Tuesday, August 20, 2013

29 Tahun

Tarikh lahir saya ialah 20 Ogos 1984. Hari ini saya berumur 29 tahun.

Di hari kelahiran, biasanya saya memiliki agenda peribadi yang khusus. Adakalanya saya bermuhasabah. Mungkin solat sunat. Tidak menentu. Hari lahir yang paling saya ingati ialah ketika di Madinah tahun 2010. Hari terakhir di sana dan pada hari itu kami akan menuju ke Makkah. Jadi saya menghabiskan masa hampir separuh hari berbaris menunggu giliran masuk ke Raudhah sebelum sempat menunaikan solat sunat di situ dan berdoa. Saya merasakan, merai kelahiran sebegini lebih bermakna dan terisi berbanding menyambutnya dengan kek keju dan akhirnya muak begitu sahaja.

Pada tahun ini, saya meraikannya dengan melihat semula pelan kehidupan saya. Bagi pembaca blog ini sejak bertahun-tahun lepas, anda pasti pernah membaca rentetan cerita tentang saya dan pelan-pelan kehidupan saya yang tidak sudah-sudah itu.  Ada beberapa pelan itu berjaya dilaksanakan dengan sedikit kelewatan dan ada juga tidak  diteruskan kerana diganti dengan pelan lain yang lebih praktikal.


Rev 1

Sejak 2005-2010, saya memiliki 2 cita-cita di mana saya sendiri tidak tahu bagaimana mahu mensejajarkannya (Baca : synchronize) . Pada satu sudut, saya mahu menjadi jurutera telekomunikasi kerana mahu mencipta peranti komunikasi ketenteraan untuk dimanfaatkan oleh orang Islam. Menyedari komitmen yang perlu saya laburkan bukannya mudah dan mungkin akan menganggu komitmen kepada keluarga, maka saya mencipta keinginan lain yang mempunyai peluang untuk dilakukan di rumah (Baca : pejabat di rumah) jikalau saya sudah tidak bekerja di dalam dunia korporat. 

Inilah yang membawa saya kepada idea membina sekolah, nurseri atau perpustakaan sebagai tempat untuk saya bereksperimen dengan pembangunan silibus/kurikulum pendidikan untuk mencetak peribadi muslim  (Fokus : Kanak-Kanak) yang berkualiti. Namun saya tidak tahu bagaimana mahu melakukannya kerana saya tidak ada sebarang pengetahuan dari segi metod dan pelaksanaan. Di dalam kehidupan seharian pula, majoriti masa dilaburkan bekerja sebagai juruteknik dan belajar dunia kejuruteraan. Masa untuk meneroka cita-cita kedua itu hanyalah separuh masa (Baca: Part Time).Hasilnya tidak berapa bagus dan akhirnya membuatkan saya tidak tahu mahu menjadi apa, dan membina kepakaran di lapangan apa, untuk disumbangkan kepada umat ini. Lalu saya tertekan.

Rev 2

Ada beberapa peristiwa di dalam kehidupan saya, terjadi dalam beberapa tahun ini setelah saya balik dari menunaikan umrah yang telah menyebabkan berlaku sedikit perubahan pada cita-cita di Rev 1 itu.

1) Beberapa minggu sekembalinya saya menunaikan umrah, secara tiba-tiba datang perasaan yang membuak-buak memohon pekerjaan di platform yang lain. Itulah yang membawa saya menjadi Penyelia. (Acting) pada awal tahun 2011. Saya menyelia staf operator dan juruteknik di dalam operasi pembuatan (Baca : Manufacturing Process). Kerja menyelia bukan terhad kepada manusia sahaja, tetapi merangkumi pelbagai aspek seperti kualiti dan produktiviti. Perpindahan saya ke jawatan baru ini bukanlah melalui proses kenaikan pangkat. Gaji masih sama tetapi kerja bertambah. Jikalau pencapaian saya memuaskan dalam tempoh 1 tahun (anggaran dan bukan jaminan), barulah bos saya mempertimbangkan untuk kenaikan pangkat. Jadi, ini perpindahan yang agak berisiko. Namun, saya tidak kisah semua itu kerana niat utama ialah untuk meluaskan skop pengalaman kerja. Dalam dunia kerja di syarikat multinasional, jikalau anda masih berada dan melakukan kerja (Baca : Job Roles) yang sama dengan ilmu yang sama dalam tempoh 5 tahun tanpa sebarang perubahan, ia satu penanda aras yang tidak berapa baik melainkan anda memang mahukan pencapaian hidup yang biasa-biasa sahaja.Saya tidak suka zon selesa!

