Monday, September 28, 2015

Saya dan Cuti

Cuti sekolah sudah berakhir. Cuti seminggu tidaklah menjadikan saya lebih baik dengan penggunaan masa. Huhu.  Masa terluang yang banyak, banyak juga masa yang dibuang. Rasanya, hampir 80% masa saya 'didedikasikan' menonton televisyen - Life Inspired, HGTV,  Discovery, Disc Sci, Nat Geo, dan, ehm sekali sekala tersangkut juga dengan AXN, Diva, One HD. Haih! Perlu muhasabah diri banyak lagi nampaknya.

Baru-baru ini, ada seorang makcik yang bercerita tentang anak lelakinya. Dalam 5 orang anak lelaki, inilah seorang yang rajin membaca buku. Katanya, ini hasil didikan di Gontor. Walaupun tidak bersekolah di sana lagi, namun tabiat suka membaca/mengulangkaji tu masih lekat. Saya pula menjadi sedikit curious. "Kenapa makcik, boleh jadi sebegitu?". "Memang culture di sana Welma, mereka tidak akan membuang masa, malah semasa makan pun, ada buku yang akan dibaca di sebelah"

Saya memulakan cuti persekolahan dengan menghadiri Mukhaiyyam Akhawat Kedah Selatan (Makes) di Lata Celak. Balik kerja Jumaat itu, kira-kira pukul 3.30 petang, saya dan seorang kawan bertolak ke Baling. Sebenarnya, memang malas mahu pergi ke mukhaiyyam, tambahan pula jikalau ada keluarga, cuti sekolah pula tu. Namun begitu, fikir secara positif, kehidupan kita ni, bukan untuk makan, minum, bersenang-lenang, dan ikut the flow sahaja. Ada masa kita perlu didik diri untuk mencuba sesuatu yang baru dan keluar dari kepompong keselesaaan untuk mendapatkan ilmu serta pengalaman dari medium yang berbeza. Lagipun bukan lama, esok kira-kira pukul 2 petang saya baliklah ke rumah.


Pastikan sebelum tinggalkan rumah, rumah mesti dalam keadaan bersih, suami mesti cukup makan, sudah beritahu rancangan mahu pergi mukhaiyyam sebulan lebih awal, ceritakan kebaikan tentang kebaikan mukhaiyyam ini dan berbagailahhhhh strategi saya untuk mendapat keizinan. Hehe.

Mukhaiyyam yang saya hadiri ini seperti mukhaiyyam yang sudah-sudah - pelbagai pengisian, tazkirah, forum, qiammullail, group discussion, war game, latihan kewanitaan ( memasak/menjahit) dan jungle trekking. 

Ini slot tazkirah selepas maghrib. Saya sengaja ambil gambar dari belakang untuk menunjukkan gambar buku yang menjadi tajuk kepada pengisian tersebut. Ya, itulah buku Jaddid Hayatak atau dalam Bahasa Melayunya - Perbaharuilah Hidupmu yang ditulis oleh Syeikh Muhammad Al-Ghazali. Ingat entri saya sebelum ini, saya  kononnya mahu membeca terlebih dahulu buku ini sebelum pergi ke mukhaiyyam. Tidak baca pun. Jadi, saya pun dengarlah baik-baik pengisian yang disampaikan. Baik sangat pula bunyinya. Hehe.


Ini pula slot tafakur alam yang dibuat selepas subuh.  Setiap kumpulan dikehendaki mencari bahan-bahan semulajadi yang boleh diperolehi di sekitar mereka dan kaitkan ia dengan ayat al-quran. Contohnya, cari semut dan tunjukkan kepada fasi ayat al-quran yang ada kaitan dengan semut. Dari situ, fasi dan ahli kumpulan lain bersama-sama tadabur ayat tersebut. 


Jungle trekking pada kali ini agak mencabar (untuk diri saya lah) sebab Lata Celak adalah kawasan yang dikenali sebagai tempat adik beradik pacat. Jujurnya, ini kali pertama saya 'mengenali' pacat dengan lebih dekat. Bayangkan sepanjang perjalanan, mata saya asyik pandang ke bawah sahaja. Ada lah satu dua insiden saya hampir terjatuh gara-gara mengelak pacat. Jungle trekking yang kami sertai ini bukan jungle trekking biasa-biasa. Sambil jalan-jalan lihat alam semulajadi, bukan sahaja otot-otot kaki dan badan yang lenguh (almaklumlah jarang benar saya bersenam), tetapi ada checkpoint tertentu di mana peserta perlu menyelesaikan misi tertentu. Semuanya berkaitan dengan al-quran - ada silang kata, ada hafazan quran dan ada soal jawab ala-ala soalan kuiz yang perlu diselesaikan secara berkumpulan. Di hujung checkpoint, sebelum kami meneruskan perjalanan balik semula ke kem, dibuat sesi muhasabah atau sesi semak jawapan untuk ketiga-tiga checkpoint tadi. 


