Thursday, December 27, 2012

4 Hari Lagi

Status terkini, 40 buah buku berjaya dibaca. Alhamdulillah. Semuanya saya kelaskan mengikut tema seperti gambar-gambar di bawah.

Saya hanya membaca 3 buah buku untuk tema keibubapaan buat masa ini. Antara buku itu ialah Gentle Reminder for Little Khalifah  tulisan Prof. Muhammad Al Mahdi Jenkins, pengasas Kaedah Khalifah. Pada 3 minggu lepas saya menghadiri Bengkel Khalifah untuk Guru di Khalifah Institute, Ampang. Secara tidak langsung, saya berpeluang memborong buku-buku tulisan arwah Prof. 

Buku ini agak istimewa kerana saya membacanya satu persatu dengan suara yang sederhana kuat. Ada 39 halaman, fuh, penat juga mulut. Saya membacanya sedemikian kerana saya mahu menjiwai setiap patah perkataan yang ditulis. Lagipun, ditulis di belakang buku ini - Read this book aloud daily in the morning or at bedtime. Saya membayangkan seolah-olah saya sedang menyampaikan bait-bait kata yang penuh hikmah dan nasihat di hadapan kanak-kanak. Hebat sungguh berangan bukan ! Buku ini merupakan kompilasi tazkirah pagi yang disampaikan penulis kepada pelajar-pelajar di Khalifah Model School. Ada 31 nasihat yang panjangnya kira-kira125 patah perkataan (1 halaman kertas bersaiz A5). Temanya adalah sekitar  tanggungjawab sebagai khalifah yang perlu dilaksanakan oleh pelajar. Penggunaan ayat-ayat yang mudah, bahasa yang memotivasikan dan ditambah pula penggunaan kertas glossy paper membuatkan buku ini begitu akrab dengan jiwa sepanjang pembacaan. Mungkin inilah yang dikatakan tulisan dari hati ke hati. Jikalau  anda mencari tazkiran pendek untuk dibacakan kepada anak-anak sebelum tidur, buku ini sangat sesuai. Semoga ia memberikan rangsangan yang kuat kepada anak-anak anda untuk menjadi khalifah Allah yang berkualiti.

Buku cantik yang bertajuk Diari Hamil  terbitan Telaga Biru itu juga sesuatu yang menarik untuk dikongsikan. Ia merupakan buku panduan kehamilan yang memiliki banyak info tentang perkembangan bayi pada setiap trimester, persediaan, doa, senaman dan pelbagai lagi info tentang dunia kehamilan. Isi kandungannya yang lebih bersifat maklumat umum membuatkan ia sangat sesuai untuk ibu-ibu baru yang masih belum memiliki pengalaman mengandung lagi ataupun  baru merancang untuk memiliki anak. Isi kandungan yang paling menyentuh saya ialah penceritaan tentang perkembangan dan pembesaran bayi  pada setiap minggu di dalam perut ibu. Ia betul-betul membuatkan saya menjadi kagum akan kehebatan Allah, begitu teliti dan teratur setiap penciptaanNya.

Anda pasti tahu tentang buku kecil berwarna merah yang bertajuk Biografi Muhammad Rasulullah saw. Ya, buku yang ala-ala passport itu. Walaupun ia kecil, namun banyak info yang kekadang kita tidak terfikir untuk mengetahuinya. Saya sedar saya tidak mampu untuk mengingati semua info-info tentang Rasulullah saw seperti yang dicatitkan. Justeru itu, saya mengambil inisiatif untuk menghafal nama, karakter dan keistimewaan isteri Rasulullah saw sebanyak 12 orang. Saya rasa nama anak baginda senang sikit untuk diingati kerana kita sudah terbiasa mengingatinya sejak dari kecil lagi. Tambahan ada lagu pula itu. Tetapi, nama-nama Ummahatul Mukminin ini sangat jarang kita ingati; selain Siti Khadijah rha dan Siti Aisyah rha.

Nanti dulu saya kongsikan buku Sentuhan Papa Belaian Mama tulisan Rosnah Ahmad dan Roha Hassan, sebaik saya membaca buku Shaping Excellent Character. Saya kira ada banyak kaitannya. Begitu juga dengan buku Ilmu Hikmah tulisan Muhammad Hassan Al-Basri. Nanti dulu ya.


Seperti yang saya tuliskan pada entri yang lepas, saya perlu membaca banyak buku yang bertulisan besar dan banyak pula gambarnya. Teknik ini diharapkan dapat mempercepat kuantiti buku yang berjaya dibaca. Namun ini tidaklah bermakna, saya membacanya sepintas lalu walaupun ia diniatkan sebegitu pada mulanya. Akhirnya saya 'tersangkut' dan mulalah berlama-lamaan untuk satu-satu buku, lalu termenung dan seterusnya insaf.

Contohnya buku Mari Berdoa terbitan Inteam Publishing. Buku ini mengandungi 30 doa harian. Ditulis untuk kanak-kanak. Semakin saya selak setiap halaman, timbul rasa malu sebab tahu diri sendiri tidak mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Jikalau amal pun, tidak begitu menghayati. Lalu, apa yang saya buat, saya baca makna doa untuk doa-doa yang memang diamalkan dan untuk doa yang belum saya amalkan (dan tidak tahu). Saya ambil peluang untuk menghafalnya dan berazam untuk diamalkan, tetapi harus sedikit demi sedikit, yang penting konsisten. Maka jadilah sesi menghafal dan memahami, bukan sekadar membaca. Kekadang, ada doa-doa yang kita biasa amalkan adalah kerana sudah terbiasa tanpa memahami apakah makna di sebalik doa itu. 

Lanjutan dari itu, saya baca juga doa-doa yang disusun oleh Wan Shuhairi Wan Muhamad di dalam buku Hadiah untuk Pengantin. Walaupun tajuknya nampak seperti ditujukan kepada pengantin sahaja, namun hakikatnya bukanlah sebegitu. Ia sesuai untuk keluarga secara umum. Doa-doa di dalam ini agak panjang dan tidak sempat untuk dihafal :). Hanya sekadar dibaca dan dipahat di dalam fikiran, InsyaAllah, moga-moga ada kesempatan untuk menghafal dan mengamalkannya. 

Sekali lagi, jikalau anda mencari buku-buku bedtime story untuk anak-anak anda,  buku 101 Akhlak Rasulullah tulisan Rohayati Bakri boleh dipertimbangkan. Minda anak-anak perlu diisi banyak  tentang cerita Rasulullah - meneladani baginda dan bagaimana mahu menjadi seperti baginda. Format penulisan buku ini sangat membantu pencerita menyampaikan nasihat dengan mesej yang teratur. Pada setiap topik, penulis memulakan dengan hadis nabi, makna hadis tersebut, kisah teladan, contoh perbuatan yang boleh diamalkan  dan kata-kata hikmah. Anda boleh mencubanya : 1 akhlak untuk 1 malam !

Nampaknya sudah masuk waktu Asar. Masa untuk solat dan selepas itu memasak :). Ada beberapa buku yang tidak sempat untuk dikongsikan, seperti buku-buku tentang reproduksi. InsyaAllah, semoga Allah memberi kesempatan untuk itu.

Tuesday, December 25, 2012

6 hari lagi

Saya sudah mula bercuti sekarang. Konon-konon mahu menghabiskan cuti tahunan. Sebenarnya tIdak! 

Cuti pada kali ini diambil semata-mata untuk membaca buku. Almaklumlah saya begitu jauh ketinggalan di belakang untuk marathon 50 buku setahun ini. Haa itulah, awal-awal tahun asyik bertangguh kerja. Inilah akibatnya! 

