Sunday, November 20, 2011

Anakku Hebat Anakku Soleh - Zahazan Mohamed

Alhamdulillah!

Saya membaca dan menulis lagi. Jikalau pada minggu lepas, saya memaksa diri untuk membaca, lain pula cerita pada minggu ini, kes susah berhenti membaca pula ceritanya. Aduh! Aduh! Bawa bersederhana Welma.

Ada 4 buah buku yang berjaya dibaca pada minggu ini - 1 novel remaja, 1 travelog dan 2 komik. Ini menjadikan jumlah buku yang dibaca setakat 20 November ialah sebanyak 14 buah buku.



Menurut target awal tahun, saya mensasarkan sebanyak 50 buah buku setahun. Nampaknya saya ketinggalan 37 buah buku di belakang. Tetapi, saya rasa saya mahu mengubah target itu menjadi 25 buah buku sahaja kerana saya mahu melengkapkan bacaan tadabbur Tafsir Al-Wadhih Juz 30 sebelum penghujung 2011.

Merujuk entri pada minggu lepas, saya menulisnya dengan mode tergesa-gesa. Oleh kerana itu, saya sengaja mengabaikan perkongsian Anakku Hebat Anakku Soleh tulisan Ustaz Zahazan Mohamed.



Semalam ketika saya mahu bercerita tentangnya, saya tidak tahu pula bagaimana untuk menyimpulkan pembelajaran yang saya perolehi daripada buku yang berjumlah sebanyak 205 halaman ini. Biasalah begitu bukan. Kita membaca dari satu buku ke satu buku. Akhirnya kita terlupa pengisian buku yang sudah kita baca. Mungkin ini penanda aras yang hati sangat kotor. Saya hanya ingat kepada reka letak dan susun atur yang berwarna-warni, mewah dengan gambar dan ilustrasi serta pengisian yang disampaikan dalam bentuk poin.

Bukan itu sahaja, ada juga beberapa pengisian yang menarik perhatian saya. Antara lain yang saya ingat ialah penulis ada menyatakan yang kaedah memukul anak-anak sebagai bentuk pendidikan haruslah diambil sebagai langkah terakhir. Gantikanlah dengan nasihat, penghargaan dan kemaafan. Itu lebih utama. Selain itu, penulis juga ada menyatakan yang ibu-bapa perlu mengelakkan diri memarahi atau menegur anak-anak yang melakukan kesalahan di hadapan orang lain. Ini kerana kaedah ini hanya akan menambahkan dendam di dalam hati mereka. 2 pengajaran yang membekas diperolehi dari Anakku Hebat Anakku Soleh.

Oleh kerana banyak yang saya terlupa terutama struktur pengisian buku ini, maka semalam saya mengulangkajinya semula. Tiba-tiba saya terfikir mahu menyediakan satu buku khas untuk menulis isi-isi penting untuk buku tertentu. Mudah untuk dibaca sebagai bentuk ulangkaji. Waduh! Banyak pula cita-cita budak yang seorang ini.

Anakku Hebat Anakku Soleh mengandungi 6 bab. Bab 1 dimulakan dengan definisi tarbiyah itu sendiri. Ha'a. Saya baru perasan penulis menggunakan perkataan tarbiyah dan bukan pendidikan. Ini kerana saya rasa tarbiyah bukan perkataan yang common di dalam masyarakat kita. Betulkah?

Saya kira tidak perlulah saya berkongsi tentang setiap definisi tarbiyah yang banyak itu. Cukuplah sekadar kita mengetahui ia bermakna pendidikan atau lebih spesifiknya pendidikan yang menyentuh tentang cara-cara membesarkan anak dengan kaedah tertentu. Jikalau menurut Sayyid Sabiq, aspek pendidikan itu merangkumi jasmani, akal, rohani, perasaan, sosial sehingga kanak-kanak itu menjadi anggota masyarakat yang berguna. Maklumat lengkap aspek-aspek ini disentuh oleh penulis pada Bab 3. Di situ, penulis ada menyatakan beberapa kaedah yang boleh membantu.

Saya kira tumpuan pembacaan saya tertumpu pada Bab 1 dan 2. Almaklumlah saya lebih gemar menelaah info tentang peringkat tumbesaran anak-anak dan tuntutannya serta teknik-teknik mendidik. Penulis membahagikan peringkat tumbesaran kepada 3 iaitu bawah 2 tahun, 2-5 tahun dan 5-12 tahun. Saya menyimpulkan pada usia sehingga kanak-kanak berumur 5 tahun, ibu-bapa perlu banyak mencurahkan kasih sayang dan memberi tunjuk ajar tentang kebaikan. Manakala pada usia 5-12 tahun pula, kanak-kanak perlu diajar tentang aspek agama seperti adab-adab, solat dan quran.

Penulis ada menyatakan peringkat umur dari 3-7 tahun adalah merupakan umur kritikal yang perlu dimanfaatkan oleh ibu-bapa dalam pembinaan dalaman (syaksiah) anak mereka. Mungkin pada usia sebeginilah, anak memerlukan peranan seorang ibu (dengan tidak menafikan peranan ayah) yang sepenuh masa di rumah berbanding pusat jagaan harian. Fakta menarik yang saya perolehi melalui buku Travelog Wartawan Islam. Di situ Roslan Hamid ada menulis perkongsian kajian yang bertajuk The Myth of Quality Time. Kita mungkin biasa mendengar ibu-bapa yang bekerjaya menyebut tentang masa berkualiti untuk anak-anak. Kajian yang dikongsikan itu meragui tentang kenyataan tersebut.

Ini ditambah pula dengan kajian lain di mana Ronald Revant (Pakar Psikologi) menulis, "Kanak-kanak perlukan tumpuan dan perhatian hampir sepanjang waktu. Adalah satu khayalan untuk berpendapat mereka boleh menepati jadual waktu anda dan anda boleh berkata, "Baiklah, kita ada masa setengah jam, apa masalah sayang?" (Halaman 166)

Kembali semula ke buku Anakku Hebat Anakku Soleh. Keluarga memainkan peranan penting di dalam pembinaan anak-anak. Penulis ada menyatakan yang keluarga perlu menyediakan asas atau yang diberi nama oleh penulis sebagai persediaan untuk dididik sebelum menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Ini bukanlah perkara baru dalam dunia pendidikan tetapi telah dipraktis oleh masyarakat Islam dahulu kala di mana terbukti mampu melahirkan ramai pemikir Islam yang berkualiti. Tanggungjawab ibu-bapa tidak berhenti setakat itu. Mereka perlu menghantar anak-anak mereka ke sekolah yang memberi pengajaran Islam yang baik serta mengambil tahu kawan-kawan yang digauli anak mereka. Peranan masjid juga tidak boleh dikesampingkan.

Akhir kata yang boleh saya katakan, apabila kita berada di alam barzakh, tiada lain yang kita nantikan melainkan ilmu kita yang bermanfaat serta doa anak-anak kita yang soleh. Mungkin pada ketika itu baru kita sedar, pelaburan membina anak-anak adalah lebih utama berbanding membina kerjaya atau harta material.

Saya tidak berapa sihat. Saya perlu segera menutup komputer ini. Nampaknya, pada minggu ini saya berhutang lagi. Bukan 1 tetapi 4 buah buku.

Thursday, November 10, 2011

2 Buah Buku

Dalam lebih kurang 3 minggu ini, Alhamdulillah dengan izin Allah, saya berjaya menyelesaikan pembacaan 'dengan penuh paksaan' untuk 3 buah buku ini. Ya, walaupun mengaku diri sebagai pembaca tegar, namun seringkali juga terkandas dengan unsur-unsur kemalasan atau nama lain untuk diberitahu kepada orang lain ialah tidak cukup masa. Kononnya.

Pada mulanya, saya ingin membaca 6 buah buku (yang nipis halamannya) dalam seminggu. Kononnya. Tetapi melihatkan hasil di bawah, secara purata saya hanya mampu membaca sebuah buku dalam seminggu. Namun begitu, tahniahlah Welma kerana berjaya bangkit dari rehat yang panjang tanpa buku. Bukan senang untuk konsisten dalam perkara kebaikan.

Pada entri kali ini, saya ingin bercerita tentang 2 buah buku ini - Travelog Wartawan Islam karya Roslan Hamid dan Catatan dari 40,000 Kaki tulisan Kapten Hafiz Firdaus. Kedua-dua buku ini memiliki persamaan walaupun mesej yang disampaikan berbeza dari segi objektifnya. Ia ditulis dengan santai, penuh kejujuran dari hati dan menyampaikan pandangan serta luahan tulus yang berbeza dari pandangan majoriti.

Saya suka menganggap Travelog Wartawan Islam sebagai sebuah buku muhasabah. Saya dibawa meneroka kehidupan yang berbeza dari hidup saya dari segi usia, pekerjaan dan suasana kehidupan. Penulis berjaya menggambarkan kepada pembaca yang tidak tahu-menahu tentang skop kerja bidang kewartwanan (Contohnya, Saya) tentang keadaan pekerjaan itu sebenar. Ini mencakupi penceritaan tentang komitmen kerja yang tidak mempunyai sempadan masa dan halangan-halangan prinsip diri sebagai seorang Muslim.

Seringkali sepanjang pembacaan membuatkan saya merasa betapa susahnya pekerjaan ini (maksud saya wartawan) boleh membantu kita menjadi seorang Muslim yang baik. Lebih terperinci lagi, maksud saya, menjaga dan tidak meninggalkan solat 5 waktu, halal-haram makanan di luar negara dan paling penting persoalan seperti yang dibangkitkan oleh penulis - sejauh mana hasil tulisan kita itu dikira sebagai amal- bagaimana pula dengan cerita-cerita hiburan dengan gambar-gambar yang mendedahkan aurat yang langsung tidak membawa apa-apa menfaat kepada pembaca - atau wartawan yang bekerja dengan syarikat akhbar yang berkonsepkan menyokong parti tertentu, sejauh mana dilema mereka berdepan dengan tanggungjawab melaporkan berita yang tulus dan ikhlas kepada masyarakat tanpa sebarang kepentingan.

Seringkali itu juga, saya semakin yakin, pasti ada penyelesaiannya. Bukankah kita menyakini Islam itu agama kontemporari yang bukan hanya sesuai diamalkan oleh ustaz-ustazah tetapi sesiapa juga termasuk wartawan. Dilema-dilema yang diutarakan oleh penulis ini memerlukan pengkajian dan penjelasan oleh pihak yang berpengetahuan agar kita boleh membantu golongan ini mempraktikkan Islam dalam setiap keadaan.

Secara amnya, Travelog Wartawan Islam mengisahkan seorang wartawan yang sedang mencari erti atau makna kehidupan yang sebenar. Namun beliau tidak menjumpainya di dalam bidang kewartawanan. Memetik kata beliau, "Pengorbanan seorang wartawan begitu besar tetapi apakah ia benar-benar memberi manfaat kepada seseorang itu di akhirat kelak?". Memetik lagi kata beliau, "Dunia wartawan ini terlalu sibuk sehingga tidak ada masa samada untuk menghadiri kelas pengajian agama di masjid, bersosial dengan masyarakat atau mengambil berat permasalahan di tempat tinggal mereka". Akhirnya pada Februari 2008, beliau nekad keluar daripada zon selesa dalam bidang kewartawan untuk memberi ruang kepada dirinya memperbaiki diri sebagai seorang Muslim.

