Saturday, December 12, 2009

Guru Terhebat Olan - AD Mirzai


Buku ini tidak boleh dilepaskan apabila anda sudah memulakan pembacaan. Itu yang saya rasa. Walaupun tidak mencapai tahap kelakar maut, tetapi buku ini memang cukup mencuit hati. Boleh dikatakan setiap patah perkataan yang diucap oleh Cikgu Olan membuatkan saya mahu tergelak. Lawak selamba. Malah kadang-kadang saya merasakan, saya tidak tercuit hati 100% oleh watak Cikgu Olan tetapi lebih kepada gaya berbahasa yang digunakan oleh penulis itu yang menarik hati pembaca. Kata orang, bahasa orang muda.

Melihatkan kepada tajuk buku pun kita sudah boleh meneka yang buku ini mesti hasil inspirasi daripada filem Jepun Great Teacher Onizuka (GTO). Secara tidak langsung, jalan ceritanya pun sudah boleh diteka juga iaitu mesti mengisahkan seorang guru dan mempunyai anak-anak murid yang amat nakal. Akhirnya guru ini, dengan pendekatan yang berbeza berbanding guru-guru lain, telah berjaya mengubah anak-anak muridnya menjadi budak baik.

Walaupun jalan ceritanya sudah boleh ditebak, saya yakin Guru Terhebat Olan akan ditulis dengan cara yang berbeza. Tetapi, alasan untuk mengetahui kelainan buku ini dengan Great Teacher Onizuka, bukanlah alasan yang kuat kenapa saya membeli Guru Terhebat Olan. Ia bermula dari kisah kawan saya, Kak Min, yang mahu mencari buku untuk adiknya. Guru Terhebat Olan menarik perhatian Kak Min dan dia meminta pendapat saya tentang buku ini. Saya lalu menjawab lebih kurang begini, "Saya tidak pasti bagaimana fikrah penulis dan tidak boleh menjamin apa-apa tentang tulisannya". Lalu Kak Min meletak semula buku ini di rak buku. Beberapa hari kemudian saya membeli Guru Terhebat Olan dengan niat "mengaudit isi buku".

Setakat ini saya sudah membaca 2 buah fiksyen yang melibatkan profession guru sebagai watak utamanya. Dahulu saya pernah membaca fiksyen Guru Arkitek Bangsa karya Mya Marja. Saya suka buku itu kerana saya boleh mengetahui banyak informasi tentang kerjaya sebagai seorang guru. Ini pula buku kedua cerita tentang guru juga. Guru Terhebat Olan (GTO) berbeza berbanding Guru Arkitek Bangsa kerana mesej utama buku ini bukan tentang kerjaya seorang guru tetapi tentang pendekatan. Walaupun Guru Terhebat Olan cenderung dibayangi oleh Great Teacher Onizuka, namun ia memiliki perbezaan dan kelebihan tersendiri. Ia lebih Islami dan lebih Malaysia!

GTO mengisahkan seorang guru yang bernama Olan yang baru ditukarkan ke Kolej Bistara. Di sekolah baru itu, dia ditugaskan menjadi guru kelas untuk Tingkatan 4 Jaya yang juga sinonim dengan panggilan 4 Jahanam. Pelajar-pelajar di kelas ini bukan sahaja nakal tetapi mereka juga kurang pandai dari segi akademik. Justeru itu, Cikgu Olan tidak boleh menangani mereka dengan cara biasa. Pendekatan yang berbeza harus dibuat. Pendekatan itu pula tidak boleh terburu-buru tetapi peringkat demi peringkat. Cikgu Olan perlu tunjukkan yang dia bukan seperti guru-guru lain. Dia bukan datang sebagai pembenci tetapi sebagai seorang pendidik.

Di dalam novel ini, penulis memetik isu-isu biasa yang melanda remaja seperti rokok, buli dan hedonisme. Penulis tidak menampilkan watak Cikgu Olan sebagai penghukum dan cepat-cepat mengharapkan perubahan. Cikgu Olan ditampilkan sebagai seorang yang sangat mesra, penghibur dan memahami. Kadang-kadang, Cikgu Olan kelihatan selalu berkompromi dengan anak-anak muridnya. Menubuhkan kelab papan selaju (skateboard), menyembunyikan rokok daripada warden yang terjumpa di kocek baju anak muridnya dan pelbagai lagi langkah bertolak ansur yang diambil oleh Cikgu Olan.

Dari situ, Cikgu Olan mendekati anak-anak muridnya sedikit demi sedikit. Afli, Saiful, Hilmi dan Kumar didekati melalui kelab papan selaju. Dia bukan sahaja bertindak sebagai pelatih tetapi kawan yang sentiasa mengajak kepada perkara kebaikan. Aman dan Amin merasakan terhutang budi melalui peristiwa kantoi rokok dengan Cikgu Olan. Cikgu Olan tidak memarahi mereka tetapi menjelaskan kenapa merokok itu tidak boleh. Begitu juga dengan pelajar-pelajar lain. Mereka didekati dan cuba difahami masalah mereka.

Pelajar Tingkatan 4 Jaya memiliki bahasa mereka tersendiri. Kenakalan adalah hasil terjemahan dari perasaaan tidak puas hati, marah, memberontak dan kesedihan. Cikgu Olan membantu mereka dengan memberikan solusi, alternatif dan saluran yang betul. Mereka bukan berubah kerana Cikgu Olan tetapi mereka berubah atas kesedaran sendiri. Cikgu Olan bukan cikgu di dalam kelas sahaja yang hanya membantu menyelesaikan masalah pelajaran sekolah. Tetapi Cikgu Olan juga cikgu di luar kelas yang membantu mereka menyelesaikan masalah pelajaran kehidupan.

Buku ini mengingatkan kita yang tugas seorang guru bukan sahaja mengajar apa yang akan diuji menerusi kertas peperiksaan. Ini kerana seorang guru bukan berhadapan dengan robot tetapi manusia. Skop kerjaya seorang guru lebih besar kerana mereka merupakan pendidik manusia menjadi manusia. Kerja-kerja mendidik manusia tidak akan mampu dilakukan tanpa bantuan Dia yang menguasai para hambaNya. Mesej ini difahami oleh Cikgu Olan. Justeru itu, marathon qiammulail tiap-tiap malam dan sedekah seolah-olah sudah menjadi rutin dengan harapan agar Allah melembutkan hati para pelajarnya.

Begitulah buku Guru Terhebat Olan (GTO). Nyata ia berberbeza dengan Great Teacher Onizuka (GTO). Guru ditampilkan sebagai seorang pembimbing dunia dan akhirat. Murid-murid dididik bukan semata-mata untuk menjadi baik di hadapan manusia tetapi menjadi soleh di hadapan Allah. Perubahan berlaku bukan kerana ikut-ikutan tetapi kerana mereka faham dan jelas kenapa mereka melakukannya.

Kita memerlukan guru-guru yang ikhlas mengajar untuk melahirkan anak-anak murid yang menjadi manusia. Kita juga memerlukan murid-murid yang ikhlas belajar untuk melahirkan ilmu yang berkah. Mudah-mudahan dengan ilmu yang berkah itu, Allah swt memberikan kebaikan buat kita umat Muhammad saw.

Wallahu alam

Sumber Gambar :

Monday, September 28, 2009

Bidadari-Bidadari Surga - Tere Liye

Oleh :
Welma La'anda (welmalaanda@gmail.com)

Tajuk
Bidadari - Bidadari Surga
Penulis : Tere Liye

Halaman : 365
Penerbit : Republika (Edisi Malaysia diterbitkan oleh PTS Litera)
Harga : RM39.50 ( Edisi Malaysia : RM25)

Baca. Menangis. Baca lagi. Menangis lagi. Memang novel air mata. Tere Liye sendiri mengatakan novel ini ditulis sambil menangis. Tidak hairan kalau para pembaca Bidadari-Bidadari Surga menjadi sungguh cengeng apabila membaca novel ini. Mungkin itulah yang dikatakan - tulisan dari hati untuk hati. Oleh kerana itu, karya-karya Tere Liye menjadi bahan bacaan wajib dibaca setakat ini untuk diri saya. Bukan untuk menikmati keindahan sastera, tetapi lebih kepada mahu mendengar khabar-khabar bahagia tentang kehidupan dari penulis.

Mungkin kerana itu juga, saya sangat mengutamakan membaca dalam naskhah asal. Maksud saya bukan terjemahan. Tetapi terpulang kepada individu itu juga. Ada yang tidak faham dengan Bahasa Indonesia. Jikalau begitu, lebih baik membaca dalam edisi terjemahan. Tidak menjadi masalah.Tere Liye menerusi karya fiksyen Bidadari-Bidadari Surga ini sekali lagi seperti novel-novelnya terdahulu mewujudkan watak kanak-kanak sebagai penguat cerita. Namun kali ini, penulis tampil dengan memperkenalkan watak seorang gadis yang luar biasa ketabahannya bernama Laisa sebagai tunjang novel ini. Tidak seperti penulis-penulis lain yang apabila bercerita tentang watak utama seorang perempuan, pasti perempuan itu digambarkan sebagai seorang yang sangat cantik, hidung mancung, bibir merah merekah atau mata yang memikat. Berbeza dengan Tere Liye, Laisa digambarkan sebagai seorang gadis kerdil, berkulit hitam dan rupa yang jelek. Tidak menawan langsung.

Jarang sekali saya membaca novel yang mempunyai watak utama seorang perempuan yang hodoh. Bagi saya, majoriti penulis amat gemar menggambarkan perempuan cantik apabila melibatkan watak perempuan sebagai karakter utamanya. Sebagai seorang perempuan yang tidak cantik, saya hanya mampu katakan - diskriminasi dalam dunia penulisan! Tidak keterlaluan kalau saya mahu katakan yang sudah banyak karya fiksyen berjaya mengajar para wanita bahawa orang yang berjaya dalam kehidupan dan dicintai ialah perempuan yang cantik sahaja. Jadi, tidak hairan bukan jikalau ramai sahaja para wanita pada hari ini menjadi semacam rendah diri atau malu kerana kurang cantik dari sudut fizikal.