2) Bekerja sebagai penyelia sangat memberi tekanan kepada saya sehingga saya tidak mampu untuk senyum lagi ketika bekerja. Namun saya masih bertahan akibat didikan pengalaman kerja 5 tahun dahulu. Apabila anda sudah lama di dalam dunia pekerjaan, tanpa disedari, akan terbina satu jenis ketabahan yang akan membuatkan anda ok sahaja mengharungi segala tekanan kerja.

3) Jun 2011 (saya lupa tarikh perkahwinan saya). Saya berkahwin. Saya mula berfikir tentang kahwin setelah ayah saya meninggal pada April 2008. Lalu saya mulakan langkah pertama dengan menghantar borang Baitul Muslim pada tahun itu. Setelah hampir putus asa kerana terlalu lama sangat pencarian itu akhirnya saya pun pergi menunaikan umrah dengan niat menenangkan diri -soal jodoh dan soal cita-cita yang ditulis pada Rev 1. Tetapi sepanjang saya berada di Haramain, secara automatik, saya tidak ada minat untuk berfikir tentang kahwin. Lebih teruk lagi, saya hampir terlupa berdoa tentang jodoh.  Fikiran saya lebih banyak  berfikir  tentang cita-cita -apakah kepakaran yang mahu disumbangkan untuk umat Islam.

4) Tahun 2011 juga merupakan tahun terakhir pengajian saya. Sepatutnya dijadualkan tamat pada Julai 2011. Inilah antara sebab kenapa saya berjaya dalam proses temuduga memohon jawatan Penyelia sebelum itu. Bos saya memerlukan seorang penyelia yang berlatarbelakangkan pendidikan kejuruteraan. Ditakdirkan, saya gagal peperiksaan untuk subjek terakhir, Sistem Power Analysis dan saya perlu mengulang subjek itu semula.

5) Impak daripada itu, bos saya mengatakan saya tidak sesuai lagi sebagai penyelia dan saya ditukarkan ke jabatan yang ada kekosongan. Pada masa itu yang ada kekosongan ialah sebagai Trainer  (September-Dec 2011). Inilah era yang paling menguji mental sehingga saya hampir membuat keputusan berhenti kerja dan membayar balik duit tajaan pengajian ijazah saya. Sebabnya, saya secara total tidak tahu bagaimana melaksanakan kerja sebagai trainer, tiada sebarang bimbingan formal, tiada sebarang dokumen  langkah demi langkah yang boleh saya rujuk dan belajar sendiri , saya berperang mulut dengan salah seorang pengurus di situ sebab saya tidak suka dengan perangainya yang suka mengarah-arah orang seperti budak tadika dan suasana kerja syif tidak sesuai untuk saya yang sudah berkahwin.

Pendek kata, saya tidak suka suasana kerja yang membuatkan saya rasa seperti seorang budak suruhan yang bodoh. Saya tidak suka suasana kerja yang membuatkan saya  rasa seperti seorang pekerja  yang tidak berpendidikan (Baca : Knowledgeable worker)

6) Akhirnya saya mendapat khabar gembira daripada bos saya  dalam tempoh 3 bulan itu (September-Disember) yang dia akan menukarkan saya ke jawatan lain berkuatkuasa Januari 2012. Saya tidak jadi meletak jawatan. Haha (Percubaan meletak jawatan yang entah sudah berapa kali). Posisi jawatan kali ini lebih cool pada fikiran saya, Technical Training xx (Acting). Bekerja secara normal 8-5 petang. Yahoo!

