ibadah solat tahajud dan ketiga, kebenaran agama Islam boleh dibuktikan secara ilmiah iaitu melalui kajian saintifik.

Solat tahajud menjadi tidak bemakna tanpa niat yang ikhlas. Bukan solat tahajud sahaja, tetapi apa-apa sahaja yang kita lakukan, menjadi tidak bermakna tanpa niat yang ikhlas. Buku ini bukan sahaja berjaya menunjukkan kepada kita solat tahajud adalah terapi tubuh dan jiwa kita, tetapi juga memberitahu kita, mengajar kita betapa Allah menjadikan setiap perkara, dari sekecil-kecil hingga sebesar-besarnya, sentiasa ada hikmah. Tiada satu pun sia-sia. Bila lagi agaknya kita mahu melihat semua itu dengan pandangan mata hati?

Wallahu alam

Sumber Gambar :
Terapi Solat Tahajud - http://www.pts.com.my/index.php/buku/terapi_solat_tahajud/

Friday, September 05, 2008

(1) Terapi Solat Tahajud - Mohammad Salleh

Oleh:
Welma La'anda (welmalaanda@gmail.com)

Tajuk :
Terapi Solat Tahajud
Penulis : Mohammad Salleh
Halaman : 234 Penerbit : PTS Milennia

Pada mulanya saya bercadang untuk tidak ada 2 bahagian pada resensi kali ini. Tetapi setelah membaca hampir keseluruhan Terapi Solat Tahajud, saya merasakan perlunya saya membahagikannya kepada 2 bahagian.

Resensi Bahagian 1 lebih bercakap-cakap tentang pengenalan kepada terma-terma utama dalam buku ini, di mana penulis terlebih dahulu menerangkan kepada pembaca tentang anatomi sistem pertahanan tubuh manusia, definisi Islam dan bagaimana solat tahajud bermula.

Resensi Bahagian 2 pula memperkatakan tentang inti utama buku ini iaitu bagaimana kesan solat tahajud boleh berfungsi sebagai terapi.

Jikalau pembaca melihat Isi Kandungan Terapi Solat Tahajud, anda akan dapat memerhatikan penulis membahagikan buku ini kepada 3 bahagian isi utama.

Petua membaca buku ala-ala Terapi Solat Tahajud yang biasa saya amalkan ialah, jangan lupa membaca bahagian Isi Kandungan, Penghargaan dan Prakata sesebuah buku kerana di dalamnya mengandungi isi-isi penting apa yang penulis mahu sampaikan. Kekadang, membaca buku-buku seperti ini akan wujud banyak penghalang dan antara penghalang utamanya ialah tidak faham. Apabila kita tdak faham, mulalah kita akan membaca separuh jalan.Tetapi, apabila kita membaca bahagian isi kandungan, prakata dan penghargaan penulis, sekurang-kurangnya kita boleh agak dan dapat gambaran awal apa yang penulis mahu tuliskan pada karyanya walaupun masih agak kabur-kabur lagi sebenarnya!

Terapi Solat Tahajud merupakan tulisan disertasi (tesis) penulis yang akhirnya diolah dan diterbitkan untuk tatapan umum. Walaupun sedemikian, penerangan secara ilmiah masih lagi tidak dapat dibuang. Buku yang saya miliki ini merupakan teks terjemahan yang diterbitkan oleh PTS Milennia, satu lagi karya yang memperkatakan kaitan ibadah dan sains..

"Solat tahajud dapat menghapus dosa, mendatangkan ketenangan dan menghindarkan daripada penyakit"-HR Tirmizi. Penulis beranggapan wujudnya peluang kajian untuk mengaitkan ibadah solat tahajud dengan bukti saintifik melalui hadis itu. Solat tahajud dikaitkan sebagai ibadah yang boleh memberi ketenangan, meningkatkan sistem pertahanan badan kita serta mengurangkan stres yang akhirnya juga boleh membawa kepada kurangnya penyakit.

