Monday, June 24, 2013

Bookathon

Bookathon.

Rentetan peristiwa membaca dan membeli buku pada minggu ke-25.

Isnin. Saya sampai di rumah dari tempat kerja dan masuk ke halaman ruang tamu. Lalu saya terpandang deretan buku di sofa. Spontan saya tersenyum. Hilang terus kepenatan bekerja. Oh, buku-bukuku. Saya suka letak buku yang mahu dibaca di tepi sofa. Sudah menjadi tabiat pula. Deretan buku yang disusun di tepi sofa itu bagaikan motivasi dan penyejuk mata. Ada orang suka melihat matahari terbenam, suasana pagi di kaki gunung dan saya pula tidak gemar semua itu. Saya suka melihat buku, rak buku, dan orang yang sedang membaca.

Pada minggu ini, agak istimewa sedikit. Ini kerana saya berlatih agar boleh membaca 100 halaman pada setiap malam. Pada kebiasaan, saya membaca 10-15 halaman. Itu pun kalau saya membaca pada malam itu. Masa tidur ialah pukul 10.00 malam dan saya anjakkan sedikit ke pukul 11.30.

Sumber Gambar : Sini
Agak berbaloi usaha itu kerana saya berjaya menghabiskan pembacaan sebuah buku karya Wan Zayuhisham Wan Yusoff bertajuk, Cikgu, Anak Saya Okey? Ada 195 halaman semuanya. Terbitan Galeri Ilmu.  Ia mula dibaca pada hari Isnin dan selesai pada hari Selasa. 2 malam yang produktif.

Ini bukan karya pertama penulis. Ada  buku sebelumnya yang dihasilkan. Buku ini memiliki 20 bab yang mengisahkan pengalaman dan pemerhatian penulis sepanjang berkecimpung di dalam dunia perguruan. Pelbagai kisah yang diceritakan beliau seperti peranan guru dalam menekankan aspek agama di dalam diri pelajar seperti solat dan aurat, keprihatinan akan kondisi pelajar yang mungkin melibatkan isu keluarga atau tahap pembelajaran, kepedulian ibu-bapa dan peranan PIBG, serta pelbagai isu semasa yang melibatkan psikologi murid dan impak teknologi. 

Melalui buku ini, penulis meluahkan secara telus pandangannya dari kaca mata seorang guru. Secara ringkasnya, guru di dalam buku ini bukanlah kerjanya menyuap ilmu dan mengejar silibus sahaja. Mereka digambarkan seperti - Guru yang mahu melihat anak didiknya menjadi manusia berguna. Guru yang gigih mempromosikan elemen peduli (concern) terhadap setiap pelajar. Guru yang percaya kekuatan diplomasi untuk menyelesaikan pelbagai masalah. Guru yang suka penglibatan ibu-bapa dalam membantu pihak sekolah menjayakan program pendidikan. Membaca buku ini membuatkan kita melihat profession perguruan sebagai satu profession yang sangat mulia. Berbanggalah anda jikalau anda seorang guru yang berjiwa guru....

Rabu. Cuti Baca Buku.

Khamis. Pun cuti membaca juga. Ini kerana hari ini ialah program membeli buku dengan riang rianya di Hasani Bookstore, Giant. Tidak perlu ronda satu kedai kerana secara puratanya saya akan ke kedai ini seminggu sekali untuk membuat rondaan atau dalam erti kata lain cuci mata. Saya tahu buku apa yang saya mahu beli. Seperti yang dirancangkan.

Tadaaaa....


Tidak cukup di situ, saya membeli belah atas talian pula kerana ada dua buah buku yang memuatkan karya Hlovate tidak dijual di kedai ini. Pergi ke Portal Jemari Seni. Beli 3 buah buku di situ - Pelangi, Gurindam Jiwa dan Anthem.  Beli lagi Anthem sebab Lakshmi, kawan baik saya itu, sudah membuat  Anthem kepunyaan saya seperti hartanya sendiri dan entah bilalah dia boleh mengkhatamkan buku itu walaupun sudah berulang kali saya katakan padanya, "You faham tak baca buku BM ni? ", Lalu apa katanya, "Hello, I'm Malaysian OK". Buku Anthem yang baru ini untuk Lakshmi.