Inilah pekerjaan yang tidak pernah terlintas di dalam fikiran saya selama ini dan saya sangat menyukainya. Tahap suka itu sehingga membuatkan saya membawa balik kerja ke rumah dan membuat penyelidikan, membaca jurnal atau buku teks yang berkaitan. Saya suka kerja yang ada kaitan dengan buku, menyelidik, menganalisis dan menulis. Pertama kali saya merasakan dalam hidup saya - kerja saya di pejabat sejajar (Baca : Sync) dengan cita-cita seperti yang saya tulis di Rev1. Tanggungjawab kerja (Job Roles) ini banyak melibatkan kerja-kerja analisis dan membangunkan kurikulum untuk pekerja teknikal - juruteknik dan jurutera. Walaupun kerja saya di pejabat melibatkan pembangunan  pekerja teknikal, tetapi secara umumnya, ilmu dan kemahiran yang diperoleh terpakai juga untuk pembangunan mana-mana organisasi samada institusi korporat, dakwah atau sosial. Menjawat jawatan sebegini dan bekerja di dalam syarikat multinasional adalah peluang yang jangan sekali-kali dibazirkan kerana  peluang mencari ilmu, mengembangkan pemikiran dan  meluaskan pengalaman sangat terbuka luas. 2013, secara rasminya kad nama saya tertulis Training Consultant, tetapi saya suka mengatakan saya sebagai Training Coordinator (buat masa ini) kerana saya masih belum merasakan kualiti kerja saya selayaknya dipanggil konsultan. 

Bercakap tentang impian mahu menjadi jurutera telekomunikasi, saya melupakannya terus kerana saya sudah berjumpa bidang yang saya mahu dedikasikan kepada umat ini. Sedikit perubahan, jikalau dahulu saya mahu memfokuskan kepada kanak-kanak, tetapi kini saya beralih bidang ke pembelajaran orang dewasa (Baca : Andragogy). Cita-cita untuk membina sekolah/perpustakaan (sebagai wadah bereksperimen) itu masih tetap ada, namun masih kabur. Tidak mengapa, dari segi wadah untuk menyampaikan atau menyebarkan kepakaran, saya boleh menulis -jurnal, karya kreatif dan lain-lain.Ia lebih praktikal buat masa ini.

7) Definisi kerja untuk diri saya ialah belajar . Kerja di pejabat = Belajar = Menuntut ilmu. Saya mengganggap diri saya sebagai seorang penuntut ilmu sepenuh masa. Bagi saya, jikalau posisi pekerjaan saya tidak membantu saya menjadi seorang penuntut ilmu, sudah sampai masa perpindahan dilakukan. Ilmu dan pengalaman yang dicari bukan untuk diri saya semata tetapi ia untuk ummah ini, untuk mencari penyelesaian kepada musibah yang menimpa umat Islam.

8) Saya memasang impian, membuat pelan perancangan (seperti Rev1 ), berusaha dan berdoa. Banyak perkara yang terlalu kabur dan kurang praktikal di dalam pelan tersebut. Namun, Allah swt memiliki perancanganNya yang tersendiri. Sesuai dengan kapasiti, kekuatan dan passion saya. Dia Maha Mengetahui tentang saya sedangkan saya sendiri pun belum tentu memahami diri sendiri. Rentetan takdir - memohon posisi penyelia (walau hanya acting sahaja), gagal peperiksaan, menjadi trainer sementara yang begitu memeningkan- semua itu hanyalah satu proses yang setiap satunya memiliki hikmah dan paling penting semua itu telah  membawa saya kepada agenda yang lebih besar iaitu bekerja di dalam bidang latihan dan pembangunan sumber manusia yang secara tidak langsung membantu saya mengasah kemahiran dalam membina kurikulum seperti yang dicita-citakan selama ini. (Baca dalam satu nafas).

9) Apabila saya melihat pelan perancangan kehidupan saya, saya cuba membayangkan tokoh-tokoh pejuang Islam  dengan pelbagai organisasi dan pimpinan di serata dunia. Pastinya kita semua yang mengaku pejuang agama, memiliki pelbagai strategi/pelan perancangan untuk menegakkan kalimah Allah. Namun apa yang kita lihat pada hari ini ialah , rentetan peristiwa kemenangan yang singkat, peperangan dan pembantaian melibatkan saudara kita di mana-mana negara silih berganti. Percayalah, semua itu hanyalah satu proses yang setiap satunya memiliki hikmah dan   membawa kita  kepada agenda yang lebih besar iaitu kebangkitan menyeluruh dan kemenangan umat Islam.  

