Friday, July 10, 2009

Spiritual Reading - Dr. Raghib As-Sirjani & Amir Al-Madari

Oleh :
Welma La'anda (welmalaanda@gmail.com)

Tajuk
Spiritual Reading - Hidup Lebih Bermakna dengan Membaca
Penulis : Dr. Raghib As-Sirjani & Amir Al-Madari
Halaman :207 Penerbit: AQWAM

Buku ini dibahagikan kepada 2 bahagian. Bahagian pertama ditulis oleh Dr. Raghib As-Sirjani manakala Bahagian kedua pula ditulis oleh Imam Amir Al-Madari. Sebuah buku yang cukup baik isinya serta terjemahan dari Bahasa Arab ke Bahasa Indonesia yang mudah difahami.

Saya memang suka mengumpul dan membaca apa-apa sahaja buku yang bercerita tentang aktiviti membaca dan buku. Sebelum ini saya sudah memilki Ada Apa dengan Buku karya Shaharom TM Sulaiman dan Suriati Shamsuddin. Ada lagi Keanehan dan Keunggulan Buku juga karya Shaharom TM Sulaiman dan Salasiah Abdul Wahab. Baru-baru ini juga, saya membeli Aku, Buku dan Cinta karya Dr. 'Aidh Al-Qarni. Menariknya setiap buku-buku ini berjaya mengekspresikan maklumat dan input dari sudut pandang yang berbeza sehingga boleh saja merangsang kita terliur kepada buku-buku dan memberi motivasi cinta kepada budaya membaca.

Begitu juga dengan Spiritual Reading - Hidup Lebih Bermakna dengan Membaca, tidak terkecuali daripada perbezaan isi dan maklumat yang menggugah. Sesuai dengan perkataan spiritual pada pangkal nama tajuk, buku ini cuba membawa kita untuk terjebak atau menjerumuskan diri dalam kelazatan membaca yang ada nilai ibadah. Dalam erti kata lain, penulis mahu kita belajar bagaimana untuk memberi makna kepada aktiviti ini agar ia tidak menjadi perbuatan yang sia-sia tetapi diterima oleh Allah sebagai yang ada nilai di sisiNya. Bukankah malang buat kita di akhirat jikalau setiap saat yang dicurahkan untuk membaca di dunia tidak dipandang langsung oleh pencipta kita malah menjadi penyebab kita dicampakkan ke neraka.

Membaca samalah seperti kehidupan. Kita perlu memiliki konsep pemahaman dan tujuan yang jelas. Begitu pemahaham saya melalui tulisan penulis. Menarik sekali apabila penulis mengambil saripati penting di dalam Surah Al-Alaq ayat 1-5 dengan menyatakan ada 2 syarat membaca. Pertama, lakukanlah aktiviti ini dengan nama Allah. Ini bermakna kita harus membaca benda-benda yang bermanfaat dan tidak membawa kemurkaan Allah. Dahulukanlah Allah dan akhirat sebagai tujuan hidup yang menjadi penyebab kenapa kita melakukan sesuatu dan bukannya hanya berdasarkan pemikiran dan jiwa keterbukaan sahaja. Kedua, penulis menyentuh tentang rendah hati apabila memiliki ilmu. Jangan pula kita menjadi takbur apabila mampu membaca dalam kuantiti yang banyak atau memiliki pengetahuan yang variasi. Kita perlu sedar ilmu yang diberi itu hanyalah pinjaman sahaja.

Membaca bukanlah hobi tetapi satu keperluan asas, kata penulis. Aneh sekali jikalau ada orang mengatakan hobinya ialah makan atau minum . Makan dan minum ialah satu keperluan asas dan kita perlu melakukannya untuk meneruskan kehidupan. Begitu juga, sungguh aneh jikalau ada orang yang mengatakan hobinya ialah membaca. Bukankah membaca ialah satu keperluan asas agar kehidupan terus hidup? Justeru itu, sepatutnya tidak ada istilah tidak suka membaca di dalam kamus hidup kita kerana jikalau kita tidak mahu atau bosan melakukannya, samalah seperti kita memilih tidak mahu atau sudah bosan makan di dalam seumur hidup.

