Saturday, July 25, 2009

Benarkah Iskandar Bukan Zulkarnain - Afareez Abd Razak Al-Hafiz

Oleh :
Welma La'anda (welmalaanda@gmail.com)

Tajuk
Benarkah Iskandar Bukan Zulkarnain
Penulis :Afareez Abd Razak Al-Hafiz
Halaman : 200 Penerbit : PTS Milennia

Mungkin saya patut mencadangkan yang anda wajib memiliki buku ini. Sebuah buku yang sama padan antara rupa kulit dengan isi kandungan. Setiap isi-isinya cukup membuatkan para pembaca sentiasa tertanya-tanya dan tidak kekok ikut berkembara sekali bersama-sama penulis berkenaan kajian yang ditulis di dalam buku ini. Saya sendiri tidak mampu melepaskan Benarkah Iskandar Bukan Zulkarnain. Oleh kerana itu, pada setiap jeda kelapangan, buku ini dimanfaatkan.

Pada awal kelahirannya lagi bermula ketika ia diwar-warkan di ruangan web PTS, saya sudah berniat akan membelinya. Tetapi ketika pertama kali saya ternampak buku ini di kedai buku Popular, secara tiba-tiba tidak ada pula keinginan yang membuak-buak untuk membeli. Mungkin terkejut akan sebuah buku bukan fiksyen yang memiliki tajuk menggugah tetapi nipis halamannya. Agaknya isi kandungan buku ini mungkin biasa-biasa sahaja. Lalu saya meletaknya semula di rak buku. Saya merasakan mungkin tidak berbaloi dibeli pada ketika itu. Baik diutamakan membeli buku yang lain dahulu. Anggapan awal itu ternyata meleset setelah membaca Benarkah Iskandar Bukan Zulkarnain. Kenyataannya ia adalah sebuah buku sejarah yang saya anggap mampu mencerahkan minda pembaca. Bukan itu sahaja, helaian gambar-gambar pada halaman tengah buku ini cukup membuatkan saya terpegun menikmati hasil tinggalan arkelogi sejarah dunia.

Benarkah Iskandar Bukan Zulkarnain merupakan sebuah buku kajian berkenaan Zulkarnain seperti yang diceritakan di dalam Al-Quran. Di dalam Al-Quran sendiri tidak dinyatakan secara langsung siapakah yang dimaksudkan oleh Allah sebagai Zulkarnain. Perlulah kita ketahui bahawa Zulkarnain bukanlah nama tetapi merupakan gelaran. Sama seperti Firaun. Ia bukan nama tetapi adalah gelaran yang diberikan kepada pemerintah Mesir. Selama ini kita begitu sinonim dengan mengaitkan Zulkarnain sebagai Raja Iskandar atau Alexander the Great. Tetapi melalui buku ini, penulis cuba memperkenalkan kepada kita satu tokoh baru yang berkemungkinan dialah yang dimaksudkan sebagai Zulkarnain di dalam Al-Quran iaitu Raja Kurush atau Cyrus the Great.

Melalui Benarkah Iskandar Bukan Zulkarnain , penulis mengemukakan bukti-bukti dan perbahasan ilmiah untuk menyokong kenyataanya itu. Ini semua bertitik tolak dari ayat Al-Quran (Surah Al-Kahfi ayat 86, 93-96) yang menyatakan secara umum tentang 4 ciri peribadi Zulkarnain iaitu :

-----
  1. Perjalanannya ke arah terbenamnya matahari (barat)
  2. Menerima wahyu daripada Allah iaitu memilih sama ada hendak mengazab ataupun berbuat kebaikan.
  3. Perjalanannya ke arah terbitnya matahari (timur) dan menemui kaum yang tiada pelindung.
  4. Membina tembok menghalang Yakjuj Makjuj----dipetik dari halaman 124
Ditulis pada buku ini yang Raja Kurush merupakan pemerintah Empayar Parsi yang berpusat di Iran dan sepanjang pemerintahannya didapati beliau pernah melakukan ekspedisi melebarkan empayar sehingga ke Laut Hitam iaitu di sebelah barat Iran. Laut Hitam itulah yang dimaksudkan sebagai "laut yang berlumpur hitam" kerana secara amnya laut hitam apabila dilihat dari atas adalah bewarna hitam kerana memiliki dasar yang berlumpur hitam. Sama juga perihalnya dengan Raja Iskandar. Didapati beliau juga pernah melakukan perjalanan hingga ke barat Macedonia iaitu Illyricium. Tetapi, peristiwa itu berlaku ketika beliau masih kecil. Manakala "laut yang berlumpur hitam" pula ditafsirkan dengan Laut Mediterranian kerana laut ini memang bewarna keruh dan gelap. Melalui poin yang pertama, didapati kedua-dua tokoh ini memenuhi kriteria Zulkarnain iaitu pernah melakukan perjalanan ke arah terbenamnya matahari (barat).

