OK.
Sekarang pukul 8.04 malam. Mulakan menulis. Ada 2 jam sebelum pergi beradu.
Satu.
Pada hari ini saya membaca entri kawan-kawan Goodreads di blog masing-masing sekitar tentang buku. Tentang misi 50 buku setahun. Tentang kedai buku. Tentang buku-buku mereka. Waduh! Terliur pula mahu membeli buku. Ya! Saya perlu kemaskini blog juga. Misi melaporkan buku-buku yang sudah dibaca.
Dua
Setakat ini saya hanya membaca pada waktu siang sahaja dan sebelum tidur. Ini kerana apabila jam sudah menunjukkan 10.30 malam sahaja, saya sudah tidak boleh fokus membuat apa-apa kerana asyik menguap. Paling lama saya boleh bertahan pun pukul 11 malam (Ini memang sangat jarang berlaku walaupun musim peperiksaan). Antara lain kelemahan saya ialah tidak suka membaca cepat-cepat. Kalau boleh saya nak hafal satu-satu perkataan di dalam buku itu. Ini bermakna, dalam tempoh seminggu, paling baik saya boleh selesaikan pembacaan buku ialah sekitar 350 halaman.
Tiga
Yay! Marathon buku sudah bermula. Buku pertama yang berjaya disempurnakan pembacaan ialah Dahsyatnya Sabar karya Ahmad Hadi Yasin. Sebuah karya dari Indonesia.
Saya membeli buku ini pada tahun lepas jikalau tidak silap. Saya ingat lagi, pada masa itu saya dalam keadaan jiwa yang tidak stabil. Tengah bersedih rasanya. Selalunya, ada 2 perkara yang akan saya buat jikalau saya sedang dalam keadaan sedemikian. Pertama, menangis sambil memandu dan pergi ke kedai buku untuk membeli buku yang boleh memotivasikan saya. Kedua, balik rumah, solat, berdoa dan menangis. Tetapi selalunya saya akan buat dua-dua. Saya pelik juga kenapa saya tidak membaca buku ini pada tahun lepas sejurus ia dibeli. Oh! Mungkin kesedihan saya pulih semula sebaik mendapat buku baru.
Akhirnya buku Dahsyatnya Sabar dibaca juga pada minggu lepas. Kereta saya dilanggar orang. Masuk bengkel dan dijanjikan 1 bulan akan siap. Tiba masa 1 bulan, ada pula masalah. Apabila kereta dipandu uji, tiba-tiba mereka mengesan ada bunyi pelik. Bingkai penyokong enjin kereta kemek dan barang itu perlu dipesan lagi. Janjinya 1 minggu barang akan sampai dan kereta boleh diambil. Tetap, oleh kerana ibu pejabat cuti seminggu sempena Hari Raya Haji, jadi penghantaran barang itu tertangguh. Tangguh punya tangguh. Pendek kata kereta itu hampir 2 bulan juga berada di bengkel.
Ada beberapa pendapat mengatakan, jikalau kereta anda masuk bengkel (atas sebab-sebab kemalangan), kita harus rajin follow-up. Jikalau anda seorang perempuan, panggil seorang lelaki untuk bercakap dengan penyelia bengkel itu berkenaan kereta anda. Orang kata, teknik ini selalu berjaya. Maksud saya, kereta anda boleh siap dalam tempoh 2 minggu. Ada orang kata lagi, kita harus marah-marah. Saya tidak tahu adakah ini satu mitos ataupun tidak. Saya memang rajin follow up. Tiap-tiap minggu saya menelefon penyelia yang menguruskan kereta saya. Tiap-tiap minggu penyelia itu akan memberitahu saya keadaan kereta itu dan apa masalah yang mereka hadapi. Tiap-tiap minggu itu juga saya akan berkata, "Ok. Ok. Akak faham. Takpalah ya. Minggu depan akak telefon lagi". Pada suatu hari sejurus selepas solat saya berlatih untuk marah-marah mendesak penyelia itu (konon-konon). Tetapi sebaik sahaja saya menelefon beliau, saya seperti biasa akan mengakhiri perbualan dengan, "Ok. Ok. Akak faham. Takpalah ya. Minggu depan akak telefon lagi".
Secara jujur, saya tidak rasa penyelia itu bersalah kerana dia pun tidak mahu menahan kereta saya lama-lama di bengkel mereka. Secara kebiasaannya pun, memang bengkel itu amat jarang menahan kereta lebih dari sebulan. Cuma kereta saya sahaja yang kesnya lain daripada lain. Saya sendiri pula, tidak mungkin saya akan marah-marah penyelia itu walaupun saya pernah berangan-angan memarahinya. Jadi, hanya ada satu cara sahaja dalam menyelesaikan masalah ini iaitu saya perlu bersabar. Oleh kerana itu saya membaca buku Dahsyatnya Sabar. Saya mahu memberi keyakinan kepada diri sendiri tentang kewajaran yang saya tidak perlu marah-marah (walaupun dalam hati). Apa yang saya perlu ialah sedikit sabar.