Tetapi itu tidak terjadi pada watak Laisa di dalam Bidadari-Bidadari Surga. Maksud saya, Laisa seperti saya. Tidak malu, malah tidak sedikit pun rupa paras yang tidak cantik itu menjadi penyebab untuk rasa rendah diri. Ada sisi lain yang lebih penting selain kecantikan fizikal iaitu soal hati dan soal kebesaran jiwa walaupun seringkali itu semua tidak langsung dipandang sebagai kecantikan. Tidak mengapa bukan, kerana orang yang merdeka dirinya sentiasa percaya, di syurga nanti dia tetap menjadi cantik. Menjadi bidadari syurga. Semestinya, pendamping bidadari-bidadari syurga ini bukan pencinta-pencinta kecantikan dunia bukan.

Itulah mesej utama yang cuba ditampilkan di dalam novel Bidadari-Bidadari Surga. Ada kecantikan lain yang lebih penting selain kecantikan fizikal. Kecantikan-kecantikan yang hanya difahami dengan pandangan hati itulah yang menyarati novel ini dari halaman awal hingga akhir.

Novel ini berkisahkan Laisa yang menetap di Lembah Lahambay bersama mak Lainuri dan 4 saudaranya : Dalimunte, Wibisana, Ikanuri dan Yashinta. Kehidupan yang sangat sederhana itu menjadi penyebab Laisa berkorban berhenti sekolah semata-mata untuk memberi laluan kepada Dalimunte, Wibisana, Ikanuri dan Yashinta. Mereka tidak seibu. Tidak juga sebapa. Namun, Laisa tetap ikhlas berkorban membanting tulang mencari duit untuk pendidikan adik-adiknya. Dia tidak kisah berpanas sehingga bertambah legam membantu mak Lainuri di ladang dan mengumpul damar di hutan. Malah tidak kisah juga bangun seawal 4 pagi semata-mata untuk menyiapkan gula oren dan tiap-tiap malam menganyam rotan. Laisa juga berani mengambil risiko menanam buah strawberi semata-mata untuk mendapat duit lebih untuk persekolahan adik-adiknya. Bagi Laisa adik-adiknya harus ke sekolah. Dia tidak mahu adik-adiknya mewarisi kemiskinan mereka dan menghabiskan seluruh masa depan di kampung itu. Mereka harus menjadi orang yang berjaya. Laisa tekad. Itu cita-citanya.

Yashinta itu adik bongsu Laisa. Mungkin sudah kelebihan Tere Liye apabila menulis dan menggambarkan karakter kanak-kanak terutama kanak-kanak perempuan. Entah kenapa setiap situasi yang diceritakan itu betul-betul dapat dirasakan kecomelan kanak-kanak tersebut. Melihat berang-berang. Lucu kata Yashinta. Senyumnya meleret melihat haiwan itu. Laisa tidak mahu menganggu. Dia senang sekali melihat kegembiraan adiknya itu. Sudah berapa kali impiannya mahu melihat berang-berang. Baru hari ini tercapai. Kembali ke rumah, berang-berang itu siap dilukiskan. Tambah gembira lagi apabila Ikanuri dan Wibisana menghadiahkannya warna krayon. Yashinta semakin gembira apabila dia juga boleh ke sekolah. Asyik katanya. Fikir Yashinta anak perempuan tidak payah ke sekolah. Kak Laisa tidak sekolah pun. Oh, comel sungguh! Bagi Yash, Laisa ialah kakaknya. Kakak yang sentiasa menjaganya. Kakak yang pernah berkorban mencari ubat untuknya apabila dia demam panas dengan meredah hujan lebat. Tiba-tiba kaki Laisa tersadung dan kakinya terseliuh. Namun digagahkan juga berjalan semata-mata mendapatkan doktor untuk Yash. Aduh! Sedih. Sedih.

Dalimunte menyaksikan Laisa mengurut kakinya setelah berjaya mendapatkan doktor untuk Yash. Laisa mengasingkan diri. Dali perasan ada yang tidak kena dengan kakaknya. Biarkan kakak sendirian, begitu kata Laisa. Laisa tidak mahu adik-adiknya menyaksikan dia dalam kesakitan. Dia mahu sentiasa terlihat berdaya di mata mereka. Dali karakternya seorang yang sangat prihatin terhadap Laisa. Dia tahu Laisa bukan kakak kandungnya. Tetapi dia tidak peduli. Baginya Laisa ialah kakaknya yang tersayang. Dali paling bijak di antara mereka. Malah Dali membesar menjadi seorang professor yang termasyhur di kemudian hari. Itu semua jasa Laisa. Laisa yang sentiasa percaya kebolehan adiknya. Contohnya renung sahaja peristiwa kincir air. Penduduk kampung hampir tidak percaya dengan idea kincir air yang dicadangkan oleh Dali, seorang budak hingusan pada ketika itu. Tiba-tiba Laisa bersuara, "Tentu saja kincir-kincir itu bekerja"(Halaman 89). Laisa bangun membela idea adiknya dan meyakinkan penduduk kampung. Mereka harus mencuba cadangan Dali. Sampai bila mereka mahu bergantung kepada cara pengairan lama. Itulah Laisa.

Dia tidak akan pernah membiarkan adik-adiknya kecewa. Tidak akan pernah membiarkan adiknya berasa malu. Jika harus ada yang kecewa dan malu, itu adalah ia. Bukan adik-adiknya. Bagi Laisa, sejak babak pergi, hidupnya amat sederhana. Adik-adiknya berhak atas masa depan yang lebih baik dibandingkan dirinya. (Halaman 92)

Berbanding Yashinta dan Dalimunte, Ikanuri dan Wibisana sedikit berbeza karakter mereka. Mereka ini sedikit nakal. Malas ke sekolah. Selalu menjadi bahan marah Laisa dan Mak Lainuri. Akibat bengang dengan kakaknya Laisa, Ikanuri menghina kakaknya. Kakaknya pendek, Laisa bukan kakak mereka dan pelbagai lagi. Wibisana tidak ikut mengejek. Saya kira ini perkara biasa budak-budak kecil apabila marah suka menghamburkan apa sahaja yang ada di dalam hatinya.Tetapi situasi ini hanya berlaku 2 kali saya kira sepanjang novel ini. Itu pun berlaku ketika Ikanuri masih kecil. Tetapi sungguh sedih rasanya apabila Ikanuri terkenang kembali kata-katanya itu apabila dia dalam perjalanan menziarahi Laisa yang sedang tenat. Aduh!

Tetapi Laisa tetap Laisa. Laisa yang sama sekali tidak akan pernah ambil hati walaupun kata-kata Ikanuri itu betul-betul menusuk hatinya. Laisa juga tidak ralat ketika mempertaruhkan nyawanya menyelamatkan Ikanuri dan Wibisana daripada diterkam harimau walau sebelum itu Ikanuri mencaci-maki Laisa. Begitu kata Laisa di Gunung Kendeng sejurus selepas terselamat dari terkaman harimau, "Ikanuri, Wibisana, suatu saat nanti kalian akan melihat betapa hebatnya kehidupan ini. Betapa indahnya kehidupan di luar sana. Kalian akan memiliki kesempatan itu, yakinlah. Kakak berjanji akan melakukan apapun demi membuat semua itu terwujud. Tapi sebelum hari itu tiba, sebelum masanya datang, dengarkan kakak, kalian harus rajin sekolah, rajin belajar dan bekerja keras" (Halaman 138)

Itulah kecantikan-kecantikan Laisa. Kecantikan yang tidak boleh difahami dengan mata melainkan mata hati. Seumur hidupnya dicurahkan untuk memberi kebahagian buat Dali, buat Ikanuri, buat Wibisana dan buat Yash. Kerja keras. Kerja keras. Itulah yang dilaung-laungkannya. Ya, kerana kecantikan Laisa itu hanya boleh dilihat dengan mata hati, maka mungkin disebabkan itu juga wajah hodohnya selalu menjadi penghalang untuk lelaki jatuh cinta kepadanya. Mungkin betul ada orang kata, rupa paras tidak penting, akhlak dan peribadi yang paling penting, tetapi apabila berhadapan dengan Laisa, eh tiba-tiba bertukar fahaman pula, "Tapi maksudku, setidaknya cantik adalah menarik hati"(Halaman 233). Lalu kata saya, "Apa boleh dibuat Laisa, banyak orang mahukan bidadari dunia".

Wallahu alam.

Sumber Gambar :
Bidadari-Bidadari Surga : http://book.store.co.id/Bidadari-Bidadari_Surga_buku_7692.html
Bidadari-Bidadari Syurga :http://www.pts.com.my/index.php/buku/bidadari-bidadari_syurga/

Thursday, August 20, 2009

Rembulan Tenggelam di Wajahmu - Tere Liye

Oleh :
Welma La'anda (welmalaanda@gmail.com)



Tajuk
Rembulan Tenggelam di Wajahmu
Penulis : Tere Liye
Halaman :
420 Penerbit: Republika

Aduh! Tidak sanggup saya membaca buku ini. Terseksa jiwa. Saya bukan boleh membaca cerita-cerita tentang anak jalanan yang merempat serta anak yatim piatu yang tidak mendapat pendidikan. Sudahlah itu, ditambah pula dengan penganiayaan yang berlaku ke atas mereka. Tidak-putus-putus kesusahan yang menimpa dari masa ke semasa. Akhirnya kehidupan mereka hanya dipayungi dengan putus asa dan kecewa dalam kehidupan sahaja. Terus terang saya katakan, saya tidak akan membaca buku-buku sebegini kerana saya tidak suka cerita-cerita yang berkisar tentang kesedihan terutama yang melibatkan kanak-kanak. Penat saya beremosi dalam setiap pembacaan.

