Tuesday, May 28, 2013

Buku Minggu Ini

Seperti yang saya sebutkan pada entri sebelumnya, target saya ialah menyudahkan  pembacaan 2 buah buku untuk setiap minggu.

Saya tewas pada minggu lepas. Haha!

Walaupun begitu, saya tetap mahu mengucapkan tahniah kepada diri sendiri kerana sudah mencuba sebaik mungkin. Hari Wesak yang jatuh pada hari Jumaat digunakan sebaik mungkin membaca 1 Minit Keajaiban Allah dan Semut Pun Bertasbih kepada Allah. Lebih kurang 75% isi buku itu dibaca dan dihayati. dengan baik. Bunyi seperti sedikit poyo bukan. Haha!

Kemudian, saya terpaksa tinggalkan buku-buku ini di dalam beg sahaja  bermula Sabtu sehingga Isnin kerana saya sedikit sibuk dengan pelbagai urusan balik kampung, kenduri-kendara, berjalan-jalan, kerja rumah dan pejabat.

Hari ini, alhamdulillah, baru berpeluang memotivasikan diri untuk menyambung semula kembara buku. Ambil gambar buku dahulu (seperti biasa). Nampaknya, novel Anthem itu seperti melambai-lambai saya.

Jom tidur bersama buku. Hehe.

Tuesday, May 21, 2013

Buku Minggu Ke-20

Sekejap masa berlalu bukan. Sekarang sudah minggu yang ke-21.

Setelah menyedari saya sudah agak jauh ketinggalan dengan misi buku ini, maka saya mahu mensasarkan 2 buah buku untuk dibaca pada setiap minggu bermula minggu ke-20. Target saya, semestinya 50 buah buku setahun dan saya perlu membaca sekurang-kurangnya 20 buah buku sehingga bulan Jun ini untuk mengelakkan saya 'tercungap-cungap' di penghujung tahun. Justeru itu, setiap hari saya sentiasa berfikir dan berusaha bagaimana untuk membaca dengan kadar cepat. Semangat gitu!

Alhamdulillah. Pada minggu lepas, walaupun hampir gagal, saya berjaya juga menyelesaikan bacaan untuk 2 buah buku.


Selama seminggu lepas, saya asyik berkepit dengan buku Angguk Geleng tulisan Pahrol Mohammad Juoi dan Husna Hassan. Konon mahu dibaca setiap hari sebelum tidur. Buku yang setebal 258 halaman ini dengan himpunan cerita pendek yang senang dihadam sepatutnya bukanlah cabaran yang besar untuk dibaca sebanyak 50 halaman pada setiap malam. Namun, saya mengambil masa selama 7 hari juga sebelum sampai ke halaman akhir. Ini buku baharu yang dibeli dan pastinya faktor penulis yang membuatkan saya membelinya.

Dibuai, dipujuk dan diperli. Itulah yang saya rasa sepanjang pembacaan dari satu kisah ke satu kisah. Selalu sahaja isi kandungan buku ini membuatkan saya rasa teruk, teruk dan teruk. Kekadang terfikir, bagaimana sebuah buku boleh memiliki kuasa sebegini. Bagaimana  ia mampu menempelak si pembaca sehingga si pembaca tersedar, lalu berfikir dan membawa kepada keinsafan. Buku ini kaya dengan pelbagai cerita dan analogi. Ada orang yang mengklasifikasikan cerita-cerita  ini sebagai sebuah satira. Betul juga, ini kerana satira itu sifatnya memerli dalam kelucuan. 

Buku ini mengajar kita untuk yakin, percaya, dan bersangka baik dengan Allah.
Buku ini membantu kita untuk membina perhubungan yang lebih baik dengan orang sekeliling.
Buku ini mengajak kita untuk sentiasa memerhati alam ini kerana terlalu banyak pengajaran yang perlu dilihat dengan mata hati.
Buku ini memimpin kita untuk mencari ilmu sehingga bertemu hikmah/kebijaksanaan dan bukan setakat maklumat/pengetahuan.

Sesuai dengan isi kandungannya yang bukan menegur pembaca secara terus dan langsung, namun kalau anda membaca sambil melihat prestasi diri dan mencari keburukan diri yang perlu dibaiki, buku ini boleh membuatkan anda seperti dibasuh dan dicuci oleh sabun yang kuat kesan kimianya.


