Wednesday, December 31, 2008

Selamat Tinggal 2008 !

Oleh :
Welma La'anda (welmalaanda@gmail.com)





Fiksyen Sains 3
Fiksyen - Cinta 5
Fiksyen - Kehidupan 6
Fiksyen - Spritual 1
Fiksyen - Thriller 2
Fiksyen - Remaja 7

Bukan Fiksyen - Sejarah 1
Bukan Fiskyen - Islam dan Sains 2
Bukan Fiksyen - Cinta dan Perhubungan 1
Bukan Fiksyen - Motivasi 3

2008 cukup bermakna buat saya. Pada tahun ini, Allah mengembalikan semula "momentum membaca" itu.

Ketika sedang membaca, kekadang terfikir juga, tentang takutnya saya perbuatan ini hanya sia-sia belaka, sedangkan masa, fikiran dan wang saya banyak digunakan untuk semua ini, maksud saya membaca.

Ketika ini, saya tidak boleh lari lagi daripada membaca. Suatu ketika dahulu saya pernah melupakannya. Mungkin pada ketika itu, saya masih tidak faham apakah tujuan saya membaca dan kenapa saya perlu membaca.

Membaca bukanlah hobi. Ia bukan satu aktiviti yang hanya layak dibuat untuk mengisi masa lapang sahaja. Statusnya juga bukan hanya digunakan sebagai wadah merehatkan diri semata-mata. Ia adalah wadah untuk membina diri. Ia adalah rutin dan ia adalah satu kemestian. Itu yang saya pesan pada diri saya.

Oleh kerana membaca begitu mendapat tempat di dalam hati dan diri saya, maka saya tidak mahu ini sia-sia belaka.Saya tidak mahu, kitab amalan saya yang akan dibentangkan di hadapan Allah nanti, penuh dengan kisah saya dan buku yang tidak mendapat tempat pada pandangan Allah. Itu yang saya pesan pada diri saya.

Justeru itu, saya harus membaca buku yang berkualiti. Buku yang boleh membina. Buku yang mengandungi mesej. Buku yang kita baca itu adalah lambang peribadi kita. Itu yang saya pesan pada diri saya.

Buku dan membaca bukanlah entiti keseronokan kita semata-mata. Ia bukan harta peribadi mutlak kita. Maka dengan itu, berusahalah dan berniatlah untuk berkongsi buku-buku kita dan pengalaman kita membaca dengan orang lain. Tulislah semua itu. Resensi contohnya. Biar sedikit, asalkan ikhlas. Kita bukan mahu mencapai kepopularitian, tetapi mudah-mudahan dengan keikhlasan kita itu, Allah campakkan hidayah di dalam diri pembaca tulisan kita, biar dia juga beroleh kebaikan.Itu yang saya pesan pada diri saya.

Niatkanlah membaca dan menulis sebagai satu amal ibadah yang boleh dibuat bekal. Wariskanlah sesuatu di dunia ini sesuatu yang bermanfaat. Mudah-mudahan, usaha yang kecil ini adalah antara usaha-usaha yang diterima Allah dalam mengembalikan semula tamadun Islam yang baru mula merangkak pada ketika ini. Itu yang saya pesan pada diri saya.

Saya perlu membaca pelbagai genre tulisan. Saya mahu belajar tentang kepelbagaian pandangan dan pengalaman hidup, kepelbagaian citarasa, dan kepelbagaian manusia. Cuma karya porno, semi porno atau seangkatan dengannya sahaja yang saya tolak. Memang tolak secara mutlak. Tidak ada kompromi. Diletakkan di rak buku saya pun, saya tidak mahu. Itu yang saya pesan pada diri saya.

Sekarang ini pun, saya akan membakar sebuah buku yang saya kelaskan sebagai semi porno (aah bukan semi lagi rasanya, memang betul-betul porno) yang berselindung di sebalik tajuknya yang gah Kitab Salahuddin - Sebuah Novel. Saya beli dengan harga RM59.50. Saya marah dan cukup tersinggung. Tersinggung kerana menceritakan perihal Salahuddin Al Ayubi yang gila seks. Saya tidak habis membacanya. Saya baca lompat-lompat dan laju untuk menghindari bab cerita seks kerana mahu berbaik sangka kepada penulis. Tetapi saya cukup tidak sangka, hampir setiap halaman bercakap tentang seks dan Salahuddin. Pada mulanya, saya mahu mengulas buku ini di blog saya tetapi saya khuatir nanti tulisan saya itu adalah tulisan benci kepada penulis. Saya bukan benci kepada penulis. Saya benci kejahatan yang dilakukannya.