Tetapi ini terkecuali untuk karya-karya Tere Liye kerana saya suka gagasan pemikiran dalam setiap tulisannya iaitu memandang kehidupan dengan sederhana, berbaik sangka dengan Tuhan dan bersyukur pada setiap nikmatNya. Jikalau anda pembaca karya beliau, anda akan perasan 3 elemen yang saya nyatakan tadi pasti ada dalam setiap karyanya.

Beliau sendiri berpesan sebegini pada ruang biografinya, "Jika kalian menyukai buku-buku Tere Liye melalui gagasan ceritanya, bantulah dia menyebarkan pemahaman bahawa hidup ini sungguh sederhana. Bekerja keras, namun slalu merasa cukup, mencintai berbuat baik dan berbagi, sentiasa bersyukur dan berterima kasih. Maka Tere Liye percaya, sejatinya kita sudah menggengam kebahagiaan hidup ini".

Buku ini hampir saja menerima nasib yang sama dengan Laskar Pelangi. Laskar Pelangi itu saya tamatkan pembacaan setelah saya tidak boleh bertahan lagi cerita tentang Lintang. Sampai sekarang, saya tidak pernah khatam-khatam buku tersebut. Tetapi, oleh kerana saya mahu mengetahui jawapan-jawapan 5 pertanyaan Ray kepada Allah, maka saya tabahkan juga hati untuk meneruskan pembacaan Rembulan Tenggelam di Wajahmu.

Jikalau anda lihat di muka belakang, anda akan boleh membaca sinopsis novel Rembulan Tenggelam di Wajahmu. Indah sekali kalimat-kalimat itu.
Bold
"Tutup mata kita. Tutup pikiran kita dari carut marut kehidupan. Mari berpikir takjim sejenak. Bayangkan saat ini ada satu malaikat bersayap indah datang kepada kita lembut berkata. "Aku memberikan kau kesempatan hebat. 5 kesempatan untuk bertanya tentang rahasia kehidupan dan aku akan menjawabnya langsung sekarang. 5 pertanyaan. 5 jawaban. Apakah pertanyaan pertamamu?" --- Di sini ada satu rumus. Semua urusan adalah sederhana. Maka mulailah membaca dengan menghela nafas yang lega".

Sebelum anda melanjutkan pembacaan, pada halaman pertama (jikalau tidak silap) anda akan dialu-alukan dengan kenyataan ini :

"Puteri, sekarang Jakarta gerimis. Cepat sekali berubah. Kayak hati. Semoga pengertian, mau saling mengalah, saling menghargai, saling menjaga, komunikasi yang baik dan tentu saja yang paling penting pemahaman agama yang baik menyertai rasa sayang. Biar abadi sayangnya. Tidak seperti cuaca".

Saya tidak menangis sepanjang menguliti kisah kehidupan Ray di dalam Rembulan Tenggelam di Wajahmu. Saya cuba bertahan sekuat mungkin. Tetapi akhirnya saya menangis juga setelah lengkapnya 5 jawapan kepada pertanyaan-pertanyaan Ray dalam seluruh kehidupannya. Ya, saya menangis kerana 5 jawapan-jawapan itu.

Betapa besar kasih sayang Tuhan. Betapa, dalam setiap kehidupan kita tiada yang sia-sia walau setiap yang kita lalui dalam seumur hidup adalah seksa, seksa dan seksa. Seringkali kita bertanya kenapa kita harus melalui semua kesusahan hidup ini. Kenapa kita yang terpilih. Kenapa kita tidak pernah memiliki kesempatan untuk memilih kehidupan yang lebih baik ketika dilahirkan.

Kita selalu sahaja terlupa yang setiap urusan makhluk-makhluk Tuhan itu sudah disusun kemas oleh Tuhannya. Jikalau urusan-urusan makhluk kecil lain seperti hujan, bumi, bintang, serigala, sayur kangkung, bunga matahari dan lain-lain sudah diatur kehidupan mereka, inikan pula kita manusia. Sebaik-baik ciptaan. Manusia adalah makhluk paling mulia sehingga malaikat juga diperintahkan sujud kepada kita. Segala makhluk lain diperintahkan bekerja untuk kita. Tidak mungkin Tuhan terlepas pandang sehingga memberikan khabar-khabar buruk sahaja dalam setiap perjalanan kehidupan ini.

Kita sebenarnya sangat jahil untuk memahami yang kehidupan ini mematuhi konsep sebab dan akibat. Garis kehidupan kita saling berkait dengan garis kehidupan orang lain. Mungkin garis kehidupan kita menjadi penyebab kepada orang lain untuk kembali kepada Tuhan. Kita perlu yakin sungguh-sungguh yang setiap orang sentiasa memperoleh kesempatan untuk kembali kebenaran. Oleh kerana itu, kita harus sentiasa berbuat kebaikan agar berakibat baik juga kepada orang lain.

Ray tidak faham konsep kehidupan ini. Dia tidak faham banyak perkara-perkara kecil tetapi berakibat besar kepada orang lain. Dia masih terus dengan sikap kurang sabarnya. Masih terus berpegang yang kejahatan harus dibalas dengan kejahatan. Akibatnya, lukisan Ilham dikoyakkan penjahat. Dia gagal memasuki pameran lukisan. Hancur cita-citanya yang mahu menjadi pelukis terkenal. Natan kehilangan suara merdunya kerana dibelasah penjahat. Punah harapannya mahu menjadi penyanyi. Satu langkah lagi. Akhirnya semua musnah. Ray rasa bersalah. Dia melarikan diri dari rumah singgah itu. Rumah yang memberinya kebahagiaan. Penghuni yang sudah dianggap sebagai keluarganya dan dia pernah berjanji di dalam hati, jikalau ada sesiapa yang mengacau mereka, dia sendiri akan membalas pengacau itu.

Tetapi, Ray tidak faham semua garis-garis kehidupan itu. Dia tidak mahu melihat hikmah pada setiap kejadian. Dia tidak faham yang garis kehidupannya menyebabkan penjaga panti asuhan yang jahat itu bertaubat. Dia tidak faham penjaga yang makan duit anak yatim dan dibenci seumur hidup itulah yang mendermakan organ untuk dirinya. Dia tidak faham yang dengan garis kehidupannya itulah yang menyebabkan banyak orang di sekelilingnya berjaya di kemudian hari dan menemui kebahagiaan hakiki. Ilham berjaya menjadi pelukis. Natan menjadi komposer terkenal.

Ya, terus menerus Ray masih tidak mahu memahami. Dia masih terus mempersoalkan keadilan Tuhan. Kenapa orang jahat selalu terbela dan bahagia. Jikalau sedemikian, apa salahnya jikalau dia juga menjadi orang jahat. Hari berlalu dan berlalu. Ray masih lagi dengan dirinya. Jiwanya masih kosong walau dia memiliki segalanya. Dia tidak gembira. Sangat hampa dengan kehidupan yang melelahkan. Kenapa Tuhan? Kenapa harus berterusan diuji sebegini.

Segala apa yang berlaku ke atas diri kita harus dipandang dari sudut kebaikan. Begitu kata buku ini, jikalau kita memandang dari sudut yang bertentangan, pasti kita akan sangat cenderung menyalahkan Tuhan. Kita terlupa lagi yang kebaikan Tuhan terjelma dalam pelbagai bentuk samada yang kita nampak secara lahiriah itu ialah kesusahan atau kesenangan. Itulah juga penyebab kenapa kita perlu memilki tujuan hidup yang jelas. Agar, semua ujian yang diberi akan dianggap sebagai tempaan menuju tujuan tersebut. Nanti tidak akan ada lagi pertanyaan-pertanyaan kerana kita sudah yakin, setiap yang berlaku pasti untuk tujuan itu.

"Ketika kau merasa hidupmu menyakitkan dan merasa muak dengan semua penderitaan maka itu saatnya kau harus melihat ke atas, pasti ada kabar baik untukmu, janji-janji masa depan. sebaliknya ketika merasa semua kesenangan, maka saat itu lihat ke bawah, pasti ada yang lebih tidak beruntung darimu. hanya sesederhana itu. Dengan itu, pasti kau selalu bersyukur" (halaman 416-417)

Wallahu alam

Sumber Gambar :
Rembulan Tenggelam di Wajahmu (Edisi Malaysia) - PTS

Thursday, August 13, 2009

Lentera Mustika - Nisah Haron

Betul kata Faisal Tehrani yang dipetik dari kulit buku ini, "Tidak ada yang dapat mencabar Nisah Haron dalam wilayahnya". Ternyata cinta, seni dan undang-undang digarap dengan mesranya sehingga dapat dirasai saling berkait antara satu sama lain di dalam kehidupan.

Saya kira penulis berjaya menyampaikan 3 elemen itu kepada para pembaca. Saya sendiri kurang pasti apakah mesej tunggal sebenar yang penulis mahu sampaikan menerusi Lentera Mustika untuk menjadi bekal-bekalan kepada pembaca : cinta kepada warisan seni melayu?, faham perundangan? atau memaknai hubungan hati antara lelaki dan perempuan?, kerana semua mesej-mesej itu seimbang disampaikan. Apa yang pasti, buat diri saya, ketika saya mengakhiri halaman-halaman terakhir Lentera Mustika, ternyata bukan ketiga-tiga perkara itu menguasai pemikiran saya tetapi lebih condong kepada soal memandang kehidupan dengan lebih baik. Mungkin disebabkan itu saya mengakhiri buku ini dengan air mata walaupun cerita tidak diakhiri dengan kesedihan.