Perjalanan yang terlalu fokus, maksud saya fokus ke bawah untuk melihat pacat, menjadikan ia satu perjalanan yang sangat menakutkan. Haha. Ya, sangat takut pacat. Jikalau saya bukan salah seorang ahli jawatankuasa program ini, saya tidak mungkin akan turut serta untuk jungle trekking sebab takutkan pacat. Tapi, saya terpaksa........

Ada baiknya juga sebegini. Hampir setiap masa saya dok mengira, bila lagi akan sampai ke kem. Jadi masa untuk bertafakur dengan alam itu, tidak berjaya sangat saya hayati. Setelah hampir 2 jam perjalanan, turun naik bukit, entah berapa ratus pacat sudah diharungi, sayup-sayup (betul ke bahasa yang digunakan ni) dari kejauhan ternampak deretan kereta dan kem kami, fuhh, ia bagaikan satu kelegaan yang tak mampu saya terangkan dengan perkataan. yay! Dah sampai. Tiba-tiba saya terfikir, agaknya beginilah perasaannya kot, apabila kita sudah tiba di destinasi terakhir kita iaitu syurga, pasti ia satu kelegaan yang sukar digambarkan. Kita analogikan kehidupan yang dilalui di dunia sebagai satu perjalanan yang menggusarkan ( ia bukan pacat yang ditakuti, tetapi pelbagai isu yang kekadang membuatkan kita rasa sangat tidak berdaya), tetapi apabila ia mampu diharungi dengan baik, dengan berhati-hati, ketibaan ke destinasi terakhir itu nanti pasti sesuatu yang sangat melegakan.  


Kami balik ke rumah kira-kira pukul 2 petang, hari Ahad. Hampir 24 jam berada di kem perkhemahan, namun kesannya selepas itu. Lenguh, kejang, entah apa lagi istilah yang patut digunakan, untuk menyatakan betapa sakitnya kaki dan badan. Kesimpulan yang dibuat, maka saya berehatlah selama seminggu dengan menonton televisyen. Sedangkan sebelum itu, saya sudah merancang untuk membuat pelbagai aktiviti pembelajaran yang perlu dijalankan sebaik buka cuti sekolah, pengurusan sekolah baru yang mahu ditubuhkan di Kulim, kerja ulangkaji pelajaran, dan pelbagai lagi yang konon-kononnya mahu dilakukan ketika cuti seminggu ini. Konon-kononnya lah....

Seperti yang dikatakan tadi, 80% masa saya untuk TV atau bahasa indahnya rehat dan baki  20% itu diisi dengan membaca beberapa buah buku dan mengemas rumah. Nasib baik saya masih boleh berikir secara waras walau hanya 20%. Ini gambar buku-buku yang telah dibaca itu.


Misi 4 Flat itu dibaca pada 16 September, 2 minggu yang lalu. Saya pengumpul tegar siri komik ini. Setakat ini, sudah ada 4 siri sebelumnya - Misi 8A, Misi 10A, Misi 10A plus dan Misi 10A Finale. Ada juga versi novel, tetapi yang itu saya tidak milikinya. Walaupun tajuknya nampak sangat berfokus kepada pencapaian akademik yang bermatlamatkan A, seolah-olah A itu adalah matlamat utama, saya pun tidak setuju sangat dengan cara fikiran sedemkian, namun, pekomik Afiq dan Nazry ini begitu pandai mempelbagaikan plot cerita. Ia bukan A sahaja yang menjadi matlamat, tetapi bagaimana mahu menjadikan pembelajaran itu menjadi satu keperluan sepanjang hayat. Sebenarnya, apabila membaca komik ini, saya tidak begitu berfikir sangat pun tentang pencapaian A untuk watak-watak yang diketengahkan. Tetapi saya suka momentum dan semangat mereka, sekaligus memotivasikan pembaca, terutamanya saya yang agak malas ni. Komik yang terkini tidak lagi memaparkan kisah-kisah di sekolah, tetapi wataknya sudah membesar. Kini cerita ini sudah berubah setting ke alam universiti pula. Saya sangat berharap komik ini menjadi tebal lagi, kalau mencapai 500 halaman pun ok. Gitu peminat sejati.

