Monday, May 11, 2015

Buku ke 15 dan 16

Haih! Asal kemaskini blog sahaja mengeluh. Eheh.

Kuatkan semangat. Dengan kadar yang seperti kura-kura itu, pencapaian terkini buku yang dibaca pada tahun ini ialah baru 16 buah buku.

Oleh kerana sebegitu, maka, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur(PBAKL) baru-baru ini bukanlah menjadi impian utama untuk dituju. Ewah. Sebenarnya tidak sempat, ada aktiviti keluarga. Boleh sahaja pergi ke KL selepas itu, tetapi setelah melihat perangai diri sendiri yang tidak berapa bersungguh membaca (tetapi sangat bersungguh membeli), maka saya kata kepada diri, "Tak mengapa, habiskan dulu buku  di rumah tu ". Ayat lain, "Tak mengapa, nanti kita boleh pergi masa BBW hujung tahun".

Pujuk punya pujuk diri, maka, pergilah kami ke destinasi lain. Pengganti PBAKL. MPH, Ipoh. Belanja anak saudara membeli buku. Dulu, masa kecil, mak dan bapak selalu ajak ke kedai buku, sebab itu sikap membaca masih mendarah daging sehingga sekarang ini. Saya harap boleh memberi pengalaman yang serupa kepada anak saudara saya itu.

Saya yang sudah tenggelam dengan dunia saya.


Ini ialah hasil tangkapan saya :



Ada satu novel di situ - Isteri Separuh Masa. Ini kes terpengaruh dengan tv. Rumah di Kulim tiada tv. Apabila balik Ipoh, insyaAllah salah satu aktiviti utama ialah menonton tv. Jadi tertonton cerita Isteri Separuh Masa di tv saluran ?? (entah, lupa, almaklumlah, tidak biasa dengan tv haha). Memandangkan saya mempunyai perangai ingin tahu yang sangat tinggi tentang penghujung cerita tersebut, jadi belilah novel. Beli juga buku Diagnosis2. Hampir setiap orang yang saya temui di alam maya ini membaca Diagnosis2. Maka, saya pun terpengaruh. Saya sudah sampai peringkat rindu buku jenis pembangunan diri (self help) yang kerap dibaca setahun lalu. Tetapi tahun ini agak kurang, setelah saya meninggalkan dunia multinasional. Mungkin sekarang ini sudah cukup membangun kot (hehe).  Buku The Power of Habit nampak 'menyelerakan', maka ia pun diambil. Belilah juga 2 buah buku aktiviti, mana tahu boleh tercetus idea untuk diaplikasikan di sekolah.

Walaupun agak sibuk, tetapi sebenarnya, saya agak rajin juga membaca setiap hari. Puji diri gitu. Sebab, apabila sudah berumur 31 tahun seperti sekarang ini, rasa sangatlah tidak berguna jikalau masa dibiarkan sibuk begitu sahaja tanpa diisi dengan buku. Dulu, rasanya perasaan begini biasa-biasa sahaja. Tidak rasa bersalah pun kalau berminggu-minggu tidak membaca. Tetapi sekarang, lain benar rasanya. Tanda-tanda sudah semakin menua.

Setakat ini baru berjaya membaca dan menghabiskan 2 buah buku. Inilah gambar-gambar buku bertuah itu :

Life through My Eyes 2 (English Medium) 

Kalau anda seorang guru, buku Life through My Eyes 2  ini memang perlu dimiliki. Ditulis oleh Muhammad Hafiz Ismail, seorang guru matematik. Life through My Eyes 2 ini sebenarnya ada 2 siri. Siri pertama itu kehabisan stok di kedai-kedai MPH, hanya boleh dibeli melalui atas talian. Itu kata pekedai buku.

Siri kedua ini merupakan kesinambungan buku yang pertama, cuma kini ceritanya bukan bercerita tentang pengalaman penulis di SK Kampung Kenang, Perak Malaysia. Penulis telah mendapat anugerah MSC Malaysia Asia-Pacific ICT Alliance (APICTA) hasil daripada blog beliau (yang mengandungi catatan pengalaman mengajar di SK Kenang) dan melayakkan beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat Master Pendidikan dalam bidang Pembangunan Antarabangsa & Pendidikan (MEd, International Development and Education) di Universiti Newcastle, United Kingdom selama setahun.

