Tuesday, September 28, 2010

Ahad ke Ahad

Baru selesai dari sebuah pengembaraan.

Kembara buku.

Berjalan dari satu buku ke satu buku dari Ahad ( 12 September) ke Ahad (26 September).

Sumber Gambar
Bermula dengan Negeri 5 Menara. Sebuah novel yang ditulis berdasarkan kisah benar. Kisah penulis, Ahmad Fuadi (Alif) bersama 5 rakan-rakannya - Abdulkadir (Said), Kuswandani (Atang), Muhammad Munib (Dulmajid) , Adnin Armas (Raja), dan Ikhlas Budiman (Baso). Kisah 20 tahun yang silam di sebuah pesantren Jawa Timur iaitu Pondok Madani atau nama realitinya Pondok Modern Gontor. Tidak cukup dengan pembacaan, saya siap menonton siaran bual bicara Kick Andy : Negeri 5 Menara di Youtube di mana Ahmad Fuadi dan rakan-rakannya diwawancarakan. Saya juga siap bertanya dengan makcik-makcik di Kulim yang mempunyai pengalaman menghantar anak-anak di Gontor. Dahsyat betul saya ini.

Negeri 5 Menara mengajar pembaca tentang Man Jadda Wa Jadda atau Bahasa Melayunya- sesiapa yang berusaha dia akan berjaya. Saya juga jelas buku ini banyak mengajar pembaca tentang berani berimpian sesuatu yang mustahil. Sama seperti buku Laskar Pelangi. Cuma buku Laskar Pelangi, penghujung ceritanya sedih. Tetapi tidak untuk Negeri 5 Menara. Ahmad Fuadi dan 5 rakan-rakannya yang lain semuanya berjaya. Berjaya di sini bukanlah bermaksud banyak duit tetapi mereka berjaya menjadi manusia yang berguna untuk ummah. Berjaya memberi manfaat kepada orang lain. Berjaya kerana mereka sentiasa ada semangat cintakan ilmu walau dihimpit dengan kesusahan dan umur yang semakin meningkat. Itu definisi berjaya buat saya.

Tetapi saya paling terkesan di dalam banyak-banyak pengajaran yang saya perolehi melalui buku ini ialah tentang keikhlasan. Keikhlasan memberi ilmu. Keikhlasan menuntut ilmu. Keikhlasan berbakti kepada ummah.

Keunikan Gontor bukan terserlah melalui sistem pendidikannya yang mewajibkan penggunaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab 24 jam hatta di tandas sekalipun, atau melalui sistem disiplin yang ketat tanpa rotan tetapi keunikannya mungkin melalui guru-guru yang mewakafkan diri @ bekerja tanpa gaji mendidik pelajar-pelajar Gontor.

Sumber Gambar
Kembara buku seterusnya diselang-selikan dengan Travelog Iran dan Rindu Bau Pohon Tin. Rindu Bau Pohon Tin yang selesai dahulu pembacaan.

Selepas itu, saya sudah tidak mahu melepaskan Travelog Iran. Seronok! Saya rasakan seolah-olah separuh kaki sudah menginjak Iran. Sebelum ini, saya tidak tahu banyak tentang Iran. Mungkin dalam bayangan saya 1) Syiah, 2) Ahmadinejad atau Imam Khomeini atau 3) nuklear dan 4) menangis @ azadari.

Dina Y. Sulaeman ternyata seorang pemerhati yang bagus. Juga teliti dengan setiap apa yang dilihatnya. Tidak kiralah samada objek yang diperhatikan itu ialah manusia, budaya mereka atau monumen sejarah. Begitu terperinci diterangkan sehingga saya rasakan buku ini tanpa gambar sekalipun tidak sama sekali mencacatkannya.

Berbanding dengan suami penulis, Otong Sulaeman, yang menyumbang 3 bab di dalam Travelog Iran atau nama asal buku ini ialah Pelangi di Persia, beliau juga seorang pemerhati yang baik cuma tidak seteliti Dina. Namun begitu saya dapat mengesan melalui tulisannya yang beliau banyak bertafakur tentang setiap apa yang dilihatnya. Beliau mudah mengaitkan sesuatu dengan pelbagai iktibar dan pengajaran. Dina tidak ada itu. Tidak mengapa. Ini namanya saling lengkap-melengkapi.

Penulis dan suami menetap di 3 buah kota selama di Iran iaitu di Qom, Qazvin dan Teheran. Tempoh semuanya ialah 8 tahun. Travelog Iran merupakan catatan kembara penulis dan suami yang melibatkan 9 kawasan di Iran iaitu Abyaneh yang memiliki kebun bunga ros di mana ia digunakan untuk mencuci kaabah, Shomal (Iran Utara) yang diduduki oleh golongan kaya, Isfahan, Khurramshar yang mengandungi sejarah peperangan Iran-Iraq, kawasan sunni di Sanandaj, Shiraz yang memiliki tinggalan sejarah Persepolis, pusat pemerintahan Cyrus the Great dan makam Sibawaih (pakar nahu bahasa arab) yang terpencil, Yazd ibukota kaum Zoroaster (majusi), Kerman dan terakhir ialah Teheran yang memiliki 1001 cerita tentang politik dan Ahmadinejad.

Penulis menetap di kawasan perumahan yang dikelilingi oleh masyarakat syiah. Namun, buku ini tidak ada bercerita tentang halangan-halangan beliau hadapi semasa hidup bersama masyarakat syiah. Penulis kelihatan seperti sudah beradaptasi dengan mereka. Sekali baca, mungkin pembaca akan terfikir yang penulis juga mungkin seorang syiah tetapi sebenarnya tidak. Realitinya, masyarakat Syiah dan Sunni hidup dalam keadaan rukun dan damai.

Penulis begitu jujur bercerita tentang pengalamannya bersama kawan-kawan di Iran. Kisah mereka menyambut Tahun Baru (Iran memiliki sistem kalendar sendiri. Ia bermula dari hijrah Nabi Saw tetapi bergerak mengikut pusingan matahari, tidak seperti kita yang mengikut pusingan bulan). Ada beberapa catatan penulis yang menarik hati terutama apabila mahu menggambarkan Iran. Rumah orang-orang Iran sangat bersih sehinggakan di dapur sekalipun diletakkan permaidani Parsi. Uniknya, pembantu rumah di Iran adalah sangat mahal dan menurut penulis sendiri selama beliau di sana, beliau hanya pernah menemui 2 orang pembantu dari Indonesia sahaja. Di Iran, sebelum perkahwinan, kaum lelaki harus menyediakan rumah untuk si isteri. Jikalau tidak mampu boleh menyewa rumah. Manakala isteri pula adalah menjadi tanggungjawabnya menyediakan isi-isi di dalam rumah seperti sofa, periuk nasi, katil, dan pelbagai lagi.

Oh. Banyak lagi! Dari cara penulis menulis, saya menyedari beliau sangat bahagia duduk di Iran. Saya yang membaca buku ini pun, turut sama merasakan kebahagiaan itu. Mungkin boleh saya katakan, kekaguman saya semakin bertambah terhadap kerajaan Parsi ini.Saya pernah terfikir sebegini. Jikalau saya diizinkan oleh Allah pergi ke Iran suatu hari nanti, mungkin untuk tujuan melancong, saya perlu membawa buku ini. Ia bagaikan peta Iran.

Sumber Gambar
Buku ketiga ialah Kaum-Kaum Yang Pupus karya Harun Yahya. Saya baru selesai membacanya pada awal pagi tadi. Mungkin kira-kira pukul 10 pagi.

Kaum-Kaum Yang Pupus mengandungi 9 penemuan bukti arkeologi berdasarkan kisah-kisah yang dinyatakan di dalam Al-Quran seperti lokasi banjir besar pada zaman Nabi Nuh, lokasi tempat lahir Nabi Ibrahim, lokasi negeri kaum Nabi Luth yang diterbalikkan, lokasi kaum 'Ad yang baru dijumpai baru-baru ini setelah ditimbus pasir untuk beberapa tahun, kaum thamud, firaun dan Nabi Musa, Kaum Saba', Puteri Balqis dan Nabi Sulaiman dan lokasi gua Ashabul Kahfi.

Walaupun kita sudah biasa dengan beberapa maklumat seperti lokasi Nabi Musa membelah lautan di Laut Merah atau Gua Ashabul Kahfi di Ephesus, tetapi sebenarnya pengkajian berterusan masih dijalankan dari masa ke semasa. Info-info yang kita miliki pada hari ini boleh saja dicabar pada bila-bila masa dengan hujah-hujah baru berdasarkan penemuan arkeologi yang lebih mantap.

Contohnya, peristiwa banjir besar ketika zaman Nabi Nuh as. Ada banyak pandangan terutama kalau menurut Old Testament, banjir ini berlaku secara global. Tetapi, Al-Quran hanya merujuk kepada kawasan tertentu dan kaum tertentu iaitu kaum Nuh. Menurut buku ini, lokasi banjir besar ketika Nabi Nuh ialah di Dataran Mesopotamia yang mempunyai Sungai Tigris dan Euphrates di mana dataran ini (menurut rekod) memang selalu terdedah kepada banjir kerana 2 sungai itu tadi. Tetapi ini bukan hujah utamanya. Diceritakan, ada 4 bandar utama di Mesopotamia yang dipercayai pernah berlaku banjir besar berdasarkan kajian tanah-tanahnya (kedaan tanah berbeza jikalau banjir secara tiba-tiba dan banjir yang normal) dan penemuan arkeologi, iaitu Ur, Urech, Kish dan Shurruppak. Kawasan banjir dikatakan seluas 160km lebar dan 600 km panjang dan ini meliputi seluruh kawasan Mesopotamia. 4 bandar itu termasuk dalam kawasan ini. Tetapi diingatkan juga di sini, geografi Mesopotamia adalah berbeza 3000SM dahulu kala dengan yang ada pada hari ini.

Buku ini membantu kita melihat sesuatu isu dari perspektif berbeza. Ia mengajar kita untuk sentiasa mengkaji dan mengkaji.