Nah, betapa besar status membaca di sisi seorang manusia, sehingga ia boleh disama-tarafkan dengan makan dan minum. Jikalau tidak, mana mungkin wahyu pertama yang diturunkan mengandungi perintah membaca. 3 kali disebut. Perhatikan juga pada peristiwa perang Badar. Syarat yang dikenakan ke atas tawanan perang bukannya tebusan wang tetapi dengan mengajar membaca dan menulis kepada 10 orang Islam sedangkan pada ketika itu kita tahu banyak lagi perkara penting lain diperlukan umat Islam seperti wang.

Walaupun begitu, kelihatan situasi kita pada hari ini sangat berbeza. Inilah yang diluahkan penulis. Ramai di antara kita yang tidak suka membaca. Cepat bosan dan lebih memilih hiburan semata-mata. Di lain sisi, ada juga mereka yang sangat suka membaca tetapi masih tidak mampu memilih bahan bacaan yang baik dan bermanfaat serta tidak jelas kenapa mereka perlu membaca.

Justeru itu Spiritual Reading hadir sebagai satu buku alternatif yang lain daripada lain untuk berkongsi kepada kita tentang mesej-mesej tersebut. Ia bukan sahaja memaparkan 10 cara untuk membangkitkan perasaan membaca tetapi juga membimbing pembaca memilih bahan bacaan yang sesuai.

Antara perkara utama yang diberi penekanan oleh penulis apabila kita mahu belajar membangkitkan perasaan membaca ialah kita perlu jelas dan sedar kenapa kita membaca. Membaca samalah seperti kehidupan. Kehidupan akan terasa hambar apabila kita tidak memiliki tujuan hidup yang jelas. Jadi, apakah tujuan dan matlamat kita membaca? Pastinya, kita membaca adalah kerana Allah dan kita mahu perbuatan ini mendapat keredhaanNya. Oleh itu, jadikanlah 2 syarat membaca seperti yang dikongsikan di atas sebagai panduan buat kita sebagai pembaca. Tidak aneh bukan apabila kita bersoal jawab dengan diri setiap kali mahu membaca, ""Adakah Allah redha dengan apa yang aku baca ini?"

Pernahkah kita merancang buku-buku yang mahu dibaca dalam seminggu, sebulan atau juga di dalam setahun? Tanpa kita sedari perancangan yang sedemikian sebenarnya boleh melatih kita untuk terus giat membaca. Penulis juga berpesan agar kita sentiasa melatih diri membaca buku mengikut peringkat demi peringkat. Bermulalah dengan buku-buku yang asas untuk menyediakan asas tapak yang kuat dalam pembentukan pemikiran kita. Sebagai contoh, jangan terus membaca kajian sejarah dunia daripada 4 pandangan ilmuwan. Tetapi mulakan dahulu dengan membaca buku-buku asas yang membincangkan apakah makna sejarah, bagaimana kita harus menilai sesebuah sejarah, apakah sejarah Islam dan sebagainya.

Dalam keghairahan kita membaca, kita sebenarnya mungkin terlupa tentang prioriti buku yang patut dibaca. Sedarkah kita terdapat buku-buku yang perlu diberi keutamaan. Berikut ialah susunannya seperti yang dicadangkan penulis. Kita dibolehkan membaca buku-buku yang berbentuk hiburan tetapi dengan bersyarat. Pertama, bahan bacaan itu tidaklah membawa kemurkaan daripada Allah, mengandungi mesej-mesej yang sopan, berakhlak mulia dan tidak membuka ruang kepada pembaca untuk berzina. Kedua, kekerapan yang jarang untuk membaca jenis buku sedemikian.


Bukan itu sahaja Spiritual Reading juga juga berkongsi tentang kaedah-kaedah membaca yang baik dan bagaimana kita boleh membantu untuk memperkembangkan budaya ini di kalangan anak-anak, masyarakat dan negara. Kita juga mungkin selalu menghadapi masalah dalaman di dalam setiap pembacaan sehingga memungkinkan kita tersadai layu dan akhirnya bosan terhadap buku-buku. Antara masalah-masalah itu (menurut penulis) ialah tidak sabar, hilang konsentrasi, tidak sistematik dan tidak mengamalkan perkara baik yang dibaca. Tanpa kita sedari sikap seperti ini boleh menyebabkan kita jenuh dan bosan apabila membaca. Maka, jadilah membaca sebagai satu hobi sahaja yang hanya dilakukan ketika waktu lapang atau ketika tidak tahu mahu membuat apa-apa serta bukannya sebagai aktiviti wajib dalam kehidupan yang sentiasa menghidupkan kehidupan.