Selesai buku Angguk Geleng itu, saya yang mudah gelabah ini, cepat-cepat mencapai buku kedua yang termasuk dalam senarai mahu dibaca segera. Almaklumlah, akan masuk minggu baharu dan saya masih belum mencapai 2 buah buku seminggu. Hehe.

Buku yang dimaksudkan itu ialah sebuah novel fiksyen sejarah bertajuk Pahlawan-Pahlawan Mamluk tulisan Mu'min Jarni. Buku ini dibeli pada tahun lepas dan setelah mengeramnya sekian lama, barulah datang nafsu mahu membacanya. Jujur saya katakan, ini kali pertama saya mendengar perkataan Mamluk. Ditambah pula ditulis pada muka hadapan buku- Perajurit Salahuddin Al-Ayubi, membuatkan saya tertanya-tanya tentang kaitan tokoh hebat itu dengan Mamluk.

Pada kebiasannya, sebelum membaca novel fiksyen sejarah, saya terlebih dahulu akan membaca buku bukan fiksyen untuk subjek tersebut. Contohnya, saya cuba pastikan yang saya sudah membaca buku biografi/bukan fiksyen dari sumber yang boleh dipercayai tentang Salahuddin Al-Ayubi terlebih dahulu sebelum membaca kisah beliau melalui novel fiksyen sejarah. Ini untuk memudahkan saya menyaring mana satu fakta yang benar dan rekaan. Seperti yang kita maklum, cara penulisan novel fiksyen sejarah terdedah kepada unsur-unsur khayalan dan wujud watak-watak yang direka.

Memandangkan saya tidak memiliki apa-apa bahan bacaan tentang subjek Mamluk yang boleh saya ulangkaji dahulu, maka nota penerbit pada halaman awal novel ini tidak boleh diabaikan. Sedikit sebanyak saya boleh mendapat gambaran asas siapa itu Mamluk, buku rujukan yang dicadangkan penulis, dan pengesahan tentang kisah/watak yang benar dan rekaan. Sekurang-kurangnya info sebegini boleh menjadi panduan sepanjang pembacaan. Secara keseluruhan, buku ini ditulis dengan baik. Maksud saya, penulis mengolah kisah dan cerita dengan baik sekali sehingga saya tidak mampu melepaskan buku. Baca dan terus baca. Jikalau berhenti atau memberi laluan untuk tidur, cerita yang tergantung membuatkan saya tidak sabar mahu mengetahui apa yang terjadi seterusnya. (Namun begitu saya tetap juga tidur walaupun tidak berapa lena hehe).

Kekadang, apabila saya membeli buku, saya antara sedar atau tidak, sudah siap-siap meletakkan expectation untuk buku tersebut. Contohnya, buku Pahlawan-Pahlawan Mamluk ini. Mungkin faktor utama saya membelinya ialah kerana ada nama Salahuddin Al-Ayyubi di hadapan muka buku. Justeru itu saya membayangkan ini pastinya kisah mamluk berjuang menegakkan Islam bersama-sama dengan Salahuddin Al-Ayyubi. Pastinya setelah habis membaca, semangat berjuang saya akan semakin berkobar-kobar. Namun setelah membaca novel ini, kisah perjuangan itu langsung tidak boleh dirasai walaupun ada diselit-selit. Malah saya merasakan novel ini hanya  merupakan kisah seorang mamluk yang bernama Taghrii (mungkin watak rekaan)  yang berusaha untuk menyelamatkan anak seorang bangasawan yang bernama Mayya (juga mungkin watak rekaan). Walau apa pun, saya patut berterima kasih kepada penulis kerana membantu saya refresh akan nama-nama tempat yang dijelajahi oleh Salahuddin Al-Ayyubi dalam misinya menyatukan daulah Islamiyyah.

Monday, May 13, 2013

Syria


2 buah buku yang saya miliki ini merupakan hasil karya Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Buku baru yang diperolehi menerusi tangkapan PBAKL baru-baru ini. Apabila melewati booth yang menjual karya-karya Dr. Zulkifli, saya tertarik dengan sebuah buku kecil yang tertulis pada muka hadapannya -Syeikh Muhammad Said Ramadan Al Buti Yang Kukenali (SMSRAYK) Tokoh ini saya kenali melalui bukunya Fiqh Sirah yang telah lama menjadi bahan bacaan kader-kader dakwah. Namun, sejak kebangkitan rakyat Syria (Mac 2011) terhadap rejim Asad, tokoh ini dilanda pelbagai kontroversi dek kerana pandangannya memihak kepada rejim itu. 