Sunday, September 05, 2010

3 Buah Buku Nasihat

3 buah buku ini dibaca sebaik kembali dari Haramain. Tambah lagi satu buku Lelaki Berkasut Merah untuk masukan yang berasingan. Saya masih dalam mood Haramain. Saya dapat rasakan hati saya sangat lembut menerima kebaikan pada ketika ini. Oleh kerana itu, setiap buku yang dibaca sentiasa berjaya menasihati saya dan saya menerima nasihat itu dengan positif. Dalam masa yang sama, saya juga risau adakah saya akan konsisten sebegini dalam beberapa bulan lagi ataupun beberapa minggu.

Bertransformasi menjadi kanak-kanak sebentar. Karya Aliff Danial ini selalu mendapat pujian daripada Puan Ainon. Mungkin kerana itu juga saya bertambah minat dan kecintaan untuk memiliki karya beliau. Saya tidak menyangka pula buku ini bersaiz besar. Saya ingatkan ia seperti novel kanak-kanak atau remaja yang biasa dibaca. Rupa-rupanya ia merupakan sebuah buku cerita illustrasi. Cerita ditulis dengan huruf yang sederhana besar dan pendek-pendek. Selepas itu ada pula banyak gambar. Memang sesuai untuk kanak-kanak dan ibu-bapa yang mahu membacakan buku untuk anak-anak mereka.

Saya ingat lagi ketika saya baru memasuki Darjah 1. Saya belum pandai membaca lagi pada ketika itu. Tetapi saya sangat begitu teruja apabila berjumpa dengan buku, mengulangkaji pelajaran atau pergi sekolah. Pada suatu hari kami sekelas dibawa memasuki perpustakaan sekolah. Saya mencapai sebuah buku illustrasi tentang haiwan jikalau tidak silap. Saya mahu membaca tetapi saya tidak tahu. Pada masa itu saya mahu kelihatan seperti sedang membaca buku. Jadi apa yang saya buat ialah mereka-reka cerita berdasarkan gambar yang saya nampak. Lucu pula.

Saya seronok membaca buku-buku yang bergambar. Bertambah ceria lagi jikalau buku itu mengandungi pelbagai gambar yang memberangsangkan dengan warna-warna yang memikat. Aduh seronoknya! Seolah-olah warna dan gambar itu telah memberi semangat kepada saya. Saya yakin perasaan ini akan bertambah positif lagi untuk kanak-kanak. Lagipun saya tidak rasa kanak-kanak begitu memerhatikan tulisan dan huruf. Mereka lebih mudah tertarik kepada gambar. Secara tidak langsung, ini akan membantu mereka untuk berfikir atau mungkin mereka-reka cerita berdasarkan gambar yang dilihat (seperti apa yang saya lakukan suatu ketika dahulu). Ibu-bapa pula sentiasa ada modal atau tidak kering idea untuk memancing mood anak-anak membaca dengan merujuk kepada gambar. Tambahan lagi, buku ini ada menyediakan beberapa permainan ringkas. Inilah antara kelebihan buku illustrasi.

Putera Fariri dan Buku Resipi Ajaib mengisahkan seorang putera raja dari Merilin yang berminat dalam dunia masak-memasak. Dia mahu menjadi Raja Chef. Hasratnya itu tercapai apabila ayah dan bondanya menyuruh Fariri keluar ke kota Merilin untuk belajar sesuatu tanpa mendedahkan identiti dirinya sebenar. Jadi kesempatan itu digunakan Fariri untuk bekerja di sebuah restoran Mari-Mari-La. Tetapi, oleh kerana tuan punya kedai itu mahu menguji pekerjanya sebelum diterima menjadi chef sebenar, maka Fariri diberi tugas yang bukan-bukan seperti mencuci pinggan mangkuk dan mengemas dapur. Alkisahnya buku ini mengisahkan perjuangan Fariri untuk mencapai impiannya sebagai Raja Chef. Teman setia Fariri dalam perjuangan ini ialah seekor tupai yang bernama Paipai dan sebuah buku resipi ajaib.

Sepanjang pembacaan saya suka pada ayat ini :

"Awak tidak penat?" tanya Paipai.
"Tidak. Saya tidak penat, " jawab Putera Fariri.
"Tetapi mengapa?" tanya Paipai
"Sebab saya ada awak dan impian, " jawab Putera Fariri (halaman 44)

Dan juga yang ini :

Bondanya, Permaisuri Maisarah selalu berpesan. Katanya, orang yang ada cita-cita tidak boleh banyak mengeluh. Semua kerja perlu dibuat dengan jujur dan penuh kasih sayang. (halaman 46)

Saya mengulang-ulang pembacaan untuk ayat ini beberapa kali. Ya betul seperti apa yang ditulis itu. Ia memberi peringatan kepada saya. Tidak lupa nasihat penulis di akhir halaman untuk adik-adik tetapi saya pula yang terkesan dengan pesanan itu iaitu tentang sikap kita untuk mencapai kejayaan yang besar. Sikap itu ialah penyayang, mudah tersenyum, tidak mudah putus asa dan rajin berusaha. Terima kasih buku!

Buku kedua yang saya selesaikan ialah Transformasi Ramadan. Buku kedua Ustaz Hasrizal yang saya baca setelah Secangkir Teh Pengubat Letih. Dibaca selang seli dengan Ma Yan. Ini merupakan kompilasi artikel berkenaan dengan Ramadan. Ringkas-ringkas sahaja. Cukuplah untuk memberi peringatan kepada kita tentang Ramadan. Ada artikel itu boleh dibaca di blog penulis sendiri.

Saya tertarik kepada artikel yang menyentuh tentang kalimah minal 'aideen wal faaizeen yang membawa pengertian kembali kepada fitrah dan inilah golongan yang berjaya. Ia membawa kepada muhasabah yang panjang untuk meneliti diri sendiri adakah sudah berjaya pada Ramadan ini. Adakah Ramadan ini hanya berjaya dari sudut menahan dahaga , lapar dan pelaksaaan tarawih sahaja tetapi tiada pencapaian dari sudut ketaqwaan . Setiap diri mampu menjawabnya dengan jujur.

Ramadan merupakan bulan perjuangan membersihkan diri agar semakin tunduk kepada penciptaNya. Bertuahlah kita jikalau kita termasuk dalam golongan orang-orang yang menghargai Ramadan. Ada 3-4 hari lagi sebelum Syawal. Masih sempat kita bekerja keras. Muhasabah balik dengan rasa ikhlas bertuhan. Selepas ini kita berjuang pula untuk konsisten selepas Ramadan. Berpenat-penatlah di dunia kerana rehat kita di akhirat.

Orang-orang soleh dahulu kala, sentiasa berdoa dalam 6 bulan selepas Ramadan agar diterima amalan puasa mereka pada bulan Ramadan itu dan mereka berdoa lagi 6 bulan sebelum Ramadan akan datang agar dipertemukan dengan Ramadan lagi. Semoga kita mengakhiri Ramadan ini dengan kejayaan dan bertemu semula denganya pada tahun hadapan untuk mengulangi kejayaan itu sekali lagi.

Ini ialah antara buku yang paling sukar sekali saya selesaikan. Sehingga saya mengamalkan bacaan pantas dan mungkin ada beberapa halaman yang tidak dibaca. Saya memang bermasalah apabila membaca buku yang sedih. Tambahan lagi jikalau ia melibatkan orang Islam dan saya tahu itu adalah kisah benar. Maka bertambah-tambahlah kekusutan jiwa ketika membacanya.

Ma Yan mengisahkan seorang remaja (lahir 1988 - 4 tahun lebih muda dari saya) yang berjuang untuk bersekolah. Keluarga sebelah ayahnya merupakan veteran perang. Namun begitu mereka memang mewarisi kemiskinan sejak sekian lama. Inilah yang membuatkan ibu-bapa Ma Yan tetap perlu bekerja keras membiayai persekolahan anak-anak mereka kerana mereka percaya hanya dengan pendidikan sahaja yang mampu mengubah kemiskinan itu. Mereka tidak mahu anak-anak mereka mewarisi kemiskinan mereka seperti mana mereka juga telah mewarisi kemiskinan ibu ayah mereka turun-temurun.

Pekerjaan utama yang dibuat ibu-bapa Ma Yan ialah bertani. Tetapi oleh kerana cuaca panas memanjang yang tidak menjamin kesuburan tanah memaksa mereka mencari pekerjaan lain di Mongolia. Ayahnya mencari pekerjaan sebagai buruh di tapak pembinaan yang boleh mendapat gaji beratus-ratus yuan. Tetapi, itu belum tentu mereka akan mendapat gaji kerana selalunya mereka akan ditipu oleh mandur tapak pembinaan itu. Begitu juga ibu Ma Yan, tangannya sampai bengkak-bengkak kerana bekerja dan sedihnya di dalam masa yang sama dia juga berjuang dengan kesakitan perut yang dihidapinya. Sakit perut yang dihidapi itu terpaksa dilupakan hanya kerana tiada wang yang cukup untuk perubatan. Duit yang ada perlu digunakan untuk pembiayaan yuran sekolah.

Saya sehingga kini masih tidak boleh membayangkan kesusahan Ma Yan menahan kelaparan kerana mahu mengumpul duit membeli pen yang berharga hanya 2 yuan. Setiap minggu dia akan diberi ibunya 1 yuan. 1 yuan itu digunakan selama 5 hari untuk membeli sedikit sayur yang boleh memberi rasa sedikit kepada makanan tengaharinya. Dia tidak makan nasi untuk makan malam kerana duit tidak mencukupi. Ma Yan hanya memakan kuih kukus. Ada 5 keping kuih kukus. Jadi dia akan memakan 1 keping untuk setiap malam. Tetapi oleh kerana dia mahu membeli pen, jadi dia perlu menyimpan setiap 1 yuan yang diberi ibunya itu selama 2 minggu, baru cukup 2 yuan. Dalam tempoh 2 minggu itu, Ma Yan hanya memakan nasi sahaja tanpa lauk. Kadang-kadang dia selang-selikan dengan minum air supaya cepat kenyang. Malangnya masuk minggu kedua, yang sepatutnya dia akan mendapatkan 1 yuan lagi, ibu Ma Yan tidak ada duit. Jadi Ma Yan terpaksa meneruskan bertahan hanya memakan nasi kosong sahaja untuk 1 minggu sehinggakan dia rasa mual dan tidak mampu memakan nasi itu lagi. Dia masih lapar tetapi tidak dapat memasukkan nasi itu ke mulutnya. Malu saya dibuatnya kerana saya selalu membazir makanan.

