Saturday, October 31, 2015

Usrah & Quran (untuk mutarabbi pemula)

Fokus umat Islam pada hari ini ialah kita perlu mencari jalan bagaimana untuk mengajak orang ramai mendekati Al-Quran. Tidak mengejutkan apabila kita melihat begitu ramai belia yang tidak boleh membaca Quran sedangkan mereka ini memang bagus-bagus dari segi pelajaran dan kerjaya. Malah, ada juga yang pandai membaca Quran dari dahulu, tapi dek kerana jarang membaca kitab suci ini, maka kebolehan membacanya hilang begitu sahaja. Anda boleh mencuba tidak membaca Al-Quran selama sebulan mungkin, selepas itu, buka semula kitab ini dan cuba membacanya. Anda pasti rasa kesusahan menyebutnya sehingga tersekat-sekat.

Mutakhir ini, saya melihat pelbagai usaha kreatif yang dimainkan oleh industri perbukuan terutamanya, dalam usaha menarik umat Islam untuk mendekati Al-Quran. Antara yang paling mudah yang biasa kita nampak ialah reka bentuk Al-Quran yang berwarna-warni dengan pelbagai saiz. Malah tafsir Quran juga turut mengalami inovasi. Ini tidak termasuk dengan digital Quran, pen Quran yang boleh bercakap dan pelbagai lagi. Buku-buku yang membicarakan tentang Quran dengan pelbagai gaya penulisan, merata-rata kita boleh didapati. Ada yang berat isinya, dan ada juga yang ringkas namun bermanfaat.

Saya merupakan salah seorang pengguna buku-buku sebegini. Ia merupakan bahan tambahan yang saya gunakan ketika mengendalikan sesi usrah bersama belia dan juga anak murid di sekolah. Antara objektif utama usrah ialah mengikat mutarabbi( orang yang mengikuti usrah) dengan Al-Quran, samada melalui tilawah, hafazan dan seterusnya mentadabbur Quran. Maksudnya, semakin dia mengikuti program sebegini, hatinya semakin dekat dan akrab dengan Al-Quran. Dia jadi rindu dan bersalah jikalau tidak membaca Quran sehari. Jikalau ini berjaya dijelmakan di dalam diri mutarabbi, maka tercapailah objektif usrah tersebut.

Inilah juga yang sering bermain di dalam fikiran saya setiap kali mengendalikan sesi usrah. Bagaimana saya boleh mengajak mutarabbi di bawah kelolaan saya untuk mencintai Quran? Bagaimana saya boleh menunjukkan kepada mereka bahawa di dalam Al-Quran ada pelbagai solusi dan perkara untuk dibongkarkan? Dengan harapan, apabila mutarabbi mengetahui isi kandungan al-Quran, mereka lebih  ada sense of belonging terhadap kitab suci tersebut.

Berikut yang saya praktiskan ketika sesi usrah di bawah kendalian saya :

1) Pastikan kita jelaskan kepada mutarabbi tujuan dan matlamat usrah tersebut. Jikalau boleh, setiap akhir sesi, mesti ada homework atau resolusi yang perlu dibuat. Usrah seperti proses kaunseling. Ia merupakan komitmen bersama. Naqib/naqibah adalah seperti pemudah-cara, mutarabbi merupakan orang yang akan membuat perubahan di dalam diri mereka. Seringkali kita melihat, mutarabbi datang dan pergi ke program usrah. Apakah perubahan yang sudah dilakukan setelah mengikuti program sebegini? Apakah beza mereka dan orang yang tidak mengikuti usrah? Seperti klien di dalam sesi kaunseling, mereka tidak akan datang ke sesi ke dua jikalau mereka merasakan sesi tersebut hanya membuang masa dan tidak membantu mereka. Begitulah juga mutarabbi kita. Kita perlu membimbing mereka ke arah perubahan-perubahan kecil agar mereka boleh rasakan ada nilai menghadiri sesi usrah. Mereka akan menghadiri usrah walaupun sesibuk mana, sebab mereka tahu meraka akan dapat sesuatu dari majlis ilmu tersebut.