Empat
Ada sesetengah perkara di dunia ini yang kita sudah tahu jawapannya. Contohnya, apabila ditimpa dugaan kita perlu bersabar. Kita tahu itu. Kenapa kita perlu bersabar. Sebab orang bersabar disayangi Tuhan. Kita juga tahu tentang ini. Ada banyak perkara yang memerlukan kita bersabar, seperti bersabar melaksanakan perintah Allah, bersabar menjauhi larangan Allah dan bersabar di atas segela dugaan yang dititipkan. Biasalah dunia. Ia adalah medan ujian dan kita semua diuji menurut kesanggupan kita. Info ini adalah perkara asas dan kita semua sudah tahu tentangnya.
Begitu juga dalam sesebuah buku yang menulis tentang mesej sabar, pasti penulis tidak akan lepas daripada berbicara tentang info-info di atas. Info-info yang sudah kita ketahui. Jadi kenapa kita perlu membaca lagi tentang sesuatu yang kita sudah tahu. Ha! Di snilah cabarannya iaitu bagaimana penulis mahu memotivasikan pembaca tentang sesuatu yang dia sudah tahu. Sebagai pembaca, kekadang kita membaca bukan kerana mahu menambah ilmu pengetahuan, tetapi kerana kita mahu belajar bagaimana mahu mengamalkan ilmu itu.
Lima
Apabila membaca buku Dahsyatnya Sabar, saya memberi fokus kepada ayat-ayat Allah dan membaca sabda Rasululah saw.
Cukup bagi saya apabila membaca ayat-ayat di bawah :
Dan (Ingatlah kisah) Ayyub, ketika ia berdoa kepada Tuhannya, "(Ya Tuhanku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang di antara semua yang Penyayang." (Al Anbiya, 83) (halaman 12)
Dari Abu Hurairah ra, ia berkata, "Rasulullah saw bersabda , "Siapa saja yang dikehendaki Allah menjadi orang baik, maka ia akan diberi cobaan." (HR Bukhari) (halaman 18)
Dari Abu Yahya Shuhaib bin Sinan ra, ia berkata, "Rasulullah saw bersabda, "Sungguh mengagumkan urusan orang mukmin. Seluruh urusan atau keadaan mereka senantiasa mengandung kebaikan. Yang demikian ini tidak terjadi, kecuali hanya pada orang mukmin. Jika ia mendapatkan kesenangan, ia bersyukur. Hal itu merupakan suatu kebaikan. Dan jika ia tertimpa kesusahan, ia bersabar. Itu juga merupakan kebaikan." (HR Muslim) (halaman 17)
Saya sudah lega dengan membaca ayat-ayat di atas (ada banyak ayat lagi sebenarnya yang terkandung di dalam buku ini). Cukup bagi saya. Cukup untuk memujuk saya bersabar. Cukup untuk meyakinkan saya yang penyelia dan bengkel itu tidak bersalah di dalam hal ini. Cukup untuk mengingatkan saya yang Allah sangat menyayangi saya kerana Allah mahu saya menjadi orang yang baik, oleh kerana itu Allah mengambil sementara kereta saya dalam masa 2 bulan. Sesungguhnya tiada satu pun di dunia ini milik saya, semuanya milik Allah. Walaupun saya rasa kereta saya itu milik saya, tetapi sebenarnya ia milik Allah.
Pada ketika saya menulis ini, kereta saya sudah 5 hari berada bersama saya. 1 minggu untuk saya pandu uji sebelum tandatangan dokumen. Begitu mudah Allah memberi saya "kereta baru". Manakan tidak perkakas gantian yang original dan dengan siap polish lagi. Sebelum kemalangan lagi, kereta saya memang sudah banyak calar dan saya rasa ada masalah gear serta bateri sebab saya rasa semacam apabila saya memandunya. Apabila saya fikir-fikir balik, mungkin Allah mahu selamatkan saya dari terlibat dari kemalangan yang lebih bahaya. Mungkin kereta saya itu sudah ada masalah yang lebih teruk, jadi Allah takdirkan ia dilanggar dan secara tidak langsung kerosakan-kerosakannya diperbaiki.
Enam
Maafkan saya kerana saya tidak sempat menulis perkongsian untuk 2 buah buku lagi kerana sekarang waktu saya beradu. Maafkan saya lagi kerana entri ini sudah hampir 100% berkisar tentang kereta saya dan bukan lagi tentang buku Dahsyatnya Sabar. Mesej saya yang sebenarnya ialah tentang ayat-ayat Allah dan sabda Rasulullah saw yang sentiasa memberikan harapan itulah yang memotivasikan saya. Rajin-rajinlah membaca Al-Quran kerana di situlah terkumpul janji-janji Allah untuk kita. Yakinlah kepada Allah kerana Dia tidak pernah mahu menyusahkan kita.
Wallahu alam

3 comments:
kak Welma.. sy sgt kagum dgn kakaklah...
Fifi,
Semoga mendapat manfaat dari blog akak :)
welma,
just nak sharing tip.
akak kalau mempunyai sebarang masalah, akak amalkan membaca doa nabi yunus sekurang-kurangnya 100x. Kalau dpt baca 1000x lagi baik.
Dengan mengamalkan doa/zikir ini, fikiran dan jiwa akan kembali tenang & tidak berserabut, insya-Allah.
Lagi pula, masalah kita akan dipermudahkan oleh Allah SWT.
Tiba-tiba sahaja datang "bantuan tanpa diduga" utk membantu menyelesaikan masalah/kebuntuan tersebut, subhanallah. :)
Post a Comment