Akhirnya Ma Yan berjaya membeli sebatang pen yang berharga 2 yuan itu. Pen itulah yang digunakannya menulis catatan hariannya - tentang cita-citanya dan harapannya yang mahu tetap bersekolah tetapi mungkin terpaksa dilupakan hanya kerana kemiskinan. Catatan itulah juga yang diberi ibu Ma Yan kepada sekumpulan pengembara dari Perancis yang disangkanya mencari kanak-kanak bijak. Puji-pujian kepada Allah yang sentiasa memerhatikan hambaNya. Pengembara( yang ada di antara mereka adalah wartawan) bukan sahaja membaca catatan itu, tetapi membantu Ma Yan dengan menubuhkan tabung kebajikan untuk membantu persekolahan Ma Yan. Sehingga kini, khabarnya Ma Yan sedang melanjutkan pelajaran di Perancis dan ibunya pula terlibat aktif membantu kanak-kanak yang senasib dengan Ma Yan. Boleh baca berita lanjut di sini.

Sekurang-kurangnya berita ini melapangkan saya. Sepanjang pembacaan saya kuat berimaginasi yang saya perlu ke China membantu Ma Yan. Emosional pula. Resah di hati tentang nasib minoriti muslim di sana. Agak mustahil saya terbang ke China bukan tetapi sekurang-kurangnya cerita Ma Yan ini menyedarkan saya yang begitu banyak orang Islam terbiar di seluruh dunia ini malah kehidupannya mungkin lebih sadis. Saya tidak tahu bagaimanakah cara untuk membantu tetapi mungkin saya patut memulakannya dengan doa. Maksud saya mereka tidak akan dilupakan di dalam setiap doa-doa saya, "Ya Allah kasihanilah saudara-saudaraku di seluruh dunia, walau di mana mereka berada, yang dikenali ataupun tidak, ampunilah mereka, dekatkanlah mereka kepadaMu, keluarkanlah mereka dari kesempitan dan makbulkanlah hajat mereka".


Wallahu alam

Tuesday, August 31, 2010

Ganding Baca Ogos : Lelaki Berkasut Merah - Bahruddin Bekri

Sumber Gambar
Lelaki Berkasut Merah
Bahruddin Bekri
Penerbit : PTS Litera Halaman : 454

Boleh ikuti secara langsung perbincangan mengenai buku ini di laman Goodreads - http://www.goodreads.com/topic/show/382128-ganding-baca-ogos-2010-lelaki-berkasut-merah

Saya jawab dahulu soalan-soalan yang dikemukakan pembaca :

Isma
Dimana kelebihan(saya tidak mahu bercakap kelemahannya) LBM: plot 'kebetulan'nya kah?lawaknya kah?falsafah kasut merahnya kah?watak-watak peliknya kah?Atau pendek kata, apa yang membuat anda terus membacanya sampai selesai(terpaksa habiskan demi Ganding Baca!-jawapan ini tidak boleh pakai).

Saya sentiasa percaya yang saya membaca bukan untuk suka-suka. Saya sedang melakukan pencarian. Saya mencari kegembiraan melalui kebenaran yang disampaikan. Saya mencari tulisan yang mahu menyebarkan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Saya mencari tulisan yang boleh memberi nasihat. Saya menjumpai itu melalui LBM. Itulah sebab utama kenapa saya meneruskan pembacaan dengan riang gembira.

Bolehkah LBM dikira naskhah Islam untuk remaja(terpengaruh dengan tajuk Fenomena Seni semalam, kalau bukan kerana FT, tidak tengok pun).

Saya menganggap LBM sebagai sebuah naskhah Islam. Jikalau tiada yang bersangkutan dengan akidah atau penghinaan kepada Islam dan tokoh-tokohnya, saya tidak akan campak buku itu. Biasanya juga, saya akan melihat kepada pengakhiran cerita sebuah novel itu yang menjadi penentu sama ada saya akan mempromosikannya kepada kawan saya atau tidak. Saya mahu memahami bagaimana penulis menyudahkannya kerana pada ketika inilah penulis sedang memberitahu kepada pembaca cara berfikirnya. LBM boleh dianggap sebagai sebuah karya dakwah. Manusia ada pelbagai citarasa, perangai dan cara fikir. Oleh sebab itu juga, terdapat banyak metod dakwah di dunia ini. Jikalau kita tidak berapa serasi dengan LBM, anggap sahaja metod dakwah ini tidak berapa sesuai untuk kita tetapi ia mungkin berjasa untuk orang lain.

Kak Haryati

Penulis mengenengahkan tema buli dan kongsi gelap dalam masyarakat. Gejala atau masalah sosial ini bukan sahaja berlaku di kalangan orang-orang biasa malah berlaku juga kepada golongan cerdik-pandai atau profesional. Kenapa ya? Mengapa agaknya kepandaian yang dikurniakan Allah itu disalahguna dengan menzalimi manusia lain?

Saya sentiasa percaya setiap perkara itu ada pencetusnya kenapa ia terjadi. Saya juga percaya yang tidak semua orang suka berada dalam dunia kejahatan. Kadang-kadang mereka tidak mampu membuat pilihan. Allah tidak lupakan mereka. InsyaAllah mereka akan kembali kepada kebaikan juga nanti.

Apakah tulisan-tulisan atau ayat-ayat yang berkesan di hati setelah membaca LBM?

Hadis qudsi ini.
Penulis mungkin boleh sertakan rujukan jikalau ada menyelitkan hadis di dalam karya. Mudah pembaca rujuk kembali. Hadis qudsi ini tidak pernah saya dengar lagi. Ia begitu menyentuh.

Di antara hamba-hambaKu yang mukmin, ada sebahagian yang tidak dapat elok urusan agama mereka kecuali diberi kejayaan, kelegaan dan kesihatan. Lalu, Kami menguji mereka dengan kekayaan, kelegaan dan kesihatan sehingga eloklah urusan agamanya. Di antara hamba-hambaKu yang mukmin ada pula sebahagian yang tidak dapat elok urusan agama mereka kecuali diberi kekurangan, kemiskinan dan penyakit sehingga baiklah urusan agama mereka. Aku mengetahui dengan apa hambaKu yang mukmin menjadi baik dalam urusan agamanya.


Kak Nor Azzah

Setelah selesai membacanya, adakah anda turut merasa yang anda sebenarnya perlu meminta maaf kepada ramai orang atas pelbagai kesalahan?

Terima Kak Azzah kerana meningatkan tentang maaf. Sebenarnya, setelah habis pembacaan fokus saya ialah Allah sentiasa memiliki perancangan yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Buku ini menasihati saya agar sentiasa melakukan kebaikan ikhlas kerana Allah. Hanya dengan itu kita tidak akan kecewa dengan segala ketentuanNya.


Hilman

Adakah benar kenyataan "Lelaki hanya dapat menerima dua jawapan, ya atau tidak." Benar-benar wujud? Pakar motivasi manakah yang menyatakan demikian? Adakah wanita dapat menerima jawapan lebih daripada 2 ini? Jawapan berdasarkan pengalaman peribadi juga diizinkan.

Saya tidak rasa kenyataan ini dipengaruhi oleh jantina. Selalunya, personaliti dan cara fikir seseorang itu (tidak kira dia lelaki atau perempuan) yang akan menentukan cara fikir sebegini - maksud saya - hanya dapat menerima 2 jawapan - Ya atau Tidak.


Ulasan :


Akhirnya saya membaca lagi sebuah karya Bahruddin Bekri yang sarat dengan nasihat. Saya mencari-cari setelah Doa Untuk Aku. Tidak sangka ia adalah Lelaki Berkasut Merah (LBM). Sebelum ini ia begitu kontroversi di laman Goodreads sehinggakan saya yang belum membacanya sudah sedikit demi sedikit ada unsur negatif tentang buku ini. Tambahan pula, kawan saya yang juga penggemar karya Bahruddin Bekri menyatakan yang dia tidak suka LBM.

Semalam (30 Ogos), saya memulakan pembacaan LBM. Sebentar tadi (31 Ogos), saya baru sahaja menyelesaikannya tanpa rasa tertekan sepanjang pembacaan. Saya tertanya-tanya, "Apa masalah dengan buku ini?". OK. Saya akui ada lawak-lawak yang agak menjengkelkan. Mungkin ini boleh menjadi cadangan untuk penulis agar lain kali jangan masukkan lawak-lawak yang menyentuh tentang kentut, najis atau cicak kerana ia memang memualkan. Boleh terbawa-bawa semasa makan. Tentang lawak-lawak yang lain itu, saya ( sebagai seorang yang telah membaca 7 buah karya penulis) menganggapnya perkara biasa. Trademark penulis. Lawak-lawak itu tidak menyakitkan saya. Saya boleh membuat keputusan samada mahu ketawa atau tidak. Tetapi biasanya saya ketawa sebab saya memang begitu.

Menulis novel komedi memang satu cabaran. Situasinya sama sahaja seperti ketika kita menonton rancangan Raja Lawak. Bukankah kadang-kadang kita terfikir, "Tidak kelakar pun". Di dalam masa yang sama banyak juga orang akan mengatakan, "Buat lawak bodoh". Jadi di sinilah maksud saya terletaknya cabaran bagaimana menjadikan karya komedi kita itu universal - pembaca remaja suka dan pembaca dewasa pun suka. Tetapi itu bergantung juga kepada pembaca yang disasarkan penulis. Buat masa ini, saya nampak Bahruddin Bekri mensasarkan remaja sebagai pembacanya dan saya yakin remaja memang akan menyukai karya Bahruddin Bekri. Membaca dengan santai dan menggembirakan. Cukup sinonim dengan remaja. Tambahan lagi kekuatan penulis ialah melalui kata-kata nasihat yang penuh berhikmah itu. Bukankah ia adalah satu kerja dakwah yang bagus. Remaja yang membaca dengan riang gembira dan di dalam masa yang sama dia dinasihatkan.