Namun kerja tulis-menulis ini tidak ditinggalkan begitu sahaja. Kisah Antara Dua Kota merupakan hasil tulisan beliau sepanjang perjalanan ulang-alik antara Melaka dan Kuala Lumpur. Cerita-cerita ini dimuatkan di dalam kolum Berita Harian . Ia kemudian dibukukan dan merupakan syeksen kedua di dalam buku Travelog Wartawan Islam. Sebanyak 28 topik dimuatkan yang merangkumi pelbagai peristiwa antarabangsa dan masyarakat setempat.

Sepanjang pembacaan, baru saya sedar banyak rupanya peristiwa dunia yang saya terlepas pandang . Ngehee!

Beralih kita kepada perkongsian Catatan dari 40,000 Kaki karya Kapten Hafiz Firdaus. Buku ini merupakan Siri Pertama dan mengandungi 24 artikel yang dimuatkan di Majalah I bermula Disember 2008 hingga November 2010. Bezanya, artikel yang dimuatkan di dalam buku ini merupakan artikel original tanpa suntingan daripada editor majalah.

Buat masa ini, saya kira masih belum ada lagi Siri Kedua yang menyusul. Seperti yang dinyatakan pada awal entri, persamaan antara 2 karya yang saya kongsikan ini ialah ia merupakan luahan rasa penulis yang jujur dan berbeza dengan pandangan majoriti. Jika mahu dibandingkan dengan Travelog Wartawan Islam, karya Hafiz Firdaus ini ditulis dengan sinis dan boleh mengundang banyak perkara yang pembaca tidak setuju terutama apabila menyentuh tentang ibadat dan kepimpinan negara. Mungkin ada di antara pembaca termasuklah saya akan memberi rumusan, yang corak pemikiran penulis adalah sipi-sipi Wahabi. Satu kefahaman yang heboh suatu ketika dahulu. Tetapi saya cepat-cepat membuang hasutan itu kerana saya sendiri tidak berapa jelas apa yang dikatakan Wahabi itu.

Lagipun saya tidak nampak di mana pincangnya pandangan penulis apabila beliau mengemukakan pendapatnya tentang isu-isu ibadat, kepimpinan, atau masyarakat sejagat. Saya meraikan pemikiran beliau yang menyeru agar kita mencari ilmu dalam setiap amalan ibadah yang kita lakukan agar ia dilakukan bukan atas dasar ikut-ikutan. Saya setuju yang kita perlukan pembaharuan dalam agama. Ini bukan bermaksud Islam itu perlu dibaharukan, tetapi kaedah kita dalam menangani masalah Islam itu yang perlu dibaharukan. Islam bukan agama baharu tetapi kita percaya ia bersesuaian sepanjang zaman. Ia kontemporari. Ayat-ayat di dalam Al-Quran itu perlu dibongkar kerana solusi kepada permasalahan kita pada masa kini ada di dalamnya. Masalahnya, kita gagal untuk melakukan Research & Development (R&D) itu . Malah jikalau ada pandangan yang mahukan pembaharuan atau dalam erti kata lain, orang yang melakukan R&D itu, kita melabelkan orang itu sebagai keras dan pelampau. Kita sangat jarang memberi tindak balas yang membina dan memperbetulkan.

Wallahu alam

Sumber Gambar:
Travelog Wartawan Islam
Catatan dari 40,000 Kaki

Thursday, September 15, 2011

Membaca Semula

Membaca semula! Eh, betulkah?

Dalam tempoh rehat yang panjang ini ( Mac- September) , saya tetap membaca . Cuma tidak begitu agresif untuk berkongsi tentang buku-buku itu di blog ini. Mungkin mengalami kejutan budaya. Alasan bukan. Manakan tidak, harus pandai menyesuaikan diri sebagai seorang isteri, pelajar, pekerja, anak menantu, ahli masyarakat dan lain-lain lagi.

Isteri? Ya. Saya sendiri tidak faham bagaimana ia begitu cepat berlaku sehingga saya tidak sempat mewar-warkannya. Walau bagaimana pun, saya tetap yakin yang semuanya sudah tertulis dalam perencanaan Allah. Kesimpulannya, saya sekarang ialah Puan Welma. :)

Saya mengambil masa yang lama membaca buku ini - Start Where You Are ( Edisi Bahasa Melayu). Namun tidak juga selesai pembacaannya. Oleh kerana begitu teruja dengan buku ini, saya meminjamkan ia kepada makcik saya. Konon-konon supaya makcik saya beroleh motivasi kehidupan yang tidak terkira melaluinya.

Ulasan? Belum lagi. Cuma, sepanjang pembacaan saya selalu terfikir, sebenarnya ada begitu ramai di luar sana yang sentiasa berusaha mencari kesempurnaan dan ketenangan hidup yang hakiki. Setelah melalui proses kehidupan yang panjang, akhirnya mereka sedar, duit bukan segala-galanya. Ada yang lebih penting daripada itu seperti kesedaran sosial dan berkongsi kejayaan dengan orang lain. Terdetik di dalam hati saya. Adakah cukup sekadar itu? Adakah tujuan kehidupan hanya berhenti di situ? Tidakkah hati mereka masih meronta-ronta untuk diisi dengan pemahaman yang ada lagi satu kehidupan di sana yang kekal abadi di mana mereka perlu bekerja keras untuknya. Tidakkah hati mereka merindui pencipta yang sentiasa mempermudahkan urusan mereka?



Sumber : PTS


Mungkin kerana banyak sangat memikirkan persoalan-persoalan itu, buku karya Chris Gardner itu belum lagi berjaya dikhatamkan. Namun, sempat juga saya 'usha' buku yang lain. Alasannya mahu merehatkan minda. Apa lagi kalau bukan buku Cik Zorro Lambretta Jambu. Walaupun hanya 152 halaman, saya menghabiskannya dalam masa 3 hari. Saya memang betul-betul ada masalah krisis pengurusan masa atau nama lain penyakit malas semakin tidak boleh dibendung. Pantang ada masa terluang, mahu sahaja mata ini terlelap. Ngee. Ulasannya? Tunggu dulu ya. Tangan saya sudah menjadi keras untuk mengarang di dalam blog ini. Penangan sudah lama tidak menulis :)



Sumber : PTS

Sekarang pula, saya sedang dalam proses membaca buku karya Bahruddin Bekri - Penulis yang Disayang Tuhan dan Diari Mat Kilang karya Ahmad Fairus Daud. Seronoknya membaca.


Tuesday, March 29, 2011

April

Suku tahun pertama hampir berlalu. Saya sudah turunkan pelan kalendar lama dan diganti dengan pelan kalendar baru. Kini, masa untuk refleksi. Melihat 3 bulan yang sudah dan merancang 3 bulan yang akan datang.


Warna biru menunjukkan hari bekerja syif pagi.
Warna oren pula mewakili syif malam.

Kerja

Saya menghabiskan hari-hari bekerja dengan mencari kesesuaian. Saya cuba menyesuaikan diri dengan platform dan organisasi baru. Masa untuk berkenal-kenalan dengan perangai orang sekeliling. Masa untuk belajar mengatur waktu tidur kerana perlu bekerja mengikut syif. Saya bekerja 2 minggu malam dan 2 minggu siang dari pukul 7 pagi hingga 7 malam atau 7 malam hingga 7 pagi. Dalam masa seminggu, saya akan bekerja dalam 3 atau 4 hari.

Saya ingat lagi dalam kira-kira 6 minggu pertama saya bekerja. Ketika itu saya bekerja syif malam. Apabila balik rumah pada pukul 7.30 pagi, saya tidak boleh melelapkan mata. Jikalau saya terlelap pun, saya akan celik semula pada pukul 10 pagi. Fizikal saya sangat letih dan mahu tidur, tetapi saya tidak boleh melelapkan mata. Tetapi itu cerita 6 minggu yang sudah. Minggu ke-7, saya kembali normal. Alhamdulillah. Balik kerja pukul 7.30 pagi. 7.30 pagi juga saya terus terlelap. Cuma sekarang saya masih mencari kesesuaian dari segi jadual makanan. Saya tidak sangka pula boleh gastrik pada minggu lepas.

Pejam celik. Kini sudah masuk hampir 8 minggu saya bekerja sebagai seorang penyelia. Saya sekarang sedang dalam proses belajar dan belajar dengan kerjaya baru ini. Stress itu tidak dapat dinafikan. Tetapi tanpa stress, kita tidak akan dapat beroleh apa-apa kejayaan di dunia ini. Setiap hari saya belajar untuk bermuka tebal jikalau saya membuat kesilapan dan setiap hari juga saya berazam yang saya tidak akan mengulangi kesilapan yang sama. Saya belajar setiap hari untuk memiliki jiwa yang cekal dan terbuka untuk ditegur. Saya belajar setiap hari untuk memaafkan siapa sahaja jikalau ada kata-kata mereka yang mengguris hati saya. Saya perlu faham yang saya tidak sentiasa betul dan orang lain tidak sentiasa salah. Saya sedang menggangap diri saya ialah atom karbon pada ketika ini yang sedang ditempa menjadi kristal (Hehe).

Tidak banyak yang boleh saya kongsikan tentang kerjaya baru ini melainkan tentang perjuangan memperbaiki sikap. Bukan material atau pangkat yang saya kejar ketika saya memohon jawatan ini. Saya cuma berharap, jiwa saya dapat dibentuk dengan lebih cekal lagi, saya boleh belajar tentang pengurusan dan mengaplikasikannnya di dalam hidup dan cita-cita sebenar, serta memperbaiki cara komunikasi dan meningkatkan tahap keyakinan diri. Inilah yang saya mahu capai dalam tempoh 1 setengah tahun ini.

Ikram Kidz
(http://ikramkidz.blogspot.com/)

Saya merupakan ketua program untuk Ikram Kidz. Ia merupakan wadah sosial untuk kanak-kanak yang berumur 7 -12 tahun yang dianjurkan oleh Pertubuhan Ikram Malaysia (Kulim). Peserta akan dibahagikan mengikut usia. Tahap 1 berumur dari 7-9 tahun dan Tahap 2 berumur dari 10-12 tahun. Ketika merekabentuk program IKRAM Kidz, kami cuba mengenengahkan konsep playgroup - bermain sambil belajar dan memasukkan elemen sistem pemberian bintang sebagai insentif kepada peserta.

Setiap kali peserta melakukan kebaikan, menjaga kebersihan, menjaga fail atau tag nama dan menjawab soalan-soalan kuiz, maka mereka akan mendapat bintang. Bintang-bintang ini akan dikumpulkan sehingga majlis graduasi pada penghujung tahun. Selain daripada itu juga, setiap 2 kali perjumpaan, peserta berpeluang mendapat hadiah-hadiah lumayan hasil kutipan bintang daripada aktiviti yang diikuti. Pemberian ganjaran sangat penting di dalam usaha pendidikan kanak-kanak. Bacalah di dalam mana-mana buku psikologi kanak-kanak, penulis pasti ada menyebut tentang 2 perkara : didiklah dengan kasih sayang dan berilah ganjaran jikalau mereka berbuat kebaikan.





