Sunday, November 20, 2011

Anakku Hebat Anakku Soleh - Zahazan Mohamed

Alhamdulillah!

Saya membaca dan menulis lagi. Jikalau pada minggu lepas, saya memaksa diri untuk membaca, lain pula cerita pada minggu ini, kes susah berhenti membaca pula ceritanya. Aduh! Aduh! Bawa bersederhana Welma.

Ada 4 buah buku yang berjaya dibaca pada minggu ini - 1 novel remaja, 1 travelog dan 2 komik. Ini menjadikan jumlah buku yang dibaca setakat 20 November ialah sebanyak 14 buah buku.


Menurut target awal tahun, saya mensasarkan sebanyak 50 buah buku setahun. Nampaknya saya ketinggalan 37 buah buku di belakang. Tetapi, saya rasa saya mahu mengubah target itu menjadi 25 buah buku sahaja kerana saya mahu melengkapkan bacaan tadabbur Tafsir Al-Wadhih Juz 30 sebelum penghujung 2011.

Merujuk entri pada minggu lepas, saya menulisnya dengan mode tergesa-gesa. Oleh kerana itu, saya sengaja mengabaikan perkongsian Anakku Hebat Anakku Soleh tulisan Ustaz Zahazan Mohamed.


Semalam ketika saya mahu bercerita tentangnya, saya tidak tahu pula bagaimana untuk menyimpulkan pembelajaran yang saya perolehi daripada buku yang berjumlah sebanyak 205 halaman ini. Biasalah begitu bukan. Kita membaca dari satu buku ke satu buku. Akhirnya kita terlupa pengisian buku yang sudah kita baca. Mungkin ini penanda aras yang hati sangat kotor. Saya hanya ingat kepada reka letak dan susun atur yang berwarna-warni, mewah dengan gambar dan ilustrasi serta pengisian yang disampaikan dalam bentuk poin.

Bukan itu sahaja, ada juga beberapa pengisian yang menarik perhatian saya. Antara lain yang saya ingat ialah penulis ada menyatakan yang kaedah memukul anak-anak sebagai bentuk pendidikan haruslah diambil sebagai langkah terakhir. Gantikanlah dengan nasihat, penghargaan dan kemaafan. Itu lebih utama. Selain itu, penulis juga ada menyatakan yang ibu-bapa perlu mengelakkan diri memarahi atau menegur anak-anak yang melakukan kesalahan di hadapan orang lain. Ini kerana kaedah ini hanya akan menambahkan dendam di dalam hati mereka. 2 pengajaran yang membekas diperolehi dari Anakku Hebat Anakku Soleh.

Oleh kerana banyak yang saya terlupa terutama struktur pengisian buku ini, maka semalam saya mengulangkajinya semula. Tiba-tiba saya terfikir mahu menyediakan satu buku khas untuk menulis isi-isi penting untuk buku tertentu. Mudah untuk dibaca sebagai bentuk ulangkaji. Waduh! Banyak pula cita-cita budak yang seorang ini.

Anakku Hebat Anakku Soleh mengandungi 6 bab. Bab 1 dimulakan dengan definisi tarbiyah itu sendiri. Ha'a. Saya baru perasan penulis menggunakan perkataan tarbiyah dan bukan pendidikan. Ini kerana saya rasa tarbiyah bukan perkataan yang common di dalam masyarakat kita. Betulkah?

Saya kira tidak perlulah saya berkongsi tentang setiap definisi tarbiyah yang banyak itu. Cukuplah sekadar kita mengetahui ia bermakna pendidikan atau lebih spesifiknya pendidikan yang menyentuh tentang cara-cara membesarkan anak dengan kaedah tertentu. Jikalau menurut Sayyid Sabiq, aspek pendidikan itu merangkumi jasmani, akal, rohani, perasaan, sosial sehingga kanak-kanak itu menjadi anggota masyarakat yang berguna. Maklumat lengkap aspek-aspek ini disentuh oleh penulis pada Bab 3. Di situ, penulis ada menyatakan beberapa kaedah yang boleh membantu.

Saya kira tumpuan pembacaan saya tertumpu pada Bab 1 dan 2. Almaklumlah saya lebih gemar menelaah info tentang peringkat tumbesaran anak-anak dan tuntutannya serta teknik-teknik mendidik. Penulis membahagikan peringkat tumbesaran kepada 3 iaitu bawah 2 tahun, 2-5 tahun dan 5-12 tahun. Saya menyimpulkan pada usia sehingga kanak-kanak berumur 5 tahun, ibu-bapa perlu banyak mencurahkan kasih sayang dan memberi tunjuk ajar tentang kebaikan. Manakala pada usia 5-12 tahun pula, kanak-kanak perlu diajar tentang aspek agama seperti adab-adab, solat dan quran.

Penulis ada menyatakan peringkat umur dari 3-7 tahun adalah merupakan umur kritikal yang perlu dimanfaatkan oleh ibu-bapa dalam pembinaan dalaman (syaksiah) anak mereka. Mungkin pada usia sebeginilah, anak memerlukan peranan seorang ibu (dengan tidak menafikan peranan ayah) yang sepenuh masa di rumah berbanding pusat jagaan harian. Fakta menarik yang saya perolehi melalui buku Travelog Wartawan Islam. Di situ Roslan Hamid ada menulis perkongsian kajian yang bertajuk The Myth of Quality Time. Kita mungkin biasa mendengar ibu-bapa yang bekerjaya menyebut tentang masa berkualiti untuk anak-anak. Kajian yang dikongsikan itu meragui tentang kenyataan tersebut.

Ini ditambah pula dengan kajian lain di mana Ronald Revant (Pakar Psikologi) menulis, "Kanak-kanak perlukan tumpuan dan perhatian hampir sepanjang waktu. Adalah satu khayalan untuk berpendapat mereka boleh menepati jadual waktu anda dan anda boleh berkata, "Baiklah, kita ada masa setengah jam, apa masalah sayang?" (Halaman 166)

Kembali semula ke buku Anakku Hebat Anakku Soleh. Keluarga memainkan peranan penting di dalam pembinaan anak-anak. Penulis ada menyatakan yang keluarga perlu menyediakan asas atau yang diberi nama oleh penulis sebagai persediaan untuk dididik sebelum menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Ini bukanlah perkara baru dalam dunia pendidikan tetapi telah dipraktis oleh masyarakat Islam dahulu kala di mana terbukti mampu melahirkan ramai pemikir Islam yang berkualiti. Tanggungjawab ibu-bapa tidak berhenti setakat itu. Mereka perlu menghantar anak-anak mereka ke sekolah yang memberi pengajaran Islam yang baik serta mengambil tahu kawan-kawan yang digauli anak mereka. Peranan masjid juga tidak boleh dikesampingkan.

Akhir kata yang boleh saya katakan, apabila kita berada di alam barzakh, tiada lain yang kita nantikan melainkan ilmu kita yang bermanfaat serta doa anak-anak kita yang soleh. Mungkin pada ketika itu baru kita sedar, pelaburan membina anak-anak adalah lebih utama berbanding membina kerjaya atau harta material.

Saya tidak berapa sihat. Saya perlu segera menutup komputer ini. Nampaknya, pada minggu ini saya berhutang lagi. Bukan 1 tetapi 4 buah buku.

Thursday, November 10, 2011

2 Buah Buku

Dalam lebih kurang 3 minggu ini, Alhamdulillah dengan izin Allah, saya berjaya menyelesaikan pembacaan 'dengan penuh paksaan' untuk 3 buah buku ini. Ya, walaupun mengaku diri sebagai pembaca tegar, namun seringkali juga terkandas dengan unsur-unsur kemalasan atau nama lain untuk diberitahu kepada orang lain ialah tidak cukup masa. Kononnya.

Pada mulanya, saya ingin membaca 6 buah buku (yang nipis halamannya) dalam seminggu. Kononnya. Tetapi melihatkan hasil di bawah, secara purata saya hanya mampu membaca sebuah buku dalam seminggu. Namun begitu, tahniahlah Welma kerana berjaya bangkit dari rehat yang panjang tanpa buku. Bukan senang untuk konsisten dalam perkara kebaikan.

Pada entri kali ini, saya ingin bercerita tentang 2 buah buku ini - Travelog Wartawan Islam karya Roslan Hamid dan Catatan dari 40,000 Kaki tulisan Kapten Hafiz Firdaus. Kedua-dua buku ini memiliki persamaan walaupun mesej yang disampaikan berbeza dari segi objektifnya. Ia ditulis dengan santai, penuh kejujuran dari hati dan menyampaikan pandangan serta luahan tulus yang berbeza dari pandangan majoriti.

Saya suka menganggap Travelog Wartawan Islam sebagai sebuah buku muhasabah. Saya dibawa meneroka kehidupan yang berbeza dari hidup saya dari segi usia, pekerjaan dan suasana kehidupan. Penulis berjaya menggambarkan kepada pembaca yang tidak tahu-menahu tentang skop kerja bidang kewartwanan (Contohnya, Saya) tentang keadaan pekerjaan itu sebenar. Ini mencakupi penceritaan tentang komitmen kerja yang tidak mempunyai sempadan masa dan halangan-halangan prinsip diri sebagai seorang Muslim.

Seringkali sepanjang pembacaan membuatkan saya merasa betapa susahnya pekerjaan ini (maksud saya wartawan) boleh membantu kita menjadi seorang Muslim yang baik. Lebih terperinci lagi, maksud saya, menjaga dan tidak meninggalkan solat 5 waktu, halal-haram makanan di luar negara dan paling penting persoalan seperti yang dibangkitkan oleh penulis - sejauh mana hasil tulisan kita itu dikira sebagai amal- bagaimana pula dengan cerita-cerita hiburan dengan gambar-gambar yang mendedahkan aurat yang langsung tidak membawa apa-apa menfaat kepada pembaca - atau wartawan yang bekerja dengan syarikat akhbar yang berkonsepkan menyokong parti tertentu, sejauh mana dilema mereka berdepan dengan tanggungjawab melaporkan berita yang tulus dan ikhlas kepada masyarakat tanpa sebarang kepentingan.

Seringkali itu juga, saya semakin yakin, pasti ada penyelesaiannya. Bukankah kita menyakini Islam itu agama kontemporari yang bukan hanya sesuai diamalkan oleh ustaz-ustazah tetapi sesiapa juga termasuk wartawan. Dilema-dilema yang diutarakan oleh penulis ini memerlukan pengkajian dan penjelasan oleh pihak yang berpengetahuan agar kita boleh membantu golongan ini mempraktikkan Islam dalam setiap keadaan.

