Monday, October 13, 2014

Excel Membaca

Aktiviti membaca saya agak perlahan dalam beberapa bulan ini. Saya maklum dengan pertukaran kerja itu mungkin salah satu faktor utama penyumbangnya. Tetapi, itu bukanlah satu alasan yang konkrit. Tiada masalah dengan kesibukan, yang masalahnya ialah kegagalan saya menguruskan masa dengan lebih berkesan.

Apabila kurang membaca (memang sentiasa membaca, apa yang dimaksudkan di sini ialah membaca sebuah buku sehingga selesai), saya rasa seperti kurang sesuatu. Rasa kurang bermanfaat. Rasa seperti orang yang tiada misi dalam hidup.

Oleh itu, untuk mengatasi masalah ini, saya cuba track aktiviti membaca saya. Apabila dibuat ala gaya mutabaah sebegini, barulah rasa seperti dipantau. Ini namanya projek mendisiplinkan diri sendiri.

Mudah sahaja. Klik excel spreadsheet. Pada setiap column, saya bahagikan kepada tarikh, tajuk buku, nama penulis dan halaman yang dibaca. Baru minggu lepas projek ini berrmula pun. Harapnya bukan hangat-hangat tahi ayam. Ngee. Jikalau dilihat pada excel di atas, 3 hari saya tertewas.  Apabila ada excel ini, secara automatik setiap hari atau setiap malam saya akan cuba mencari peluang untuk membaca. Almaklumlah, ada excel yang perlu dikemaskini.  Sikit pun tidak mengapa. Mungkin kerana itulah, pakar motivasi kata, misi hidup kita perlu ditulis. Persen untuk direalisasikan itu menjadi tinggi. Samalah juga konsepnya dengan excel tracking yang saya buat ini.



Alhamdulillah. Buku yang dibeli hampir 3 tahun yang lepas ini berjaya diselesaikan. Tips Groovi : Mendidik Generasi Y dan Z. Tulisan Jamilah Samian dan Ahmad Fakhri Hamzah. Saya membeli buku ini bersama 2 buah buku lain, Cool Mum Super Dad dan Cool Boys, Super Son. Itu merupakan kali pertama saya menghadiri sesi ceramah penulis dan sekali lagi Allah izinkan saya (pada kali ini bersama Mazlan) hadir pada kira-kira 2  minggu lepas.

Penulisan di dalam buku ini merupakan hasil pengalaman penulis mendidik anak-anak mereka. Idea-idea yang segar dan relevan dikongsikan kepada pembaca. Secara tidak langsung, mengajar kita untuk lebih kreatif di dalam mendidik anak-anak seiring dengan zaman. Idea yang dikongsikan tidak tertumpu bagaimana untuk membantu anak-anak bagus di dalam pelajaran, tetapi penulis lebih banyak berkongsi tentang tumpuan pembinaan karakter dan wawasan anak-anak. Sangat bagus jikalau kita mendengar terlebih dahulu ceramah penulis dan kemudiannya membaca buku yang ditulis ini. Rasa pemahaman yang berganda-ganda. Ngee.

Buku ini membantu kita untuk lebih memahami kehendak dan karakter generasi-i. Kita akan lebih belajar untuk menerima perbezaan dan melihatnya dari perspektif yang positif. Secara tidak langsung, kita akan belajar untuk memanfaatkan potensi dan kekuatan generasi-i untuk kebaikan bersama. Mana tidaknya, kerap kali kita mendengar generasi terdahulu merungut tentang sikap dan kebiadapan genreasi-i. Jikalau saya fikir balik, dari mana generasi-i ini belajar sebegitu, jikalau bukan daripada generasi terdahulu. Haha. 

Saya pun sama. Selalu merungut tentang sikap anak murid saya yang bukan seperti kami dahulu. Tetapi, apabila muhasabah balik, budak-budak ini adalah innocent, kitalah yang lebih tua (semestinya bijak berfikir) perlu mencorakkan mereka. Jikalau mereka melakukan kesalahan, tegur dan hormati perasaan mereka sebagai seorang manusia yang boleh berfikir. Jikalau hanya menganggap mereka akan berubah atas dasar 'ala benda ini semua common sense, takkan tak boleh fikir', memanglah tidak akan kemana.

Yey! Sudah 20 buah buku di baca untuk tahun ini.

Apa pula buku-buku seterusnya yang mahu dibaca? Boleh rujuk gambar di atas. Teringin mahu membaca Cool Mum Super Dad dan The Diary of Amos Lee. Tetapi perlu juga baca (wajib ya!) buku Risalah Taalim untuk perkongsian usrah minggu hadapan.

Ehm...

Monday, September 22, 2014

Sembang Cuti Sekolah

Pada mulanya, saya mahu mengambil gambar seperti di bawah. Kononnya, mahu mengkhabarkan inilah buku-buku yang akan dibaca sempena cuti sekolah selama seminggu ini.


Sekali keluar berita Kertas Bahasa Inggeris Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) perlu diduduki semula pada 30hb September, serta merta gambar tadi bertukar seperti gambar di bawah. Maka cuti pada kali ini, tidaklah dapat saya memberi tumpuan 100% kepada buku-buku seperti di atas.


Tetapi tidak juga masa cuti seminggu ini diisi dengan perancangan gerak gempur UPSR. Sakit kepala berhari-hari. Maka, tidur, makan dan termenung sahajalah kerja saya. Allah berkehendakkan saya berehat sepenuhnya agaknya.

Alhamdulillah, di celah-celah kesihatan yang diuji, Allah masih memberikan saya kesempatan menyempurnakan bacaan sebuah buku iaitu Pengurusan Bilik Darjah, tulisan James Ang Jit Eng, terbitan PTS Akademia dan mempunyai halaman sebanyak 320. Ini menjadikan sudah 19 buah buku berjaya dibaca pada tahun ini. Baca sedikit demi sedikit, akhirnya selesai juga.

Beberapa minggu sebelum ini, saya pernah menghadiri Kursus Pengurusan Bilik Darjah. Sebelum pergi ke kursus tersebut, saya terlebih dahulu membaca buku ini untuk mendapat gambaran asas tentang kursus yang saya ikuti itu. Banyak juga input yang diperolehi di dalam kursus tersebut yang boleh saya praktikkan. Sebaik kursus tersebut tamat, saya berazam mahu menghabiskan pembacaan buku ini untuk mengukuhkan lagi pemahaman saya tentang konsep pengurusan bilik darjah. 



Secara ringkasnya, apa yang mahu disampaikan oleh buku ini ialah seperti catatan di bawah. Pengurusan bilik darjah bukanlah terhad dengan susun atur meja kerusi atau jadual kebersihan sahaja. Maknanya lebih meluas. Saya tidak berapa gemar dengan nama ini -Pengurusan Bilik Darjah disebabkan kita cenderung untuk melihat dengan skop yang sempit. Saya lebih gemar menyebutnya sebagai Pengurusan Disiplin atau Kawalan Tingkah Laku Pelajar.


Tugas guru bukan terhad untuk menyampaikan ilmu dan menghabiskan silibus semata-mata. Guru juga bertanggungjawab menguruskan tingkah laku pelajar agar pelajar mendapat manfaat maksimum ketika sesi pembelajaran. Sama seperti proses penyampaian ilmu, pengurusan tingkah laku pelajar juga perlu menempuh beberapa fasa agar kita boleh 'membaiki manusia' secara strategik.

Maka inilah isi kandungan utama buku ini di mana penulis memulakan penulisannya dengan menyajikan kita dengan 12 Model Pengurusan Bilik Darjah. Tahun demi tahun, ada sahaja pemikir yang mengutarakan solusi dan idea tentang bagaimana seharusnya guru menjadi 'pendidik akhlak'. Jikalau dibaca satu demi satu model ini, kadang-kadang membuatkan kita terkeliru dan bingung sedikit (seperti saya, hehe). Bukannya apa, saya sampai tidak tahu mahu mengaplikasikan model yang mana satu sebab kelihatan lebih kurang sama sahaja.

Rupa-rupanya, kebingungan itu bukanlah sesuatu yang menjadi isu besar. Ini kerana daripada 12 model besar itu nanti, akan terhasillah 8 strategi yang boleh kita guna pakai. Jadi, bacaan yang perlu diberi penumpuan lebih sedikit ialah di bahagian strategi ini. 

Aabila membaca bahagian ini, saya seolah-olah mencari identiti diri (Hehe). Apabila menjadi seorang guru, kita akan cenderung menjadi guru seperti guru-guru kita dahulu. Kita akan mudah terbawa-bawa style dahulu sedangkan dunia sekarang sudah total berubah. Anak murid sekarang bukannya seperti kita dahulu. Zaman ini bukanlah masa mengugut atau mengherdik anak murid. Ini adalah zaman kita bekerjasama dan berkomunikasi secara bijak dengan mereka. Ini adalah zaman kita mendisiplinkan mereka tanpa ugutan atau paksaan. 

Secara jujur, saya masih gagal dalam bab ini dan saya sendiri tidak tahu sudah berapa banyak dosa saya terhadap anak murid. Oleh kerana itu, masa cuti seminggu ini, saya berharap saya mendapat sesuatu hasil daripada 'pertapaan' dengan buku ini. Waktu cuti sekolah tidak semestinya waktu untuk berehat, tetapi ia juga sesuai sebagai masa untuk muhasabah diri terutama tentang kesalahan-kesalahan terhadap anak murid.

