Monday, October 07, 2013

Usrah Mingguan : 6 Oktober 2013

Usrah Mingguan
Tarikh : 6 Oktober 2013 ( Ahad)
Masa :3 pm-6pm
Kehadiran : Makcik Latifah (Naqibah), Makcik Hamidah, Kak Rohani, Welma

Agenda :

1) Tilawah
Surah At-Taubah, 123 - Surah Yunus, 20

2) Tasmi' Hafazan
Al-Mulk 1-5



3) Pengisian 1 : Himmah Aaliyah ( Teks ditulis oleh Ustazah Maznah Daud). 
    Sumber Teks : Sini

Saya belajar tentang perkataan Himmah pada sesi ini. Tiba di rumah, saya sempat mencari teks lain yang menyentuh tentang definisi Himmah sebagai bacaan tambahan.

Menurut teks yang dibekalkan, himmah didefinisikan sebagai sesuatu yang mendorong untuk melakukan sesuatu perbuatan/tindakan. Hasil perbincangan kami, himmah ini boleh difahamkan sebagai gabungan kepada perkataan cita-cita/misi/azam/tekad. Ada tulisan juga mengatakan himmah  ialah an-niah (niat), iradah (kehendak/obsesi)dan al-azimah (tekad) - bermula dengan niat, seterusnya membina keinginan/obsesi yang kuat dan bertekad/berazam untuk melakukannya. Himmah terbahagi kepada 2 iaitu  Himmatul Aaliyah (himmah yang tinggi/obsesi yang kuat) dan himmatul daniyah (himmah yang rendah/obsesi yang rendah). Fokus pengisian ini ialah Himmah Aaliah.

Saya menganggap sesi ini sebagai sesi motivasi. Membaca teks tulisan Ustazah Maznah ini membuatkan saya berkobar-kobar untuk menjadi terbaik dalam urusan agama saya. Jikalau kita mahu tergolong dalam golongan yang mempunyai himmah yang tinggi, antara sikap yang perlu dibentuk ialah 1) Sedia berkorban - tidak mengeluh kerana tiada kesenangan untuk mencapai cita-cita, 2) Tekad yang super kuat, 3) Sangat menjaga waktu - tidak akan membiarkan masa berlalu tanpa diisi dengan ilmu dan 4) Tidak berpuas hati kecuali mendapat syurga.

Dibincangkan juga di dalam sesi tentang bidang-bidang yang memerlukan himmah aaliyah iaitu dalam urusan seperti 1) Menuntut Ilmu, 2)Ibadah, 3) Mencari Kebenaran, 4) Dakwah dan 5) Jihad.Menurut penulis, saya tulis semula kata-kata beliau, bilangan mereka yang memiliki himmah aaliyah tidak ramai, tetapi merekalah yang akan menarik umat ini segera bangkit dari tidur yang lena dan mimpi yang panjang. Jom! Jadilah kita orang yang betul-betul berguna untuk umat ini.

Berikut pula terjemahan Quran/ hadis/petikan yang saya sangat terkesan ketika sesi ini. Ia sangat menggugah!
1) Surah Al-Maidah, 48
....... Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Dia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.
2)  Hadis - Riwayat Bukhari
....Apabila kamu memohon kepada Allah, pohonlah al-Firdaus kerana ia syurga paling tengah dan paling tinggi. Di atasnya ‘Arasy ar-Rahman dan darinya terpancar sungai-sungai syurga.” 

3) Kata-kata Hassan Al-Basri
Sesiapa yang mengejar kamu dalam urusan agamamu, maka kejar dia kembali. Dan sesiapa yang mengejarmu dalam urusan dunia, maka lemparkan saja ke atas tengkuknya. 
4) Kata-kata Al-Wahid bin Al-Ward
Sekiranya kamu mampu bahawa tiada siapa yang mendahuluimu dalam mendekatkan diri kepada Allah, lakukanlah!


4) Pengisian 2 : Kembalikan Landasan Kemurnian Dakwah
    Sumber Teks : Sini
 

Kami bergilir-gilir membaca teks ini.  Tulisan Akh Wan Ahmad Sanadi memang selalu mencetuskan kemanisan dan semangat yang kuat. Melalui perbincangan teks ini, kami melakar 3 pelan kerja dakwah sebagai satu usaha untuk menyahut seruan yang ditulis. Usrah bukan hanya medan diskusi dan muhasabah. Ia juga adalah platform untuk merancang strategi membaikkan masyarakat. Makcik Midah diarahkan untuk merancang program ilmu yang membicarakan Usul Isyrin. Kak Ani dengan program wanitanya. Saya pula, bersiap sedia untuk program kanak-kanak dan remaja di  taman kediaman saya sempena cuti sekolah yang akan tiba tidak lama lagi. Kumpulan usrah yang baik ialah kumpulan yang mampu melahirkan dan membina peribadi yang kuat dan sangat sibuk bekerja untuk dakwah ini.

