Sunday, September 29, 2013

Big Bad Wolf dan Buku Baru

Beberapa kisah sekitar buku yang membuatkan saya senyum sepenuh hati. Alahai! Bahagianya diri.

Jumaat, 27 September

Setelah penantian kesekian lamanya, akhirnya Tim Big Bad Wolf mengumumkan tarikh jualan buku yang akan dibuat pada bulan Disember yang akan datang ini. Yehaaa! Mari kita berpesta!

Beberapa perkara perlu diselesaikan untuk misi ini. Satu, hasut Mazlan untuk mengambil cuti. Mazlan perlu diselitkan di dalam agenda ini kerana dia adalah watak yang akan membawa buku-buku yang berat itu. Kedua, perlu adakan mesyuarat tergempar  dengan Mazlan untuk membincangkan bagaimana ke MIECC - pengangkutan? hotel? Mazlan merupakan orang penting dalam mesyuarat ini sebab dia adalah watak utama yang akan memandu kereta dan membaca peta laluan komuter yang saya tidak faham sampai sekarang. Ketiga, peringatan untuk membeli troli supaya Mazlan tetap cergas sambil tersenyum dan tidak menganggu isterinya memilih buku seperti memilih tudung. Muhahaha!
 
Sebenarnya, dengan adanya jualan mega ini, ia juga  merupakan alasan untuk ke KL. Spesiknya ke Kinokuniya. Mahu menjerit sekuat-kuatnya!!!



Sabtu, 28 September

Balik ke Ipoh. Setiap bulan kami akan mendedikasikan 1 hujung minggu untuk berada di Ipoh. Tanggungjawab menziarahi ibu-bapa mertua saya.  Kepulangan kali ini, saya teringin ke Jusco. Ini juga peluang untuk membawa seorang anak saudara saya yang tidak berapa sihat itu berjalan-jalan. Memandangkan kami berdua adalah pasangan yang agak kuno - No Junk Food, No Cinema - jadi, kami bertiga menghabiskan masa di kedai buku : Popular Bookstore dan MPH.

Gambar di bawah merupakan buku-buku yang saya beli pada bulan September. Saya membeli Geng ABCDE karya Hlovate dan baru separuh dibaca. Ia merupakan buku untuk kanak-kanak sekolah rendah saya rasa, sebab ada disebut mata pelajaran Kajian Tempatan. Saya tangguhkan dulu bacaan buku tersebut sebab saya mahu mengumpul mood. Setelah mendapat gaji, seperti biasa saya akan laburkan duit untuk membeli buku. Saya agak beringat sedikit pada belian kali ini, sebab saya teringatkan misi saya untuk Big Bad Wolf nanti. 2 buah buku dibeli iaitu Biografi Prof Dr. Muhaya dan Youssef Nada. 2 buah buku ini masih lagi belum dibaca sehingga kini.

Seperti yang disebutkan pada perenggan di atas, saya, Mazlan dan seorang anak saudara telah menghabiskan berjam-jam masa di 2 buah kedai buku di Jusco Ipoh. Bukannya apa, saya sedang memujuk diri - beli ke tak, beli ke tak - akhirnya, ada juga tangkapan yang dibuat. Saya membeli 3 buah buku - sebuah buku solat untuk anak saudara, 2 buah buku + 1 Majalah untuk saya iaitu Reclaim Your Heart, Creating Purposeful Life dan Majalah JOM.

Setelah habis membayar buku-buku itu, baru saya tersedar saya sudah kehabisan duit. Alamak! Masa untuk meraih simpati Mazlan.



Ya Allah
Terima kasih kerana memberikan saya Mazlan yang sentiasa memahami isterinya yang berperangai macam kartun!


Monday, September 23, 2013

9 Karya Hlovate

Baru habis bertapa membaca kesemua karya Hlovate. Ada karya yang saya perlu baca sekali lagi rasanya  (seperti Contengan Jalanan dan Geng ABCDE) sebab saya rasa seperti tercicir sesuatu sepanjang pembacaan. Saya ambil gambar untuk kesemua karya yang saya baca itu - 2 keping gambar. Oleh kerana saya tertarik dengan tarikh penerbitan dan tarikh karya tersebut ditulis, maka saya cuba menyusun karya-karya tersebut mengikut tarikh seperti yang dimaksudkan.

Gambar di bawah ini menunjukkan susunan karya-karya Hlovate mengikut tarikh mula ditulis. Saya perolehinya melalui halaman akhir untuk setiap karya. Versus berbeza kerana tidak ditulis  tarikh mula ditulis. Berdasarkan gambar ini, Tunas merupakan hasil tulisan penulis yang terawal sekali iaitu  ditulis pada tahun 1999. Beliau ada menyatakan di halamanakhir Tunas di mana beliau mula menulis tentang kisah Addin  ketika di Tingkatan 3. Sesiapa yang pernah membaca karya Hlovate, pasti tahu kisah Addin itu hanya ada pada Tunas dan aA+bB. Sempat saya menyembang dengan Mazlan, "Abang, saya rasa dia ni sebaya  atau muda setahun dengan kita lah". (Haha. Mukaddimah entri saya dimulakan dengan aura stalker gitu!). Balik kepada gambar di bawah, pengajaran yang boleh kita renung-renungkan ialah masa yang diambil untuk menyiapkan sesebuah karya bukannya singkat. Ya, bukannya singkat. Jadi berpada-padalah Welma dalam berkongsi cerita, mana tahu ada buku-buku di bawah ini yang tidak kamu berkenan!