Selain itu, saya juga ke portal Deen Prints untuk membeli edisi Majalah JOM [Dakwah Itu Mudah] yang saya terlepas iaitu Siri 7, 9, 11, 12, 13, dan 14. Di Kulim ini, hanya ada satu sahaja (setahu saya) kedai yang menjual majalah ini iaitu di sebuah kedai kecil terletak di pekan Kulim yang dimiliki oleh seorang pakcik India Muslim. Dia menjual pelbagai suratkhabar, majalah dan komik. Masalahnya, saya bukan selalu ke kawasan ini, sebab itulah boleh terlupa. Alih-alih, apa??? dah terlepas beberapa siri. Mujur boleh membeli atas talian.

 Okay. Tamat program membeli buku berdasarkan bajet yang sudah ditetapkan dan dirancang. Tutup akaun. Tabahkan hati jikalau ternampak mana-mana buku yang berkenan di hati sehingga 20 Julai.

Jumaat. Tidak membaca buku juga. Mazlan ajak sekali lagi ke Giant atau spesifiknya Hasani Bookstore. Mahu membeli buku untuk dihadiahkan kepada kawannya. Ketika sibuk melihat Mazlan memilih-milih, tiba-tiba saya terpandang buku Catatan Penglipur Lara Sang Majistret. Aha...ini buku yang saya cari setelah sekian lama. Lalu saya pegang kemas buku itu. Percayalah apabila saya mula mengambil sebuah buku, maka bersiap sedialah wahai duit, pasti akan ada 2-3 buah buku menyusul. RM100 konon sebulan. Tertewas juga.

Haa, inilah hasilnya...Buku Urutan Mesra Buat Si Manja itu bukan buku saya. Buku yang mahu dihadiahkan kepada kawan Mazlan. Serius, isi kandungan buku ini agak bagus. Sempat saya membacanya sebelum Mazlan mengeluarkan beberapa perkataan, "Aaa, itu buku orang...". Oopps. Sangat bahaya jikalau saya sudah berkenan terhadap buku ini, silap hari bulan, tidak jadi dihadiahkan kepada orang. Hehe.

 


Sabtu. Setelah melakukan kerja-kerja asasi sebagai seorang wanita seperti memasak, mengemas rumah dan bergurau senda dengan penghuni rumah, barulah saya boleh bermesra-mesraan dengan  buku saya. Yeye! Inilah masanya saya membaca buku Catatan Penglipur Lara Sang Majistret karya Zabidi Mohamed. Buku ini tebalnya 255 halaman, juga terbitan Galeri Ilmu (GI). Erm, banyak juga buku GI yang saya baca kebelakangan ini. Saya membaca beberapa testimonial yang positif di dalam FB tentang buku ini, kerana itulah saya mahu membacanya.

Sumber Gambar : Sini

Buku ini ditulis dengan gaya penceritaan yang baik sekali. Penulis menyusun atur setiap plot cerita dengan kemas, tidak kelihatan terlalu membebel dan tidak terlalu menonjolkan dirinya sebagai hero yang selalu menyelesaikan masalah. Secara keseluruhan, ada 4 kisah lucu yang mahu dikongsikan penulis sepanjang karier beliau sebagai seorang majistret yang berkidmat di Kelantan. Buku ini memang penuh dengan kelucuan. Kelucuan di sini bukanlah bermaksud lucu sehingga anda ketawa berguling-guling. Cukup sekadar menggelikan hati dan membuat saya tersenyum.

Ini buku yang bagus jikalau anda mahu memahami suasana pekerjaan sebagai seorang majistret. Contohnya bagaimana beliau mengendalikan sebuah kes penyeludupan 3 kampit beras Siam oleh seorang makcik penjual nasi dagang. Penulis bercerita sehingga saya sebagai pembaca boleh menggambarkan prosedur perbicaraan yang melibatkan jurubahasa dan bagaimana majistret menimbang pelbagai situasi sebelum menjatuhkan hukuman. Dan melalui buku ini, saya baru tahu ada istilah penjara sehari...Tambah unik lagi, buku ini banyak bercerita tentang suasana hidup di Kelantan dan penulis tidak lokek pula berkongsi bahasa-bahasa baru yang dipelajarinya. Sedikit sebanyak, elemen sebeginilah yang menambahkan senyuman ketika membaca.