Pembaca dewasa mungkin tidak serasi dengan karya Bahruddin Bekri hanya kerana jenaka yang dipersembahkan. Itu adalah reaksi yang wajar kerana semakin usia bertambah kita akan lebih cenderung membaca yang serius. Tetapi di dalam masa yang sama, karya-karya sebegini (yang banyak jenaka ini) tidak boleh kita bakul sampahkan tambah-tambah lagi jikalau isi-isi di dalamnya mengandungi nasihat-nasihat berguna untuk kehidupan. Ia mungkin tidak sesuai untuk kita tetapi ia mungkin sangat berjasa untuk anak-anak atau adik-adik kita yang jiwanya belum cukup kuat atau tidak berminat membaca buku-buku serius. Kadang-kadang kita membaca bukan untuk diri sendiri sahaja tetapi untuk orang lain juga.

Setelah membaca Doa Untuk Aku, saya mencari lagi kelainan itu melalui karya penulis yang lain. Kini, saya baru menjumpainya melalui LBM. Saya membaca LBM dengan cermat. Saya mencari nasihat dan LBM telah menasihati saya. Ia bukan sekadar sebuah kisah remaja yang akrab dengan buli, gangsterisme dan kongsi gelap tetapi ia menyediakan pembaca sebuah proses penyelesaian menuju kebaikan dengan menampakkan akibat daripada sebuah kejahatan itu.

Wallahu alam

Wednesday, July 28, 2010

Bagaimana Menyentuh Hati - Abbas As-Siisiy


Sesiapa yang pernah membaca buku Bila Allah Menduga Kita karya Syed Alwi Alatas pasti akan perasan penulis ada menulis tentang Abbas As-Siisiy. Ceritanya, Abbas As-Siisiy pada ketika itu ditanya oleh Hassan Al Banna kenapa beliau tidak berminat memasuki pasukan ketenteraan. Abbas As-Siisiy menjawab, kerana matanya rosak dan ini menyumbang kepada kegagalan ketika ujian menembak nanti. Hassan Al-Banna menjawab, bertawakallah kepada Allah. Abbas As-Siisiy membidas cadangan itu dengan mengatakan, bagaimana dia boleh bertawakal sedangkan dia tahu masalahnya itu. Lalu Hassan Al-Banna pun berkata, "Justeru itu, bertawakallah pada Allah. Kalau matamu sihat, mungkin kamu akan bertawakal pada matamu" (halaman 70 Bila Allah Menduga Kita).

Sekejap. Sedang menulis, tiba-tiba sangat mengantuk. Bersambung nanti.

Ngee. Sekarang 28 Julai. Bersambung semula.

Selingan sahaja. Saya tertarik untuk mengingati kisah di atas. Abbas As-Siisiy merupakan salah seorang anggota Ikhwanul Muslimin di Mesir, seangkatan dengan Hassan Al-Banna. Beliau memang cukup terkenal dengan peribadi yang penuh dengan cinta dan sering tersenyum. Kata-kata dan akhlaknya mempamerkan mesej cinta dan ukhuwwah. Buku ini juga berkisar tentang cinta dan pentingnya elemen kasih sayang dan ukhwwah kepada orang yang kita mahu dakwah.

Daie (baca : pendakwah) menurut penulis diibaratkan sebagai seorang doktor. Dia perlu memberi ubat yang sesuai dengan pesakitnya. Justeru itu, ubat yang diberi bukanlah ubat yang sama kerana setiap orang mempunyai penyakit yang berbeza. Begitulah dengan daie. Daie perlu "diagnose" dalam erti kata lain memahami cara fikir orang yang mahu didakwah (baca:mad'u). Ini menjadi modal kepadanya untuk memilih bentuk kaedah dakwah terhadap mad'u nya itu.

Dakwah bukan medan perjuangan yang bersifat individual. Ia melibatkan pelbagai golongan, pemikiran dan peribadi. Kepelbagaian ini tidak pula boleh dilihat dari sudut kekurangan tetapi anggap ia sebagai rahmat. Justeru itu, seorang daie perlu belajar memahami orang di sekelilingnya agar dia boleh berinteraksi dengan cara paling terbaik dan paling menyentuh agar mesej-mesej Illahi tercapai dengan berkesan. Daie perlu belajar merendah diri. Dakwah bukan medan menunjuk-nunjuk kelebihan atau kehebatan diri. Dakwah ialah sebuah proses membimbing dan menyatukan hati-hati kembali kepada Allah.

Rasulullah saw sentiasa mengajar kita bagaimana seorang daie harus memperhatikan celah-celah kebaikan yang ada pada orang lain. Dari situ daie berusaha memupuk kebaikan itu sehingga orang itu sedar keburukannya dan merubahnya. Justeru itu menurut penulis, inilah sikap yang perlu kita ambil apabila berhadapan dengan seorang pemuda yang memakai rantai dan memasuki masjid sebagai contoh. Jangan diserang pemuda itu hanya kerana rantainya tetapi hargailah dia kerana bukan senang seorang pemuda seperti itu mahu datang ke masjid. Dekati dan bimbinglah tahap demi tahap. Inilah daie. Dia ialah manusia yang mengajak kepada seruan yang baik, ajakan yang menggembirakan dan dengan dialog yang berhikmah. Manusia dilihat sebagai aset bukan penimbul masalah.

Begitulah buku Bagaimana Menyentuh Hati karya Abbas As-Siisiy ini. Dakwah ditonjolkan sebagai sebuah proses mengajak manusia kepada Tuhan. Tidak logik menurut penulis jikalau kita mengajak orang lain tanpa ada rasa kasih sayang, cinta dan ukhwwah. Ini kerana cinta, kasih sayang dan ukhuwwah merupakan bahasa internasional yang digunakan para daie untuk menyentuh hati-hati manusia. Memetik kata-kata penulis, "Islam tidak menutup cinta dan kasih sayang, tetapi membersihkannya dari tradisi jahiliah agar menjadi taman yang indah iaitu cinta kerana Allah".

Wallahu alam

Sunday, July 11, 2010

Hujung Minggu

Hujung minggu ini memang betul-betul diisi dengan rehat. Yahoo! Cuti!

Rehat bersama buku-buku.

Bermula Jumaat, selepas balik dari kerja, kerja-kerja mengemas bilik dimulakan. Habis buku dipunggah dari rak. Ini memang hobi saya. Membuang habuk-habuk pada buku. Anda tidak tahu lagi, selain membalut, saya juga membungkus buku-buku saya sebab saya risau terkena habuk (Saya membeli plastik pembungkus yang digunakan penjual memasukkan barang makanan). Tetapi belum 100% lagi. Baru sebahagian sahaja.

Selepas proses mengemas itu, baru saya tersedar 2 perkara. Pertama, buku saya tidak banyak mana pun. Maknanya saya perlu rajin lagi membeli buku *_* Tetapi sekarang sedang berpuasa membeli. Mujur ada pertandingan yang boleh disertai untuk mendapatkan buku percuma. Kedua, buku Laskar Pelangi saya hilang!

Malam itu tidak berdaya untuk membaca. Sudah selesema. Saya sendiri agak pelik sejak bila saya sensitif dengan habuk.

Marathon membaca bermula pada sebelah pagi. Kurang pasti pada pukul berapa. Buku Secangkir Teh Pengubat Letih karya Ustaz Hasrizal Abdul Jamil ini yang mula-mula dijamah. Masih tinggal kira-kira separuh buku lagi yang belum diselesaikan pembacaan. Dulu terpaksa berhenti untuk memberi laluan kepada peperiksaan akhir semester.

Buku ini memang cukup mengasyikkan. Tidak tertekan membacanya. Sedar-sedar sudah hampir sebuah buku dibaca.

Secangkir Teh Pengubat Letih merupakan kompilasi artikel berkenaan kembara penulis ke Turki. Saya rajin juga membaca artikel-artikel di laman web penulis. Tetapi tidak berapa ingat pula samada pernah membaca atau tidak artikel-artikel di dalam buku ini di laman web beliau. Saya rasa saya tidak mempunyai masalah membaca tulisan bukan fiksyen yang disiarkan berulang-ulang kali (buat masa ini).

Saya memang sedar kecintaan penulis kepada Turki atau lebih tepatnya sejarah Uthmaniyyah. Kelebihan belajar di Jordan sedikit sebanyak memudahkan langkah penulis berkembara ke Turki. Saya tidak pasti apakah bentuk tekanan yang dihadapi penulis di Jordan sehingga beliau 'melarikan' diri ke Turki untuk berehat. Berehat dalam erti kata bertafakur. Turki lebih membawa ketenangan jiwa kepada beliau. Pada ketika itu, beliau belum lagi bertemu dengan Fatih. Pertemuan tanpa sengaja di Turki, akhirnya membawa kepada ukhuwwah yang berpanjangan sehinggakan hampir mana-mana tulisan penulis berkenaan Turki, pasti ada nama Fatih dan keluarganya.

Saya melihat Secangkir Teh Pengubat Letih merupakan sebagai sebuah buku yang mengandungi pengisian dan pendidikan. Penulis mengajar kita untuk belajar membetulkan cara pandang apabila melihat sesuatu di mana hasilnya ini nanti akan menentukan apa yang akan kita perolehi. Penulis seolah-olah mahu kita melihat kembaranya di Turki bukan sebagai satu riadhah tetapi satu pencarian untuk lebih memahami kerja-kerja Allah kepada alam dan manusia. Ini membawa beliau kepada persaudaraan Islam yang cukup dengan kalimah Tauhid itu sebagai penyebab untuk satu ukhuwwah walaupun terbatas dengan bahasa dan budaya. Betullah kata penulis. Kita akan dipertemukan dengan apa yang kita cari. Beliau mencari ibrah dan Allah pertemukannya dengan persaudaraan Islam yang semakin mendekatkannya kepada Islam itu sendiri.

