Sunday, July 26, 2015

Sembang 3 buah buku selepas Raya

Masuk bulan Julai. Puasa sudah. Raya pun sudah. Menunggu-nunggu masa ke bulan Ogos pula. Masa berlalu dengan sangat pantas. Betullah. Dunia ini hanyalah kehidupan sehari atau setengah hari sahaja dibandingkan dengan kehidupan akhirat. Kehidupan yang kekal abadi.

Memanfaatkan masa dengan sebaik-baiknya bukanlah kerja yang mudah. Banyak halangan. Mudah cenderung untuk lalai. Dan bermalas-malasan. Selepas itu, baru hati terasa kosong. Apabila disemak semula, rupanya hari-hari hanya diisi dengan bermain-main. Justeru itu, setiap hari bermula, setiap kali membuka mata di awal pagi, seboleh mahu berazam untuk menjadikan hari itu antara hari-hari yang sangat bermakna. Hari-hari yang sibuk membaca. Menghabiskan buku-buku yang telah dibeli. Mahu dihadam apakah inti yang sudah dibaca.  Boleh ke? Soalan yang selalu menjanjikan jawapan yang mengecewakan. 

Ehm...apa yang saya merepek ni.......

Kesimpulannya, setiap kali saya melihat rak buku, setiap kali itulah datang kecewa dengan sikap dan pengurusan masa diri sendiri. Rupa-rupanya, aktiviti membaca bukan hanya membantu kita mengumpul banyak maklumat baru dan lama TETAPI juga berjaya membuatkan kita menjadi seorang yang suka termenung (baca : muhasabah).

Merepek lagi..........

Baik. Terus kepada kemaskini buku-buku yang telah dibaca sekitar Ramadhan sehingga sekarang.  Ada 3 buah buku kesemuanya dan ini menjadikan 29 buah buku telah dibaca sejak Januari 2015.


Saya  bermula dengan tulisan Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Puteriku, Nasihat Abah Untukmu. Saya tidak tahu anda, tetapi saya, memang suka mendengar ceramah atau membaca tulisan Dr. Zulkifli. Lembut dan menyentuh. Walaupun begitu, bukan semua buku tulisan beliau saya miliki. Ada lah dalam 1-2 buah buku. Belum cukup untuk mengaku sebagai peminat tegar bukan. 

Buku yang berwarna merah jambu ini ditulis untuk anak perempuan remaja beliau. Sebelum ini sudah ada 2 buah buku yang ditulis untuk kedua-dua anak lelaki. Isi kandungannya, seperti tajuknya, mengandungi pesanan-pesanan yang menyentuh pelbagi perkara. Antaranya, tentang menuntut ilmu, terus menghafaz quran, pandai membahagikan masa, terus berusaha, gigih membaca, rajin beribadah dan berakhlak mulia. Topik yang signifikan dengan minat saya dan mungkin kerana itu, nasihat di dalam ini seolah-olah ditujukan untuk saya juga. Kekadang terfikir, bagaimana perasaan anak penulis apabila membaca sebuah buku yang ditulis oleh ayah sendiri untuk dirinya?

Buku ini dimulakan dengan pengenalan kepada ahli keluarga penulis. Walau tidak menyeluruh namun cukup untuk memberi gambaran asas. Bolehlah juga dikatakan sebagai sebuah buku motivasi, kerana di dalamnya penuh dengan rangsangan untuk menjadi seorang yang berjaya di dunia dan akhirat. Semestinya, penulis tidak akan terlepas dari menukilkan contoh teladan daripada peribadi-peribadi soleh samada ulama silam atau manusia hebat zaman ini. Sebuah buku yang ceria, berwarna-warni menjadikan ia sebuah bacaan yang ringan, santai dan penuh dengan mesej nasihat. Walau ia ditulis untuk remaja, tetapi tetap sesuai untuk saya yang tua ini kerana nasihat-nasihat yang ditulis itu masih banyak yang saya tidak amalkan dengan sebaiknya. 



Buku yang kedua saya baca ialah sebuah buku tulisan Dr. Yusuf  Al-Qaradhawi yang bertajuk Nilai dan Pengurusan Waktu dalam Hidup Muslim.  Saya ada satu sikap yang pelik berkaitan dengan buku. Apabila saya menghadapi masalah, selain dari mengadu kepada Tuhan, penyelesaian yang biasa dibuat ialah pergi ke kedai buku. Cuci mata dan cari buku yang ada kaitan dengan masalah tersebut. Sejak akhir-akhir ini, masalah saya ialah membuang masa dan membuat pelbagai perkara sia-sia. Jadi, bolehlah diteka kenapa saya begitu tertarik dengan tajuk buku ini. Terfikir juga, penulis nampaknya cenderung untuk menulis tentang masa sebab sebelum ini saya pun pernah membaca buku tentang masa juga daripada penulis iaitu Masa dalam Kehidupan, terbitan PTS.