Lentera Mustika ialah sebuah cerita cinta. Cinta kepada yang berlainan jantina. Cinta kepada ilmu dan seni. Cinta kepada perjuangan. Segala cinta itu diadun dan dimeriahkan menerusi buku ini dengan perantaraan watak utamanya, Professor Madya Ainur Mustika, lambang wanita yang masih kurang berjaya kerana belum berkahwin lagi walaupun usia sudah 30 tahun lebih. Itulah yang dianggap orang-orang kampungnya. Tetapi, biarlah apa orang kata kerana perkahwinan itu bukan dilakukan semata-mata kerana mahu senyapkan mulut orang sahaja.

Bukan tidak ada orang yang mahu mendekati professor pantun ini. Zul Farhan bekas anak muridnya juga menaruh perasaan. Rozario, rakan sekerja pun sebegitu. Tetapi, entah kenapa, hatinya dirasai masih dimiliki oleh Syed Amirul Hakim. Seorang lelaki yang mempunyai minat, cita-cita dan cara pemikiran yang sama dengannya. Kerap kali bayangan lelaki itu muncul di hadapannya. Cincin di jari manis yang diberikan oleh lelaki tanah seberang itu masih tidak dibuang walaupun dia tahu perhubungan tersebut tidak boleh diteruskan lagi. Mungkin boleh diteruskan jikalau dia mahu meneruskannnya. Ini ditambah-tambah lagi dengan desakan demi desakan daripada Syed Amirul sehingga sanggup datang ke Malaysia.

Tetapi akhirnya Professor Mustika membuat keputusan yang berbeza. Perjumpaan dengan Syed Amirul Hakim yang mewakili Indonesia secara kebetulan di Shanghai semakin membuatkan hatinya yakin. Kadang-kadang saya terfikir juga, mungkinkah ada sequel kedua untuk Lentera Mustika yang akan menyambungkan semula ikatan hati antara Syed Amirul Hakim dengan Ainur Mustika.

Agak tidak adil jikalau Lentera Mustika hanya difahami dari sudut hubungan cinta Professor Mustika sahaja kerana hakikatnya Lentera Mustika bukanlah novel cerita cinta seperti yang difahami. Memang ada cerita cinta dan cerita itu memang mewarnai keseluruhan novel ini. Dan sempat juga saya untuk tidak menyetujui beberapa perkara di dalam novel ini terutamanya yang bersangkut paut dengan hubungan lelaki dan perempuan. Tidak banyak tetapi oleh kerana saya menggambarkan watak Professor Mustika sebagai watak orang suci, jadi secara tidak langsung, pemikiran saya diarah untuk turut sangat berharap yang dia 100% menjaga soal-soal tersebut. Atau mungkin juga kerana saya mempunyai cara berfikir yang berbeza dari sudut hubungan lelaki dan perempuan yang ajnabi, maka itu boleh juga menjadi penyumbang kenapa saya tidak bersetuju.

Berbalik kepada isu tadi, di sebalik cerita cinta yang mewarnai Lentera Mustika, secara hakikat saya suka mengganggap penulis sebenarnya mahu memperjuangkan sastera khususnya pantun, seloka, puisi dan gurindam melalui karyanya ini. Mesej itulah yang begitu menebal dicanang sana-sini dari halaman pertama sehinggalah halaman terakhir. Pada mulanya, saya juga agak sedikit janggal, "ala sedikit-sedikit pantun, tidak pantun, seloka, tidak seloka, gurindam, entah macam mana saya mahu bezakannya". Tetapi sehingga habis pembacaan, tanpa disedari, persepsi saya terhadap seni warisan melayu itu bertukar. Daripada anggapan awal yang mengatakannya sungguh leceh, bertukar menjadi lebih positif dan "oh, sungguh indah rupanya!.

Tampak lebih berwawasan apabila Professor Ainur Mustika mahu memperjuangan pemahaman seni sastera ini dari sudut berbeza. Baginya, perjuangan bukan setakat di bilik kuliah sahaja. Disiplin ilmu tersebut bukan milik mutlak orang sastera sahaja. Apa salahnya jikalau ia diperkembangkan melalui jalan ilmu undang-undang. Tidaklah jauh perbezaaan antara dua disiplin ilmu itu, sastera dan undang-undang. Hanya kita yang suka mengasingkannya seperti mana yang dibuat oleh penjajah dahulu. Seperti mana realitinya Hukum Kanun Melaka dan Tajus Salatin yang diperlakukan sebagai karya klasik sastera dan bukannya karya undang-undang Kesultanan Melayu Melaka. Begitu pandangan Mustika.

Maka dengan misi berkobar-kobar itu, Professor Ainur Mustika mahu membuat perubahan. Dia mahu menjadi pencetus. Dia mahu setiap daripada kita harus keluar dari kepompong dan pemikiran lama. Dia bercita-cita mahu menyesuaikan sastera mengikut arus moden. Kalau songket dan batik boleh diselarikan dengan peredaran zaman, tidak mustahil bukan untuk pantun, seloka, gurindam, nazam dan pelbagai lagi warisan seni Melayu yang semakin dipinggirkan ini.Perjuangan inilah yang membawanya terbang ke Shanghai. Bergabung dengan Badariah, seorang pensyarah undang-undang.

Namun begitu, setiap kali saya sedikit demi sedikit semakin mesra dengan perjuangan memartabatkan seni warisan Melayu itu, saya seringkali ditarik untuk menyelusuri kehidupan Professor Mustika. Sebab itu, sejak dari awal-awal lagi saya katakan, di halaman-halaman terakhir, bekalan terakhir yang saya perolehi dari Lentera Mustika ialah soal memandang kehidupan dengan lebih baik.

Memetik kata-kata kehidupan yang ditulis oleh penulis yang sedikit sudah diubahsuai, hidup ini banyak persimpangannya. Setiap persimpangan itu memiliki takdir yang berbeza. Kehidupan adalah untuk diiisi bukan untuk ditangisi walau di hadapan adalah sebuah kematian. Apabila kita berfikir seperti itu, maka setiap hari kita akan hidup dengan penuh bererti agar kehidupan di dunia itu nanti dapat menjadi jambatan untuk kehidupan yang akan datang. Lingkarilah hidup ini dengan cinta dan kasih sayang agar mudah untuk kita belajar bersyukur pada setiap kehidupan.

Ainur Mustika bukanlah lilin yang membakar dirinya untuk kebahagiaan orang lain tetapi seolah-olah seperti lentera yang menerangi kehidupan orang-orang yang berada di dalam sinarannya. Baru saya faham kenapa tajuknya Lentera Mustika!

Wallahu alam

Sumber Gambar :
Lentera Mustika : http://www.pts.com.my/index.php/buku/lentera_mustika/

Saturday, July 25, 2009

Benarkah Iskandar Bukan Zulkarnain - Afareez Abd Razak Al-Hafiz


Mungkin saya patut mencadangkan yang anda wajib memiliki buku ini. Sebuah buku yang sama padan antara rupa kulit dengan isi kandungan. Setiap isi-isinya cukup membuatkan para pembaca sentiasa tertanya-tanya dan tidak kekok ikut berkembara sekali bersama-sama penulis berkenaan kajian yang ditulis di dalam buku ini. 

Benarkah Iskandar Bukan Zulkarnain merupakan sebuah buku kajian berkenaan Zulkarnain seperti yang diceritakan di dalam Al-Quran. Di dalam Al-Quran sendiri tidak dinyatakan secara langsung siapakah yang dimaksudkan oleh Allah sebagai Zulkarnain. Perlulah kita ketahui bahawa Zulkarnain bukanlah nama tetapi merupakan gelaran. Sama seperti Firaun. Selama ini kita begitu sinonim dengan mengaitkan Zulkarnain sebagai Raja Iskandar atau Alexander the Great. Tetapi melalui buku ini, penulis cuba memperkenalkan kepada kita satu tokoh baru yang berkemungkinan dialah yang dimaksudkan sebagai Zulkarnain di dalam Al-Quran iaitu Raja Kurush atau Cyrus the Great.

Melalui Benarkah Iskandar Bukan Zulkarnain , penulis mengemukakan bukti-bukti, perbahasan ilmiah serta kajian perbandingan antara Cyrus the Great (Raja Kurush) dan Alexander the Great (Raja Iskandar) untuk menyokong kenyataanya itu. Ini semua bertitik tolak dari ayat Al-Quran (Surah Al-Kahfi ayat 86, 93-96) yang menyatakan secara umum tentang 4 ciri peribadi Zulkarnain.
Ditulis pada buku ini yang Raja Kurush merupakan pemerintah Empayar Parsi yang berpusat di Iran dan sepanjang pemerintahannya didapati beliau pernah melakukan ekspedisi melebarkan empayar sehingga ke Laut Hitam iaitu di sebelah barat Iran. Laut Hitam itulah yang dimaksudkan sebagai "laut yang berlumpur hitam" kerana secara amnya laut hitam apabila dilihat dari atas adalah bewarna hitam kerana memiliki dasar yang berlumpur hitam. Sama juga perihalnya dengan Raja Iskandar. Didapati beliau juga pernah melakukan perjalanan hingga ke barat Macedonia iaitu Illyricium. Tetapi, peristiwa itu berlaku ketika beliau masih kecil. Manakala "laut yang berlumpur hitam" pula ditafsirkan sebagai Laut Mediterranian kerana laut ini memang bewarna keruh dan gelap. Melalui poin yang pertama, didapati kedua-dua tokoh ini memenuhi kriteria Zulkarnain iaitu pernah melakukan perjalanan ke arah terbenamnya matahari (barat).

Namun begitu, hujah-hujah untuk kriteria kedua yang diutarakan oleh penulis lebih jelas menunjukkan kepada kita yang ia lebih banyak memihak kepada Raja Kurush. Jikalau kita teliti catatan sejarah, jelas kepada kita wujudnya perbezaan akhlak dan peribadi antara Raja Kurush dan Raja Iskandar.