Bukan itu sahaja, saya juga mendapat gambaran jelas tentang prosedur sebatan kepada pesalah. Di dalam buku ini, penulis menceritakan pengalamannya melihat 3 orang lelaki (berlainan bangsa) yang melakukan kesalahan rogol dan disebat sebanyak 6 kali sebatan. Saya pula berfikir, ini baru sebatan di dunia belum lagi di akhirat. Pasti berganda-ganda kesakitannya. Tetapi bukan itu yang mendominasi pemikiran saya. Saya lebih banyak berfikir tentang keadaan mereka yang masuk ke dalam ruang sebatan yang dalam keadaan memalukan. Sungguh, saya sedih pada bahagian ini.  Saya mula membaca pada pukul 12 tengahari dan selesai pada pukul 4 petang.

 
Sumber Gambar : Sini
Ahad. Aktiviti rutin saya agak padat pada hari ini. Maka aktiviti membaca pun on-off. Saya memilih buku Yang Pelik Lagi Hairan karya Sahrulazmi Sidek, terbitan KarnaDya dan berketebalan sebanyak 210 halaman. Seingat saya buku ini dibeli 3-4 tahun yang lepas. Sampai naik kuning warna kulit bukunya baru dibaca. Selesai dibaca pada pukul 5 petang. Hehe.

Buku ini bagus dari segi isi kandungan. Ada 33 bab yang ditulis pendek-pendek. Semuanya mengajak pembaca untuk banyak bermuhasabah tentang kehidupan ini yang memerlukan pelbagai rasa; manis, masam dan pahit. Disajikan pembaca dengan pelbagai analogi dan selepas itu disuruh kita berfikir tentang modal kehidupan dan keadaaan jiwa. Ditanya kita tentang definisi kebahagiaan dan diluaskan makna itu, biar jangan sempit kepada aspek material dan fizikal sahaja . Diberitahu kita tentang sikap manusia yang keliru dan ditunjukkan cara yang betul. Dibentangkan kepada kita tentang bekalan hidup dan dikisahkan pula kepada kita akan neraka dan syurga.

Sedikit oleh-oleh daripada buku yang boleh difikir-fikirkan :

Hidup jangan suka bertangguh-tangguh kerana banyak perkara dalam hidup yang berlaku tiba-tiba. (Halaman 86)

Gaya Hidup Kita : (Generasi Tok Wan) Kahwin > Dapat Anak > Anak pergi sekolah > (Generasi Anak) > Kerja > Beli Motor/Kereta/Rumah > Kahwin > Dapat Anak > (Generasi Cucu) Suruh pergi sekolah... Kalau kita hidup, nawaitu kita hendak sekolah tinggi, masuk universiti, kerja bergaji besar, boleh beli kenderaan dan rumah mewah. Inilah cita-cita ayah pada kita, cita-cita tok wan kita, cita-cita kita, kemudian ia jadi cita-cita pada anak kita, cita-cita semua. Pi mai pi mai tang tu juga. (Halaman 178-179)

Manusia jarang lupa memberi makan perutnya tetapi ramai manusia yang lupa hendak memberi makan mindanya (Halaman 182)

Aduss! Membaca buku ini membuatkan saya bertanya tentang persiapan saya ke kubur. Sesungguhnya, di dalam syurga semua percuma, namun untuk ke sana bukan percuma. Aduss. Longlai lagi. Cukupkah bekalan?

Dan Allah tidak akan menunda (kematian) seseorang apabila waktu kematiannya telah datang. Dan Allah Maha teliti terhadap apa yang kamu kerjakan. (Al-Munafiqun, 11)


Tuesday, June 11, 2013

2S

2S.

Syukur dan Semangat.

Itu tema buku yang saya baca pada minggu lepas.

Pada entri yang lepas, saya tidak sempat berkongsi tentang 2 buah buku bukan fiksyen yang dibaca bersama Anthem. Tulis punya tulis, tidak sedar berjela sudah panjangnya saya menulis tentang Anthem sahaja. Seronok sangatlah tu :)


1 Minit Keajaiban Allah

Buku ke-10, 1 Minit Keajaiban Allah (1MKA) karya Gufron Hidayat. Buku ini memiliki ketebalan sebanyak 134 halaman. Sedikit sahaja. Ia merupakan karya dari Indonesia dan diterjemahkan ke Bahasa Melayu. Saya kira, target pembacanya ialah kanak-kanak dan remaja awal berdasarkan reka bentuk kulit  dan dalaman yang meriah dengan warna dan lukisan. Sesuai juga dijadikan buku bedtime story untuk anak-anak. Saya pula membeli buku ini kerana tajuknya yang agak catchy  dan  membuatkan saya teruja mahu mengetahui kandungannya. Semoga ada sesuatu di situ yang boleh membuatkan saya berfikir tentang kekuasaaan Allah.