Saya kalau diikutkan hati, mahu sahaja menyerah kalah pada saat ini juga. Banyak lagi kerja yang patut saya selesaikan sepanjang cuti seminggu ini seperti mengemas rumah (ini dianggap prioriti) dan bertafakur sambil berehat melepaskan letih 2012 agar kembali bersemangat untuk tahun 2013 (hehe). Selain itu, tidak lupa kerja-kerja Ikram Junior yang sangatlah memerlukan tenaga fikiran.

Tetapi, apabila difikirkan balik, ish, saya tidak boleh menyerah kalah. Lalu tindakan yang penuh berstrategi perlu diambil (chewah). Inilah masanya saya membaca buku kanak-kanak yang banyak gambarnya dan besar tulisannya (strategi yang tidak sudah-sudah). Lalu apa yang saya buat, seperti biasa, mulalah saya mencari dan menyusun semula buku-buku yang boleh membantu sepanjang marathon.

Kelompok buku yang di atasnya ada buku yang berwarna biru, bertajuk A Day In The Life of a Muslim Child, adalah buku-buku yang sudah dibaca. Ada 7 buah kesemuanya. Ini bermakna, saya sudah membaca sebanyak 32 buah setakat ini. Saya perlukan 18 buah  buku lagi. Nantilah ya saya berkongsi cerita isi kandungan buku-buku itu. Betul-betul berada pada tahap kritikal ketika ini, perlu membaca sepantas mungkin tanpa ada gangguan :)

Sebenarnya, saya sendiri tidak tahu adakah saya akan berjaya mencapai misi ini.Tetapi saya tahu yang saya akan berusaha. Chaiyok! Baiklah, kemas rumah dahulu, memasak untuk makan tengahari dan baru boleh membaca.

Tuesday, December 11, 2012

20 hari lagi..

Saya sambung semula reviu baki 4 buah buku yang sudah saya baca. Seperti biasa, anda boleh merujuk kepada gambar di bawah. Ya. 2 buah buku di atas itu ( Training Need Analysis Toolkit dan More Quran Stories for Kids) sudah saya kongsikan pada entri yang lepas.

Kini tiba giliran buku-buku di bahagian bawah pula. Kita bermula dari sebelah kiri, iaitu novel fiksyen The To Do List tulisan Mike Gayle. Novel ini mengisahkan seorang lelaki yang bernama Mike (saya kira fiksyen ini merupakan kisah sebenar tentang penulis) yang merasakan dirinya tidak matang dan tidak seperti  seorang yang berumur 36 tahun. Istilah beliau ialah 'not proper grown up'. Apabila beliau cuba membandingkan diri dengan jiran beliau, beliau dapati, mereka sekeluarga ( atau spesifiknya beliau dan isteri) tidak memenuhi standard/spesifikasi selayaknya sebagai seorang yang berumur 36 tahun sebagaimana yang mereka lihat ada pada jiran mereka. Lalu dengan itu, beliau menyenaraikan To Do List beliau sehingga mencecah 1277 senarai untuk dilakukan sebelum beliau berumur 37 tahun. Jikalau beliau berjaya merealisasikan kesemua To Do List tersebut, maka itulah nanti yang akan menjadi indikator yang beliau sudah mencapai standard sebagai lelaki matang.

Novel ini secara keseluruhan menceritakan proses/perjuangan/pengembaraan yang dilakukan oleh beliau sepanjang melaksanakan misi  To Do List tersebut. Lucu dan memang kelakar. Sekali-sekala novel fiksyen ini bersifat menyindir saya pun ada. Nampak sangat saya juga perlu menyediakan senarai To Do List untuk memastikan saya betul-betul 'proper grown up' bak kata penulis.  Pengajaran yang saya perolehi setelah habis pembacaan ialah saya menghubungi kawan-kawan  yang sudah lama saya tidak hubungi. Terima kasih penulis kerana mengingatkan saya tentang ukhuwwah :), dan satu lagi, tiba-tiba saya berkobar-kobar mahu menjadi penulis seperti watak di dalam novel ini kerana mahukan cara hidup yang bebas tanpa terikat dengan masa. Dalam erti kata lain, saya mahu katakan yang saya mahu bekerja dari rumah.


Buku di sebelah The To Do List itu pula bertajuk A Muslim Girls Guide to Life's Big Changes tulisan Rayhana Khan. Ada 32 halaman sahaja. Tetapi ketika sedang membaca kira-kira 2-3 halaman begitu, saya menjadi keliru dengan nombor muka surat. Silap cetak rupanya dan ada juga beberapa halaman hilang. Baru saya teringat, saya tidak membeli buku ini tetapi diberi secara percuma. Walaupun begitu, saya masih boleh menangkap hikmah sepanjang pembacaan walaupun banyak halaman yang hilang - saya kira hampir 50% mungkin. Hehe.

Buku ini ditulis khusus untuk remaja perempuan yang baru menginjak usia awal baligh. Melalui buku ini, penulis menerangkan apa dan bagaimana seorang remaja perempuan perlu berpakaian, berkelakuan dan menggunakan masa dengan perkara yang berfaedah. Dalam setiap bab, penulis sering mengingatkan pembaca yang tujuan hidup kita ialah - to please Allah not friends. Untuk kita yang sudah bekerja ini, saya mahu menukar ayat itu kepada -to please Allah not boss. Untuk kita yang memiliki blog dan pengunjung yang sentiasa menantikan tulisan baru pula, ingat tujuan kita mengemaskini blog ialah - to please Allah not blog visitors. Hehe.

Ringkas sahaja isi-isi buku ini. Tetapi saya percaya makna di sebalik - to please Allah not friends - itu sangat besar dan sangat susah dilakukan.

Saya sangat suka membaca buku Apa Bakat Saya tulisan Ahmad Naim Jaafar dan Saiful Izzuan Hussain. Saya ulangi, saya sangat suka. Buku kecil yang nampak biasa tetapi penuh dengan pengajaran. Antara cerita yang sentiasa saya ingat ialah kisah anak unta dan mak unta. Anak unta bertanya kepada ibunya kenapa mereka dikurniakan bulu mata yang lebat, kenapa mereka ada bonggol dan kenapa mereka ada kaki yang panjang lagi kurus. Lalu kata ibunya dengan penuh bangga terhadap kelebihan yang mereka ada menjawab pertanyaan anaknya dengan menyatakan semua kurniaan yang diberikan itu adalah untuk menyesuaikan kehidupan di padang pasir. Tiba-tiba bermain di minda si anak lalu melontarkan lagi persoalan, "Tetapi ibu, kenapa kita berada di zoo sekarang". Ya ini adalah analogi kepada mesej jangan sia-siakan bakat anda . Lagi satu, cerita tentang arnab yang menangis kerana dia tidak boleh menjadi juara memanjat dan mengangkat pokok, walaupun dia sudah berjaya menjadi pelari terpantas. Cerita ini pula merupakan analogi kepada mesej setiap manusia adalah berbeza dengan kelebihan yang tersendiri.

Berapa banyak daripada kita yang sedar untuk menyalurkan bakat dan kelebihan di tempat yang betul. Memetik panduan fokus yang dikatakan oleh John C Maxwell melalui buku ini, diingatkan kita perlu memberi fokus 70% membangunkan bakat dan kelebihan semula jadi, 25% kepada mempelajari ilmu baru dan 5% untuk memperbaiki kelemahan. Baru kita boleh menjadi orang yang superb!

Buku ini bukan sahaja menyentuh tentang perihal konsep bakat, cabang-cabang serta contoh-contohnya tetapi ada juga dinyatakan tentang kepintaran pelbagai (ada 8 jenis) dan kelebihan semula jadi (ada 34 tema). Menurut penulis, bakat yang kita ada merupakan gabungan tema -tema di dalam kelebihan semulajadi. Jikalau anda mahu mengetahui anda memiliki tema apa, belilah buku Strenght Finders :) .