Menelaah teks ini juga mencetuskan lagi satu usaha baru untuk memperbaiki diri. Ia bermula dengan soalan yang dilontarkan oleh Kak Ani tentang bagaimana untuk mengingati ayat-ayat di dalam al-quran. Contohnya, apabila kita bercakap tentang zina, adakah kita tahu secara automatik apakah surah dan ayat di dalam Quran yang merujuk kepada larangan zina. Suasana menjadi gamat dengan perbincangan apabila naqibah kami berkongsi pengalamannya dalam majlis ilmu yang dikelolakan oleh aktivitis dari Indonesia. Mereka bukan menyebut surah di dalam penyampaian mereka, tetapi cukup dengan nombor, sebagai contoh, isu tentang riba di dalam quran ialah pada 30:39. Ha! Jenuh! Turutan (Sequence) nama-nama surah pun saya tidak hafal. Saya pun mencadangkan, "Apa kata kita buat  ala-ala Glossari? " Saya teringat zaman sekolah dulu, jikalau kita belajar Bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu, selalunya kita ada sebuah buku untuk tulis perkataan-perkataan yang tidak difahami. Dari buku catatan itu, kita akan merujuk kamus dan ia akan dibaca berulang supaya lekat di ingatan. Kenapa kita tidak buat begitu untuk ayat-ayat di dalam Quran? 

Siapa yang rajin, bolehlah berusaha untuk buat glosari yang dimaksudkan itu dan saya percaya saya orang yang rajin itu. Haha. Bukankah pengisian pertama tadi menyentuh tentang himmah aaliyah? Inilah masanya untuk tergolong dalam golongan orang-orang yang memiliki himmah aaliyah. Alahai jauhnya beza kualiti jikalau mahu dibandingkan aktivitis dakwah dari Indonesia dengan kita. Kita mungkin terlalu berada dalam zon selesa.

5) Pengisian 3 : Sa'id bin Jubair ( Buku : 37 Kisah Kehidupan Tabi'in - Jilid 2)

Pada sesi usrah minggu lepas, kami diberi tugasan untuk membaca kisah tabi'in Sa'id bin Jubair yang terdapat di dalam buku Kisah 37 Kisah Kehidupan Tabi'in (Jilid 2). Naqibah saya berkongsi tentang usaha beliau menulis peta minda untuk kisah sahabat/tabiin. Menurut beliau, sangat bagus jikalau kita membuat peta minda sebab ia memudahkan kita ingat tentang kisah di dalam buku yang dimaksudkan.Saya seperti biasa, menyahut seruan itu. Sebelum ini saya baca juga buku-buku Usrah saya tetapi tidak pernah pula terfikir menulis peta minda. Tetapi kali ini saya buat. Kebaikan untuk saya juga.

Nota yang saya tulis ialah seperti di bawah. Seperti biasa, selalunya, hanya saya seorang yang faham nota yang saya tulis. Untuk membaca peta minda di bawah, anda perlukan sebuah buku rujukan iaitu (rujuk gambar di atas), buku 37 Kisah Kehidupan Tabiin (Jilid 2). Said bin Jubair digambarkan sebagai seorang yang sangat berilmu. Namun tulisan di dalam buku ini banyak menyentuh tentang kisah beliau dengan Al-Hajjaj - Gabenor Iraq Zaman Umaiyah yang menyuruh kesemua tentera yang ditawan mengaku kufur kerana melawan perintah dia. Said bin Jubair memilih untuk melarikan diri. Setelah sekian lama, beliau berjaya dikesan dan dibawa menghadap Al-Hajjaj. Akhirnya beliau dibunuh sambil dibaringkan, sebab ketika beliau menghadap kiblat, beliau membaca Al-An'am, 79. Al-Hajjaj palingkan beliau dari kiblat dan beliau baca ayat Al-Baqarah 115. Kemudian Al-Hajjaj tidak puas hati dan baringkan beliau. Beliau membaca pula ayat Taha, 55. Sebelum itu beliau berdoa, "Ya Allah, Janganlah Engkau berikan Al-Hajjaj menguasai sesiapa selepas saya". 15 hari selepas itu Al-Hajjaj demam panas dan ia membawa kepada kematiannya.





6) Peringatan Sebelum Bersurai a.k.a Tugasan
a) Lengkapkan Mutabaah Amal (Senarai amal yang dilakukan harian seperti Sunat Rawatib/Quran/Hafazan/Qiam/dll)  untuk bulan Oktober. Oops. Ini bahagian yang paling saya lemah. Tolong!!!
b)  Hafazan Al-Mulk, ayat 6-10
c) Baca Kisah Sa'id bin Al-Musayyab di dalam buku Kisah 37 Kisah Kehidupan Tabi'in (Jilid 2)

Ya Allah. Saya cintakan ahli-ahli usrah saya keranaMu.
Satukan kami di syurgaMu.

1 komen:

Unknown said...

Tahniah hidup anda diwarnai hal duniawi n ukhrowi.. masa dipenuhi dgn manafaat..