Tetapi, pada sisi kajian lain didapati sebenarnya ada 2 golongan pengamal solat tahajud, 1- sihat dengan melakukan solat tahajud dan 2- sakit setelah melakukan solat tahajud. Pada kes ini, penulis mula bercerita tentang wujudnya ritma sirkadian harian dimana jikalau seseorang itu bertahajud secara tidak ikhlas, maka ritma sirkadian harian akan terganggu kerana ia menerima aktiviti itu sebagai beban dan ini dapat dilihat pada peningkatan rembesan kortisol yang tinggi pada malam hari. Ibadah tahajud akan berubah menjadi satu aktiviti yang membawa stres dan ini dikesan melalui peningkatan ACTH.

Penulis juga membawa pembaca memahami gelaja stres dengan menggunakan coping mechanism di mana penggunaan coping mechanism secara positif akan mengurangkan stres dan begitulah sebaliknya. Kaedah mengendalikan stres dibahagikan kepada 2 komponen iaitu 1-berbentuk mendidik dan 2-berbentuk meditasi, muhasabah, tadabbur. Solat tahajud tergolong dalam kaedah 2 iaitu ibadah terapi yang mengandungi banyak unsur-unsur meditasi.

Kemudian akhirnya penulis bercakap tentang konsep psikoneuroimunologi untuk menjelaskan hubungan solat tahajud dengan sistem pertahanan badan. Psikoneuroimunologi ini boleh difahami sebagai satu pendekatan yang menggabungkan ilmu psikologi+neurologi+imunologi. Saya pula memahamkan ia sebagai satu kaedah memahami pola fikiran manusia yang berkait secara langsung dengan sistem pertahanan badan.

Kata penulis lagi, beliau cuma menggunakan satu jalur (saya cuba memahamkan ia sebagai kaedah) sahaja iaitu jalur ACTH-kortisol-imuniti berbanding ada 4 jalur kesemuanya dalam penyelidikannya tentang isu solat tahajud sebagai terapi sistem pertahanan badan. ACTH dan kortisol mungkin boleh saya fahamkan sebagai satu penanda aras atau pengukuran kepada ketenangan dan kesihatan seseorang.

Kesimpulannya daripada baca-baca pada ruangan pengantar buku ini, saya boleh memahami bahawa penulis mahu membuktikan dari sudut saintifik dengan menggunakan pendekatan psikoneuroimunologi bahawa dengan melakukan solat tahajud secara ikhlas, rembesan kortisol akan menjadi rendah dan meningkatkan sistem pertahanan tubuh badan manusia.

Jikalau anda tidak ada ilmu tentang istilah-istilah perubatan dan anatomi tubuh manusia, saya nasihatkan janganlah terlalu mengerah otak atau menumpu perhatian pada Bahagian 1 melainkan anda memang betul-betul seorang yang kuat semangat. Saya ingat lagi, entah bulan berapa, saya membeli Terapi Solat Tahajud, saya begitu bersemangat membacanya dan akhirnya terkulai layu pada Bahagian 1 ini dan alasan saya "tak fahamlah". Saya sakit kepala dan saya letak semula buku ini di rak buku.

Secara asasnya, Bahagian 1 adalah bahagian yang saya anggap pengenalan kepada sistem anatomi pertahanan badan manusia. Penulis bercerita tentang sistem limbik otak yang mengandungi komponen hipotalamus yang berfungsi sebagai pengawal tingkah laku, pendorong makan dan minum dan pengatur berat badan. Ada juga komponen amigdala yang berfungsi sebagai pengaruh emosi manusia. Penulis juga memperkenalkan kepada kita komponen kelenjar adrenalin yang terletak di bahagian atas kedua ginjal. Anda akan dapat perhatikan bagaimana gerak kerja ACTH yang saling bersangkut paut antara satu sama lain dalam mempengaruhi rembesan kortisol.

Peningkatan rembesan kortisol bukan sahaja disebabkan oleh pola ritma sirkadian yang terganggu tetapi juga disebabkan oleh perubahan pola tiidur dan pelbagai penyakit. Kekurangan kortisol akan menyebabkan tekanan darah menurun dan akhirnya menyebabkan kejutan dan berlebihan kortisol pula akan menyebabkan stres dan jikalau ini berterusan akan menyebabkan pelbagai emosi yang tidak stabil serta imsomnia.

Stres akan menyebabkan tubuh mengeluarkan cecair yang banyak serta pengewapan yang cepat dan akhirnya akan menyebabkan dehidrasi berlaku. Coping mechanism pula ditakrifkan sebagai satu sistem mekanisme yang digunakan apabila perubahan atau beban berlaku. Ia diperolehi daripada proses belajar dan mengingat. Saya menganggap coping mechanism ini untuk memudahkan pemahaman , sebagai satu kaedah psikologi dalam membantu seseorang menangani stres.

