Thursday, September 01, 2011

Membaca Semula

Membaca semula! Eh, betulkah?

Dalam tempoh rehat yang panjang ini ( Mac- September) , saya tetap membaca . Cuma tidak begitu agresif untuk berkongsi tentang buku-buku itu di blog ini. Mungkin mengalami kejutan budaya. Alasan bukan. Manakan tidak, harus pandai menyesuaikan diri sebagai seorang isteri, pelajar, pekerja, anak menantu, ahli masyarakat dan lain-lain lagi.

Isteri? Ya. Saya sendiri tidak faham bagaimana ia begitu cepat berlaku sehingga saya tidak sempat mewar-warkannya. Walau bagaimana pun, saya tetap yakin yang semuanya sudah tertulis dalam perencanaan Allah. Kesimpulannya, saya sekarang ialah Puan Welma. :)

Saya mengambil masa yang lama membaca buku ini - Start Where You Are ( Edisi Bahasa Melayu). Namun tidak juga selesai pembacaannya. Oleh kerana begitu teruja dengan buku ini, saya meminjamkan ia kepada makcik saya. Konon-konon supaya makcik saya beroleh motivasi kehidupan yang tidak terkira melaluinya.

Ulasan? Belum lagi. Cuma, sepanjang pembacaan saya selalu terfikir, sebenarnya ada begitu ramai di luar sana yang sentiasa berusaha mencari kesempurnaan dan ketenangan hidup yang hakiki. Setelah melalui proses kehidupan yang panjang, akhirnya mereka sedar, duit bukan segala-galanya. Ada yang lebih penting daripada itu seperti kesedaran sosial dan berkongsi kejayaan dengan orang lain. Terdetik di dalam hati saya. Adakah cukup sekadar itu? Adakah tujuan kehidupan hanya berhenti di situ? Tidakkah hati mereka masih meronta-ronta untuk diisi dengan pemahaman yang ada lagi satu kehidupan di sana yang kekal abadi di mana mereka perlu bekerja keras untuknya. Tidakkah hati mereka merindui pencipta yang sentiasa mempermudahkan urusan mereka?

Mungkin kerana banyak sangat memikirkan persoalan-persoalan itu, buku karya Chris Gardner itu belum lagi berjaya dikhatamkan. Namun, sempat juga saya 'usha' buku yang lain. Alasannya mahu merehatkan minda. Apa lagi kalau bukan buku Cik Zorro Lambretta Jambu. Walaupun hanya 152 halaman, saya menghabiskannya dalam masa 3 hari. Saya memang betul-betul ada masalah krisis pengurusan masa atau nama lain penyakit malas semakin tidak boleh dibendung. Pantang ada masa terluang, mahu sahaja mata ini terlelap. Ngee. Ulasannya? Tunggu dulu ya. Tangan saya sudah menjadi keras untuk mengarang di dalam blog ini. Penangan sudah lama tidak menulis :)

Sekarang pula, saya sedang dalam proses membaca buku karya Bahruddin Bekri - Penulis yang Disayang Tuhan dan Diari Mat Kilang karya Ahmad Fairus Daud. Seronoknya membaca.