Buku yang terakhir yang saya mahu kongsikan kepada anda ialah Manajemen Halaqah Efektif tulisan Muhammad Sajirun. Buku ini ditulis dengan bahasa Indonesia dan dibeli di Fajarilmu. Oh ya, sebut tentang Fajarilmu. Lama sungguh saya tidak ke sana. Kembali semula ke buku ini. Ia terbahagi kepada 12 bab. Penulis memulakan intro kenapa kita perlu kepada halaqah @ usrah atau dalam erti kata lain ialah kenapa kita perlu 'mengusrahkan' manusia. Selepas itu, pada bab seterusnya, barulah disentuh tentang apa tanggungjawab, keperluan dan harapan murabbi (pembawa usrah) dan mutarabbi (pengikut usrah). Saya pula jikalau membaca buku ala-ala sebegini ( buku bertema kaderisasi) sangat cenderung membaca tentang kaedah penyampaian dan pengurusan halaqah @ usrah serta bagaimana mereka mengukur tahap efektif halaqah @ usrah yang dikendalikan. Secara peribadi, saya cuba berusaha sekuat mungkin untuk membaca buku bertema kaderisasi @ dakwah setiap bulan untuk menguatkan diri saya untuk terus berada pada jalan ini.

Yey. Selesai sudah perkongsian buku-buku itu. Lega hati saya kerana saya rasa seperti kehilangan sesuatu jikalau hanya membaca tetapi tidak berkongsi dengan anda di blog ini.


Selama 3 hari bermula hari ini, saya sedang menyertai kursus 7 Habits Of Highly Effective People. Setiap peserta diberi sebuah buku kerja (ala-ala organizer itu) dan di dalamnya ada 2 buah buku kecil lagi (Planner dan Contract). Pada hari ini saya baru belajar tentang Habit 1(Be Proactive) dan Habit 2 (Begin With the End in Mind). 

Berikut ada pelbagai gambar lagi yang saya ambil untuk menunjukkan kepada anda bagaimana keadaan di dalam buku itu. Cantikkan. Saya tidak sanggup menulis dengan tulisan buruk, risau mencacatkannya :). Baiklah. 3 buah buku ini saya gabungkan menjadi buku saya yang ke 26 buah berjaya dibaca pada tahun ini. InsyaAllah, saya akan reviu dan kongsikan kepada anda apa yang saya perolehi sepanjang kursus itu dan bagaimana saya menggunakan buku-buku ini untuk membantu saya mengaplikasikan 7 habits di dalam kehidupan seharian.

Tuesday, September 18, 2012

Cuti-Cuti Malaysia

Ini program saya sepanjang cuti 3 hari sempena Hari Malaysia.

Kebetulan pula, pada hujung minggu ini saya dan Mazlan tiada akitivti penting yang menuntut komitmen kami. Jadi, saya pun seperti biasa mulalah merancang program baca-baca buku terutamanya buku apa yang mahu dibaca.



Dalam minggu itu juga, saya begitu bersemangat membaca The Leader In Me tulisan Stephen Covey. Jikalau boleh, saya mahu membaca satu demi satu perkataan. Biar ia lekat di dalam minda. Saya suka membaca buku yang menyentuh tentang pendidikan, inisiatif untuk memperbaikinya dan perkongsian usaha membentuk peribadi kanak-kanak. Oh, itu memang topik favorit.

Di dalam masa yang sama, oleh kerana hari-hari yang dilalui begitu mencabar terutamanya tentang kerja, jadi saya secara tiba-tiba menginginkan satu motivasi - seperti biasa jikalau mahukan motivasi antaranya ialah dengan membaca buku motivasi kerjaya. Maka Great Work Great Career (juga tulisan Stephen Covey & Jennifer Colosimo)  menjadi bacaan seterusnya. Tinggal sebentar buku The Leader In Me. Ada beberapa perkara di dalam buku Great Work Great Career cuba saya amalkan di tempat kerja, tetapi ia tidak menjadi, malah membuatkan saya semakin stress. Saya mungkin tersilap teknik. Haha.

Lalu saya tutup buku itu. Berhenti membaca pada hari Jumaat. Menonton TV sepuas-puasnya. Pada keesokan harinya, Sabtu, kami diizinkan Allah untuk menghadiri kuliah pengajian oleh Syeikh Muhammad Nuruddin Al-Banjari di Masjid Negeri Pulau Pinang. Sebaik kuliah tamat dan menunaikan solat Asar, kami pun balik ke Kulim. Sudah tidak mampu singgah ke mana-mana. Letih namun sangat seronok.

Pada sebelah malamnya, saya gatal tangan mahu membaca komik. Ya, saya ada sebuah komik yang belum dibaca - Misi 10 A Plus karya Afiq dan Nazry. Buku ini mahu dihadiahkan kepada seseorang tetapi tidak jadi. Maka, secara automatik menjadi hak milik saya. Haha. Sebelum ini saya sudah membaca Misi 8A dan Misi 10A. Afiq dan Nazry juga ada menghasilkan komik yang lain seperti Ali & Tuah dan  Aviasi Fantasi. Namun saya lebih berminat mahu membaca komik yang beunsur akademik. Ada beberapa mesej di dalam komik ini yang saya suka. Bak kata istilah Facebook, "I Like".

Saya suka apabila diselitkan mesej tentang matlamat hidup, impian, cita-cita, manusia yang unik dengan pelbagai anugerah dan lain-lain. Saya suka apabila penulis menceritakan tentang sekolah yang hanya berfungsi sebagai kilang yang mencipta robot-robot. Dan saya suka apabila dia membawa pembaca yang pada mulanya tadi seperti bersetuju dengan -kilang- robot, dan di akhir cerita penulis membuat kesimpulan yang sangat positif - melihat sekolah dengan begitu indah sekali. Tahniah kepada pengkarya komik ini kerana mereka berjaya menampilkan komik sebagai bukan sekadar komik.

Selesai hari Sabtu dengan sebuah buku berjaya dibaca :). Saya kemudian menyambung program membaca pada hari Ahad kira-kira pada pukul 3 petang. Saya mula melihat-lihat  rak buku di tepi TV. Ada satu bahagian pada rak buku itu  yang saya dedikasikan untuk meletak 50 buah buku yang perlu dibaca sepanjang tahun 2012. Di situlah saya selalu mengintai-intai dan mengira-ngira berapa lagi buah buku yang belum dibaca. Sekali gus ruang itu jugalah yang selalu mengingatkan dan memotivasikan saya - " Welma, banyak lagi buku yang perlu dibaca". Jikalau sudah berjaya dibaca, saya akan memindahkan buku itu ke bahagian lain.

Pilih punya pilih akhirnya datang mood mahu membaca Di Hamparan Shamrock Ku Seru Nama Mu  tulisan Ustaz Hasrizal Abd Jamil. Saya jarang membaca blog Saifulislam.Com dalam setahun dua ini. Mungkin faktor kesibukan puncanya. Namun, apabila difikirkan semula, saya rasa itu satu bonus. Ini kerana, saya yakin kebanyakan coretan artikel di dalam blog beliau akan bertukar menjadi senaskah buku. Jadi saya risau akan kehilangan umph apabila membaca  sehingga 2 kali  untuk artikel yang sama.

Ada satu dua artikel di dalam buku ini yang pernah saya baca di blog. Maksudnya ada 45 buah artikel yang masih fresh untuk saya. Saya pernah membaca Rindu Bau Pohon Tin dan Secangkir Teh Pengubat Letih yang selalu berbau optimis dan saya rasakan sedikit perbezaan pada buku ini. Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh penulis pada ruang mukadimah sebagai the missing link.