Pada bab seterusnya, pembicaraan tentang sistem pertahanan badan dihuraikan pula. Sistem pertahanan tubuh (immune system) adalah sistem kompleks yang melindungi tubuh badan daripada benda asing. Ia berasal daripada sel darah putih yang berkembang di dalam sumsum tulang dan kelenjar timus. Ia dibahagikan kepada 2 gerak balas iaitu gerak balas ketahanan tubuh non spesifik dan spesifik.

Gerak balas non spesifik adalah satu sistem yang melindungi tubuh badan kita daripada persekitaran/benda asing. Agen-agen yang terlibat ialah fizik, fagosit, monosit serta pelbagai lagi molekul protein dalam darah. Pada buku ini, penulis ada menceritakan tentang bagaimana fagosit bersama mol protein akan melakukan pemusnahan benda asing dan proses ini namanya fagositasis. Gerak Balas Spesifik pula merupakan komponen yang berintegrasi dalam sistem pertahanan tubuh dan bekerjasama antara satu sama lain. Di sini ada dinyatakan bahawa jika perbandingan antara limfosit T(T8)=T Sitoksik dengan limfosit T(T4)=T Helper adalah lebih daripada 1 (maksimum 2), maka seseorang itu dikatakan mempunyai sistem pertahanan tubuh yang rendah.

Fuh! Terus terang saya katakan terlalu banyak istilah, konsep dan gerak kerja tubuh yang diterangkan pada Bahagian 1 saya masih tidak faham. Justeru itu saya mahu menganggap bahagian ini sebagai bahan lampiran atau rujukan. Saya cuma mahu membacanya sekadar memahami sesetengah istilah dan gerak kerja tubuh yang asas (saya sudah hitamkan perkataannya) agar tidak terpinga-pinga pada bahagian lain buku ini apabila penulis mula menggunakan istilah itu dalam menghuraikan bagaimanakah solat tahajud mempengaruhi stres dan pertahanan tubuh badan kita.

Berbanding Bahagian 1, Bahagian 2 lebih mesra pembaca awam. Pada Resensi Bahagian 1 - Terapi Solat Tahajud, penulisannya hanya sampai pada Bab 14 Bahagian 2 sahaja kerana Bab 15 sudah mula menceritakan tentang bagaimana kesan solat tahajud boleh berfungsi sebagai terapi dan ini saya mahu tuliskan dalam Resensi Bahagian 2.

Penulis menyimpulkan segala keseluruhan makna Islam, niat , pentingnya khusyuk dalam solat dan bagaiman solat tahajud bermula dalam Bahagian 2 Terapi Solat Tahajud.

Perkataan Islam itu asalnya dari bahasa Arab - aslama, yuslimun, islaman iaitu boleh ditakrifkan sebagai melepaskan diri daripada penyakit lahir dan batin, kedamaian dan keamanan serta ketaatan dan kepatuhan. Islam ini bukan agama seperti yang difahami oleh Barat tetapi Islam ini adalah ad-deen iaitu sebuah sistem yang mencakupi seluruh kehidupan dunia dan akhirat. Al-Attas pula cenderung menggunakan istilah "penyerahan diri" berbanding "ketundukan" kerana istilah penyerahan diri itu lebih melambangkan individu yang aktif dan berinisiatif sebagai seorang hamba menyerahkan dirinya kepada Allah tanpa sebarang unsur paksaan.

Dalam Islam ada Rukun Islam dan ada Rukun Iman. Ini sistem ajaran dan kepercayaan Islam. Iman itu pula bukan sama makna dengan "faith" atau "belief". 'Belief' itu adalah cuma kepercayaan tetapi tidak ada perbuatan yang disertakan berdasarkan apa yang dipercayainya."Faith" pula tidak memberi makna ada ilmu yang mendahuluinya. Ini kata Al-Attas. Walaupun, terdapat perbezaan di kalangan ulama dalam mendefinisikan iman, tetapi secara asas bolehlah kita faham iman itu adalah pengakuan dalam lisan, hati membenarkannya dan amalan perbuatan mengekorinya.