Hujah-hujah untuk poin keempat iaitu pembinaan tembok cukup merancakkan lagi perbincangan di dalam buku Benarkah Iskandar Bukan Zulkarnain. Tembok yang mana satukah yang dibina oleh Zulkarnain? Di manakah lokasinya? Adakah tembok yang dimaksudkan itu dibina oleh Raja Kurush atau Raja Iskandar? Kenapa tembok itu dibina? Kita tahu jawapannya iaitu ingin melindungi kaum tertentu daripada serangan Yakjuj Makjuj. Siapakah yang dimaksudkan sebagai golongan Yakjuj Makjuj dan siapakah pula kaum yang dilindungi itu?  Penulis juga mengingatkan kepada kita tentang isu Yakjuj Makjuj boleh dibicarakan dalam 2 konteks iaitu Yakjuj Makjuj pada zaman Zulkarnain ( Surah Al-Kahfi) dan Yakjuj Makjuj pada akhir zaman (Suran Anbiyak).

Banyak sekali fakta, tulisan dan sumber yang diambil oleh penulis untuk menyatakan kepelbagaian jawapan untuk persoalan-persoalan di atas. Namun begitu, saya kira jikalau kita baca betul-betul, kita akan nampak satu kesinambungan jawapan dan meransang kita berfikir. Tidak mustahil, kita juga berkemungkinn akan menghasilkan hipotesis sendiri.

Sebenarnya, perbincangan kepada isu Iskandar bukan Zulkarnain hanya berlaku pada bab 4 iaitu bab terakhir buku ini. Sebelum itu, sudah ada 3 bab yang mendahuluinya iaitu Bab 1) Raja Namrud, Bab 2) Raja (Nabi) Sulaiman dan Bab 3) Raja Bukhtanasar. Penulis cuba membawa kita memahami konteks perbincangan Zulkarnain dengan mengimbas semula sejarah silam dan mengaitkannya dengan 3 raja tersebut.

Jadi sepanjang pembacaan dari Bab 1 hingga Bab 3, pembaca memang tidak terlepas daripada cerita-cerita para nabi dan ajaran mereka. Secara tidak langsung, kita dibawa untuk lebih memahami sejarah kaum Yahudi dan tempat suci Jerusalem.

Saya sebenarnya sudah tenggelam keasyikan apabila membaca Bab 1 hingga 3. Lama sudah tidak mendengar cerita-cerita para nabi. Terlalu banyak iktibar yang perlu diambil. Penulis sendiri pun sentiasa mengambil kesempatan mengingatkan saya sebagai pembaca pada setiap jalan cerita tersebut dengan sedikit "jeda muhasabah". Saya kira, jikalau saya tidak membaca 3 bab terdahulu ini, mungkin agak sukar memahami Bab 4 kerana tidak nampak jalan cerita yang sebenar.

Saya juga sudah menjadi begitu "curious" sekali terutama berkenaan Yakjuj Makjuj dan kaum Scythian seperti yang dibangkitkan melalui buku Benarkah Iskandar Bukan Zulkarnain. Tertanya-tanya saya dibuatnya, "Adakah mereka ini kaum Yahudi Israel?". Lalu saya capai buku Yakjuj & Makjuj : Bencana Di Sebalik Gunung karya Muhammmad Alexander terbitan PTS Islamika. Saya terus selak halaman terakhir untuk mengetahui apakah kesimpulan buku ini pula. Mungkin saya akan menjumpai sedikit klu untuk persoalan saya tadi. Pada halaman 550, penulis merujuk Yakjuj Makjuj sebagai Gog Magog. Katanya Gog Magog adalah dari Scythia = Scythian atau Saca atau Saxon (Anglo Saxon) keturunan Israel, yang sekarang adalah bangsa Eropah dan Amerika. Kesimpulan yang membuatkan saya meremang bulu roma! Nampaknya buku ini akan dibaca secepat mungkin. Tetapi sebelum anda mahu membaca buku setebal 550 halaman ini, saya nasihatkan lebih elok ia dimulakan dengan Benarkah Iskandar Bukan Zulkarnain karya Afareez Abd Razak Al-Hafiz. Cukup mencerahkan!

Wallahu alam

Sumber Gambar :
Benarkah Iskandar Bukan Zulkarnain - http://www.pts.com.my/index.php/buku/benarkah/


Monday, June 29, 2009

Cut Nyak Din - Kisah Ratu Perang Acheh : M.H. Skelely Lulofs

Oleh :
Welma La'anda (welmalaanda@gmail.com)

Tajuk : Cut Nyak Din - Kisah Ratu Perang Acheh
Penulis :
M.H. Skelely Lulofs
Halaman: 373 Penerbit : Komunitas Bambu

Buku ini telah lama disedari sejak kali pertama lagi saya berkunjung ke Gramedia. Namun saya pesan kepada diri sendiri, "nanti, nanti, nanti baru beli". Akhirnya kali ketiga saya ke sana iaitu pada Jumaat (19 Jun) , terbeli juga buku ini atas hasutan Kak Min. Beli lagi. Aduh! Mula dibaca pada 21 Jun kira-kira mungkin sejam sebelum Zohor. Tekad dikuatkan untuk menyelesaikan pembacaan pada hari itu juga. Tetapi pada kira-kira pukul 5.30 petang, saya sudah tidak berdaya. Pening. Pada hari ini, baru saya berkesempatan membaca saki-baki halamannya yang masih tertinggal.

Saya pasti jikalau bukan kerana tajuknya, saya berkemungkinan besar tidak akan membeli buku ini kerana takut atau mungkin terkejut dengan gambar hadapan buku. Seram bukan. Saya ingat lagi, ketika saya makan tengahari, saya terpaksa alihkan buku ini kerana kulit muka hadapannya. Memetik kata-kata Kak Min, "Kenapalah mereka ini tidak meletak gambar muka hadapan Cut Nyak Din yang lebih cantik sesuai dengan kecantikannya". Gambar yang sebegini memungkinkan saja orang tidak berani membeleknya jikalau tidak tahu siapakah sebenarnya kisah ratu pahlawan Acheh ini. Saya pula, saya sendiri kurang pasti di mana saya mendengar perihal beliau tetapi apa yang pasti, saya tahu Cut Nyak Din ialah seorang pahlawan wanita yang menjadi kebanggaan Acheh menentang penjajahan Belanda.

Pelbagai perasaan apabila membaca buku ini. Meremang bulu roma, sedih, dan bersemangat. Cut Nyak Din - Kisah Ratu Perang Acheh ialah sebuah buku fiksyen sejarah. Cukup menarik sekali cara penceritaannya. Ada sedikit kelainan dari segi pengolahan dan persembahan cerita berbanding fiksyen sejarah terdahulu yang pernah dibaca. Mesra pembaca sehinggakan sampai satu tahap saya merasakan seperti gabungan membaca novel dan buku sejarah pula. Selain itu, buku ini ditulis dengan menyelitkan sekali pendapat-pendapat penulis untu beberapa situasi. Kadang-kadang ada pendapat itu yang membuatkan saya berkata, "Eh suka hati Cut Nyak Dinlah mahu berkahwin lagi satu". Ada lagi petikan berita yang diselitkan sebagai bahan bukti di antara cerita. Cukup menarik saya rasa. Tidaklah saya merasakan seolah-olah kaku menghayati cerita. Seperti yang saya katakan tadi, apabila anda membaca buku ini, anda seperti membaca sebuah novel tetapi anda sedar ia adalah sebuah buku sejarah. Berbeza dengan fiksyen sejarah yang pernah saya baca sebelum ini, saya merasakan "Oh saya sedang membaca buku sejarah".

Pada ruang pengantar, Azhari menulis tentang Cut Nyak Din dan Belanda. Ya Allah, sebenarnya saya kurang berapa faham secara total apa yang disampaikan beliau. Susah betul untuk memahami bahasa Indonesia yang digunakan. Ada banyak perkataan tidak difahami. Percayalah, jikalau anda membaca ruang pengantarnya sahaja, kemungkinan anda akan putus asa kerana sudah membuat judgement awal-awal tentang buku ini iaitu bahasa Indonesianya tidak difahami. Berbeza 180 darjah dengan isi buku sebenar. Sangat mudah difahami. Tetapi dalam banyak-banyak yang tidak difahami itu, ada sedikit yang saya faham iaitu tentang peribadi dan pemikiran penulis buku ini sebenarnya. Penulis merupakan seorang rakyat Belanda dan di dalam buku ini beliau menyatakan tentang negatifnya pemerintahan Belanda di Acheh dan banyak memihak kepada Cut Nyak Din tetapi hakikatnya dia bukan sebegitu. Saya pula secara peribadi tidak membenarkan100% cerita di dalam ini kerana ia sudah difiksyenkan. Saya tidak tahu mana satu yang fakta dan mana satu yang sudah diolah terutama apabila sudah melibatkan dialog. Lagipun saya tidak pernah membaca buku fiksyen sejarah tentang Cut Nyak Din untuk menapis cerita di dalam buku ini. Ini ditambah lagi dengan perasaan berhati-hati terutama yang berkaitan cerita negatif tentang wira-wira Acheh di dalam buku ini. Oleh kerana itu, apabila penulis menulis Teuku Umar memegang azimatnya sebelum pergi berperang, menjadi pertanyaan bagi saya, "Eh, ya ka?".

Saya bertanya pada diri saya, "Adakah saya akan mempunyai jiwa seperti Cut Nya Din apabila suatu hari nanti Malaysia dijajah semula?". Membaca kisah perjalanan mereka mempertahankan Acheh dari jajahan Belanda membuatkan saya berfikir, "Ya Allah, begitu besar sekali perjuangan mereka". Menangis saya dibuatnya buku ini.