Saya cuba membaca secara pantas apabila penulis bercerita tentang kehidupan sebagai pembasuh pinggan, tahun demi tahun kegagalan beliau untuk menyempurnkaan baki hafazan 4 juzuk, dan kehidupan di penjara. Bagi saya, kehidupan yang dilalui beliau itu sungguh memedihkan dan saya bukanlah pembaca yang begitu berani menghayati kisah sedih orang lain. Saya mula gembira apabila membaca segala kisah sepanjang penulis berkhidmat sebagai Imam di Belfast Islamic Centre. Bagi saya ia bukan sekadar cerita. Ia adalah sebuah pengetahuan untuk kita memahami kedaaan sosiologi, persekitaran dan suasana orang Islam di luar sana. Benarlah, buku sebenarnya seperti internet, seisi dunia hanya berada di hujung jari. Saya berazam untuk menghabiskan pembacaan dalam masa sehari untuk buku ini, tetapi entah macam mana, saya tertidur ( biasalahkan). Mahu ditambah cerita pula, saya jatuh sakit pada pukul 1 pagi hari Isnin. Maka, program baca-baca saya tidak begitu lancar seperti yang dirancangkan.

Namun begitu, saya cuba kuatkan semangat ( mungkin sentiasa ternampak rak buku saya itu). Akhirnya, buku Di Hamparan Shamrock selesai dibaca pada hari Isnin, 17 September sebelah petang. Saya kemudian menyambung membaca buku POW! Menjadi Penulis Hebat  tulisan Bobbi Deporter.

Tidak banyak yang mahu saya perkatakan tentangnya. Seperti tajuk yang diberi, pasti kita sudah boleh mengagak apakah isi kandungannya. Jangan cepat membuat andaian, ia bukanlah sangat seperti buku-buku belajar menulis yang lain. Pelbagai taktik dan teknik yang diperkenalkan oleh penulis dan ada sesetengah teknik itu saya kira adalah ilmu baru untuk saya. Berbaloi membacanya.

Dan percaya atau tidak, setiap kali saya menulis, saya mesti terbayang-bayang teknik yang diceritakan di dalam buku ini.
Kemudian, saya mencuba sekali lagi membaca sebuah buku yang saya anggap sebagai muhasabah. Sejak dari kecil saya sangat suka membaca kisah para sahabat. Alhamdulillah, minat itu tidak pernah pudar sehingga sekarang. Atas sebab itu, maka saya mengulangkaji buku yang satu ini 10 Sahabat - Syurga untuk Mereka tulisan Arsil Ibrahim. Jangan tidak tahu, ada sahaja di antara kita yang sudah besar-besar ini masih tidak boleh mengingati 10 nama sahabat yang dijanji masuk syurga. Tegur-teguran untuk saya dan anda. Hehe. Satu perkara yang saya perasan ialah, saya sangat cepat menitis air mata sepanjang pembacaan kisah-kisah sebegini - dari kecil sehingga sekarang. Mungkin maksudnya, hati saya sangat lembut menerima kebaikan. Chewah! ( Sempat puji diri sendiri, jangan marah).  

Sebelum saya mengakhiri tulisan ini, saya ingin khabarkan, dengan pembacaan 4 buah buku ini, maka rasmilah saya sudah membaca 19 buah buku sehingga 18 September. Hooray! Satu Pencapaian.

Sunday, September 02, 2012

Setelah Ramadhan


Pada entri lepas, saya berkongsi tentang karya conteng daripada Fadhli Hamdan. Buku itu ada dua siri sebenarnya. Oleh kerana  sudah 'terlekat' dengan kaedah penceritaan conteng-conteng sebegitu, maka saya membeli siri yang satu lagi. Saya rasa jikalau ada 20 siri sekali pun saya tetap akan membelinya. Baru-baru ini  saya ada melihat sebuah buku - When I Was A Kid , karya penulis tempatan, Chee Ming Boey yang menulis ala-ala Fadhli Hamdan. Buku itu akan dibeli secepat mungkin.


Diari Musafir - Jangan Berhenti Berlari karya Dr Zaharuddin Abdul Rahman begitu merangsang sifatnya. Membaca buku ini membuatkan saya begitu cemburu dan mahu menjadi pelahap ilmu serta merta. Aura pencinta ilmu yang ditunjukkan atau dikisahkan oleh penulis begitu membekas dan sekali gus membuatkan saya seperti biasa dalam keadaan mood muhasabah yang panjang. Membaca sambil bermuhasabah dan memotivasikan diri. Sedar tidak sedar, buku itu habis dibaca.

Buat mereka yang masih belum memiliki buku ini, saya kira amat berbaloi untuk membacanya. Penulis membahagikan ia kepada 2 bahagian - kisah pengajian dan kerjaya. Ia bukan sekadar kisah di luar negara, keluarga dan masyarakat sekeliling, tetapi terangkum di dalamnya sebuah cita-cita, harapan, prinsip dan nilai hidup. Semua ciri-ciri itu apabila disatukan di dalam sebuah karya, mampu membuat pembaca 'terpaksa' melihat dan menilai sendiri tentang pencapaiannya ketika ini yang boleh dipersembahkan kepada Allah.Ya, hidup bukan sekadar makan, minum, menuntut ilmu, berkeluarga  dan kerjaya. Ia lebih daripada semua itu. Kehidupan ini memerlukan kita bervisi besar- bukan sekadar di dunia tetapi juga di akhirat. Pendek kata, kehidupan ini menguji kemampuan kita untuk 'mempergunakan' dunia untuk kesejahteraan akhirat. Jangan Berhenti Berlari ialah sebuah karya yang mampu memberi inspirasi ke arah itu.


Saya juga membaca karya Ummu Hani Abu Hassan - I want to be a writer. Buku ini mengandungi kisah hidup penulis dari kecil sehingga kini. Penulis menceritakan sebuah proses untuk menjadi seorang penulis. Saya sedikit teruja dengan kesungguhan yang ditunjukkan beliau di mana saya merasakan saya belum miliki lagi sifat itu. Saya ada juga memasang cita-cita untuk menjadi penulis, tetapi usaha yang dilorongkan ke arah itu belum lagi setanding seperti pengalaman yang dikongsikan oleh Ummu Hani :). Ya saya belajar tentang kesungguhan melalui buku ini.  Penulis juga ada melampirkan contoh cerpen dan skrip drama. Seperti yang kita maklum, salah satu skrip drama karya penulis ialah Dingin Lavenda. Lama juga saya menatap format penulisan skrip drama yang dilampirkan itu.


Buku yang baru selesai dibaca dalam minggu ini ialah Leaving Microsoft to Change The World, karya John Wood. Saya tidak pernah lagi membaca sebuah buku dan selepas itu saya berhenti membaca , menangis dan berdoa untuk penulis. Saya mendoakannya semoga dia diberi hidayah Islam dan Allah akan menggantikan semua pengorbanannya itu dengan syurga. Buku ini cukup membuatkan saya berhenti membaca untuk berfikir dan serta merta memperbaiki diri.  Walaupun hakikatnya penulis menceritakan sebuah proses pembinaan Room to Read (sebuah badan amal yang menyediakan dana untuk pembinaan sekolah, perpustakaan dan tajaan pelajar perempuan di negara miskin), namun saya mendapat semangat untuk bekerja dengan baik yang sudah hilang sejak setahun yang lepas. Pelik bukan. Sepatutnya saya mendapat semangat untuk membuat kerja amal tetapi lain pula yang saya perolehi. Begitulah sebuah kuasa buku yang jarang sekali mudah untuk dijelaskan.

Saya seperti tidak mahu melepaskan atau terlupa setiap ayat-ayat di dalam buku ini lalu saya memastikan pen sentiasa  ada sepanjang pembacaan untuk menggaris dan menulis poin-poin penting. Nampaknya, ini buku pertama tahun ini yang saya conteng untuk mendapatkan hikmah.  Aaah! Tiba-tiba tiada ayat yang sesuai untuk mengekspresikan buku ini. Mungkin lain kali saja saya kongsikan hasil-hasil contengan saya itu.

