Wednesday, May 12, 2010

365 Tip Sihat Gaya Rasulullah - Dr. Mohammad Ali Toha

Oleh :
Welma La'anda (welmalaanda@gmail.com)

Tajuk :
365 Tip Sihat Gaya Rasulullah
Penulis : Dr. Mohammad Ali Toha
Halaman : 138 Penerbit : PTS Milennia

Ya Allah kuatkan hambaMu ini untuk membaca dan menulis lagi. Sudah beberapa hari sejak balik dari Skudai (ada peperiksaan makmal), pantang sahaja selepas Isyak, terus tidur. Dalam beberapa hari yang kurang produktif ini, saya cuba kuatkan diri juga untuk membaca dan alhamdulillah buku 365 Tip Sihat Gaya Rasulullah berjaya disempurnakan pembacaannya semalam. Hooray! Tahniah untuk Welma *_*

Buku ini walaupun ia kelihatan seperti sebuah buku yang ringkas dan dirasakan tidak berbaloi membelinya kerana beranggapan kemungkinan besar isi-isi buku ini sudah biasa dibaca dari internet, namun ternyata jangkaan awal ini memang tidak boleh dipakai setelah buku 365 Tip Sihat Gaya Rasulullah dimesrai . Tiba-tiba pula saya mahu menganggap buku ini bagaikan sebuah buku ensiklopedia kesihatan. Tidak keterlaluan juga jikalau saya mahu katakan yang setiap daripada kita harus memiliki 365 Tip Sihat Gaya Rasulullah untuk rujukan sepanjang masa. Saya sendiri tidak mampu mengingat satu persatu tip-tip rawatan yang ditulis, namun sekurang-kurangnya saya tahu, apabila saya menghadapi satu-satu masalah kesihatan nanti, saya boleh merujuk buku ini untuk mencuba rawatan alternatif yang dicadangkan selain daripada memakan ubat dari hospital.

Saya sebenarnya suka kepada konsep kesihatan Islami yang cuba dibawa oleh penulis dan dikongsikan melalui buku ini. Agak janggal jikalau saya mahu mengatakan sebenarnya penulis memperkenalkan kaedah rawatan alternatif. Bagi saya, apa yang ditampilkan penulis di sini, adalah perkara asas rawatan kesihatan yang perlu kita ketahui sebelum kita pergi kepada ubat-ubatan. Ia bukanlah perkara janggal kerana Rasulullah saw sudah menunjukkanya kepada kita melalui cara hidup Islam yang betul. Tanpa kita sedari sebenarnya, dengan mengamalkan ajaran Islam sebaik-baiknya, sudah cukup membantu kita untuk memiliki kesihatan yang optimum.

Menariknya konsep perubatan Islami ialah kita bukan hanya mencari rawatan untuk menyembuhkan satu-satu penyakit tetapi juga melakukan pencegahan. Islam tidak hanya memfokuskan rawatan melalui ubat-ubatan sahaja tetapi Islam sentiasa percaya dengan cara hidup dan cara fikir yang betul akan menghasilkan kesihatan holistik yang merangkumi fizikal, mental, spiritual dan sosial. Jikalau salah satunya pincang, maka ia akan saling mempengaruhi dan mendatangkan kesan antara satu sama lain.

365 Tip Sihat Gaya Rasulullah merupakan rangkaian buku kesihatan yang ketiga daripada penulis. Ia bermula dengan Smart Healing dan diikuti dengan Ketika Nabi Sakit. Buku 365 Tip Sihat Gaya Rasulullah kemudiannya muncul dengan misi memberi kemudahan kepada pembaca mengamalkan tip-tip yang dikongsikan dalam kehidupan seharian. Mungkin itulah penyebabnya kenapa buku ini ditulis begitu ringkas untuk setiap huraian. Cukup hanya dengan menyatakan masalah yang dihadapi dan bentuk rawatan yang dicadangkan. Penulis juga memperkenalkan satu konsep kesihatan yang dipopularkan melalui bukunya iaitu HIMMAH atau halal, islami, manfaat, murah, aman dan holistik. Maksudnya, dalam mencari penawar untuk penyakit, inilah 6 perkara yang perlu kita utamakan.