Berbalik kepada 8 strategi itu tadi, saya secara natural, merupakan pengamal strategi autoritarian dan intimidasi. Intimidasi ini bagus tetapi tidak boleh dilakukan selalu dan kalau boleh cuba elakkan. Saya bangga menjadi pengamal autoritarian, cuma, setiap sesuatu ada kadarnya dan jangan berlebihan. Tanpa disedari, saya ada mengamalkan sedikit strategi pengubah tingkah laku. Ini mungkin kerana faktor bacaan dan pemerhatian saya terhadap Kaedah Khalifah dan Tim Mendorong Cara Nabi. Saya berazam mahu mengukuhkan kemahiran untuk Strategi Pengubah Tingkah Laku dan Instruksional. Strategi Pengubah Tingkah Laku memang agak lambat prosesnya, tetapi saya percaya terhadap keberhasilannya untuk jangka masa panjang. Manakala untuk Strategi Instruksional itu pula, saya sangat percaya, jikalau kita merancang sesi pembelajaran di dalam kelas dengan sebaik-baiknya, dengan aktiviti yang menyeronokkan dan pembelajaran yang lebih berpaksikan pelajar, insyaAllah pelajar tidak sempat untuk buat perangai malah pelajar akan termotivasi untuk belajar. 

Saya sangat terkesan dengan kata-kata ini;
Tindakan mendisiplin adalah tanda kasih sayang kepada seseorang kerana ia bertujuan memberi panduan. Sekiranya terdapat kasihs sayang, tidak ada tindakan yang dianggap keterlaluan - Bette Davis (Pengurusan Bilik Darjah, halaman 153)

Kesimpulannya, guru pun perlu sentiasa belajar dan belajar. Belajar itu satu perkara. Amalkan satu perkara. Mendidik manusia satu perkara. Memanusiakan manusia pun satu perkara. Mendidik dengan manusiawi juga satu perkara.

Teruslah bereskperimen dan memperbaiki Wahai Muallimah Welma!

Sunday, August 10, 2014

Sambungan : Cerita 2

Sambung semula.

Cerita 2 : Buku yang Telah Dibaca

Bermula dari bulan Jun yang lepas sehingga kini, hampir pertengahan Ogos, ada lah kira-kira 5 buah buku yang sudah dibaca (tolak komik). Ini menjadikan total buku yang dibaca sehingga kini ialah 18 buah buku. Sangattttttttlah perlahan bukan?

Saya mulakan dengan buku inspirasi Cerita Cinta Ahmad Ammar (360 halaman), disusun oleh Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD) dan diterbitkan oleh Karya Bestari. Banyak artikel di internet yang ditulis mengenai pemuda ini. Jadi sedikit sebanyak saya sudah pun mengetahui tentang beliau.

Dan saya percaya pengetahuan itu jugalah yang turut sama akan dimuatkan di dalam buku jikalau cerita-cerita itu dibukukan. Mungkin dengan persepsi sedemikian, membuatkan saya tidak begitu beria-ia memiliki senaskah buku tentang Ahmad Ammar sehinggalah buku ini diterbitkan. Ada semacam satu aura pada kulit muka hadapan buku ini sehingga menyakinkan saya untuk membelinya. Ada banyak buku di pasaran yang menceritakan tentang beliau sebenarnya dan saya hanya memiliki yang satu ini.

Buku ini merupakan kompilasi artikel tentang Ahmad Ammar yang ditulis daripada pelbagai pihak seperti kedua ibu-bapa arwah, adik beradik, aktivis ABIM dan rakan-rakan arwah. Semua menulis tentang pengalaman mereka bersama arwah dari kecil hingga ke akhir usia. Tidak lekang cerita-cerita tentang peribadi serta akhlaknya yang membuatkan kita rasa biasa-biasa sahaja namun........Haih. Kita semua menjadi saksi, inilah pemuda yang biasa-biasa itu, di akhir hayatnya menjadi termasyur sehingga kita yang tidak mengenali beliau pun menjadi tertanya-tanya tentang siapakah beliau.

Apabila membaca buku ini, ada lagi rupanya kisah-kisah yang masih belum tertulis di mana-mana dan ianya ada di sini. Tetapi bagi saya, itu tidaklah penting jikalau mahu dibandingkan dengan cetusan hati yang berjaya ditimbulkan. Jadi tidak hairan apabila membaca buku ini kekadang saya boleh sampai ke tahap termenung dan termenung lagi. Tambahan pula apabila membaca catatan-catatan Ahmad Ammar sendiri. Selalu membuatkan saya tersenyum dan menggeleng-gelengkan kepala.

Lanjutan daripada itu, maka bermulalah sesi melihat diri sendiri dan seterusnya menyusul pula babak air mata. Buku ini tidak akan menjadikan anda pencinta Ahmad Ammar tetapi buku ini akan membuatkan anda mahu menjadi seperti beliau malah lebih baik lagi dan lagi. Soalan paling penting yang mungkin kita akan tanya kepada diri sendiri setelah membaca buku ini, "Adakah aku ikhlas selama ini kerana Allah?". Selepas itu, masuk pula soalan kedua, "Adakah aku berazam kuat untuk mengembalikan kegemilangan ummah ini?". Soalan pertama tadi menyebabkan saya terduduk sedikit sebab saya sendiri pun tidak pasti jawapannya tetapi soalan kedua itu bagaikan satu daya tujahan yang mengejutkan dari kemalasan.

Jadi, buku ini bukan setakat catatan peristiwa dan pengalaman bersama Ahmad Ammar. Isi-isinya disadur kemas dengaan elemen visi dan misi ummatik sebagai satu perjuangan hidup yang berterusan dan akan terus bersambung. Kita akan turut berkenalan dengan orang-orang penting di samping arwah yang menjadi arkitek atau jurutera cita-cita panjangnya ini. Mengakhiri pembacaan buku ini dengan keluhan. Haih! Selesai dibaca tetapi ia tidak terhenti di situ.


Buku kedua pula Who Moved My Cheese? (WMMC?) (Terjemahan BM), merupakan karya Dr. Spencer Johnson, terbitan PTS manakala buku ketiga I Moved Your Cheese (IMYC) (Terjemahan BM), karya Dr. Deepak Malhotra terbitan PTS  juga. Sudah berusaha mencari versi Bahasa Inggeris tetapi tidak berjumpa. Sengaja digabungkan perkongsiannya sebab judul buku hampir sama. Ya, sama tetapi tidak serupa. WMMC? ditulis dahulu sehingga hasil penjualannya mencecah 10 juta dalam masa 3 tahun. Impak dari itu, maka lahirlah IMYC untuk mencabar kandungan WMMC?

Kedua-dua buku ini bertemakan pengurusan. Banyak disebut-sebut oleh perunding latihan di dalam dunia korporat dan kepimpinan. Jikalau anda seorang perunding latihan (training consultant) atau trainer yang berkhidmat untuk syarikat korporat US contohnya, kedua-dua buku ini merupakan buku wajib yang patut ada di dalam pengetahuan anda.

WMMC? ialah sebuah kisah metafora tentang 2 ekor tikus ; Sniff (sifatnya menghidu perubahan awal) dan Scurry (sifatnya pantas bertindak) serta 2 orang manusia kerdil yang bersaiz sekecil tikus; Hem (sifatnya tidak mahu berubah ikut perubahan) dan Haw (sifatnya menyesuaikan diri apabila melihat perubahan mendatangkan hasil). Keempat-empat makhluk ini terperangkap di dalam Daerah Maze dan misi utama kehidupan mereka ialah memakan dan mencari keju. Nipis sahaja halaman buku ini. Ia merupakan cerita yang straight to the point yang melibatkan kisah kembara keempat-empat makhluk ini memburu keju dengan cara dan karakter mereka tersendiri. Ada banyak mesej tersirat yang boleh dikutip jikalau pembaca betul-betul menelaah setiap detik kembara itu. Tetapi saya kira mesej yang paling utama di samping utama yang lain ialah kita seharusnya sentiasa bersedia berubah mengikut perubahan yang memang sudah menjadi lumrah alam. Jikalau kita tidak cuba menyesuaikan diri dan masih mahu dengan kaedah lama kita, maka bersiap-sedialah untuk pupus.

Mesej inilah sebenarnya yang dicabar oleh Dr. Malhotra kerana baginya itu adalah satu kenyataan yang mengelirukan dan terdedah kepada salah faham. Bagi Dr. Malhotra, mengapa kita perlu menerima perubahan secara membuta tuli dan mengubah diri kita untuk menyesuaikan diri dengan perubahan sedangkan kita ada keupayaan untuk mengawal perubahan itu. Mengapa kita perlu mengubah matlamat kita semata-mata kerana akur dengan acuan orang/subjek lain seolah-olah kita langsung tiada pilihan selain daripada menerima. Sepatutnya sebelum kita menerima perubahan, soalan yang paling penting ditanya ialah Who Moved My Cheese? tetapi buku karya Dr Spencer itu seolah-olah menafikan 4 wataknya sebelum itu bertanyakan soalan keramat itu ; Who Moved My Cheese? Buku Dr. Malhotra yang satu ini penuh dengan hujah-hujah pada setiap halaman dan beliau tidak lupa mengolah buku ini dengan kisah metafora seperti karya Dr. Spencer tadi tetapi menggunakan nama dan karakter yang berlainan iaitu Max, Zed dan Big dan ketiga-tiga ekor tikus ini juga hidup di dalam Daerah Maze.

Sebenarnya saya cenderung  80% setuju akan hujah-hujah Dr. Malhotra melalui buku beliau IMYC. Tetapi apabila saya membaca kedua-dua buku itu dengan saksama, ada betulnya juga mesej yang disampaikan oleh Dr. Spencer jikalau ia melibatkan sesetengah perkara/isu yang tidak menjadi masalah jikalau mengikut perubahan semasa itu lebih menguntungkan. Tetapi jikalau ianya berkaitan dengan prinsip dan nilai murni, maka hujah Dr. Malhotra amat relevan. Pendek kata, buku ini saling lengkap melengkapi.