Secara amnya, Travelog Wartawan Islam mengisahkan seorang wartawan yang sedang mencari erti atau makna kehidupan yang sebenar. Namun beliau tidak menjumpainya di dalam bidang kewartawanan. Memetik kata beliau, "Pengorbanan seorang wartawan begitu besar tetapi apakah ia benar-benar memberi manfaat kepada seseorang itu di akhirat kelak?". Memetik lagi kata beliau, "Dunia wartawan ini terlalu sibuk sehingga tidak ada masa samada untuk menghadiri kelas pengajian agama di masjid, bersosial dengan masyarakat atau mengambil berat permasalahan di tempat tinggal mereka". Akhirnya pada Februari 2008, beliau nekad keluar daripada zon selesa dalam bidang kewartawan untuk memberi ruang kepada dirinya memperbaiki diri sebagai seorang Muslim.

Namun kerja tulis-menulis ini tidak ditinggalkan begitu sahaja. Kisah Antara Dua Kota merupakan hasil tulisan beliau sepanjang perjalanan ulang-alik antara Melaka dan Kuala Lumpur. Cerita-cerita ini dimuatkan di dalam kolum Berita Harian . Ia kemudian dibukukan dan merupakan syeksen kedua di dalam buku Travelog Wartawan Islam. Sebanyak 28 topik dimuatkan yang merangkumi pelbagai peristiwa antarabangsa dan masyarakat setempat.

Sepanjang pembacaan, baru saya sedar banyak rupanya peristiwa dunia yang saya terlepas pandang . Ngehee!

Beralih kita kepada perkongsian Catatan dari 40,000 Kaki karya Kapten Hafiz Firdaus. Buku ini merupakan Siri Pertama dan mengandungi 24 artikel yang dimuatkan di Majalah I bermula Disember 2008 hingga November 2010. Bezanya, artikel yang dimuatkan di dalam buku ini merupakan artikel original tanpa suntingan daripada editor majalah.

Buat masa ini, saya kira masih belum ada lagi Siri Kedua yang menyusul. Seperti yang dinyatakan pada awal entri, persamaan antara 2 karya yang saya kongsikan ini ialah ia merupakan luahan rasa penulis yang jujur dan berbeza dengan pandangan majoriti. Jika mahu dibandingkan dengan Travelog Wartawan Islam, karya Hafiz Firdaus ini ditulis dengan sinis dan boleh mengundang banyak perkara yang pembaca tidak setuju terutama apabila menyentuh tentang ibadat dan kepimpinan negara. Mungkin ada di antara pembaca termasuklah saya akan memberi rumusan, yang corak pemikiran penulis adalah sipi-sipi Wahabi. Satu kefahaman yang heboh suatu ketika dahulu. Tetapi saya cepat-cepat membuang hasutan itu kerana saya sendiri tidak berapa jelas apa yang dikatakan Wahabi itu.

Lagipun saya tidak nampak di mana pincangnya pandangan penulis apabila beliau mengemukakan pendapatnya tentang isu-isu ibadat, kepimpinan, atau masyarakat sejagat. Saya meraikan pemikiran beliau yang menyeru agar kita mencari ilmu dalam setiap amalan ibadah yang kita lakukan agar ia dilakukan bukan atas dasar ikut-ikutan. Saya setuju yang kita perlukan pembaharuan dalam agama. Ini bukan bermaksud Islam itu perlu dibaharukan, tetapi kaedah kita dalam menangani masalah Islam itu yang perlu dibaharukan. Islam bukan agama baharu tetapi kita percaya ia bersesuaian sepanjang zaman. Ia kontemporari. Ayat-ayat di dalam Al-Quran itu perlu dibongkar kerana solusi kepada permasalahan kita pada masa kini ada di dalamnya. Masalahnya, kita gagal untuk melakukan Research & Development (R&D) itu . Malah jikalau ada pandangan yang mahukan pembaharuan atau dalam erti kata lain, orang yang melakukan R&D itu, kita melabelkan orang itu sebagai keras dan pelampau. Kita sangat jarang memberi tindak balas yang membina dan memperbetulkan.

Wallahu alam


Thursday, September 01, 2011

Membaca Semula

Membaca semula! Eh, betulkah?

Dalam tempoh rehat yang panjang ini ( Mac- September) , saya tetap membaca . Cuma tidak begitu agresif untuk berkongsi tentang buku-buku itu di blog ini. Mungkin mengalami kejutan budaya. Alasan bukan. Manakan tidak, harus pandai menyesuaikan diri sebagai seorang isteri, pelajar, pekerja, anak menantu, ahli masyarakat dan lain-lain lagi.

Isteri? Ya. Saya sendiri tidak faham bagaimana ia begitu cepat berlaku sehingga saya tidak sempat mewar-warkannya. Walau bagaimana pun, saya tetap yakin yang semuanya sudah tertulis dalam perencanaan Allah. Kesimpulannya, saya sekarang ialah Puan Welma. :)

Saya mengambil masa yang lama membaca buku ini - Start Where You Are ( Edisi Bahasa Melayu). Namun tidak juga selesai pembacaannya. Oleh kerana begitu teruja dengan buku ini, saya meminjamkan ia kepada makcik saya. Konon-konon supaya makcik saya beroleh motivasi kehidupan yang tidak terkira melaluinya.

Ulasan? Belum lagi. Cuma, sepanjang pembacaan saya selalu terfikir, sebenarnya ada begitu ramai di luar sana yang sentiasa berusaha mencari kesempurnaan dan ketenangan hidup yang hakiki. Setelah melalui proses kehidupan yang panjang, akhirnya mereka sedar, duit bukan segala-galanya. Ada yang lebih penting daripada itu seperti kesedaran sosial dan berkongsi kejayaan dengan orang lain. Terdetik di dalam hati saya. Adakah cukup sekadar itu? Adakah tujuan kehidupan hanya berhenti di situ? Tidakkah hati mereka masih meronta-ronta untuk diisi dengan pemahaman yang ada lagi satu kehidupan di sana yang kekal abadi di mana mereka perlu bekerja keras untuknya. Tidakkah hati mereka merindui pencipta yang sentiasa mempermudahkan urusan mereka?

Mungkin kerana banyak sangat memikirkan persoalan-persoalan itu, buku karya Chris Gardner itu belum lagi berjaya dikhatamkan. Namun, sempat juga saya 'usha' buku yang lain. Alasannya mahu merehatkan minda. Apa lagi kalau bukan buku Cik Zorro Lambretta Jambu. Walaupun hanya 152 halaman, saya menghabiskannya dalam masa 3 hari. Saya memang betul-betul ada masalah krisis pengurusan masa atau nama lain penyakit malas semakin tidak boleh dibendung. Pantang ada masa terluang, mahu sahaja mata ini terlelap. Ngee. Ulasannya? Tunggu dulu ya. Tangan saya sudah menjadi keras untuk mengarang di dalam blog ini. Penangan sudah lama tidak menulis :)

Sekarang pula, saya sedang dalam proses membaca buku karya Bahruddin Bekri - Penulis yang Disayang Tuhan dan Diari Mat Kilang karya Ahmad Fairus Daud. Seronoknya membaca.


Friday, April 01, 2011

No Excuses !

Sumber Gambar
Ini kali pertama saya membaca tulisan Brian Tracy. Tidak boleh sangat menghayati gaya tulisan dan pemikirannya kerana membaca buku terjemahan. Namun saya sedar, Brian Tracy banyak bercakap tentang penjualan. Mungkin kerana latar belakangnya sebegitu. Kerap kali juga beliau mengulang-ulang tentang Cause & Effect Law dan saya bersetuju dengan beliau. Di dalam Islam, Cause & Effect Law kita definisikan sama dengan konsep sunnatullah. Maksudnya jikalau kita berusaha, kita pasti menemui kejayaan. Saya juga pasti Brian Tracy sangat percaya kepada usaha keras, produktif dan bersungguh-sungguh kerana itulah mesej yang seringkali dilaungkan beliau melalui bukunya ini - bab demi bab.

Inilah yang saya gemar melalui karya-karya penulis barat. Idea dan teori yang dikemukakan lebih praktikal. Cuma kita kena faham, memandangkan mereka bukan orang Islam, jadi mereka mendefinisikan kejayaan dan kebahagiaan agak berbeza dan terhad. Beginilah, mana yang baik itu kita ambil, mana yang kurang sesuai kita tinggalkan.

No Excuses! dibahagikan kepada 3 bahagian. Banyak masa saya luangkan pada bahagian pertama kerana ia lebih sesuai dengan situasi dan kehendak saya pada masa kini iaitu mahu melakukan perubahan sikap. Saya membaca sepintas lalu apabila penulis bercerita tentang tidak suka meletakkan kesalahan pada orang lain, kecekalan, keberanian dan pemikiran positif. Bagi saya, elemen-elemen ini adalah intipati wajib dalam mana-mana buku motivasi.

Tetapi saya suka apabila penulis memulakan awal bab dengan bercakap tentang fokus hidup. Penulis bertanya apakah target hidup, apakah definisi kejayaan bagi kita dan bagaimana bentuk kejayaan yang mahu kita capai di dalam hidup ini. Penulis memandu pembaca untuk memiliki cita-cita. Penulis memberi analogi tentang ini. Kata beliau, bayangkan kita berada di dalam sebuah gua yang gelap dan kita ternampak sumber cahaya. Secara automatik, kita akan bergerak menuju sumber cahaya itu. Begitulah cita-cita. Ia bagaikan sumber cahaya. Dengan memiliki cita-cita, hidup kita akan lebih berfokus dan bermakna.

Brian Tracy mengatakan ada 7 langkah jikalau kita mahu mencapai cita-cita. Jom kita tanya diri sendiri!

1) Pastikan apa yang kita mahu (i. Saya mahu membina modul pendidikan kanak-kanak yang berumur 4-12 tahun melalui hasil kajian sirah Rasulullah saw. Saya mahu mencari jawapan bagaimana mendidik anak-anak ini agar mereka memiliki mindset hidup 100% untuk Tuhan dan menyumbang untuk ummah ii. Saya mahu memiliki pusat perkembangan kanak-kanak/nurseri sebagai wadah untuk saya berkarya dan bereksperimen)

2) Tuliskan pada kertas (Saya sendiri, secara peribadi, menganggap menulis cita-cita adalah terapi. Oleh kerana itu setiap kali saya stress, saya akan menulis cita-cita saya)

3) Letakkan dead line (Ini masalah saya. Tetapi Allah swt selalu bermurah hati 'meng-on-track-kan' semua perancangan saya)

4) Senaraikan langkah-langkah menujunya ( Ini juga masalah saya. Saya ada menyenaraikannya tetapi agak kabur. Saya sendiri tidak nampak jalan bagaimana mahu menuju ke arah itu.)