Saya kira penulis berjaya menonjolkan Turki dari perspektif berbeza dan membersihkan persepsi asal kita kepada negara ini. Tidak keterlaluan jikalau saya katakan, pembaca boleh tiba-tiba jatuh cinta kepada Turki dan semakin mahu mengenalinya setelah membaca buku ini. (Tambah-tambah pula setelah kejadian Flotilla Marmara, tanpa disedari Turki sudah diangkat sebagai jaguh Islam di bawah pimpinan Erdogan).

Negara sekular yang kita fahami ini nyata tidaklah seteruk mana melalui pemerhatian penulis. Mereka masih memiliki masyarakat yang soleh. Hak dan batil itu terpisah di sini. Penempatan mereka turut terasing. Tidak ada yang separuh-separuh. Maknanya, jikalau orang itu sekular, dia, ahli keluarga dan jiran-jirannya memang semua sekular dan begitulah sebaliknya. Inilah yang dibela penulis bahawa masih ada masyarakat yang masih soleh di Turki ini. Ia bukan total sekular.

Bukan itu sahaja, penulis memberi kredit akan sikap rakyat Turki yang knowledge centric. Malah, berdasarkan kajian, parti Refah di bawah pimpinan Erbakan (kini Erdogan) itu hanya sebahagian sahaja yang memilih mereka atas dasar Islam, tetapi sebahagian besar majoriti undi memilih parti itu kerana mereka yakin pengurusan negara di bawah pimpinan Parti Refah akan mampu membangunkan semula Turki. Inilah Parti refah yang berjaya membawa imej Islam di tengah-tengah masyarakat yang sudah banyak sekular dan di dalam masa yang sama masyarakat itu tidak pula alergi dengan imej Islam mereka.

Mudah-mudahan dengan selesainya pembacaan Secangkir Teh Pengubat Letih, kita bukan sahaja boleh merasakan nikmat ikut berkembara bersama penulis dari satu tempat ke satu tempat di Turki dan semakin memahami masyarakat di situ tetapi juga semakin bertambah kecintaan kepada saudara-saudara Islam kita di sana. Rasa cinta itu secara tidak langsung akan menimbulkan sikap peduli dan menerima kepelbagaian sebagai hikmah terbesar.

Saya kira Secangkir Teh Pengubat Letih selesai dibaca sebelum Zuhur.



Selepas Zuhur, saya membaca pula buku Indahnya Ramadhan di Rumah Kita. Ini strategi saya konon-kononnya. Ingatkan boleh dihabiskan pembacaan sebelum waktu Asar. Selepas itu bolehlah sambung semula Kita Hanya di Seberang Jalan. Pada sebelah malam pula boleh fokuskan kepada penulisan entri untuk minggu ini. Tetapi memandangkan banyak masa yang digunakan untuk membaca karya Dr Akram Ridha ini, maka saya memutuskan untuk menghabiskan pembacaan Kita Hanya di Seberang Jalan pada minggu hadapan sahaja.

Berbalik kepada buku Indahnya Ramadhan di Rumah Kita. Buku ini pernah habis stok di Fajarilmu dan permintaan terus meningkat. Memang laris jualannya. Begitu kata tuan punya Fajarilmu yang serba tahu tentang buku-buku di kedainya itu. Selasa ini, sudah masuk bulan Syaaban. Maka, amat sesuailah Indahnya Ramadhan di Rumah Kita ditelaah. Koreksi sebelum Ramadhan.

Setakat ini, Indahnya Ramadhan di Rumah Kita merupakan buku terbaik tentang muhasabah Ramadhan yang pernah saya baca. Ibu-ibu dilatih sebagai pengarah program Ramadhan dan merancang penglibatan keluarga untuk memeriahkan lagi pesta ibadah ini di rumah masing-masing. Justeru itu, lahir buku Indahnya Ramadhan di Rumah kita yang berfungsi sebagai material dan senarai semak program yang boleh digunakan oleh kaum ibu-ibu ini.

Bermula Syaaban lagi, program disusun-atur sebagai persiapan mental dan amal di kalangan anggota keluarga. Ini termasuklah jadual latihan berpuasa, membaca Al-Quran secara jamaie serta pembentukan usrah kecil di dalam keluarga yang khusus membincangkan tentang fiqh puasa dan yang berkaitan dengan Ramadhan. Aktiviti-aktiviti ini dirancang bermula sejak Syaaban sebagai bulan persiapan. Rumah dibersihkan dan disusun atur. Kita boleh juga menggantung belon-belon untuk menarik perhatian anak-anak dan mengajar mereka betapa gembiranya kita menyambut Ramadhan sebagai bulan pesta ibadah.

Ibu-ibu boleh menggunakan kreativiti masing-masing bagaimana mahu mengurangkan aktiviti menonton televisyen dan digantikan dengan kuiz-kuiz yang boleh menarik perhatian anak-anak. Ibu-ibu diajar menggunakan Ramadhan sebagai masa untuk membina wawasan keislaman di dalam diri anak-anak. Jadi di dalam buku ini, pembaca boleh perhatikan pelbagai info seperti Cahaya Ramadhan (memfokuskan tentang akhlak yang perlu dilatih), peristiwa yang terjadi di bulan Ramadhan serta soalan kuiz berkenaan tokoh-tokoh Islam. Buku ini juga sarat dengan amalan-amalan ketika Ramadhan serta isu-isu fiqh yang berkaitan dengan puasa dan semua ini boleh digunakan ketika diskusi bersama keluarga di dalam usrah kecil yang kita sudah bentukkan.

Indahnya Ramadhan di Rumah Kita akan bercukup bermakna jikalau kita mula mengaplikasikannya saat ini. Jikalau kita seorang ibu, memang buku ini dikhususkan untuk anda.

Indahnya Ramadhan di Rumah Kita. Inilah buku yang mengajar kita bagaimana menyambut Ramadhan dengan meriah. Ungkapan ini yang paling sesuai untuk buku Indahnya Ramadhan di Rumah Kita.

Ya Allah! Sampaikan kami ke bulan Ramadhan.

Wallahu alam

Friday, May 21, 2010

Musuh Rahsia - Rosli Husin

Sumber Gambar
Buku ini mengandungi 5 bab iaitu Sejarah Yahudi - Konspirasi - Falsafah, Matlamat dan Taktik - Injil Dahulu, Kini dan akan Datang - dan yang terakhir ialah Politik antara Taurat dan Injil. Ia ditulis mengikut urutan peristiwa, dari perkara asas sehinggalah kepada pelbagai persoalan yang melibatkan Yahudi. 

Nyata sekali pada hari ini, dunia memang benar-benar berada dalam kawalan dan kuasa mereka. Walaupun suatu ketika dahulu, mereka adalah bangsa yang terpinggir dan pernah dihalau dari Eropah gara-gara sikap mereka yang keterlaluan. Malah, beberapa presiden terawal Amerika Syarikat pernah memberi amaran awal kepada rakyatnya agar berhati-hati dengan Yahudi

Namun siapa sangka, dalam hanya beberapa ratus tahun sehingga kini, bangsa yang mempunyai sejarah menghancurkan sistem feudal dan gereja di Eropah ini dilihat sudah berkawan baik semula dengan Amerika dan dunia Eropah atau dalam erti kata lain penganut Kristian. Bukan itu sahaja, Yahudi juga dikatakan mampu mempengaruhi politik Amerika melalui kekuatan ekonomi mereka.

Saya kira kita sudah jelas, bahawa setiap apa yang berlaku pada hari ini adalah merupakan usaha yang sudah dirancang oleh Yahudi sejak beratus-ratus tahun dahulu kala lagi. Tanpa kita sedari, protokol zionis secara hampir keseluruhan telah berjaya dilaksanakan dan meresap dalam kehidupan seharian sehingga cukup akrab mempengaruhi cara fikir dan cara hidup kita.

Saya tidak mahu memperpanjangkan lagi soal ini kerana bagi saya kita sudah terlalu lama mengetahui info-info berkenaan Yahudi dengan konspirasinya menguasai dunia. Tetapi kita jarang sekali diperingatkan tentang kenapa mereka melakukan semua ini. Agaknya apakah yang memotivasikan mereka dari dahulu sehingga kini sehingga cukup konsisten memperjuangkan misi ini tanpa lelah. Adakah semata-mata mahu menjadi raja dunia kerana mereka adalah bangsa pilihan Tuhan? Adakah kerana dengan memegang status sebagai raja dunia, kekayaan mereka akan semakin bertambah?

Melalui buku Musuh Rahsia, selain menulis tentang sejarah dan konspirasi Yahudi, penulis tidak lepas daripada membincangkan persoalan-persoalan yang saya lontarkan tadi. Saya kira itu adalah pemahaman asas yang patut kita ketahui dalam melihat konflik Palestin-Israel pada hari ini. Kita menganggap isu Palestin-Israel merupakan isu antara negara. Tetapi, Israel@ Yahudi tidak sama sekali menganggapnya sedemikian. Bagi mereka ini isu agama. Semakin mereka berjaya menguasai Palestin dan meruntuhkan Al-Aqsa, itulah indikator mereka adalah bangsa pilihan Tuhan. Kita melihat Amerika dan Eropah memberi sokongan kepada Yahudi tetapi kita jarang mahu memahami yang mereka melakukan semua itu juga kerana agama. Dalam masa yang sama, kita boleh terima pandangan bahawa di sana masih ada golongan minoriti kaum Yahudi dan Kristian yang tidak bersekongkol dalam urusan ini malah memberi sokongan kepada umat Islam yang ditindas atas nama perikemanusiaan.