Sumber Gambar
Buku keempat ialah buku bersaiz poket ini - Mudahnya Beribadah karya Mohd Razali Kamarudin terbitan PTS.  Tiada niat pun mahu membeli pada mulanya. Di kedai buku Landmark Hasani Kulim (tempat yang biasa saya membeli belah) ini, mereka jenis penjual buku yang suka mempamerkan beberapa buah buku di atas kaunter pembayaran. Jadi sambil pembeli membuat pembayaran, mata kita juga terdedah kepada buku-buku lain di atas meja kaunter tersebut. Saya ini pula orangnya yang berkebolehan membuat keputusan dalam masa 2 saat. Tanpa disedari, tangan saya mengambil buku ini dan , "kira sekali ye".

Saya membaca buku ini sehari. Ia ala-ala buku mutabaah amal atau jadual ibadah harian. Cuma ada sedikit penambahan tazkirah yang berbentuk motivasi ibadah dan panduan ibadah seperti solat sunat dan zikir. Sesuai diberi kepada remaja atau pemuda-pemudi yang baru berjinak-jinak dengan perancangan amalan ibadah secara lebih terancang dan teratur. Sesuai juga untuk saya yang yang sentiasa terdedah dengan perangai yang bernama tidak konsisten. Sedikit sebanyak buku-buku sebegini walaupun nampak ringkas dan biasa, tetapi selalu terjadi yang ringkas, yang simple, itulah yang cepat menusuk ke hati.

Dan.

Sumber Gambar
Ini buku yang terakhir berjaya diselesaikan pembacaannya setakat ini. Buku ini pun sama nasib dengan buku Mudahnya Beribadah di atas. Tiba-tiba sahaja dicapai ketika membuat pembayaran untuk barang lain. Sedangkan sebelum ini, buku ini cukup heboh di sana-sini tetapi tidak juga tergerak hati mahu membelinya. Judul buku ini sendiri tidak berjaya memancing saya yang bagaikan sudah terprogram Rezeki = Duit walhal saya tahu sahaja makna rezeki itu sangat luas dan bukan terhad kepada duit semata-mata.

Itu cerita dulu tetapi sebaik sahaja saya membeli buku ini dan setelah saya menyudahkan pembacaan Mudahnya Beribadah, semacam ada satu perasaan mahu membaca Mudahnya Menjemput Rezeki (MMR) karya Fathuri Salehuddin. Ehm, terbitan...self published saya kira. Sebaik mula dibaca, baru saya tahu langit itu tinggi atau rendah. Hehe. Saya tidak sudah-sudah kata, "janganlah habis, janganlah habis lagi". Risau kerana sudah hampir ke halaman terakhir. Buku ini ada daya menasihati yang sangat tinggi. Jikalau kita perhatikan, penulis mengamalkan konsep pengulangan untuk sesetengah ayat/konsep. Biasanya kaedah pengulangan ayat/konsep ini  kita akan kerap jumpa di dalam buku kanak-kanak yang bertujuan untuk mengukuhkan vocabularies.

Ada 4 bahagian semuanya. Saya kira Bahagian 1 itu paling penting dan perlu dibaca dahulu sebelum melompat ke bahagian yang lain. Saya pada mulanya mahu membaca Bahagian 2 dahulu tetapi entah kenapa saya boleh terbaca Bahagian 1 pula dan itu memanglah keputusan yang tepat. Penulis menghuraikan poin-poinnya dari satu bab ke satu bab di dalam Bahagian 1 itu dengan kemas sekali sehinggakan saya rasa orang yang tidak percaya konsep rezeki pun boleh diperbetulkan semula cara pemikirannya. Di sinilah yang saya katakan banyak konsep pengulangan itu. Kekadang saya hilang fokus sekejap apabila melepasi satu-satu bab, tetapi oleh kerana penulis menggunakan konsep pengulangan tadi itu, pemikiran saya bagaikan disusun semula.

Masuk Bahagian 2 dan 3, saya kira ia biasa-biasa sahaja. Ada unsur-unsur motivasi dan mesej nasihat menasihati di situ. Dimasukkan kisah-kisah yang menggugah dan semestinya mampu memberi kita semangat. Saya suka Bahagian 4 yang boleh saya katakan sebagai penutup buku ini. Saya suka sebab ada perkataan impian (haha) dan mesej taubat. Kesimpulannya, selesai membaca buku MMR ini,  anda bukanlah menjadi semakin galak mencari duit tetapi anda menjadi semakin mahu menghampiri Allah. Ya! Anda akan berfikir bagaimana anda mahu memiliki kehidupan yang total diserahkan dan sangattttttttt yakin kepada Allah. Anda akan menjadi sangattttttt yakin bahawa dengan mengingatiNya sahaja anda akan bahagia!

Selesai. Alhamdulillah.

Sekarang. Apakah pula buku yang sedang diulit?

Mmm?

Sedang sibuk membaca kamus. Tiba-tiba rasa seronok dengan kamus.

Haha.

Sunday, August 03, 2014

Cerita 1: Kotak Buku

Ehm. Mahu bermula dari mana ya?

Baik.

Cerita 1 : Kotak Buku

Saya ada membeli beberapa siri buku Bahasa Inggeris yang dikhaskan untuk early reader. Tetapi kegunaannya hanya terhad ketika sesi pembelajaran sahaja. 

Tidak lama selepas itu, jiran saya memberi sekotak buku Bahasa Inggeris yang mengandungi pelbagai judul. Maka, kami pakat-pakatlah sesama cikgu untuk memanfaatkan buku-buku tersebut. Saya letak di ruang meja saya untuk memudahkan mana-mana cikgu mahu menggunakannya. 

Seperti biasa, anak murid saya adalah seorang pemerhati yang hebat. Pada suatu hari (pada bulan Ramadhan yang lepas), sedang dia asyik bermain-main mengelilingi kelas (aktiviti kegemarannya), dia ternampak kotak buku itu. "Teacher, buku teacher ke?" ringkas sahaja soalannya. Saya pun angguk. Dalam hati, "Alamak, nampak pulak". "Boleh baca tak?" tanyanya lagi. Jikalau anak murid anda bertanya sedemikian dan anda pula seorang yang sangat suka orang lain membaca cuma anda sangat risau buku itu terkoyak, rasanya apakah perkataan yang akan keluar dari mulut saya selepas itu. Lalu kata saya, "Ok". Seperti yang dijangka , sebaik anak murid saya itu mengambil dan membacanya, anak-anak murid yang lain pun turut sama.

Melihat gelagat mereka yang sibuk membaca itu, datang idea mahu mewujudkan ruang membaca di dalam kelas. Balik ke rumah, saya menceritakan idea itu kepada seorang yang sangat suka mendengar. Dengan sokongannya (sokongan duit paling penting hahaha, berapalah sangat duit gaji saya sebagai seorang cikgu, perlu diingatkan I am no longer training consultant), maka kami pun membeli belah buku di kedai Hasani. Bermula dengan modal RM300-RM400, bolehlah dapat berpuluh buku. 

Campur buku jiran saya dan buku-buku yang baru dibeli itu, saya memerlukan 3 buah kotak untuk mengisinya. Kotak-kotak itu dihias dan diletakkan di atas meja saya (di belakang kelas). Maka jadilah ia kotak buku.

Kotak Buku

Saya pula, sejak terlancarnya (chewah ayat) kotak buku ini, selalu sahaja mengurut dada, memujuk hati banyak-banyak bersabar. Mana tidaknya, mahu runtuh jantung ini melihat kulit buku/helaian kertas terlipat. Almaklumlah saya seorang yang sangat (sangat sangat) menjaga buku. Tetapi, kekadang apabila fikir balik, ada sesetengah peraturan perlu diletak tepi dulu terutama apabila ia berkaitan dengan buku. Tambahan pula jikalau kita masih berada dalam Fasa1 iaitu fasa memupuk budaya membaca. 

Setiap pagi saya akan memberi nasihat (kekadang boleh sampai tahap membebel) agar susun semula, jangan rosakkan buku dan jangan baca ketika guru lain sedang mengajar. Dalam masa seminggu nampak sedikit juga perubahan itu. Tidak ada lagi aduan saya dengar mereka membaca ketika guru lain mengajar. Saya juga buat pemerhatian ketika mereka membaca, tidak ada pula saya lihat mereka 'mengasari' buku-buku itu. Itu yang saya pelik bagaimana pula boleh terlipat di sana-sini. Barulah saya faham, mungkin kulit buku itu sendiri yang nipis, tidak berapa tahan lasak dengan tangan budak. Patutlah buku-buku untuk budak biasanya berkulit tebal. 

Maka untuk kes-kes seperti ini, saya mengambil langkah pejam mata sahajalah. Biarlah mereka meneroka buku. itu selagi tidak mengoyakkannya dengan sengaja. Biar mereka terus berinspirasi. Saya risau kalau banyak sangat peraturan yang saya tetapkan, mood membaca itu akan hilang begitu sahaja. Tiba-tiba terbayang kisah Toto Chan dengan perpustakaan keretapi mereka. Gelagat yang diceritakan itu memang sama dengan suasana di kelas saya. Bising. Haha. Betullah kata orang, kanak-kanak tidak pernah berubah, mereka lahir ke dunia ini sebagai innocent people, dan kitalah yang merubah mereka. 

