Thursday, August 20, 2009

Rembulan Tenggelam di Wajahmu - Tere Liye

Oleh :
Welma La'anda (welmalaanda@gmail.com)



Tajuk
Rembulan Tenggelam di Wajahmu
Penulis : Tere Liye
Halaman :
420 Penerbit: Republika

Aduh! Tidak sanggup saya membaca buku ini. Terseksa jiwa. Saya bukan boleh membaca cerita-cerita tentang anak jalanan yang merempat serta anak yatim piatu yang tidak mendapat pendidikan. Sudahlah itu, ditambah pula dengan penganiayaan yang berlaku ke atas mereka. Tidak-putus-putus kesusahan yang menimpa dari masa ke semasa. Akhirnya kehidupan mereka hanya dipayungi dengan putus asa dan kecewa dalam kehidupan sahaja. Terus terang saya katakan, saya tidak akan membaca buku-buku sebegini kerana saya tidak suka cerita-cerita yang berkisar tentang kesedihan terutama yang melibatkan kanak-kanak. Penat saya beremosi dalam setiap pembacaan.

Tetapi ini terkecuali untuk karya-karya Tere Liye kerana saya suka gagasan pemikiran dalam setiap tulisannya iaitu memandang kehidupan dengan sederhana, berbaik sangka dengan Tuhan dan bersyukur pada setiap nikmatNya. Jikalau anda pembaca karya beliau, anda akan perasan 3 elemen yang saya nyatakan tadi pasti ada dalam setiap karyanya.

Beliau sendiri berpesan sebegini pada ruang biografinya, "Jika kalian menyukai buku-buku Tere Liye melalui gagasan ceritanya, bantulah dia menyebarkan pemahaman bahawa hidup ini sungguh sederhana. Bekerja keras, namun slalu merasa cukup, mencintai berbuat baik dan berbagi, sentiasa bersyukur dan berterima kasih. Maka Tere Liye percaya, sejatinya kita sudah menggengam kebahagiaan hidup ini".

Buku ini hampir saja menerima nasib yang sama dengan Laskar Pelangi. Laskar Pelangi itu saya tamatkan pembacaan setelah saya tidak boleh bertahan lagi cerita tentang Lintang. Sampai sekarang, saya tidak pernah khatam-khatam buku tersebut. Tetapi, oleh kerana saya mahu mengetahui jawapan-jawapan 5 pertanyaan Ray kepada Allah, maka saya tabahkan juga hati untuk meneruskan pembacaan Rembulan Tenggelam di Wajahmu.

Jikalau anda lihat di muka belakang, anda akan boleh membaca sinopsis novel Rembulan Tenggelam di Wajahmu. Indah sekali kalimat-kalimat itu.
Bold
"Tutup mata kita. Tutup pikiran kita dari carut marut kehidupan. Mari berpikir takjim sejenak. Bayangkan saat ini ada satu malaikat bersayap indah datang kepada kita lembut berkata. "Aku memberikan kau kesempatan hebat. 5 kesempatan untuk bertanya tentang rahasia kehidupan dan aku akan menjawabnya langsung sekarang. 5 pertanyaan. 5 jawaban. Apakah pertanyaan pertamamu?" --- Di sini ada satu rumus. Semua urusan adalah sederhana. Maka mulailah membaca dengan menghela nafas yang lega".

Sebelum anda melanjutkan pembacaan, pada halaman pertama (jikalau tidak silap) anda akan dialu-alukan dengan kenyataan ini :

"Puteri, sekarang Jakarta gerimis. Cepat sekali berubah. Kayak hati. Semoga pengertian, mau saling mengalah, saling menghargai, saling menjaga, komunikasi yang baik dan tentu saja yang paling penting pemahaman agama yang baik menyertai rasa sayang. Biar abadi sayangnya. Tidak seperti cuaca".

Saya tidak menangis sepanjang menguliti kisah kehidupan Ray di dalam Rembulan Tenggelam di Wajahmu. Saya cuba bertahan sekuat mungkin. Tetapi akhirnya saya menangis juga setelah lengkapnya 5 jawapan kepada pertanyaan-pertanyaan Ray dalam seluruh kehidupannya. Ya, saya menangis kerana 5 jawapan-jawapan itu.