Islam juga mengajar umatnya tentang konsep ihsan iaitu seperti merujuk kepada hadis nabi dalam Riwayat Muslim - "Ihsan itu apabila kamu menyembah, beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihatNya, maka apabila kamu tidak melihatNya, sesungguhnya Ia melihat mu".

Kematangan daripada penghayatan konsep Islam, Iman dan Ihsan adalah takwa. Takwa akan mendorong manusia ke arah akhlak yang mulia dan dengan takwa akan menjadikan manusia berkemampuan untuk hanya bergantung pada Allah semata-mata.

Lanjutan takwa adalah tawakal iaitu penyerahan diri secara menyeluruh kepada Allah. Tawakal ini ada 3 bahagian menurut Imam Al-Ghazali iaitu 1) hati sentiasa berasa tenang dan tenteram terhadap apa yang dijanjikan oleh Allah, 2) taslim-menyerahkan urusan hamba kepada Allah kerana Ia mengetahui segala sesuatu mengenai diri dan keadaannya dan 3) Taswid-rela menerima segala ketentuan Allah bagaimanapun bentuk dan keadaannya (rujuk hal 75). Akhirnya kemuncak semua ini ialah shukur. Kata Shihab, shukur ini ada 3 cara, 1)-bersyukur dengan hati, 2 ) bersyukur dengan lidah dan 3) bersyukur dengan amal perbuatan.

Kemudian penulis membawa pembaca memahami sebab musabab turunnya surah al-muzzammil yang membawa kepada pensyariatan solat tahajud. Ini bertitik mula ketika pembesar Quraisy berkumpul di Balai Pertemuan Darun Nadwah untuk merancang penentangan dakwah Rasulullah saw. Melalui ayat 1-10 Surah Al Muzzammil ada 6 perintah utama yang perlu dilakukan oleh Rasulullah saw dan kaum muslimin iaitu perintah menunaikan solat tahajud (ayat 2), membaca quran dengan tartil(ayat 4), zikir (ayat 8), tawakal (ayat 9), sabar (ayat 10) dan hijrah (ayat 10).

Jikalau kita tadabbur dalam-dalam, begitu besar mesejnya kenapa Allah turunkan surah al-muzzammil ini di kala beban dakwah Rasulullah saw yang semakin memuncak. Ini mengajar kita tentang betapa kita sangat lemah dan tiada berdaya dan hanya pada Dia kita berharap.

Wallahu alam

Sumber Gambar :
Terapi Solat Tahajud - http://www.pts.com.my/index.php/buku/terapi_solat_tahajud/

Tuesday, September 02, 2008

Syoknya Berpuasa - Rajendra Kartawira

Oleh :
Welma La'anda (welmalaanda@gmail.com)

Tajuk :
Syoknya Berpuasa
Penulis : Rajendra Kartawira
Halaman : 188 Penerbit : PTS Milennia

Saya ingat lagi, saya membaca buku ini di bulan Ramadhan pada tahun lepas, itupun kerana saya diberi amanah untuk menyampaikan sebuah tazkirah di tempat kerja. Saya tercari-cari isi tazkirah yang mahu disampaikan dan akhirnya saya pilih buku ini untuk dikongsi bersama. Ramadhan pada tahun ini saya baca semula ! Entri pada kali ini konon-kononnya merupakan resensi khas sempena menyambut Ramadhan.

Apa pandangan pertama anda terhadap buku ini jikalau hanya menatap kulit muka hadapannya sahaja? Ya, kulit muka hadapannya cantik dan anda mungkin fikir isi kandungan buku ini pasti membicarakan tentang erti puasa, hukum puasa dan lain-lain seperti yang biasa dibaca pada buku-buku lain.

Namun siapa sangka, Syoknya Berpuasa adalah sebuah buk
u yang bercakap tentang puasa dari sudut sains. Kenapa kita perlu berniat ketika berpuasa, kenapa umat Islam berpuasa di bulan Ramadhan, kenapa tidak bulan Zulhijjah atau Rejab dan banyak lagi persoalan lain dijawab oleh buku ini.