Kotak buku ini hanya untuk murid kelas saya sahaja. Tetapi ada beberapa kejadian pada bulan Ramadhan lepas yang membuatkan saya mengubah peraturan itu. Di sebelah kelas saya merupakan kelas yang lain. Dan murid kelas sebelah itu memanglah sangat 'merunsingkan jiwa'. Mana-mana guru yang mengajar di kelas itu, saya rasa perlu banyak-banyak berdoa agar terhindar daripada penyakit darah tinggi, strok atau sakit jantung untuk jangka masa panjang. Saya sendiri (yang betul-betul mahu menjadi pendidik yang mulia  hehe) pun tidak sanggup mengajar di kelas itu. Sedangkan yang bermasalah itu hanya 4-5 orang sahaja. Pukul rotan semuanya tidak makan. Walaupun mereka bukan murid saya, tetapi saya pun sakit hati melihat mereka mengejek-ejek guru. Sebelum ini saya rotan dan cubit jikalau ada kesempatan, tetapi kali ini saya ubah strategi. Saya ajak mereka ke ruang saya (spesifik meja guru di belakang kelas) dan saya katakan mereka boleh membaca buku di dalam kelas saya. Pada kali ini saya bercakap dengan super lemah lembut berbanding yang dahulu. Anda tahu, sekarang meja saya itu menjadi tempat lepak mereka. Jikalau mereka merayau di sekeliling sekolah pun, mereka akan singgah dahulu ke kelas saya (spesifiknya di belakang kelas) untuk membaca buku. Paling yang saya tidak boleh percaya, 2 daripada mereka itu memang orang yang tegar membaca (3 lagi itu memang datang untuk dapatkan ketenangan dan bermain-main sahaja). 

Maka dengan kedatangan mereka, bertambah lagi pembaca buku-buku di kelas saya. Kerisauan buku rosak semakin tinggi. Haha.

Mujur ada cuti seminggu sempena Hari Raya Aidilfitri, ada sesetengah buku yang berpotensi akan rosak, dibawa balik untuk sesi rawatan dan 'dipakaikan baju tahan lasak'.

Sesi Membalut Buku

Selesai dibalut. Tidak semua buku dibalut. Ada sesetengah buku yang berkulit agak keras, boleh dikecualikan.


Balik ke Ipoh, ada pula pameran buku Big Bad Wolf. Apa lagi, membeli belah lagi sebagai stok. Tidak akan diletakkan terus ke kotak buku, mungkin selepas sebulan baru saya akan tambah buku baru InsyaAllah. 

Buku-buku dari Big Bad Wolf

Saya perhatikan, waktu pagi sebelum sesi belajar adalah peak time untuk anak-anak murid saya membaca. Pada sebelah petang pula, mereka lebih banyak membuat 'aktiviti fizikal' seperti berlari-lari, menggunting kertas, mendukung kawan haha. Sejuk mata melihat mereka membaca dan bercerita tentang buku yang mereka baca. Saya kekadang itu senyum sahaja sambil berfikir, "Inilah generasi yang akan datang. Merekalah yang akan memimpin ummah ini. Tidak rugi pun buat pelaburan sedikit membeli buku untuk mereka".

Untuk jangka masa panjang, saya berfikir bagaimana mahu meluaskan penggunaaan buku dan boleh dinikmati oleh murid-murid lain. Bergabung dengan perpustakaan sekolah? Letak buku-buku ini di perpustakaan sekolah? Sudah saya fikirkan sebelum ini namun perlu tangguh dahulu cadangan itu saya kira kerana saya tidak berapa gemar dengan birokrasi.  Ini adalah inisiatif kedua mewujudkan ruang membaca untuk kanak-kanak. Pada kali pertama dahulu, kami mengeluarkan hampir RM1000 untuk membeli buku dan diletakkan di pejabat NGO yang kami berkhidmat, namun saya lihat tidak berapa mendatangkan impak. Buku-buku itu lebih banyak berfungsi sebagai bahan pameran dan bukan bahan bacaan. Inisiatif kali ke dua ini nampak sedikit berjaya. Mungkin kerana buku-buku itu diletakkan di tempat dan sasaran pembaca yang betul - bilik darjah dan secara fitrahnya, budak-budak memang suka membaca.


Suasana di waktu pagi Darjah 2 Mus'ab bin Umair sebelum sesi hafazan bermula 

Eh eh. Panjang pula bercerita. Baru Cerita 1. Cerita 2 ada lagi.

Friday, June 13, 2014

Sebelum Tidur

Cuti sekolah hampir tamat. Hari yang berbaki ini mula digunakan untuk membuat persiapan mengajar. Saya berharap, aktiviti membaca saya tidak akan perlahaaaaaan selepas ini hanya disebabkan alasan sibuk.

Bermula Isnin -Khamis, saya asyik berkepit dengan buku Cerita Cinta Ahmad Ammar di mana cerita-cerita di dalamnya disusun oleh Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD). Selesai sudah buku itu dibaca menjadikan total buku yang dibaca setakat ini ialah 14 buah buku. Apabila membaca buku tersebut, teringin pula membaca tentang Badiuzzaman Said Nursi. Saya tiada buku bukan fiksyen, hanya yang ada novel fiksyen sejarah karya Abdul Latip Talib. Bolehlah saya kira sementara mencari buku biografi tokoh tersebut. Ada juga sebuah fiksyen remaja bertajuk Andalusia, Here We Come karya Lisha Nurisha yang sudah lama menghuni meja kecil di sebelah katil.

Saya biasanya akan membelek-belek buku sebelum tidur . Oleh kerana itu, macam satu kewajipan pula buku (selain minyak cap kapak dan telefon) mesti ada di sebelah. Sebelum berkahwin, buku-buku itu akan diletakkan di atas katil. Maksudnya apabila saya mengiring ke kiri, makhluk bukan hidup pertama yang akan saya nampak ialah buku. Jadi selalulah terjadi, kadang-kadang apabila saya terjaga di tengah malam, perkara pertama akan saya lakukan ialah membaca 1-2 halaman. Selepas itu akan mengantuk semula. Sekarang, memandangkan ada 'roommate ' di sebelah kanan,  jadi buku-buku itu akan diletak di atas meja kecil, di sebelah kiri. Kadang-kadang saya tidak baca pun buku di atas meja kecil itu berminggu-minggu lamanya. Tetapi itulah, jadi ralat kalau sebelum tidur tidak nampak buku di sebelah.

Monday, June 09, 2014

Cuti Sekolah. Lagi.

Nampaknya aktiviti membaca hanya boleh dilakukan ketika cuti sekolah sahaja.

Tidak. 

Ada masa-masa yang terluang sebelum ini digunakan untuk membaca, namun bukunya masih tidak sudah-sudah juga. Haih. (Mengeluh konon)

Cuti 2 minggu++ ini, seperti biasa, ruang masa yang ada itu digunakan untuk membaca. Hasilnya seperti gambar di bawah. Ia merupakan buku-buku yang telah dibaca. Setakat ini. Harap-harap ia semakin bertambah sebelum sesi persekolahan bermula.


Tidak mampu saya berkongsi panjang tentang buku-buku tersebut kerana tangan serta fikiran kaku semacam. Beginilah kalau sudah lama tidak ber-blog. Jadi, ala-ala 'warm-up' sahaja perkongsian pada kali ini.


Sempena cuti sekolah pada kali ini, wah lama sungguh cutinya, hampir 3 minggu, saya niatkan mahu menyelesaikan banyak perkara yang tertunggak. Antaranya ialah membaca buku-buku yang berkonsepkan tarbiyyah atau apa-apa sahaja yang ada kena mengena dengan material/bahan/modul usrah. Dalam erti kata lain, kononnya, cuti pada kali ini betul-betul mahu digunakan untuk 'menajam gergaji'. Banyak juga buku-buku yang dimaksudkan itu dan saya bermula dengan buku-buku di atas. Buku baru dibeli. Jadi aura mahu dibaca itu memang sangat tinggi. 

Bermula dengan 7 Tahapan Dakwah Fardiah nukilan Sheikh Mustafa Masyur. 36 muka surat sahaja, namun isi di dalamnya memerlukan muhasabah yang sangat panjang. Banyak lagilah lemahnya peribadi dan ilmu saya sehingga masih tidak mampu mengaplikasi konsep dakwah fardiah ini mengikut sequence seperti yang dinukilkan di dalam buku ini. Buku ini apabila dibaca perlu diulang-ulang, kemudian cuba bawa nilai semula diri dan seterusnya baiki kesilapan. 

Seterusnya, saya membaca pula buku saiz poket itu, 3 Formula Pengubah Manusia ditulis oleh Ummu Aliya dan Muharikah. Buku ini jikalau ditulis di atas kertas bersaiz A4, mungkin hanya mencapai 10 halaman sahaja. Namun oleh kerana pakejnya telah dikecilkan, jadilah ia sebuah buku yang comel yang mempunyai ketebalan 39 halaman. Suka saya melabelkan buku ini sebagai sebuah tazkirah ringkas tetapi bermakna  tentang Tilawah, Ta'alim dan Tazkiyah. Mesej yang ringkas, namun, haih (mengeluh lagi), menuntut mujahadah yang tinggi untuk diamalkan. 

Oh ya! 2 buah buku itu saya beli secara online di Iman Shoppe. Sebenarnya saya mahu membeli buku Manusia dan Kebenaran tulisan Prof. Yusuf Qardhawi. Oleh kerana sangatlah tidak seronok, jikalau hanya membeli sebuah buku sahaja (terutama ketika membuka bungkusan pos) jadi mata perlu diluaskan meng'usha' buku-buku yang lain. Manusia dan Kebenaran merupakan buku yang perlu dihadam semasa berada dalam usrah 01. Seingat saya, semasa berada dalam usrah 01, saya tidak pernah pula membaca buku ini. Jadi, saya (yang selalu over proactive-angkat bakul sendiri) ini pun membeli dan sangat beria-ia mahu membacanya pada cuti kali ini. Tips membaca buku sebegini agar tidak berhenti sekerat jalan ialah, anda harus cuba bayangkan betapa 'lazat' dan 'nikmat'nya isi-isi yang ditulis. Haha. Jikalau tidak dibuat sedemikian, memang kita boleh berhenti membacanya sebab bosan yang amat dengan isi-isi yang memeningkan. Oleh kerana itu, saya sepanjang membaca buku ini, kadang-kadang berhenti sejenak, bersoal jawab dengan diri sendiri (seperti kita tanya anak murid dan anak murid menjawabnya) dan selepas itu barulah ada sedikit nampak cahaya pemahaman itu. Mengikut pengalaman saya, pengisian di awal-awal halaman sehingga halaman 40++ sahaja yang agak sedikit mencabar tahap pemahaman. Namun selepas itu, Allah memudahkannya. Dan sekarang pula, saya berkira-kira mahu membacanya semula, supaya saya boleh menyampaikan bahan/isi buku ini kepada adik-adik usrah 01 di bawah kelolaaan saya dengan baik. Bacaan untuk kali pertama ini tidak banyak boleh saya rumuskan, kerana walaupun sudah habis dibaca, namun saya masih blur untuk menyampaikannya. Hehe.