Susunan mengikut tarikh karya ditulis

Kawan saya pernah menyebut yang dia mahu membaca karya Hlovate mengikut turutan. Turutan yang jenis macam mana, tidaklah pula saya tahu. Mungkin maksudnya turutan mengikut tarikh penerbitan seperti gambar di bawah. Setelah membaca kesemua karya Hlovate, ya, saya berbesar hati untuk mencadangkan kepada pembaca yang baru berjinak-jinak dengan karya Hlovate untuk membaca karya beliau mengikut tarikh penerbitan. Ini kerana saya rasa, seiring dengan tarikh penerbitan itu, karya-karya penulis  telah menampakkan satu proses kematangan dan pembaikan yang ketara. Ia bermula dengan lovey dovey, kisah budak sekolah dan kisah budak universiti. Tambahlah sedikit perencah agama.

Tetapi bermula dengan Rooftop Rant, Versus, Contengan Jalanan, Anthem - sangat jelas di situ- Hlovate sudah mahir memasukkan elemen-elemen agama sebagai tunjang utama cerita dalam mendidik pembaca menjadi orang yang baik melalui karya-karyanya. Ada kisah cinta tetapi ia hanya sampingan.. 

Susunan mengikut tarikh diterbitkan
2007

Gurindam Jiwa merupakan kompilasi 3 cerita daripada 3 penulis iaitu Hlovate, Imaen dan Noor Suraya. Karya Hlovate di dalam buku ini diberi nama Schuberts Serenade. Kisah yang biasa-biasa sahaja. Kisah Najwa dan abang tirinya yang bernama Syah. Ia lebih kepada cerita kekeluargaan - kasih seorang adik kepada abang. Saya pun tidak faham kenapa saya lekat dengan cerita ini. Saya rasa Hlovate ada stail beliau sendiri dalam bercerita bab kasih sayang dan perasaan sehingga saya rasa eh.eh.adakah Najwa dan Syah akan jatuh cinta. Ada elemen sweet di sepanjang cerita yang membuatkan pembaca sedikit tertanya-tanya. Mujur watak Syah itu dimatikan. Jadi tidak perlu mengusutkan fikiran bab-bab perasaan yang sweet  itu. Tetapi dengan dimatikan watak itulah yang membuatkan cerita pendek ini menjadi sedih secara automatik. Tambahan pula jikalau anda membaca sambil mendengar alunan musik Schuberts Serenade. Adoyai! Bahagian kedua cerita ini pula mengisahkan kehidupan Najwa selepas kematian Syah. Di sinilah saya merasakan karya ini hanya biasa-biasa sahaja. Mungkin pada tahun ini, penulis masih dalam proses mengasah bakat atau juga penulis tidak berapa pro dalam bab bercerita tentang kisah bangkit dari kesedihan.
Rating : 3/5

Dalam banyak-banyak karya yang dihasilkan Hlovate yang menyentuh bab perasaan antara lelaki dan perempuan, 5 Tahun 5 Bulan adalah yang terbaik sekali. Sangat. Sangat. Sangat Sweet! Sampai sekarang jikalau saya melihat karya ini di rak buku, mesti saya tersenyum. Impak gula yang diberikan Hlovate. Ini kisah Ana atau Johanna dan Afiq. Kisah bermula apabila dia bekerja sementara sebagai amah di rumah Afiq (abang long). Berlanjutan seterusnya kisah ini ke Aberdeen di mana Ana melanjutkan pelajaran di dalam bidang kedoktoran di situ. Tiada ayat-ayat cinta di dalam karya ini kerana ia bukan kisah cinta seperti yang biasa kita faham. Ia seperti sesuatu kisah di dalam hati - bunga-bunga di dalam hati atau tepatnya - di mana tuan punya perasaan itu tidak sedar yang dia sebenarnya jatuh hati. Ya. Di sinilah kepakaran Hlovate saya kira dalam bab bercerita tentang perasaan yang tidak terungkap dengan perkataan tetapi hanya dijelaskan dengan perlakuan. Saya kira itu kekuatan Hlovate dengan stail penulisannya yang sangat teliti bercerita setiap momen dan detik. Ia sangat jelas dan pembaca mampu melihat perasaan itu terjelma di muka Ana dan Afiq walaupun tanpa medium skrin tv.
Rating : 4/5

2008

aA + bB ini pula ehm... 