Gaya penceritaan buku ini begitu lancar sekali. Ia dimulakan dengan cerita Manchudun Sati. Manchudun Sati ialah moyang kepada Cut Nyak Din. Beliau hidup beratus tahun sebelum kelahiran Cut Nyak Din lagi. Cerita tentang Manchudun Sati ini diperihalkan kerana untuk menerangkan kepada kita bagaimana titik tolak bermulanya keturunan beliau boleh ada di Acheh sedangkan beliau ialah orang Minangkabau.

Hendak dijadikan cerita, Sultan Acheh pada masa itu tidak suka kepada Manchudun Sati kerana beliau tidak mahu tunduk kepada pemerintahan Acheh. Manchudun Sati menjadi pemerintah di salah sebuah kawasan di bawah kekuasaan Acheh. Beliau yang membangunkan kawasan itu sehingga menjadi terkenal dan Sultan mula nampak keinginan untuk memiliki kawasan Manchudun Sati. Sultan memberi arahan agar mereka membayar ufti tetapi Manchudun Sati tidak mahu melakukannya kerana menganggap mereka adalah sebuah kerajaan yang merdeka. Akhirnya berlakulah pergolakan antara tentera Manchudun Sati dan Sultan. Semua tentera Manchudun Sati meninggal dan hanya tinggal beliau. Pelbagai cara untuk membunuh beliau, tetapi beliau masih tidak mati-mati juga.

Akhirnya, sultan memerintahkan untuk membawa beliau ke tempat pentadbiran Acheh di Kotaraja dengan mengikat beliau di bawah perahu. Jadi apabila perahu itu belayar (betulka istilah ini), Manchudun Sati akan terheret sekali. Sampai ke tahap itu, beliau tidak meninggal lagi dan masih juga tidak mahu menyerah diri. Sultan yang menyaksikan peristiwa itu terpegun dan membebaskan beliau. Bukan itu sahaja, beliau diberi pangkat dan dibenarkan tinggal di istana. Sejak dari hari itulah, keturunan Manchudun sati bermula di Acheh dan mendapat kedudukan yang mulia.

Sikap tidak gentar kepada ketidakadilan dan keras hati memperjuangkan keadilan inilah yang diwarisi turun temurun sehingga Cut Nyak Din. Jikalau anda membaca buku ini, tidak ada seorang pun keturunan Manchudun Sati yang tunduk kepada kerajaan Belanda malah mereka terus-menerus memberi tentangan sehingga syahid ataupun mati kerana sudah terlalu tua.

Cut Nyak Din berkahwin dengan Teuku Ibrahim Lagmna ketika beliau masih belum baligh lagi. Cut Nyak Din digambarkan seorang gadis bangsawan yang cantik, tidak seperti perempuan Acheh yang lain, dan jiwanya keras seperti seorang pejuang. Ayahnya cukup risau mencari jodoh yang sesuai dengan anaknya yang tidak seperti perempuan lain itu. Akhirnya, Nanta Setia, ayah Cut Nyak Din menerima pinangan keluarga Teuku Ibrahim kerana dianggap Teuku Ibrahimlah calon yang paling sesuai.

Teuku Ibrahim adalah suami pertama kepada Cut Nyak Din. Teuku Ibrahim seorang yang cukup perkasa. Hari-hari hidupnya sentiasa dalam perjuangan membebaskan Acheh dari Belanda. Tekanan daripada Belanda hari demi hari semakin mengasak. Beliau juga semakin kuat memberontak. Walaupun digambarkan Cut Nyak Din seorang yang cukup keras dalam perjuangan, Teuku Ibrahim lebih keras lagi. Kata-katanya selalu sahaja membuatkan Cut Nyak Din berasa tenang. Beliau selalu mengingatkan yang Allah bersama mereka.

Sampai satu tahap, banyak kampung yang sudah berserah diri kepada Belanda, malah ada juga yang membelot kepada Teuku Ibrahim dan pejuang yang lain, tetapi Teuku Ibrahim masih tetap utuh dengan perjuangannya. Semasa menjadi isteri Teuku Ibrahim, saya masih tidak nampak jasa-jasa Cut Nyak Din. Ya lah ini buku biografi tentang Cut Nyak Din, tetapi hampir separuh halaman buku ini, masih juga tidak diceritakan secara detail apakah kehebatan dan sumbangan Cut Nyak Din seperti yang diwar-warkan. Apa yang saya tahu, "Oh, Teuku Ibrahim memang hebat." Akhirnya, Teuku Ibrahim Lamgna syahid. Mula-mula abangnya ( saya kurang pasti pula) yang ditembak, Teuku Ibrahim pergi ke arah abangnya itu dan memangkunya. Lalu, Teuku Ibrahim pula ditembak. Sejurus selepas itu, kawan Teuku Ibrahim pula cuba memangku pemimpin mereka dan akhirnya beliau sekali syahid. 3 orang syahid dengan saling pangku-memangku. Meleleh lagi air mata saya.

Jasad beliau dibawa ke kawasan pergunungan, tempat sementara pelarian mereka sekeluarga dan keluarga lain. Cut Nyak Din tidak dapat mengawal kesedihannya. Teuku Ibrahim ialah teman perjuangannya walaupun beliau hanya duduk di rumah sahaja dan Teuku Ibrahim pergi berjuang. Tetapi, kita tidak boleh menafikan jasa-jasa beliau mengobarkan kata-kata semangat dan menyokong perjuangan rakyat Acheh di bawah pimpinan Teuku Ibrahim Lamgna membebaskan tanah Acheh dari kaphe (Belanda). Pada mula-mulanya saya menyebut kaphe sebagai Kap-He. Rupa-rupanya disebut sebagai kaphe. Kaphe = kafir.

Sebulan selepas itu, Cut Nyak Din berkahwin dengan sepupunya iaitu Teuku Umar. Inilah yang dikatakan oleh penulis tentang tangisan Cut Nyak Din ketika jasad Teuku Ibrahim dibawa. Dalam hati saya, "Eh biarlah Cut Nyak Din mahu berkahwin dengan siapa?". Kita tidak boleh menghukum perkahwinan Cut Nyak Din sebagai satu pembelotan cinta kepada Teuku Ibrahim. Mungkin situasi pada ketika itu menyebabkan Cut Nyak Din harus mencari pendamping. Tetapi jauh juga di dalam sudut hati saya ini, "Ala, kenapa kahwin dengan Teuku Umar. Nanti tidak bolehlah berjumpa semula dengan Teuku Ibrahim di syurga".

Cut Nyak Din ialah isteri ketiga kepada Teuku Umar. Karakter Teuku Umar sedikit berbeza dengan Teuku Ibrahim. Karakternya lebih kurang sama dengan Cut Nyak Din. Beliau juga ialah seorang pejuang sejati. Cinta antara Cut Nyak Din dan Teuku Umar ialah berlandaskan cinta perjuangan.

Oleh kerana itu, walaupun Cut Nyak Din lebih berumur tetapi mereka digambarkan sebagai sebuah pasangan yang bahagia dan saling lengkap-melengkapi. Pada era bersuamikan Teuku Umar inilah, saya nampak peribadi Cut Nyak Din mula menyerlah. Cut Nyak Din mula mengganti ayahnya dalam menerajui Mukim 6. Beliau banyak menasihati Teuku Umar dalam perjuangan. Teuku Umar pun mempunyai perasaan hormat yang tinggi pada beliau. Cuma Teuku Umar digambarkan tidak berapa suka kerana isterinya sangat rapat dengan barisan ulama, sedangkan Teuku Umar mahu isterinya lebih mendekati golongan bangsawan dalam perjuangan membela Acheh. Tetapi, perasaan itu dibiarkan sahaja dan tidak diluahkan kepada isterinya.

Akhirnya Teuku Umar cuba berbaik-baik dengan Belanda. Ini sebenarnya hanya sandiwara dan tipu muslihat sahaja. Lama juga beliau bersandiwara iaitu selama 3 tahun, sampai dikurniakan darjah Teuku Johan Pahlawan. Tetapi, akhirnya beliau tersepit kerana ada di antara orang-orang Belanda yang masih meraguinya dan orang Acheh yang pantang tunduk kepada Belanda pun mahu menentangnya. Setelah Cut Nyak Din menasihatinya, Teuku Umar mula mengambil keputusan untunk menamatkan sandiwaranya.

Memetik kata-kata beliau, "Untuk mencapai kemenangan akhir..atau menerima kekalahan mutlak...Jika kekalahan itu yang kita terima, kita akan hancur, Din". Lalu dijawab Cut Nyak Din, "Apa boleh buat, Umar! Jika Allah subhanahu wata'ala menakdirkan kita ke sana. Kita semua akan syahid. Akan tetapi, anak cucu kita tentu tidak akan berdiam diri. Mereka akan maju ke medan perang dan membela takdir moyangnya. Tidak mungkin anak cucu kita akan membiarkan kaphe menghancurkan tanah airnya dan menumpas nenek moyangnya. Kuatkanlah imanmu, Umar. InsyaAllah, Tuhan selalu bersama kita" (halaman 323).

Maka bermulalah semula peperangan di antara rakyat Acheh dan Belanda. Teuku Neh ( orang Acheh yang belot) pun bersiap sedia lari ke Pulau Pinang. Dalam hati saya, "Dekat juga ya Pulau Pinang dengan Acheh". Ini bukan kali pertama saya mendengar nama Pulau Pinang di dalam buku ini. Sebelum ini pun, Teuku Ibrahim dan pahlawan lain mendapatkan bekalan senjata dari Pulau Pinang.