Setelah buku dibaca hampir separuh halaman, ia membuatkan saya teringat-ingat kepada Masa dalam Kehidupan. Ada persamaan. Cuma, Nilai & Pengurusan Waktu dalam Hidup Muslim ini lebih bersatu dengan diri saya. Saya pun cari semula buku Masa dalam Kehidupan dan membandingkan satu persatu isi kandungan kedua-dua buku ini. Kesimpulannya. Tahniah, Welma! Kamu telah membeli 2 buah buku yang sama. Namun saya tetap teruskan juga pembacaan sehingga ke akhir muka surat buku kedua ini. 

10  tahun yang lalu, saya selalu pelik dengan makcik saya yang memiliki 2 buah buku yang sama ketika saya mengemas rak buku beliau. Kekadang itu, sehingga 2-3 tajuk. Apabila ditanya, dia kata tak perasan. Berita baiknya, saya boleh ambil percuma buku yang terlebih beli itu. 10 tahun selepas itu, saya pula menghadapi masalah yang sama. Pengajaran yang boleh saya ambil ialah,  semakin banyak buku di rumah, semakin kita tidak perasan kehadirannya, terutama jikalau kadar pembelian lebih cepat berbanding dengan kadar pembacaan. Tetapi, untuk kes saya, buku pertama tadi sudah dibaca. Nampaknya tajuk buku itu yang mengelirukan. Jadi pengajaran kedua ialah, apabila kita melihat tajuk buku yang seperti seiras, periksa penerbit buku itu dan di halaman awal buku biasanya jikalau ia buku terjemahan, ada ditulis di situ tajuk asal. Tetapi, buku ini tidak ditulis tajuk asal pun. Adoiii, nak menang juga. 

Apapun, buku sudah dibeli dan tidak rugi pun sebenarnya. Buku terbitan PTS, terjemahannya kemas. Susun atur setiap tulisan juga kemas dan moden. Mudah dibaca. Mudah difahami. Ini perkongsian buku tersebut, seperti yang dikata, saya pernah membacanya suatu ketika dahulu. Klik sini. Buku terbitan Al-Shafa ini pula seperti buku agama lama dahulu. Dan ada penambahan , nota di setiap hujung bab, ala-ala rumusan. Setiap kali saya selesai membaca untuk satu-satu topik, saya akan meneliti nota rumusan itu - refleks semula apa yang telah dibaca. Menarik, berkesan dan saya suka. Pemilihan perkataan terjemahan juga sangat selesa, hidup, ia tidak plain dan kaku. Walaupun kedua-dua buku ini sama, namun cetakan Al-Shafa ini ada beberapa penambahan kandungan. Tidak banyak mungkin 1-3 %. Namun cukup untuk saya membandingkan antara kedua buku ini yang cetakan Al-Shafa lebih bersifat  motivasi. Ehm......

 

Buku yang terakhir (setakat ini), sebuah buku yang hebat. Ditulis orang yang hebat dan saya sangat bertuah kerana menjadi salah seorang pembacanya. The Man Who Counted - a collection of mathematical adventures karya Malba Tahan, seorang penulis dan professor Matematik Brazil. Buku ini dengarnya diterbitkan seawal 1938. 

Ada 2 watak di dalam kembara matematik ini. Hanak Tade, si pencerita dan Beremiz Samir, orang yang digelar sebagai the man who counted. Mereka berdua bertemu di Samarra dan bermulalah cerita kembara mereka sehingga ke Baghdad, sebuah insitusi keilmuan terhebat pada zaman itu. Setiap bab ada kisah matematik tersendiri. Diadun dengan sejarah, falsafah dan hikmah. Bukan kira-kira semata-mata tetapi prinsip di sebalik kira-kira itu yang diketengahkan. Jadi, bukan matematik yang kita nampak, tetapi kerendahan hati dan pengabadian kepada pencipta.