Betapa besar kasih sayang Tuhan. Betapa, dalam setiap kehidupan kita tiada yang sia-sia walau setiap yang kita lalui dalam seumur hidup adalah seksa, seksa dan seksa. Seringkali kita bertanya kenapa kita harus melalui semua kesusahan hidup ini. Kenapa kita yang terpilih. Kenapa kita tidak pernah memiliki kesempatan untuk memilih kehidupan yang lebih baik ketika dilahirkan.

Kita selalu sahaja terlupa yang setiap urusan makhluk-makhluk Tuhan itu sudah disusun kemas oleh Tuhannya. Jikalau urusan-urusan makhluk kecil lain seperti hujan, bumi, bintang, serigala, sayur kangkung, bunga matahari dan lain-lain sudah diatur kehidupan mereka, inikan pula kita manusia. Sebaik-baik ciptaan. Manusia adalah makhluk paling mulia sehingga malaikat juga diperintahkan sujud kepada kita. Segala makhluk lain diperintahkan bekerja untuk kita. Tidak mungkin Tuhan terlepas pandang sehingga memberikan khabar-khabar buruk sahaja dalam setiap perjalanan kehidupan ini.

Kita sebenarnya sangat jahil untuk memahami yang kehidupan ini mematuhi konsep sebab dan akibat. Garis kehidupan kita saling berkait dengan garis kehidupan orang lain. Mungkin garis kehidupan kita menjadi penyebab kepada orang lain untuk kembali kepada Tuhan. Kita perlu yakin sungguh-sungguh yang setiap orang sentiasa memperoleh kesempatan untuk kembali kebenaran. Oleh kerana itu, kita harus sentiasa berbuat kebaikan agar berakibat baik juga kepada orang lain.

Ray tidak faham konsep kehidupan ini. Dia tidak faham banyak perkara-perkara kecil tetapi berakibat besar kepada orang lain. Dia masih terus dengan sikap kurang sabarnya. Masih terus berpegang yang kejahatan harus dibalas dengan kejahatan. Akibatnya, lukisan Ilham dikoyakkan penjahat. Dia gagal memasuki pameran lukisan. Hancur cita-citanya yang mahu menjadi pelukis terkenal. Natan kehilangan suara merdunya kerana dibelasah penjahat. Punah harapannya mahu menjadi penyanyi. Satu langkah lagi. Akhirnya semua musnah. Ray rasa bersalah. Dia melarikan diri dari rumah singgah itu. Rumah yang memberinya kebahagiaan. Penghuni yang sudah dianggap sebagai keluarganya dan dia pernah berjanji di dalam hati, jikalau ada sesiapa yang mengacau mereka, dia sendiri akan membalas pengacau itu.

Tetapi, Ray tidak faham semua garis-garis kehidupan itu. Dia tidak mahu melihat hikmah pada setiap kejadian. Dia tidak faham yang garis kehidupannya menyebabkan penjaga panti asuhan yang jahat itu bertaubat. Dia tidak faham penjaga yang makan duit anak yatim dan dibenci seumur hidup itulah yang mendermakan organ untuk dirinya. Dia tidak faham yang dengan garis kehidupannya itulah yang menyebabkan banyak orang di sekelilingnya berjaya di kemudian hari dan menemui kebahagiaan hakiki. Ilham berjaya menjadi pelukis. Natan menjadi komposer terkenal.

Ya, terus menerus Ray masih tidak mahu memahami. Dia masih terus mempersoalkan keadilan Tuhan. Kenapa orang jahat selalu terbela dan bahagia. Jikalau sedemikian, apa salahnya jikalau dia juga menjadi orang jahat. Hari berlalu dan berlalu. Ray masih lagi dengan dirinya. Jiwanya masih kosong walau dia memiliki segalanya. Dia tidak gembira. Sangat hampa dengan kehidupan yang melelahkan. Kenapa Tuhan? Kenapa harus berterusan diuji sebegini.

Segala apa yang berlaku ke atas diri kita harus dipandang dari sudut kebaikan. Begitu kata buku ini, jikalau kita memandang dari sudut yang bertentangan, pasti kita akan sangat cenderung menyalahkan Tuhan. Kita terlupa lagi yang kebaikan Tuhan terjelma dalam pelbagai bentuk samada yang kita nampak secara lahiriah itu ialah kesusahan atau kesenangan. Itulah juga penyebab kenapa kita perlu memilki tujuan hidup yang jelas. Agar, semua ujian yang diberi akan dianggap sebagai tempaan menuju tujuan tersebut. Nanti tidak akan ada lagi pertanyaan-pertanyaan kerana kita sudah yakin, setiap yang berlaku pasti untuk tujuan itu.