Seperti yang saya katakan tadi, sewaktu saya membaca buku Manusia dan Kebenaran, saya telah melalui fasa kebosanan (chewah ayat) dan pada ketika itu juga (secara tepatnya ketika saya berjalan melalui rak buku saya), tiba-tiba sahaja saya ternampak buku komik 33 Pesan Nabi - Jaga Mata, Jaga Telinga, Jaga Mulut karya vbi_djenggotten. Sebagai seorang manusia yang lemah dengan dugaan komik ini (haha), saya pun letak tepi buku yang sedang dibaca itu dan layan buku komik ini. Ia merupakakan karya dari seberang dan memaparkan lukisan komik tentang hadis. Kebanyakan hadis diambil dari Bukhari dan Muslim. Menarik dan menambah juga pengetahuan saya tentang hadis, sebab ada hadis-hadis yang dimasukkan tidak pula pernah didengar, nasib baik ditulis disitu HR Bukhari ataupun HR Muslim siap dengan nombor hadisnya sekali. Selepas itu saya pun...oooooo. 

Sebaik membaca komik ini, saya menyambung semula kembara membaca Manusia dan Kebenaran. Alhamdulillah selesai dibaca. Selepas itu, semangat pula mahu membaca karya Prof Yusuf Qardhawi yang satu ini - Fiqh Hiburan dan Rekreasi dengan halaman 246. Saya sangat suka membacanya. Dalam erti kata lain, senang difahami. Saya mula tertanya-tanya, adakah saya mudah faham pada kali ini kerana gaya penterjemahan yang kemas atau isinya yang mudah difahami oleh golongan biasa seperti saya? Ditinggalkan pertanyaan itu di situ sahaja. Buku ini ada 8 bab  yang meyentuh tentang hukum fiqh dalam bab berhibur, lawak jenaka, permainan minda (seperti catur, dadu, domino, terup dll), tarian, tepukan, berburu, drama, filem (ada subtopik yang menyentuh tentang pokemon) dan perlumbaan unta, kuda, tiket peraduan dan lain-lain lagi. Wow! Banyak sangat isu-isu sekitar kita, yang ada kena mengena dengan kita, semuanya ada hukum hakamnya. Nampak sangat dan memang ternyata agama Islam ialah agama yang syumul (menyeluruh) dan merupakkan addin (cara hidup) yang tidak meninggalkan kita sedikit pun tanpa sebarang panduan. Paling saya terkejut, perbahasan tentang catur dan dadu sahaja berjela-jela panjangnya. Buku ini perlu dibaca setiap kita. Mudah-mudahan boleh menjadi panduan hidup. Balik kepada perkara asas, Islam adalah agama yang tidak menyusahkan penganutnya. Jikalau ada yang tidak difahami melalui isi buku ini, bertanyalah kepada orang yang arif untuk penjelasan yang lebih lanjut untuk sesetengah hukum fiqh yang ditulis. Menuntut ilmu bukan hanya bersandar pada buku/facebook semata-mata, tetapi bertanya kepada guru yang alim (secara beradab) itu pun juga amat dituntut. 

Buku yang terakhir (setakat ini) berjaya dibaca ialah buku yang berwarna merah itu, Ibu Melayu Mengelilingi Dunia tulisan Tan Sri Dr. Hajah Aishah Ghani. Sebuah buku travelog yang menceritakan kembara penulis dari Malaya ke London pada tahun 1955. Tulisan yang menyenangkan dan pemerhatian yang sangat bermakna untuk menjadi santapan generasi terkini. Bagaikan ada cermin masa pula yang boleh kita lihat suasana 50++ tahun yang sudah. Walaupun penulis ke London untuk melanjutkan pelajaran, dibahasakan melalui buku ini sebagai mengejar kasih yang pertama iaitu cita-cita, namun tidaklah banyak diceritakan di sini tentang perkara itu, maksud saya penceritaan yang spesifik tentang pengalaman pembelajaran/keilmuan di sana seperti jikalau anda pernah membaca buku travelog yang ditulis oleh Dr Zaharuddin menerusi Jangan Berhenti Berlari, aura penulisannya sangat mencucuk-cucuk diri untuk pergi menuntut ilmu. Buku Ibu Melayu Mengelilingi Dunia ini ditulis lebih kepada pemerhatian secara kasar (penilaian kali pertama setepatnya) pengalaman penulis tentang perjalanan beliau yang menggunakan Kapal Canton menuju ke London. Pada setiap destinasi perhentian itu, penulis menceritakan hasil pemerhatian beliau tentang sesuatu tempat dan budaya mereka. Begitu juga ketika di London, penulis banyak berkongsi pemerhatiannya tentang struktur ibu kota London, bangunannya, kemudahannya, kaum wanitanya, sosiobudayanya dan kesenian. Tidak lupa juga catatan penulis tentang Kirkby College yang secara tidak langsung memberi pemahaman yang penuh kepada saya tentang kolej tersebut yang sebelum ini didengar begitu sahaja. Buku ini nyata sekali mampu dirasakan aura penulis yang penuh kemelayuan, semangat kebangsaaan yang amat tinggi certa kecintaan kepada negara yang tidak bertepi. Setiap apa yang diamati oleh penulis, membawanya kepada satu tujuan yang lebih besar iaitu mahu membina Malaya yang cemerlang baik dari segi cara pemikiran masyarakat dan kemandirian kaum wanita. Wanita yang bercita-cita adalah biasa pada zaman ini, namun sangat luar biasa pada 50++ tahun yang sudah dan penulis berjaya membuktikan beliau merupakan salah seorang yang luar biasa itu. Saya berharap buku ini ada sequel yang seterusnya kerana di akhir halaman saya merasakan perkongsian cerita itu tiba-tiba sahaja berhenti sedangkan di dalam masa yang sama, saya masih menanti apa lagi cerita seterusnya. 

Wallahu alam

Saturday, March 29, 2014

Cuti Sekolah

Cuti sekolah bermula pada 22hb Mac hingga 30hb Mac. Pelbagai rancangan bermain di kepala untuk memanfaatkan cuti tersebut. Kononnyalah. Haha. Antara aktiviti yang dirasakan sangat penting untuk dibuat ketika cuti sekolah ialah membaca sebanyak buku yang boleh. Mmm. Sangat diragui kenyataan ini.

Membeli belah

Sebelum memulakan aktiviti membaca, secara kebiasaan, mukaddimahnya ialah membeli buku, walaupun sedar banyak lagi buku di dalam rumah ini yang belum dibaca. Penyakit yang satu ini sudah tidak boleh dirawat ya. Pada 22hb saya mengajak Mazlan ke Penang Times Square. Ada jualan buku Big Bad Wolf (BBW) di situ. Berikut ialah hasil tangkapannya. Ada 2 buah buku tulisan Mitch Albom yang dijumpa. Membeli 2 buah buku yang bermesejkan kemanusiaan ; If I Had a Hammer dan Creating Room to Read. Membeli juga buku-buku tentang alam, penelitian tentang sebuah tempat serta sejarah seperti Natural Explorer, Hello Dubai dan Xanadu. Selebihnya ialah buku fiksyen remaja dan mini ensiklopedia.


3 hari selepas itu pula, secara tiba-tiba sahaja saya terfikir untuk membaca buku yang bertemakan konspirasi. Ini gara-gara banyak sangat membaca di media dan blog isu sekitar konspirasi. Apabila tiba di kedai buku, bukan sahaja buku bertemakan konspirasi yang saya ambil, apa-apa sahaja buku yang dirasakan 'menyelerakan' pun disambar. Berikut ialah gambar pembelian buku-buku yang dimaksudkan.



Seperti yang saya tulis pada entri lepas, aktiviti membaca saya agak terbatas pada bulan Januari hinggalah Mac. Namun begitu, saya berjaya juga menyelesaikan pembacaan untuk 3 buah buku, dengan izin Allah. Buku-buku itu ialah 8 Kecerdasan Membentuk Muslim Superior (Bukan Fiksyen), Misi 21 Hari (Fiksyen) dan Young Aisyah - Seronoknya Membaca (Fiksyen).

Kini tambah lagi 4 buah buku yang berjaya dibaca sepanjang cuti persekolahan, dengan izin Allah iaitu Anakku Seorang Hafiz (Bukan Fiksyen), Rahsia Yahudi Walt Disney (Bukan Fiksyen), Berfikir Gaya Al-Fateh (Bukan Fiksyen) dan Diary of a Wimpy Kid - The Third Wheel (Fiksyen). Ada lagi 2 buah buku yang tidak sempat saya habiskan (baki masa perlu digunakan untuk bersiap sedia dengan bahan mengajar)  iaitu Projek Anak Luar Biasa (Bukan Fiksyen terbitan PTS) dan Shaping Excellent Character (Bukan Fiksyen terbitan Khalifah Institute). 

Kesannya sekarang - saya sakit belakang! Inilah akibat apabila membaca dengan postur badan yang tidak mematuhi hukum ergonomik yang betul.