Berdasarkan pembacaan buku Musuh Rahsia, dinyatakan oleh penulis, penganut Kristian mula mengubah persepsi anti Yahudi bermula setelah Kitab Taurat pegangan Yahudi digabungkan di bawah Old Testament pada kurun ke 16. Persepsi ini menjadi semakin kukuh apabila Teori Armagedon disebarluaskan di seluruh Amerika dan Eropah bermula kurun ke 19. Melalui kepercayaan kepada teori ini, nyata sekali, penganut Kristian bergabung dengan Yahudi adalah sebagai satu manifestasi mereka mendekatkan diri kepada Tuhan.

Cukup menarik apabila penulis mengulas beberapa buah buku yang popular di Amerika yang menulis tentang Teori Armagedon. Antara buku itu ialah Ramalan dan Politik yang ditulis oleh Gris Halsal dan juga Planet Bumi yang Hebat karya Hull Lindsay. Kajian dan ulasan melalui buku itu adalah sesuatu yang menarik untuk difikirkan tentang justifikasi mengapa perang armagedon itu perlu terjadi yang mempunyai kaitan dengan kedatangan Al-Masih.

Satu rumusan ringkas yang kita boleh buat ialah Kristian bersatu dengan Yahudi atas dasar akidah, kalau boleh kita ungkap sedemikian. Bagaimana pula dengan kita, umat Islam?

[Sedikit info tambahan yang diambil dari laman Injil ini. Injil ada 2 bahagian iaitu Old Testament dan New Testament. Old Testament dikatakan merupakan gabungan Taurat, Zabur dan beberapa risalah daripada para nabi yang lain iaitu Hazrat Yusha (Joshua), Samuel, Uzair (Ezra), Sulaiman (Solomon), Ayub (Job), Ishak (Isaiah), Irmiya (Jeremiah), Zulkifli (Ezekiel), Yunus (Jonah) dan Daniel. Manakalah New Testament pula ialah risalah yang diwahyukan kepada Nabi Isa as atau dipanggil Al-Masih oleh penganut Kristian].

Thursday, April 22, 2010

Dari Semenanjung Gaza Ayat-Ayat Allah Berbicara - Muhammad Lili Nur Aulia

Oleh :
Welma La'anda (welmalaanda@gmail.com)
Tajuk :
Dari Semenanjung Gaza Ayat-Ayat Allah Berbicara
Penulis : Muhammad Lili Nur Aulia
Halaman : 82 Penerbit : Alam Raya Enterprise

Pada waktu ini saya berusaha untuk membaca. Berusaha untuk menulis. Jangka masa yang agak lama tidak mengemaskini blog membuatkan saya sedikit sebanyak menjadi serba tidak tahu mahu membaca buku apa dan apa yang mahu ditulis. Saya sudah senaraikan buku-buku yang mahu dibaca sejurus selepas peperiksaaan. Tetapi entah kenapa (seperti biasa), saya tidak ada kekuatan pula dalam seminggu ini. Alasan lagi bukan. Sebenarnya saya masih letih kerana baru balik dari berkhemah di Tasik Raban. Mujur juga saya sempat membaca buku ini sebelum bertolak - Dari Semenanjung Gaza Ayat-Ayat Allah Berbicara.

Ketika saya membeli buku ini, saya tidak mengharap banyak daripadanya. Maksud saya dari segi maklumat-maklumat yang akan diperolehi. Ia menarik perhatian hanya kerana ada nama Muhammad Lili Nur Aulia. Seorang penulis yang saya dapat rasakan mempunyai fikrah atau pemikiran Islam yang baik. Lalu, saya mengharapkan melalui tulisannya pada buku ini, dapatlah secara tidak langsung memberi nasihat kepada saya. Bagi saya, tujuan membaca tidak semestinya untuk mendapatkan ilmu. Selalu sahaja kita sangat memerlukan penulis yang tulus menulis, biar keikhlasannya itu mengalir dalam hati pembaca dan menyebabkan Allah membuka hati-hati kita yang semakin keras ini.

Apa yang ditulis pada buku Dari Semenanjung Gaza Ayat-Ayat Allah Berbicara bukanlah perkara baru untuk disampaikan kepada pembaca. Malah, kebanyakan daripada kita sudah pun mengetahuinya melalui pembacaan di internet. Saya juga mendapati sebahagian besar rujukan penulis yang dicatat di halaman terakhir buku adalah bersumberkan dari internet. Tidak mustahil isi-isinya dirasakan biasa sepanjang pembacaan. Tetapi seperti yang katakan sebelum ini, isi buku bukanlah menjadi masalah besar buat saya untuk buku ini, saya hanya mahukan nasihat. Mungkin ada nasihat yang boleh saya ingat sampai bila-bila melalui buku yang biasa-biasa ini.

Isu Palestin memang tidak akan pernah habis-habis dibincangkan selagi Israel Zionis tidak ditewaskan. Malah dunia ini tidak akan kiamat selagi Palestin tidak mencapai kemenangan. Itu keyakinan kita. Begitu penting Palestin di hati umat Islam sehinggakan kita jangan sekali-kali membiarkan diri dan ahli keluarga kita buat 'don't know' terhadap isu ini atau dalam erti kata lain, menganggapnya sebagai satu 'event' yang hanya diingati pada waktu-waktu tertentu sahaja. Berusahalah kita untuk meletakkan isu Palestin sentiasa di dalam hati, doa dan tanggungjawab kita. Justeru itu, saya menganggap dengan terbitnya buku ini adalah sebagai salah satu usaha daripada penulis untuk menyemarakkan lagi rasa peduli itu. Saya juga membeli buku ini dengan tujuan itu. Saya mahu menulis ulasannya untuk dikongsikan di blog ini. Saya mahu mengajak anda semua bersama-sama dengan saya untuk mengingat saudara kita di Palestin.

Sepanjang pembacaan, saya menjumpai satu hadis yang saya tidak tahu apa tarafnya, sahih atau tidak dan saya tidak pernah pula mendengar tentang ia sebelum ini. Hadis ini membuatkan saya sedih. Sedikit ralat juga kerana saya terfikirkan diri saya yang mungkin termasuk dalam kelompok umat Islam yang tidak ada rasa peduli untuk Palestin. Saya risau, saya dan ahli keluarga saya tiada di dalam kelompok orang yang berjuang untuk kemenangan Islam di Palestin. Jikalau anda berkelapangan, bolehlah tolong saya dengan membuat sedikit semakan tentang hadis ini. Hadis itu bermaksud sebegini :

"Segolongan dari umatku akan terus berada dalam kebenaran, mereka akan terus berjuang melawan orang yang memusuhi mereka. Mereka seperti bekas makan di antara para penyantapnya sampai Allah memutuskan (kemenangan bagi mereka) sementara mereka dalam keadaan seperti itu". "Wahai Rasulullah, di mana mereka?". "Mereka di sekitar Baitul maqdis". (HR Ahmad) - halaman 13

Buku Dari Semenanjung Gaza, Ayat-Ayat Allah Berbicara dibahagikan kepada 4 bab. Ringkas sahaja untuk setiap bab. Saya merasakan seperti membaca teks-teks tazkirah. Bab 1 menyentuh tentang Hamas. Dikatakan juga bahawa dengan rentetan perjuangan Palestin yang semakin meruncing sejak akhir-akhir ini adalah sebagai satu petanda munculnya generasi Salahuddin atau dalam erti kata lain, Palestin akan mencapai kemenangan tidak lama lagi. Penulis menyatakan sekali sumbangan terbesar Hamas selain dari politik ialah mereka berjaya (dengan izin Allah) membangunkan roh-roh Islam di kalangan umat Islam Palestin. Jikalau dulu, anak-anak mudanya tidak tentu hala minum arak di jalanan, pada era Hamas ia bertukar. Kini, anak-anak mudanya sentiasa berdamping dengan kitab suci Al-Quran. Malah bukan itu sahaja, Palestin adalah pengeluar penghafaz Quran terbanyak di seluruh dunia Islam.

Bab kedua adalah cerita-cerita tentang ketabahan kanak-kanak Palestin. Mereka cukup terlatih dengan ketabahan dan kesabaran. Mereka dilahirkan dengan memiliki hati-hati yang kuat untuk berjuang. Mereka matang. Mereka tidak seperti kita. Panas, merengek. Sejuk, merengek. Tekanan kerja, merengek. Musim peperiksaan, merengek. Saya bercakap tentang diri saya yang suka merengek.

Saya suka membaca Bab 3 dan 4. Penulis menulis tentang Al-Qassam dan karamah di Palestin. Anda masih ingat kisah tentera-tentera Salahuddin Al-Ayubi. Mereka membaca Quran dan qiammulail di sebelah malam. Begitu juga dengan briged Al-Qassam. Mereka melakukan semua itu sementara menanti musuh. Mereka melawan musuh yang banyak dengan jumlah yang sedikit. Selalu sahaja bantuan Allah turun untuk membantu mereka yang berupa tentera-tentera berpakaian putih sehinggakan tentera Zionis berasa gentar. Bukan itu sahaja, di Palestin pelbagai perkara yang di luar jangkaan berlaku. Ada kes kedengaran batu-batu dan pasir berzikir. Roket Zionis yang melencong hanya kerana syahadat yang diucapkan. Bau harum para syuhada. Bateri telefon yang berisi penuh.

Inilah bumi di mana rakyatnya tidak kira tua dan muda bersatu berjuang memburu syahid. Inilah bumi di mana para ibu-ibu bangga menafkahkan anak-anak mereka untuk membela Palestin. Inilah bumi yang tidak pernah pupus rakyatnya walau dibantai sejak dahulu lagi. Pernah berlaku korban berjumlah dalam lebih kurang 1300 orang, tetapi pada waktu yang sama kelahiran juga berlaku sebanyak 3500 bayi. Maklumat ini diperolehi dari catatan penulis. Memetik ayat penulis pada halaman 71, "Mereka melakukan konspirasi untuk memotong generasi Gaza, tapi Allah swt memiliki rancangan dan kehendak lain".

Wahai saudara-saudaraku!