Persoalannya, sudahkah kita menyiapkan diri ke arah itu? Kita sedih dan kasihan melihat saudara kita di serata dunia diuji dengan kezaliman tetapi sebenarnya kitalah yang sepatutnya perlu dikasihani kerana  kita diuji dengan kesenangan dan kita tidak sedar pun tentang itu.

Perancangan 5 Tahun (2013 - 2017)

1) Menyambung pelajaran - MBA, di USM bermula 2014. Saya cuba memohon penajaan dan semoga saya mendapatnya.
2) Saya perlu komited menulis secara serius (bukan blog) dan sekurang-kurangnya menghantar 2 artikel/jurnal berkenaan bidang saya setiap tahun.
3) Saya menyediakan diri (ilmu dan kemahiran yang perlu ditingkatkan) untuk menjawat posisi pengurus untuk 5 tahun akan datang.
4) Ini kerja yang masih bertangguh : Ikram Junior Kulim - Saya sebagai ketua yang memiliki ilmu dan kemahiran professional dalam bidang latihan dan malangnya saya menjalankan program  dan menggerakan fasilitator saya tanpa mengikuti metod dan perlaksanaan yang betul seperti yang saya amalkan di tempat kerja. Haiya! This is totally my bad. Kerja dakwah, tolonglah Welma , jangan dibuat ala kadar dan separuh masa.


Ya Allah
Saya mohon keampunan jikalau tulisan saya ini ditulis sambil berbangga-bangga diri. Sesungguhnya semua yang saya miliki adalah kepunyaan Allah.

Nota : Nama jawatan yang saya tunjukkan di sini bukanlah  nama sebenar seperti yang tertera di dalam pangkalan data syarikat saya kerana ia perkara sulit. Ia hanyalah nama yang bersifat am (general) dan terpakai di mana-mana syarikat.

Tuesday, August 06, 2013

Masa dan Umur

Tabiat membeli buku sudah tidak boleh dikawal. Ada sahaja setiap minggu buku yang dibeli. Tidak cukup pembelian secara atas talian pada minggu yang lepas (buku Socrates dan seangkatan dengannya), terkini buku baru yang saya miliki ialah Demi Masa, karya Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Masa Dalam Kehidupan, karya Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dan sebuah novel Sepetang di Kafe Biblioholic, karya Ainunl Muaiyanah.





Bermula Jumaat hingga Ahad, saya telah menyempurnakan 3 buah buku yang berkisar tentang masa dan umur ( 2 buah buku baru + 1 buah buku lama). 

Demi Masa

Demi Masa , karya Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (68 halaman) merupakan sebuah buku motivasi ringkas yang dianggap penulis sebagai mukadimah untuk pembaca yang mahu belajar tentang  penggunaan masa secara maksimum. Di dalamnya mengandungi 5 bab. Isi kandungannya seputar tafsir surah Al-Asr, hadith, mutiara kata dan kisah-kisah ulama - semuanya berkaitan tentang masa. Isi kandungan sebegini rupa semestinya sudah boleh dijangka acapkali kita membaca buku yang bertemakan tentang masa. Kita pasti dibentangkan dengan kisah ulama terdahulu yang begitu haloba dengan ilmu sehingga sanggup mengupah khadam untuk membaca buku ketika mereka berada di dalam tandas semata-mata kerana tidak mahu masa terbuang begitu sahaja, mengurangkan masa untuk makan dan tidur kerana mahu memberi fokus kepada aktiviti keilmuan dan pelbagai lagi cerita yang sangat menakjubkan para penuntut ilmu ini dalam memanfaatkan masa mereka. Bagi saya, ini adalah isi kandungan (content) wajib dan yang biasa kita pernah baca. 