Jadual Bintang Peserta


Dalam tempoh 3 bulan ini, sebanyak 3 kali program berjaya diadakan iaitu Famili Aulad (23 Januari), Jejak Rasul (19 Februari) dan Bijak Solat 1 (19 Mac). Seperti yang saya tulis pada entri lepas, IKRAM Kidz merupakan medan eksperimen saya. Saya mahu mengkaji sejauh mana tahap kanak-kanak ini boleh menerima arahan dan dibentuk. Justeru itu, saya cuba membahagikan strategi program IKRAM Kidz kepada 3 peringkat. Setiap peringkat melibatkan 4 kali program.

Peringkat pertama ialah sesi berkenal-kenalan dan mencari kesesuaian dengan program, fasilitator dan peserta. Pada peringkat ini, kita memberi peluang fasi mengenali karakter kanak-kanak di bawah kelolaannya. Peringkat kedua pula kita mula memberi sedikit demi sedikit ilmu pengetahuan dan praktikal islami kepada kanak-kanak ini. Di sini juga kita menyuntik elemen bangga dengan cara hidup Islam di dalam diri mereka. Peringkat ketiga ialah kita cuba membina elemen kepimpinan dan kekuatan diri. Buat masa ini, kami baru memasuki peringkat kedua dan kami akan terus memantau sejauh mana kami boleh pergi ke peringkat ketiga.




Tahap 1 : Aktiviti Kraftangan




Tahap 2 : Membina Model Bangunan

Melalui 3 kali program ini, saya boleh melihat hasil yang agak menakjubkan. Pertemuan pertama kami pada 23 Januari agak kelam kabut. Tetapi sehingga kali ketiga pertemuan, saya agak terkejut kerana biasanya setiap kali saya menyuruh mereka berbaris memerlukan banyak kali seruan, tetapi pada minggu lepas, saya hanya memberi arahan sekali sahaja dan mereka dengan pantas membentuk barisan.

Pada pertemuan pertama juga, kami ada memberi fail dan tag nama. Kami sebenarnya tidak berharap yang mereka akan membawa fail itu pada pertemuan kali kedua kerana "Budak-budak. Mesti hilang punya!" Begitu anggapan kami. Tetapi tidak sangka , tidak ada seorang pun yang lupa membawa fail dan tag nama ketika mereka datang untuk pertemuan kali kedua. Terdetik dalam fikiran saya, yang kanak-kanak sebenarnya boleh menerima tanggungjawab dan amanah. Tidak hairan kenapa orang barat bersungguh-sungguh menerapkan elemen kepimpinan di dalam silibus pendidikan mereka sejak kanak-kanak kerana kanak-kanak sebenarnya mampu pergi lebih jauh lagi daripada yang kita jangkakan.




Sesi Bercerita Tahap 1 : Buku-buku yang digunakan haruslah
berkisar Seerah Rasulullah dan para sahabat




Sesi Bercerita Tahap 2 : Buku-buku yang digunakan haruslah
berkisar Seerah Rasulullah dan para sahabat


Misi utama IKRAM Kidz ialah membentuk kanak-kanak agar mencintai Allah, Rasul, peka kepada tanggungjawab solat, boleh membaca Quran, dan berakhlak mulia. Pelbagai metod yang kita gunakan. Kadang-kadang menonton tayangan video, kraftangan, membina model bangunan, bercerita dan baru-baru ini bermain Snake & Ladder Solat. Mungkin kita pernah melihat mak kita apabila sangat berkeinginan anak-anaknya makan sayur. Pelbagai cara yang digunakan. Ada sayur yang ditumbuk sampai lumat dan dimasukkan di dalam telur sehingga sudah tidak nampak lagi rupa sayur. Ini semua kerana mak kita mahu kita makan sayur. Begitulah kami. Kami cuba sedaya upaya mereka permainan agar mesej nilai-nilai Islam itu sampai kepada kanak-kanak ini.


Tahap 1 : Snake & Ladder Solat







Tahap 2 : Snake & Ladder Solat


Supplement Tambahan


Saya ada berjuta-juta keburukan. Antaranya ialah cepat hilang fokus. Sering mengelamun. Tidak pandai membahagikan masa. Tidak berdisiplin dalam mengikut jadual harian. Itu tidak termasuk lagi perangai suka bertangguh-tangguh dan buat kerja dalam minit-minit terakhir. Sikap sebegini tidak boleh ada di dalam diri orang yang bercita-cita besar. Mustahil untuk saya mencapai cita-cita saya itu jikalau saya berterusan begini. Inilah yang saya runsingkan.



Apabila melihat kembali pelan kalendar dan menganalisa keadaan hidup dalam tempoh 2 bulan ini, saya berazam untuk memperbaikinya agar menjadi lebih baik. Ya. Memperbaiki sikap. Lagipun, kehidupan yang agak memenatkan memaksa saya mencari 'supplement tambahan' (ya semestinya didahului dengan solat, quran dan doa) . Supplement tambahan itu tidak lain tidak bukan ialah buku motiivasi. Itulah yang membawa saya kepada membaca buku No Excuses! (Terjemahan Bahasa Melayu) karya Brian Tracy.


Ini kali pertama saya membaca tulisan Brian Tracy. Tidak boleh sangat menghayati gaya tulisan dan pemikirannya kerana membaca buku terjemahan. Namun saya sedar, Brian Tracy banyak bercakap tentang penjualan. Mungkin kerana latar belakangnya sebegitu. Kerap kali juga beliau mengulang-ulang tentang Cause & Effect Law dan saya bersetuju dengan beliau. Di dalam Islam, Cause & Effect Law kita definisikan sama dengan konsep sunnatullah. Maksudnya jikalau kita berusaha, kita pasti menemui kejayaan. Saya juga pasti Brian Tracy sangat percaya kepada usaha keras, produktif dan bersungguh-sungguh kerana itulah mesej yang seringkali dilaungkan beliau melalui bukunya ini - bab demi bab.

Inilah yang saya gemar melalui karya-karya penulis barat. Idea dan teori yang dikemukakan lebih praktikal. Cuma kita kena faham, memandangkan mereka bukan orang Islam, jadi mereka mendefinisikan kejayaan dan kebahagiaan agak berbeza dan terhad. Beginilah, mana yang baik itu kita ambil, mana yang kurang sesuai kita tinggalkan.

No Excuses! dibahagikan kepada 3 bahagian. Banyak masa saya luangkan pada bahagian pertama kerana ia lebih sesuai dengan situasi dan kehendak saya pada masa kini iaitu mahu melakukan perubahan sikap. Saya membaca sepintas lalu apabila penulis bercerita tentang tidak suka meletakkan kesalahan pada orang lain, kecekalan, keberanian dan pemikiran positif. Bagi saya, elemen-elemen ini adalah intipati wajib dalam mana-mana buku motivasi.

Tetapi saya suka apabila penulis memulakan awal bab dengan bercakap tentang fokus hidup. Penulis bertanya apakah target hidup, apakah definisi kejayaan bagi kita dan bagaimana bentuk kejayaan yang mahu kita capai di dalam hidup ini. Penulis memandu pembaca untuk memiliki cita-cita. Penulis memberi analogi tentang ini. Kata beliau, bayangkan kita berada di dalam sebuah gua yang gelap dan kita ternampak sumber cahaya. Secara automatik, kita akan bergerak menuju sumber cahaya itu. Begitulah cita-cita. Ia bagaikan sumber cahaya. Dengan memiliki cita-cita, hidup kita akan lebih berfokus dan bermakna.

Brian Tracy mengatakan ada 7 langkah jikalau kita mahu mencapai cita-cita. Jom kita tanya diri sendiri!


1) Pastikan apa yang kita mahu (i. Saya mahu membina modul pendidikan kanak-kanak yang berumur 4-12 tahun melalui hasil kajian sirah Rasulullah saw. Saya mahu mencari jawapan bagaimana mendidik anak-anak ini agar mereka memiliki mindset hidup 100% untuk Tuhan dan menyumbang untuk ummah ii. Saya mahu memiliki pusat perkembangan kanak-kanak/nurseri sebagai wadah untuk saya berkarya dan bereksperimen)



2) Tuliskan pada kertas (Saya sendiri, secara peribadi, menganggap menulis cita-cita adalah terapi. Oleh kerana itu setiap kali saya stress, saya akan menulis cita-cita saya)



3) Letakkan dead line (Ini masalah saya. Tetapi Allah swt selalu bermurah hati 'meng-on-track-kan' semua perancangan saya)



4) Senaraikan langkah-langkah menujunya ( Ini juga masalah saya. Saya ada menyenaraikannya tetapi agak kabur. Saya sendiri tidak nampak jalan bagaimana mahu menuju ke arah itu. Tetapi sekali lagi Allah swt selalu bermurah hati dan sekarang saya nampak jalannya. Kini saya ada nurseri untuk diusahakan)



5) Buatkan keutamaan ( Saya sedang belajar untuk ini. Buat masa ini, prioriti saya ialah selesaikan tesis dan 2 subjek kejuruteraan- berakhir bulan April. Kedua, bekerja bersungguh-sungguh sebagai penyelia - sehingga Jun 2012. Manfaatkan peluang ini untuk belajar erti kecekalan bekerja dan praktikal ilmu pengurusan. Ketiga, teruskan bereksperimen dengan Ikram Kidz - purata program 2 kali sebulan. Keempat, mulakan penulisan kertas kerja dan kaji selidik nurseri/tadika yang ada di Kulim bermula Mei)



6)Lakukan perkara yang dirancang ( Ya. Sedang berusaha)



7)Lakukkan perkara yang menyumbang kepadanya (Ya. Saya sedang berusaha. Antaranya ialah membaca buku psikologi kanak-kanak, bereksperimen dengan Ikram Kidz, dan bakal membuat kertas kerja)


Saya secara peribadi, menganggap 7 langkah ini tidak mencukupi kerana kita adalah manusia yang lemah. Kadang-kadang kita sendiri tidak pasti apa yang kita mahu capai. Kita kerap kali keliru. Kadang-kadang kita tahu apa yang kita mahu dalam hidup ini tetapi tidak tahu cara untuk menuju ke arah itu. Berikut adalah langkah extra yang sepatutnya kita ambil sebelum mempraktikkan 7 langkah di atas :

1) Berdoa kepada Allah. Sentiasa mengadu kepadaNya. Saya sehingga kini, di dalam setiap doa saya, mesti akan bercerita panjang lebar tentang cita-cita saya. Saya percaya setiap orang di dalam dunia ini, mahu berjaya di dalam hidupnya dan ada keinginan untuk memberi sumbangan kepada masyarakat. Mulakan dari sekarang bercerita kepada Allah tentang hati anda, apa yang anda mahu dan apa halangan anda.

2) Niat yang betul. Percayalah, jikalau anda niatkan untuk membantu agama Allah swt, Allah swt akan membuka seluas-luasnya jalan untuk anda. Allah swt akan sentiasa meng-on-track-kan cita-cita anda.

3) Solat Taubat/Istikharah. Kita perlu ingat selagi kita hidup di dalam dunia, selagi itulah kita akan diuji. Mungkin pada mulanya, cita-cita itu total untuk Allah. Tetapi kita tidak tahu sejauh mana kita akan konsisten untuk itu. Jadi, belajar-belajarlah kita buat back-up dengan rajin memohon ampun kepada Allah dan minta ditunjukkan jalan orang-orang yang Dia cintai.

4) Qiammulail. Sentiasa sematkan di dalam hati, tiada pejuang-pejuang Islam di dalam sejarah yang berjaya menakhluki dunia tanpa bersengkang mata di malam hari bermunajat dan membaca quran.