Fiksyen


Saya memang tidak boleh lari dari membaca buku fiksyen remaja. Haha. Ia bagaikan satu terapi. Saya bukan pembaca novel dewasa (yang tebal-tebal itu) yang baik. Saya lebih gemar membaca buku yang ditulis untuk kanak-kanak dan remaja. Dunia mereka tidak berapa complicated berbanding dunia dewasa yang menyerabutkan. Dikecualikan jikalau novel dewasa itu boleh memberi saya nilai tambah yang setanding buku bukan fiksyen, haa, itu boleh diterima ataupun saya terhasut dengan drama di tv.

Novel kanak-kanak dan remaja yang saya telah baca untuk tahun ini baru 3 buah. Dimulakan dengan Misi 21 Hari tulisan Zaihanim Zainal Abidin terbitan Galeri Ilmu. Ini pertama kali rasanya saya membaca novel terbitan Galeri Ilmu. Kisah seorang remaja perempuan yang dibesarkan di Perth. Dia kembali ke Malaysia, spesifiknya Langkawi untuk menjejaki datuk dan neneknya dalam misi menyambung semula tali persaudaraan yang telah lama putus. Ringkasnya, saya suka dan ada unsur 'nak tahu' pada setiap bab sehinggalah saya menghabiskan pembacaan. Buku kedua ialah Siri Young Aisyah - Seronoknya Membaca tulisan Saridah Hamid dan illustrasi/komik dilukis oleh Reja. Buku ini ialah gabungan novel dan komik atau disebut nomik terbitan PTS. Memang seronok membacanya, bukan kerana ada komik tetapi tajuk buku itu sendiri sudah membuatkan saya tersenyum. Buku ketiga pula ialah Siri Diary of Wimpy Kid - The Third Wheel tulisan Jeff Kinney. Mestilah seronok dan tergelak-gelak membacanya. Tambahan pula ada lukisan conteng. Namun begitu, saya masih lagi tidak boleh membuang perasaan ragu-ragu untuk mencadangkan kanak-kanak/remaja awal membacanya kerana beranggapan mesej dan plot cerita yang tidak berapa sesuai dengan budaya kita. Walau apapun, buku ini sesuai jikalau kita mahu mengenali budaya yang berbeza dari kita. 

Bukan Fiksyen


4. Anakku Seorang Hafiz - Step by Step Anakku Menghafaz Al-Quran  tulisan Mohd Solleh Abdul Razak . Buku ini terbitan Telaga Biru dan memiliki ketebalan sebanyak 166 halaman. Faktor utama kenapa saya begitu beria-ia membaca buku ini ialah kerana penglibatan saya sendiri di sekolah dalam mendidik budak kecil yang berusia 8 tahun menghafaz quran (Juz amma dan Juz 29 sahaja). Walaupun tajuk buku ini nampak seperti mensasarkan ibu bapa, namun ia juga sesuai untuk guru. Sebelum buku ini ada 2 buah buku yang pernah ditulis oleh penulis yang ada kaitan dengan buku ketiga ini.

Sumber Gambar
Ada 4 bab utama di dalamnya. Dimulakan dengan bab Mukaddimah yang menyentuh tentang definisi, kenapa dan mengapa perlu menghafaz. Baki 3 bab seterusnya memfokuskan kepada persediaan, strategi dan teknik. Jikalau anda pernah membaca buku yang bertemakan teknik hafazan, teknik-teknik itu tidak lari daripada apa yang dikongsikan oleh penulis. Buku ini juga tidak terlepas daripada kisah inspirasi penghafaz quran cilik di serata dunia. Satu dua kisah mereka kekadang membuatkan kita menjadi sangat teruja.

Saya kira mesej paling penting buku ini ialah pentingnya kesungguhan ibu-bapa untuk melahirkan anak penghafaz quran, mendidik mengikut tahap anak tersebut, serta proses mengulang-ulang yang tidak boleh dipisahkan. Tidak juga boleh diabaikan di sini ialah usaha kita untuk memahamkan (walaupun bukan secara terperinci) anak-anak tentang content ayat yang dihafaz.


Sumber Gambar
5. Berfikir Gaya Al-Fateh tulisan Muhammad Syaari Abdul Rahman. Ini buku kedua dari penulis. Buku yang pertama dahulu ialah Kuasa Kepimpinan Al-Fateh (sudah lama dibeli tetapi masih belum dibaca). Penulis terlebih dahulu menegaskan di dalam bahagian Metodologi Penulisan bahawa tiada fakta tersurat akan berulang pada buku kedua ini. Ada baik juga diberitahu lebih awal sebegini supaya pembaca mudah mencari kelainan terutama untuk buku yang mempunyai tajuk yang mirip. Saya sangat suka membaca buku bukan fiksyen yang ada melampirkan sedikit komentar penulis tentang apa yang mahu disampaikannya, metodologi penulisan, kelainan dan beberapa penegasan tentang buku tersebut. Sangat membantu ketika membaca keseluruhan buku.

Buku ini pula walaupun ada nama Al-Fateh terpampang besar di hadapan kulit buku, jangan kita terkeliru dan cuba mengabaikan perkataan Berfikir Gaya...Jadi berdasarkan tajuk itu, dapatlah kita faham buku ini bukanlah buku ilmiah sepenuhnya tentang Al-Fateh tetapi mengandungi elemen motivasi.  Dalam erti kata lain, buku ini merupakan buku self-help atau buku bantu diri (motivasi) yang mengambil Al-Fateh sebagai bahan inspirasi. Namun begitu tidak saya nafikan, banyak fakta sejarah tentang Al-Fateh yang dimasukkan ke dalam buku ini sangat menjentik pemikiran dan memiliki kelainan dari segi keyakinan kita akan sumbernya dan fakta yang tidak pernah didengar sebelum ini.  Elemen motivasi yang saya sebutkan tadi itu pula dijelmakan dengan menghuraikan fakta tersebut menggunakan konsep NLP, buku pembangunan diri tulisan mendiang Stephen Covey dan penulis barat/tempatan/Indonesia yang lain serta tidak ketinggalan seerah Rasulullah saw yang sentiasa menyegarkan. Saya kira kelainan buku ini ialah dari segi fakta yang dikenali sumbernya dan pemurnian fakta untuk beberapa cerita yang biasa kita dengar seperti kisah Al-Fateh yang tidak pernah meninggalkan solat rawatib. Bonusnya, di akhir bab buku, disajikan kita tentang hadis nabi yang menyentuh tentang penakhlukan konstantinople kali kedua dan penguasaan Rom di akhir zaman.

Buku ini penuh dengan gambar yang berwarna-warni. Amat sesuai untuk pembaca visual seperti saya, tidak hairan saya boleh menghabiskannya dalam masa 2 hari. Rekod baik untuk saya yang membaca seperti kura-kura. Ngee.


6. Rahsia Yahudi - Walt Disney tulisan Ibnu Yaakob. Saya sedar akan wujudnya konspirasi Yahudi terhadap Islam sejak berumur 16 tahun lagi. Namun untuk sampai ke tahap terlalu memberi fokus membaca bahan-bahan tentang konspirasi sebegini, saya bukanlah orangnya. Ini kerana, saya lebih suka memfokuskan tentang apa sumbangan saya terhadap Islam. Walaupun begitu, tidak salah membaca buku bertemakan sebegini kerana sedikit sebanyak ia membuka minda, menjentik pemikiran dan trigger kita kepada sesuatu dan lebih berwaspada. Kesedaran  tentang adanya serangan minda dan fizikal itu amat penting, tetapi apa yang lebih utama (prioriti) ialah apa tanggungjawab kita untuk menyelamatkan ummah ini. Panjang bebelan ini. Tidak masuk lagi isi sebenar buku. Hehe.

Sumber Gambar
Buku ini merupakan satu lagi usaha penulis untuk membentangkan hasil kajian beliau tentang serangan minda yang dilakukan oleh Freemason melalui produksi Walt Disney. Produksi Walt Disney yang sinonim dengan kartun yang menjadi tontonan anak-anak ditonjolkan melalui buku ini sebagai alat media untuk menyampaikan mesej-mesej propaganda dari pihak illuminati seperti seks, sihir, dajjal, LGBT dan budaya hidup moden yang serba merosakkan. Buku ini diakhiri dengan bab yang menyentuh tentang latihan untuk tentera agar membunuh tanpa perikemanusiaan yang diperkenalkan oleh Dr. Narut sedikit sebanyak membuatkan saya menghabiskan pembacaan buku ini dengan kengeriaan. Buku ini bertemakan konspirasi, jadi terserah kepada pembaca untuk mempercayainya atau tidak. Nama pun teori konspirasi. Di dunia ini ada ramai orang yang terlibat sebagai penyiasat atau pengkaji konspirasi. Antara yang saya baca ialah Christopher Bollyn, seorang jurnalis yang giat mengumpulkan bukti-bukti peristiwa 9-11. Cukup berani!


Sumber Gambar
7. 8 Kecerdasan Membentuk Muslim Superior tulisan Muhamad Akhmal Hakim. Buku ini dibaca pada awal tahun 2014. Hasil dari 'kerja-kerja penyelongkaran' di alam maya, saya dapati penulis seorang yang memiliki informasi dan pengalaman yang menarik tentang Multiple Intelligence. Saya rasa, untuk buku-buku yang berunsur bukan fiksyen, tambah pula jikalau ianya ditulis oleh penulis baharu, adalah perkara bagus jikalau disertakan sekali biografi penulis tersebut.

Sesuai dengan tajuknya, buku ini membentangkan hasil penelitian penulis tentang kewujudan Multiple Intelligence (MI) (pengasas : Prof. Howard Gardner) di dalam diri para ilmuwan Islam dahulu kala. Penulis menggunakan sumbangan ilmuwan ini sebagai rujukan utama untuk dipetakan mengikut teori kecerdasan yang sesuai. Diolah penyampaian buku ini kepada 3 fasa iaitu Fasa Rencana, Fasa Evolusi dan Fasa Klimaks untuk menyampaikan mesej agar selari dengan tajuknya sebelum menghuraikan 7 teori kecerdasan. Jadi buku ini bukan sahaja mahu menampilkan informasi teori kecerdasan tetapi juga sekaligus bersifat motivasi dan perangsang untuk membentuk muslim superior.