Ketika sampai satu masa nanti, ketika hadis Rasulullah saw ini terlaksana :

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahwa Rasulullah SAW bersabda : “Hari Kiamat tidak akan terjadi sehingga kaum Muslimin memerangi kaum Yahudi lalu kaum Muslimin membunuh mereka. Sehingga orang yahudi bersembunyi di balik batu dan pohon. Maka batu atau pun pohon itu berkata : “Wahai Muslim, Wahai Hamba Allah, ini ada seorang Yahudi bersembunyi di belakangku, kemarilah bunuhlah dia! Kecuali pohon gharqad, karena pohon tersebut di antara pohon-pohon (yang ditanam) orang-orang Yahudi”. (HR. Muslim)
Wahai saudara-saudaraku!

Ketika sampai satu masa nanti, ketika hadis Rasulullah saw itu terlaksana, jadilah kita muslimin itu yang memburu Yahudi yang bersembunyi di balik batu dan pohon. Jangan kita mati sebagai orang yang penakut membela maruah Islam dan saudara Islam kita. Berdoalah kita dari sekarang.

Wallahu alam

Thursday, March 04, 2010

Bukan Zaman Abrahah - Dr. Raghib As-Sirjani

Selingan.

Hari ini balik ke rumah disambut dengan buku Burlian. Hooray! (x10). Saya pada ketika ini sudah memiliki Burlian iaitu karya terkini Tere Liye (diulangi : TERKINI) . Aduh! Terima Kasih Allah kerana menggembirakan saya!


Pada kali pertama saya membaca karya penulis ini ialah menerusi bukunya Spiritual Reading. Biasa sahaja penulis menulis. Tiada kata-kata yang lucu. Tiada yang bahasa yang indah-indah. Tiada yang luar biasa. Biasa sahaja. Tetapi entah kenapa, saya boleh merasakan setiap ayat-ayat yang disampaikan meresap ke dalam hati. Ini yang saya maksudkan dengan perkataan menggugah. Itulah yang mendorong saya membaca lagi karya beliau. Alasan yang tidak mampu dijelaskan dengan logik akal. Hanya boleh dirasa dengan hati. Untuk memilki rasa itu, anda perlu membaca dahulu tulisan beliau.

Buku ini ditulis dengan daya mengajak yang sangat tinggi. Mengajak umat Islam kembali memenangkan Islam. Membantu kita berfikir tentang permasalahan sebenar ketika ini. Menyedarkan kita yang kemenangan tidak akan Islam miliki selagi kita tidak bekerja keras untuknya. Memberi motivasi kepada kita yang kemenangan tetap akan dimiliki jua oleh Islam kerana itu sudah termaktub di dalam ketentuanNya. Itu pasti!

Tetapi kemenangan Islam pada kali ini bukan tercetus hanya dengan doa semata-mata. Kita semua umat Islam perlu berjuang untuknya. Ini sunnatullah selepas kelahiran Nabi Muhammad saw.

Kita bukan berada di era zaman Abrahah. Ketika Abrahah mahu membinasakan Baitullah, Abdul Muttalib berjumpa dengannya dan berkata, "Kembalikan unta-unta aku". Abrahah terkejut. 200 ekor unta lebih penting buat Abdul Muttalib berbanding Baitullah yang merupakan simbol agama mereka turun-temurun. Lalu kata Abdul Muttalib, "Aku adalah pemilik unta itu manakala Baitullah ini ada penjaganya". (dipetik dan diubahsuai sedikit dari halaman 11-13) Tidak lama kemudian, turun burung-burung Ababil membinasakan tentera Abrahah. Turun pertolongan Allah tanpa perlu penduduk Makkah berjuang membela Baitullah.

Begitu juga dengan kisah Nabi Musa atau Nabi Nuh. Itulah sunnatullah para rasul dahulu kala. Pertolongan datang secara langsung daripada Allah tanpa perlu pertempuran antara kaum beriman dan kaum kafir. Tetapi syariat berubah setelah kelahiran Nabi Muhammad saw, penutup segala para rasul. Tidak ada lagi pertolongan kemenangan total turun secara langsung daripada Allah tanpa kita beramal, berusaha dan berjuang terlebih dahulu.


Rasulullah saw menunjukkan kepada kita bagaimana baginda saw dan para sahabat bekerja keras menyebarkan Islam. Bermula dengan dakwah sembunyi-sembunyi dan disusuli dengan terang-terangan. Sampai satu peringkat, jihad dan perang perlu dilakukan. Kemudian baru Allah menurunkan bantuan dan kemenangan. Begitu juga kita pada masa kini. Kita tidak akan boleh lari daripada perjuangan yang dilakukan seperti Rasulullah jikalau kita mahukan kemenangan. Seerah bukan cerita masa lalu tetapi itulah contoh yang Rasulullah saw mahu kita buka mata untuk diaplikasi pada zaman moden ini.


Kita ambil iktibar dari petikan hadis ini (diperolehi dari halaman 91-92), --'Kami pernah menulis jawapan Rasulullah saw ketika ada yang bertanya kepada baginda, 'Di antara dua kota ini - Konstantinople dan Rom, manakah yang terlebih dahulu ditakhluk?' Baginda pun menjawab, "Kota Heraklius (Konstantinople) yang pertama kali akan ditakhluk".

Konstantinople itu ditawan setelah 800 tahun Rasulullah saw bersabda, “Konstantinople akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera dan rakyatnya adalah sebaik-baik rakyat”. Jadi, kini tinggal Rom yang belum ditakhluk. Jikalau dulu, ketika Rasulullah saw berucap yang Konstantinople akan ditawan oleh Islam, antara sahabat yang berjuang habis-habisan merealisasikan kata baginda ialah Abu Ayyub Al-Anshari. Pada masa itu tidak terbayang bagaimana sebuah kota yang begitu yang begitu hebat akan ditawan oleh Islam yang tidak seberapa maju. Sama juga dengan keadaan kita sekarang. Tidak terbayang Vatican City akan ditawan Islam. Mana mungkin kuasa besar dunia masa kini akan sewenang-wenangnya membiarkan kota itu ditawan. Tambah-tambah lagi orang Islam pula yang menguasainya. Agaknya bagaimana proses penakhlukan itu akan berlaku nanti?

Saya sangat suka berkongsi tentang komentar penulis apabila menyentuh tentang hadis di atas. Menurutnya, penaklukan Rom akan melalui jalan pendekatan sama seperti penakhlukan Konstantinople iaitu dengan jihad. Oleh kerana itu, penakhlukan Konstantinople dan Rom disebut di dalam hadis yang satu. Ada juga pendapat lain yang mengatakan Rom akan ditawan tanpa jihad. Mungkinkah kemenangan Islam sekali lagi ini akan berlaku tanpa jihad? Mungkinkah mesej Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera dan rakyatnya adalah sebaik-baik rakyat adalah merujuk kepada penakhlukan Rom juga?

Itulah yang kita umat Islam perlu ambil iktibar sebenarnya pada hari ini. Kita perlu banyak belajar bagaimana untuk menjadi hamba Allah yang soleh. Bekerjasama mewujudkan masyarakat yang soleh. Menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar. Bekerja kuat untuk pembangunan ummah. Ya, kita tidak boleh berpangku tangan lagi dan berharap kemenangan tanpa kita bekerja keras untuk kemenangan sekali lagi ini. Semoga bukan kita hamba-hamba Allah yang digantikan dengan hamba-hamba Allah soleh yang lain kerana kita tidak cukup kriteria sebagai pewaris bumi ini.

Monday, February 08, 2010

Kebab vs Hamburger - Eddy Munich

Oleh :
Welma La'anda (welmalaanda@gmail.com)
Tajuk :
Kebab vs Hamburger
Penulis : Eddy Munich
Halaman :
309 Penerbit : Rahat Books

Ini adalah sebuah novel berbentuk parodi (sindiran. Intinya diambil dari kisah-kisah semasa yang melibatkan dunia Islam sebagai kelompok tertindas dan kuasa Barat serta Yahudi yang menguasai dunia. Tetapi di dalam novel ini, semuanya klise. Kini, dunia Islam yang berpusat di Baghdad pula yang menerajui dunia. Manakala, Amerika serta negara Eropah yang lain termasuklah Israel dikelaskan sebagai negara yang terkebelakang dalam pelbagai aspek terutamanya teknologi dan ilmu.

Sudah tidak ada lagi Mc Donald. Dunia Barat hanya memiliki sebuah warung. Namanya Warung Texas yang logonya ialah huruf W ( logo McD terbalik). Burger pun sudah diganti dengan kebab. Begitu banyak kiosk kebab yang dibina sehinggakan semua bangsa suka memakannya. Tidak ada lagi muda-mudi yang memuja lagu-lagu Barat. Jikalau ada, itulah contoh orang-orang yang ketinggalan zaman. Pada masa itu Ummu Kultsum lah yang menjadi pujaan. Amerika pada masa itu masih di dalam dunia koboi lagi manakala Baghdad sudah jauh ke hadapan. Apa saja yang dilakukan oleh dunia Baghdad adalah lambang arus kemodenan dan sesiapa yang janggal dengannya ialah contoh orang yang konservatif.

Kisah buku ini bermula apabila Menara Babilon runtuh diserang teroris. Seiring dengan itu, Khadam Husein sebagai Presiden Irak melancarkan gerakan membanteras teroris secara besar-besaran. Target utama mereka ialah negara Amerika yang dipimpin oleh John Hush. Ada di antara rakyat Irak terutamanya pelajar tidak menyokong tindakan yang diambil oleh Khadam Husein. Mereka menyuarakan pendapat melalui demonstrasi. Keselamatan orang Eropah di Irak juga sudah kurang terjaga pada masa itu. Di mana-mana mereka berada, menimbulkan kesangsian di kalangan warga tempatan. Mereka dipandang sinis dan menjadi mangsa cemuhan penduduk Baghdad secara khusus.