Pada bab-bab akhir Spiritual Reading ada perkongsian para ilmuwan salaf dan masa kini serta kaitan mereka dengan aktiviti membaca dan keilmuwan. Tidaklah saya niatkan untuk dikongsi di sini. Mungkin anda boleh membaca ulasan Sungguh Mengagumkan Manajamen Waktu Para Ulama untuk mendapatkan sedikit gambaran apakah yang dikongsikan oleh penulis di dalam Spritual Reading. Membaca kisah-kisah mereka membuatkan saya sering membuatkan tidak keruan. Sungguh mengagumkan! Entah bila baru saya boleh memiliki semangat keilmuwan tahap tinggi seperti itu.

Peringatan sebelum menutup buku ini, satu persoalan diaju, " Apakah yang anda lakukan setelah selesai membaca buku ini?". Saya kira mesej seperti ini bukan berlaku pada buku ini sahaja tetapi pada setiap buku yang dibaca. Sedarkah kita, setelah setengah jam kita selesai membaca, 50% maklumat akan hilang dari ingatan. 80% pula akan menyusuli setelah 24 jam berlalu. Kunci katanya - muraja'ah.Begitu saranan penulis. Kita perlu mengulangi isi-isi yang dibaca dengan pelbagai cara seperti seperti mendiskusikannya atau pun paling senang dengan cara menulis.

Seorang tokoh Yahudi pernah berkata, "Kita tidak akan takut dengan orang Islam. Sebab orang Islam adalah umat yang tidak membaca". Saya petik kata-kata itu melalui buku ini dan tidak dinyatakan sumbernya. Cuma apa yang mungkin kita boleh mengambil iktibar daripada kenyataan itu ialah tentang kesedaran membaca di kalangan umat Islam. Sama-sama kita sedarkan diri, membaca bukanlah hobi tetapi satu konsep hidup yang duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan keperluan asas lain seperti makan dan minum. Ia tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan tetapi kita harus terus dan terus cinta untuk membaca.

Wallahu alam

8 komen:

Aidura Sofiee said...

salam ziarah.

sincerely, akak lebih condong ke arah pembacaan yg berbentuk spiritual reading dan buku2 berbentuk tarbiah rohani/hati/jiwa

ini mengingatkan akak agar tidak terlalu leka dgn kesenangan dunia yg hanya bersifat sementara cuma, sementelah kelak kita akan kembali semula ke pangkuan ALLAH SWT untuk dihitung segala dosa dan pahala, subhanallah.

FaiZaH K. said...

saya sgat kagum dgan akak yg boleh membaca buku-buku seperti ini...

hhmm..klau saya, mgkin akan jdi seperti buku Tentang Cinta, berbulan-bulan lamanya, baru habis membaca, itupun setelah memaksa-maksakan diri..

Sambung semula sebab esok ada final ETIKA kan..hehehe..apa lagi, jom study!!!

Welma La'anda said...

Kak Sofiee,
Sepatutnya kita semua perlu sedemikian. Membaca untuk mengambil iktibar dan pengajaran serta bukannya tanpa tujuan.

Cik Faizah,
Jom Exam pada hari ini :)

Nakamura Kazuki said...

good luck n all da best, anak buah ambe pun exam juga...

Welma La'anda said...

Ya Nakamura,
Exam sudah selesai. Esok sudah bermula semester baru.

ubi said...

Salam..

Tokoh Yahudi tue ialah Musyi Dayyan.. Ada dicatatkan dlm buku Aku, Buku Dan Cinta.. Oleh Dr Aidh Keluaran al-Hidayah..

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Welma La'anda said...

Ubi,

Oh ya ka. Terima Kasih kerana memberitahu. Nampaknya saya kena membaca buku Dr. 'Aidh cepat-cepat :)