Namun begitu, hujah-hujah untuk kriteria kedua yang diutarakan oleh penulis lebih jelas menunjukkan kepada kita yang ia lebih banyak memihak kepada Raja Kurush. Jikalau kita teliti catatan sejarah, jelas kepada kita wujudnya perbezaan akhlak dan peribadi antara Raja Kurush dan Raja Iskandar. Seperti yang tertulis di dalam catatan Yahudi, nama Raja Kurush ada disebut yang beliau menerima wahyu daripada Tuhannya. Beliau disifatkan sebagai merupakan pemerintah agung di mana hampir seluruh jajahannya menyerah diri secara rela dan berasa aman di bawah pemerintahannya. Beliau merupakan seorang yang taat pada agama, menyembah tuhan yang satu, dan menganut agama Zarathustra yang dibawa oleh Nabi Zarathustra (disebut Zoroaster pada zaman Yunani Purba). Agama ini menggunakan api sebagai simbol agama mereka. Samalah seperti Islam, kita menggunakan simbol Kaabah. Kristian menggunakan simbol Salib dan Yahudi menggunakan simbol bintang penjuru 6 (Bintang Daud).

Tetapi lama kelamaan, penganut agama tersebut menyeleweng sehingga mereka menyembah api dan melalui agama inilah dikaitkan dengan agama Majusi. Kita diingatkan oleh penulis juga, Raja Kurushlah yang membebaskan kaum Yahudi yang ditawan oleh Raja Bukhtanasar dan dijadikan hamba abdi di Babylon. Beliau yang mengembalikan semula Jerusalem kepada Yahudi dan membina tempat-tempat ibadah Nabi Sulaiman yang dihancurkan oleh Raja Bukhtanasar. Sedangkan Raja Iskandar pula didakwa ialah seorang pemimpin yang suka menjatuhkan hukuman bunuh, minum arak dan mengaku dirinya sebagai anak tuhan iaitu Tuhan Zeus dan Tuhan Ammon. Berdasarkan fakta-fakta sejarah tersebut, mana mungkin seorang yang syirik boleh menerima wahyu daripada Allah.

Hujah-hujah untuk poin keempat iaitu pembinaan tembok cukup merancakkan lagi perbincangan di dalam buku Benarkah Iskandar Bukan Zulkarnain. Apabila menyebut tentang Zulkarnain, pasti kita tidak boleh lari daripada 2 isu iaitu pembinaan tembok yang diperbuat daripada besi dan tembaga dan Yakjuj Makjuj. Berdasarkan fakta sejarah, didapati kedua-dua pemerintah ini pernah membina tembok iaitu Dinding Kurush dan Dinding Iskandar. Juga pada masa dahulu, terdapat banyak tembok yang dibina.

Persoalannya sekarang, tembok yang mana satukah yang dibina oleh Zulkarnain? Di manakah lokasinya? Adakah tembok yang dimaksudkan itu dibina oleh Raja Kurush atau Raja Iskandar? Kenapa tembok itu dibina? Kita tahu jawapannya iaitu ingin melindungi kaum tertentu daripada serangan Yakjuj Makjuj. Siapakah yang dimaksudkan sebagai golongan Yakjuj Makjuj dan siapakah pula kaum yang dilindungi itu?

Banyak sekali fakta, tulisan dan sumber yang diambil oleh penulis untuk menyatakan kepelbagaian jawapan untuk persoalan-persoalan di atas. Namun begitu, saya kira jikalau kita baca betul-betul, kita akan nampak satu kesinambungan jawapan.