Ada sedikit kelainan yang saya jumpa di dalam Demi Masa, saya perasan ada beberapa nama ulama terkini  yang jarang saya dengar dan baca (tidak banyak namun tetap ada) yang dimasukkan di dalam buku  seperti Syeikh Hassan Habannakah Al-Midani (meninggal 1978) yang dikatakan mampu menelaah dan mengkaji ilmu sepanjang malam, Syeikh Ali At-Tantawi (meninggal  ketika usia 50 tahun) membaca selama 10 jam sehari dan nama seperti Syeikh Abdul Ghani Al-Daqar (meninggal 2002)  yang memulakan aktiviti pembacaannya selepas Subuh sehingga sebelum Maghrib. Mesej saya ialah dengan memasukkan dan menceritakan kisah ulama terkini di dalam buku sedikit sebanyak boleh membantu pembaca ( terutama untuk orang yang bersekolah bukan aliran agama seperti saya) mengenali para ulama terkini. Para penulis yang hanya menumpukan peribadi  serta keazaman ulama terdahulu tanpa seimbang dalam menyentuh peribadi dan keazaman ulama di zaman ini hanya akan menyebabkan pembaca tertanya-tanya terhadap kesungguhan ulama masa kini. 

Masa Dalam Kehidupan

Saya kira saya akan berjumpa isi kandungan yang hampir sama seperti buku Demi Masa (contohnya Tafsir Surah Al-Asr) di dalam buku ini (152 halaman), karya Dr. Yusuf Al-Qaradhawi. Namun jangkaan saya meleset kerana isi kandungannya secara total adalah perkara yang belum disentuh di dalam Demi Masa. Jikalau Demi Masa saya kategorikan sebagai buku Tahap 1 (Mukadimah), Masa dalam Kehidupan pula boleh dianggap sebagai buku Tahap 2. Isi kandungannya masih bersifat ringkas dan sederhana, khas untuk orang-orang pemula (beginner) namun  perbahasan untuk setiap topik lebih kemas dengan masukan sumber-sumber Quran dan hadis yang siap dengan rujukan buat panduan pembaca. Mudah untuk kita sebagai pembaca mengetahui taraf dan sumber sesuatu hadis, itu yang saya amat suka untuk buku ini.

Masa Dalam Kehidupan terbahagi kepada 2 bahagian. Bahagian pertama secara ringkasnya menyentuh tentang isu pengenalan masa seperti ciri-ciri serta tanggungjawab DAN apabila menyentuh bab ini semestinya tidak boleh lari dari peringatan untuk tidak membuang masa dan bersegera berbuat kebaikan. Bahagian 1 diakhiri dengan langkah demi langkah cara hidup seorang muslim bermula dari awal pagi sehinggalah dia tidur di malam hari. 

Bahagian 2 pula membincangkan sikap manusia dengan 3 masa - masa lalu, masa sekarang dan masa hadapan. Penulis mengajar kita bagaimana untuk bertindak seimbang dengan ketiga-tiga masa itu. Bahagian ini diakhiri dengan peringatan untuk melakukan muhasabah diri setiap hari agar kita mengetahui apa yang sudah dilakukan dan belum dilakukan lagi. Kita ini bagaikan seorang peniaga yang melakukan semakan rekod hasil dan hutang, keuntungan serta kerugian perniagaan.Begitu kata penulis


Hidup Sekali Manfaat Selamanya 

Di hujung-hujung bab buku Masa Dalam Kehidupan ada disebut tentang memanjangkan umur dan umur kedua. Membaca bab ini mengingatkan  saya pada satu buku yang saya miliki (baru dibaca separuh sejak beberapa tahun yang lepas) iaitu Hidup Sekali Manfaat Selamanya (203 halaman), karya Dr. Muhammad Musa Asy-Syarif, seorang alim dari Arab Saudi. 