"Ketika kau merasa hidupmu menyakitkan dan merasa muak dengan semua penderitaan maka itu saatnya kau harus melihat ke atas, pasti ada kabar baik untukmu, janji-janji masa depan. sebaliknya ketika merasa semua kesenangan, maka saat itu lihat ke bawah, pasti ada yang lebih tidak beruntung darimu. hanya sesederhana itu. Dengan itu, pasti kau selalu bersyukur" (halaman 416-417)

Wallahu alam

Sumber Gambar :
Rembulan Tenggelam di Wajahmu (Edisi Malaysia) - PTS

Thursday, August 13, 2009

Lentera Mustika - Nisah Haron

Betul kata Faisal Tehrani yang dipetik dari kulit buku ini, "Tidak ada yang dapat mencabar Nisah Haron dalam wilayahnya". Ternyata cinta, seni dan undang-undang digarap dengan mesranya sehingga dapat dirasai saling berkait antara satu sama lain di dalam kehidupan.

Saya kira penulis berjaya menyampaikan 3 elemen itu kepada para pembaca. Saya sendiri kurang pasti apakah mesej tunggal sebenar yang penulis mahu sampaikan menerusi Lentera Mustika untuk menjadi bekal-bekalan kepada pembaca : cinta kepada warisan seni melayu?, faham perundangan? atau memaknai hubungan hati antara lelaki dan perempuan?, kerana semua mesej-mesej itu seimbang disampaikan. Apa yang pasti, buat diri saya, ketika saya mengakhiri halaman-halaman terakhir Lentera Mustika, ternyata bukan ketiga-tiga perkara itu menguasai pemikiran saya tetapi lebih condong kepada soal memandang kehidupan dengan lebih baik. Mungkin disebabkan itu saya mengakhiri buku ini dengan air mata walaupun cerita tidak diakhiri dengan kesedihan.

Lentera Mustika ialah sebuah cerita cinta. Cinta kepada yang berlainan jantina. Cinta kepada ilmu dan seni. Cinta kepada perjuangan. Segala cinta itu diadun dan dimeriahkan menerusi buku ini dengan perantaraan watak utamanya, Professor Madya Ainur Mustika, lambang wanita yang masih kurang berjaya kerana belum berkahwin lagi walaupun usia sudah 30 tahun lebih. Itulah yang dianggap orang-orang kampungnya. Tetapi, biarlah apa orang kata kerana perkahwinan itu bukan dilakukan semata-mata kerana mahu senyapkan mulut orang sahaja.

Bukan tidak ada orang yang mahu mendekati professor pantun ini. Zul Farhan bekas anak muridnya juga menaruh perasaan. Rozario, rakan sekerja pun sebegitu. Tetapi, entah kenapa, hatinya dirasai masih dimiliki oleh Syed Amirul Hakim. Seorang lelaki yang mempunyai minat, cita-cita dan cara pemikiran yang sama dengannya. Kerap kali bayangan lelaki itu muncul di hadapannya. Cincin di jari manis yang diberikan oleh lelaki tanah seberang itu masih tidak dibuang walaupun dia tahu perhubungan tersebut tidak boleh diteruskan lagi. Mungkin boleh diteruskan jikalau dia mahu meneruskannnya. Ini ditambah-tambah lagi dengan desakan demi desakan daripada Syed Amirul sehingga sanggup datang ke Malaysia.

Tetapi akhirnya Professor Mustika membuat keputusan yang berbeza. Perjumpaan dengan Syed Amirul Hakim yang mewakili Indonesia secara kebetulan di Shanghai semakin membuatkan hatinya yakin. Kadang-kadang saya terfikir juga, mungkinkah ada sequel kedua untuk Lentera Mustika yang akan menyambungkan semula ikatan hati antara Syed Amirul Hakim dengan Ainur Mustika.