Berbalik kepada persoalan siapakah kaum yang dimaksudkan sebagai Yakjuj Makjuj, penulis sekali lagi mengingatkan kepada kita tentang isu Yakjuj Makjuj boleh dibicarakan dalam 2 konteks iaitu Yakjuj Makjuj pada zaman Zulkarnain ( Surah Al-Kahfi) dan Yakjuj Makjuj pada akhir zaman (Suran Anbiyak). Menurut penulis lagi, buku ini hanya tertumpu kepada isu Yakjuj Makjuj pada zaman Zulkarnain.

Saya kira, penulis sudah sepakat menyimpulkan kaum Scythian ialah kaum yang dimaksudkan sebagai Yakjuj Makjuj itu. Seperti yang saya katakan tadi, begitu banyak sumber untuk jawapan-jawapan ini dan saya hanya mampu berkongsi sedikit sahaja kerana saya nampak ada sesetengah poin yang saling berkesinambungan dan mungkin boleh merangsang kita berfikir. Di dalam buku ini dinyatakan tentang salasilah Yakjuj Makjuj. Banyak sungguh nama-nama yang dicatatkan. Mula-mula saya tidak nampak lagi apa kaitan nama-nama ini, tetapi biarkanlah dulu. Kita teruskan pembacaan untuk fakta seterusnya.

Menurut Hesiod sendiri iaitu orang yang hidup sezaman dengan Nabi Ezeqiel, kaum Makjuj ialah kaum Scythian dan orang-orang di selatan Rusia. Kalau kita mahu tahu, nama Moscow itu sendiri adalah nama hebrew untuk Meshekh (lihat nama-nama anak Yafit - boleh rujuk buku ini). Dalam Ensiklopedia Yahudi (menurut catatan penulis), Makjuj dinyatakan sebagai penduduk yang tinggal di Gunung Kaf iaitu di Laut Kaspia. Walaupun nama-nama itu berbeza, tetapi ia sebenarnya merujuk kepda kawasan di Derbent yang berada di Laut Kaspia. Jikalau anda memilki buku ini, bolehlah anda melihat peta untuk mendapat gambaran yang lebih jelas. Diceritakan dahulu bahawa kaum Scythian adalah kaum yang pernah menguasai pemerintahan Madia. Kemudian Raja Kurush merampas kuasa dan menghalau mereka keluar kerana membuat kacau di kawasan itu. Ada lagi perbahasan yang mengaitkan kaum Yakjuj Makjuj ialah kaum Mongol dan Tartar. Scythian juga ada dikaitkan sebagai kaum Yahudi dari puak Ashkenazi dan Khazar (lihat nama cucu-cucu Nabi Nuh di dalam buku ini).

Dikatakan di sini, kaum Scythian memiliki banyak nama. Mereka juga digelar sebagai Cimmerian. Orang Assyrian memanggilnya sebagai Gimirri. Namun begitu, saya agak sedikit terkejut kerana penulis menyimpulkan bahawa nama Scythian itu sendiri berasal daripada Saka iaitu satu kaum yang berumpun yang terdiri daripada bangsa Cimmerian, Huns dan Khazar, Mongol dan Tartar. Pakaian Jehu iaitu seorang Raja Israel itu sendiri adalah sama seperti pakaian kaum Scythian. Contoh paling senang untuk kita faham ialah seperti yang dikatakan oleh penulis, melayu ialah kaum berumpun daripada keturunan Jawa, Bugis, Minang dan lain-lain. Begitulah dengan konsep kaum Scythian.

Persoalan yang terakhir ialah siapakah kaum yang mahu dilindungi daripada Yakjuj Makjuj (kaum Scythian). Ya sekali lagi fakta-fatak memihak kepada Raja Kurush. Bak kata penulis, terlalu banyak fakta yang memihak kepada Raja Kurush adalah yang dimaksudkan sebagai Zulkarnain. Adakah itu satu kebetulan?