Saya boleh membaca novel yang bertemakan cinta pop. Cuma saya kurang gemar, melainkan untuk tujuan kajian dan perbahasan. Itu yang saya pesan pada diri saya..

Jikalau mahu diberi nilai untuk tahun ini berdasarkan jumlah buku, saya cuma mampu membaca sebanyak 31 buah di mana 22 buah daripadanya telah dibuat resensi. Saya mahu berpesan kepada diri saya, bukan jumlah itu menjadi ukurannya tetapi sebanyak mana saya boleh menghadam isi-isi 31 buah buku itu. Jikalau isi-isi itu menjadi ukurannya dalam memberi nilai tahun 2008, saya kira ketika ini, saya masih lagi sedang dalam proses merangkak dan belajar sedikit demi sedikit untuk menjadi seorang manusia yang lebih baik. Selamat tinggal 2008!

Wallahu alam

Friday, October 17, 2008

Buku DBP

Ini bukan ulasan. Mungkin cuma luahan hati. Kisah saya dan novel terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Saya sedang menyiapkan ulasan untuk novel ini tetapi bukan untuk dipaparkan di blog saya. Ulasan ini untuk sebuah majalah Dewan Bahasa dan Pustaka.Konon-kononnnyalah.

Saya menghubungi editor majalah itu, menyatakan yang saya berminat untuk menghantar artikel resensi untuk ruangan Resensi Novel. Editor itu membalas email saya. Dia membahasakan dirinya bonda. Terharu saya. Saya doakan semoga dia sentiasa dalam kelompok yang berbahagia dunia dan akhirat.

Berbalik kepada ruangan Resensi Novel majalah tersebut, kata bonda, antara syarat yang dikenakan jikalau berminat menulis resensi untuk ruangan Resensi Novel ialah novel itu haruslah novel terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cetakan 2008. Sila nyatakan sekali tajuk novel yang mahu diulas untuk mengelakkan "overlaps", begitu kata bonda lagi.

Saya pun "selak" satu persatu novel-novel di rak buku rumah saya mencari novel-novel terbitan DBP. Aiik!!! Saya tidak berjumpa. Baru saya perasan, saya tidak pernah membeli novel-novel terbitan DBP. Saya mula mencari di laman maya. Saya pergi ke laman Dawama. Entah, mungkin saya tidak pandai mencari di situ, saya tidak berjumpa novel yang mahu saya beli dan ulas. Saya pun fikir, " biarlah, mungkin tidak ada jodoh mahu tulis di majalah itu".

Pada hari Isnin lepas, saya dan Faizah pergi ke Lembaga Tabung Haji untuk mengeluarkan duit. Nombor angka giliran saya menunjukkan saya perlu menunggu lama lagi. Jadi, saya dan Faizah pun pergi ke kedai buku Harfa yang terletak di hadapan Lembaga Tabung Haji. Niat di hati, memang mahu melihat, mana tahu ada novel-novel DBP.

Kami hampir bersila di rak buku yang menempatkan buku-buku terbitan DBP. Faizah menolong saya mencari novel-novel yang diterbitkan untuk tahun 2008. Kemudian, kami tersangkut pada sebuah novel remaja Wajah Seorang Dhia Hanun karangan D'Zainun Mustapha. Kulit depannya menarik. Kontra berbanding novel-novel lain yang terdapat di rak buku DBP itu yang kelihatan pudar dan gelap.

Kami pun mencari-cari lagi. Pencarian saya selalu saya dimulakan dengan melihat kulit buku. Saya rasa bukan saya sahaja, Faizah pun begitu. Jikalau kulitnya menarik, baru saya tarik dan lihat cetakan tahun ke berapa. Tetapi, memandangkan hampir kesemuanya novel-novel itu kelihatan suram, saya pun "tarik dan tengok" sahaja hampir keseluruhan novel yang ada di rak itu. Saya baca sedikit sinopsis di belakang buku. Jikalau cetakan tahun 2008 dan sinopsis pun mengandungi unsur-unsur membina, saya akan beli. Ha, tidak lupa, harga novel juga perlu diambil kira. Apa yang penting, pada fikiran saya, saya perlu ada novel terbitan DBP yang akan saya gunakan untuk ulasan ruangan Resensi Novel majalah keluaran DBP itu.

