Sunday, February 08, 2015

Catatan Awal Februari



Bukankah sudah kata bulan Januari akan habis begitu sahaja. Sekarang bulan Februari. Tinggal 2 minggu lagi maka masuklah pula bulan Mac. Tidak tahu samada masa begitu pantas atau saya yang lambat bergerak.

Progres aktivti membaca saya agak memuaskan. Baca sikit-sikit sebelum tidur terutamanya. Tidak sedar sudah 3 buah buku dihabiskan. Tentang pemilihan buku pula, saya main ambil sahaja di rak buku. Tengok mana yang berkenan. Tidak ada yang spesifik. Kadang-kadang mahu membaca buku fiksyen, kadang-kadang bukan fiksyen.


Pada ketika ini, saya agak gemar membaca apa-apa sahaja buku yang ada kaitan dengan cikgu. Jadi kalau ternampak tajuk yang ala-ala sebegitu terutamanya jikalau buku tersebut menceritakan tentang pengalaman atau novel, pastinya membuatkan tangan ini gatal sahaja mahu membelinya.

Sumber Gambar : Sini

Contohnya, buku Cikgu, Saya Suka Pergi Sekolah tulisan Cikgu Hazwani dan Cikgu Soraya Lin terbitan Humaira Publications. Buku yang mempunyai ketebalan sebanyak 180 helai muka surat ini menceritakan pengalaman seorang cikgu Sains mengajar di sebuah sekolah rendah. Sangat dekat di hati cerita yang ditulis , namun saya pula yang kadang-kadang mengeluh kerana tidak mampu menjadi sebaik penulis. Haih. Selalu saya merasakan cerita di dalam ini terlalu ideal atau dalam erti kata lain, 'terlalu baik' sedangkan realitinya saya di sekolah  rasa diri seperti singa. Hehe. Boleh tahan garang bukan. Oleh kerana itu perlu banyak membaca buku-buku sebegini sebagai peringatan, pendorong dan juga bolehlah cedok beberapa idea. Antaranya ialah, cerita 10 minit.

Buku ini merupakan catatan pengalaman mengajar Cikgu  Hazwani dan selepas itu ada 1-2 halaman yang didedikasikan untuk ruang ulasan berdasarkan cerita tadi. Saya rasa ruang ini ditulis oleh Cikgu Soraya Lin. Walaupun banyak cerita itu dekat di hati tetapi ada juga pengalaman penulis contohnya berhadapan dengan murid yang susah dari segi kewangan, ehm, sesuatu yang sukar saya perolehi di sekolah saya. Mungkin ada, cuma biasalah, apabila bersekolah swasta, kita menjangkakan semua kaya-kaya belaka. Pasti ada yang saya terlepas pandang. Selepas ini perlu lebih peka.Tetapi, kaya atau miskin, kanak-kanak sekarang mempunyai satu persamaan iaitu majoriti mempunyai ibu-bapa yang tidak sempat melihat kerja sekolah anak-anak kerana sibuk bekerja.

Sumber Gambar : Sini
Saya juga membaca novel. Saya sendiri tidak tahu kenapa sejak akhir-akhir ini sangat cenderung membaca novel. Novel yang saya baca ini bertajuk Eh, Awak Lagi? tulisan Noordin Abdullah terbitan Galeri Ilmu. Tidak ada niat membeli pada mulanya (seperti biasa). Ketika saya lalu pada salah satu lorong rak buku, tiba-tiba sahaja buku ini terjatuh. Saya pun mengambilnya dan melihat tajuk serta penerbitnya. Selepas itu mula berfikir tentang nama penulisnya. Seperti pernah dengar. Apabila sampai di rumah, baru tahu penulis ini merupakan ayah kepada Fatimah Syarha. 

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan tahniah kepada penulis kerana berjaya menyiapkan sebuah karya pada usia yang agak 'dewasa'. Pastinya, ini bukan satu usaha dan kerja keras yang calang-calang sebab saya sendiri pun tidak mampu lagi setakat ini. Kedua, jangan terpengaruh dengan tajuk buku tersebut dan sinopsis di belakang buku. Ini bukan cerita cinta ya. Kalau ada pun bibit-bibit perasaan itu, rasanya ada lah dalam 4-5 halaman daripada 312 halaman. Memang buku ini merupakan  citarasa seorang yang sangat dewasa yang sangat mahukan pembaca muda berfikir dan berfikir! Memang kena dengan citarasa saya.

Cuma, ya saya rasa aplikasi show don't tell tidak banyak diaplikasikan di dalam novel ini sehingga saya rasa watak-watak di dalam cerita ini terlalu pesimis dan hanya pandai berwacana sahaja. Jalan cerita pula kurang kepelbagaian dan penuh dengan perbualan yang statik.Mungkin kerana itu, ia agak sedikit memenatkan untuk seorang muda, Hehe.

Berita baiknya ialah, saya tidak rasa lemah jiwa apabila selesai membacanya, seperti menbaca novel-novel berbentuk perasaan yang lain. Tidak lupa banyak pengetahuan am dan isu semasa yang saya perolehi. Buku ini boleh menjadi koleksi kerana ia mempunyai nilai yang boleh dikongsikan bersama anak murid.

Sumber Gambar : Sini

Buku seterusnya yang sudah dibaca ialah The Diary of Amos Lee - I sit, I write I Flush! di tulis oleh Adeline Foo dan illustrasi oleh Stephanie Wong. Sebuah karya conteng dari Singapura dan saya sangat suka. Saya memang sedia suka buku-buku conteng sebegini tetapi yang lebih menambahkan kesukaan saya ialah isi kandungan di dalamnya. 

Ia bukan cerita picisan, lawak bodoh dan catatan kosong. Melalui buku ini penulis menonjolkan Singapura sebagai sebuah negara yang kaya dengan monumen, tempat dan aktiviti yang hebat. Malah bertaraf dunia. Paling penting, penulis berjaya menggambarkan secara tidak langsung  yang rakyat Singapura sangat akrab dengan aktiviti membaca.

Begitu hebat kuasa sebuah buku bukan. Walaupun ia hanya sebuah buku kanak-kanak yang meriah dengan lukisan dan catatan yang pendek-pendek, namun terbukti mampu memberi publisiti untuk sebuah negara. Saya pasti rakyat Singapura atau sesiapa sahaja yang sudah lama tidak ke Singapura, pasti teruja mahu melawat negara tersebut dan pergi ke tempat-tempat yang disebutkan.

Saya pula secara peribadi, saya sukakan buku ini kerana ia mengajar kanak-kanak tentang nilai persahabatan, cintakan negara dan menghargai nilai duit. Mereka diajar untuk tidak meminta apabila mahukan sesuatu tetapi berusaha mencari duit untuk memenuhi kehendak diri. Contohnya, di dalam cerita ini, Amos berusaha melakukan beberapa pekerjaan (menjual baju T-shirt dan kasut, menjadi badut di parti-parti) untuk membeli portable PSP.  Mereka juga diasuh untuk berjimat cermat dan menghargai apa yang sudah disediakan.

Wah, sangat tidak sabar mahu mencari siri Amos Lee yang lain!