Apabila melihat saya berminat terhadap buku ini, penjaga booth di PBAKL tersebut menasihati saya untuk membeli sebuah buku lagi, pasangan kepada buku tentang Syeikh Ramadhan ini. Saya yang sangat mudah terpengaruh ini pun tanpa berfikir panjang mengambil buku yang dimaksudkan iaitu Krisis Syria dan Mauqif Ulama (KSMU).

Ada logiknya juga mengapa dikatakan 2 buah buku ini berpasangan. Ini kerana pengisiannya saling berkaitan dan memudahkan pembaca untuk memahami mengapa ada perbezaan pendapat di kalangan ulama dalam isu Syria. Lebih-lebih lagi pertembungan perbezaan pendapat ini melibatkan tokoh-tokoh ulama yang bukan calang-calang orangnya ( Syeikh Dr Yusuf Qardawi beserta lebih daripada 500 ulama di seluruh dunia vs Syeikh Ramadhan Al Buti).

Penulis melalui buku SMSRAYK cuba menjernihkan persepsi jahat yang dilemparkan kepada Syeikh Ramadhan Al Buti yang kelihatannya seolah-olah menggadaikan agama untuk kepentingan peribadi. Penulis mengajak pembaca untuk menyelusuri kehidupan Syeikh Ramadhan yang begitu mengagumkan, samada dari segi akhlak, peribadi, dakwah dan keilmuannya. Jatuh cinta dibuatnya. Cuma di akhir hayat beliau, dikatakan beliau terkhilaf di dalam fatwanya di mana beliau melarang rakyat Syria daripada keluar menentang pemerintah yang dipimpin orang Islam. Namun begitu, majoriti ulama dan yang terkehadapan sekali ialah Syeikh Dr Yusuf Qardawi tidak bersetuju dengan pendirian Syeikh Ramadhan berdasarkan hujah-hujah yang kuat. Malah Dr Raghib Al Sirjani sendiri mengatakan - "Asad adalah dari golongan Alawi pecahan Syiah Batiniah yang dianggap keluar dari akidah Islamiyyah. Justeru  isu wala' tidak lagi timbul.." (halaman 23).

Buku KSMU pula sesuai dibaca untuk mereka yang belum memiliki pendedahan asas tentang isu di Syria seperti saya. Justeru itu, saya sangat menghargai apabila penulis memulakan isi buku ini dengan sedikit pengenalan tentang negara Syria vs Bumi Syam, kelebihan dan sistem pemerintahan negara itu sehinggalah kepada isu kebangkitan rakyat dan pandangan ulama. Apa yang saya suka tentang buku ini ialah, pelbagai terma, definisi, konsep serta penjelasan tentang thaurah (kebangkitan rakyat) ,jihad, hudnah (genjatan senjata) dapat dipelajari. Oleh kerana itu, apabila membaca KSMU saya bukan sahaja membayangkan Syria tetapi juga cuba menghubungkaitkannya dengan peristiwa di negara-negara Islam yang lain. Connecting the dot, orang putih kata. 

Nasihat untuk saya dan pembaca blog ini. Kita jangan buta isu semasa tentang apa yang terjadi di negara-negara Islam di luar sana. Ini mungkin petanda Tamadun Islam akan mekar semula. Tiba-tiba saya teringat buku Ini Sejarah Kita. Dikatakan tamadun islam merupakan tamadun yang paling unik sekali. Sebagai contoh, Tamadun Rom dibina selama 2000 tahun tetapi hanya mengambil masa selama 3 tahun untuk jatuh. Begitu juga Tamadun Parsi mengambil masa hampir 1200 tahun untuk dibina tetapi untuk menjatuhkannya hanya sedikit masa diperlukan. Tetapi tidak untuk Tamadun Islam. Ia dibina selama 685 tahun (570-1255M) dan  tempoh kejatuhannya juga hampir sama dengan tempoh pembinaannya iaitu mengambil masa selama 669 tahun ( 1255M-1924M). Yakinlah, Islam akan kembali menguasai dunia. Ia tidak akan tidur selama-lamanya. Cuma, adakah kita salah seorang pejuang itu?