Saya menulis tajuk novel-novel yang saya mahu ulas itu dan nyatakannya dahulu pada bonda. Jikalau bonda bersetuju, baru saya membelinya. Email dihantar menyatakan tajuk novel-novel yang mahu diulas. Bonda kata, OK! Saya janji kepadanya, saya akan siapkan dalam masa 2 hari. Email itu saya hantar pada hari Isnin. Tengahari Selasa, saya pergi ke kedai buku Harfa untuk membeli novel-novel DBP yang saya mahu ulas itu. Wajah Seorang Dhia Hanun karya D'Zainun Mustapha dan Meniti Batas karya Zulkifli Khair, saya genggam, aya niatkan untuk ditulis ulasannya dan hasil ulasan itu perlu dihantar kepada bonda dalam masa terdekat.

Saya baru membaca Meniti Batas karya Zulkifli Khair pada Khamis sebelah pagi dan selesai pagi ini, Jumaat. Habis membacanya, membuatkan saya semakin tidak tahu bagaimana perlu saya mengulas novel ini. Saya "mencari" Zulkifli Khair di laman google. Saya mahu mengetahui latar belakang pendidikannya. Saya membaca sedikit biodata tentang beliau di Idea Menulis. Bukan "orang baru" rupanya. Saya sahaja yang baru mengenali. Patutlah gaya penulisannya membuatkan saya melopong, ya mungkin itu perkataan yang paling sesuai.

Kenapa melopong ? Kerana, jikalau Meniti Batas hanya dinilai berdasarkan kulit luarannya semata-mata, tentu saja anda tidak akan membelinya. Tetapi, apabila anda membacanya dan membelek halamannya satu persatu, anda akan menemukan sejuta pengetahuan dan inspirasi. Sebuah novel yang saya rasa bercerita secara jujur tentang kehidupan. Betul-betul membantu saya memahami jiwa lelaki walaupun bukan itu tema utama novel ini. Ia cuma kisah sepasang sahabat yang berjuang dalam perniagaan kerepek. Bukan itu sahaja, ia juga kisah keluarga, kisah cinta, kisah cita-cita dan harapan membangunkan diri yang dipagari dengan nilai-nilai agama.

Saya terkesan dengan kisah Yusuf dan Adibah. Adibah mungkin romantik melalui tulisan tetapi Yusuf merasakan realitinya Adibah tidak begitu. Kehadiran Nisya yang peramah dan pendengar baik sedikit sebanyak menggugat cintanya untuk Adibah. Tetapi, saya rasa bukan dia tidak mencintai Adibah, mungkin saja kerana Adibah dilihat lebih berjaya berbanding dirinya dan kurang berada di rumah. Yusuf perlukan perhatian. Adibah tidak tahu itu.

Semalam saya berpesan kepada teman-teman rumah saya sambil memegang novel ini, "kalau sudah berkahwin, jangan duduk jauh-jauh dari suami". Kisah Yusuf dan Adibah ini cuma selingan sahaja dalam novel Meniti Batas, tetapi entah bagaimana keajaiban penulisan itu, kalau penulis pandai bermain-main dengan fikiran pembaca, walaupun cuma selingan , ia tetap akan dirasakan sebahagian dari isi utama sesebuah buku. Mungkin saja, yang selingan itu akan sering diingati berbanding isi utama cerita. Begitulah Meniti Batas, segala cerita selingan-selingannya saya merasakan sentiasa hidup pada setiap pembacaan.

Saya sudah berfikir-berfikir isi-isi untuk ulasan majalah DBP itu. Saya akan kongsikan gagasan pemikiran perniagaan Yusuf dan Sazali sehingga tertubuhnya SY Group. Nampaknya saya perlu "jalan-jalan" halaman demi halaman dan buat catatan. Itu sebenarnya isi utama Menitis Batas. Itulah yang patut ditonjolkan. Itulah yang patut diceritakan biar ramai yang tahu novel ini bukan novel yang kosong. Tidak melampau kalau saya katakan, membacanya seperti anda membaca karya Faisal Tehrani. Bagi saya, apabila melihat karya Faisal Tehrani, pertama sekali yang saya fikir ialah, "owh, saya akan dapat banyak ilmu baru di dalamnya". Begitu juga dengan Meniti Batas, walau ia bukan karya Faisal Tehrani, tetapi cara menulis dengan bermodalkan ilmu itu dapat saya rasakan.