Sudah 15 buah buku dibaca sehingga 2 September ini. Saya yakin akan mencapai angka 50 itu. Matlamatnya bukan sekadar angka tetapi kerana mahu mencabar diri menikmati buku sebanyak mungkin. Tiba-tiba membayangkan diri membaca buku dengan lahap, nikmat dan tersenyum seolah-olah dunia ini saya yang punya. Itulah kuasa buku.

Monday, May 28, 2012

Sudah 11 buah. Yeay!

2-3 minggu ini sering berkepit dengan buku. Tiba-tiba sahaja terbit rasa cemburu kepada pembeli-pembeli buku yang begitu riang nampaknya menayang buku baru mereka di blog atau Facebook. Saya pula, baru tersedar, alamak, "Kenapa tahun ini aku tidak book calendar untuk ke pesta buku?". Menyesal kemudian tidak berguna. Namun tidak perlu berkesal hati, Cik PuanWelma, bukankah ada kedai buku Landmark. Dipendekkan cerita, terbelilah beberapa buah buku. Bukan itu sahaja, hasil tinjauan melalui blog-blog para pencinta buku, terjumpa lagi  beberapa buah buku yang harus dimiliki dengan segera. Apa lagi, membeli-belah atas talianlah kita.

Mujur bukan sahaja rancak membeli. Alhamdulilllah, entah angin motivasi mana yang masuk ke dalam badan, saya juga sangat bersemangat membaca. Bukankah bagus jikalau selalu begini. Saya kurang pasti berapa buah buku yang saya beli. Tetapi, saya tahu, saya berjaya habiskan pembacaan untuk 7 buah sehingga semalam dalam tempoh 2-3 minggu ini. Yeah! Tiba-tiba rasa seronok.

Kembara Sastera Nisah Haron: United Kingdom & Dublin


Jikalau tidak silap, mula-mula saya membaca buku Kembara Sastera karya Nisah Haron ini dahulu. Saya pernah membaca catatan kembara UK-Dublin beliau sebelum ini melalui blog. Tetapi pada masa itu, saya hanya membaca sepintas lalu dan tidak sempat membaca sebarang mesej tersirat. Saya hanya memahaminya sebagai sekadar peristiwa jalan-jalan penulis. Membaca kisah perjalanan beliau melalui karya cetak atau buku nampaknya sangat memuaskan dan menyentuh hati. Saya suka.

Dibaca berselang seli dengan 5 buah buku. Itu dia. Allhamdulillah selesai pembacaan pada minggu lepas. Kenapa mengambil masa membacanya? Alasan yang mudah. Baca 2-3 halaman, berhenti sejenak, menikmati gambar-gambar yang dipaparkan, selepas itu, alahai, mulalah berkhayal pula. Bacanya hanya 5-10 minit, selepas itu disusuli pula dengan termenung panjang. Kelihatan seperti berfikir tetapi sebenarnya berkhayal. Hehe. Alih-alih mata mengantuk, tutup buku dan sambung semula membaca keesokan hari. Dek kerana risau banyak lagi buku yang belum dibaca, tiba-tiba muncul rasa panik, maka mulalah tangan gatal menyambar buku-buku yang lain. Dalam kesibukan dengan buku yang lain itu, tiba-tiba datang pula rasa rindu mahu mengetahui cerita kembara Nisah Haron. Sambunglah semula pembacaan Kembara Sastera. Begitulah kisah kami - saya dan buku, untuk 3 minggu ini.

Saya menikmati Kembara Sastera karya Nisah Haron sebagai sebuah catatan motivasi. Ia begitu merangsang dan membuatkan pencinta buku cemburu. Salah seorangnya saya (oops saya pencinta buku atau pembeli buku). Bukan cemburukan penulis yang pastinya. Mungkin cemburukan orang-orang yang di dalam buku itu. Semakin saya membaca buku ini, semakin stress pun ada. Stress bercampur dengan cemburu. Stress dengan orang-orang yang boleh menghasilkan karya dan legasi yang mampu diwariskan kepada generasi mendatang. Stress kerana mereka sudah memulainya dan saya masih lagi bertatih. Walaupun catatan perjalanan ini begitu singkat (kira-kira 13 hari) dan disifatkan sebagai perjalanan tergesa-gesa oleh A.Samad Said (kekadang saya pun merasakan sedemikian), namun saya kira buku ini tetap menggugah pembaca dan tidak berlebih-lebihan jikalau saya katakan, pembaca juga boleh dirasuk untuk pergi mengembara sebaik membaca buku ini. Paling tidak pun, saya kira, antara kesan minimum buku ini kepada pembaca, ialah mengubah cara fikir kita tentang dunia perbukuan dan sastera. Mungkin selepas ini, kita akan lebih menghargainya dan terbaik sekali, berusaha mewujudkan suasana itu di rumah atau komuniti kita.

Agaknya bila kita akan melihat budaya Malaysia menjadi satu bangsa yang cintakan buku. Para ibu-bapa sentiasa ada peruntukan buku bulanan untuk anak-anak. Agenda ke kedai buku melihat/meninjau/membeli buku-buku baru sudah menjadi agenda mereka.Setiap daripada mereka memiliki kepelbagaian genre buku yang disukai dan mereka sangat ligat mempromosikan kebagusan atau mesej buku yang mereka  baca.Ada tidak keluarga sebegini di Malaysia? Pada ketika ini, para ibu-bapa lebih mengutamakan peruntukan untuk baju dan cuti melancong. Mmm. Bila agaknya kita berhenti dari mempamerkan rak pinggan mangkuk di hadapan ruang tamu. Bukankah molek jikalau buku-buku yang menempati rak-rak itu. Rindu mahu melihat suasana sedemikian.



Buku Tip &Tik Usrah ini menarik perhatian. Karya Syed Faiz Syed Mahmad dan Yusry Yusopp dari Creative Sifu. Selain gemar membeli buku berkisah sekitar buku, saya juga suka membaca apa-apa sahaja tentang usrah, kaderisasi dan seangkatan dengannya. Tidak kisahlah ia tentang tips-tips atau material tarbiyah. Saya kira penulis dan penerbit Indonesia adalah jagohnya. Penulisan mereka lebih banyak kelainan dan kematangan dari segi isi. Kedai buku Fajarilmu tidak kurang judul jikalau anda mahu mencari buku genre sebegini.

Saya beri skala 3/5 untuk Tip & Tik Usrah. Ia sesuai dibaca oleh mereka yang baru belajar menjadi pengendali kumpulan usrah. Kelebihan buku ini mungkin pada topik 5 di mana penulis menyenaraikan permainan dan aktiviti  yang sesuai dibuat ketika usrah. Ini yang saya suka. Buku-buku tentang usrah yang saya miliki sangat sedikit menyentuh tentang ini. Selalu terjadi, usrah yang hanya diisi dengan sesi bual bincang atau diskusi membuatkan ahli-ahli usrah mengantuk. Tambahan pula jikalau ahli usrah terdiri dari kalangan remaja. Aktiviti dan permainan membina memang banyak membantu dan saya sudah mengaplikasikan beberapa aktiviti di dalam buku ini dalam sesi usrah saya. Oh ya, saya seperti pernah terlihat melalui blog penulis yang mereka juga memiiliki e-book yang menyenaraikan banyak lagi permainan usrah. Ini yang saya suka. Boleh masuk senarai buku mahu beli.