Saya sudah mencuba sedaya upaya, membaca berkali-kali, kot-kot boleh melihat sisi pandang yang lebih positif, tetapi saya tetap tidak boleh masuk dengan karya ini. Saya tidak suka watak Addin. Saya tidak suka watak perempuan yang ego dengan suami dan tiada usaha pun untuk mencintai suaminya. Tetapi saya suka watak Benz. Tenang dan penyayang. Karya ini mengisahkan Addin dan Benz yang berkahwin mengikut pilihan keluarga dan yang menjadi harunya mereka berdua ini memang bagaikan api dan bara sejak dari sekolah menengah lagi. Pendahuluan dan penutup karya ini diolah dengan baik. Ada banyak mesej yang disampaikan jikalau pembaca terus melayan novel ini sehingga Addin mengandung, keguguran dan mengandung semula. Cumanya, ya saya amat penat di bahagian pertengahan cerita (halaman 83-337)  dari satu isu ke satu isu seperti YM dengan Aie dan ada pula muncul watak Dora yang saya kira plot itu tidak berapa menarik minat pembaca wanita dewasa.
Rating : 2/5

Sebenarnya, setelah membaca aA+bB beberapa bulan yang lalu, saya sudah meletak karya ini jauh-jauh. Tetapi setelah membaca Tunas beberapa hari yang lepas, itulah yang membawa saya membaca semula aA+bB. Tunas merupakan kisah alam sekolah menengah untuk sebahagian watak-watak di dalam aA+bB. Saya suka watak Addin di dalam Tunas. Saya juga suka watak Benz di sini. Saya suka semua watak termasuk Magnificent 7. Tunas mengingatkan pembaca tentang sekolah. Saya kira, Tunas  berjaya menghipnosiskan pembaca untuk mengenang memori persekolahan sehingga membuatkan kita tersenyum dan mungkin rindu cerita-cerita dahulu. Mungkin ada sebahagian kisah di dalam Tunas merupakan kisah kita juga. Tunas merupakan sebuah karya yang evergreen. Sesiapa sahaja yang membacanya tidak kira usia pasti tersenyum. Kalau 20 tahun akan datang sekalipun, saya percaya Tunas akan sentiasa mendapat komen yang positf.
Rating : 4/5

2009

Rooftop Rant ini memang menganggu perancangan saya. Sepatutnya saya selesai  pembacaan untuk kesemua karya Hlovate pada minggu lepas. Tetapi , lain pula jadinya. Bermula dari halaman 18 hingga 538  untuk karya ini saya menangis. Aduh saya tidak boleh tahanlah bab-bab remaja yang tidak mendapat kasih sayang keluarga. Saya rasa mahu peluk sahaja Trisy di dalam cerita ini. Karya ini mengisahkan Trisy yang kaya tetapi miskin kasih sayang. Kisah Jade yang ada keluarga prihatin tetapi tidak faham dengan cita-citanya. Kisah Trisy yang patah semangat. Kisah Jade yang menguatkannya semula. Ini  bukan kisah cinta Trisy dan Jade sebab elemen sebegitu tidak wujud walaupun di hujung cerita mereka berkahwin. Ini kisah seorang sahabat yang prihatin dengan sahabatnya. Sahabat yang prihatin dan memahami  lebih dari keluarga sendiri. Rooftop Rant agak unik dari segi jalan cerita. Ia agak suram pada permulaan. Dengan kesuraman itulah, pembaca dibawa menyelami kisah Trisy dan Jade di atas bumbung - mendengar luahan hati mereka - Trisy dengan kata-kata dan Jade dengan lukisan. Kemudian setting cerita bertukar. Kisah Trisy tanpa Jade. Dia menjadi Trisy yang baru. Jade pula  masih terus menerus dengan impiannya. Impian yang dicetuskan oleh Trisy. Jauh di mata, dekat di ingatan. 5 tahun selepas itu mereka bertemu semula.Ini novel air mata namanya.
Rating : 6/5

Pelangi seperti juga Gurindam Jiwa. Ia merupakan kompilasi 3 cerita daripada 3 penulis iaitu Hlovate, Syud dan Noor Suraya. Karya Hlovate di sini namanya Ked's Story. Pendek sahaja jalan cerita. Banyak yang manis-manis di sini. Kisah seorang budak skate iaitu Ked (Khalid Faizal) jatuh cinta dengan Nawal , budak perempuan yang berbaju kurung.Jikalau mahukan cerita lanjut watak-watak ini, menyusul karya Hlovate seterusnya iaitu Versus.
Rating : 3/5

2010

Versus bukan kisah Ked dan Nawal semata-mata. Ini juga kisah Minn  (adik  Ked) dan AO. Kisah budak skate yang berjuang menjadi orang baik. Baik menurut Islam. Plot cerita diolah dengan solid dan kemas dengan rujukan bacaan. Pembaca boleh merasakan betapa susahnya watak-watak ini mengubah diri. Pembaca dibawa juga sekejap ke alam yang manis-manis itu. Kemudian sedikit konflik antara Minn dan AO. Sambung semula bab perjuangan. Hlovate rasanya gemar membaca buku Harun Yahya. Diadun buku-buku itu di dalam cerita ini seperti mana beliau mengadunnya di dalam Rooftop Rant. Plot cerita yang ringkas dan senang difahami, seimbang yang manis dan masam serta penghujung cerita yang ditutup dengan kemas.
Rating : 5/5