2) Kendalikan sesi usrah mengikut keperluan utama mutarabbi. Seperti di dalam sesi kaunseling, klien akan datang kepada kaunselor dengan pelbagai  masalah yang saling berkait. Tugas utama kaunselor ialah mencari punca atau masalah utama. Kaunselor tidak boleh fokus kepada penyelesaian masalah yang pelbagai dalam satu masa. Perlu sedikit demi sedikit, tahap demi tahap. Samalah mutarabbi kita. Dia datang dengan pelbagai tujuan - mahu mendengar tazkirah, belajar membaca Quran, dan pelbagai lagi. Naqib/naqibah tidak mampu fokus semuanya. Jikalau kita buat juga dengan alasan mengikuti standard yang ditetapkan, maka kita akan menjadi seperti seorang cikgu yang sibuk menghabiskan silibus, tanpa menghiraukan pemahaman anak muridnya. Biasanya, mutarabbi yang pemula ini, tidak boleh membaca Quran dengan baik. Jikalau saya, saya lebih suka menjadikan sesi usrah tersebut menjadi wadah untuk mutarrabi tersebut belajar membaca Quran. Walaupun sebenarnya, sesi usrah bukan tempat untuk belajar membaca Quran. Mutarabbi perlu menghadiri kelas khas. Ada naqib/naqibah akan mengadakan kelas khas tersebut di lain hari atau menyuruh mutarrabi tersebut belajar dengan guru lain. Saya pula, saya akan mendedikasikan 45-60 minit untuk belajar membaca dan seterusnya diteruskan dengan agenda usrah yang lain. Agenda pertama di dalam sesi usrah ialah tilawah yang biasanya memakan masa 10 minit.  Masa 10 minit itu saya panjangkan menjadi 45-60 minit dan saya akan tolak beberapa agenda lain kerana saya mahu memberi fokus kepada keperluan sebenar mutarabbi di bawah kelolaan saya.

3) Selepas sesi tilawah 45-60 minit itu, saya akan terus ke sesi tadabur Quran. Seperti yang saya katakan tadi, saya tidak mahu memfokuskan kepada banyak perkara. Saya diberi masa 2 jam untuk mengendalikan sesi, masa 45-60 minit sudah digunakan untuk tilawah. Saya hanya ada baki 1 jam lagi. Jadi, saya hanya fokuskan kepada yang prioriti sahaja (iaitu tadabur Quran) pada peringkat permulaan sebelum pergi ke modul-modul lain.

Pada peringkat permulaan saya masih belum menggunakan buku silibus tafsir yang ditetapkan kerana ianya agak begitu plain. Lagipun, saya tidak berapa mahir mengolahnya menjadi lebih menghidupkan. Saya lebih suka membawa mutarabbi pada peringkat permulaan ini belajar membuka dan melihat Quran atau dalam erti kata lain bermesra. Mengenali nama-nama surah atau mungkin bilangan ayat untuk sesuatu surah. Tetapi, ini hanya aktiviti selingan dan memakan masa lebih kurang 10-15 minit. Ia seperti aktiviti energizer yang berfungsi  untuk memberikan kesegaran. Perlu diingat, sebelum itu, mutarabbi sudah duduk bersama kita membaca Quran selama 45-60 minit. Ianya satu tempoh yang lama.

Untuk aktiviti bersifat energizer, buku X-plorasi Surah-Surah Al-Quran hasil kreatif Muhammad Luqman Makhtar sangat banyak membantu. Ada pelbagai permainan minda kreatif yang melibatkan tambah tolak, menyusun huruf, mencari perkataan, silang kata dan mencari mesej tersembunyi. Bagi menjawab soalan-soalan yang dikemukakan, mutarabbi perlu menyelak helaian Al-Quran satu persatu. Inilah masanya, naqib/naqibah mengajar bagaimana untuk melihat indeks di belakang kitab agar pencarian tersebut menjadi pantas. Buku terbitan Telaga Biru ini sudah saya aplikasikan untuk anak-anak murid saya seawal Darjah 3 hingga 6. Malah, ini ialah aktiviti sepanjang tahun untuk subjek Liqo' (Usrah) yang diadakan selama 1 jam setiap seminggu. Mereka akan ternanti-nanti subjek ini dan boleh saya katakan, buku ini mengalahkan Ipad. Ia juga mampu membuatkan kanak-kanak ini duduk diam, dalam masa yang sama membuat kerja bermanfaat. Mengejutkan mereka mampu menyelesaikan lebih cepat daripada saya. Inilah uniknya budak-budak Tahfiz. Buku siri ini sudah ada 3 di pasaran. Buku yang kedua ialah X-plorasi Cinta Rasul dan terkini ialah X-plorasi Surah Al-Baqarah.



4) Permainan asah minda ini perlu diseimbangkan dengan sesuatu yang berunsur pengisian/tazkirah namun masih tidak lari dengan agenda tadabur Quran. Saya melihat majalah Gen-Q dan Solusi menawarkan penyelesaian yang baik. Baru-baru ini saya menggunakan artikel Gen-Q isu 49, Formula Kejayaan Dalam Al-Quran tulisan Nurul Huda Mohd Hashim.