5) Buatkan keutamaan ( Saya sedang belajar untuk ini. Buat masa ini, prioriti saya ialah selesaikan tesis dan 2 subjek kejuruteraan- berakhir bulan April. Kedua, bekerja bersungguh-sungguh sebagai penyelia - sehingga Jun 2012. Manfaatkan peluang ini untuk belajar erti kecekalan bekerja dan praktikal ilmu pengurusan. Ketiga, teruskan bereksperimen dengan Ikram Kidz - purata program 2 kali sebulan. Keempat, mulakan penulisan kertas kerja dan kaji selidik nurseri/tadika yang ada di Kulim bermula Mei)

6)Lakukan perkara yang dirancang ( Ya. Sedang berusaha)

7)Lakukkan perkara yang menyumbang kepadanya (Ya. Saya sedang berusaha. Antaranya ialah membaca buku psikologi kanak-kanak, bereksperimen dengan Ikram Kidz, dan bakal membuat kertas kerja)

Menurut penulis, jikalau kita mahu mencapai kejayaan untuk tempoh 5 tahun akan datang, kita perlu bekerja untuk itu dari sekarang dengan lebih 40 jam dalam seminggu. Suka saya memetik kata-kata penulis di mana beliau menyatakan untuk menjadi pakar di dalam sesuatu bidang, kita memerlukan masa minimum selama 7 tahun. Ini bermakna kita perlu bekerja keras selama 10000 jam.

Buku No Excuses memiliki terlalu banyak topik untuk dikongsikan. Penulis bukan sahaja berbicara tentang fokus hidup, bagaimana mahu menjadi orang yang produktif dan bekerja keras, penulis juga berkongsi tentang pandang hidupnya dari sudut kewangan, kesihatan fizikal dan mental, pemakanan yang baik, hubungan kekeluargaan yang kuat dan ketenangan jiwa. Mesej-mesej ini anda boleh dapati melalui Bahagian 2 dan 3. Cuma, oleh kerana misi saya semasa membaca buku ini lebih banyak berorientasikan kepada persoalan sikap untuk perkembangan kerjaya dan cita-cita, maka saya lebih banyak mencurahkan rasa dan fikiran pada bahagian pertama.

Tuesday, March 01, 2011

Atsar

Pada tahun 2009, saya pernah menulis sebuah entri yang bertajuk Tuhan, Inilah Proposal Hidupku di blog ini. Ianya sempena meraikan sebuah buku kerja kelolaaan Jamil Azzaini. Saya menulis tentang cita-cita, harapan dan keluarga saya.

Selepas beberapa bulan, saya membuang entri itu. Entah kenapa. Mungkin kerana terlalu banyak orang yang membacanya. Mungkin juga ketika itu saya berniat ingin mengemaskini semula artikel itu kerana ada sedikit perubahan strategi. Mana tahu saya tertekan butang delete pula. Saya ingatkan saya masih menyimpan salinan entri itu di mana-mana - FB, draft blog atau C drive. Rupa-rupanya tidak.

Saya menerima emel dari seorang kenalan blog baru-baru ini. Mencari entri saya yang bukan berkenaan buku tetapi tidak dijumpainya di sini lagi. Saya mula berfikir. Mungkin entri Tuhan Inilah Proposal Hidupku maksud Cik Puan itu. Saya berjanji kepadanya yang saya akan menulis semula artikel itu. Tetapi saya perlukan masa. Pada hari ini, Allah telah memberikan saya kelapangan. Namun begitu, tulisan pada kali ini tidaklah sebegitu sama seperti tulisan terdahulu.

Pelan Rancangan Kehidupan

Saya ingat lagi, saya ada menyertakan pelan rancangan kehidupan sekali melalui entri terdahulu. Saya orangnya begitulah. Tidak habis-habis dengan pelan rancangan. Pada ketika saya menulis pelan rancangan itu, saya sebenarnya diselubungi oleh rasa ragu-ragu yang amat. Nampak tidak realistik pun ada cita-cita saya itu. Manakan tidak. Cita-cita utama mahu memiliki tadika @ sekolah dan secara tidak langsung berjaya membina modul pendidikan sendiri hasil penyelidikan dari sirah Rasulullah saw. Di samping itu ada pula cita-cita sampingan iaitu mahu menjadi ahli teknologi dalam bidang kejuruteraan telekomunikasi dan mahu melanjutkan pelajaran - Master dalam bidang Kejuruteraan Telekomunikasi. Itu tidak termasuk lagi dengan cita-cita teragung mahu menjadi suri rumah sepenuh masa kerana saya mahu menjaga anak-anak saya di masa akan datang.

Dalam masa yang sama, di dalam pelan rancangan saya itu, saya merancang sekali perkembangan kerjaya saya di xx. Konon pada ketika itu, saya mensasarkan pada awal tahun 2011 saya akan beralih ke jawatan sebagai exempt staff. Tetapi itu hanya angan-angan sahaja. Tidaklah pula saya bekerja keras untuknya kerana semangat untuk berhenti pada pertengahan tahun 2012 berada pada tahap maksima tinggi. Lagipun, apa yang ada di dalam kotak fikiran saya ialah saya perlu menyelesaikan degree saya yang dijangka akan selesai pada Mei 2011.

Kini.

Tahun 2011.

Jikalau merujuk pelan rancangan yang saya rancang pada 2 tahun lepas, tahun ini sepatutnya saya berjaya mendapat jawatan itu.

Dan inilah yang membuatkan saya terduduk dan bermuhasabah balik kerana Allah memakbulkan apa yang saya tulis di dalam pelan rancangan saya itu. Saya tidak sangka rupa-rupanya Allah tidak pernah mensia-siakan setiap impian kita walau ia hanya ditulis di atas kertas. Walaupun jawatan yang saya dapat itu bukanlah sebagai exempt staff, tetapi ia membuka peluang ke arah itu.


Keluarga

Saya bukan dari keluarga senang. Arwah kedua mak bapak saya buta huruf. Sudahlah itu kurang pula pemahaman Islam tetapi baik akhlaknya. Bersyukur apa yang Allah beri dan bersabar dengan apa yang Allah takdirkan, memang sudah menjadi budaya di dalam rumah kami. Saya selalu berfikir yang saya seorang penyabar. Tetapi apabila saya bermuhasabah balik, rupa-rupanya arwah mak bapak saya lagi penyabar.


Allah itu Maha Besar. Walaupun kami dilingkungi oleh kurangnya penghayatan dan pemahaman Islam, tetapi Allah memberikan saya hati yang sangat senang tertarik dengan Islam. Sejak dari kecil lagi (umur 7 tahun begitu) saya memang sentiasa ada inisiatif belajar membaca quran dan suka kepada solat. Pendek kata mak saya memang tidak perlu susah-susah dalam mendidik bab agama. Allah itu Maha Adil. Dia memberi kita kekurangan dan Dia juga memberi kita kelebihan untuk menampung kekurangan itu.

Apabila saya sudah besar sedikit, sayalah yang mengajar mak ayah saya bab-bab agama. Ketika saya berusia 16 tahun, saya mula terlibat dengan program yang dianjurkan oleh NGO Islam - HIKMAH. Di sinilah fikiran saya dicorakkan dan saya mula melihat Islam itu sebagai yang syumul. Saya mula belajar meletakkan fokus hidup saya. Saya mula meletakkan prinsip hidup saya yang saya hanya akan bercinta selepas berkahwin. Saya katakan pada diri saya, hidup saya ini untuk Islam.

Masa terus berlalu. Selepas SPM saya melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma di JMTI, Pulau Pinang dalam bidang kejuruteraan Mekatroniks. Pada ketika ini arwah mak saya sudah sakit beberapa bulan dan hampir lumpuh akibat paru-parunya sudah tidak boleh berfungsi. Secara mentalnya, saya bersiap sedia dengan kematian beliau dan Allah menjemputnya ketika saya sedang menduduki peperiksaan akhir semester 2. Sekali lagi Allah membantu saya. Allah memberikan saya ketabahan dan ketenangan. Saya menyelesaikan kertas peperiksaan dengan jayanya.

Sebaik arwah mak saya meninggal, semacam ada satu perasaan yang terlalu kuat kepada arwah bapak saya sehinggakan setiap malam saya sentiasa terfikirkan beliau. Saya risaukan beliau dengan usianya yang sudah mencecah 70 tahun. Saya risaukan kesihatannya. Saya risaukan beliau akan pergi meninggalkan saya. Banyak yang saya risaukan sehinggakan kadang-kadang saya paksa mata untuk tidur agar dengan itu saya tidak berfikir lagi tentang beliau. Saya terseksa menahan rindu begini selama 2 1/2 tahun. Saya balik ke Bintulu setahun sekali. Jaringan telefon pula tidak boleh dimanfaatkan sepenuhnya kerana arwah bapak saya tidak tahu mendail telefon dan tidak pandai bercakap melalui telefon. Seingat saya, arwah bapak saya tidak tahu pun memegang gagang telefon. Saya hanya berharapkan jiran dan kawan baik saya untuk melaporkan keadaan arwah bapak saya.

Tahun-tahun akhir saya di JMTI, saya membuat keputusan untuk bekerja sebaik diploma saya selesai. Di dalam masa yang sama, saya merancang untuk melanjutkan degree secara sambilan. Banyak faktor yang menyumbang kenapa saya membuat keputusan begini. Arwah bapak saya sudah tidak memiliki duit untuk menyambung pelajaran saya. Saya boleh sahaja membuat pinjaman tetapi saya sudah tidak boleh menahan rindu. Saya perlu mendapatkan pekerjaan dan menyara arwah bapak saya secepat mungkin.

Sekali lagi Allah membantu saya. xx sebagai sebuah syarikat multinasional idaman setiap orang telah melawat institusi tempat kami belajar buat pertama kalinya. Saya tersenarai antara pelajar untuk ditemuduga untuk jawatan juruteknik.

Saya menamatkan diploma saya pada akhir Jun 2005 dan pada 4 Julai 2005 saya melaporkan diri di xx. Saya sepatutnya bekerja mengikut shift. Namun begitu memandangkan saya ada perancangan untuk menyambung pelajaran dan semestinya kelas akan dibuat pada Sabtu dan Ahad, maka masalah ini diajukan kepada penyelia saya. Allah memudahkan urusan saya. Allah mencampakkan di dalam hati penyelia saya untuk bersetuju meletakkan saya dalam kumpulan equipment technician yang bekerja secara normal. Saya mula merancang untuk membawa arwah bapak saya menetap di Kulim selepas setahun bekerja kerana buat masa ini saya masih tidak mampu lagi dari segi kewangan. Banyak perlu dibayar, kereta, sewa rumah, yuran belajar RM2000/semester. Saya sepatutnya tidak perlu membeli kereta tetapi itulah satu-satu kenderaan yang mampu saya pandu. Saya tidak pandai menunggang motosikal. Yang teruknya basikal pun saya tidak tahu.