Penulis pula mengolah cara penulisan buku ini ala-ala diskusi bersama keluarga. Pertanyaaan-pertanyaan tentang puasa di dalam Syoknya Berpuasa adalah soalan-soalan yang diajukan oleh anak-anaknya dan dijawab oleh penulis dan isterinya. Saya tidak tahu ini kisah sebenar atau penulis saja-saja mahu membuat kelainan dalam menyampaikan fakta yang berbentuk naratif ke bentuk kreatif.

Ada 16 bab kesemuanya yang terkandung di dalam buku ini dan setiap bab itu bermula persoalan Mengapa? Pada resensi ini, saya hanya berkongsi untuk 5 bab sahaja. Bab yang selebihnya, saya tinggalkan untuk memberi peluang kepada anda membaca sendiri. Sebenarnya, saya tidak mampu untuk bercerita kesemua bab-bab itu *_* Berikut ialah perkongsiannya di mana sumber utama maklumat diperolehi daripada buku ini.

Pada hakikatnya, amalan berpuasa bukan sahaja dilakukan oleh umat Islam tetapi penganut agama lain turut berpuasa seperti penganut agama Hindu dan Kristian. Bukan itu sahaja, malah haiwan juga diciptakan dengan kemampuan untuk berpuasa.

Menurut penulis, perubahan cuaca dan iklim sedunia seperti musim sejuk dan musim panas yang panjang akan menyebabkan gangguan bekalan makanan berlaku. Namun begitu, haiwan tidak terjejas dengan situasi sedemikian. Pada musim sejuk yang panjang, mereka akan berpuasa dan berhibernisasi ataupun melakukan tidur yang panjang. Begitu juga pada musim panas yang panjang, haiwan yang terlibat akan tidur pada satu tempoh yang lama yang dikenali sebagai aestivasi.

Selain daripada faktor kekurangan bekalan makanan, haiwan juga berpuasa atas faktor-faktor lain seperti ikan salmon, penguin, dan singa laut berpuasa berbulan-bulan pada musim mengawan, labi-labi dan anak ayam berpuasa selepas kelahiran, ular berpuasa kerana kekenyangan, anjing berpuasa beberapa minggu semasa marah, dan kuda, kucing, anjing serta lembu berpuasa semasa diserang penyakit sehingga sembuh.

Nah, ini contoh-contoh makhluk Allah yang lain juga turut berpuasa dan aktiviti berpuasa bukanlah amalan yang pelik untuk dilaksanakan tetapi ia seakan-akan sudah menjadi fitrah. Buat manusia pula, penjelasan mengapa Allah mewajibkan kita berpuasa dijelaskan melalui proses autolisis di dalam badan kita ataupun self digest. Berikut adalah penerangan seperti yang dihuraikan oleh penulis melalui bukunya ini. Saya cuba simpulkan.


Perintah makan dan berhenti makan dikawal oleh hipotalamus pusat lapar dan pusat kenyang yang terdapat di dalam sistem limbik bahagian otak. Apabila kandungan glikogen di dalam darah menjadi rendah, hipotalamus pusat lapar akan memerintahkan tubuh untuk makan dan apabila paras glikogen sudah menjadi tinggi, hipotalamus pusat kenyang akan memerintahkan tubuh untuk berhenti makan. Tetapi apa akan terjadi apabila kita berpuasa?

Ini berbeza apabila kita berpuasa kerana pada ketika ini program autolisis akan diaktifkan sebaik sahaja kandungan glikogen menjadi rendah. Program autolisis akan menyebabkan seluruh bahagian tubuh memberi maklumat kepada bahagian tubuh yang mempunyai lemak. Nanti, program ini akan mencari lemak-lemak itu dan mengubahnya menjadi nutrien dan sumber tenaga yang akan diedarkan melalui darah. Hasilnya, kandungan glikogen darah menjadi tinggi dan hipotalamus pusat lapar tidak lagi memerintahkan kita untuk makan.

Pada lemak-lemak kita sebelum diproses tadi, turut mengandungi toksin. Setelah lemak-lemak itu diubah menjadi nutrien dan tenaga, toksin yang ikut bertimbun bersamanya turut diubah menjadi nutrien dan tenaga. Tetapi bukan semua. Sebahagian toksin yang tidak dapat diubah menjadi nutrien dan tenaga akan diedarkan melalui pembuluh darah dan akan melalui hati untuk disaring ataupun proses detosifikasi. Ia akan dikeluarkan dari badan menerusi pernafasan dan perkumuhan.