Agak tidak adil jikalau Lentera Mustika hanya difahami dari sudut hubungan cinta Professor Mustika sahaja kerana hakikatnya Lentera Mustika bukanlah novel cerita cinta seperti yang difahami. Memang ada cerita cinta dan cerita itu memang mewarnai keseluruhan novel ini. Dan sempat juga saya untuk tidak menyetujui beberapa perkara di dalam novel ini terutamanya yang bersangkut paut dengan hubungan lelaki dan perempuan. Tidak banyak tetapi oleh kerana saya menggambarkan watak Professor Mustika sebagai watak orang suci, jadi secara tidak langsung, pemikiran saya diarah untuk turut sangat berharap yang dia 100% menjaga soal-soal tersebut. Atau mungkin juga kerana saya mempunyai cara berfikir yang berbeza dari sudut hubungan lelaki dan perempuan yang ajnabi, maka itu boleh juga menjadi penyumbang kenapa saya tidak bersetuju.

Berbalik kepada isu tadi, di sebalik cerita cinta yang mewarnai Lentera Mustika, secara hakikat saya suka mengganggap penulis sebenarnya mahu memperjuangkan sastera khususnya pantun, seloka, puisi dan gurindam melalui karyanya ini. Mesej itulah yang begitu menebal dicanang sana-sini dari halaman pertama sehinggalah halaman terakhir. Pada mulanya, saya juga agak sedikit janggal, "ala sedikit-sedikit pantun, tidak pantun, seloka, tidak seloka, gurindam, entah macam mana saya mahu bezakannya". Tetapi sehingga habis pembacaan, tanpa disedari, persepsi saya terhadap seni warisan melayu itu bertukar. Daripada anggapan awal yang mengatakannya sungguh leceh, bertukar menjadi lebih positif dan "oh, sungguh indah rupanya!.

Tampak lebih berwawasan apabila Professor Ainur Mustika mahu memperjuangan pemahaman seni sastera ini dari sudut berbeza. Baginya, perjuangan bukan setakat di bilik kuliah sahaja. Disiplin ilmu tersebut bukan milik mutlak orang sastera sahaja. Apa salahnya jikalau ia diperkembangkan melalui jalan ilmu undang-undang. Tidaklah jauh perbezaaan antara dua disiplin ilmu itu, sastera dan undang-undang. Hanya kita yang suka mengasingkannya seperti mana yang dibuat oleh penjajah dahulu. Seperti mana realitinya Hukum Kanun Melaka dan Tajus Salatin yang diperlakukan sebagai karya klasik sastera dan bukannya karya undang-undang Kesultanan Melayu Melaka. Begitu pandangan Mustika.

Maka dengan misi berkobar-kobar itu, Professor Ainur Mustika mahu membuat perubahan. Dia mahu menjadi pencetus. Dia mahu setiap daripada kita harus keluar dari kepompong dan pemikiran lama. Dia bercita-cita mahu menyesuaikan sastera mengikut arus moden. Kalau songket dan batik boleh diselarikan dengan peredaran zaman, tidak mustahil bukan untuk pantun, seloka, gurindam, nazam dan pelbagai lagi warisan seni Melayu yang semakin dipinggirkan ini.Perjuangan inilah yang membawanya terbang ke Shanghai. Bergabung dengan Badariah, seorang pensyarah undang-undang.

Namun begitu, setiap kali saya sedikit demi sedikit semakin mesra dengan perjuangan memartabatkan seni warisan Melayu itu, saya seringkali ditarik untuk menyelusuri kehidupan Professor Mustika. Sebab itu, sejak dari awal-awal lagi saya katakan, di halaman-halaman terakhir, bekalan terakhir yang saya perolehi dari Lentera Mustika ialah soal memandang kehidupan dengan lebih baik.

Memetik kata-kata kehidupan yang ditulis oleh penulis yang sedikit sudah diubahsuai, hidup ini banyak persimpangannya. Setiap persimpangan itu memiliki takdir yang berbeza. Kehidupan adalah untuk diiisi bukan untuk ditangisi walau di hadapan adalah sebuah kematian. Apabila kita berfikir seperti itu, maka setiap hari kita akan hidup dengan penuh bererti agar kehidupan di dunia itu nanti dapat menjadi jambatan untuk kehidupan yang akan datang. Lingkarilah hidup ini dengan cinta dan kasih sayang agar mudah untuk kita belajar bersyukur pada setiap kehidupan.

Ainur Mustika bukanlah lilin yang membakar dirinya untuk kebahagiaan orang lain tetapi seolah-olah seperti lentera yang menerangi kehidupan orang-orang yang berada di dalam sinarannya. Baru saya faham kenapa tajuknya Lentera Mustika!

Wallahu alam

Sumber Gambar :
Lentera Mustika : http://www.pts.com.my/index.php/buku/lentera_mustika/