Sebenarnya, perbincangan kepada isu Iskandar bukan Zulkarnain hanya berlaku pada bab 4 iaitu bab terakhir buku ini. Sebelum itu, sudah ada 3 bab yang mendahuluinya iaitu Bab 1) Raja Namrud, Bab 2) Raja (Nabi) Sulaiman dan Bab 3) Raja Bukhtanasar. Penulis cuba membawa kita memahami konteks perbincangan Zulkarnain dengan mengimbas semula sejarah silam dan mengaitkannya dengan 3 raja tersebut.

Jadi sepanjang pembacaan dari Bab 1 hingga Bab 3, pembaca memang tidak terlepas daripada cerita-cerita para nabi dan ajaran mereka. Secara tidak langsung, kita dibawa untuk lebih memahami sejarah kaum Yahudi dan tempat suci Jerusalem. Pasti kita sudah tahu bukan, majoriti nabi-nabi terdahulu diutuskan kepada kaum Yahudi. Setelah kematian Nabi Sulaiman, kerajaan bersatu Israel utara berpisah dengan Judah di sebelah selatan kerana tidka bersetuju dengan pengganti baginda. Akhirnya, Raja Bukhtanasar menghancurkan kerajaan Judah dan Jerusalem. Semua penduduk Yahudi termasuk Nabi Daniel dibawa ke Babylon sebagai hamba abdi. Di sinilah Nabi Daniel mentakwil mimpi Raja Buktanasar yang salah satu makna takwil mimpi itu adalah merujuk kepada Zulkarnain. Kaum Yahudi akhirnya berjaya terlepas daripada cengkaman Babylon melalui Raja Kurush dan mereka dihantar semula ke Jerusalem.

Saya sebenarnya sudah tenggelam keasyikan apabila membaca Bab 1 hingga 3. Lama sudah tidak mendengar cerita-cerita para nabi. Terlalu banyak iktibar yang perlu diambil. Penulis sendiri pun sentiasa mengambil kesempatan mengingatkan saya sebagai pembaca pada setiap jalan cerita tersebut dengan sedikit "jeda muhasabah". Saya kira, jikalau saya tidak membaca 3 bab terdahulu ini, mungkin agak sukar memahami Bab 4 kerana tidak nampak jalan cerita yang sebenar.

Saya juga menjadi begitu "curious" sekali terutama berkenaan Yakjuj Makjuj dan kaum Scythian seperti yang dibangkitkan melalui buku Benarkah Iskandar Bukan Zulkarnain. Tertanya-tanya saya dibuatnya, "Adakah mereka ini kaum Yahudi Israel?". Lalu saya capai buku Yakjuj & Makjuj : Bencana Di Sebalik Gunung karya Muhammmad Alexander terbitan PTS Islamika. Saya terus selak halaman terakhir untuk mengetahui apakah kesimpulan buku ini pula. Mungkin saya akan menjumpai sedikit klu untuk persoalan saya tadi. Pada halaman 550, penulis merujuk Yakjuj Makjuj sebagai Gog Magog. Katanya Gog Magog adalah dari Scythia = Scythian atau Saca atau Saxon (Anglo Saxon) keturunan Israel, yang sekarang adalah bangsa Eropah dan Amerika. Kesimpulan yang membuatkan saya meremang bulu roma! Nampaknya buku ini akan dibaca secepat mungkin. Tetapi sebelum anda mahu membaca buku setebal 550 halaman ini, saya nasihatkan lebih elok ia dimulakan dengan Benarkah Iskandar Bukan Zulkarnain karya Afareez Abd Razak Al-Hafiz. Cukup mencerahkan!

Wallahu alam

Sumber Gambar :
Benarkah Iskandar Bukan Zulkarnain - http://www.pts.com.my/index.php/buku/benarkah/

17 komen:

Aidura Sofiee said...

salam.

welma, tumpang tanya. Gramedia Bookstore tu letak kat area mana Seberang Perai? Tak pernah dengar mengenainya sebelum ini. Alamat kedai buku tu ada tak?

welma laanda said...

salam kak Sofie,

Gramedia tu kat Tesco Seberang Jaya. Akak tahu tak Sunway Carnival. Ha, opposite dia kan ada Tesco. Kat situlah. Kalau akak ikut roundabout, ambil jalan ke Alor Setar.

Isma said...