Sebagai makluman, ada 8 jenis kecerdasan yang diletakkan di bawah payung MI iaitu kecerdasan Interpersonal, Intrapersonal, Naturalistik, Muzikal, Logikal-Matematikal, Kinestetik Badan, Spatial dan Linguistik. Di dalam buku ini, penulis hanya menghadkan 2 tokoh ilmuwan Islam sebagai fokus utama untuk setiap perincian 7 kecerdasan iaitu Ibnu Sina dan Al-Biruni.Walaupun begitu, ada juga diselitkan beberapa penelitian yang melibatkan tokoh ilmuwan yang lain. Menariknya, ditonjolkan di dalam buku ini bagaimana kedua-dua tokoh ini terutamanya Ibnu Sina memiliki kecemerlangan untuk ketujuh-tujuh teori MI tersebut (kecuali kecerdasan kinestetik kerana ia tidak terdapat di dalam silibus buku).Dalam bahasa mudahnya, ilmuwan Islam dahulu kala bukan sahaja cemerlang otak kanannya malah otak kiri juga geliga. 

Kesimpulan yang saya boleh buat untuk entri kali ini ialah saya sudah membaca sebanyak 7 buah buku pada tahun ini. Yey!

Monday, March 03, 2014

Mmm.......

Mmmm... (hehe).

Saya baru bertukar kerjaya. Kini bukan lagi seorang pekerja di syarikat korporat. Saya pada ketika ini merupakan seorang guru yang berkhidmat di sebuah sekolah rendah agama swasta. Ia merupakan salah satu sekolah di bawah rangkaian Ikram Musleh. Saya mengajar subjek English (Darjah 2 dan 3), Liqo' (Darjah 6) dan Hafazan (Darjah 2).  Pertukaran kerjaya ini dibuat untuk merealisasikan impian saya menjadi seorang yang berpengetahuan di dalam dunia mendidik pelajar.

Kerja baru yang sangat mencabar terutama dalam bab mengawal dan membentuk kelakuan generasi milenia. Saya bekerja 24 jam. Ada beberapa kes, saya boleh mengigau di dalam tidur, "Abang, padam papan hitam". Haha. Cikgu sejati sungguh.

Di sekolah, saya berkhidmat dari pukul 7.40 pagi hingga pukul 4 petang. Hari dimulakan dengan menyemak hafazan untuk 15 orang pelajar. Selepas itu slot masa diisi dengan mengajar mata pelajaran akademik. Di rumah pula, saya akan sibuk dengan rancangan mengajar dan mencari idea bagaimana untuk mengajar dengan berkesan + kaedah mengawal kelas. Oohh, bab mengawal kelas paling mencabar. Haha. Setiap detik masa saya dipenuhi dengan alat bantuan mengajar. Semestinya tidak akan lepas dengan flashcards, gambar, kertas berwarna dan soalan-soalan latihan. Pendek kata, saya siap membeli laminate machine agar flashcard saya bertahan lama. 

Minggu ini merupakan minggu ujian penggal 1. Saya baru selesai menyemak kertas ujian untuk sebuah kelas yang diajar. Alhamdulillah. Tarik nafas kelegaan. 35 orang mendapat A dan seorang sahaja mendapat B. Kekadang apabila banyak pelajar mendapat A, saya mula menjadi sangsi, "Senang sangatkah soalan yang aku beri?". Baru satu kelas yang selesai menduduki ujian. Ada lagi 2 kelas yang diharap tidak akan membuatkan saya terpaksa mengurut kepala sambil menyemak kertas ujian mereka dan terpaksa pula menyoal diri sendiri, " Aku ni, silap teknik mengajarkah sampai budak tak tahu nak menjawab soalan?". Haha.


Pelajaran paling penting yang saya pelajari sepanjang 1 bulan lebih mengajar ialah, budak-budak sekarang tidak seperti zaman saya dahulu. Kaedah rotan atau kaedah-kaedah seperti yang dipakai oleh guru-guru di zaman saya dahulu untuk mendenda pelajar sudah tidak relevan untuk generasi ini.Jadi, saya mula mempertimbangkan kaedah psikologi. Perlu lagi banyak membaca dan bereksperimen nampak gayanya. Ini kerana, setiap seorang pelajar sangat unik sifatnya. Kaedah psikologi yang kita cuba aplikasi kadang-kadang tidak berjaya dilaksanakan untuk sesetengah pelajar.

Gambar di bawah merupakan carta hafazan untuk Darjah 2 Mus'ab bin Umair, kelas yang saya pantau hafazan mereka. Ada 2 orang guru yang ditugaskan untuk menyelia hafazan untuk setiap kelas dan setiap guru akan menjaga 15 pelajar. Bukan senang untuk menyuruh budak berusia 8 tahun untuk menghafaz quran ya! Bukan kerja mudah! Carta di bawah baru sahaja siap kelmarin. Ia dibuat untuk memberi semangat kepada para pelajar berlumba-lumba menyelesaikan hafazan mereka. Jikalau mereka berjaya menghafaz satu surah, gambar mereka akan digerakkan ke surah baru. Haa! Ada unsur-unsur excited di situ.


Oleh kerana kesibukan saya itu, maka aktiviti membaca saya sedikit terganggu. Tetapi saya percaya, ia hanya mengambil masa sebulan dua sahaja sementara saya belajar menyesuaikan diri dengan dunia baru ini. 

Walaupun begitu, saya tetap saya. Haha. Dalam masa 2 bulan ini, saya telah membeli beberapa buah buku seperti di bawah. Baru 2 buah buku berjaya dibaca untuk 2014 dan kini sedang mengulit sebuah buku. Koleksi buku di bawah belum termasuk buku-buku tutorial darjah 2 dan 3. Haha. Sangat seronok membeli buku tutorial rupa-rupanya. Saya juga ada membeli satu set buku cerita English terbitan Pelangi. Ianya untuk bahan bacaan anak-anak murid saya. Saya berharap saya bukan sahaja menjadi seorang guru yang begitu semangat menghabiskan silibus semata-mata, tetapi juga mendidik anak-anak ini untuk mencintai buku. 

Tuesday, January 07, 2014

Reviu 7 Tahun

Edisi Kemaskini 1/7/14, 8.56PM

Sejak kecil lagi, hobi saya memang membaca. Pada masa itu ( 1990 - 1999) tidak banyak pilihan buku seperti sekarang. Tambahan pula saya menetap di Bintulu, Sarawak. Walaupun ia dikira pekan, namun stok bukunya tidaklah sehebat seperti di Kuching atau Miri. Saya seperti orang lain, yang sezaman dengan saya, tidak akan terlepas dari membaca buku-buku siri penyiasat tulisan Enid Blyton. Murah sahaja. Sebuah buku baru RM2.90. Selain itu, saya cukup gemar membaca buku-buku sejarah dan hikayat raja-raja Melayu. Saya tidak pasti ada tidak lagi buku-buku seperti ini pada era sekarang. Tidak dilupakan, saya juga sangat taasub dengan ensiklopedia. 

Genre bacaan saya mula bertukar arah ke bahan-bahan berbentuk dakwah dan tarbiyyah bermula 16 tahun. Semestinya, saya banyak membaca tentang Hassan Al-Banna, Syed Qutb , buku-buku seerah dan seangkatan dengannya.

Saya mula berjinak-jinak dengan novel terbitan Alaf 21 ketika melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma. Usia lebih kurang 19-20 tahun. Saya ingat lagi, novel pertama yang saya baca ialah Ombak Rindu tulisan Fauziah Ashaari. Namun, saya tidaklah sampai ke tahap pembaca tegar sehingga sanggup berhabisan duit membeli novel. Itu pun bukan semua tema cerita yang menepati citarasa. Saya masih sedikit selektif.


Saya mula bekerja pada usia 21 tahun. Tahun pertama bekerja memang agak memenatkan mental dan emosi. Tidak banyak masa diluangkan untuk membaca. Pada ketika itu, membaca hanyalah aktiviti yang akan dibuat ketika mempunyai masa lapang sahaja. Sehinggalah saya diperkenalkan dengan novel Ayat-Ayat Cinta tulisan Habiburrahman El-Shirazy (kalau tidak silap). Saya tidak sangat menumpu kepada cerita cinta di sebalik novel itu tetapi saya sangat suka (diulangi : sangat suka) lifestyle Fahri seperti yang digambarkan- kuat membaca, menuntut ilmu dan menelaah. Sejak hari itu ( kalau boleh saya katakan sedemikian), saya menjadi seorang pencandu buku. Wah. Ayat! Sesibuk mana pun saya akan cuba luangkan sedikit masa sebelum tidur untuk membaca beberapa halaman. Seingat saya buku yang awal-awal menjadi terapi sebelum tidur ialah karya-karya Faisal Tehrani seperti Advencer Si Peniup Ney dan Kombat 1511. Mahu diberitahu juga, dahulu, saya seorang pembaca berdisiplin. Saya hanya akan membeli buku baharu setelah buku yang sedang dibaca selesai dibaca.