Selepas 2-3 bulan bekerja, saya balik ke Bintulu untuk menjenguk arwah bapak saya dan sekaligus menyambut aildilfitri. Tetapi sebaik sahaja tiba di rumah, luruh hati saya sebagai seorang anak apabila melihat keadaan rumah yang membuatkan saya betul-betul mahu menangis. Peti sejuk yang tidak berfungsi. Lampu pendarfluor yang rosak. Dapur tidak berfungsi. Saya ingat lagi saya berbuka puasa dengan air paip setelah puas saya mencari tiada air bersih. Saya menjadi tertanya-tanya bagaimana kehidupan arwah bapak saya. Tidur dalam kegelapan. Tidak ada makanan. Arwah bapak saya selamba berkata, "Bapak makan di masjid". Saya rasakan ayah sudah seperti pengemis. Tambah sedih lagi apabila saya melihat kaki beliau bengkak kerana gout. Jalan terhincut-hincut pergi masjid.

Pada malam itu, saya memang tidak boleh tidur lena dan saya membuat keputusan drastik tanpa memikirkan kemampuan duit saya. Ayah saya mesti dibawa sekali ke Kulim sebaik selepas cuti raya. Saya mula mengira berapa duit yang saya ada. Saya baru bekerja selama 3 bulan. Gaji satu bulan RM1320. Tetapi sekali lagi Allah memudahkan. Duit itu cukup. Ngam ngam orang kata. Saya balik Kulim seminggu lebih awal untuk mencari rumah sewa dan membeli kelengkapan rumah. Seminggu kemudian arwah bapak saya tiba dan bermulalah kehidupan kami di Kulim. Kami tiada saudara mara. Kami hanya ada kawan. Kehidupan agak susah. Saya ingat lagi saya tidur di atas sejadah untuk beberapa bulan kerana tidak mampu membeli sebuah lagi tilam. Kereta pun hampir ditarik. Mujur samseng itu mempunyai sedikit perasaan kasihan. Saya faham bagaimana malunya perasaan meminjam duit daripada kawan semata-mata mahu membayar yuran.

Walaupun kehidupan agak susah, namun, saya tetap bahagia. Saya bersyukur arwah bapak saya berada di depan mata. Sakit, pening, makan, minum ada orang yang menjaganya. Ooops. Arwah bapak saya chef di rumah ini. Anak daranya tukang makan sahaja. Saya bersyukur saya tidak perlu lagi menangis dan mimpi ngeri hampir setiap malam kerana rindukan bapak saya.

Tahun ketiga saya bekerja, saya mendapat tajaan dari syarikat xx. Sebelum ini saya membayar duit pengajian dengan menggunakan duit gaji sendiri. Tahun itu jugalah saya mendapat kenaikan gred. Satu tapak untuk ke jawatan sebagai exempt staff. Pada tahun itu juga, bapak saya meninggal dunia. Saya langsung tidak menjangkanya. Saya balik rumah seperti biasa dengan perasaan riang gembira. Saya terkejut sebaik tiba di rumah, bapak saya menggelupur di biliknya. Beliau terjatuh dan hanya mengerang. Beliau hanya menyebut Allah. Saya membawanya dengan segera ke hospital dan beliau menghembuskan nafas pada pukul 4 pagi. Saya terkejut sehingga saya tidak tahu bagaimana mahu memberi reaksi.

Saya menerima ini semua sebagai takdir yang Allah tentukan untuk saya. Saya menganggapnya sebagai tarbiyah yang Allah titipkan untuk saya. Tetapi saya tidak pernah memarahi Allah kenapa Dia memberi takdir demikian kepada saya kerana saya sentiasa yakin Allah pasti mempunyai perancangan hebat untuk saya. Mungkin saya akan menyumbang sesuatu yang hebat suatu hari nanti untuk agama ini. Justeru itu, Allah memberi saya ujian yang begini hebat. Mungkin Allah mahu membersihkan hati saya agar saya tiada pergantungan lain selain dariNya. Chewah. Begitulah cara-cara memujuk diri.

Sebaik arwah bapak saya meninggal, saya berdoa sepanjang masa agar diberikan housemate. Saya tidak mahu berpindah dari rumah ini. Dalam masa 2 minggu, sekali lagi Allah membantu saya. Allah menitipkan saya 2 orang housemate. Itulah Ana dan Faezah. Rumah saya bukan pilihan untuk disewa kerana keadaannya yang terpaksa meredah ladang kelapa sawit. Secara logik memang agak mustahil sebenarnya untuk mendapatkan teman serumah dalam masa 2 minggu. Semuanya berlaku secara kebetulan. Ana tersesat ke rumah naqibah saya. Faezah yang kebetulan menelefon saya kerana ingin bertanya tentang melanjutkan pelajaran secara sambilan. Kedua-dua mereka baru selesai menamatkan pengajian. Itulah perancangan Allah. Dia ada ketetapan yang hanya akan berlaku bila tiba masanya.

Kerja

Jikalau air mata boleh ditadah, saya rasa sehingga 2010, mungkin sudah boleh sampai bergelen-gelen tong untuk menggambarkan betapa tidak sukanya saya bekerja sebagai juruteknik. (Hehe). Tetapi arwah bapak saya selalu menasihati, bersyukur dengan apa yang Allah beri. Yalah. Orang lain berhempas pulas mencari pekerjaan. Saya pula hanya duduk di JMTI dan xx datang kepada saya.

Saya berdepan dengan pandangan-pandangan orang yang sentiasa mengatakan saya tidak ada troubleshooting skill sedangkan itu core job saya. Mungkin betul kata mereka dan mungkin juga salah. Saya selalu menangis dengan persepsi itu. Tetapi seingat saya, saya tidak pernah putus asa. Manakan tidak. Apabila saya balik rumah, saya melihat arwah bapak saya yang menyejukkan hati. Saya mencari duit ini untuk dia, untuk kehidupan kami, untuk degree saya. Perasaan sedih itu terubat sendiri.

Pada mulanya, niat saya bekerja di xx adalah kerana mahu mendapat duit yang banyak. Saya teruja mendengar cakap-cakap senior saya yang mengatakan jikalau kita bekerja di kilang, kita boleh mendapat duit yang banyak hanya dengan OT.

Tetapi oleh kerana saya rasa stress, saya tidak mahu berfikir pasal duit. Lalu saya alihkan fikiran saya yang saya mahu mencari sebanyak ilmu sebagai juruteknik bukan duit. Saya orang yang suka belajar. Jadi apa-apa yang berkait dengan belajar adalah kesukaan saya.

Namun begitu tidak selalu juga saya positif. Tetapi Allah itu begitu Maha Memerhati, Maha Mengetahui dan tidak pernah membiarkan hamba-hambaNya mengharungi segala kesusahan bersendirian. 2 tahun kemudian, saya terlibat dalam satu pembentangan projek dan di situlah persepsi negatif ke atas saya mula surut. Saya mula dilihat sebagai seorang yang memiliki soft skill. Saya mempunyai 2 orang bos yang selalu ada di dalam fikiran saya. Kedua-dua mereka berbangsa cina. Mereka memainkan peranan besar dalam pembinaan kerjaya saya. Merekalah yang membantu saya dari segi memberi tunjuk ajar bagaimana menulis laporan teknikal, berkomunikasi dan menyediakan alat bantu pembentangan.

Bos saya sering bercakap - We should think in diffrence way! We should make changes! We should make impossible to be possible. Dalam masa yang sama, kami di belakang, akan berbisik-bisik, "Aku sudah dengar benda ini 5 tahun" ataupun "Kita juruteknik. Mana boleh sama dengan jurutera". Inilah lumrah. Bos akan sering dikata di belakang oleh anak-anak buahnya. Hehe. Ampun bos!

Bos saya memang agak dahsyat. Bos saya melayan kami sebagai jurutera. Hakikatnya kami hanya juruteknik sahaja. Beliau pernah bertanya kepada saya, challenge back orang putih kata - Apa yang xxx (seorang jurutera) boleh buat tetapi Welma (seorang juruteknik) tidak boleh buat? Dalam hati saya - authority tidak sama. Saya tidak berani menjawab soalannya kerana saya tahu bos saya sentiasa ada jawapan. Bos saya bukanlah orang yang melihat masalah ialah masalah. Beliau sentiasa melihat masalah ialah peluang. Tetapi beliau seorang yang sangat baik. Memang bekerja ala-ala pejuang. Pekerja Muslim perlu contohi beliau. Saya sendiri sehingga kini walaupun sudah berbeza organisasi, saya masih tetap meminta nasihat dan pandangan beliau.

Tanpa saya sedari, setelah 5 tahun ini, Allah telah memberikan kepada saya seperti apa yang saya niatkan 5 tahun dahulu. Saya mahu mencari ilmu dan Allah memberikan ilmu. Allah memberikan saya bos yang sentiasa mengajar kami untuk sentiasa berfikir sebagai jurutera bukan juruteknik.

Penyelia

Pada tahun lepas, sebaik saya balik dari umrah, tiba-tiba saya begitu aktif membuka portal intranet syarikat untuk memohon pekerjaan baru. Bekerja di tempat yang sama selama 5 tahun dengan skop kerja yang sama, memang boleh mendatangkan kejenuhan.

Dengan izin Allah saya mendapat jawatan penyelia (acting). Saya bukanlah calon yang terbaik untuk jawatan ini. Dalam dunia bekerja begitulah. Kita akan berdepan dengan sejuta komentar yang mengatakan kita tidak boleh, idea kita tidak bagus, dan macam-macam lagi. Jangan sesekali ambil hati dengan komen-komen negatif kerana ia hanya akan membuat rasa putus asa dan tidak percaya diri. Semua orang boleh mengatakan anda tidak boleh tapi anda harus mengatakan boleh. Chaiyok Welma!

Saya sentiasa percaya yang saya tidak perlu berubah personaliti kepada garang sikit. Saya hanya perlu menjadi diri sendiri. Saya bukan outgoing person dan saya tidak perlu menjadi outging person semata-mata untuk menunjukkan saya seorang penyelia yang bagus. Bukanlah maksud saya outgoing person itu tidak bagus. Cuma setiap orang ada stail dan personaliti masing-masing. Saya ada stail outgoing saya tersendiri. Mesej saya ialah, saya ada personaliti tersendiri dan saya tidak mahu meniru personaliti orang lain untuk kelihatan berkualiti.