Jadi buah tangan kedua dari penulis pada kali ini, merupakan kompilasi pengalaman beliau di UK dan Kasoa sepanjang bergelar pelajar. Ia bagaikan sebuah catatan harian, yang penuh dengan rakaman pengalaman, harapan, impian, pemerhatian dan emosi penulis. Isi kandungannya santai-santai sahaja. Jadi, ini bukanlah sebuah buku yang bercerita secara terperinci tentang apa yang dikaji oleh penulis. Sedikit mengharap juga di situ, namun masih tetap mengumpul inspirasi daripada penulis yang suka belajar dan penuh minat dengan bidang perguruan yang diceburinya.

Revolusi
Saya sempat juga membaca sebuah fiksyen - kompilasi 15 cerpen dari Ustaz Pahrol Mohamad Juoi. Seperti biasa tulisan penulis, memang selalu menjentik, sinis juga kadang-kadang. Setiap cerpen yang terkandung mempunyai pelbagai mesej, berbeza-beza. Ada tentang politik, persahabatan, kasih sayang, kemasyarakatan - begitulah bermacam-macam sikap manusia ditonjolkan.Setiap cerpen yang ditulis, bukannya panjang pun, memakan beberapa halaman sahaja, tetapi masih tetap mampu mnegajak pembaca berfikir tentang Tuhan dan menginsafi diri.Sampai mennitis air mata tahu.

Semua cerpen di dalam ini saya suka, sebab kelainanan yang dipaparkan untuk setiapnya. Susah mahu dibanding-bandingkan. Masing-masing ada mesej yang menyentap, kalau tidak mengena di hati, mengena di akal. Tetapi, yang paling membuatkan saya terus bersemangat (eheh), ialah cerpen terakhir - Bunga dari Kamunting Satu Catatan Peribadi. Kagum sebab penulis membawa cerita ini dari perspektif berbeza, sebab kebiasaan dengan tajuk Kamunting mestilah tentang penjara dan perjuangan. Tidak untuk cerpen ini.Ada juga disebut sekali lalu, tetapi yang paling mendominasi ialah cerita tentang buku, aktiviti membaca, aktiviti menulis dan sikap positif. Jadi apabila baca itu, terus rasa terkenang-kenang buku yang masih banyak belum dibaca, gitu! Percayalah, tulisan yang ditulis dengan penuh positif, bagaikan satu magnet, mampu menarik orang unttuk turut positif sama.


Ini pula ialah 2 buah buku yang sedang dibaca. Tidak boleh dibaca dengan fesyen lama - baca sebuah, habis kemudian capai sebuah buku lagi. Kalau begini gayanya, memang agak lambat. Tidak selari dengan gaya kehidupan saya yang kerap membeli buku.

Jadi, strateginya ialah baca serentak. Namun begitu, alahai, buku The Man Who Counted-a collection of mathematical adventures tulisan Malba Tahan sangatttttlah manis. Cuba juga mengamalkan speed reading atau skimming sahaja, tetapi oleh kerana kemanisannya itu, saya membaca buku ini ayat demi ayat, cuba menghayati setiap bait-bait kata, chewah. Dalam banyak buku yang dibaca, pasti ada beberapa buah yang kita tidak mahu ia sampai ke halaman terakhir. Bagi saya, buku ini ialah salah satunya.



Ha, tengok! Buku The Man Who Counted yang dibaca sudah seperti gaya menelaah. Buku fiksyen tentang matematik ini sudah mengheret saya sekali menyelesaikan persoalan matematik. Bukan tentang ilmu kira-kira sahaja, tetapi tentang kehidupan. Patutlah umat Islam yang bijak-bijak matematik masa kegemilangan Islam dahulu kala, menguasai pelbagai bidang. Mungkin ini salah satunya, sebab mereka melihat matematik dalam skop luas - cakap matematik, tetapi nampak kekuasaaan Allah, sebuat matematik, nampak sikap merendah diri, alahaiiiiiii, sebab itu saya kata buku ini sangat manis!

1 komen:

AdH said...

Aduh Welma.... rasa nak baca semua buku yang disebutkan ini. Arggghh masuk 'wishlist' dahululah. Saya baru memborong buku Kak Noor Suraya dan Bonda Nor awal bulan ini ^_^;

Ya, berakhirlah "puasa" beli buku saya selama 6 bulan ;) Sekarang kena sambung "puasa" beli buku lagi. Haha