2011

Contengan Jalanan. Ini karya Hlovate yang pertama saya baca dan saya menulis perkongsian itu di sini.  Antara semua karya Hlovate, inilah yang paling menggugah sekali. Sangat menggugah. Sangat menyentuh sehingga membuatkan saya rasa saya seperti  saya kehilangan sesuatu. Haha. Dalam saya rasa diri sudah baik (astargfirullah), Contengan Jalanan masih mampu menerobos masuk jauh sekali di alam lubuk hati sehingga membuatkan mata saya bergenang dan saya boleh merasakan nun jauh di sana - telah diketuk-ketuk - jiwa yang sakit tetapi tuan punya diri tidak menyedarinya sebab mungkin selama ini  dia  solat cukup, ibadah cukup, program agama cukup dan dia rasa dia okay. Saya membuat keputusan untuk membaca semula Contengan Jalanan sebab seperti yang saya katakan sebelum ini, saya tericir sesuatu pada bacaan kali pertama pada tahun 2012. Tunggu waktu yang sedikit lapang insyaAllah. Entri perkongsian tentang Contengan Jalanan itu perlu dikemaskini.
Rating : 6/5


2013

Saya pernah menulis tentang Anthem di sini. Saya membaca Anthem sebelum saya membaca karya-karya Hlovate yang lain kecuali Contengan Jalanan. Dulu saya kata Anthem sangat sweet tetapi sebenarnya semua karya-karya beliau ada elemen yang manis-manis dan menepuk-nepuk perasaan.Apabila saya membaca Versus, saya cenderung untuk meletakkan Anthem berada di dalam satu kapal. Saya melihat ada persamaan dari konsep penceritaan cuma hanya berbeza plot dan suasana. Ehm, mungkin juga tidak. Anthem mengisahkan pencarian identiti diri manakala Versus pula mengisahkan tentang perjuangan menjadi baik. Ehm, sama. Sama konsep cuma berbeza plot.
Rating : 5/5


Kesimpulan

Dalam dunia latihan dan mengajar, saya pernah diajar satu teori seperti gambar di bawah. Tindakan yang kita lakukan merupakan hasil dari proses yang pelbagai seperti proses pemikiran, sikap dan perasaan. Proses ini tidak boleh dilihat sebagaimana kita boleh melihat tindakan. Ketika mengajar, kita tidak boleh terlalu menumpu menyelesaikan proses-proses tersebut untuk mencapai satu tindakan yang diingini kerana ada satu lagi entiti yang tidak kurang penting iaitu Mindset @ View orang tersebut. Oleh itu, seorang pengajar yang baik, dia akan cuba menghubung-kaitkan antara Mindset dan Proses+Action. 


Apa yang saya mahu katakan sebenarnya ialah untuk menjawab persoalan kenapa karya-karya Hlovate terus berdaya saing hingga ke hari ini, ialah erana beliau bukan hanya menumpukan ceriteranya kepada susunan proses (gabungan pemikiran, sikap dan perasan) dalam membentuk dan mengajar pembaca menjadi baik tetapi penulis tidak mengabaikan elemen mindset sedia ada yang dimiliki pembaca sehinggakan pembaca merasakan watak di dalam karya itu adalah sebahagian dengan dirinya dan dia mahu berubah sebagaimana watak-watak itu berubah.




Nota Akhir :

1) 2 buah buku Gurindam Jiwa dan Pelangi itu belum sempat saya selesaikan pembacaannya terutama untuk karya-karya Noor Suraya dan Syud. Bukan niat saya untuk mengabaikannya, cuma saya sedang berkejaran dengan masa dan saya capai mana yang mampu diselesaikan dahulu. Akan dibaca juga InsyaAllah sebelum 2014.

2) Kalau boleh saya mahu mengelakkan kata-kata pujian untuk Hlovate sebab pujian yang lebih tidak bagus untuk hati dan bila-bila masa boleh terpesong dari niat yang betul. Walaubagaimanapun, saya harus mengakui penulis seorang yang berbakat. Saya doakan semoga Allah memberi ilham kepada penulis untuk  meluaskan skop penulisannya yang melibatkan penggunaan Bahasa Melayu yang betul agar karya-karya beliau boleh dianggap memiliki nilai sastera. Penting untuk kelangsungan karya agar boleh ditatap sepanjang zaman. Saya tahu ia kemahiran yang sangat susah kerana selalu terjadi novel yang menggunakan bahasa yang betul ini akan menganggu emosi sepanjang pembacaan, rasa sangat skema pun ada.