Karya A. Ubaidillah Alias yang berjudul Ingin Menjadi Penulis juga termasuk dalam senarai buku berjaya dibaca. Buku ini sesuai dibaca oleh mereka yang baru mahu menceburi bidang penulisan. Sedikit tips dan  pengalaman dikongsikan penulis. Mungkin sedikit kelainan berbanding buku belajar menulis yang lain ialah penulis tidak lupa menyediakan 5 bab terakhir sebagai ruangan untuk memperingingatkan bakal penulis tentang adab-adab menulis dan disuntik juga sedikit motivasi betapa perlunya kita menulis sebagai wadah perjuangan.



Terpamer di rak buku sebuah buku yang menarik perhatian. Warna yang memikat hati pembeli buku berjantina perempuan seperti saya yang memang selalu sahaja cair dengan muka depan buku sebegini. Buku itu ialah Wadah Cinta Solehah karya Rusnah Abu Samah. Saya rasa ada 2 penulis untuk buku ini, atau saya tersilap faham. Ini buku motivasi untuk menjadi seorang remaja perempuan yang baik, seiring dengan tajuknya. Halaman buku yang berwarna-warni, ada pelbagai gambar dan nasihat yang disampaikan secara santai. Jikalau saya bukan berumur 28 tahun ( maksudnya mungkin berumur 12-23 tahun), buku motivasi sebegini akan menjadi buku favorit saya. Begitulah kita manusia, semakin berusia, semakin berubah citarasa kita. Tiba-tiba rasa sudah semakin menua. Kekadang saya terfikir juga, kasihan sungguh remaja lelaki. Sangat sedikit buku-buku motivasi yang ditujukan khas untuk mereka.

Minat saya terhadap buku fiksyen yang ditulis untuk kanak-kanak atau remaja datang lagi. Tambahan pula jikalau buku itu memiliki kulit buku yang cantikkkkkk. Waduh! Rasa mahu dimiliki dengan segera. Oleh kerana rupa kulit buku yang cantik itu, maka terbelilah Apron Bunga-Bunga karya Alliyah Farha, Mia Buku Polka Dot karya Elisya Izd dan Jimi & Raksasa Misai di Sekolah karya Fadhli Hamdan.

Baik. Saya cerita satu persatu tentang buku itu. Mula-mula karya conteng Fadhli Hamdan itu dibaca dahulu. Sangat seronok, walaupun ia hanya sekitar lukisan dan sedikit tulisan. Tiba-tiba teringat kisah sekolah rendah dahulu. Jikalau anda pernah melalui zaman kanak-kanak dahulu, kita mungkin sangat sinonim dengan 'karya conteng' rakan sekelas kita. Ada di antara rakan sekelas kita itu mungkin pandai melukis, bukan itu sahaja, dia juga mereka cipta sendiri komiknya dan menunjukkan kepada kawan-kawan untuk dibaca. Kadang-kadang ada karya yang dijual. Karya conteng Fadhli Hamdan ini mengingatkan saya tentang suasana itu. Haaa, buku ini sesuai dibaca untuk kanak-kanak lelaki. Ini baru namanya karya dari lelaki untuk lelaki. Chewah ayat. Buku ini ada 2 siri setakat ini. Saya pula berniat mahu membeli siri yang satu lagi. Ia nya kisah tentang seorang kanak-kanak lelaki yang tidak pandai dalam pelajaran tetapi sangat kreatif melukis.

Buku ini jikalau diperkembangkan dari segi  isi dan mesejnya (sangat bersesuaian jikalau memiliki ilmu dalam bidang perkembangan awal kanak-kanak), saya kira buku ini ada potensi untuk menjadi sebuah karya psikologi pendidikan untuk kanak-kanak lelaki. Seperti yang kita sudah maklum, lelaki dan perempuan belajar dengan kaedah yang berbeza. Kita pun selalu juga mendengar khabar-khabar yang mengatakan sistem pendidikan kita ini hanya sesuai untuk perempuan. Itu belum dimasukkan lagi dengan isu kepintaran pelbagai (multiple intelligences) di mana kita hanya sinonim dengan kepintaran logik dan matematik sahaja, manakala kepintaran yang lain itu kita abaikan. Saya rasa, jikalau mesej-mesej itu disampaikan melalui karya conteng sebegini, pasti sangat menarik. Cukup-cukup Welma. Banyak pula melalut. 



Saya juga membaca jurnal pelit. Karya yang ala-ala diari terbitan PTS itu. Saya membaca 2 judul. Yang satu itu tentang pengalaman seorang gadis yang mencuba nasib berniaga di pasar malam sementara menunggu pekerjaan tetap. Akhirnya dia memilih bidang itu atas dasar minat bekerja sendiri berbanding makan gaji. Saya kekadang cemburu melihat orang yang berani mengambil risiko dan mengutamakan minat. Sebenarnya, banyak orang yang berjaya di dalam hidup mereka kerana mereka minat apa yang mereka lakukan itu. Ayat yang paling tidak boleh saya lupa, lebih kurang beginilah walaupun tidak tepat, hidup kita hanya sementara di dunia, kenapa kita tidak manfaatkannya kepada sesuatu yang betul-betul kita suka. Adoii. Patutkah saya berhenti kerja. Laaa, ke situ pula. Buku yang satu lagi, yang ada judul Polka Dot itu, saya rasa ceritanya agak mendatar. Ia mengisahkan tentang seorang penuntut universiti yang mencatatkan kisah hariannya sepanjang 1 semester  di situ. Kadang-kadang saya merasakan Mia di dalam buku ini seperti seorang yang tidak pandai berkawan dan banyak salah sangka pun ada. Eh eh. Ini pandangan umum sahaja.

Begitulah kisah buku. Cerita dan kisah di dalamnya begitu mempengaruhi pembaca. Kekadang kita turut sama beremosi dengan watak-watak yang diceritakan.

Akhir kata, Yeah (sebut 3 kali) kerana sudah membaca 11 buah buku pada tahun ini !

Tuesday, May 08, 2012

Rich Dad Poor Dad (Terjemahan) - Robert T Kiyosaki


Makcik saya  pernah berkata, "Welma ni suka beli buku Bahasa Melayu". Maksud beliau ialah buku terjemahan. Dia lebih gemar membaca dalam tulisan asal. Suatu ketika dahulu, tidak pernah terlintas mahu membaca Rich Dad Poor Dad, walaupun banyak buku yang pernah saya baca ada menyentuh tentang buku ini. Pada ketika itu, berderet-deret buku ini saya nampak (dalam bahasa asalnya) dijual di kedai buku. Tetapi, ya entah kenapa (selalu begitu kan), pada minggu lepas ketika saya ronda-ronda di Popular Perda, secara tiba-tiba datang perasaan mahu membeli buku (begitulah selalunya). Saya tidak tahu mahu membeli buku yang mana satu, sebab rasanya saya sudah ada semua buku -buku yang dijual itu (sungguh menipu), lalu saya pun ambillah  Rich Dad Poor Dad ini yang kelihatan begitu menyerlah terletak di ruangan hadapan pintu masuk.

Suka saya labelkan buku ini sebagai sebuah buku bukan fiskyen santai. Penulis banyak mengajar tentang falsafah kewangan dan mencabar sikap/gaya fikir majoriti manusia tentang bidang ini. Kita ditegur dengan sikap kita yang terlalu berpegang kepada adat - belajar rajin-rajin, dapat pencapaian tertinggi dalam dunia akademik, kemudian dapat kerja yang elok serta pendapatan lumayan. Inilah sikap Poor Dad (ayah kandung penulis) dan ia juga merupakan  sikap sebahagian besar kita. Oh, terlupa satu lagi sikap kita, gemar 'memanfaatkan' pinjaman bank untuk membeli rumah atau kereta. Dunia pendidikan dan persekolahan juga mengajar sedemikian dan tidak hairanlah, sekolah hanya melahirkan murid-murid bermentaliti pekerja, buta kewangan dan bukan usahawan. Kita terlalu terkongkong dengan budaya bekerja keras untuk mendapat duit dan kurang memberi penumpuan bagaimana kita boleh membuatkan wang bekerja keras untuk kita.