Berbalik kepada buku No Excuses!, setelah penulis panjang lebar bercerita tentang fokus hidup, penulis mengaitkannya pula dengan Teori Cause & Effect beliau iaitu kita perlu bekerja keras untuk kejayaan yang kita mahu capai itu. Menurut penulis, jikalau kita mahu mencapai kejayaan untuk tempoh 5 tahun akan datang, kita perlu bekerja untuk itu dari sekarang dengan lebih 40 jam dalam seminggu. Menurutnya lagi, orang yang paling kaya sendiri bekerja dalam tempoh 50-60 jam seminggu dan untuk jutawan baru, mereka bekerja sehingga 59 jam seminggu.

Saya memetik juga kata-kata HL Hunt melalui buku ini apabila ditanya apakah rahsia kejayaan beliau. Beliau menjawab, pertama sekali, kita tentukan apa yang kita mahu dalam hidup. Kedua, kita tentukan jenis-jenis pengorbanan yang kita mahu lakukan dan ketiga kita sanggup berkorban merealisasikan impian kita.





Satu lagi yang saya suka pada bahagian pertama buku No Excuses ialah kebolehan penulis memberi nasihat tentang perlunya kita sentiasa meningkatkan kemahiran diri serta konsep belajar di mana-mana dan pada setiap masa. Penulis mengatakan kita perlu melabur untuk diri sendiri sebanyak minimum 3% daripada gaji kita. Duit itu boleh digunakan untuk membeli cd audio, buku atau menghadiri kursus.


Saya catit lagi 3 tips menurut penulis untuk menjadi terbaik. Jom kita analisa diri sendiri!



1) Peruntukkan 1 jam setiap hari membaca sesuatu yang relevan dengan bidang kerja. Ada syeksyen lain di dalam buku ini di mana penulis menyatakan kita patut memperuntukkan 2 jam sehari untuk kejayaan. Menurut penulis jikalau kita mempraktikkan 2 jam sehari untuk pelaburan kejayaan diri, kita tetap memiliki baki 32 jam percuma. Jikalau anda memiliki buku ini, bolehlah anda melihat cara kira-kira penulis untuk ini.

Saya mula berfikir. Mungkin saya patut memperuntukkan 1 jam sehari untuk membaca email kerja. Saya bekerja secara syif. Jadi dalam seminggu saya tidak akan bekerja dalam 3 atau 4 hari. Ini memang mendatangkan banyak masalah kepada saya kerana sudah 'lost track' dengan isu-isu kilang jikalau hanya membaca email ketika dalam hari bekerja sahaja. Seorang penyelia yang baik, dia tidak boleh sebegitu. Ini kerana tugasnya itu sendiri memerlukan dia sentiasa up to date dengan segala isu kualiti dan produktiviti.

Nanti saya fikirkan berapa jumlah masa yang diperuntukkan untuk membaca buku pendidikan kanak-kanak kerana buat masa ini baki masa saya ialah untuk membaca buku-buku kejuruteraan.

2) Gunakan masa di dalam kereta mendengar cd audio. Menurut penulis jadikan kereta sebagai bilik kuliah bergerak. (Ini yang saya tidak boleh buat. Mungkin boleh difikirkan suatu hari nanti. Entah bila. Dulu, saya amalkan juga menghafaz Quran di dalam perjalanan. Tetapi tidak konsisten. Pening)

3) Kerap menghadiri kursus (Saya bercita-cita menghadiri kursus yang dianjurkan Khalifah School.Boleh dipertimbangkan setelah saya selesai ujian akhir semester pada penghujung April ini, InsyaAllah).

Buku No Excuses memiliki terlalu banyak topik untuk dikongsikan. Penulis bukan sahaja berbicara tentang fokus hidup, bagaimana mahu menjadi orang yang produktif dan bekerja keras, penulis juga berkongsi tentang pandang hidupnya dari sudut kewangan, kesihatan fizikal dan mental, pemakanan yang baik, hubungan kekeluargaan yang kuat dan ketenangan jiwa. Mesej-mesej ini anda boleh dapati melalui Bahagian 2 dan 3. Cuma, oleh kerana misi saya semasa membaca buku ini lebih banyak berorientasikan kepada persoalan sikap untuk perkembangan kerjaya dan cita-cita, maka saya lebih banyak mencurahkan rasa dan fikiran pada bahagian pertama.


Namun begitu, saya juga sedikit memberi fokus pada bab (Bahagian 3) di mana penulis bercerita tentang anak-anak. Saya membacanya sunguh-sungguh kerana ingin memahami sejauh mana usaha mereka dalam pembentukan karakter di dalam diri anak-anak. Ini mungkin boleh saya kongsikan pada entri yang akan datang, InsyaAllah bersama-sama dengan perkongsian buku Tarbiyatul Aulad karya Ustaz Zahazan kerana buat masa ini saya sedang membaca buku itu.

Suka saya memetik kata-kata penulis di mana beliau menyatakan untuk menjadi pakar di dalam sesuatu bidang, kita memerlukan masa minimum selama 7 tahun. Ini bermakna kita perlu bekerja keras selama 10000 jam. Kemudian penulis bertanya, berapakah jam yang kita peruntukkan untuk menjadi pakar di dalam bidang yang kita ceburi? Lalu kata penulis, sekiranya bilangan jam yang kita sumbangkan itu masih sedikit, adalah lebih baik kita bermula dari sekarang!


Wallahu alam

Saturday, January 01, 2011

Yay! 2010 = 49.5 buah buku

Yay! 2011. (Err Entri in sepatutnya disiarkan semalam tetapi tertidur pula. Apabila terjaga, Oh jam sudah melepasi pukul 12. Maknanya sudah 2011. Nampaknya kena edit semula kata-kata aluan)

Yay lagi! Misi tercapai walaupun buku-buku terakhir itu ialah komik. Hehe. (Tidak main tipu kan kan). Err. Sebenarnya 49.5 buah buku kerana saya tidak sempat menghabiskan Koleksi Cerita Adam Kecil karya Ashadi Zain, Fred Suriya dan Najla Azura. Jadi saya mahu mengikut hukum pembundaran dalam dunia matematik. Memandangkan saya telah membaca sebanyak 49.5 buah, maka saya bundarkan nombor itu menjadi 50. Dalam erti kata lain, Yay, saya berjaya mencapai 50 buah buku setahun. Jadi tidak perlulah saya menulis panjang-panjang membela diri dengan mengatakan tidak penting kuantiti kerana apa yang lebih utama ialah kualiti dan semangat. Hehe.

Sekarang pukul 2.32 petang. 31 Disember 2010.

Ada beberapa jam sebelum pergi usrah. Dan beberapa jam sebelum bertukar tahun ke 2011.

Menulis sehingga Maghrib. Pergi usrah. Hantar Ana ke stesen bas dan balik rumah. Tertidur tanpa disedari.

4.00 pagi. Tiba-tiba terjaga. Melihat jam. Adooi! Bukuku. Koleksi Cerita Adam Kecil. Nampaknya 49.5 buah sahaja.

Sekarang pukul 7.58 pagi. 1 Januari 2011. Masa untuk edit entri.

Secara kesimpulannya pada tahun ini saya membaca 2o.5 buah buku fiksyen, 4 komik dan 25 buah buku bukan fiksyen. Dalam 50 buah itu, sebanyak 35.5 buah buku yang berjaya diceritakan di dalam blog ini. Baki 14 buah itu pula, alasannya ialah saya salahkan perangai saya yang suka bertangguh. Tangguh punya tangguh. Akhirnya saya terlupa dan menjadi malas.

Pada ketika ini, saya ingin kongsikan seringkas mungkin baki 9.5 buah buku yang belum saya abadikan di dalam My Kingdom of Books. Adui! Saya sudah menulis draft sebelum ini dan saya terlupa menekan butang save. Ya. Ini alasan kenapa ulasan pada kali ini pendek-pendek sahaja. Mahu alasan lagi. Ya. Saya demam ( mahu demam sebenarnya). Demam lagi. Sihat sebentar di KL. Mujur bukan. Kalau tidak, bagaimana boleh beraksi membeli buku.

Sumber Gambar : Sini

OKlah. Banyak pula ceritanya. Terus kepada tujuan (betulkah terjemahan untuk straight to the point begini), ini dia kongsi-kongsi cerita buku ke 40 dalam Senarai 50 Welma La'anda 2010.

Ibu, Benarkah Tuhan Itu Ada karya Nabilah Hasan. Sebuah lagi buku yang menyahut seruan Faizah agar membaca buku yang kurus-kurus. 113 halaman sahaja.

Saya perhatikan ada kesinambungan topik (maksud saya ditulis mengikut turutan) dari satu bab ke satu bab walaupun penulis tidak menyatakannya secara langsung. Malah setiap bab tidak pula dinomborkan. Pada mulanya saya ingatkan setiap bab itu tidak berkaitan antara satu sama lain. Mungkin boleh saja dibaca mengikut bab yang disukai dahulu. Tetapi, apabila hampir selesai buku ini dibaca, baru saya sedar yang penulis sebenarnya telah berjaya membawa pembaca mengenali Allah secara peringkat demi peringkat tanpa disedari. Maksudnya, memandangkan buku ini ditulis untuk ibu-bapa, mungkin sebagai material tambahan di dalam mendidik anak-anak tentang konsep ketuhanan, secara tidak langsung, ibu-bapa juga boleh belajar cara-cara menerangkan kepada anak-anak tentang Tuhan mengikut kaedah, langkah demi langkah dan berperingkatan.

Penulis memulakan buku ini dengan pertanyaan Ibu, Siapakah Tuhan Kita? Benarkah Tuhan itu Ada? Ada anak atau tidak? Tuhan kita satu atau banyak? Di mana Tuhan kita. Allah melihat dan mendengarkan kita atau tidak? Kenapa kita tidak boleh melihat Tuhan?

Soalan-soalan asas yang sering ditanyakan oleh budak-budak. Soalan-soalan yang berkaitan dengan zat dan fizikal Allah. Memang sering ditanya kerana sudah menjadi fitrah kita hanya mempercayai apabila nampak di depan mata. Jadi, buku ini memberi panduan bagaimana kita boleh berdepan dengan pertanyaan-pertanyaan itu. Kadang-kadang jawapan tidak semestinya perlu djawab dengan fakta. Kemahiran memberi analogi juga penting. Tersurat boleh dijelaskan melalui pancaindera dan tersirat boleh dijelaskan melalui kemahiran berfikir. Di sinilah analogi memainkan peranan.

Setelah proses kenal-mengenal itu, penulis susuli pula dengan pertanyaan kenapa Allah mencipta kita? Mesti ada sebabnya. Kerana untuk beribadah kepadaNya. Kita tahu Allah itu ada. Allah suruh kita beribadah kepadaNya. Tetapi bagaimana caranya. Bagaimana cara-cara kita berbaik-baik kepada Allah. Kita boleh nampak bukan susunan yang saya maksudkan tadi. Mengenal ciri-ciri Tuhan kita dahulu. Tidak kenal maka tidak cinta. Kemudian memahami diri kita sebagai ciptaanNya. Pasti ada fungsi kita dan bagaimana kita mahu melaksanakan fungsi-fungsi itu tadi.