Saya serahkannya semua kepada Allah. Saya memohon bantuan Allah memegang hati anak-anak buah saya dan orang yang bekerja dengan saya agar mereka tenteram di bawah seliaan saya. Sekarang ini saya merasakan diri saya adalah seperti Sultan Muhammad Al-Fateh pula. (Chewah. Sempat. Hehe. Tidak layak. Solat sunat rawatib pun tidak berapa menjaga)

Saya tidak berniat mahu membuktikan kepada mereka yang memandang rendah akan kebolehan saya sebagai penyelia. Saya cuma mahu mengaplikasikan pengalaman 5 tahun saya selama ini. Niat saya ialah mengmpul ilmu pengrusan sebaik mungkin. Saya mahu menggunakan sepenuhnya kekuataan soft skill saya memandangkan saya lemah troubleshooting skill. Dan saya mahu memberi apa yang bos saya pernah beri kepada saya iaitu menghargai anak-anak buah saya dengan cara melatih mereka sebagai knowledge worker. Saya mahu belajar ilmu pengurusan dengan mengekalkan imej lemah lembut (Ya kah? Jikalau Kak Min membaca ayat saya ini, pasti dia jatuh pengsan), soft spoken, dan penyayang. Ketegasan itu penting tetapi saya tidak mahu ia disama ertikan dengan karakter marah-marah dan suara lantang serta kuat. Akhir kata untuk Welma - Chaiyok Welma!

Berhenti Kerja

Saya tidak berniat untuk kerja lama di xx. Cukuplah 6 tahun 1/2. Kini ada 1 tahun 1/2 lagi. xx bukan destinasi saya. Ini cuma satu persinggahan yang asalnya dahulu saya niatkan untuk mencari duit untuk menyara ayah dan degree saya, tetapi Allah mentakdirkan saya memperolehi lebih daripada yang saya hajatkan. xx ialah universiti saya. Di sini saya belajar mengenal kekuatan dan kelemahan diri saya. Saya belajar membina keyakinan diri. Saya belajar kesabaran dan ketabahan. Saya belajar yang dunia persekolahan itu memang jauh bezanya dengan dunia pekerjaan. Di sini saya belajar yang bagaimana pun rancangan/pandangan orang lain untuk anda tetapi apabila anda yakin Allah bersama anda, Allah sentiasa akan mempermudahkan urusan anda InsyaAllah.

Belajar

Saya mula melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda pada Julai 2006 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan mengambill kursus Kejuruteraan Elektrik. Kelasnya setiap Sabtu (2 petang- 10 malam) dan Ahad (8.30 pagi - 4 petang). Kelas diadakan di Pulau Pinang dan pensyarah dari UTM Skudai akan turun ke sini setiap kali kelas diadakan. Jikalau anda ingin belajar secara sambilan dalam bidang kejuruteraan, saya syorkan UTM walaupun terdapat banyak kolej-kolej swasta ada menawarkan yang lebih murah dan cepat. Jikalau anda mencari kualiti dan pengiktirafan BEM, inilah tempatnya. Ijazah yang dikeluarkan adalah sama dengan pelajar sepenuh masa. BEM akan memastikan kursus sarjana yang dijalankan adalah standardize antara kursus yang dijalankan sepenuh masa dan separuh masa.Ujian akhir semester pula akan dijalankan serentak seluruh Malaysia dengan pelajar sepenuh masa. Cuma UTM memang agak payah sedikit kursusnya. Sepanjang saya belajar ini, saya jarang sekali berfikir untuk mendapat A. Saya hanya berfikir bagaimana mahu lulus. Bukan itu sahaja, yurannya juga mahal.

kini, sudah 5 tahun saya belajar secara sambilan dan selama 5 tahun itu juga saya tidak memiliki hujung minggu yang lapang. 5 hari bekerja dan 2 hari belajar. Itu tidak termasuk kami perlu ke UTM Skudai untuk peperiksaan makmal selama seminggu setiap tahun dan 2 kali pembentangan projek sarjana muda. Kini saya hanya tinnggal 2 subjek sahaja dan 1 makmal. InsyaAllah pada Mei 2011 ini perjuangan selama 5 tahun ini akan selesai. Sejurus selepas itu, bermulalah bond saya di xx pada Jun 2011 hingga Jun 2012 seperti yang termaktub didalam undang-undang tajaan xx. Hooray! Boleh berhenti kerja.

Mengikut rancangan awal pelan kehidupan, saya merancang untuk menyambung pelajaran ke peringkat Master dalam bidang Kejuruteraan Telekomunikasi pada awal tahun 2012. Tetapi apabila fikir-fikir balik kenapa saya perlu belajar kejuruteraan lagi jikalau fokus hidup saya sebenarnya tadika @ sekolah @ membina silibus pendidikan untuk remaja dan kanak-kanak. Ia akan lebih elok jikalau saya terus memfokuskan diri belajar sedikit demi sedikit psikologi pendidikan dan perkembangan awal kanak-kanak. Buat penyelidikan sirah Rasulullah saw. Praktiskan pengurusan sekolah. Memandangkan sekarang tidak ada sekolah lagi, boleh praktiskan ilmu pengurusan di tempat kerja. Gunakan peluang yang Allah beri jawatan penyelia (walaupun hanya acting sahaja) untuk melatih diri ilmu pengurusan. Hadamkan isu-isu semasa yang berlaku di sekitar dunia pendidikan pada hari ini. Kemudian saya fikir, ok. Saya akan buat Master dalam Psikologi Pendidikan @ Perkembangan Awal Kanak-Kanak pada awal tahun 2012. Tetapi ada halangan pula. Memandangkan degree saya dalam bidang kejuruteraan, saya difahamkan agak susah jikalau saya ingin menyambung ke peringkat master dalam bidang pendidikan. Ia akan lebih baik jikalau ada pengalaman mengajar 3 tahun begitu.

Setelah muhasabah yang panjang, saya meletakkan target untuk menyambung Master Pendidikan pada tahun 2015 dan usia saya pada ketika itu ialah 31 tahun InsyaAllah. Saya masih dalam dilema samada ada saya mahu berhenti kerja pada pertengahan tahun atau hujung tahun 2012. Kemana hala saya selepas itu pun masih dalam dilema lagi - samada bekerja di kilang lain (dengan niat mengumpul duit untuk sekolah yang mahu dibina) atau terus berkhidmat di sekolah milik IKRAM. Ada pro dan kontranya. Impian sebenar ialah mengajar di Khalifah School Ampang. Tetapi itu pun jikalau saya berpindah ke sana tetapi saya langsung tidak ada perancangan. Hanya terdetik dalam hati. Buat masa ini, sebarang keputusan masih tidak dibuat. Masih dalam mood mujahadah membuang dalam hati perasaan cinta bonus yang boleh diperolehi kalau bekerja di kilang. Saya sendiri tidak tahu samada keputusan ini betul atau tidak. Saya serahkan kepada Allah. Masih beristikharah.

Fokus Hidup

Saya mahu dedikasikan hidup saya ini untuk membantu agama Allah. Saya infakkan harta dan jiwa saya. Dahulu saya mahu menjadi seorang jurutera telekomunikasi kerana saya mahu mencipta sesuatu yang bermanfaat untuk orang Islam terutama dalam bidang ketenteraan. Tetapi apabila saya melihat budaya kerja jurutera yang sering balik lewat, akhirnya saya tidak ada mood pula. Ini semua kerana saya seorang perempuan. Apa yang ada di dalam kepala saya ialah tugas seorang perempuan ialah mendidik anak-anaknya, memasak, memastikan rumah bersih, dan menyiapkan keperluan ahli keluarganya. Ini prioriti. Saya mahu menjadi seperti arwah mak saya. Apabila saya terlalu menumpu di tempat kerja untuk cita-cita sebagai jurutera itu, dengan balik yang tidak menentu, saya khuatir prioriti saya menjadi kucar-kacir. Memang ada orang yang mampu melakukannya seiring tetapi saya bukan orang itu. Lalu saya pun mengubah suai sedikit perancangan hidup.

Saya mula berfikir apa lagi masalah umat Islam pada hari ini yang boleh saya bantu. Pendidikan. Ketika saya menunaikan umrah pada tahun lepas, saya tersentak. Allah tunjukkan kepada saya betapa hebatnya Rasulullah saw sebagai seorang guru terbaik mendidik masyarakat arab daripada masyarakat yang keras dan kasar kepada barisan sahabat yang begitu gigih memperjuangkan Islam dan mencintai Allah. Saya mula berfikir pasti ada metodnya. Dari situlah, azam saya berkobar-kobar mahu menjalankan kajian sirah Rasulullah saw dan memfokuskannya dalam bidang pendidikan. Saya mahu menemui formula itu untuk mencetak peribadi pelajar-pelajar yang tahu tujuan hidupnya ini ialah satu - untuk Allah, Rasulullah saw dan Islam. Saya mahu menjadi guru yang tulus dedikasi mendidik anak muridnya. Saya mahu mencetak Khalid Al-Walid yang jiwanya tidak kisah samada dia orang bawahan atau orang atasan tetapi masih tetap teguh bersemangat waja membela agama Allah. Saya mahu mencetak Abu Bakar As-Siddiq atau mungkin Abdul Rahman bin Auf yang menaja 100% perjuangan umat Islam. Saya mahu mencetak Salahuddin Al-Ayubi yang hidupnya tiada rehat. Sentiasa berdebu ke sana ke mari berjuang membebaskan Al-Aqsa.

Tadika @ sekolah itu hanya satu wadah. Penting untuk menjamin keberlangsungan penerapan idea-idea saya. Lagipun, apabila saya ada saham di dalamnya, maka agak mudah saya mengawal masa pergi dan balik kerja mengikut kesesuaian. Sekali lagi, saya tidak mungkin akan membinanya seorang diri. Semoga Allah mengurniakan saya barisan kawan yang boleh bersama-sama memperkuatkan antara satu sama lain.


Buat masa ini saya tidak memulakan lagi kajian sirah Rasulullah saw. Ini kerana bermula Januari hingga Jun 2011, saya hanya memfokuskan kepada 3 perkara sahaja dalam hidup saya iaitu menstabilkan kerja saya sebegai penyelia, menyelesaikan degree yang dijangka siap pada Mei 2011 dan membina serta memantau silibus program aulad yang diadakan purata sebulan sekali di bawah Program Ikram Kidz.

Buku

Alhamdulillah. Pada tahun ini, Allah masih lagi mengurniakan kelapangan di celah-celah kesibukan. Saya masih sempat bermesra dengan buku. Saya masih lagi menetapkan kuantiti 50 sebagai sasaran. Namun tidaklah pula saya memaksa diri untuk mencapai sasaran itu. Saya banyak membaca sambil bersantai atas sofa. Merehatkan diri dari kepenatan bekerja. Cuti Raya Cina ini saya dedikasikan untuk membuat aktiviti yang menyeronokkan iaitu membaca. Yurm. Yurm. Sedapnya buku. Boleh tahan juga saya mengeluarkan semua buku yang mahu dibaca. Tamak.

Tetapi saya hanya berjaya membaca 3 buah buku sahaja. Salah satunya ialah buku Hidup Sekali Manfaat Selamanya karya Dr. Muhammad Musa Asy-Syarif.