Contohnya :

Welma : Sekarang kita tadabur sedikit beberapa ayat al-Quran untuk menjadi bekal-bekalan kita. Mudah-mudahan kita mampu ambil iktibar dan menjadikan hidup ini lebih baik dan lebih dekat dengan al-Quran. Apa yang akak kongsikan ini berdasarkan artikel Formula Kejayaan Dalam Al-Quran tulisan Nurul Huda Mohd Hashim. Baik, buka Surah Yusuf ayat 5. Ataupun untuk memudahkan, akak akan sebut begini, 12: 5. 12 tersebut merujuk kepada nombor surah manakala 5 itu ialah nombor ayat. Senang sahaja, al-Quran sekarang sudah menjadi mudah, perhatikan di atas setiap halaman biasanya, ada nombor surah.
 Mutarabbi : (terus membelek al-quran)
Welma : Jumpa tak.
Mutarabbi : Jumpa kak.
Welma : Cuba A baca.
Mutarabbi A : (membacakan makna ayat tersebut)
Welma : Nabi yang diceritakan di dalam ayat yang dibacakan tadi ialah nabi....
Mutarrabi A : Nabi Yusuf
Welma : Apa yang kita boleh perlajari dari ayat ini ialah..........(seperti dalam artikel dan terus bersambung sehingga menyentuh sehingga 5 orang nabi. Mutarabbi perlu bergilir-gilir membaca makna ayat tersebut)
Jikalau naqib/naqibah ada pengetahuan cerita tentang nabi-nabi tersebut, lagi bagus. Percayalah, bercerita kisah nabi-nabi tidak akan membosankan mutarabbi. Pada kebiasannya, agenda ini akan mengambil masa lebih kurang 30-45 minit.

Baru-baru ini juga, di sesi usrah yang lain, saya menggunakan ala-ala kaedah seperti ini  dan bahannya saya perolehi dari majalah Solusi isu 84 iaitu artikel yang bertajuk Senyum Tawa dalam Al-Quran. Sama kaedah seperti tadi, saya sebut nama surah berdasarkan artikel tersebut, mutarabbi cari dan baca makna serta tambahan lengkapkan silang kata yang diberi. Selepas itu, saya beri tazkirah yang berkaitan dengan adab-adab ketawa dan kami sama-sama muhasabah diri sejauh mana praktika senyum dan ketawa di dalam kehidupan seharian. Dari sesi ini sahaja kami sudah tadabur 8 ayat dari pelbagai surah. Majalah Solusi edisi 81 (khas sempena Ramadhan) juga ada mengandungi satu artikel Misi Tadabbur Ramadhan 2015 yang memfokuskan kepada Surah Al-Baqarah dari ayat 1 hingga 286 . Sangat menarik kerana diisi dengan pelbagai soalan, nota ringkas yang memudahkan untuk sesi tadabur. Di samping itu, pengendali usrah perlulah baca sikit buku tafsir agar huraian yang diberikan tidak terlalu hambar dengan isi.

5)Selepas sesi tadabur Quran, bergantung kepada naqib/naqibah samada mahu meneruskan ke agenda lain contohnya seperti tauhid, sirah, kisah sahabat, tafsir juz amma, atau hadis di mana buku modul akan digunakan. Tidak perlu dihabiskan sekaligus dalam 1 kali sesi usrah. Bukan silibus yang perlu dikejar, tetapi objektif usrah yang perlu diberi perhatian. Walaupun naqib/naqibah menyampaikan agenda tauhid, masih tetap sama tidak boleh lari dari sesi tadabur quran, cuma pada kali ini isi (content) lebih terpandu kerana kita menggunakan modul serta silibus tertentu. Sekali lagi, gunakanlah kreativiti masing-masing dengan mencari bahan tambahan seperti buku dan majalah yang dikongsikan tadi atau media/youtube yang banyak di internet.

Mesej tulisan pada kali ini ialah, gunakalah sesi usrah sebagai medium untuk kita mengenal, membaca dan mentadabur al-Quran. Ajak orang di sekitar kita untuk mendekati kitab suci ini. Kita boleh pelbagaikan kaedah kreatif dan menggunakan bahan tambahan yang banyak di pasaran.

2 komen:

AdH said...

Jazakallahu khaira atas perkongsian. Sangat menarik! :)

Welma La'anda said...

Semoga bermanfaat :-)