Seterusnya, buku yang telah berjaya dibaca dalam masa seminggu ini ialah Cerita Budak Design, tulisan H. Benjamin. Ini buku self published. Penulisnya tidak mahu dikenali, jadi nama yang tertera itu ialah nama samaran agaknya. Saya terjumpa buku ini di tepi kaunter buku, belek punya belek, tiba-tiba datang perasaan mahu membacanya. Melampau sangatkan, membaca depan kaunter pembayaran, jadi saya pun belilah buku ini. Isi kandungan buku ini seperti tajuknya - kisah orang yang terlibat dalam dunia design. Jikalau kita kata kita seorang guru, orang boleh gambarkan bentuk pekerjaan itu. Tetapi, kalau kita kata kita seorang designer, pasti perbincangan itu akan menjadi meluas - design apa? baju, rumah, papan iklan. Setelah itu, perbincangan itu akan meleret ke angka gaji dan tempat pekerjaan. Sangat sukar dijawab apabila kita katakan yang kita bekerja based on demand, kerja tidak mengikut masa, freelance dan pelbagai lagi terma yang tidak berapa akrab dengan telinga masyarakat yang sudah terbiasa dengan pekerjaan = guru@ doktor@ jurutera dan sewaktu dengannya. Mesej yang dibawa oleh penulis bagus sebenarnya, tambahan pula, banyak saja orang yang seperti saya, yang tidak berapa faham tentang pekerjaan orang-orang yang terlibat dalam dunia design ini. Pengalaman dan luahan yang dikongsikan itu sedikit sebanyak meluaskan cara berfikir orang yang tak berapa nak faham ni, contohnya saya. Saya nampak penulis cuba membawa penceritaan di dalam buku ini bukan setakat cerita-cerita pengalaman, tetapi dimasukkan juga elemen motivasi. Namun, secara peribadi, saya rasa ia perlu diseimbangkan dan diatur kemas-kemas untuk mengelakkan cerita yang meleret-leret.

Buku yang terakhir ialah Escape from Mr. Lemoncello's Library oleh Chris Grabenstein. Ianya fiksyen remaja. Jikalau membaca bersungguh-sungguh, sejam boleh dihabiskan. Tetapi saya berminggu-minggu. Saya tak sanggup mahu menamatkan pembacaannya. Anda tahu, ada sahaja spesis manusia di dunia ini yang suka buku yang bercerita tentang buku. Saya salah seorangnnya. Buku ini mengisahkan sekumpulan remaja yang menyertai jemputan ke sebuah perpustakaan yang baru dibuka. Mereka perlu bermalam di situ, jadi barang-barang kelengkapan perlu dibawa sekali. Perpustakaan ini pula bukanlah seperti yang kita faham. Terdapat pelbagai perkara yang menakjubkan di dalamnya - media interaktif, cafe, ribuan buku, permainan, hologram yang tidak tergambar di minda remaja tersebut. Tempoh semalaman di perpustakaan tersebut dimanfaatkan sebaik-baiknya sebelum mereka balik keesokan harinya. Malangnya, apabila hari esok itu tiba, mereka tidak boleh keluar kerana pintu utama terkunci. Untuk keluar dari situ, mereka perlu menyelesaikan pelbagai permasalahan - ala-ala running man pun ada. Semua permasalahan itu berkaitan dengan buku dan kemahiran mencarinya menggunakan dewey decimal code. Saya suka jalan cerita buku ini kerana 2 perkara. Satu, ia mengajar pembaca untuk melihat perpustakaan sebagai sebuah tempat yang seronok, membaca itu cool dan berkawan dengan ulat buku itu seronok. Kedua, ia mengajar pembaca tentang kerjasama, teamwork dan baik hati. Bersaing untuk menjadi yang terbaik itu bagus, namun jikalau kemenangan secara kolektif boleh dicapai, kenapa ia tidak dipertimbangkan. 

Yay! Itulah 3 buah buku yang mewarnai kehidupan saya dalam 2 minggu ini. Ia menjadikan saya telah membaca sebanyak  33 buah buku. Setakat ini.