Agak lama juga masa diambil untuk buku ini. Saya tidak mahu tergesa-gesa menyelesaikannya. Saya lebih banyak termenung. Saya sebenarnya memikirkan tentang cita-cita. Jadi, ketika membaca buku ini saya lebih suka menghadam sedikit demi sedikit dan menasihati diri sendiri. Menurut penulis pada halaman 49, ada 4 tip wajib yang perlu kita ikuti jikalau kita mahu meninggalkan atsar yang mulia sebelum kematian kita. Pertama, memiliki hubungan yang baik dengan Allah. Kedua, memiliki keperibadian yang baik. Ketiga, memiliki rencana yang agung dan keempat memiliki ilmu yang luas dan wawasan yang tepat.

4 tip inilah yang membuatkan saya termenung panjang. Cuba merenung diri sendiri. Alamak. Banyak sungguh celanya. Saya hanya memiliki impian @ rencana agung iaitu tip ketiga. Saya mahu dedikasikan hidup saya untuk membantu agama Allah dan saya fokuskan diri saya dalam bidang pendidikan. Inilah atsar yang saya mahu tinggalkan untuk umat Islam.


Oh ya. Tidak lupa Komik Khalid Al-Walid terbitan Telaga Biru dan Kisah Haiwan Makkah Zaman Rasulullah saw karya Fatimah Syarha. 2 buah buku ini membuatkan saya menangis. Saya pun tidak faham dengan diri saya. Buku komik itu buat masa ini ada 3 siri semuanya. Khabarnya akan terbit 3 buah lagi dengan kisah para sahabat yang lain. Tidak sabar mahu membelinya. Cukupkan koleksi. Pada mulanya saya ingatkan karya Fatimah Syarha ini hanya sekadar kisah haiwan. Rupa-rupanya tidak. Ia kisah Rasulullah saw. Buku ini memiliki kembarnya - Kisah Haiwan Madinah Zaman Rasulullah saw. Buku ini dibaca sebagai persediaan program IKRAM Kidz kami yang akan diadakan pada 19 Februari ini dengan tema Jejak Rasul.

Memetik tulisan Peter Drucker melalui bukunya Eksekutif SMART (Terjemahan dari The Effective Executive) pada halaman 6, beliau menulis, "Napolean ada mengatakan, tidak ada satu pun pertempuran yang beliau menangi mengikut perancangan asal. Walaubagaimanapun, Napolean tetap merancang setiap pertempurannya dengan begitu teliti".

Saya sendiri tidak pasti adakah impian saya akan tercapai atau tidak. Adakah ia akan on-track sepanjang masa atau adakah lagi nanti perubahan strategi akan dibuat. Saya tidak tahu. Tetapi saya yakin, jikalau niat saya ikhlas mahu membantu agamaNya, Dia akan mudahkan untuk saya. Saya hanya perlu terus berdoa, terus berusaha, terus belajar, dan bertawakal. Namun begitu saya masih perlu terus bermujahadah lagi. Banyak sangat cela diri ini.

Wallahu alam

Saturday, January 01, 2011

Yay! 2010 = 49.5 buah buku

Yay! 2011. (Err Entri in sepatutnya disiarkan semalam tetapi tertidur pula. Apabila terjaga, Oh jam sudah melepasi pukul 12. Maknanya sudah 2011. Nampaknya kena edit semula kata-kata aluan)

Yay lagi! Misi tercapai walaupun buku-buku terakhir itu ialah komik. Hehe. (Tidak main tipu kan kan). Err. Sebenarnya 49.5 buah buku kerana saya tidak sempat menghabiskan Koleksi Cerita Adam Kecil karya Ashadi Zain, Fred Suriya dan Najla Azura. Jadi saya mahu mengikut hukum pembundaran dalam dunia matematik. Memandangkan saya telah membaca sebanyak 49.5 buah, maka saya bundarkan nombor itu menjadi 50. Dalam erti kata lain, Yay, saya berjaya mencapai 50 buah buku setahun. Jadi tidak perlulah saya menulis panjang-panjang membela diri dengan mengatakan tidak penting kuantiti kerana apa yang lebih utama ialah kualiti dan semangat. Hehe.

Sekarang pukul 2.32 petang. 31 Disember 2010.

Ada beberapa jam sebelum pergi usrah. Dan beberapa jam sebelum bertukar tahun ke 2011.

Menulis sehingga Maghrib. Pergi usrah. Hantar Ana ke stesen bas dan balik rumah. Tertidur tanpa disedari.

4.00 pagi. Tiba-tiba terjaga. Melihat jam. Adooi! Bukuku. Koleksi Cerita Adam Kecil. Nampaknya 49.5 buah sahaja.

Sekarang pukul 7.58 pagi. 1 Januari 2011. Masa untuk edit entri.

Secara kesimpulannya pada tahun ini saya membaca 2o.5 buah buku fiksyen, 4 komik dan 25 buah buku bukan fiksyen. Dalam 50 buah itu, sebanyak 35.5 buah buku yang berjaya diceritakan di dalam blog ini. Baki 14 buah itu pula, alasannya ialah saya salahkan perangai saya yang suka bertangguh. Tangguh punya tangguh. Akhirnya saya terlupa dan menjadi malas.

Pada ketika ini, saya ingin kongsikan seringkas mungkin baki 9.5 buah buku yang belum saya abadikan di dalam My Kingdom of Books. Adui! Saya sudah menulis draft sebelum ini dan saya terlupa menekan butang save. Ya. Ini alasan kenapa ulasan pada kali ini pendek-pendek sahaja. Mahu alasan lagi. Ya. Saya demam ( mahu demam sebenarnya). Demam lagi. Sihat sebentar di KL. Mujur bukan. Kalau tidak, bagaimana boleh beraksi membeli buku.


OKlah. Banyak pula ceritanya. Terus kepada tujuan (betulkah terjemahan untuk straight to the point begini), ini dia kongsi-kongsi cerita buku ke 40 dalam Senarai 50 Welma La'anda 2010.

Ibu, Benarkah Tuhan Itu Ada karya Nabilah Hasan. Sebuah lagi buku yang menyahut seruan Faizah agar membaca buku yang kurus-kurus. 113 halaman sahaja.

Saya perhatikan ada kesinambungan topik (maksud saya ditulis mengikut turutan) dari satu bab ke satu bab walaupun penulis tidak menyatakannya secara langsung. Malah setiap bab tidak pula dinomborkan. Pada mulanya saya ingatkan setiap bab itu tidak berkaitan antara satu sama lain. Mungkin boleh saja dibaca mengikut bab yang disukai dahulu. Tetapi, apabila hampir selesai buku ini dibaca, baru saya sedar yang penulis sebenarnya telah berjaya membawa pembaca mengenali Allah secara peringkat demi peringkat tanpa disedari. Maksudnya, memandangkan buku ini ditulis untuk ibu-bapa, mungkin sebagai material tambahan di dalam mendidik anak-anak tentang konsep ketuhanan, secara tidak langsung, ibu-bapa juga boleh belajar cara-cara menerangkan kepada anak-anak tentang Tuhan mengikut kaedah, langkah demi langkah dan berperingkatan.

Penulis memulakan buku ini dengan pertanyaan Ibu, Siapakah Tuhan Kita? Benarkah Tuhan itu Ada? Ada anak atau tidak? Tuhan kita satu atau banyak? Di mana Tuhan kita. Allah melihat dan mendengarkan kita atau tidak? Kenapa kita tidak boleh melihat Tuhan?

Soalan-soalan asas yang sering ditanyakan oleh budak-budak. Soalan-soalan yang berkaitan dengan zat dan fizikal Allah. Memang sering ditanya kerana sudah menjadi fitrah kita hanya mempercayai apabila nampak di depan mata. Jadi, buku ini memberi panduan bagaimana kita boleh berdepan dengan pertanyaan-pertanyaan itu. Kadang-kadang jawapan tidak semestinya perlu djawab dengan fakta. Kemahiran memberi analogi juga penting. Tersurat boleh dijelaskan melalui pancaindera dan tersirat boleh dijelaskan melalui kemahiran berfikir. Di sinilah analogi memainkan peranan.

Setelah proses kenal-mengenal itu, penulis susuli pula dengan pertanyaan kenapa Allah mencipta kita? Mesti ada sebabnya. Kerana untuk beribadah kepadaNya. Kita tahu Allah itu ada. Allah suruh kita beribadah kepadaNya. Tetapi bagaimana caranya. Bagaimana cara-cara kita berbaik-baik kepada Allah. Kita boleh nampak bukan susunan yang saya maksudkan tadi. Mengenal ciri-ciri Tuhan kita dahulu. Tidak kenal maka tidak cinta. Kemudian memahami diri kita sebagai ciptaanNya. Pasti ada fungsi kita dan bagaimana kita mahu melaksanakan fungsi-fungsi itu tadi.

Kemudian, penulis memberitahu pula ada tidak cara lain yang secara tidak langsung boleh merosakkan hubungan kebaikan kita kepada Allah. Ada. Iaitu syirik. Apa itu syirik dan bagaimana kita boleh terjebak dengan perbuatan syirik.

Pertanyaan-pertanyaan seterusnya terus menyusuli dengan bertanya kenapa ada orang jahat. Kenapa kita kena hidup susah di dunia ini. Soalan ini lebih berbentuk aplikasi kehidupan. Maksudnya, kita sudah kenal Allah, sudah tahu kenapa diciptakan, sudah tahu tanggungjawab kita kepadaNya dan seterusnya bagaimana kita boleh mengaplikasikan maklumat ini dalam medan kehidupan yang sangat mencabar. Contohnya apabila berdepan dengan kesusahan bagaimana sepatutnya reaksi kita dan bagaimana kita boleh aplikasikan bekalan tadi (mengenali Allah, jelas tujuan kehidupan, faham tanggungjawab). Jadi apabila kita diberi ujian, sebenarnya kita akan semakin memperbaharui pemahaman kita tentang 3 aspek tadi tanpa disedari.

Mari kita sama ingat mengingati. Mengenal Allah adalah silbus paling awal yang perlu diajar kepada anak-anak. Inilah foundation/base/tapak buat dirinya untuk kehidupan dunia yang semakin mencabar.


Buku ke 41. Spanar dan Spatula karya E-Man Dhani. Selalu ternampak buku ini di bahagian display kedai buku Popular. Mati-mati saya ingatkan penulisnya ialah seorang lelaki. Sebaik membaca di wall FB beliau saya membuat kesimpulan - perempuan. Tetapi, jikalau anda membaca Spanar dan Spatula, mungkin anda beranggapan penulis ialah seorang lelaki. Pendapat saya, nama penulis sangat penting. First impression orang putih kata. Saya beri contoh. Buku sai-fai. Saya agak berat membelek-belek karya sedemikian jikalau terlihat nama penulis ialah seorang perempuan. Saya sendiri kurang faham kenapa. Begitu juga kisah Siri Sarah dan...Saya tidak rasa jikalau nama penulisnya nama lelaki, saya akan membelek-beleknya dan akhirnya jatuh cinta.