Terdapat 100 artikel yang dimulakan dengan Tahukah anda..?  dan menurut penerbit  setiap 1 artikel itu mengambil masa 1 minit untuk dibaca. Itulah asal-usul perkataan 1 Minit pada tajuk buku ini. Ini bermakna dengan 100 artikel, seorang pembaca akan mengambil masa 1 jam 40 minit untuk menyempurnakan pembacaan  DAN saya pula megambil masa berhari-hari untuk buku ini. Konflik pengurusan masa :)

Apa yang saya suka tentang 1MKA ialah cara penulis yang bukan hanya membentangkan fakta semata-mata ala buku ensiklopedia. Tetapi, penulis  juga pandai memilih kata-kata seruan dan peringatan yang ringkas, tidak berat dan senang untuk difahami dalam menyimpulkan setiap artikel.  

Buku ini membantu saya untuk berfikir secara mikro dan makro pada setiap makhluk ciptaan Tuhan. Saya membaca tentang pepatung yang memiliki mata mikro sebanyak 30,000 dan setiap mata itu memandang pada arah yang berbeza. Saya membaca tentang bulu-bulu merak yang mempunyai rongga kecil, berbentuk 2 dimensi dan bersaiz ratusan lebih kecil daripada rambut manusia sehingga cahaya boleh dipantul dan menghasilkan pelbagai warna. Saya cuba membayangkan j54 otot bekerja pada waktu yang sama ketika saya melakukan gerakan yang sederhana. Buku ini juga ada menyatakan kita memerlukan masa selama 50 tahun untuk mencernakan sepotong daging jikalau tanpa sistem pencernaan yang mengandungi enzim. 

Fuh! Senyap dan tidak terkata-kata. Subhanallah!

Semut Pun Bertasbih kepada Allah

Buku ke-11, Semut Pun Bertasbih kepada Allah (SPBA) karya Dr. Musa Al-Khatib. Penulis ini bukan orang Indonesia tetapi buku ini merupakan terjemahan ke Bahasa Indonesia. 197 halaman. Berkulit keras tetapi kualiti kertasnya fesyen lama-lama sikit. Saya baca satu persatu, siap dengan pen lagi. Alasannya, fokus saya mula lari, mungkin sebab bahasa Indonesia saya yang sudah hampir luntur sejak ayah saya meninggal dan jarang menonton drama Indonesia :). Memenatkan dan hampir putus asa membaca buku ini. Tetapi, oleh kerana mesej di dalamnya yang begitu menarik, maka dikuatkan semangat.

Satu perkara yang boleh saya kongsikan pengalaman ketika membaca buku ini ialah saya seperti dapat merasakan ada satu macam perasaan sejuk mengalir di hati setiap kali saya menyelak halaman demi halaman dan membaca ayat demi ayat. Serius. Saya sendiri tidak faham mengapa. Mungkin itu juga faktor mengapa saya terus membaca. 

Buku ini bukan sahaja bercerita tentang semut. Ada juga tentang burung hud-hud dan gunung serta makhluk-makhluk Allah yang lain (bukan manusia). Mesej buku ini ialah tasbih kepada Allah - bagaimana makhluk-makhluk ini bertasbih kepada Allah. Sangat menarik. Tambahan pula, penulis sangat berilmu. Walaupun nampak macam remeh sahaja tajuk dan isu buku ini, namun dek kerana penulis seorang yang berilmu, membuatkan pembaca yang membaca buku ini ada sahaja info yang baru diketahui. Kalau sudah diketahui pun, info itu seperti 'pemujuk' dan semacam boleh melembutkan hati. Oleh kerana itu, saya katakan buku ini ini seperti air yang menyejukkan hati. Chewah.

Hasil dari membaca SPBA ialah saya menjadi lebih hormat kepada makhluk-makhluk Allah yang lain. Seterusnya membuatkan saya lebih sopan dan berperikemanusiaan kepada mereka terutama kucing-kucing di rumah ini. Mana tidaknya, mereka walaupun tidak dikurniakan akal, tetapi tetap patuh, tetap mengingati Allah dan tetap berzikir kepadaNya dengan cara mereka tersendiri. Saya pula makhluk yang berakal, selalu sahaja lupa dan selalu sahaja lalai. Mereka lebih baik dari saya.