Peperangan pada kali ini lebih hebat. Pada ketika inilah, Teuku Umar syahid dengan 2 peluru menembusi perutnya. Selepas itu, perjuangan membebaskan Acheh dipimpin oleh Cut Nyak Din. Keadaan mereka sangat daif. Kerajaan Belanda memburu mereka habis-habisan, sehinggakan sampai satu tahap banyak yang menyerah diri. Cuma seorang yang tidak menyerah diri iaitu Cut Nyak Din. Beliau akhirnya buta. Mungkin ini penyakit keturunan. Melihatkan keadaannya yang sudah tua dan tidak berapa sihat, akhirnya Pang La'ot (orang yang menjaga Cut Nyak Din, kawan seperjuanga Teuku Umar) menghantar wakil untuk berjumpa Belanda. Beliau menunjukkan tempat persembunyian Cut Nyak Din. Beliau meminta kepada kerajaan Belanda agar jangan mengasari Cut Nyak Din dan berikan rawatan kepadanya. Cut Nyak Din memang marah sekali apabila orang Belanda datang ke tempat persembunyiannya dan Pang La'ot memujuknya. Peristiwa itu berlaku pada bulan Ramadhan.

Akhirnya, Cut Nyak Din dirawat di dalam istana dengan jagaan rapi. Banyaklah ketua-ketua pembesar Acheh datang melawat beliau. Cut Nyak Din masih tetap seperti itu. Masih keras terhadap Belanda. Masih membenci Belanda. Oleh kerana ditakuti beliau akan mencetuskan semula perang jihad di kalangan rakyat Acheh, maka Cut Nyak Din dibuang negeri ke Sumedang (sebuah tempat di Sumatera saya kira). Di sana, penyakit beliau terus dirawati sehingga matanya sembuh semula. Beliau juga memiliki pembantu untuk menjaganya. Ini bersesuaian dengan statusnya sebagai puteri bangsawan dan isteri kepada panglima.

Saya terfikir tentang satu perkara. Kenapa apabila mahu berperang, orang Acheh akan menggali parit? Saya kira, bukan orang Acheh sahaja tetapi orang jawa juga. Baru-baru ini pensyarah saya pernah berkata lebih kurang begini, "Di Johor banyak orang Jawa. Orang Jawa memang suka membuat parit. Bukankah Indonesia dijajah Belanda." Tetapi, saya lupa bertanya apa kaitan antara parit dengan Belanda.

Buku ini membawa pelbagai iktibar kepada kita samada dari sudut agama, patriotik atau pun hubungan suami isteri. Cut Nyak Din membuktikan dia bukan isteri yang sembarangan. Dia bukan isteri yang mengikat suaminya untuk duduk bagaikan belangkas sahaja di rumah. Dia meniup semangat perjuangan cintakan syahid dan negara di dalam diri suami-suaminya sehingga mereka syahid. Betullah kata orang, di belakang seorang pemimpin yang hebat ada seorang wanita yang hebat juga.

Wallahu alam

Monday, June 08, 2009

Gramedia dan buku Haid Menghalangi Ibadah? No Way!



Kehadiran Gramedia di Seberang Prai sungguh membahagiakan (lagi-lagi cerita Gramedia). Cukup memujuk saya untuk "baca, baca, baca, ". 

Walaupun saya asyik merungut di dalam hati kerana hanya 40% buku Indonesia, namun begitu, saya berjaya membeli 5 buah buku juga. Bila agaknya mahu dibaca? Perancangan saya begini. Memandangkan saya bekerja pada hari Sabtu dan Ahad, jadi bermakna saya hanya ada 1 baki hari cuti sahaja iaitu pada hari ini. Jadi, saya mahu memanfaatkan hari ini hanya untuk membaca sahaja. Hooray!!!Saya boleh membaca buku-buku yang dibeli di Gramedia tempoh hari. Yam! Yam! Yam!


Semalam, sesudah balik kerja, membasuh baju dan membersihkan diri, saya berusaha untuk membaca Istikharah Cinta karya M. Shodiq Mustika, dkk. Tetapi, saya tidak boleh melawan keletihan. Lalu saya membuat keputusan untuk tidur dulu. Kira-kira pukul 3.30 pagi, saya terjaga. Aah! Tanpa membuang masa saya mengambil buku Haid Menghalangi Ibadah? No Way! lalu membacanya. Setelah hampir sejam membaca, saya mula mengantuk. Jadi, saya sambung balik tidur. Saya bangun awal pagi kerana mahu menziarahi kubur arwah bapak saya. Sesudah balik dari perkuburan dan bersarapan, saya pun mula membaca Tuhan, Inilah Proposal Hidupku. Ayoyo! Buku Haid Menghalangi Ibadah? No Way! belum lagi selesai dibaca. Tidak mengapa. Akan diusahakan untuk diselesaikan hari ini juga. Kira-kira sebelum Maghrib tadi, saya berjaya menyelesaikan 2 buah buku itu, Yeye! Ini saya kongsikan hasil pembacaan untuk salah satu buku yang telah dibaca.


Tajuk :
Haid Menghalangi Ibadah? No Way!
Penulis :
M. Fauzi Rachman
Harga :RM9.50 Halaman : 138 Penerbit : Mizania

Murahkan harga buku ini. RM9.50. Istikharah Cinta lagi dahsyat. RM6.50. Seperti tidak percaya dengan harga yang murah sebegitu. Saya sudah terbiasa membeli buku yang berharga RM10 ke atas. Jikalau tebal sikit, sudah boleh agak, pasti harga RM20 ke atas atau RM30 ke atas. Kita tinggalkan soal harga itu. Biar penerbit sahaja berfikir tentangnya. Bagi kita orang awam, lebih baik kita berfikir isi buku tersebut.

Buku ini ditulis oleh M. Fauzi Rachman. Nama itu sungguh familiar. Seperti saya pernah mendengarnya. Sampai sekarang saya masih mencari-cari di manakah saya terjumpa nama itu. Mungkinkah di Eramuslim? Di atas kulit buku ini tercatat, "Penulis Bestseller Shalat for Character Building". Ada sedikit gambar dan blurp ringkas buku tersebut di halaman terakhir. Yam!Yam! Saya sudah mula memasang niat, "Nanti kalau ternampak buku itu di Gramedia, terus beli insyaAllah". Saya sebenarnya selesa dengan cara penulisannya. Oleh kerana itu, saya tidak akan merasa rugi untuk membaca bukunya yang lain.

Buku ini ditulis dengan susun atur ayat dan pemilihan perkataan yang begitu kemas sekali serta senang difahami. Jikalau anda bukan pembaca buku Indonesia kerana risau tidak boleh faham bahasanya, buku ini adalah salah satu buku yang tidak akan menyukarkan anda membacanya.

Tajuknya - Haid Menghalangi Ibadah? No Way! telah menyebabkan saya menariknya dari rak buku. Pada mula-mula, saya tidak perasan perkataan No Way! itu. Sudah sampai di Kulim, baru saya disedarkan oleh Faizah. Bukan main besar perkataan No Way! itu, saya boleh tidak nampak.Mungkin pada ketika itu, mata kanan melihat buku ini manakala mata kiri sedang melihat buku lain. Seperti yang saya katakan, saya selalu tidak keruan apabila berada di kedai buku.

Apabila membeli buku ini, saya sebenarnya mengharapkan saya boleh mendapatkan input yang boleh memberi motivasi agar terus beribadah walaupun dalam tempoh datang bulan. Mungkin ramai wanita menyedarinya di mana ketika baru sahaja suci, keazaman kita untuk beribadah akan luntur sendikit.

Setelah membaca buku ini, apa yang saya boleh faham ialah, ya, ini soal mentaliti wanita. Bagi kita, datang bulan itu adalah cuti daripada beribadah. Sehinggakan banyak di kalangan kita yang tidak bangun pada waktu subuh kerana tidak perlu bersolat sedangkan kita boleh sahaja menggantikan aktiviti solat tadi dengan berzikir. Maksudnya, bangun seperti biasa, bersihkan diri dan berzikir atau berwirid. Itu sebagai contoh.

Persoalan kedua, penulis cuba membawakan kepada kita ialah konsep ibadah. Aplikasi kita tentang ibadah selama ini sangat terbatas. Memang diakui, kita cukup tahu ibadah itu bukan hanya terhad kepada solat dan membaca quran sahaja tetapi merangkumi banyak perkara. Konsepnya cukup senang iaitu apa-apa sahaja yang kita lakukan dengan tujuan mendapat keredhaan Allah, maka itu adalah ibadah. Tetapi, kita wanita biasalah, apabila sudah tidak boleh membaca quran dan tidak boleh solat, maka automatik kita mengisytiharkan cuti-cuti sedunia, sedangkan boleh saja bukan kita berdoa, berzikir, berwirid atau membaca terjemahan quran.

Aduh! Saya tengah berfikir sekarang ini, bolehkah saya bangun pada waktu Subuh , bersihkan diri dan duduk di ruang solat sambil berzikir, Zuhur sebegitu juga, Asar, Maghrib dan Isyak pun sama. Pada waktu Maghrib saya membaca terjemahan Quran sebagai menggantikan bacaan Quran di waktu suci. HoHo. Berat juga ini. Tetapi itulah caranya supaya bateri tidak "kong".

Kekadang tercuit lucu juga apabila membaca komentar penulis di ruang pendahuluan. Katanya, beliau tidak pernah mengalami haid. Jadi sepanjang penulisan buku ini, beliau banyak berdiskusi dengan ibunya dan sahabatnya. Setelah selesai pembacaan, mungkin saya boleh simpulkan ialah saya memperolehi input-input yang saya mahukan ketika membeli Haid Menghalangi Ibadah? No Way!. Walaupun kita tidak boleh melakukan ibadah-badah seperti bersolat, bertawaf atau membaca quran, tetapi kita boleh juga melakukan ibadah yang lain. Kita perlu jelas, ibadah bukan hanya terhad kepada solat atau baca quran sahaja. Kita juga perlu jelas, haid yang kita alami adalah fitrah alam. Ia bukannya dengan tujuan menghalang kita daripada menjadi hamba Allah yang solehah.