Begitu ajaib sekali langkah kerja matematik yang ditonjolkan oleh Beremiz dalam menyelesaikan setiap masalah, tidak terhad kepada nombor tetapi definisi di sebalik nombor itu. Algebra, kebarangkalian, mantik, tambah tolak, darab, bahagi diselesaikan bagai bersatu dengan kehidupan. Ia gambaran yang begitu akrab sekali, bergabung dengan ilmu sastera dan alam. Membaca buku ini membuatkan saya faham kenapa ilmuwan dahulu begitu hebat dalam menguasai pelbagai ilmu - sains dan sastera. Ini kerana mereka tidak melihatnya sebagai ilmu yang berpecah-pecah tetapi bersatu dan mereka mampu mengaitkannya antara satu sama lain, sehingga kemuncaknya menjadi orang yang taat kepada Tuhan dan lembut peribadinya. Berbeza dengan keadaan kita sekarang. Berilmu hanya sekadar bermakna memilki informasi. Ia hanya berlegar-legar dengan kerjaya, kenaikan pangkat dan hierarki dalam masyarakat.

Puncak kepada kembara Beremiz ialah apabila beliau diuji oleh 7 ilmuwan teragung empayar Islam pada masa itu di hadapan khalifah. Buku ini ditutup dengan ujian penentu yang dilihat sebagai soalan paling killer yang diutarakan oleh khalifah. 

Soalan itu begini. Ada 5 orang wanita, hamba abdi yang dihadiahkan kepada Sultan. 2 daripadanya memiliki mata berwarna hitam dan 3 berwarna biru. Wanita yang memiliki mata berwarna biru sifatnya penipu, setiap apa yang dikatakan ialah bohong belaka. Kelima-lima wanita itu dipanggil, berbaris di hadapan Beremiz dan tetamu dalam keadaan memakai purdah dan warna mata mereka tidak kelihatan. Beremiz dikehendaki meneka apakah warna mata kelima-lima wanita tersebut. Beremiz hanya boleh bertanya 3 soalan sahaja kepada mereka untuk mengetahui jawapannya. Jadi, setelah berfikir, Beremiz mengajukan soalan berikut :

Soalan kepada Wanita 1 - Apakah warna mata kamu?
Soalan kepada Wanita 2 - Apakah jawapan yang Wanita 1 katakan sebentar tadi?
Soalan kepada Wanita 3 - Apa warna mata Wanita 1 dan Wanita 2?

Dengan ketiga-tiga soalan itu, Beremiz berjaya memberi jawapan warna mata kelima-lima wanita tersebut mengikut turutan iaitu hitam, biru, hitam, biru dan biru. Ia bukan tekaan tetapi ada penjelasan logik dan matematiknya. Mahu tahu, perlu baca buku ini dan nikmati kembara matematik bersama Beremiz dengan puluhan soalan matematik sekitar masyarakat  yang membuatkan kita -  a'a ye, betul juga. Dengan terjawapnya soalan paling killer itu tadi, maka berkahwinlah Beremiz dengan Telassim, anak muridnya yang tidak pernah dilihat wajahnya kerana kelas Beremiz itu terdapat  tabir yang menghalang pandangan. Ini pun satu cerita yang membuatkan saya tergaru-garu kepala, bagaimana belajar matematik dalam keadaan tidak melihat guru dan tiada papan putih untuk melihat penyelesaian kira-kira? Ya, kelas Matematik mereka lain daripada lain ya. Mereka betul-betul belajar asas matematik - mengenal asal-usul nombor. 

Gembira ke dengan 29 buah yang sudah berjaya dibaca? Tidak sangat. Sebab saya rasa apabila memegang buku sambil membaca seperti kura-kura itu pun sudah satu kenikmatan! Membaca itu kool bukan.

6 komen:

Anonymous said...

Bagi jawapan soalan matametik tu.....

AdH said...

Ya, saya juga suka dengan dengar kuliah Dr Zulkifli al-Bakri. Buku-bukunya seperti Wasiat untuk Anakku (eh betulkah tajuknya?), Iqra' dan kisah seorang tokoh di Afrika (lupa tajuknya) pernah dibincangkan dalam diskusi remaja di sini :) Tahniah Welma! Sudah 29 buah. Saya juga sangat lambat sekarang. :))))

Unknown said...

Hai Welma,

mana boleh dapat buku the man who counted itu ya??
tkasih

Welma La'anda said...

Hana,
Boleh cari di kinokuniya

Welma La'anda said...

Hana,
Boleh cari di kinokuniya

Welma La'anda said...

Hana,
Boleh cari di kinokuniya