3)Saya percaya jikalau ada sesuatu yang menjentik hati di dalam karya Hlovate, itu bukannya kerana kemahiran menulis penulis, tetapi itu adalah hidayah dengan keizinan Allah. Seperti yang saya selalu katakan dengan Mazlan, saya harap suatu hari nanti, saya boleh berjumpa dengan Hlovate . Tempat itu ialah di syurga.

Tuesday, September 03, 2013

Jaulah Mencari Ilmu

Bertolak

Baru-baru ini saya, Mazlan dan 3 orang rakan yang lain (Sarah, Kak Ramziah a.k.a Kak Ram + suami, Akh Najmuddin) menghadiri Konvensyen Bidadari (KB) 2013 dan Bengkel Suami Mithali (BSM) yang diadakan di Putrajaya International Convention Center (PICC). KB merupakan program yang khusus untuk wanita manakala BSM pula untuk lelaki.

Perjalanan ini bukan sahaja terhad kepada program mencari ilmu tetapi secara tidak langsung merangkap  juga di dalamnya sesi kenal-mengenal ahli keluarga kawan. Manakan tidak, kami menginap di chalet 'jajahan' keluarga Kak Ram. Semestinya, peluang beramah-mesra dengan ahli keluarganya terutama kedua ibu-bapa digunakan sebaik mungkin. Baru namanya orang muda yang pandai bergaul. Haha!

Kami bertolak dari Kulim pada 30 Ogos (Jumaat) kira-kira pada pukul 6.30 petang dengan menaiki  2 buah kereta yang berbeza. Tiba di Banting, spesifiknya tempat kami menginap, pada pukul 2 pagi.


Program KB dan BSM dilaksanakan secara serentak di 2 buah dewan yang berbeza. Program KB kaya dengan kepelbagaian gaya penyampaian penceramah dengan intisari topik yang saling lengkap-melengkapi dan menyentuh pelbagai isu wanita.

Hari Pertama

Kami tiba di PICC pada pukul 9.00 pagi. Terdapat 6 slot pada hari ini yang menampilkan pelbagai pembentang seperti Ustazah Nurhafizah Musa, Dr. Rubiah Kulup, Prof Muhaya, Ustazah Fatimah Syarha, Ummi Ros, dan tetamu undangan Syeikh Mirza Yawar Baig.

Awal pagi kami dimulakan dengan sentuhan Ustazah Nurhafizah Musa melalui tajuk pembentangan beliau,  Solat Khusyuk Penyejuk Hati. Ustazah bagaikan seorang doktor yang datang memberi penawar kepada hati yang sakit (seperti saya) dengan ungkapan-ungkapan beliau yang  seperti biasa sangat menyentuh hati. Ini sesi air mata untuk diri saya.

Slot kedua selepas itu yang dibentang oleh Dr. Rubiah Kulup, dengan tajuk Membentuk Keluarga Membangun Ummah agak rancak sedikit. Haha. Kami semua dihiburkan dengan celoteh Dr. Rubiah yang sangat bersemangat dan penuh dengan humor. Isi utama pembentangan beliau ialah tentang pendidikan anak-anak dan pembangunanan kekuatan seorang ibu yang merupakan guru pertama kepada anak-anak itu sendiri. Saya agak tergangggu dengan struktur penyampaian yang tidak berformat (bukan silap Dr. Robiah tetapi kerana saya ialah jenis analytical learner), namun begitu saya cuba mengawal konsentrasi dengan menulis apa sahaja yang disebut oleh Dr. Apabila melihat semula nota-nota itu, rupa-rupanya ia bukan sekadar pembentangan santai yang hanya diisi dengan lawak, tetapi terkandung di dalamnya pelbagai kaedah pendidikan. 

Selepas itu, menyusul pula Celik Mata dan Jiwa yang disampaikan oleh Prof Dr. Muhaya.Sesiapa yang biasa menonton rancangan Dr. Muhaya pasti sudah boleh mengagak isi kandungan utama pembentangan tersebut melalui tajuk yang diberikan. Kasih tanpa syarat, berfikiran positif, dan audit diri merupakan elemen penting yang disampaikan beliau.

Kira-kira pada pukul 1 petang, kami berehat untuk memberi laluan makan tengahari dan solat. Inilah masanya juga berjumpa dengan 2 orang lagi lelaki teman seperjalanan kami yang sedang berbengkel di dewan yang lain. 

Dan

Inilah juga masa saya mencuci mata di gerai-gerai yang menjual pelbagai barang. Seperti biasa, barang yang sudah dijangka akan saya beli ialah seperti di bawah :

Ini gerai pertama yang saya kunjungi. Saya membeli semula buku Prophetic Parenting Cara Nabi Mendidik Anak. Dahulu saya pernah memiliki sebuah, tetapi sudah dihadiahkan kepada seseorang. Saya belum membacanya lagi,  tetapi banyak orang yang jumpai, seringkali mengatakan kebagusan buku ini. 2 buah buku yang lain itu pula, saya kira ia buku yang sangat jarang dijumpai di Kulim mahupun secara atas talian, jadi saya pun membelinya dengan niat menambah koleksi.