Ini bukanlah buku yang memberitahu cara-cara melabur atau bagaimana mahu menjadi  kaya walaupun ada diperkatakan pada sebahagian isi kandungannya. Penulis sangat  menitik-beratkan tentang kefahaman atau prinsip asas-asas kewangan terutama memahami bagaimana wang bekerja, apakah itu aset dan bagaimana mahu meningkatkannya serta mengurangkan liabiliti. Ia bukan sekadar tentang pemahaman angka-angka tetapi kemahiran memahami dan bertindak dengan persekitaran contohnya cukai. Penulis sering mengingatkan pembaca yang orang kaya menikmati keuntungan baru membayar cukai tetapi orang miskin dan kelas pertengahan membayar cukai dahulu baru menikmati duit lebihan. Orang kaya tidak bekerja untuk wang tetapi wang bekerja untuk mereka manakala orang miskin dan pertengahan pula bertungkus lumus bekerja kerana wang. Inilah perbezaan antara orang kaya dengan miskin atau pertengahan.

Ada 9 pelajaran yang disampaikan di dalam buku ini.  Penulis banyak mengajak kita untuk membetulkan minda atau cara berfikir daripada hanya berpuas hati dengan makan gaji. Bukan hanya itu, penulis juga mengajak kita untuk mengubah sikap takut dengan kerugian dan ragu-ragu dalam diri. Inilah sikap yang menghalang kita daripada menjadi jutawan. Penulis juga melahirkan rasa kurang fahamnya dengan sikap majoriti kita  yang katanya kita semua mempunyai potensi yang hebat dan bakat yang besar, namun yang menghalang kejayaan kita semua adalah tahap keraguan dalam diri dan bukannya kurang maklumat teknikal. Inilah mungkin yang dimaksudkan oleh penulis dengan kata-katanya yang dalam dunia sebenar, bukan orang pandai yang tampil ke hadapan tetapi mereka yang berani.

Penulis banyak mencabar pegangan yang kita amalkan selama ini melalui bukunya. Jikalau tadi, beliau melahirkan rasa kesalnya dengan sistem pendidikan yang hanya mampu melahirkan pekerja makan gaji  sahaja, kini beliau mula mempertikaikan tentang multi skills vs 1 skill. Bukanlah mempertikaikan sangat pun. Cuma beliau berpendapat, ya ada pro dan kontranya dengan memiliki pelbagai kemahiran berbanding melatih diri menjadi pakar dalam sesuatu bidang. Jikalau kita hanya menumpukan diri untuk menjadi pakar, bermakna kita sebenarnya sedang mengecilkan skop pembelajaran kita. Ini berbeza apabila kita melatih diri dengan pelbagai kemahiran, kita telah memberi peluang kepada diri untuk belajar pelbagai ilmu walaupun kita tidak mencapai tahap pakar untuk setiap ilmu yang kita pelajari itu.

Mungkin dengan pegangan inilah, penulis tidak menetap lama untuk setiap pekerjaan yang diceburinya. Beliau sebelum ini bekerja dalam bidang perkapalan. Selepas itu, beliau mahu mengasah kemahiran dalam bidang penerbangan dan menjadi juruterbang pula. Apabila beliau menyedari yang beliau mempunyai sikap pemalu, beliau berhenti kerja menjadi juruterbang dan bekerja sebagai jurujual di Xerox. Lihat, beliau tidak menetap lama pada satu-satu bidang kerana beliau beranggapan dengan cara itu, beliau boleh mempelbagaikan kemahirannya dan dengan kemahiran pelbagai inilah, beliau percaya, ia sangat berguna untuk masa hadapannya iaitu mengemudi syarikat yang diterajuinya. Beliau mahu menikmati setiap pekerjaannya sebagai lapangan mencari ilmu.  Ingat misinya, beliau mahu membuatkan wang bekerja untuknya dan bukan beliau bekerja untuk wang.

Satu perkara yang saya perasaan, penulis seperti juga penulis-penulis barat lain yang saya pernah baca buku mereka seperti Brian Tracy dan Chris Gardner, adalah orang yang yang sangat mementingkan pendidikan sepanjang hayat. Kiyosaki  sering berkata aset sebenar kita ialah minda. Latih diri kita dalam dunia pendidikan dan pengetahuan berkenaan wang. Jangan berasa rugi untuk melabur dalam pendidikan. Sertai seminar, baca buku dan bertindak. Kejayaan beliau meraih jutaan duit dalam bidang hartanah kebanyakan melalui ilmu yang diperolehinya melalui seminar dan buku yang dibaca. Bezanya denagn orang lain ialah, beliau mempraktikkan ilmu itu.  Itulah  formulanya.

Alamak, panjang pula entri ini. Baik saya berhenti sekarang. Tetiba datang pula sakit kepala ni.

Selamat menikmati buku dengan rakusnya. Haha.

Wallahu alam

Monday, April 30, 2012

Contengan Jalanan - Hlovate


Saya sendiri tidak percaya yang saya  membaca buku Hlovate. Paling tidak percaya saya membaca buku beliau kira-kira dalam masa 3 hari boleh sia
p dibaca dan membeli buku 1 lagi karya beliau pada Sabtu lepas. Gian mahu membaca lagi karya beliau agaknya. Tidak cukup dengan itu, siap senaraikan semua karya beliau dan dimasukkan pula ke dalam senarai buku untuk dibeli pada bulan Mei nanti insyaAllah.

Ia sebenarnya bermula di sini. Ditakdirkan Allah secara kebetulan saya duduk bersama grup usrah yang secara tiba-tiba berbincang tentang buku. Sebenarnya saya sedang menunggu anak-anak usrah saya tiba, tetapi memandangkan mereka tidak tiba-tiba juga, jadi saya pun 'menumpang kasih' grup usrah di sebelah. Ada seorang kakak di dalam grup itu  menyebut tentang karya Hlovate yang betapa islamiknya buku beliau. Saya bersetuju dengan pendapat beliau kerana teman serumah saya dulu juga pembaca karya Hlovate. Tidak dinafikan, memang mendatangkan kesan positif kepada teman serumah saya. Namun pada masa itu, sedikit pun tidak terdetik di hati saya mahu membacanya. Alasannya, mungkin kerana bahasa. Saya suka membaca karya yang ditulis dengan bahasa Melayu yang 'proper'. Tetapi, apabila kakak di dalam grup usrah itu menyebut tentang mutabaah amal, ya, ada mutabaah amal di dalam karya Hlovate yang satu ini, saya seperti tidak keruan, Lalu apa kata saya selepas itu, "Boleh saya pinjam buku akak tu?".

Contengan Jalanan (522 halaman), begitulah tajuknya. Karya Hlovate yang paling terkini. Agak keliru sedikit dengan rekaan kulit buku. Jikalau anda perhatikan, kulit hadapan dan belakang disusun terbalik. Saya keliru pada mulanya, mahu baca yang mana dulu - kulit buku yang tertulis  I-FEND atau 11-K2 (K2 dibaca K Square). Lalu, dengan main teka-teka, saya pun pilih halaman yang tertulis I-FEND untuk dibaca dahulu. Mujur betul. (Menyedari yang saya telah membaca secara sequence yang betul itu ialah setelah membaca 11-K2).