Buku 365 Tip Sihat Gaya Rasulullah ditulis dengan 6 bab utama iaitu Perilaku Pintar, Pemakanan Pintar, Ibadah Pintar, Doa Pintar, Perubatan Pintar, dan Persekitaran Pintar. 6 bab ini menyentuh semua aspek kesihatan holistik iaitu fizikal, mental, spiritual dan sosial.

Saya ambil contoh dalam bab Perilaku Pintar, penulis menulis pada halaman 19 Tip 21 : "Ada enam jenis emosi yang apabila dibiarkanakan memudaratkan kesihatan. Misalnya marah yang berlebihan dapat menyebabkan sakit jantung. Takut yang berlebihan menyebabkan kemurungan. Kebimbangan yang berlebihan memudaratkan buah pinggang. Sedih yang berlebihan menyebabkan sakit jantung. Malu yang berlebihan menyebabkan penyakit seperti ulser dan penyakit hati. Maka dengan mengawal emosi, badan akan menjadi bertambah sihat".

Saya petik lagi dalam bab Pemakanan Pintar, penulis menulis pada halaman 49 Tip 107 : "Halia adalah minuman ahli syurga sebagaimana pesan Allah dalam surah Al-Insan ayat 17, 'Di dalam syurga itu mereka diberikan segelas minuman yang campurannya adalah halia'. Dalam perubatan tradisional islami, halia adalah makanan penas peringkat ketiga. Ia bermanfaat mencairkan kahak, mengubati penyakit pencernaan dan meningkatkan stamina seksual".

Dalam bab Perubatan Pintar pula, penulis menulis pada halaman 118 Tip 318, "Kanak-kanak sering demam. Perkara pertama yang perlu dilakukan apabila anak kita demam adalah dengan mengelap badannya dengan air sejuk. Dapatkan tiga ulas bawang merah yang nipis, dua sudu besar minyak kelapa, setengah sudu besar minyak kayu putih dan satu buah limau nipis yang dipotong. Campurkan ketiga-tiga bahan itu dengan sekata lalu gosokkan pada kepala, ketiak ataupun perut di sekitar pusat. InsyaAllah, suhu badan segera menurun".

Ha. Ini baru 3 tip yang saya petik melalui buku 365 Tip Sihat Gaya Rasulullah. Pada buku ini, ada 362 lagi tip yang belum dikongsikan. Seperti yang saya katakan tadi, suka saya mahu menganggap buku ini bagaikan sebuah ensiklopedia kesihatan dek kerana banyaknya tip-tip kesihatan yang begitu membantu kita dalam kehidupan seharian. Bukan itu sahaja, kita juga beroleh pencerahan iman kerana apa yang dipaparkan melalui buku ini merupakan contoh-contoh tauladan yang ditunjukkan oleh nabi kita Muhammad saw. Secara tidak langsung, menguatkan lagi keyakinan kita yang Islam memang cara hidup yang betul.

Masalah saya pada buku ini ialah penulis tidak menyediakan indeks di belakang buku. Ini memberikan sedikit kesukaran kepada saya jikalau suatu hari nanti saya mahu mencari rawatan-rawatan yang sesuai untuk penyakit yang saya hidapi. Saya terpaksa selak satu persatu halaman. Tidak mudah sebenarnya melakukan kerja-kerja pengesanan ini kerana untuk satu-satu penyakit, dikongsikan pelbagai kaedah rawatan dan ia berselerak dari satu halaman ke satu halaman di dalam buku ini. Walaupun begitu, ia sama sekali tidak mencacatkan kualiti buku ini. Boleh saja tambahan indeks di belakang buku itu dianggap sebagai cadangan yang mungkin boleh dipertimbangkan.

Wallahu alam

Sumber Gambar :

2 komen:

FaiZaH K. said...

bila kita nk start minum air halia???hehehhe

Welma La'anda said...

kih kih kih
mungkinkah. sekarang ni nak minum propolis hheheh