Apa akan terjadi jikalau seseorang itu tidak mempunyai lem
ak ? Untuk kes seperti ini, menurut penulis, program autolisis akan mencari sumber lain yang masuk ke dalam tubuh kita. Unsur yang dapat diurai akan ditukar dalam bentuk tenaga manakala yang tidak boleh diurai akan dibuang menerusi perkumuhan dan pernafasan.

Jadi jelas ditunjukkan kepada kita, apabila berpuasa, toksin-toksin di dalam badan yang tidak diperlukan akan dibuang keluar dari tubuh kita dan ini menjadikan kita sihat. Toksin-toksin yang terkumpul di dalam badan akan menyebabkan jerawat dan yang p
aling teruk kanser.

Persoalannya, bagaimanakah tubuh mengetahui kita berpuasa? Jawapan : Oleh kerana itu, anda patut baca bab Mengapa Puasa Bermula dengan Niat?

Dalam bab Mengapa Puasa Bermula dengan Niat?, penulis membawa kita terlebih dahulu memahami sistem saraf tubuh badan kita.

Sistem saraf di dalam tubuh kita terbahagi kepada 2 bahagian utama iaitu sistem saraf pusat dan sistem saraf autonomik. Sistem saraf pusat adalah sistem yang aktif dalam keadaan kita sedar dan contoh sistem saraf i
alah otak. Penulis membuat analogi sebegini : Kita sedang mengulangkaji pelajaran. Tiba-tiba datang seorang kawan mengajak bermain bola. Kita menimbangkan permintaan itu dan akhirnya terpaksa menolak kerana mahu mengulangkaji pelajaran. Manakala sistem saraf autonomik ialah sistem saraf yang aktif secara automatik tanpa memerlukan kita untuk menggerakkannya, seperti sistem peredaran jantung, sistem pencernaan makanan dan sistem pernafasan. Maksudnya kita tidak perlu, "eh jantung, tolong berdegup, eh pankreas, limpa, hati, tolong bersiap sedia, aku mahu makan sekarang ni", tetapi sistem-sistem itu bekerja secara auto tanpa perlu kita berfikir-fikir untuk membuat sistem itu bekerja.

Tetapi, perlu kita tahu bahawa walaupun sistem saraf autonomik itu bekerja secara auto , ia juga boleh dikawal dan dipengaruhi oleh sistem saraf pusat. Satu analogi lagi yang saya ubahsuai sedikit menerusi buku Syoknya Berpuasa : Anda sedang memandu pada pukul 12.30 malam melalui kawasan kelapa sawit menuju balik ke rumah. Tiba-tiba anda ternampak sesuatu dan anda tidak pasti apakah itu tetapi fikiran anda mahu-mahu saja berfikir yang itu adalah hantu. Oleh kerana anda berfikir yang bukan-bukan pada ketika itu, takut dan cemas, maka otak berjaya mengawal sistem saraf autonomik. Otak memerintahkan jantung untuk berdegup kencang, peparu seperti sukar bernafas dan kaki menekan pedal kereta sekuat-kuatnya.


Begitu juga analogi yang sama untuk makan. Sebentar tadi pada Bab 1, kita s
udah mengetahui bahawa apabila kandungan glikogen dalam darah rendah, hipotalamus pusat lapar akan memerintahkan tubuh untuk makan. Pada ketika ini, dalam masa yang sama, selain daripada menggerakkan tangan untuk mencari makanan, sebenarnya isyarat yang sama diberi untuk mengaktifkan sistem pencernaan:- mulut diarah mengeluarkan air liur, limpa mengeluarkan asid, hati dan pankreas mengeluarkan enzim dan usus menyerap protein. Anda nampak bukan bagaimana sistem saraf pusat (otak) mengawal sistem saraf autonomik (sistem pencernaan)!

Satu perkara lagi anda perlu tahu, iaitu otak kita ada menyimpan memori. Contohnya memori makanan yang disukai, memori makanan yang kotor serta menjijikkan dan sebagainya lagi. Jadi walaupun pada ketika itu anda tersangat lapar tetapi makanan yang ada di hadapan itu mengandungi sesuatu yang menjijikkan, anda tidak akan menjamah makanan itu.