Ketika saya mula memegang buku ini dan membaca sinopsis di belakang cerita, saya cuba membayangkan ini ialah sebuah novel yang mampu mengenengahkan imej Islam sebagai kuasa dunia. Tetapi, malangnya saya gagal merasakan itu semua setelah selesai pembacaan. Saya mengimpikan buku ini mampu menyampaikan keindahan Islam dan memberi gambaran imej positif apabila Islam menguasai dunia tetapi saya tidak berjaya menjumpai bayangan-bayangan itu di dalam novel Kebab vs Hamburger. Malah, pemerintahan Islam dilihat kurang matang dan lebih kurang sama sahaja perangainya dengan kuasa Barat masa kini. Lawak-lawak yang dijangka menimbulkan gelak ketawa di kalangan pembaca, tidak berjaya saya hayati malah kadang-kadang membuatkan saya menjadi bingung. Saya kira penggunaan bahasa dan lawak-lawak di dalam novel ini perlu diperkemaskan lagi agar ia kelihatan matang.

Saya cuba berfikir dan mahu belajar memahami tentang mesej yang cuba penulis sampaikan. Mungkin ada mesej tersirat yang tidak saya fahami. Lalu saya beranggapan, mungkin buku ini mahu bercerita dengan cara yang berbeza kerana mesej yang cuba disampaikan bukanlah seperti yang saya harapkan sebentar tadi. Penulis sebenarnya mungkin mahu menyampaikan mesej baik yang lain tetapi mesej itu tidak berjaya saya cerna kerana persepsi-persepsi awal yang terbina sebelum membaca buku ini lagi. Saya mengharapkan buku ini bercerita keindahan pemerintahan Islam apabila Islam memegang kuasa dunia tetapi mungkin sebenarnya bukan mesej itu yang penulis mahu sampaikan.

Saya perlu faham yang ini bukan novel yang berbentuk futuristik tetapi ini novel parodi. Justeru itu, saya sepatutnya sudah boleh menjangka jalan cerita sebegini dan dengan mesej sebegini pada awal-awal lagi. Kebab vs Hamburger cuba bercerita tentang persepsi pukul sama rata. Adalah tidak wajar apabila seorang bangsa Barat yang dituduh melakukan kerja-kerja ekstrim (dalam konteks buku ini, mereka adalah teroris kerana dituduh meruntuhkan Menara Babilon) maka seluruh bangsa Barat secara auto adalah ekstremis juga dan patut menerima padah. Begitu juga bangsa Barat tidak wajar membenci umat Islam Baghdad (dalam konteks buku ini, segelintir umat Islam Baghdad dan Khadam Husein yang mahu menyerang Amerika secara buta tuli) kerana tidak semua umat Islam yang menyokong tindakan pemerintahan Irak itu.

Mesej itulah yang mungkin mahu disampaikan sebenarnya oleh penulis iaitu tentang penjernihan persepsi. Cuma penulis bercerita dengan cara klise. Secara realitinya, tidak semua umat Islam pada ketika ini wajar dilabelkan sebagai teroris hanya disebabkan oleh satu dua umat Islam yang dituduh melakukan kerja ekstrim. Ditambah lagi, tidak semua juga orang Barat perlu dicemuh kerana pada hakikatnya, masih banyak lagi warga Barat yang sentiasa membantu dan menyokong umat Islam yang tertindas pada masa ini.

Wallahu alam

Tuesday, January 12, 2010

Menara - Isa Kamari

Oleh :
Welma La'anda (welmalaanda@gmail.com)


Tajuk : Menara
Penulis : Isa Kamari Halaman : 194
Penerbit : PTS Litera

Yippie! Akhirnya saya ada cuti (maksud saya, sabtu dan ahad yang tiada kelas). 9-10 Januari hari yang bahagia. Saya terlalu gembira sehingga banyak sungguh buku yang berada di dalam kepala saya ini yang berbaris menunggu giliran untuk dibaca. Tetapi, seperti biasa, hanya 2 buah buku sahaja yang sempat dibaca. Salah satunya ialah buku Menara, karya Isa Kamari.

Kalau bukan Isa Kamari yang menulis buku ini, mungkin saya tidak akan membeli Menara. Antara faktor yang mempengaruhi saya membeli sesebuah buku ialah ketebalannya. Tebal membawa mesej ada banyak informasi. Buku ini nipis sahaja. Walaupun memiliki kulit muka hadapan yang cantik dan tertulis Penerima S.E.A Write Award di hadapan buku, masih belum mampu membuatkan saya teruja.

Tetapi, oleh kerana ia ditulis oleh Isa Kamari (penulis Atas Nama Cinta), maka sebaik sahaja saya ternampak buku ini di rak buku, saya terus mengambilnya tanpa berkira-kira. Saya rasa mungkin tidak lama lagi, saya akan membeli buku-buku beliau yang lain pula untuk dibuat koleksi.Saya sedang cuba membayangkan Tawassul, Memeluk Gerhana dan Satu Bumi.

Saya suka membaca buku Menara ini (saya beri 4/5) walaupun banyak perkara yang diceritakan saya tidak faham. Anda boleh bayangkan buku ini setebal 194 halaman dan saya terus membaca dan terus membaca tanpa sebarang perasaan "Oh! Buku seterusnya" (perangai biasa tukar buku jikalau tak berdaya dengan sesebuah buku), sehinggalah halaman ke 172, akhirnya baru saya faham jalan cerita buku ini. Sebelum itu, saya membaca dalam keadaan bingung dengan pelbagai persoalan kerana tidak faham. Selalu sahaja terdetik di dalam hati sepanjang pembacaan, "Oh, memang patut hanya 194 halaman".

Membaca Menara seolah-olah seperti anda sedang bermain treasure hunt. Anda mengumpul pembayang-pembayang tertentu untuk dijadikan kunci sampai ke destinasi. Mungkin, membaca buku ini boleh juga diibaratkan seperti menyusun jigsaw puzzle. Ada banyak kepingan cerita yang anda perlu cantumkan sendiri. Kekadang kita berada di situasi a. Kekadang pula di situasi b. Ada juga situasi c dan d. Situasi sebenar ialah e. Cabaran utamanya ialah saya tidak mampu mengaitkan kesamaan antara situasi tersebut kerana watak pelakunya yang berbeza untuk setiap situasi.Saya menjadi tertanya-tanya, "Eh, dia ini siapa, yang ini siapa pula?".

Menara tidak boleh dibaca secara linear. Bak kata penulis Menara tidak boleh dibaca dengan menggunakan teknik konvensional. Nanti akan jemu dan sesat jalan cerita. Memang betul. Saya setuju. Kata penulis lagi, Menara perlu dibaca dengan mengambil jalan pendekatan memahami yang tersirat bukan tersurat. Mula-mula saya tidak ambil endah kata-kata penulis itu pada ruang pengantar kerana saya sudah terpesona di bahagian itu. Kagum dengan prinsip-prinsip menulis yang diperjuangkan penulis. Saya menjadi kuat dan bahagia membaca karya-karya penulis yang memiliki prinsip di dalam karyanya. Semangat penulis itulah yang saya bawa sepanjang pembacaan dan terus membaca walaupun saya tidak faham. Mujur, akhirnya saya menjumpai satu pembayang di halaman 172 untuk saya cuba-cuba memahami jalan cerita buku ini.

Rupa-rupanya watak utama dalam cerita ini bermain dengan ilusi sendiri (sampai sekarang saya tidak tahu nama watak utama). Walaupun ada banyak watak terlibat, tetapi sebenarnya watak itu hanya satu sahaja iaitu dia. Ada banyak perbualan, tetapi secara hakikatnya, watak utama itu hanya berhalusinasi atau berkhayal. Saya tidak pasti, adakah sebenarnya penulis cuba menyampaikan yang watak utama mengalami skizofrenia kerana di dalam novel ini bukan penyakit itu yang menjadi tonggak utama cerita tetapi tentang falsafah kehidupan yang menjadi igauan watak utama.

Menara ialah sebuah buku yang bercerita tentang falsafah kehidupan. Mungkin itu yang paling sesuai sebagai rumusan buku ini. Watak utama menceritakan tentang prinsip kehidupan yang mahu diperjuangkan tetapi sebenarnya itu adalah ilusi semata-mata, kerana pada hakikatnya, dia bukan seperti orang yang dia ilusikan itu. Dia adalah orang lain yang telah mencemarkan prinsip kehidupan tersebut. Lalu dia cuba mencipta ilusi-ilusi bersih seolah-olah itu adalah dia tetapi itu bukan dia. Mungkin boleh juga kita fahami, watak utama tidak pun mencipta ilusi-ilusi bersih itu, tetapi dia sebenarnya sedang menterjemahkan rasa putus asa di dalam kehidupannya yang terjelma melalui khayalan. Dia cuba melawan ilusi-ilusi itu. Kadang-kadang dia tenggelam. Kadang-kadang dia beradaptasi dengannya. Apa yang pasti, watak utama sedang berperang dengan jiwanya untuk mencari diri dan memahami makna kehidupan.

Saya yakin setiap pembaca buku ini akan berbeza pendapat berdasarkan pemahaman yang pelbagai. Penulis tidak mengunci pembaca hanya dengan satu pemahaman kerana Menara ditulis untuk difahami secara tersirat. Mungkin jikalau kita mahu juga memahami Menara secara linear, Menara mengisahkan seorang arkitek yang memanjat bangunan hasil ciptaannya setinggi 200 tingkat.Dia mahu menerokai bangunan itu dengan cara yang berbeza. Seperti yang saya katakan tadi, dia mahu mencari dirinya. Menara dari sudut lain boleh juga difahami sebuah kisah seorang arkitek yang menyesal dengan apa yang dia lakukan selama ini dan dia mahu bertaubat untuk itu. Tetapi, Menara tidak pula ditulis secara sebegitu terus terang kerana mungkin penulis banyak bercerita tentang prinsip kehidupan. Maka jadilah novel ini bukan hanya kisah seorang pencari tetapi kisah sebuah perjuangan makna kehidupan.

Wallahu alam

Sumber Gambar :
Menara : http://pts.com.my/index.php/buku/menara/