Kemudian, saya singgah di gerai Brotherhood Arts. Membeli Majalah JOM - edisi 17 dan 18. Ini juga merupakan antara koleksi peribadi saya.


Tiba-tiba saya terpandang sebuah gerai yang menjual tudung akel bidang 60. Aha! Tunggu apa lagi. Keluar sudah sifat keperempuanan saya memilih tudung-tudung yang berkenan di hati. Setelah berhempas pulas di situ tanpa sebarang penyesalan, saya pun meneruskan misi melawat gerai demi gerai. Cantik sungguh jubah-jubah di situ. Tetapi apabila terpandang harganya yang mencecah RM200, okay, bukan masanya. RM200 itu boleh membeli 1 buah buku rujukan di Kinokuniya. Haha!

Selepas itu, saya singgah di gerai Ibooks. Penerbit dan pengedar buku-buku dakwah. Mahu melihat dan menambah koleksi buku usrah. Buku-buku di bawah bukan merupakan buku baru (kecuali Motivasi Dakwah dan buku latihan Catatan Murabbi) di dalam dunia kaderisasi malah isi kandungannya sudah menjadi darah daging akibat didikan usrah sejak berusia 16 tahun lagi. Namun begitu,  semakin menua, semakin saya merasakan saya tidak mengkhatamkam pemahaman untuk mana-mana konsep atau buku-buku yang berkaitan. Apabila saya membaca Anthem, ia membuatkan saya banyak berfikir, terutama tentang 2 buah buku yang disebut di dalam novel itu. Pastinya saya bukan berfikir tentang isi kandungan 2 buah buku itu sebab ia sudah pun mesra di akal setelah sekian lama. Saya cuma berfikir tentang bagaimana Anthem boleh menerangkan konsep-konsep itu dengan lembut, indah dan menyentuh hati saya. Haish! Saya pun tidak faham apa yang saya melalut ini.



Slot ke-4 bermula pada pukul 2.40 petang. Pada kali ini giliran Ustazah Fatimah Syarha pula mengambil ruang pentas dengan tajuk pembentangan Kebebasan Wanita pada Zaman Risalah. Sesi pada kali ini berformat ala-ala bedah buku. Kebebasan Wanita itu sendiri merupakan tajuk sebuah buku yang mengandungi 5 jilid kesemuanya. Dalam ruang masa yang sedikit, beliau hanya akan berkongsi bermula dari bahagian pengantar sehingga ke Bab 1 Jilid 1. Namun begitu, sehingga pukul 4 petang, ada beberapa slaid lagi yang tidak sempat dikongsikan beliau yang mana secara sepintas lalu saya melihat slaid itu sangat informatif. Saya antara orang terkilan kerana walaupun sesi ini sangat membosankan dengan lambakan cetusan ilmiah, namun begitu saya sangat menikmatinya. Kredit untuk ustazah yang membentangkannya dengan sangat baik sekali.

Selepas itu, menyusul pula Ummi Ros (pengasas Raudhatus Sakinah) mengambil ruang pentas dengan membentangkan pelbagai isu sekitar remaja dan peranan Raudhatussakinah. Penyampaian yang sangat bersahaja, santai dan penuh dengan sentuhan keibuan menjadikan sesi yang biasa-biasa ini bertukar kepada sesi refleksi diri tentang tanggungjawab yang dimainkan untuk membantu ummah. Pelancaran buku Performing Physical Examinantion (An Introduction for Pre-Clinical Students) yang ditulis oleh Alia Nadhirah Ahmad Fakhri dilakukan di sesi ini juga. 

Program selesai kira-kira pada pukul 6 petang. Kini, masa untuk berehat dan solat. Slot seterusnya akan bermula pada pukul 8 malam. Di kesempatan itu, saya yang sangat teruja dengan sesi pelancaran buku sebentar tadi, singgah di gerai Cool Mum Super Dad untuk membeli buku Alia Nadhirah. 

Alia Nadhirah merupakan anak kepada Puan Jamilah Samian, tokoh yang saya minat itu kerana kerja-kerja pembinaan legasi beliau yang sangat mengujakan saya. Saya membeli buku ini bukan kerana saya mahu membaca isi kandungannya (kerana ia tidak relevan dengan saya buat masa ini) tetapi kerana saya sangat kagum dengan penulis - usia yang muda dan tahu mengembangkan potensi serta tahu memanfaatkan masanya. Mudah-mudahan dengan pembelian ini, menaikkan semangatnya untuk terus membina legasi samada dari sudut kerjaya sebagai bakal doktor atau minat dalam bidang illustrasi. Bagi saya, tidak semua buku yang kita beli, kerana mahu mencari inspirasi di dalamnya, tetapi ada juga ketika kita membeli buku kerana mahu memberi semangat kepada penulis untuk terus dan terus menulis!