2007


Ini adalah tahun saya mula mengenali PTS. PTS agak terkenal dari segi pemasaran  (dengan rekaan muka hadapan buku yang cantik-cantik)  dan idea novel Bahasa Melayu Tinggi (BMT).  Mereka memperkenalkan novel Jibunsyi pada ketika itu dan saya adalah merupakan salah seorang pembaca novel-novel sedemikian. Saya mula mengenali penulis Isa Kamari (selama ini hanya mengenali Faisal Tehrani sahaja) dengan buku fiskyen sejarah beliau.Ya, itulah kali pertama saya mengetahui genre buku sebegini. Tidak ketinggalan, saya mula berjinak-jinak dengan karya Tere Liye. Novel pertama beliau yang saya baca ialah Hafalan Shalat Delisa. Diumumkan : Saya ialah pembaca tegar karya-karya Tere Liye. 

Memandangkan dahulu, saya kerap juga membaca novel-novel biasa, jadi apabila membaca novel keluaran PTS yang sinonim dengan BMT, saya mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan dengannya. Namun begitu, semakin lama 'bermesra-mesra' dengan BMT, saya semakin tidak boleh membaca novel yang ditulis bukan dengan BMT. Pelikkan.

Saya memang suka menulis. Dahulu saya memiliki jurnal peribadi. Apabila saya semakin aktif membaca, datang 'angin' mahu menulis hasil-hasil pembacaan. Ianya untuk tatapan secara peribadi sebenarnya. Tidak sangka ada penulis dan pegawai pemasaran buku datang menjenguk teratak ini. Saya bukan pengulas buku. Apa yang saya tulis di sini hanyalah lebih kepada poin-poin yang saya mahu ingati. Jadi selalu terjadi, saya sedikit over menulis perkongsian itu sehingga habis satu buku. Haha. Justeru itu, saya mula mengambil inisiatif pada penghujung 2013 untuk melihat semula hasil-hasil tulisan yang terdahulu. Ada yang over sedikit itu perlu disimpan dalam bentuk draft.


2008

Ini tahun kedua blog ini dilahirkan. Jikalau diperhatikan gambar-gambar di bawah, anda akan perasan bahawa saya memang betul-betul 'PTS centric'. Pada tahun ini, saya diperkenalkan dengan buku bersaiz poket tulisan AaGym, novel Jibunsyi, novel cinta Islami, novel sci-fi dan novel teen Islami (novel remaja dari Indonesia yang dialih bahasa). Saya juga sudah mula berjinak-jinak dengan karya Bahruddin Bekri. Ia dimulakan dengan repson positif Faizah (teman serumah saya) yang membaca Doa untuk Aku. Kami terguling-guling ketawa membaca novel ini.

Begitulah saya sehingga tahun-tahun yang seterusnya.Tetap seorang yang 'PTS centric'. Saya pula memang pengunjung tetap portal Univesitipts.com. Memang pantang ada buku baru yang diwar-warkan, insyaAllah saya akan membelinya. Pada tahun ini, saya bukan sahaja pembaca aktif buku-buku PTS tetapi juga pembeli yang agak 'rakus' sedikit berbelanja. Tidak ada sudah istilah -habis baca, baru beli. Kini motto saya - beli dulu, baca kemudian.





2009

Tahun ketiga. Saya masih 'PTS centric' tetapi sudah pandai mengintai penerbit lain. Kedai buku Gramedia pula baru sahaja dibuka di Seberang Jaya. Satu lagi kedai buku yang selalu berjaya menghabiskan duit saya. Bertambahlah koleksi buku bahasa Indonesia yang memang sudah sedia ada. Selama ini, saya akan mengunjungi Fajarilmu sahaja jikalau mahu membaca karya-karya Indonesia yang lebih banyak variasi.

Saya juga ada membuat sedikit reviu untuk beberapa penerbit buku pada tahun 2008-2009.Tiada bayaran, cuma mereka akan memberi saya buku secara percuma. Namun, saya terpaksa memberhentikan 'servis' ini kerana tekanan kerja + belajar. Lagipun, saya merasakan mood/perasaan saya sedikit terganggu dengan membaca buku-buku yang saya tidak gemari. 





2010

Tahun keempat. Pada tahun ini, kali pertama saya mengunjungi pesta buku di KL. Mujur kami tidak mati ditimbus buku untuk menggambarkan betapa banyaknya buku-buku dibeli dan mahu dibawa balik ke Kulim.

Saya membaca pelbagai genre dan judul. Ikut mood. Sekejap saya mahu membaca karya-karya unik yang ditulis oleh Isa Kamari dan Faisal Tehrani. Saya sebenarnya suka bahasa yang mereka gunakan. Rasa macam menjadi seorang yang terpelajar. Sekejap lagi saya mahu membaca buku berunsurkan motivasi dan travelog. Ada juga judul-judul yang menjurus permasalahan ummah dan cerita-ceriti dunia umat Islam. Saya juga sempat membaca karya best seller di Indonesia pada ketika itu, 5 Menara. Dari novel ini , nama Gontor mula mendapat perhatian saya.

Jikalau diperhatikan menerusi gambar di bawah, saya juga memiliki beberapa koleksi bahan bacaan untuk kanak-kanak dan remaja. Saya selalu membayangkan untuk memiliki sebuah perpustakaan yang memuatkan pelbagai buku-buku remaja dan kanak-kanak. Itulah tujuan utama kenapa saya memiliki koleksi sebegini. Saya pernah sekali cuba merealisasikan impian ini dengan menubuhkan perpustakaan mini di pejabat NGO yang saya sertai. Namun ia kelihatan kurang berjaya dan perlukan pembaikian lagi terutama dari segi sistem. Budak-budak semestinya sangat teruja dengan perpustakaan itu. Mereka sangat rajin meminjam dan membaca. Tetapi, buku pula semakin berkurang dan berselerak. 





2011

Sikit sahaja buku yang dibaca. Inilah tahun-tahun gelap untuk aktiviti membaca.Haha. Saya sibuk dengan jawatan baru sebagai penyelia yang mengkehendaki saya bekerja di dalam syif. Tidak lupa, pada tahun ini juga, saya berkahwin. Perubahan kehidupan akan sedikit sebanyak mencabar masa-masa lapang kita sebelum ini. Tapi tidak mengapa, kita akan belajar untuk menyesuaikannya dan terus maju ke hadapan. Yeah!


2012

Saya tidak pasti sejak bila saya mula berazam untuk membaca 50 buku setahun. Ini gara-gara terpengaruh dengan cabaran di Goodreads Malaysia. Namun saya tidak pernah mencapai misi itu kecuali pada tahun 2012. Saya siap mengambil cuti tahunan seminggu untuk merealisasikan misi ini. 

Tidak ada yang luar biasa jikalau dilihat koleksi buku di bawah. Campuran buku-buku dari PTS dan penerbit lain. Gabungan fiksyen dan  bukan fiksyen. Secara amnya, saya suka semua pilihan buku-buku di bawah. Saya seronok berkembara ke Ireland dengan Ustaz Hasrizal menerusi di Hamparan Shamrock, Nisah Haron dengan kembara buku beliau yang sangat mengujakan, Ustaz Zaharuddin dengan perjalanan menuntut ilmunya melalui Jangan Berhenti Berlari, Ummu Hani dengan perkongsian cita-cita menjadi penulis serta kisah inspirasi John Wood di dalam Leaving Microsoft to Change the World.

Saya seperti biasa memang tidak boleh lepas dengan buku remaja dan kanak-kanak seperti siri PELIT dan oh ya, saya sangat suka dengan buku conteng Fadhli Hamdan. Osem!! Saya sudah menjadi pengumpul tegar siri Jimi pula sekarang ini. Saya juga membaca novel remaja Siri Fiqah ( ada 2 siri) keluaran PTS dan saya sangat suka buku ini. Sehingga sekarang, pendapat peribadi saya, PTS masih mengungguli buku cerita kanak-kanak dan novel awal remaja dari segi kualiti penulisan. 







2013

Saya cuba sedaya updaya untuk mengawal judul/jenis buku yang dibaca. Saya mahu membanyakkan bacaan bukan fiksyen berbanding fiksyen. Jikalau fiksyen pun, saya hanya mahu memfokuskan membaca kesemua novel-novel Hlovate atau fiksyen sejarah sahaja. Ada juga drama-drama di televisyen yang merupakan adaptasi dari novel sedikit sebanyak mempengaruhi saya untuk membelinya. Setakat ini baru sebuah novel yang dibeli kerana terpengaruh. Saya bukanlah seorang penonton televisyen yang baik. Dalam seminggu mungkin ada dalam 2 jam saya menonton. Namun, kekadang ada juga masa-masanya saya terjerat. Saya pula jenis yang tidak sabar dan ingin mengetahui apa episod seterusnya. Jadi, cara terbaik daripada mengikat diri setiap 1 jam di hadapan tv setiap hari ialah membeli novel untuk drama tersebut.

Saya berhenti 'berkejar-kejaran' untuk mencapai 50 buku setahun di saat-saat akhir. Mengambil masa untuk refleksi kehidupan. Buku bukan hanya medium untuk kita mencari  dan menambah ilmu. Kadang-kadang ia juga mampu mencetuskan dan memberi inspirasi. Ada di antara buku-buku yang saya baca itu telah mempengaruhi saya melakukan sesuatu sehingga saya sanggup keluar dari zon selesa yang dinikmati selama ini. Perubahan itu menyebabkan sedikit sebanyak membuatkan saya berhenti sekejap membaca untuk berfikir.  Itulah alasan kenapa misi 50 buah buku setahun tidak tercapai.





2014

Pada tahun ini, saya insyaAllah akan berusia 30 tahun. Semestinya, saya mengharapkan satu kematangan dari segi pemilihan buku dan sikap dengan buku itu sendiri. Saya berharap pada usia sebegini, saya mampu mengamalkan perkara baik yang saya perolehi dari sesebuah buku. Besar juga harapan saya, semoga pada tahun ini saya bertukar dari pembaca menjadi penulis. Selalu terjadi, apabila kamu kerap membaca, tangan kamu juga akan mula 'menggatal' mahu menulis. Anggaplah saya sudah mencapai fasa itu.