Dalam kepala saya ini seolah-olah sudah tertanam, cerita aksi dan thriller, penulisnya ialah seorang lelaki dan cerita keperempuanan dan kasih sayang, penulisnya ialah seorang wanita. Namun begitu saya pernah juga ditipu oleh Hafalan Shalat Delisa. Saya membayangkan Tere Liye itu ialah seorang wanita yang penuh kasih sayang. Sekali tengok di Friendster (masa itu bukan FB) - lelaki. Namun begitu sehingga kini saya adalah pembaca tegar karya Tere Liye. Mesej saya, walaupun nama itu tidak penting tetapi sedikit sebanyak ia mempengaruhi first impression seseorang itu. Senang cerita, pilih nama pena yang universal.

Panjang pula saya bercerita bab nama pena. Hehe. Saya suka buku ini kerana saya dapat rasakan penulis pandai tackle perasaan pembaca. Ya. Ketika saya membaca bab permulaan, saya sudah sebak. Cerita tentang seorang ibu yang menghidapi kanser serviks dan memiliki seorang anak bernama Adam. Tiba-tiba saya rasa ter-psiko. Mulalah saya berfikir adakah patut saya buat pemeriksaan kesihatan sekarang. Mulalah saya berfikir tentang arwah mak saya. Cerita berlanjutan sehingga ke bab ayah Adam membuat keputusan bekerja di Abu Dhabi dan meninggalkan Adam di rumah neneknya. Sedih lagi. Saya boleh membayangkan perasaan sedih Adam, sudahlah mak meninggal, kemudian terpaksa berjauhan pula dengan bapa. Payah betul menjadi seorang pembaca yang emosional. Pada masa itu saya membuat kesimpulan, aduh, terbaca buku sedih pula. Mungkin tidak sedih sebenarnya. Mungkin kerana saya tidak ada mak ayah, jadi sedikit sebanyak buku ini trigger saya kepada sesuatu. Maksud saya, tidak ada yang berharga di dunia ini melainkan sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh. Mudah-mudahan saya tidak menjadi anak yang menyebakan mak ayah saya mandul di akhirat. Mudah-mudahan saya adalah aset yang tidak ternilai buat mereka.

Sambung semula. Apabila sampai bab Adam menetap di rumah neneknya , banyak pula cerita tentang kecomelan Adam. Maksud saya setiap tingkah laku Adam terserlah kecomelannya. Saya rasa ini juga satu kelebihan penulis. Pandai menggambarkan aksi kanak-kanak. Ini mengingatkan saya kepada Dina Y. Sulaeman penulis Travelog Iran. Beliau sangat pandai menggambarkan Iran sehinggakan saya merasakan buku itu tanpa sebarang gambar pun langsung tidak mencacatkannya. Begitu juga dengan Tere Liye. Beliau juga pandai menggambarkan aksi kanak-kanak. Mungkin kerana itu saya menyangkanya seorang perempuan ketika membaca Hafalan Shalat Delisa.

Kemudian sampai pula bab nenek Adam meninggal dan Adam dihantar oleh bapa saudaranya ke rumah anak yatim. Ha. Sudah. Saya memang geram betul dengan orang sebegini. Pendek kata, novel ini memang penuh dengan emosi sehinggalah pada bab Adam bekerja di bengkel bapa saudaranya. Bermula bab ini sehingga habis halaman, tanpa agak-agak saya mengklasifikaskan novel ini sebagai novel humor. Banyak pula kelakarnya. Mesej berat tetapi diolah santai-santai. Itu yang setepatnya.

Cuma, saya memang tidak puas hati dengan bapa Adam. Boleh bekerja di Abu Dhabi dari Adam kecil (dalam usia 6 tahun saya rasa) sehinggalah Adam besar panjang (20-an), baru dia balik Malaysia. Selama belasan tahun itu, beliau hanya mengutus surat dan wang sahaja. Aduh! Nampak macam tidak logik tetapi banyak juga yang saya perhatikan sebegini di duna realiti. Tidak mengapalah. Setiap orang ada sebab tersendiri. Mungkin juga jiwa seorang lelaki berbeza dengan perempuan. Lelaki lebih tegar meninggalkan anak jauh-jauh. Tetapi ada juga bibik di sini yang terpaksa meninggalkan anak mereka di Indonesia bertahun-tahun. Kasihan pula. Mujur juga kisah saya dan arwah bapa saya tidak sebegini.Eh! Eh! Apa yang saya mengarut ini.

Perkara kedua kenapa saya suka buku ini ialah kerana mesej ceritanya yang pelbagai sekaligus pengajaran yang pelbagai juga diperolehi. Apa yang lebih penting ialah buku ini sesuai untuk remaja lelaki. Saya sebenarnya sedang mencari novel kehidupan yang berkisar dunia remaja lelaki. Kembali kepada mesej tadi. Saya suka mesej di mana penulis menggambarkan Adam sebagai seorang alim tetapi pandai bergaul dengan orang biasa. Dia tidak mencipta jurang dalam pergaulan. Kita pun faham sekarang ini. Orang biasa dan orang baik memiliki jurang pergaulan yang begitu ketara. Mungkin sudah masanya orang-orang yang merasakan dirinya baik memperluaskan connection terhadap orang-orang biasa untuk tujuan dakwah (maksud saya lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan). Baru dakwah boleh tersebar dan orang-orang biasa boleh ubah persepsi terhadap orang-orang baik ini - OK juga rupanya mereka ini. Selain daripada itu mesej yang paling penting saya rasa, sesuai dengan tajuknya, Spanar dan Spatula, penulis menggambarkan tidak semestinya jikalau anda menceburi dunia masak-memasak sekaligus anda perlu menjadi pondan. Ya. Persepsi. Penulis sebenarnya mahu mengubah persepsi itu.

Akhir sekali, sedikit penambahbaikan saya kira. Memandangkan penuls bercerita tentang kehidupan Adam dari kecil sehinggalah Adam dewasa, saya kira penulis perlu sedikit berjaga-jaga tentang masa dan hubungkait dari satu usia ke satu usia. Saya sedikit lost track apabila sampai bab Adam bekerja di bengkel bapa saudaranya dan ketika dia menyambung pengajian. Tertanya-tanya saya dibuatnya berapakah usia Adam pada masa itu. Lagi satu peguam kembar yang satu sekolah dengan Adam. Bukankah mereka 2 tahun lebih tua daripada Adam. Saya pelik. Jikalau Adam pada ketika itu berusia 21 tahun, mereka baru berusia 23 tahun. Maksudnya mereka menjadi peguam pada usia 23?? Ataupun saya yang sebenarnya silap faham selama ini kerana dalam fikiran saya seorang peguam mula bekerja selepas chambering. Belajar 5 tahun. Selepas itu chambering pula. Ehm. OK. Satu lagi. Hehe. Penulis menggambarkan Adam sebagai seorang hafiz. Tetapi ada bab di dalam buku ini Zakiah menjentik telinga Adam dan Adam tidak pula mengelak. Saya cadangkan mungkin perlu ditambah ayat Adam mengelak apabila telinganya dijentik.

Selepas membaca karya Eman Dhani, tiba-tiba pula saya mahu membaca fiksyen remaja yang lain. Lalu saya memilih Siri Sarah dan... karya Ezee Rahmani. Seronoknya. Tidak boleh berhenti pembacaan. Bermula dengan Sarah dan Bunga Mawar, kemudian Sarah dan Senduk dan seterusnya Sarah dan Anting-anting. Kemudian, baru saya tersedar, eh saya tidak ada Sarah dan Duit Raya rupanya.

Setakat ini Siri Sarah dan... ada 5 buah kesemuanya. Siri yang pertama ialah Sarah dan Kasut Tumit Tinggi. Jkalau anda seorang pembaca lelaki, kemungkinan besar anda tidak menyukai buku ini. Malah, saya pun tidak mengesyorkan pembaca lelaki membaca buku ini terutama kanak-kanak. Risau nanti mahu menjadi perempuan pula. Memandangkan saya seorang perempuan, cerita di dalam buku ini memang sangat dekat di hati. Secara peribadi, saya menganggap buku in sebagai pencetus semangat untuk menjadi seorang perempuan yang suka memasak, suka mencantikkan halaman rumah, suka mengemas rumah, suka cantikkan diri (di dalam rumah sahaja) dan macam-macam lagi lah aktiviti perempuan.

Ya. Inilah Siri Sarah dan...buku ke 42, 43 dan 44 yang termasuk dalam senarai 50 Welma La'anda 2010 yang berjaya dibaca sepanjang hari-hari marathon buku. Buku yang wajib dibeli. Koleksi peribadi.

Marathon buku terpaksa diberhentikan sebab saya sudah perlu ke KL pada 22 haribulan pada sebelah petang. Cuti sehingga 27 haribulan. Walaupun begitu, saya sempat membawa Sarah dan Duit Raya, Laskar Cinta karya Isma Ae dan komik Ikhtiar Hidup di Glasier. Konon-konon djangkakan sempat dibaca di sana nanti. Marathon tetap marathon bukan. Tetapi, atas alasan mahu meraikan walimah Kak Min, agak tidak beretika saya rasa, sebagai seorang ahli walimatulurus tetapi sangat sibuk dengan aktviti membaca.

Walaupun begitu, mujur saya dan Yun sempat ke PWTC pada 23 haribulan. Itu pun saya berjanj dengan Kak Min - lepas Zuhur saya balik kak. Kami tiba di PWTC kira-kira pukul 12 tengahari dan saya selesai membeli-belah kira-kira pukul 2 petang. Selepas itu saya risau bagaimana agaknya kami perlu membawa buku-buku ini dengan menaiki komuter. Alhamdulillah. Allah permudahkan. Tetapi pada sebelah malamnya, baru rasa sengal-sengal dan lenguh. Manakan tidak.Berhimpit-himpit di dalam komuter sambil mempertahankan buku-buku.

Sebenarnya, buku-buku di bawah bukan milik saya semuanya. Ia untuk perpustakan super mini IKRAM khas untuk adik-adik remaja.

Jikalau anda pembaca blog saya dari awal, anda mungkin pernah membaca yang saya pernah menulis tentang impian saya yang mahu memiliki tadika buku. Sebuah tadika yang dikelilingi oleh banyak buku untuk kanak-kanak. Tetapi, saya sendiri tidak tahu bila impian itu akan tercapai. Mungkin kerana berimpian sedemikian, saya begitu aktif membeli buku kanak-kanak. Buku-buku itu disimpan di rumah dengan harapan ia akan dipindahkan ke tadika impian itu nanti.