 

Tepat pukul 8 malam, sesi yang dinanti-nantikan bersama Syeikh Yawar Baig menyusul dengan tajuk pembentangan yang sangat catchy, Mothers - Go Out and Change The World. 

Kalau kamu mahu mengubah dunia, kamu harus percaya yang tugas paling kritikal perlu dilakukan ialah membesarkan anak-anak kamu dengan betul. Itu intipati mesej yang disampaikan oleh syeikh. Lalu kata beliau, bagaimana mahu melakukannya. Saya ringkaskan, ada 4 kesemuanya : Kenali Allah dan ajar anak-anak kamu mengenali Allah, rancang apa yang kamu harapkan anak-anak kamu menjadi apa di masa hadapan - it can't be outsourced kata beliau, letakkan strategi, dan buatlah pelaburan samada masa atau duit untuk menjayakannya.

Program tamat pada pukul 10 malam. Kami berlima kembali ke Banting sejurus selepas itu. Sempat juga menghadiri jamuan raya yang dianjurkan oleh kakak kepada Kak Ram. Banyak -banyak terima kasih untuk segala budi yang diberi. 

Hari Kedua

Pukul 9 pagi, program dimulakan dengan Wanita di Mata Allah - Dr. Harlina Siraj. Beliau membentangkan perkongsian dalam konteks wanita dan perjuangan wanita. Bermula dengan definisi wanita, penciptaannya, seterusnya begerak ke perjuangan memartabatkan hak wanita serta situasi wanita Islam pada hari ini yang sangat menyedihkan. Beliau mengakhiri pembentangan dengan sebaris kata-kata yang sangat sweet bagi saya : Mereka ( merujuk kepada srikandi yang syahid di Mesir) ialah bidadari, biiznillah, dan kita ialah bidadari, insyaAllah. 

Selepas itu ada sesi penggayaan bersama Puan Maryyani, Bergaya Menurut Islam. Ini memang betul-betul ilmu baru untuk saya dan saya tidak pernah terfikir untuk mengetahuinya. Haha. Sesi ini penuh dengan aktiviti yang interaktif. Penceramah merupakan seorang yang memiliki bakat penyampaian yang sangat bagus, sesuailah dengan kerjaya beliau sebagai perunding imej. Beliau mengatakan penggayaan melibatkan 3 perkara - penampilan, pergaulan dan pertuturan. Pada sesi kali ini, beliau hanya menyentuh tentang penampilan. Pelbagai perkara yang disentuh seperti bentuk tubuh badan, tatarias wajah dan langkah-langkah bergaya. Wow! Tiba-tiba rasa diri selekeh . Haha.

Ada satu lagi slot bersama Syeikh Yawar Baig sebelum mengakhiri sesi pagi. Pada sesi ini beliau memperkenalkan Standard Bearer Academy. Sebuah perkongsian yang penuh dengan semangat dan cita-cita untuk menghasilkan pejuang ummah. Syeikh seperti biasa ada sahaja memasukkan info-info baru yang sangat menggugah. Kelmarin, beliau bercerita tentang spesies haiwan sehingga membuatkan kami semua teruja, dan pada hari ini, beliau bercerita pula tentang sekolah-sekolah di dunia ini yang menghasilkan pemimpin dunia. Haish! Tetiba sahaja saya merasakan diri langsung tiada sumbangan untuk umat ini dan tiba-tiba juga saya merasakan cita-cita saya sangat kecil.

Selepas 3 slot berakhir di sesi pagi, seperti biasa, kami berehat. Selepas makan bersama kawan-kawan, saya berjalan-jalan di sekitar gerai-gerai jualan bersama Mazlan. Datang perasaan gedik bergambar. Ambil gambar kenangan - program kembara suami isteri.


Sesi sebelah petang dimulakan dengan  Dialah Ibu, Isteri dan Guru yang disampaikan oleh Puan Zalisa Alias (pengasas Genius Aulad). Ini merupakan seorang lagi tokoh di Malaysia yang saya kagumi kerana pencapaiannya dalam dunia pendidikan kanak-kanak. Beliau berkongsi tentang kaedah bercerita kepada anak-anak, homeschooling dan  motivasi untuk menyediakan kemahiran anak-anak melebihi apa yang disediakan sekolah. Saya sedar penyampaian beliau agak mendatar dan mengundang rasa bosan. Saya rasa sudah masanya kita mengasah diri untuk tekal ketika mencari ilmu. Jangan didik diri untuk sentiasa  menerima pembentangan yang ada unsur lawak sahaja baru kita mahu memberi perhatian. Jikalau terlelap, masih boleh dimaafkan kerana ia respon yang tidak boleh dikawal tetapi kita boleh mengawal bukan dari bermain-main dengan telefon bimbit.