Kini, saya sedang sibuk mengulit buku Pendakwah Bukan Penghukum tulisan Hasan Ismail Hudaibi dari 1 halaman ke 1 halaman. Baru pagi tadi sahaja. Hehe. Ahad ialah hari saya pergi ke usrah. Patutlah rajin semacam kan. Beberapa hari lepas, naqibah saya menyuruh kami membaca Bab 1 dan Bab 2 buku Pendakwah Bukan Penghukum. Hari ini merupakan hari perbincangan sebagai persediaan nadwah pada 3 Oktober ini. Buku ini memang agak mencabar dari segi terjemahannya, berbelit-belit. Boleh pengsan tertidur jikalau baca seorang. Jikalau bukan kerana nadwah, saya tidak mungkin akan membacanya. Oleh kerana ia memerlukan konsentrasi yang sangat tinggi, maka hari ini (sebelah pagi), televisyen ditutup. Saya perlu menelaah dari halaman 1 hingga 98 dan buat nota sedikit. Daripada 98 halaman tersebut, sebenarnya, penulis bercakap tentang 1 perkara sahaja iaitu 2 kalimah syahadah. Ia bertitik tolak dari 2 pendapat Al-Maududi  yang dibidas. Wah, memang menarik sangat persoalan buku ini, terutama apabila ia dibawa ke meja usrah. Buku ini mengandungi 12 bab dengan total halaman 422. Saya ada baki 324 halaman lagi yang perlu ditelaah sebelum sesi nadwah nanti. Setiap kumpulan usrah telah dibahagikan tajuk masing-masing. Kami diamanahkan untuk Bab 1 & 2 . Sebenarnya saya tidak perlu pun baca bab-bab lain, tetapi sangat rugi bukan jikalau  tiada asas pemahaman yang awal untuk bab-bab lain. Sekurang-kurangnya apabila kumpulan lain membentang untuk bab mereka, saya sebagai pendengar sudah ada sedikit kefahaman tentang topik itu. 

Entahlah, saya ni kekadang awal-awal begini sahaja semangat semacam, selepas itu hanyut dengan kesibukan. Harap-harapnya buku tulisan Al-Hudhaibi ini dapat dibaca sepenuhnya sebelum nadwah.Chaiyok!

Oh, ya, esok sekolah bermula. Mana lencana nama saya?

Monday, September 14, 2015

Kehidupan Bersama Buku

Saya masih sibuk dengan hari-hari yang penuh dengan pelbagai aktiviti. 
Antaranya ialah tentang yang ini :
Pembukaan sekolah baru di daerah Kulim.


Saya terlibat secara langsung dalam pasukan ini sebagai pembuat kertas kerja, merangka kewangan dan pelbagai lagi tugas. Pastinya, banyak hari-hari yang dilalui bersama pasukan ini membuatkan saya semakin banyak belajar. Belajar kemahiran baru, memperbaiki kemahiran interpersonal, melatih kesabaran, menghargai pendapat ramai dan kerja berpasukan. Paling penting ialah saya diberi peluang oleh Allah untuk menimba pengalaman membina sekolah bersama yang lain. Ianya satu pengalaman yang sangat berharga.

Harapan saya sangat besar dengan penubuhan sekolah ini. Saya berharap, secara peribadi, saya mampu menyumbang sesuatu yang sangat bermakna di dalam dunia pendidikan. Inilah masa kita bereksperimen dengan kaedah pendidikan yang terbaik untuk murid agar pembelajaran dan pendidikan yang holistik boleh dicapai. Secara teori ia memang mudah untuk dikata atau ditulis, namun sepak terajang di dalam dunia mengajar ini boleh tahan juga.

Ada pelbagai program keilmuan yang akan dan sedang saya hadiri. Program keilmuan ini pastinya melibatkan beberapa buah buku yang perlu dibaca agar program tersebut tidak menjadi hambar begitu sahaja. Antara program tersebut, ialah usrah. Ehmmm,,,,mungkin suatu hari nanti saya boleh kongsikan buku-buku usrah saya. Ianya banyak. Saya biasanya akan menghadiri usrah setiap hari Ahad, dan setiap hari Ahad jugalah menjadi sesi menelaah. Sebelum ke usrah, biasanya saya akan baca dahulu, sebab sesi usrah kami ini sangat santai dan spontan. Bila-bila masa naqibah saya akan bertanya spot question, soalan aras tinggi ke, jadi saya selalunya tidak mahu menjadi orang yang terpinga-pinga. Haha.