Nampaknya selepas ini, rajinlah saya ke rak buku DBP. Tetapi kali ini bukan dengan niat membeli untuk modal atau bahan mengulas, tetapi lebih kerana menghayati penulisan novel yang ada isi. Mungkin pihak DBP patut fikir-fikir tentang kulit muka hadapan untuk novel-novel keluaran mereka. Kasihan kepada kami para pembaca kerana tidak tahu ada novel-novel yang hebat terbitan DBP.

Nanti, kalau sudah siap ulasan sepenuhnya untuk novel ini, insyaAllah akan dikongsikan juga di laman ini. Cuma cepat atau lambat sahaja.

Wallahu alam

Sumber Gambar :
Meniti Batas : http://ideamenulis.wordpress.com/2008/04/25/terbit-juga-akhirnya/

Thursday, June 12, 2008

Rahsia Islam di China - Ann Wan seng

Oleh :
Welma La'anda (welmalaanda@gmail.com)



Tajuk :
Rahsia Islam di China
Penulis: Ann Wan Seng
Halaman :
160Penerbit : PTS Islamika Harga: RM23

Saya juga tidak ada perancangan membeli buku ini pada mulanya. Tetapi entah kenapa (selalu sahaja terjadi 'entah kenapa'), sewaktu dalam proses pilih-pilih buku di sebuah kedai buku, saya ternampak buku ini. Cantik sungguh rekabentuk kulitnya dan nama penulis itu sendiri menghasut saya untuk membelinya. Tulisan-tulisan tentang Islam di China ini sudah biasa saya lihat di Majalah I kelolaan Ann Wan Seng namun tidak pula menarik minat saya membacanya. Nampaknya saya akan baca semula artikel-artikel itu untuk rujukan tambahan resensi pada kali ini.

Pada 5 Julai 2008 saya membaca tulisan Ann Wan Seng di Majalah I berkenaan isu Islam di China. Saya kira beliau mula menulis tentang ini bermula keluaran Disember 2005 Bilangan 38 kerana tertera pada artikel itu Siri 1.

Pada keluaran Jun 2008 Bilangan 68, masih ada kolum untuk Islam Di China tetapi bukan Ann Wan Seng kolumnisnya. Mungkin saya boleh buat kesimpulan sepanjang pembacaan artikel-artikel itu, buku Rahsia Islam di China adalah kompilasi artikel-artikel yang tersiar di Majalah I kelolaan Ann Wan Seng.

Islam di China disebarkan melalui 2 kaedah iaitu jalan laut (laluan lada) dan jalan darat (laluan sutera). Pedagang-pedagang Arab Muslim yang datang berdagang ke China secara tidak langsung berperanan sebagai pendakwah. Antara faktor yang membawa perrkembangan pesat penyebaran Islam di China adalah sokongan daripada pihak dinasti China sendiri. Walaupun pemerintah dinasti China sering berubah-ubah namun komitmen mereka menjalinkan hubungan dengan orang Islam dan membenarkan kerja-kerja dakwah dijalankan adalah antara ciri-ciri persamaan dinasti-dinasti itu. Selain daripada itu, ajaran Islam yang ditonjolkan sangat mementingkan akhlak dan ini selari dengan fahaman Confucianisme yang turut mementingkan akhlak. Pedagang-pedagang Arab Muslim yang datang juga diimejkan sebagai orang yang baik.Jadi faktor-faktor ini secara tidak langsung membantu rakyat China untuk menerima ajaran Islam dengan mudahnya.

Umat Islam diberikan keistimewaan oleh pemerintah dinasti China. Bahkan ada pemerintah dinasti yang menawarkan jawatan-jawatan penting dalam pemerintahan negara kepada umat Islam. Antaranya yang biasa kita dengar ialah Laksamana Cheng Ho. Kerajaan Monggol(Dinasti Yuan) sendiri walaupun mereka diimejkan sebagai bangsa yang ganas terhadap orang-orang Islam di Asia Barat namun sebaliknya sifat mereka dengan umat Islam di China. Majoriti pemegang jawatan penting dalam kerajaan diberikan kepada orang Islam kerana yakin dengan akhlak mulia orang Islam.

Saya tertarik apabila membaca pada satu bahagian yang mengatakan bahawa faktor kejatuhan pemerintah dinasti China juga adalah disebabkan oleh sikap pemerintah yang mula menentang penyebaran Islam di China dan kekasaran terhadap umat Islam yang secara tidak langsung menyebabkan ramai pedagang Arab tidak mahu berdagang di China dan mencetuskan pemberontakan di kalangan umat Islam. Akibat daripada itu ekonomi kerajaan China pada masa itu jatuh.