Di dalam buku ini, penulis membahagikan 2 konsep aktiviti ibadah yang boleh kita praktikkan ketika dalam tempoh haid. Pertama ialah ibadah hati seperti ikhlas dan redha, berbaik sangka kepada Allah, khauf kepada Allah, muraqabah, mujahadah, muhasabah, sabar dan taqwa. Setiap poin-poin ibadah hati ini dihuraikan oleh penulis. Sejuk hati saya membacanya. Penulis mahu menyampaikan kepda kita bahawa tumpukan memperbaiki hati kita dalam tempoh tidak bersuci ini. Cuba kita asah sifat dan akitiviti itu di dalam diri agar hati kita diberi cahaya oleh Allah.

Keduanya ialah ibadah muamalah seperti berbakti kepada orang tua, mengurus rumah tangga, melayani suami, bekerja, sedekah, mengkaji ilmu agama, menghormati tetangga, menghormati tamu dan amar makhruf nahi mungkar. Saya bahagia membaca huraian poin itu kerana saya menganggapnya sebagai unsur nasihat yang --sejuk hati membacanya. Pemilihan perkataan, ayat dan cara bercerita itu sangat penting dalam menulis buku-buku berbentuk nasihat seperti ini.

Nampak seperti senang aktiviti-aktiviti yang disarankan itu dan kita memang sudah lama tahu tentangnya, tetapi hakikatnya agak payah untuk dilaksanakan. Ya, mungkin kita perlu membetulkan mentaliti kita sebenarnya. Datang bulan bukan untuk bercuti dari beribadah.

Saya cukup tersentuh apabila membaca bab penutup. Rasa sangat kata-kata penulis masuk ke dalam hati. Penulis bercakap tentang wanita yang solehah. Antaranya ialah tentang peringatan bahawa banyaknya ulama terkemuka lahir dari rahim wanita yang solehah. Ya betul. Saya akui kebenarannya. Sebagai contoh emak Imam Syafie sendiri adalah wanita yang solehah. Jikalau kita mahu mendapat anak yang solehah, kitalah yang terlebih dahulu perlu menjadi solehah. Itu kunci katanya. Di akhir ayat, penulis sekali lagi mengingatkan kita, ya, ubahlah persepsi tentang cuti di waktu haid.


Wallahu alam

Thursday, January 01, 2009

Kembara Beirut - Maszlee Malik

Oleh:
Welma La'anda (welmalaanda@gmail.com)



Tajuk :
Kembara Beirut
Penulis : Maszlee Malik
Halaman : 106 Penerbit : JIMedia

Kembara Beirut adalah buku kelima daripada rangkaian Siri Bebaskan Al Aqsa. Ia merupakan catatan perjalanan penulis bersama Tuan Haji Azhari Abd Kadir ke Lubnan untuk memerhatikan sendiri nasib pelarian umat Islam Palestin di sana.

Saya kira, Kembara Beirut hadir sebagai satu wacana nasihat-menasihati dan mengajak kita berlumba-lumba ke arah kebaikan di kala kita sedang diulit dengan kesenangan, keamanan dan kegembiraan, dan kalau Kembara Beirut boleh bercakap, mungkin dia akan mengatakan, "sila fikir sama tentang orang Palestin".

Kembara Beirut bukanlah sebuah buku yang hanya mencatatkan kisah-kisah sedih pelarian Palestin di Lubnan seperti yang saya cuba gambarkan pada mulanya. Tetapi apa yang jelas saya rasakan ialah buku ini banyak bercerita tentang usaha-usaha yang dilakukan oleh badan-badan NGO di Lubnan membantu pelarian Palestin. Dalam keadaan yang begitu serba kekurangan, badan-badan ini tetap cukup bersemangat waja , bermotivasi dan kreatif dalam melebarkan kerja-kerja kebajikan. Wah ! Kagum saya dibuatnya. Mungkin selain daripada kagum, kita juga perlu menyoal balik kepada diri sendiri, "Apa pula usaha yang aku mainkan?".

Kembara Beirut  mengandungi 16 bab. Ini termasuk sekali sekilas pandang tentang penglibatan Jemaah Islah Malaysia (JIM) terhadap isu-isu kemanusiaan yang melibatkan umat Islam di luar negara. Salah satu isu luar negara yang begitu ditekankan ialah isu PALESTIN.

Sejak penubuhan negara haram Israel pada tahun 1948, beribu-ribu rakyat Palestin dihalau keluar. Mereka menjadi pelarian di Lubnan, Jordan dan Syria. Namun begitu, nasib pelarian Palestin di Lubnan tidak sebaik seperti mereka di Jordan dan Syria. Mereka tidak diberi hak kewarganegaraan, malah sesetengah hak asasi yang wajar dimiliki oleh seorang manusia juga dinafikan untuk mereka.


Menurut bancian (sumber buku ini), jumlah kem pelarian Palestin di Jordan ialah sebanyak 10 kem (30t,385 orang), Syria memiliki 10 kem (120,865 orang) dan Lubnan sendiri ada 12 kem (223,956). Bancian pada 31/12/2003 pula menyatakan jumlah pelarian tersebut meningkat kepada 394,532 orang di Lubnan. Kesemua pelarian ini didaftar di bawah URNWA-UN Relief and Works Agency.(Halaman 34)

Lubnan mendapat perhatian penulis berbanding Jordan dan Syria kerana rakyat Palestin di Lubnan tidak mendapat layanan yang sewajarnya berbanding 2 buah negara itu. Mereka dikatakan tidak mendapat hak kerakyatan, tidak boleh membeli hartanah dan tidak boleh bekerja untuk 73 jenis profession yang terdapat di Lubnan.

Menurut penulis, dari segi penduduk, 70% masyarakat Lubnan ialah Islam dan 30% lagi beragama Kristian. Dikatakan oleh penulis, masyarakat Lubnan lebih menonjol dari segi pakaian dan longgar budaya kearaban berbanding orang arab di negara lain. Wah, satu perkara yang saya belajar tentang prosedur imegresen di Lubnan. Seseorang pendatang tidak akan dibenarkan keluar dari imegresen jikalau tidak menulis tempat yang dituju dan kenalan di Lubnan yang boleh dihubungi.

Tempat pertama yang dituju oleh penulis ialah Kem Sabra dan Shatila. Ia terletak di pertengahan jalan antara lapangan terbang dan pusat Bandar Beirut. Penulis mengatakan maklumat ini diperolehi melalui buku From Beirut to Jerusalem yang ditulis oleh Dr Aung Swee Chan. Ya Allah, semakin membuak-buak pula membaca buku Dr Aung ini.

Penulis memberi sedikit gambaran tentang tempat ini. Katanya, bangunan di sini tidak tersusun. Jalan raya pun sama. Gambar-gambar Syeikh Ahmad Yassin , Dr Abd Aziz Rantisi dan Yasser Arafat begitu "memeriahkan" suasana di sini.

Jikalau anda memiliki Kembara Beirut, lebih mudah untuk anda saksikan sendiri kem Sabra dan Shatila ini. Sukar untuk saya terjemahkan melalui kata-kata. Penulis siap bergambar di depan tapak perkuburan mangsa tragedi Sabra dan Shatila. Ooh rupa-rupanya tapak perkuburan itu tidak seperti yang saya gambarkan. Pada mulanya saya pun kurang faham. Tetapi bila tengok dan baca balik, oo kawasan perkuburan itu tidak ada batu nisan. Ia cuma satu kawasan yang sebesar padang boleh sepak sekolah rendah dan berpasir keras. Penulis juga memaklumkan dia berjalan di atas tapak perkuburan itu.

Di tepi tapak perkuburan itu, ada papan tanda yang besar, tertulis Martyrs Square Of Sabra & Shatila Massacres. Ada juga papan tanda lain yang mengandungi foto-foto mangsa penyembelihan Sabra Shatila pada 1982.
Saya tidak boleh gambarkan bagaimanakah rupa sebenar sebuah kem pelarian. Saya andaikan ada banyak khemah. Ha. Begitulah andaian saya. Melalui buku ini, saya boleh melihat dengan jelas rupa kem pelarian Palestin di Shatila. Rupa bangunannya seperti sebuah kiub yang bertingkat-tingkat. Saya ingatkan ia diperbuat daripada batu simen. Tetapi rupanya tidak. Ia sebenarnya terdiri daripada kain kanvas.

Mereka tidak dibenarkan membesarkan kawasan itu sejak 1948 lagi. Setakat ini, sudah 3 generasi yang menduduki kem itu. Bilangan pelarian pula semakin meningkat dari masa ke semasa. Begitulah seperti yang ditulis oleh penulis.

Jadi mereka tidak ada pilihan lain melainkan "menaikkan" tapak khemah kanvas itu sehingga ia kelihatan seperti bangunan bertingkat. Saya sebenarnya masih lagi tidak boleh membayangkan kain kanvas yang ditingkatkan???!!. Pelbagai lagi usaha-usaha yang dimainkan NGO di sini untuk menaik tarafkan hidup mereka. Wah! Saya tidak terkata dibuatnya. Serba daif tetapi mereka sentiasa bersemangat.

Pada ketika saya mengulas buku Kembara Beirut ini, Palestin masih lagi diasak oleh Zionis Israel. Saya mengulas Kembara Beirut juga ada kena mengena dengan isu ini sebenarnya. Saya berdoa semoga niat utama kenapa entri ini ditulis masih lagi tidak menyimpang, di mana saya sangat berharap, ulasan yang tidak seberapa ini, sedikit sebanyak dapat membuka mata kita terhadap nasiib pelarian Palestin secara amnya dan isu Palestin secara khususnya.