Selain usrah, ada juga mukhaiyyam (camping) dan nadwah (seperti seminar). Mukhaiyyam kami pada kali ini bertemakan Jaddid Hayatak. Saya yang pilih nama tu. Ia bersempena nama tajuk sebuah buku. Dan...saya masih belum membaca lagi buku tersebut. Seperti biasa bukan. Beli dahulu, baca kemudian.  Program nadwah pada kali ini juga ala-ala sesi bedah buku kerana setiap grup usrah akan mengupas topik-topik yang terdapat di dalam buku Pendakwah Bukan Penghukum. Ooopss..saya perlukan tenaga, semangat dan disiplin yang kuat untuk membaca sebaik-baiknya buku-buku ini agar program yang saya hadiri itu menjadi sangat bermakna. Gituu...




Program belajar di USM sudah bermula. Sekejap sahaja sudah masuk 2 minggu saya pergi kuliah.Memandangkan saya ialah pelajar part time, jadi saya hanya perlu menghadiri 2 kali kelas seminggu iaitu Isnin dan Rabu. Namun begitu, ada juga pelbagai urusan pendaftaran, permohonan biasiswa serta pelbagai urusan yang ada sangkut paut dengan belajar ini, masih belum siap. Antara yang utama ialah, pergi ke perpustakaan dan menelaah di sana. Saya mahu memulakan hari-hari saya dengan semangat belajar yang kuat (chewah) sebelum saya menjadi malas,.Jadi, saya merancang untuk bercuti pada hari Jumaat untuk menyelesaikan urusan-urusan tersebut. Murid-murid saya pula baru sahaja selesai UPSR dan ianya merupakan hari yang tepat untuk mengambil cuti. Yay!

Hari Jumaat itu, saya banyak habiskan masa di perpustakaan dan saya baru tahu rupanya, ada pelbagai perpustakaan di USM. Huhu. Pembetulan juga, masa saya bukan habis menelaah di perpustakaan, tetapi habis dengan menjejaki perpustakaan yang ada di USM serta memahami sistem dan segala prosedur.

Selama ini saya ingatkan perpustakaan di USM hanya ada sebuah (terukkan), iaitu bangunan yang berhadapan dengan tempat kerja Mazlan. Jadi, saya pun pergi ke situ dengan yakinnya. Masuk sahaja ke dalam bangunan, perkara pertama yang saya fikir ialah, 'eh mana buku', sebab yang banyak di situ, hanya meja dan kerusi. Saya pun naik dari satu tingkat ke satu tingkat ( tangganya di tengah-tengah bangunan, dalam keadaan memusing, jadi boleh nampak tingkat 1, 2 3 dan seterusnya).  Saya sudah nampak ada rak buku pada tingkat 4, dan sambil juga terpinga-pinga, "kenapa sedikit je buku". Saya pun jumpa pustakawan di situ dan dia sangatlah baikkkkkkk orangnya menerangkan kepada saya satu persatu fungsi perpustakaan itu. Dia siap ajar saya lagi cara-cara menggunakan sistem yang diboleh guna pakai untuk akses perpustakaan dan buku-bukunya. Kesimpulannya, perpustakaan yang ada banyak meja dan kerusi itu tadi ialah bangunan arkib untuk buku tesis. Sesuai untuk pelajar sarjana dan phd membuat penyelidikan. Ya, sayalah yang akan menjadi salah seorang penggunanya. Cuma saya baharu seminggu belajar ( dan masih sesat lagi dengan kedudukan kelas dan jalan), jadi saya belum pandai memanfaatkan perpustakaan itu lagi. Perpustakaan itu namanya Perpustakaan Hamzah Sendut. 


Selepas itu, saya pun keluar bangunan sambil 'meninjau' keadaan sekeliling mencari Perpustakaan Hamzah Sendut 1. Pustakawan sebentar tadi beritahu, saya boleh dapatkan pelbagai buku rujukan di perpustakaan tersebut. Tiba-tiba saya ternampak, betul-betul di hadapan saya berdiri, sebuah bangunan yang boleh nampak dari luar rak bukunya. Oooh, itulah kot.....Persoalan kedua, macam mana mahu ke situ. Setelah 2 kali percubaan, barulah saya sampai dengan selamatnya ke Perpustakaan Hamzah Sendut 1. Ehmmm, saya ternampak sesuatu. Ada jualan buku. Seronoknya. Saya membeli 2 buah buku yang berkaitan dengan kaunseling. Jikalau saya memiliki duit yang banyak, saya mahu membeli semua buku yang ada kaitan dengan kaunseling, dijadikan ia sebagai koleksi peribadi dan diletak di perpustakaan rumah. Mujur saya tiada duit.