Pemerintahan komunis di China sedikit sebanyak boleh saya katakan antara zaman gelap untuk umat Islam di China. Makanan percuma diberi kepada mereka pada sebelah tengahari di bulan puasa dan sesiapa yang tidak menjamah makanan itu akan dimasukkan ke penjara.Namun apa yang menariknya ialah, walaupun dasar-dasar komunis yang cuba menyamakan semua fahaman rakyatnya dan menentang ajaran agama, umat Islam dan ajaran Islam masih tetap utuh di China sehingga kini.

Rahsia Islam Di China mengandungi 24 bab dan di tengah-tengah halamannya mengandungi foto album. Saya membahagikan buku ini kepada 5 bahagian yang penting.

Bahagian 1 membincangkan bagaimana Islam mula sampai di China, Bahagian 2 lebih menerangkan pengaruh Islam di China dari segi kebudayaan, seni,masjid, Bahagian 3 pula penerangan hubungan Islam dengan pihak dinasti China, Bahagian 4 menceritakan tentang tokoh-tokoh Islam yang wujud di China dan Bahagian 5 adalah penglibatan umat Islam dalam gerakan pembebasan dan perjuangan mempertahankan Islam di China.


Tidak ada sebarang petunjuk dari buku ini siapakah sahabat yang diutus oleh Rasulullah saw ke China bermula 1H melainkan cuma bukti tulisan batu marmar di Masjid Huaishengsi. Pada pendapat saya, sahabat yang diutus bermula sejak 1H lagi adalah Saad bin Abu Waqqas berdasarkan bukti tulisan batu marmar itu dan beliau diutus sekali lagi pada masa pemerintahan Khalifah Saidina Usman bin Affan untuk kerja-kerja dakwah di China.Walau bagaimanapun, penulis menulis terdapat teori yang lain tentang siapakah sebenarnya pelopor dakwah Islam di China.

Selain daripada hubungan perdagangan dan utusan dari kerajaan Islam berdakwah ke China, menurut penulis, pemerintahan Dinasti China juga menjalinkan perhubungan politik dengan kerajaan Islam bermula pada pemerintahan Dinasti Tang.Keperluan untuk menjalinkan perhubungan dengan kerajaan Islam adalah menjadi bukti yang jelas tentang kekuatan kerajaan Islam pada masa itu sehingga boleh menyalurkan bantuan ketenteraan kepada sebuah kerajaan yang mempunyai tamadun yang tinggi.


Menurut buku ini lagi, umat Islam mula menghadapi zaman gelapnya pada pemerintahan Dinasti Ching. Dinasti Ching mengamalkan dasar pecah dan perintah serta melaga-lagakan umat Islam dengan orang Han(tempatan China).

Begitulah serba sedikit info Islam di China yang saya petik melalui buku Rahsia Islam di China karya Ann Wan Seng ini. Suka saya menganggap ini sebagai pemahaman yang sudah saya ringkaskan. Pada hari ni, kita hanya mewarisi cerita-cerita kegemilangan itu. Kita cuma mampu bercerita tentang keunikan budaya umat Islam di China. Jarang sekali kita sedar bahawa mereka memainkan peranan yang sangat penting suatu ketika dahulu. Mungkin saya boleh beranggapan tanpa kerajaan Islam dan umat Islam dahulu kala, negara China tidak akan wujud megah sehingga ke hari ini!

Rahsia Islam di China ditulis atas dasar mahu memaparkan kehebatan umat Islam di China mengikut kata-kata Ann wan Seng pada ruangan pengantar dan saya kira mesej itu disampaikan dengan baik melalui buku ini.

Buku ini tidak tebal dan amat mudah untuk difahami oleh pelbagai peringkat usia. Membacanya membuatkan saya tidak merasakan seolah-olah membaca sebuah buku sejarah yang sentiasa dikelilingi oleh fakta, sejarah dan tarikh semata-mata tetapi ia juga cuba mengajak para pembaca menghayati mesej kegemilangan Islam di China. Setakat separuh buku yang sudah selesai dibaca ini, mesej yang jelas yang boleh saya faham ialah Ann Wan Seng cuba menekankan bagaimana Islam boleh sampai di China, penerimaan masyarakat China pada masa itu serta mesej Islam yang ditonjolkan melalui akhlak yang baik telah berjaya meraih kepercayaan dan sokongan para pemerintah dinasti di mana sokongan mereka inilah saya kira faktor utama berjayanya dakwah Islam di China.

Sumber Gambar :