Kemudian, penulis memberitahu pula ada tidak cara lain yang secara tidak langsung boleh merosakkan hubungan kebaikan kita kepada Allah. Ada. Iaitu syirik. Apa itu syirik dan bagaimana kita boleh terjebak dengan perbuatan syirik.

Pertanyaan-pertanyaan seterusnya terus menyusuli dengan bertanya kenapa ada orang jahat. Kenapa kita kena hidup susah di dunia ini. Soalan ini lebih berbentuk aplikasi kehidupan. Maksudnya, kita sudah kenal Allah, sudah tahu kenapa diciptakan, sudah tahu tanggungjawab kita kepadaNya dan seterusnya bagaimana kita boleh mengaplikasikan maklumat ini dalam medan kehidupan yang sangat mencabar. Contohnya apabila berdepan dengan kesusahan bagaimana sepatutnya reaksi kita dan bagaimana kita boleh aplikasikan bekalan tadi (mengenali Allah, jelas tujuan kehidupan, faham tanggungjawab). Jadi apabila kita diberi ujian, sebenarnya kita akan semakin memperbaharui pemahaman kita tentang 3 aspek tadi tanpa disedari.

Mari kita sama ingat mengingati. Mengenal Allah adalah silbus paling awal yang perlu diajar kepada anak-anak. Inilah foundation/base/tapak buat dirinya untuk kehidupan dunia yang semakin mencabar.


Sumber Gambar : Sini

Buku ke 41. Spanar dan Spatula karya E-Man Dhani. Selalu ternampak buku ini di bahagian display kedai buku Popular. Mati-mati saya ingatkan penulisnya ialah seorang lelaki. Sebaik membaca di wall FB beliau saya membuat kesimpulan - perempuan. Tetapi, jikalau anda membaca Spanar dan Spatula, mungkin anda beranggapan penulis ialah seorang lelaki. Pendapat saya, nama penulis sangat penting. First impression orang putih kata. Saya beri contoh. Buku sai-fai. Saya agak berat membelek-belek karya sedemikian jikalau terlihat nama penulis ialah seorang perempuan. Saya sendiri kurang faham kenapa. Begitu juga kisah Siri Sarah dan...Saya tidak rasa jikalau nama penulisnya nama lelaki, saya akan membelek-beleknya dan akhirnya jatuh cinta.

Dalam kepala saya ini seolah-olah sudah tertanam, cerita aksi dan thriller, penulisnya ialah seorang lelaki dan cerita keperempuanan dan kasih sayang, penulisnya ialah seorang wanita. Namun begitu saya pernah juga ditipu oleh Hafalan Shalat Delisa. Saya membayangkan Tere Liye itu ialah seorang wanita yang penuh kasih sayang. Sekali tengok di Friendster (masa itu bukan FB) - lelaki. Namun begitu sehingga kini saya adalah pembaca tegar karya Tere Liye. Mesej saya, walaupun nama itu tidak penting tetapi sedikit sebanyak ia mempengaruhi first impression seseorang itu. Senang cerita, pilih nama pena yang universal.

Panjang pula saya bercerita bab nama pena. Hehe. Saya suka buku ini kerana saya dapat rasakan penulis pandai tackle perasaan pembaca. Ya. Ketika saya membaca bab permulaan, saya sudah sebak. Cerita tentang seorang ibu yang menghidapi kanser serviks dan memiliki seorang anak bernama Adam. Tiba-tiba saya rasa ter-psiko. Mulalah saya berfikir adakah patut saya buat pemeriksaan kesihatan sekarang. Mulalah saya berfikir tentang arwah mak saya. Cerita berlanjutan sehingga ke bab ayah Adam membuat keputusan bekerja di Abu Dhabi dan meninggalkan Adam di rumah neneknya. Sedih lagi. Saya boleh membayangkan perasaan sedih Adam, sudahlah mak meninggal, kemudian terpaksa berjauhan pula dengan bapa. Payah betul menjadi seorang pembaca yang emosional. Pada masa itu saya membuat kesimpulan, aduh, terbaca buku sedih pula. Mungkin tidak sedih sebenarnya. Mungkin kerana saya tidak ada mak ayah, jadi sedikit sebanyak buku ini trigger saya kepada sesuatu. Maksud saya, tidak ada yang berharga di dunia ini melainkan sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh. Mudah-mudahan saya tidak menjadi anak yang menyebakan mak ayah saya mandul di akhirat. Mudah-mudahan saya adalah aset yang tidak ternilai buat mereka.

Sambung semula. Apabila sampai bab Adam menetap di rumah neneknya , banyak pula cerita tentang kecomelan Adam. Maksud saya setiap tingkah laku Adam terserlah kecomelannya. Saya rasa ini juga satu kelebihan penulis. Pandai menggambarkan aksi kanak-kanak. Ini mengingatkan saya kepada Dina Y. Sulaeman penulis Travelog Iran. Beliau sangat pandai menggambarkan Iran sehinggakan saya merasakan buku itu tanpa sebarang gambar pun langsung tidak mencacatkannya. Begitu juga dengan Tere Liye. Beliau juga pandai menggambarkan aksi kanak-kanak. Mungkin kerana itu saya menyangkanya seorang perempuan ketika membaca Hafalan Shalat Delisa.

Kemudian sampai pula bab nenek Adam meninggal dan Adam dihantar oleh bapa saudaranya ke rumah anak yatim. Ha. Sudah. Saya memang geram betul dengan orang sebegini. Pendek kata, novel ini memang penuh dengan emosi sehinggalah pada bab Adam bekerja di bengkel bapa saudaranya. Bermula bab ini sehingga habis halaman, tanpa agak-agak saya mengklasifikaskan novel ini sebagai novel humor. Banyak pula kelakarnya. Mesej berat tetapi diolah santai-santai. Itu yang setepatnya.

Cuma, saya memang tidak puas hati dengan bapa Adam. Boleh bekerja di Abu Dhabi dari Adam kecil (dalam usia 6 tahun saya rasa) sehinggalah Adam besar panjang (20-an), baru dia balik Malaysia. Selama belasan tahun itu, beliau hanya mengutus surat dan wang sahaja. Aduh! Nampak macam tidak logik tetapi banyak juga yang saya perhatikan sebegini di duna realiti. Tidak mengapalah. Setiap orang ada sebab tersendiri. Mungkin juga jiwa seorang lelaki berbeza dengan perempuan. Lelaki lebih tegar meninggalkan anak jauh-jauh. Tetapi ada juga bibik di sini yang terpaksa meninggalkan anak mereka di Indonesia bertahun-tahun. Kasihan pula. Mujur juga kisah saya dan arwah bapa saya tidak sebegini.Eh! Eh! Apa yang saya mengarut ini.

Perkara kedua kenapa saya suka buku ini ialah kerana mesej ceritanya yang pelbagai sekaligus pengajaran yang pelbagai juga diperolehi. Apa yang lebih penting ialah buku ini sesuai untuk remaja lelaki. Saya sebenarnya sedang mencari novel kehidupan yang berkisar dunia remaja lelaki. Kembali kepada mesej tadi. Saya suka mesej di mana penulis menggambarkan Adam sebagai seorang alim tetapi pandai bergaul dengan orang biasa. Dia tidak mencipta jurang dalam pergaulan. Kita pun faham sekarang ini. Orang biasa dan orang baik memiliki jurang pergaulan yang begitu ketara. Mungkin sudah masanya orang-orang yang merasakan dirinya baik memperluaskan connection terhadap orang-orang biasa untuk tujuan dakwah (maksud saya lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan). Baru dakwah boleh tersebar dan orang-orang biasa boleh ubah persepsi terhadap orang-orang baik ini - OK juga rupanya mereka ini. Selain daripada itu mesej yang paling penting saya rasa, sesuai dengan tajuknya, Spanar dan Spatula, penulis menggambarkan tidak semestinya jikalau anda menceburi dunia masak-memasak sekaligus anda perlu menjadi pondan. Ya. Persepsi. Penulis sebenarnya mahu mengubah persepsi itu.

Akhir sekali, sedikit penambahbaikan saya kira. Memandangkan penuls bercerita tentang kehidupan Adam dari kecil sehinggalah Adam dewasa, saya kira penulis perlu sedikit berjaga-jaga tentang masa dan hubungkait dari satu usia ke satu usia. Saya sedikit lost track apabila sampai bab Adam bekerja di bengkel bapa saudaranya dan ketika dia menyambung pengajian. Tertanya-tanya saya dibuatnya berapakah usia Adam pada masa itu. Lagi satu peguam kembar yang satu sekolah dengan Adam. Bukankah mereka 2 tahun lebih tua daripada Adam. Saya pelik. Jikalau Adam pada ketika itu berusia 21 tahun, mereka baru berusia 23 tahun. Maksudnya mereka menjadi peguam pada usia 23?? Ataupun saya yang sebenarnya silap faham selama ini kerana dalam fikiran saya seorang peguam mula bekerja selepas chambering. Belajar 5 tahun. Selepas itu chambering pula. Ehm. OK. Satu lagi. Hehe. Penulis menggambarkan Adam sebagai seorang hafiz. Tetapi ada bab di dalam buku ini Zakiah menjentik telinga Adam dan Adam tidak pula mengelak. Saya cadangkan mungkin perlu ditambah ayat Adam mengelak apabila telinganya dijentik.



Sumber Gambar : 1 - 2 - 3 - 4

Selepas membaca karya Eman Dhani, tiba-tiba pula saya mahu membaca fiksyen remaja yang lain. Lalu saya memilih Siri Sarah dan... karya Ezee Rahmani. Seronoknya. Tidak boleh berhenti pembacaan. Bermula dengan Sarah dan Bunga Mawar, kemudian Sarah dan Senduk dan seterusnya Sarah dan Anting-anting. Kemudian, baru saya tersedar, eh saya tidak ada Sarah dan Duit Raya rupanya.

Setakat ini Siri Sarah dan... ada 5 buah kesemuanya. Siri yang pertama ialah Sarah dan Kasut Tumit Tinggi. Jkalau anda seorang pembaca lelaki, kemungkinan besar anda tidak menyukai buku ini. Malah, saya pun tidak mengesyorkan pembaca lelaki membaca buku ini terutama kanak-kanak. Risau nanti mahu menjadi perempuan pula. Memandangkan saya seorang perempuan, cerita di dalam buku ini memang sangat dekat di hati. Secara peribadi, saya menganggap buku in sebagai pencetus semangat untuk menjadi seorang perempuan yang suka memasak, suka mencantikkan halaman rumah, suka mengemas rumah, suka cantikkan diri (di dalam rumah sahaja) dan macam-macam lagi lah aktiviti perempuan.

Ya. Inilah Siri Sarah dan...buku ke 42, 43 dan 44 yang termasuk dalam senarai 50 Welma La'anda 2010 yang berjaya dibaca sepanjang hari-hari marathon buku. Buku yang wajib dibeli. Koleksi peribadi.

Marathon buku terpaksa diberhentikan sebab saya sudah perlu ke KL pada 22 haribulan pada sebelah petang. Cuti sehingga 27 haribulan. Walaupun begitu, saya sempat membawa Sarah dan Duit Raya, Laskar Cinta karya Isma Ae dan komik Ikhtiar Hidup di Glasier. Konon-konon djangkakan sempat dibaca di sana nanti. Marathon tetap marathon bukan. Tetapi, atas alasan mahu meraikan walimah Kak Min, agak tidak beretika saya rasa, sebagai seorang ahli walimatulurus tetapi sangat sibuk dengan aktviti membaca.