Contengan Jalanan mengandungi 2 kisah pengalaman perjalanan mencari Tuhan oleh Affendy dan K2 (dibaca K Square) atau nama sebenarnya Ku Kamaruzzaman. Halaman yang tertera I-FEND pada muka depannya menceritakan kisah Fend @ Affendy. Manakala halaman yang tertera 11-K2 pula menceritakan kisah K Square. 2 kisah berbeza. 2 sahabat baik. Affendy senang dilentur jiwanya sementara K Square pula bertentangan. Fend mungkin boleh berfikir tentang tujuan hidup apabila cukup hanya dilontarkan dengan pertanyaan atau persoalan tetapi K Square bukan begitu. Dia tidak mahu hipokrit. Dia mahu berbeza. Contengan Jalanan, secara universalnya, bercerita tentang keluasan rahmat Allah dalam memberi hidayah dengan cara yang pelbagai untuk manusia yang pelbagai sifatnya. Allah menyentuh hati-hati kita dengan jutaan cara.

Saya sendiri tidak faham kenapa saya menangis ketika membaca novel ini. Bukan kerana Fend atau K Square yang pastinya. Mungkin kerana jikalau bercakap atau membaca tentang 'kesepian' atau rasa 'missing' yang terbit jauh di dalam hati  akan boleh membuatkan kita menangis kot. Seolah-olah kita bukan membaca kisah tentang Fend atau K Square tetapi membaca diri sendiri. Atau sebenarnya, ini adalah signal yang jauh di sudut hati kita, untuk setiap insan, wujud perasaan sangat rindu padaNya dan mahu menjadi hamba yang baik untukNya tetapi selalu tidak mampu bukan.

Semalam, sebelah pagi, novel ini selesai dibaca. Ya, novel yang bahasanya tidak 'proper' ini telah membuatkan saya termenung. Berfikir tentang diri. Berfikir tentang amal kebajikan yang sudah tidak konsisten dibuat. Tidak kisahlah kot kalau bahasa novelnya tidak proper, asalkan boleh membuatkan saya terfikir tentang Tuhan. Boleh menyegarkan semula jiwa.

Sedikit renungan saya petik :

Kalau mati sekarang sebelum habiskan degree, adakah cukup untuk buat diri rasa terkilan?
Entah. masuk kubur nanti bukannya jawab soalan berdasarkan degree pun. Tak ke macam tu?
Kalau mati sekarang sebelum sempat nak bina kerjaya, adakah akan buat diri rasa kerugian?
Entah. Apabila dah dalam kubur duit dan pangkat bukannya bawa apa-apa makna.
Kalau mati sekarang sebelum sempat kahwin, adakah akan buat diri rasa berputih mata?
Entah. Walau dah kahwin sekalipun, masuk kubur tetap juga sorang-sorang.
Berpusing kepala terasa dibuatnya memikirkan soalan tu. Dah tu...kalau semua benda tu tak terasa sayang nak ditingggalkan, teruskan hidup sampai hari ni untuk apa sebenarnya? ( I-FEND , Halaman 65)


Ya. Sudah 3 buku dibaca untuk tahun ini. Lambatkan.

Wallahu alam

Monday, March 26, 2012

Mac

Alhamdulillah. Menulis lagi. Ish! Lama sungguh blog tidak dikemaskini. Tiba-tiba rasa janggal pula menulis.

Pejam celik, tidak lama lagi bulan April. 1 suku tahun sudah berlalu. Bagaimana pencapaian azam buku tahun 2012? Pada tahun ini, ya, saya seperti biasa, apabila melihat orang menetapkan sasaran membaca setahun, saya pun mengikuti sama. Konon-kononnya. Namun begitu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada diri saya kerana di celah-celah 'kesibukan' itu, saya mampu menyelesaikan 2 buah buku. Ya, setakat ini hanya 2.

Buku pertama ialah tulisan Hilmi Isa, Marah Tapi Sayang, terbitan Telaga Biru. Sebuah buku psikologi yang disampaikan secara santai. Ia mengandungi pelbagai info yang menjurus kepada kaedah pendidikan remaja. Sangat bagus dibaca oleh mereka yang sedang mencari-cari atau mahu meneroka kemahiran bagaimana menyampaikan kebaikan secara efektif kepada remaja. Dalam bahasa mudah, cara berdakwah kepada remaja. Suka saya katakan, buku ini bukanlah secara langsung mengajar pembacanya kaedah-kaedah berdakwah kepada remaja. Saya sahaja yang menganggapnya sebegitu.

Penulis berkongsi faktor-faktor pembentukan cara berfikir remaja. Ini termasuklah persekitaran dan personaliti remaja terbabit. Tidak lupa, kisah-kisah Rasulullah ketika mendepani remaja.Penulis juga menulis tentang cara-cara berkomunikasi kepada remaja dan apakah kaedah mendidik mereka pada zaman moden ini. Nah. Itu intipati buku ini.

Saya pula, seperti yang saya katakan sebentar tadi, menyimpulkan buku ini sebagai sebuah buku yang mengandungi mesej-mesej tentang kaedah berdakwah kepada remaja. Yalah, untuk mendampingi remaja, kita perlu mengetahui keadaan psikologi mereka, apakah kaedah komunikasi dan kemahiran keibu-bapaan yang perlu diaplikasikan. Alhamdulillah. Saya menjumpai semuanya di buku ini. Baca sudah, kini tiba masa untuk diaplikasi.

Ini pula buku kedua. Tulisan Dr Danial Zanial Abidin yang bertajuk Bukti-bukti Sains dan Sejarah Kerasulan Muhammad. Pada bulan Februari lepas, saya menghadiri satu seminar keibu-bapaan yang dianjurkan oleh IKRAM Sungai Petani. Dr Danial ialah penyampainya. Selesai sahaja seminar itu, entah dari mana , secara tiba-tiba datang semangat yang menggebu-gebu mahu membaca buku-buku tulisan Dr Danial. Ada sahaja buku beliau di rumah saya, tetapi semangat yang menggebu-gebu itu akhirnya membawa saya ke kedai buku. Al-kisahnya terbelilah 2 buah buku tulisan beliau. Salah satunya buku di atas.

Saya beranggapan adalah sangat penting untuk kita sentiasa membaca biografi atau kajian tentang Muhammad saw. Sedikit sebanyak ia akan membantu kita untuk sentiasa 'refresh' kecintaan kita kepada baginda saw dan mengukuhkan lagi keimanan. Baru-baru ini saya membaca Majalah Nona. Ada artikel di dalamnya memaparkan hobi Datin Norazlina Redzuan iaitu membaca buku terutamanya tentang Muhammad saw. Wah! Sukanya saya dengar. Saya sangat menghormati pembaca buku yang suka membaca tentang baginda saw, kerana saya pun begitu. Pantang jumpa biografi tentang Rasulullah saw, pasti mahu dikumpul. Ehem, ehem, bukan sahaja dikumpul tapi dibaca ya. Peringatan untuk Welma :)

Buku Dr Danial yang satu ini memaparkan kajian tentang kewujudan Rasulullah saw sebagai nabi akhir zaman di dalam kitab Bible, kitab Vedas dan Purana serta kitab Buddha. Semua kitab itu menyebut tentang kedatangan nabi akhir zaman dengan terperincinya.

Bukan itu sahaja, buku ini juga memaparkan pengiktirafan musuh-musuh baginda saw kepada baginda saw sendiri. Inilah yang saya maksudkan dengan kenyataan saya sebentar tadi, membaca tentang baginda saw membantu kita untuk semakin memiliki keimanan dan kecintaan yang tinggi kepada baginda saw.

Saya berkongsi hasil kajian di dalam buku ini kepada adik-adik di dalam kumpulan usrah saya pada minggu lepas. Saya membuat kesimpulan sebelum mengakhiri sesi usrah itu, dengan sedikit kata-kata ringkas, " Jikalau mereka mengkaji kitab mereka sebaik-baiknya, mereka akan menjumpai Islam di dalamnya. " Ya. Kebenaran tidak boleh disembunyikan bukan.


Wallahu alam