Pada tahun ini, saya diamanahkan sebagai pembuat program untuk adik-adik yang berumur antara 7 - 12 tahun. Banyak perkara yang saya fikirkan sejak akhir-akhir ini bagaimana mahu membangunkan mereka, barisan pelapis dan saya sendiri terutamanya. Jalan-jalan cari buku ke PWTC mengilhamkan kepada saya apa kata kegilaan membeli buku kanak-kanak ini disalurkan kepada sesuatu yang nampak hasilnya. Maksud saya bukan lagi hanya dengan menyimpannya di rak buku saya dan menunggu sehingga tadika impian menjadi realiti. Saya berfikir ada baiknya ia disumbangkan kepada IKRAM, atau lebih tepatnya untuk Kelab Aulad IKRAM. Mungkin saya tidak mampu lagi membina khutub khannah yang hebat tetapi biar ia bermula dengan sudut bacaan. Ia lebih baik daripada tidak bermula langsung.

Ada beberapa orang kawan saya yang tertarik dengan projek ini dan mereka menawarkan bantuan dan sumbangan. Sumbangan mereka lebih hebat daripada saya. Mereka saya ibaratkan seperti Saidina Usman yang membeli telaga Yahudi untuk kegunaan Islam di Madinah. Pada ketika ini, Sudut Bacaan Kelab Aulad ini bukan lagi projek Welma La'anda tetapi projek kami. Saya tukang pilih buku sahaja.

Yay! Inilah buku-buku yang berjaya ditangkap pada hari kedua Pesta Buku Antarabangsa Kanak-kanak tahun 2010 di PWTC.


Buku-buku siri sahabat, sirah Rasulullah sallallahualaihiwassalam, cerita nabi dan kisah-kisah orang soleh. Kisah-kisah sebegini perlu disumbatkan awal-awal dan diutamakan sebagai bahan bacaan sebelum buku-buku baik yang lain. Ini penting agar anak-anak kita sangat mesra dengan cerita sebegini dan terikut-ikut dengan tabiat orang-orang soleh.

Saya sangat suka Siri Usahawan Cilik. Saya berharap apabila anak-anak membacanya mereka akan terangsang untuk menjadi seorang yang suka dengan dunia perniagaan. Zaman kecil saya, saya banyak disuap dengan karya Enid Blyton Siri Penyiasat. 3 penyiasat. 7 penyiasat. Pada masa itu saya memang banyak berfikir bagaimana mahu membantu polis . Saya siap mencari pokok untuk dijadikan markas operasi. Mahu digambarkan betapa terpengaruhnya saya dengan buku itu. Itulah impak membaca dalam dunia kanak-kanak. Walaupun nampak biasa, sebenarnya kanak-kanak akan cuba menjadi seperti apa yang dibacanya. Ini menurut pengalaman saya. Saya baru memiliki Garaj Aiman dalam Siri Usahawan Cilik. Itupun sudah dibaca pada tahun lepas jikalau tidak silap. Memang seronok setelah selesai membacanya. Rasa seperti mahu berniaga pula. Selain itu, ia juga boleh melatih anak-anak kita menyelesaikan masalah. Sangat bagus melatih mereka berfikir-fikir benda kebaikan daripada sibuk dengan televisyen.

Kami pilih Komik-M juga. Saya banyak berfikir bahan bacaan untuk budak lelaki sebenarnya. Sepanjang mencari-cari buku, kami utamakan buku-buku yang sesuai untuk mereka. Memilih bahan bacaan untuk adik-adik perempuan tidak susah kerana memang sangat banyak di pilihan. Komik-M ini untuk mereka. Itu pun saya tidak rembat semua yang ada di rak sebab saya rasa saya perlu beli dulu sedikit, baca dan kalau puas hati dengan mesejnya, InsyaAllah baru beli di kemudian hari. Setakat ini saya sudah membaca Ultra Qalif #2 Adiwira Muda Beraksi Lagi oleh Bophairy (Buku ke 45), Takaza #1 (Buku ke 46)oleh Sitrahaslee (Buku ke 47), Meon Perang Bola Kampung # 2 oleh Jas (Buku ke 48) dan Misi 8A oleh Afiq & Nazry. Saya memang puas hati. Setiapnya memiliki jalan cerita yang berbeza. Apa yang lebih penting ialah mesej cerita yang mengingatkan tentang solat, suka kepada kebaikan kerana Allah yang perintahkan sebegitu dan berakhlak mulia. Tidaklah kita membaca komik hanya mendapat keseronokan sahaja tetapi dalam masa yang sama ada unsur-unsur peringatan.

Tidak lupa kami sepakat juga memilih buku comel Siri KIDS. Sekali lagi saya hanya memilih yang sesuai untuk budak lelaki. Sebelum ini saya pernah membaca Putera Fariri dan Buku Resipi Ajaib karya Aliff Danial. Puas hati. Oleh kerana itu saya tidak audit semula Tiket Bola Sepak. Tidak sempat sebenarnya. Buku ke 49.5 : Koleksi Cerita Adam Kecil karya Ashadi Zain, Fred Suriya dan Najla Azura. Puas hati juga dengan mesej cerita buku ni. Cerita seorang kanak-kanak lelaki dengan kehidupan sehariannya. Mesej cerita ialah bagaimana adik kecil yang bernama Adam ini menyelesaikan masalah kehidupan sehariannya dengan akhlak yang mulia. Sekarang ini saya tidak sabar pula menunggu Kembara 5 Putera : Mencari Pohon Emas.

Tidak lupa membeli Siri Sarah dan....karya Ezee Rahmani. Tetapi tidak lengkap kerana tiada Sarah dan Kasut Tumit Tinggi dan Sarah dan Anting-anting. Buku ini untuk adik-adik perempuan.

Ada juga membeli novel remaja yang bukan bersiri tetapi tidak banyak. Cuma 3 buah sahaja. Saya perhatikan seperti ada buku-buku yang mahu dibeli tetapi tiada di situ. Ada buku lain tetapi saya belum membacanya lagi. Jadi saya tidak berapa tahu apa isi kandungannya. InsyaAllah, kalau ada rezeki dan kelapangan, saya akan membelinya di lain hari, baca dan cuba memahami mesej cerita. Ketua Bilik LA 101 dibeli sebab Ezee Rahmani yang menulisnya. GIM (Gemuk Itu Menarik) karya Ida Rizyiani pernah saya baca sebelum ini. Saya suka dengan mesej ceritanya iaitu menguruskan badan bukan untuk memakai baju yang cantik untuk diperagakan kepada orang awam. Kesatria Ajaib itu belum lagi saya baca. Baru sekadar belek-belek. Saya mungkin terpengaruh dengan nama watak di dalamnya. Mungkin itu penyebabnya kenapa saya membelinya.

Kami pergi lagi pada hari terakhir Pesta Buku Antarabangsa Kanak-kanak di PWTC. Pada kali ini kami membeli pula Siri Muaz dan Haikal. Buku ke 49 : Gerak Kilat karya Kusyi Hirdan (Membaca ini dahulu sebelum Koleksi Cerita Adam). Kisah cerita remaja lelaki dan bola sepak. Tetapi tidak lepas daripada cerita tentang kegiatan mereka dengan masyarakat dan keluarga. Tidak lupa juga membeli Siri Dunia Sains Aiman karya Umi Kauthar Abdul Razak. Pastinya buku ini dibeli dengan harapan agar adik-adik yang membacanya suka kepada matapelajaran sains dan matematik.

Saya juga membeli buku untuk diri sendiri. Buku Siri Seni & Kraf Bersama Kak Emila karya Emila Yusof, Diari Mat Despatch : Lelaki Baik karya Bahruddn Bekri dan Kuasa Kepimpinan Al-Fateh karya Ustaz Muhammad Syaari Abdul Rahman. Sekali pandang, mungkin orang akan menganggapnya sebagai salah satu lagi karya Abdul Latip Talib. Manakan tidak, kaver yang ala-ala sama dengan Novel Sejarah Islam dan diletakkan pula bersamaan dengan novel-novel itu. Tidak perasan dibuatnya.

Ada juga menyinggah sebentar di Daawah Corner Bookstore. Yay! Yay! Dua kali Yay! Saya terjumpa Ameena's Ramadan Diary. Kali pertama saya melihat buku ini di internet dan saya tidak tahu bagaimana mahu membelinya. Pada masa itu saya memang sangat berkeinginan mahu memiliki buku ini. Alhamdulillah. Allah mengizinkan saya berjumpa dengannya di pesta buku. Hooray! Seronoknya. Beli juga Muslim Teenagers Coping sebab penjual di situ yang begitu beria-ia menyatakan betapa bestnya buku ini.

Pada 26 Disember (Ahad) , selepas Zuhur, sejurus selepas makan tengahari di sebelah pihak lelaki untuk walimah Kak Min, saya dan Sarah menuju ke Jalan TAR. Niat di hati mahu singgah ke Pustaka Fajarilmu Baru. Tetapi tutup. Aduh! Kecewa.

Keesokannya pula, Kak Feza mengajak jalan-jalan ke Sogo. Tetapi sebenarnya tidak ke sana. Sebaliknya ke Jalan TAR. Yahoo! Terima kasih Kak Feza. Kami singgah di Pustaka Mukmin. Inilah kali kedua saya menjejakkan kaki ke sini. Entah kenapa saya seperti tidak ada mood shopping buku di sini. Mungkin asyik terfkir Fajarilmu Baru. Walaupun begitu, saya berjaya membeli buku yang sudah lama diidam-idamkan iaitu Tarbiyatul Aulad karya Dr. Abdullah Nashih Ulwan.


Selepas itu, kami singgah pula di Fajarilmu Baru. Yay! Baru rasanya lengkap perjalanan ini. Terima kasih Kak Feza. Ya. Tiba-tiba kaki saya kekejangan apabila berada di sini. Mungkin itu tandanya saya sudah banyak berjalan dalam 5 hari ini. Saya membeli 5 buah buku. Yay!

Di Landmark Kulim Bookstore juga sedang hangat berlangsung diskaun besar-besaran untuk setiap pembelian buku. Bayangkan buku PTS diberi diskaun sehingga 25% dan buku-buku lain pula diskaun 20%. Untuk hari-hari biasa pula, jikalau anda pemegang kad ahli, anda boleh mendapat diskaun sebanyak 15%. Inilah hasil tangkapan semalam. Buku karya HAMKA dan Fatimah Abdul Rahman.

Pencapaian perbadi tahun 2010 ialah selesai membaca 50 buah buku (setelah dibundarkan dari 49.5 buah). Pencapaian bersama ialah Sudut Bacaan Kelab Aulad IKRAM. Saya doakan semoga kawan-kawan saya akan semakin kaya dan bertambah kaya. Bolehlah lagi kita shopping buku!

Wallahu alam