Walaupun begitu, mujur saya dan Yun sempat ke PWTC pada 23 haribulan. Itu pun saya berjanj dengan Kak Min - lepas Zuhur saya balik kak. Kami tiba di PWTC kira-kira pukul 12 tengahari dan saya selesai membeli-belah kira-kira pukul 2 petang. Selepas itu saya risau bagaimana agaknya kami perlu membawa buku-buku ini dengan menaiki komuter. Alhamdulillah. Allah permudahkan. Tetapi pada sebelah malamnya, baru rasa sengal-sengal dan lenguh. Manakan tidak.Berhimpit-himpit di dalam komuter sambil mempertahankan buku-buku.

Sebenarnya, buku-buku di bawah bukan milik saya semuanya. Ia untuk perpustakan super mini IKRAM khas untuk adik-adik remaja.

Jikalau anda pembaca blog saya dari awal, anda mungkin pernah membaca yang saya pernah menulis tentang impian saya yang mahu memiliki tadika buku. Sebuah tadika yang dikelilingi oleh banyak buku untuk kanak-kanak. Tetapi, saya sendiri tidak tahu bila impian itu akan tercapai. Mungkin kerana berimpian sedemikian, saya begitu aktif membeli buku kanak-kanak. Buku-buku itu disimpan di rumah dengan harapan ia akan dipindahkan ke tadika impian itu nanti.

Pada tahun ini, saya diamanahkan sebagai pembuat program untuk adik-adik yang berumur antara 7 - 12 tahun. Banyak perkara yang saya fikirkan sejak akhir-akhir ini bagaimana mahu membangunkan mereka, barisan pelapis dan saya sendiri terutamanya. Jalan-jalan cari buku ke PWTC mengilhamkan kepada saya apa kata kegilaan membeli buku kanak-kanak ini disalurkan kepada sesuatu yang nampak hasilnya. Maksud saya bukan lagi hanya dengan menyimpannya di rak buku saya dan menunggu sehingga tadika impian menjadi realiti. Saya berfikir ada baiknya ia disumbangkan kepada IKRAM, atau lebih tepatnya untuk Kelab Aulad IKRAM. Mungkin saya tidak mampu lagi membina khutub khannah yang hebat tetapi biar ia bermula dengan sudut bacaan. Ia lebih baik daripada tidak bermula langsung.

Ada beberapa orang kawan saya yang tertarik dengan projek ini dan mereka menawarkan bantuan dan sumbangan. Sumbangan mereka lebih hebat daripada saya. Mereka saya ibaratkan seperti Saidina Usman yang membeli telaga Yahudi untuk kegunaan Islam di Madinah. Pada ketika ini, Sudut Bacaan Kelab Aulad ini bukan lagi projek Welma La'anda tetapi projek kami. Saya tukang pilih buku sahaja.

Yay! Inilah buku-buku yang berjaya ditangkap pada hari kedua Pesta Buku Antarabangsa Kanak-kanak tahun 2010 di PWTC.

Buku-buku siri sahabat, sirah Rasulullah sallallahualaihiwassalam, cerita nabi dan kisah-kisah orang soleh. Kisah-kisah sebegini perlu disumbatkan awal-awal dan diutamakan sebagai bahan bacaan sebelum buku-buku baik yang lain. Ini penting agar anak-anak kita sangat mesra dengan cerita sebegini dan terikut-ikut dengan tabiat orang-orang soleh.

Saya sangat suka Siri Usahawan Cilik. Saya berharap apabila anak-anak membacanya mereka akan terangsang untuk menjadi seorang yang suka dengan dunia perniagaan. Zaman kecil saya, saya banyak disuap dengan karya Enid Blyton Siri Penyiasat. 3 penyiasat. 7 penyiasat. Pada masa itu saya memang banyak berfikir bagaimana mahu membantu polis . Saya siap mencari pokok untuk dijadikan markas operasi. Mahu digambarkan betapa terpengaruhnya saya dengan buku itu. Itulah impak membaca dalam dunia kanak-kanak. Walaupun nampak biasa, sebenarnya kanak-kanak akan cuba menjadi seperti apa yang dibacanya. Ini menurut pengalaman saya. Saya baru memiliki Garaj Aiman dalam Siri Usahawan Cilik. Itupun sudah dibaca pada tahun lepas jikalau tidak silap. Memang seronok setelah selesai membacanya. Rasa seperti mahu berniaga pula. Selain itu, ia juga boleh melatih anak-anak kita menyelesaikan masalah. Sangat bagus melatih mereka berfikir-fikir benda kebaikan daripada sibuk dengan televisyen.

Kami pilih Komik-M juga. Saya banyak berfikir bahan bacaan untuk budak lelaki sebenarnya. Sepanjang mencari-cari buku, kami utamakan buku-buku yang sesuai untuk mereka. Memilih bahan bacaan untuk adik-adik perempuan tidak susah kerana memang sangat banyak di pilihan. Komik-M ini untuk mereka. Itu pun saya tidak rembat semua yang ada di rak sebab saya rasa saya perlu beli dulu sedikit, baca dan kalau puas hati dengan mesejnya, InsyaAllah baru beli di kemudian hari. Setakat ini saya sudah membaca Ultra Qalif #2 Adiwira Muda Beraksi Lagi oleh Bophairy (Buku ke 45), Takaza #1 (Buku ke 46)oleh Sitrahaslee (Buku ke 47), Meon Perang Bola Kampung # 2 oleh Jas (Buku ke 48) dan Misi 8A oleh Afiq & Nazry. Saya memang puas hati. Setiapnya memiliki jalan cerita yang berbeza. Apa yang lebih penting ialah mesej cerita yang mengingatkan tentang solat, suka kepada kebaikan kerana Allah yang perintahkan sebegitu dan berakhlak mulia. Tidaklah kita membaca komik hanya mendapat keseronokan sahaja tetapi dalam masa yang sama ada unsur-unsur peringatan.

Tidak lupa kami sepakat juga memilih buku comel Siri KIDS. Sekali lagi saya hanya memilih yang sesuai untuk budak lelaki. Sebelum ini saya pernah membaca Putera Fariri dan Buku Resipi Ajaib karya Aliff Danial. Puas hati. Oleh kerana itu saya tidak audit semula Tiket Bola Sepak. Tidak sempat sebenarnya. Buku ke 49.5 : Koleksi Cerita Adam Kecil karya Ashadi Zain, Fred Suriya dan Najla Azura. Puas hati juga dengan mesej cerita buku ni. Cerita seorang kanak-kanak lelaki dengan kehidupan sehariannya. Mesej cerita ialah bagaimana adik kecil yang bernama Adam ini menyelesaikan masalah kehidupan sehariannya dengan akhlak yang mulia. Sekarang ini saya tidak sabar pula menunggu Kembara 5 Putera : Mencari Pohon Emas.



Tidak lupa membeli Siri Sarah dan....karya Ezee Rahmani. Tetapi tidak lengkap kerana tiada Sarah dan Kasut Tumit Tinggi dan Sarah dan Anting-anting. Buku ini untuk adik-adik perempuan.

Ada juga membeli novel remaja yang bukan bersiri tetapi tidak banyak. Cuma 3 buah sahaja. Saya perhatikan seperti ada buku-buku yang mahu dibeli tetapi tiada di situ. Ada buku lain tetapi saya belum membacanya lagi. Jadi saya tidak berapa tahu apa isi kandungannya. InsyaAllah, kalau ada rezeki dan kelapangan, saya akan membelinya di lain hari, baca dan cuba memahami mesej cerita. Ketua Bilik LA 101 dibeli sebab Ezee Rahmani yang menulisnya. GIM (Gemuk Itu Menarik) karya Ida Rizyiani pernah saya baca sebelum ini. Saya suka dengan mesej ceritanya iaitu menguruskan badan bukan untuk memakai baju yang cantik untuk diperagakan kepada orang awam. Kesatria Ajaib itu belum lagi saya baca. Baru sekadar belek-belek. Saya mungkin terpengaruh dengan nama watak di dalamnya. Mungkin itu penyebabnya kenapa saya membelinya.

Kami pergi lagi pada hari terakhir Pesta Buku Antarabangsa Kanak-kanak di PWTC. Pada kali ini kami membeli pula Siri Muaz dan Haikal. Buku ke 49 : Gerak Kilat karya Kusyi Hirdan (Membaca ini dahulu sebelum Koleksi Cerita Adam). Kisah cerita remaja lelaki dan bola sepak. Tetapi tidak lepas daripada cerita tentang kegiatan mereka dengan masyarakat dan keluarga. Tidak lupa juga membeli Siri Dunia Sains Aiman karya Umi Kauthar Abdul Razak. Pastinya buku ini dibeli dengan harapan agar adik-adik yang membacanya suka kepada matapelajaran sains dan matematik.

Saya juga membeli buku untuk diri sendiri. Buku Siri Seni & Kraf Bersama Kak Emila karya Emila Yusof, Diari Mat Despatch : Lelaki Baik karya Bahruddn Bekri dan Kuasa Kepimpinan Al-Fateh karya Ustaz Muhammad Syaari Abdul Rahman. Sekali pandang, mungkin orang akan menganggapnya sebagai salah satu lagi karya Abdul Latip Talib. Manakan tidak, kaver yang ala-ala sama dengan Novel Sejarah Islam dan diletakkan pula bersamaan dengan novel-novel itu. Tidak perasan dibuatnya.

Ada juga menyinggah sebentar di Daawah Corner Bookstore. Yay! Yay! Dua kali Yay! Saya terjumpa Ameena's Ramadan Diary. Kali pertama saya melihat buku ini di internet dan saya tidak tahu bagaimana mahu membelinya. Pada masa itu saya memang sangat berkeinginan mahu memiliki buku ini. Alhamdulillah. Allah mengizinkan saya berjumpa dengannya di pesta buku. Hooray! Seronoknya. Beli juga Muslim Teenagers Coping sebab penjual di situ yang begitu beria-ia menyatakan betapa bestnya buku ini.

Pada 26 Disember (Ahad) , selepas Zuhur, sejurus selepas makan tengahari di sebelah pihak lelaki untuk walimah Kak Min, saya dan Sarah menuju ke Jalan TAR. Niat di hati mahu singgah ke Pustaka Fajarilmu Baru. Tetapi tutup. Aduh! Kecewa.

Keesokannya pula, Kak Feza mengajak jalan-jalan ke Sogo. Tetapi sebenarnya tidak ke sana. Sebaliknya ke Jalan TAR. Yahoo! Terima kasih Kak Feza. Kami singgah di Pustaka Mukmin. Inilah kali kedua saya menjejakkan kaki ke sini. Entah kenapa saya seperti tidak ada mood shopping buku di sini. Mungkin asyik terfkir Fajarilmu Baru. Walaupun begitu, saya berjaya membeli buku yang sudah lama diidam-idamkan iaitu Tarbiyatul Aulad karya Dr. Abdullah Nashih Ulwan.

Selepas itu, kami singgah pula di Fajarilmu Baru. Yay! Baru rasanya lengkap perjalanan ini. Terima kasih Kak Feza. Ya. Tiba-tiba kaki saya kekejangan apabila berada di sini. Mungkin itu tandanya saya sudah banyak berjalan dalam 5 hari ini. Saya membeli 5 buah buku. Yay!