Oh ya, bercakap tentang beli buku, sebelum hari Jumaat, saya ada juga singgah ke Book Garden di Kulim ( cawangan USM). Seperti biasa, saya tersangkut dengan 2 buah buku yang ada kaitan dengan pendidikan. Murah sahaja harganya. Anda boleh bayangkan, Mazlan membeli buku rujukan kimia hanya dengan RM1.20.

Balik cerita saya di USM, misi sebenar saya mencari perpustakaan ialah kerana saya mahu meminjam buku.  Tetapi, memandangkan saya ni kekadang agak bijak juga, saya boleh terlupa pula membawa kad matriks pada hari tersebut. Sudah separuh perjalanan, rasanya sudah sampai di jambatan baru teringat tentang kad matriks, jadi, teruskan sahaja perjalanan.  Memandangkan saya tidak mempunyai kad matriks, jadi saya tidak boleh meminjam buku. Saya pun ronda dari satu rak ke satu rak, dari satu tingkat ke satu tingkat....ooooppps, hanya berdaya ke tingkat satu dan 2 sahaja. Tingkat 2 itu pun hanya separuh, sebab kaki lenguh. Pertama kali dalam sejarah hidup saya, lenguh kaki di dalam perpustakaan.  Sambil meronda, saya tertarik dengan kata-kata di tepi rak buku. Ini salah satu contohnya. Curi-curi ambil gambar sebab malu kalau orang ternampak dan mengata saya, "budak zaman sekarang, takda kerja lain, selfie sajaaaa'.

Di sini, selain dari meronda-ronda, saya cuba manfaatkan dengan mencari buku yang saya kehendaki melalui sistem komputer yang disediakan. Terima kasih Encik pustakawan yang mengajar saya tadi tu. InsyaAllah, ilmu yang encik pustakawan ajar itu, walaupun nampak simple, tetapi sangat bermakna untuk saya. Bayangkan, kalau saya terus menerus memanfaatkan ilmu itu dengan mencari buku-buku yang saya kehendaki, saya baca buku tu, saya amalkan, saya sumbang kepada masyarakat, anak murid saya pula amalkan apa yang saya ajar - saya pasti ( dan saya doakan) Encik Pustakawan itu tadi mendapat pahala secara tidak langsung. Saya juga mula belajar menjejaki buku-buku yang saya ingini melalui kod yang diberi. Sebelum itu, semasa ronda dari satu rak ke satu rak tadi, saya sudah jumpa rak-rak tertentu yang menghimpunkan buku-buku yang saya kehendaki. 

Ini rak yang menghimpukan buku-buku kaunseling
Saya hanya mampu tengok sahaja buku-buku ini. Almaklumlah, orang yang tidak memiliki kad matriks, tidak boleh meminjam buku. Terfikir, mahu sembunyikan buku itu di rak mana-mana, nanti hari Isnin insyaAllah saya datang semula, pinjam buku tersebut. Tetapi tidak sampai hati pula. Jadi apa yang saya lakukan, saya pun balik ke Kulim semula untuk mengambil kad  matriks.


Kesimpulannya, ada banyak buku yang mewarnai kehidupan saya dalam beberapa minggu ini. Ada banyak juga perkara baru yang dilalui sekaligus ia menambahkan pengalaman dan ilmu baru. Sedikit memenatkan namun, saya seronok dengan kehidupan yang sebegini - terutama apabila ia melibatkan buku, belajar dan pendidikan. Cuma, saya perlukan banyak lagi kesungguhan dan disiplin agar apa yang saya lalui itu mampu menjadi ilmu yang bermanfaat untuk disumbangkan kepada masyarakat dan mendapat keredhaan Allah. Buku yang banyak , samada dipinjam atau dibeli adalah bagus, namun ianya tidak menjadi bermanfaat jikalau saya tidak mempunyai disiplin yang kuat untuk membaca dan menyelidikinya. Pembelajaran pada kali ini bukan semata-mata untuk meraih sekeping ijazah, tapi saya lebih suka menggunakan peluang ini untuk berkenalan dengan pelbagai orang, budaya, cara pemikiran, bergelumang dengan buku-buku dan menghasilkan sesuatu, contohnya penulisan jurnal. Harap tercapailah harapan itu ya...