Buku ini mengandungi 6 bab namun isi utama terkandung pada Bab 4, Tips-Tips Meninggalkan Atsar. Atsar menurut konteks perbincangan buku ini ialah merupakan amalan atau  jejak tinggalan  (legasi) kebaikan seorang manusia dan amalan itu terus diikuti/dimanfaatkan oleh generasi seterusnya walaupun manusia itu sudah tiada di dunia.  Antara manusia yang berjaya menghasilkan legasi yang begitu mengagumkan ialah seperti Sibawaih (meninggal pada usia 33 tahun) seorang pakar nahu arab yang mana beliau telah menjadi perintis utama dalam menghasilkan buku panduan tentang ilmu nahu. Begitu juga dengan Imam Nawawi yang meninggal pada usia 44@45 tahun, 

Ada 4 rukun yang perlu dipenuhi menurut penulis jikalau kita  bercita-cita untuk meninggalkan atsar yang agung untuk generasi seterusnya iaitu hubungan yang baik dengan Allah, peribadi yang baik, memiliki rencana agung dan berpengetahuan luas. Penulis menghuraikan setiap rukun itu dengan panjang lebar siap dengan contoh-contoh manusia terkini. Oleh kerana itu ada beberapa nama baru yang saya kenal seperti Ir. Muhammad Taufik bin Ahmad yang telah mengislamkan sebanyak mencecah 3000++ orang Eropah hanya dengan menulis surat yang terkandung penerangan tentang Islam secara konsisten bertahun-tahun lamanya. 

Dalam menentukan atsar yang mahu kita tinggalkan, penulis menganjurkan untuk kita melihat kekurangan dunia Islam pada hari ini. Dari situ, kita sesuaikan dan sejajarkan dengan kekuatan diri yang kita miliki. Ilmu dan kekuatan pendidikan yang kita ada ini perlu disalurkan sebaik-baiknya untuk umat Islam. Menurut penulis, masalah orang soleh yang berjuang (kebanyakan yang dijumpainya) ialah lemah di dalam memahami peristiwa di sekeliling, tidak mengetahui kelebihan agama sendiri dan kelemahan musuh, tidak mantap pengetahuan tentang ekonomi, politik, sejarah dan fakta. 


Konvensyen Bidadari dan Bengkel Suami Mithali

Oh, ya! Ada satu perkara lagi yang saya mahu khabarkan. InsyaAllah saya, Mazlan dan beberapa kawan yang lain akan menghadiri Konvensyen Bidadari dan Bengkel Suami Mithali pada 31 Ogos & 1 September 2013. Seperti biasa, pasti ada gerai-gerai buku yang boleh menggugat poket jikalau kita berkunjung ke majlis ilmu sebegini. Belum tiba masa itu lagi, tim Konvensyen Bidadari sudah menguar-uarkan penjualan buku hasil karya Syeikh Mirza Yawar Baig (salah seorang speaker) menerusi lama FB mereka. Salah satu buku yang diuar-uarkan itu, Bringing Up Muslim Child juga merupakan tajuk pembentangan untuk salah satu slot di program itu. Apa lagi, meroyanlah saya dibuatnya! 

Kira punya kira jikalau mahu membeli keempat-empat buah buku itu, mahunya mencecah RM100++ termasuk pos. Waduh! Boleh dibuatnya saya jatuh sengkek di ambang syawal ini. Dalam berkira-kira, beli ke tidak itu, entah macam mana Allah gerakkan hati saya meng-google salah satu buku tersebut dengan niat untuk membaca testimonial pembaca. Akhirnya, pencarian demi pencarian, sampailah ke laman web penulis, http://www.yawarbaig.org/#. Rupa-rupanya, penulis ada memuatkan e-book PERCUMA untuk 3 buah buku yang saya mahu beli itu. Jadi, saya hanya membeli buku Bringing Up Muslim Child sahaja. MasyaAllah, mulianya hati penulis ini. Jikalau saya penulis, saya pun rasanya tidak akan membuat e-book percuma jikalau ada buku yang berbentuk paperback terjual. Didoakan sebanyak-sebanyak kebaikan untuk kehidupan penulis dunia dan akhirat. Selamat duit saya. Jikalau anda mahu membeli edisi paperback, boleh saja membuat pesanan menerusi tim IMuslim. Membaca menerusi edisi paperback lebih seoronok sebenarnya. Lagipun boleh ditayang-tayang di rak buku. Ngee.

Tentatif Program
Download Ebook :  

Selamat berjuang di bulan Ramadhan. Tinggal 2 hari sahaja berbaki. Berusahalah, mana tahu ,tahun hadapan tidak berjumpa lagi :)