Di Landmark Kulim Bookstore juga sedang hangat berlangsung diskaun besar-besaran untuk setiap pembelian buku. Bayangkan buku PTS diberi diskaun sehingga 25% dan buku-buku lain pula diskaun 20%. Untuk hari-hari biasa pula, jikalau anda pemegang kad ahli, anda boleh mendapat diskaun sebanyak 15%. Inilah hasil tangkapan semalam. Buku karya HAMKA dan Fatimah Abdul Rahman.

Pencapaian perbadi tahun 2010 ialah selesai membaca 50 buah buku (setelah dibundarkan dari 49.5 buah). Pencapaian bersama ialah Sudut Bacaan Kelab Aulad IKRAM. Saya doakan semoga kawan-kawan saya akan semakin kaya dan bertambah kaya. Bolehlah lagi kita shopping buku!

Wallahu alam

Wednesday, December 08, 2010

Marathon Buku (2) - Istikharah Cinta


Sudah terlanjur membaca buku ini (ya mengikut nasihat Faizah teman serumah saya, baca buku yang kurus-kurus kak) baik saya kongsikan kepada anda siap-siap. Tajuknya ialah Istikharah Cinta - Cara Cerdas Mendapatkan Jodoh Ideal (132 halaman) tulisan M. Shodiq Mustika bersama 3 lagi penulis lain iaitu Fadillah Soraya, Lita Mariana dan Donny Reza. Jikalau anda pernah membaca buku Solat Khusyuk Solat Smart terbitan PTS pasti anda sangat biasa dengan teori M Soddiq Mustika di mana beliau banyak membangunkan teori akal dan hati untuk mencapai kekhusyukan di dalam solat (alamak buku itu belum habis dibaca).

Solat Sunat Istikharah merupakan solusi yang dianjurkan oleh Islam ketika kita berhadapan dengan pelbagai konflik dan ketidakpastian di dalam setiap keputusan yang dibuat. Solat Sunat Istikharah sangat sinonim untuk isu-isu jodoh dan kahwin. Tetapi kita juga perlu sedar, solat sunat ini tidak hanya boleh difokuskan untuk 2 kes tersebut kerana setiap hari kita tidak pernah terlepas dari membuat keputusan dan semestinya setiap hari itu juga kita memohon petunjuk daripada Allah.

Istikharah Cinta - Cara Cerdas Mendapatkan Jodoh Ideal terbahagi kepada 5 bab iaitu Hikmah di Balik 3 Kisah, Cari Jodoh : Buat Apa Istikharah, Matematika Jodoh dan Istikharah, Siapa Jodoh Saya? dan Cara Istikharah Menurut Sunnah Rasulullah.

Buku ini dimulakan dengan 3 kisah (study case) yang berbeza-beza. Kes pertama, kisah seorang wanita yang dikurniakan jodoh yang begitu ideal. Jadi dia berpendapat, dia tidak perlu lagi beristikharah kerana dia memang mahu berkahwin dengan lelaki itu. Malangnya rumah tangga wanita itu tidak bertahan lama dan akhirnya mereka bercerai. Kes kedua pula mengisahkan kisah seorang wanita yang juga yang dipertemukan dengan jodoh yang ideal. Bezanya dengan kes pertama ialah beliau menunaikan solat sunat istikharah. Tetapi beliau sudah siap-siap membuat keputusan yang beliau akan mengahwini lelaki itu. Istikharah yang dilakukannya hanya sebagai ritual sahaja dan bukan sebagai wadah untuk meminta pendapat Allah. Dalam tempoh masa yang lama perkahwinannya, beliau menghadapi tekanan perasaan kerana sikap suaminya yang tidak membenarkan beliau bekerja dan dia mula mempersoalkan adakah dia silap membuat keputusan memilih suaminya sebagai teman hidup sedangkan beliau sudah beristikharah pada masa itu. Kes terakhir ialah melibatkan kisah seorang pemuda yang menghadapi tentangan daripada ibunya untuk tidak mengahwini wanita yang disukainya. Lalu beliau beristikharah tetapi beliau masih tidak mendapat jawapan daripada istikharahnya. Cuma yang dia tahu ialah dia semakin yakin yang wanita itu ialah pilihannya dan dalam masa yang sama beliau juga tidak mahu menderhakai ibunya. Jadi, apa yang dia lakukan ialah cuba merapatkan hubungan antara 2 wanita yang beliau sayangi itu dan akhirnya mereka berkahwin.

Melalui 3 kes di atas, apa yang penulis mahu sampaikan ialah tentang sikap kita apabila berhadapan dengan sesuatu yang ideal dan kita suka (dalam konteks buku ini ialah jodoh). Tidak salah menetapkan ciri-ciri yang ideal. Tidak salah juga jatuh cinta kepada orang yang ideal. Cuma kita harus pandai mengembalikan urusan kepada Allah dan dengan ikhlasnya meminta Allah membuat keputusan untuk kita.

Menurut penulis, hidup ini adalah perjudian (saya kurang gemar menggunakan perkataan ini : ganti ia dengan perjuangan). Kita berjudi dengan setiap pilihan yang kita buat. Maksudnya kita tidak tahu apakah kesudahan terhadap pilihan yang kita buat : kebaikan atau keburukan. Oleh kerana itu, kita perlu kepada istikharah. Biar Dia Yang Maha Mengetahui menentukan untuk kita. Lagipun, kita tidak boleh mengawal bila kita akan jatuh cinta dan dengan siapa kita akan jatuh cinta. Menurut penulis lagi, dan kita pun tidak tahu adakah cinta itu adalah cinta atau berahi semata-mata. Kita serba tidak tahu. Oleh kerana itulah juga, kembalikan semua urusan hati ini kepada Dia Yang Maha Mengetahui dengan jalan istikharah. Biar semua urusan kita dari awal-awal lagi adalah baik dan penghujungnya juga baik.

Penulis memetik Surah Ali-Imran ayat 14-17 untuk kita renungi sebagai iktibar apabila berhadapan dengan sesuatu yang ideal di mata kita dan sangat kita sukai :

Ali Imran-14 : Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertumpuk dalam bentuk emas dan perak,kuda pilihan, haiwan ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah lah tempat kembali terbaik.

Ali Imran-15 : Katakanlah, "Mahukah aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari yang demikian itu?" Bagi orang-orang yang bertakwa (tersedia) di sisi Tuhan mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya, dan pasangan-pasangan yang suci, serta redha Allah. Dan Allah Maha Melihat hamba-hambaNya.

Ali Imran - 16 : (yaitu) orang-orang yang berdoa, "Ya Tuhan kami, kami benar-benar beriman, maka ampunilah dosa-dosa kami dan lindungilah kami dari azab neraka," .

Ali Imran - 17 : (Juga) orang-orang yang sabar,orang-orang yang benar, orang yang taat, orang yang menginfakkan hartanya, dan orang yang memohon ampunan pada waktu sebelum fajar.

Penulis juga berkongsi bagaimana seharusnya cara pandang kita dalam memilih calon-calon yang ideal. Semestinya kata penulis, din harus diutamakan. Tambah penulis, begitu penting din ini sehingga Rasulullah saw bersabda, "Janganlah kau nikahi perempuan kerana kecantikannya. Boleh jadi kecantikannya itu akan membinasakannya. Dan janganlah kau nikahi mereka kerana hartanya. Boleh jadi, hartanya itu akan menjadikannya sombong. Alih-alih nikahilah mereka kerana din nya. Dan budak hitam kulitnya tetapi memiliki din (yang baik) itu lebih utama (HR Ibnu Majah) (halaman 36).

Perlu diingatkan din itu bukan maksudnya solat, puasa zakat, dan haji semata-mata tetapi melibatkan cara berfikir, cara memandang sesuatu, cara menyelesaikan masalah dan cara bertindak mengikut kerangka Islami.

Melalui buku Istikharah Cinta - Cara Cerdas Mendapatkan Jodoh Ideal, penulis tidak lepas dari menitipkan isu betapa perlunya proses taaruf dan musyawarah untuk melengkapkan proses istikharah. Penulis juga tidak lepas dari membincangkan tentang takwil mimpi dari pelbagai sudut (saya kira tidak perlulah saya kongsikan di sini). Penulis juga mengingatkan yang istikharah juga boleh dilaksanakan dengan hanya berdoa jikalau seseorang itu tidak boleh mengerjakan solat. Anda boleh dapatkan doa istikharah melalui buku ini. Tidak lupa, penulis sekali lagi mengingatkan, kita dituntut untuk selalu berdoa dan bersangka baik kepada Allah.

Nasihat Saya :

Alang-alang membaca buku yang ada kaitan dengan jodoh saya teruskan dengan sedikit pendapat 2 sen saya tentang jodoh. Saya mohon maaf jikalau pembaca berbeza pendapat dan saya hargai pendapat dan cara pandang anda.

Ketika membeli makanan, biasanya kita akan menyemak, ada logo halal atau tidak, logo halal itu diiktiraf atau tidak, dan adakah ia barang yang perlu diboikot atau tidak. Sudah lepas pra-syarat itu, barulah kita beli. Sedangkan memilih barang makanan pun, kita sudah begitu memilih, inikan memilih separuh jiwa kita (maksud saya pasangan hidup).

Persoalannya adakah kita perlu sangat memilih. Jikalau anda tanya saya, maka jawab saya ialah Ya. Kita perlu sangat memilih terutama jikalau ia melibatkan perbezaaan cara berfikir dan cara memandang sesuatu isu. Orang kata tidak ada chemistry atau tidak boleh click. Jikalau kita teruskan juga, dalam erti kata lain, berusaha untuk mewujudkan chemistry itu tetapi dalam masa yang sama hati anda menidakkannya, kita khuatir kesan negatif akan terjelma suatu hari nanti dan akan mengecewakan lagi ramai pihak. Oleh itu, kita jangan terkejut jikalau kita mendengar berita 2 pasangan yang baik perwatakannya tetapi akhirnya bercerai.

Pada pendapat saya, jikalau kita memilih kawan baik, mungkin kita boleh abaikan perbezaan cara berfikir. Tetapi, memandangkan dalam isu ini, kita memilih separuh jiwa kita, orang yang akan saling mendokong prinsip-prinsip kita, orang yang akan saling menguat dan menyakinkan kita, maka saya nasihatkan carilah yang satu fikrah atau cara berfikir yang sama. Maksud saya, jikalau anda seorang yang sangat sayangkan Palestin, carilah orang yang sayangkan Palestin juga, jikalau anda seorang yang tidak lalu dengan produk zionis, carilah orang yang tidak lalu juga dengan produk zionis, dan jikalau anda seorang yang kasihankan umat ini, carilah juga orang yang kasihankan umat ini. Anda berdua boleh berbeza citarasa makanan, boleh berbeza perwatakan, dan boleh berbeza keinginan material, tetapi anda tidak boleh berbeza cara berfikir terutama apabila ia melibatkan rasa peduli kepada umat Islam.

Jangan takut untuk menolak lamaran orang jikalau yang datang itu tidak memenuhi pra-syarat anda hanya kerana risau umur sudah senja. Jangan ikut falsafah bas yang konon-kononnya apabila kita tidak menaiki bas yang pertama kerana bas itu penuh, kita masih boleh menunggu bas kedua. Begitu juga apabila bas kedua datang, kita juga tidak naik kerana mahu menunggu lagi bas ketiga. Apabila bas ketiga datang kita pun tidak mahu naik kerana tidak berpuas hati. Akhirnya kita terpaksa naik bas keempat walaupun comot hanya kerana risau hari sudah malam dan kita harus pulang segera ke rumah. (Selalu saya berfikir, bukankah ada teksi untuk ditelefon. Bukankah kita boleh menelefon kawan untuk mengambil kita.)