Balik semula kepada perbincangan awal kita tadi iaitu ni
at sebelum berpuasa. Memetik info pada buku ini, apabila kita berniat, kita sebenarnya telah melakukan satu penyimpanan memori iaitu tidak akan makan, minum atau apa-apa sahaja yang boleh membatalkan puasa bermula terbit fajar hingga terbenam matahari. Jadi apabila kandungan glikogen di dalam darah kita menurun dan hipotalamus pusat lapar memerintahkan kita untuk makan atau dalam perkataan lain kita sedang lapar tetapi pada masa itu kita sedang berpuasa, otak akan mengarahkan kita agar tidak makan kerana memori di dalam otak kita tadi "sedang berpuasa", dan seterusnya akan mengaktifkan program autolisis.

Apabila kita tidak berniat untuk puasa, ketika paras glikogen kita menurrun dan hipotalamus pusat lapar memerintahkan tubuh untuk makan, otak tidak ada memori kita sedang berpuasa dan seterusnya memberi arahan kepada limpa mengeluarkan asid, hati dan pankreas mengeluarkan enzim. Apabila sistem pencernaan kita sudah diaktifkan, maksudnya program autolisis tidak dapat diaktifkan. Malah bukan itu sahaja, oleh kerana limpa, hati dan pankreas sudah bersiap sedia menerima makanan tetapi kita masih tidak makan lagi, maka kita akan sakit perut atau nama lain untuk itu ialah gastrik.

Penulis juga memberi penjelasan mengapa kita berpuasa pada bulan Ramadhan. Di sini, penulis membawa kita memahami konsep pergerakan matahari mengelilingi bumi dan bumi mengelilingi bulan. Disimpulkan oleh beliau, kalendar tahun hijrah sentiasa bergerak ke hadapan mendahului kalendar masihi kira-kira 11 hari dan kita akan bertemu semula bulan hijrah yang bertepatan dengan bulan masihi dalam tempoh kira-kira 33 tahun.

Contohnya begini, pada tahun ini bulan Ramadhan jatuh pada bulan September dan kita akan bertemu semula bulan Ramadhan yang jatuh pada bulan Se
ptember dalam tempoh kira-kira 33 tahun lagi. Hasilnya, bulan Ramadhan akan melalui kesemua musim:- musim panas, musim dingin, musim bunga dan musim luruh. Ini fakta pertama yang berjaya saya faham.Allah itu Maha Adil.Jadi tidaklah seseorang itu hanya merasa bulan Ramadhan dalam musim panas sahaja!

Penulis juga mengajak kita memahami konsep radiasi matahari dan kaitannya dengan gerakan otak. Kesan radiasi ini akan mempengaruhi getaran membran otak. Getaran yang lebih tinggi akan menjadikan sel-sel otak lebih bersedia untuk saling berkomunikasi dan hasilnya otak lebih berfikir jikalau mahu dibandingkan dengan hari tanpa radiasi. Menjawab kepada persoalan, mengapa kita berpuasa pada bulan Ramadhan, salah satu hikmahnya ialah kerana wujudnya aktiviti radiasi matahari pada bulan itu yang tidak terjadi pada bulan-bulan lain dan kesan radiasi ini baik untuk mencerdaskan pemikiran kita. Ditulis juga di sini, sinar elektromagnet bulan penuh saiz gelombang elektomagnet adalah sebesar kurang daripada 1 MeV particle s(-1) ster(-2) cm(-2). Manakala saiz gelombang elektromagnet radiasi matahari yang berlaku pada malam bulan Ramadhan pula ialah sebesar mendekati 1000 MeV particle s(-1) ster(-1) cm(-2). Mungkinkah ini maksudnya malam yang lebih baik daripada seribu bulan?

Wah, ada banyak lagi persoalan yang diceritakan oleh penulis yang tidak sempat saya kongsikan! Mungkin ada baiknya anda memiliki buku ini. Setiap apa yang Allah ciptakan dan takdirkan untuk kita terselindung pelbagai hikmah. Fakta-fakta yang disajikan melalui buku ini hanya sedikit menjelaskan tentang kekuasaanNya. Bila lagi agaknya kita mahu melihat semua itu dengan pandangan mata hati?

Wallahu alam

Sumber Gambar :
Syoknya Berpuasa - http://www.pts.com.my/index.php/buku/syoknya_berpuasa/