Terima kasih Welma.
Tak payah buku dah.:)

welma laanda said...

Saudara Isma,

Tak sama baca resensi dan buku asal ;)

Aidura Sofiee said...

salam.

welma, thanks for the info.

baru tersedar yg akak rupanya dah lama tak berkunjung ke tesco SJA.

kali terakhir akak ke sana, kedai buku tu belum wujud lagi. :)

Nakamura Kazuki said...

salam..welma ambe dah beli buku ni...tak moh baca lagi risensi yang welma buat...hahah...lepas baca buku ni baru nak baca resensi ni...hahaha....ternampak juga tadi kisah tentang yusuf al-ayubi...tapi ada senaskhah je...dah disambar oleh orang lain....

Welma La'anda said...

Kak Sofi,
Oh tinggal kat sini ka? Saya pun tak pergi Tesco tu, sabit ada Gramedia sahaja. :)

Nakamura,
Hehe.Bagus-bagus. Nanti lepas baca, beri komen pula kat sini. Kalau jumpa Al-Fateh, cubalah baca juga. Buku tu membuatkan saya menangis. Ha, alang-alang membaca Iskandar Bukan Zulkarnain, beli sekali Yakjuj Makjuj. Tebal juga. Pendapat saya, kalau sudah membaca Iskandar Bukan Zulkarnain, insyaAllah sangat mudah memahami buku Yakjuj Makjuj. Selamat Membaca ;)

Nakamura Kazuki said...

tadi nak beli juga..tapi tu la takpe biar habiskan buku ni dulu..yang sedihnya buku macam ni di letak sorok2 je...so kalau sekali pandang pasti tak nampak....

Welma La'anda said...

Nakamura,
Rasanya tengok kedai buku juga tentang susunan buku tu. Kekadang Popular pun ada juga yang saiznya agak kecil. Jadi buku-buku agak sedikit berselerak.

Nakamura Kazuki said...

alamat facebook ambe muaz_aljabbar84@yahoo.com....nanti add ye...menambah kenalan di daerah kulim ...hahahaha

Aidura Sofiee said...

welma,

kali terakhir akak berkunjung ke tesco XTra ialah pada bulan mei 09 lepas. itupun kerana ke butik FIRST LADY.

pada masa tu, GRAMEDIA BOOKSTORE masih belum wujud.

sebelum ni, akak sebenarnya tak berapa gemar ke sana kerana ketiadaan kedai buku.

malah dah acapkali akak berkata pada suami akak bilalah agaknya TESCO XTRA SJA ni nak buka kedai buku...

Aidura Sofiee said...

maaf. setelah menelusuri entri PROPOSAL HIDUPKU, barulah akak mendapat tahu yang welma ini adalah anak kelahiran Sandakan.

akakpun berasal dari sandakan. dilahirkan dan membesar di sana.

cuma setelah berumahtangga barulah berhijrah dan menetap di Butterworth.

Welma La'anda said...

Kak Sofi,

:), selamat berjalan-jalan ke Gramedia. Saya pun tak tahu sangat dengan Sandakan, sebab saya lebih familiar dengan Bintulu, Sarawak. Saya tidak pernah ke sana sejak usia saya 4 tahun. :).Loghat Sabah pun saya tidak pandai, cakap Sarawak tu bolehlah :)

Aidura Sofiee said...

welma,

akak dahpun buat kunjungan ke GRAMEDIA pada hari jumaat lepas, 31/07/2009. sonok tak terkira! :P

Anonymous said...

Penulis ini telah pun menyiapkan satu lagi karya ilmiah; bakal keluar April 2011. Perbincangan berkisar tentang Firaun: Musuh Nabi, harga bukunya mahal sedikit tetapi sangat elok untuk dijadikan hadiah atau koleksi bacaan.

Anonymous said...

Penulis ini telah pun menyiapkan satu lagi karya ilmiah; bakal keluar April 2011. Perbincangan berkisar tentang Firaun: Musuh Nabi, harga bukunya mahal sedikit tetapi sangat elok untuk dijadikan hadiah atau koleksi bacaan.

Welma La'anda said...

Terima kasih kerana memberitahu. Saya pun sedang menunggu untuk buku terbaru itu :)