Kemudian ada Forum : Wanita Berkaliber yang diisi dengan Puan Muna Izzah (moderator) dan barisan panelis seperti Puan Wardina Safiyyah, Ustazah Nazirah Muhammad, Puan Jamilah Samian dan Puan Azzah Abdul Rahman. Forum ini agak santai. Moderatornya ada kekuatan humor yang baik. Entah kenapa reaksi beliau sangat mencuit hati. Saya sangat suka cetusan yang dibangkitkan oleh  Puan Wardina Safiyyah (oh mungkin perkataan yang paling sesuai ialah menempelak) tentang mentaliti kita yang mahu hadir ke program ilmu apabila hanya ada artis yang diundang sahaja. Satu lagi poin yang saya beri fokus ialah apabila Ustazah Nazirah menyebut tentang 10 watak seorang muslimah iaitu, tetap dalam ketaatan, benar, sabar, khusyuk, bersedekah, berpuasa, memelihara kehormatan, banyak menyebut nama Allah dan 2 lagi itu saya tidak berapa dengar dan faham. Ngee. Boleh rujuk Surah Al-Ahzab, ayat 35.

Laluan untuk makan, solat dan berehat bermula pada pukul 5.45 petang hingga 8 malam. Kesempatan itu digunakan sebaik mungkin oleh kami bertiga, saya, Sarah dan Kak Ram. Hasil promosi saya sebentar tadi dengan menunjuk gambar yang saya ambil bersama Mazlan, mencetuskan perasaan mahu bergambar juga di lokasi yang ditunjukkan seperti di dalam gambar. Kami pergi ke sana dan seperti biasa malu-malu kucing. Haha! Kami tiada gambar berlima sebab kaum lelaki bukan seperti perempuan yang sentiasa berkepit. Jikalau terjumpa Mazlan, Akh Najmuddin pula tidak dijumpai dan begitulah sebaliknya. Banyak lagi gambar yang diambil tetapi ini sahaja yang boleh dikongsi (untuk blog) setelah penapisan dibuat oleh Mazlan.

Betulkah bidadari? Menjadi anak yang solehah rasanya lebih mudah berbanding menjadi seorang isteri yang solehah. Ngee.
Kemuncak dan penutup konvensyen ini ialah dengan pembentangan Syeikh Yawar Baig bertajuk Bringing Up A Muslim Child . Rata-rata isi pembentangan Syeikh merupakan perkara baru kepada saya samada dari sudut informasi maklumat (knowledge) atau pandangan (view). Saya perasan, setelah melalui 3 siri pembentangan beliau, Syeikh sangat gemar menyebut tentang legasi - apakah legasi yang kamu  mahu tinggalkan - dan melalui pertanyaan ini beliau akan mengaitkan tentang pendidikan anak-anak. Satu perkara yang beliau selalu sebut dan saya sangat suka iaitu membaca, membaca dan membaca. Ajar mereka berdoa. Ajar mereka tentang sunnah. Ajar mereka untuk meminta apa sahaja kepada Allah. Ajar mereka untuk mencapai kecemerlangan. Ajar mereka disiplin. Ajar mereka kerjasama bukan persaingan . Ajar mereka menjadi penyumbang bukan pengguna. Apabila mendidik, tumpukan kepada pembinaan karakter dan sikap. Itu antara poin-poin yang saya dapat melalui slot terakhir ini.

Sesi bersama Syeikh Mirza Yawar Baig
Balik

Majlis ditutup dengan doa yang panjang lebar diketuai oleh Syeikh Yawar Baig. Kami terus balik sejurus itu. Kami singgah di Kampar untuk menghantar Sarah dan tiba di sana kira-kira pada puku 1 pagi. Oleh kerana mata sudah tidak boleh dikawal, asyik mahu tertutup sahaja, maka saya dan Mazlan tidur di  RNR RTC, Simpang Pulai. Tidur yang sangat lena dan hanya sedar pada waktu Subuh. Sebaik menunaikan solat, kami meneruskan perjalanan balik ke Kulim. Alang-alang sudah melalui Ipoh, singgah sebentar menziarahi kedua-ibu bapa ( Ibu-bapa Mazlan, ibu-bapa mertua saya). Terkejut mereka kami datang awal-awal pagi. Haha. Tidak lama di situ. Hanya sejam sahaja. Sekadar sarapan bersama, bertanya khabar, dan borak-borak merapatkan hubungan kekeluargaan. Alhamdulillah tiba di Kulim, kira-kira pada pukul 10 pagi.

Alhamdulillah, kerana diberikan peluang menuntut ilmu dengan suasana yang kondusif.
Alhamdulillah, kerana perjalanan ini bukan sekadar mencari ilmu tetapi juga  wadah dalam merapatkan silaturrahim dengan Sarah, Kak Ram dan suaminya serta ahli keluarga mereka.
Ahammdulillah, kerana dalam sibuk bergembira mencari ilmu itu, masih sempat berkasih-sayang dengan ibu-bapa.
Alhamdulillah di atas segala-galanya

Saya akhiri dengan kata-kata ini yang saya perolehi melalui slaid pembentangan Dr. Rubiah :
Seorang ibu yang bijaksana nilainya sama dengan 10 orang guru di sekolah - MY Nasution