Sebelum tidur.
Baik kita berdoa. 
Tuhan,
terima kasih kerana membantu saya membaca setiap hari. 
Sesungguhnya saya ada konflik pengurusan masa 
Mohon bantuannya.

Tuesday, June 04, 2013

Anthem - Hlovate

Alhamdulillah.

Saya sudah selesai membaca 1 Minit Keajaiban Allah karya Gufron Hidayat.

Juga sudah membaca Semut pun Bertasbih kepada Allah karya Dr. Musa Al-Khatib.

Terkini, Anthem karya Hlovate juga berjaya disudahi.

Sudah 11 buah buku nampaknya untuk tahun ini.

Sekarang tiba masanya untuk 'bersedekah' ilmu dengan berkongsi apa yang saya jumpa sepanjang pembacaan.

Saya mulakan dengan novel Anthem tulisan Hlovate.

Budak ini  (maksud saya- Hlovate) kalau membaca karyanya, memang tidak sah tanpa Google. Ada beberapa perkataan/terma/situasi yang saya tidak fahami dan menyebabkan gangguan untuk saya berimaginasi peringkat tinggi. Apalagi, tablet pun dicapai dan minta bantuan Pakcik Google. Saya percaya ini perkara normal untuk pembaca-pembaca karya Hlovate bukan. Apalah nasib :)

Saya dapat rasakan Anthem bukan mahakarya Hlovate atau merupakan karya yang terbaik berbanding lainnya. Memandangkan saya belum membaca kesemua karyanya, hanya Contengan Jalanan sahaja, maka tidak adil saya memberi penilaian sebegitu :) Jikalau mahu dibandingkan dengan Contengan Jalanan (CJ) yang saya baca pada tahun lepas, amatlah berbeza tahap kualiti pengisiannya bagaikan Ipoh dan KL. Serius, hampir 40% isi kandungan di dalam CJ tidak saya fahami (terutama apabila menyentuh bab muzik dan seni lukisan). Pada masa itu, saya masih pembaca amatur Hlovate, jadi tidak tahu lagi yang saya perlu dekat dengan kamus atau Google ketika membaca karyanya. Tetapi dalam tidak faham itu CJ tetap menggugah dan menyebabkan saya seperti tersentak bla bla bla.

Namun begitu. Ya diulangi, namun begitu, Anthem tetap memiliki sesuatu yang membuatkan saya tidak boleh membandingkan ia dengan karya-karya yang lain. Anthem memiliki keistimewaannya tersendiri. Anthem sangat sweeetttttt! Membacanya membuatkan saya senyum sehingga ke telinga (over sangat itu). Hati berbunga-bunga dibuatnya. Alahai. Jangan salah sangka, tiada ayat-ayat bunga, cintan cintun segala bagai itu di dalam novel ini ya. 

Saya membaca 2 kali untuk novel Anthem ini.

Bacaan pertama bermula pada hari Ahad, kira-kira pada pukul 8 malam. Sepanjang awal pembacaan, hati mula terdetik, "Eh ini cerita cinta Dash dan Lee ke?, Tidak mungkin kot. Hello, tidak mungkin Hlovate mahu habiskan masanya buat cerita cinta semata". Sebagai seorang yang berpengalaman membaca novel cinta, saya sudah seperti tahu apa penghujung cerita ini. Tetapi, ya saya masih mahu berkembara melayan Anthem kerana saya percaya Hlovate tidak akan menulis for nothing. Lagipun,saya tidak mahu meneka sangat, sebab penulis boleh bila-bila sahaja mengubah jalan cerita dari kebiasaan.

Awal pembacaan, pembaca dihidangkan dengan intro kisah 2 orang budak sekolah menengah (Nur Dania Dashrin aka Dash aka Dania dan Badlee aka Lee) yang asyik bergaduh. Seorang dengan keras kepalanya/gaya baratnya dan seorang lagi yang sangat tegas/penuh ciri kemelayuan. Masuk bahagian kedua, kisah 2 orang budak ini lagi cuma berbeza suasana dan ini selepas SPM. Begitulah seterusnya sehingga mereka besar panjang. Anthem terbahagi kepada 3 bahagian utama; Silam, Selepas Silam dan Kini.