Setakat ini saya tidak pernah lagi melihat pengalaman yang mengecewakan beberapa kenalan saya yang sangat yakin dengan doa-doa mereka. Mereka terus menunggu dan berharap. Semestinya, ia mengambil tempoh masa yang lama (bertahun-tahun) dan air mata yang banyak. Tetapi percayalah, Allah begitu Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Orang kata ia keajaiban tetapi sebagai orang Islam kita percaya ia bukan keajaiban tetapi ia adalah janji-janji benar Allah yang mengatakan berdoalah kepadaNya dan Dia akan makbulkan.

Teruskan menunggu separuh jiwa anda. Teruskan berharap. Adukanlah harapan-harapan anda di dalam setiap istikharah, solat dan doa-doa anda. Gunakanlah masa menunggu ini untuk belajar mencintai Allah. Yakinlah di sisi Allah tidak ada yang terlambat atau cepat, semuanya diatur dan diberikan pada masa yang tetap. Yakinlah Allah akan menyatukan hati kita dan pasangan kita dan memberikan kita rasa kasih sayang yang akan membuatkan kita saling bertaut hati. Apa-apa pun, beristikharahlah, biar Allah yang mengatur untuk kita.

Wallahu alam

Wednesday, December 01, 2010

Marathon Buku (1) - Dahsyatnya Sabar

OK.

Sekarang pukul 8.04 malam. Mulakan menulis. Ada 2 jam sebelum pergi beradu.

Satu.

Pada hari ini saya membaca entri kawan-kawan Goodreads di blog masing-masing sekitar tentang buku. Tentang misi 50 buku setahun. Tentang kedai buku. Tentang buku-buku mereka. Waduh! Terliur pula mahu membeli buku. Ya! Saya perlu kemaskini blog juga. Misi melaporkan buku-buku yang sudah dibaca.

Dua

Setakat ini saya hanya membaca pada waktu siang sahaja dan sebelum tidur. Ini kerana apabila jam sudah menunjukkan 10.30 malam sahaja, saya sudah tidak boleh fokus membuat apa-apa kerana asyik menguap. Paling lama saya boleh bertahan pun pukul 11 malam (Ini memang sangat jarang berlaku walaupun musim peperiksaan). Antara lain kelemahan saya ialah tidak suka membaca cepat-cepat. Kalau boleh saya nak hafal satu-satu perkataan di dalam buku itu. Ini bermakna, dalam tempoh seminggu, paling baik saya boleh selesaikan pembacaan buku ialah sekitar 350 halaman.


Tiga


Yay! Marathon buku sudah bermula. Buku pertama yang berjaya disempurnakan pembacaan ialah Dahsyatnya Sabar karya Ahmad Hadi Yasin. Sebuah karya dari Indonesia.

Saya membeli buku ini pada tahun lepas jikalau tidak silap. Saya ingat lagi, pada masa itu saya dalam keadaan jiwa yang tidak stabil. Tengah bersedih rasanya. Selalunya, ada 2 perkara yang akan saya buat jikalau saya sedang dalam keadaan sedemikian. Pertama, menangis sambil memandu dan pergi ke kedai buku untuk membeli buku yang boleh memotivasikan saya. Kedua, balik rumah, solat, berdoa dan menangis. Tetapi selalunya saya akan buat dua-dua. Saya pelik juga kenapa saya tidak membaca buku ini pada tahun lepas sejurus ia dibeli. Oh! Mungkin kesedihan saya pulih semula sebaik mendapat buku baru.

Akhirnya buku Dahsyatnya Sabar dibaca juga pada minggu lepas. Kereta saya dilanggar orang. Masuk bengkel dan dijanjikan 1 bulan akan siap. Tiba masa 1 bulan, ada pula masalah. Apabila kereta dipandu uji, tiba-tiba mereka mengesan ada bunyi pelik. Bingkai penyokong enjin kereta kemek dan barang itu perlu dipesan lagi. Janjinya 1 minggu barang akan sampai dan kereta boleh diambil. Tetap, oleh kerana ibu pejabat cuti seminggu sempena Hari Raya Haji, jadi penghantaran barang itu tertangguh. Tangguh punya tangguh. Pendek kata kereta itu hampir 2 bulan juga berada di bengkel.

Ada beberapa pendapat mengatakan, jikalau kereta anda masuk bengkel (atas sebab-sebab kemalangan), kita harus rajin follow-up. Jikalau anda seorang perempuan, panggil seorang lelaki untuk bercakap dengan penyelia bengkel itu berkenaan kereta anda. Orang kata, teknik ini selalu berjaya. Maksud saya, kereta anda boleh siap dalam tempoh 2 minggu. Ada orang kata lagi, kita harus marah-marah. Saya tidak tahu adakah ini satu mitos ataupun tidak. Saya memang rajin follow up. Tiap-tiap minggu saya menelefon penyelia yang menguruskan kereta saya. Tiap-tiap minggu penyelia itu akan memberitahu saya keadaan kereta itu dan apa masalah yang mereka hadapi. Tiap-tiap minggu itu juga saya akan berkata, "Ok. Ok. Akak faham. Takpalah ya. Minggu depan akak telefon lagi". Pada suatu hari sejurus selepas solat saya berlatih untuk marah-marah mendesak penyelia itu (konon-konon). Tetapi sebaik sahaja saya menelefon beliau, saya seperti biasa akan mengakhiri perbualan dengan, "Ok. Ok. Akak faham. Takpalah ya. Minggu depan akak telefon lagi".

Secara jujur, saya tidak rasa penyelia itu bersalah kerana dia pun tidak mahu menahan kereta saya lama-lama di bengkel mereka. Secara kebiasaannya pun, memang bengkel itu amat jarang menahan kereta lebih dari sebulan. Cuma kereta saya sahaja yang kesnya lain daripada lain. Saya sendiri pula, tidak mungkin saya akan marah-marah penyelia itu walaupun saya pernah berangan-angan memarahinya. Jadi, hanya ada satu cara sahaja dalam menyelesaikan masalah ini iaitu saya perlu bersabar. Oleh kerana itu saya membaca buku Dahsyatnya Sabar. Saya mahu memberi keyakinan kepada diri sendiri tentang kewajaran yang saya tidak perlu marah-marah (walaupun dalam hati). Apa yang saya perlu ialah sedikit sabar.

Empat

Ada sesetengah perkara di dunia ini yang kita sudah tahu jawapannya. Contohnya, apabila ditimpa dugaan kita perlu bersabar. Kita tahu itu. Kenapa kita perlu bersabar. Sebab orang bersabar disayangi Tuhan. Kita juga tahu tentang ini. Ada banyak perkara yang memerlukan kita bersabar, seperti bersabar melaksanakan perintah Allah, bersabar menjauhi larangan Allah dan bersabar di atas segela dugaan yang dititipkan. Biasalah dunia. Ia adalah medan ujian dan kita semua diuji menurut kesanggupan kita. Info ini adalah perkara asas dan kita semua sudah tahu tentangnya.

Begitu juga dalam sesebuah buku yang menulis tentang mesej sabar, pasti penulis tidak akan lepas daripada berbicara tentang info-info di atas. Info-info yang sudah kita ketahui. Jadi kenapa kita perlu membaca lagi tentang sesuatu yang kita sudah tahu. Ha! Di snilah cabarannya iaitu bagaimana penulis mahu memotivasikan pembaca tentang sesuatu yang dia sudah tahu. Sebagai pembaca, kekadang kita membaca bukan kerana mahu menambah ilmu pengetahuan, tetapi kerana kita mahu belajar bagaimana mahu mengamalkan ilmu itu.

Lima

Apabila membaca buku Dahsyatnya Sabar, saya memberi fokus kepada ayat-ayat Allah dan membaca sabda Rasululah saw.

Cukup bagi saya apabila membaca ayat-ayat di bawah :

Dan (Ingatlah kisah) Ayyub, ketika ia berdoa kepada Tuhannya, "(Ya Tuhanku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang di antara semua yang Penyayang." (Al Anbiya, 83) (halaman 12)

Dari Abu Hurairah ra, ia berkata, "Rasulullah saw bersabda , "Siapa saja yang dikehendaki Allah menjadi orang baik, maka ia akan diberi cobaan." (HR Bukhari) (halaman 18)

Dari Abu Yahya Shuhaib bin Sinan ra, ia berkata, "Rasulullah saw bersabda, "Sungguh mengagumkan urusan orang mukmin. Seluruh urusan atau keadaan mereka senantiasa mengandung kebaikan. Yang demikian ini tidak terjadi, kecuali hanya pada orang mukmin. Jika ia mendapatkan kesenangan, ia bersyukur. Hal itu merupakan suatu kebaikan. Dan jika ia tertimpa kesusahan, ia bersabar. Itu juga merupakan kebaikan." (HR Muslim) (halaman 17)

Saya sudah lega dengan membaca ayat-ayat di atas (ada banyak ayat lagi sebenarnya yang terkandung di dalam buku ini). Cukup bagi saya. Cukup untuk memujuk saya bersabar. Cukup untuk meyakinkan saya yang penyelia dan bengkel itu tidak bersalah di dalam hal ini. Cukup untuk mengingatkan saya yang Allah sangat menyayangi saya kerana Allah mahu saya menjadi orang yang baik, oleh kerana itu Allah mengambil sementara kereta saya dalam masa 2 bulan. Sesungguhnya tiada satu pun di dunia ini milik saya, semuanya milik Allah. Walaupun saya rasa kereta saya itu milik saya, tetapi sebenarnya ia milik Allah.

Pada ketika saya menulis ini, kereta saya sudah 5 hari berada bersama saya. 1 minggu untuk saya pandu uji sebelum tandatangan dokumen. Begitu mudah Allah memberi saya "kereta baru". Manakan tidak perkakas gantian yang original dan dengan siap polish lagi. Sebelum kemalangan lagi, kereta saya memang sudah banyak calar dan saya rasa ada masalah gear serta bateri sebab saya rasa semacam apabila saya memandunya. Apabila saya fikir-fikir balik, mungkin Allah mahu selamatkan saya dari terlibat dari kemalangan yang lebih bahaya. Mungkin kereta saya itu sudah ada masalah yang lebih teruk, jadi Allah takdirkan ia dilanggar dan secara tidak langsung kerosakan-kerosakannya diperbaiki.

Enam

Maafkan saya kerana saya tidak sempat menulis perkongsian untuk 2 buah buku lagi kerana sekarang waktu saya beradu. Maafkan saya lagi kerana entri ini sudah hampir 100% berkisar tentang kereta saya dan bukan lagi tentang buku Dahsyatnya Sabar. Mesej saya yang sebenarnya ialah tentang ayat-ayat Allah dan sabda Rasulullah saw yang sentiasa memberikan harapan itulah yang memotivasikan saya. Rajin-rajinlah membaca Al-Quran kerana di situlah terkumpul janji-janji Allah untuk kita. Yakinlah kepada Allah kerana Dia tidak pernah mahu menyusahkan kita.


Wallahu alam