Saya mengambil masa yang agak sekejap untuk 'masuk dan beradaptasi' bersama watak-watak di dalam Anthem. Saya yang tidak mempunyai sifat sabar yang tinggi ini, sudah seperti tidak keruan mahu cepat-cepat mengetahui apa pengakhiran untuk Dash dan Lee. Saya cuba  membaca terus ke halaman akhir, tetapi tidak boleh, saya seperti kehilangan pangkal cerita. Alternatif kedua,saya membaca gaya sepantas kilat (sebab masa sudah tidak mengizinkan) dan langkau bahagian celoteh,cetusan fikiran, tazkirah, pengisian, monolog dan apa-apa yang tidak ada kena mengena antara Dash dan Lee. Dengan gaya baca tebuk sana-sini itu, sampailah saya ke halaman akhir pada pukul 3 pagi. Mata sangat pedih tetapi hati penuh dengan bunga dan semestinya tidur sambil senyum. Yahuu! Saya tidak menangis membaca karya Hlovate pada kali ini.

Kemudian saya membaca untuk kali kedua bermula di halaman 165, Bahagian 2 sehingga akhir. Hari Isnin, masa pukul 9 pagi dan tamat pukul 4 petang. Membaca dengan cermat. Membaca sambil berfikir terutama bab buku Syahadatul Haq dan Peranan Pelajar dalam Membina Masa Depan Dunia karya Abu A'la Al-Maududi. Saya mahu mengetahui bagaimana 2 buah buku itu 'dikisar dan diadun' di dalam Anthem dari sudut praktikal. Saya juga mahu belajar melalui Dash tentang perjuangan dia untuk menjadi dirinya sendiri. Bagaimana dia mendepani semua itu dengan sedikit keras kepala dan ia berakhir kepada sebuah pencarian untuk menjadi adamantium. Bermula dengan sedikit demi sedikit usaha dan pengorbanan, akhirnya membawa kepada keindahan . Banyak perkara yang diolah oleh Hlovate di sini untuk menyampaikan mesej ketuhanan, makna Islam sebagai ad-deen dan tarbiyah.

Dan..

Membaca untuk kali kedua ini rupanya sedikit berbeza. Lensa sudah berbeza. Tidak sempat berbunga-bunga. Baca punya baca, akhirnya saya tiba di halaman  351-352, saya membaca rentetan perbualan antara Kak Jiji dan Dash :

Kak Jiji ketawa. "Actually, ada this one quote from great man. Dia cakap...'Kamu akan dapati manusia itu seperti logam ataupun himpunan berjenis-jenis besi, baiknya mereka di waktu jahiliah, baik juga mereka di waktu Islam, sekiranya mereka faham' ". Dia mengucapkan.

"That....is deep". Dash mengangguk setuju. I think I like this guy yang bagi quote ni. Very fair and non-judgemental.

Tidak semena-mena, spontan air mata saya jatuh. Dash, the guy is Rasulullah saw, kata saya dalam hati. Maka, buat drama lah saya pada halaman ini. Menangis sakan di sini. Walaupun kenyataan Dash itu biasa-biasa sahaja bunyinya, tetapi ia mencetuskan sesuatu dan ia betul-betul menyentuh hati saya, "A'a yek, kenapa aku tidak terfikir benda ini. Tidak pernah dengar sirah yang Rasulullah saw being judgmental kepada umatnya". Mulalah saya teringat kisah badwi yang kencing sembarangan di masjid. Kisah badwi yang mengasari baginda tetapi baginda tetap cool dan tidak marah pun.

Hlovate ada menulis di halaman depan buku :

Every soul has a past
Every soul lives a present
And every soul deserves a future
No judging on one's past
Because it might be your future.

Saya rasa tulisan itu merupakan rumusan terbaik apa yang penulis mahu sampaikan melalui Anthem.

Anthem meriah dengan latar tempat dan budaya yang boleh memperkembangkan ilmu geografi dan sosiologi anda. Anthem juga penuh dengan bunga-bunga perasaan. Haha. tidak lupa, novel ini penuh dengan ayat-ayat yang kelakar.  Sekali lagi, semuanya berbalik kepada lensa anda. Jikalau anda membaca untuk  memahami nilai dan mesej, insyaAllah, anda akan berjumpa sesuatu untuk difikir-fikirkan.  

Nota : Saya sampai sekarang tidak tahu apa hubungkait antara perkataan Anthem dan cerita ini. Kamus dan Google sudah habis digeledah, tetapi masih tidak faham. Haha. But its ok.