Saturday, October 18, 2008

Di Bawah Naungan Cahaya Mu - Desi Puspitasari

Oleh:
Welma La'anda ( welmalaanda@gmail.com )

Tajuk :
Di Bawah Naungan Cahaya Mu
Penulis : Desi Puspitasari
Halaman : 223 Penerbit : PTS Litera

Taraaa!

Akhirnya saya berkesempatan mengetik abjad demi abjad menjadi beberapa huruf untuk resensi novel terjemahan dari Indonesia ini.
Saya membacanya pada bulan Ramadhan lepas, di akhir-akhir Ramadhan lebih tepatnya. Mungkin boleh saya katakan, 70% isi buku ini dibaca di dalam kereta sementara menunggu Ana menyelesaikan saki-baki kerja-kerjanya dan ketika rehat tengahari. Walaupun novel ini nipis sahaja, saya tetap menghabiskannya, seingat saya, dalam masa 3 hari

Di Bawah Naungan CahayaMu adalah seperti novel ini juga di mana ianya merupakan salah satu lagi produk terbitan PTS Litera yang berlabelkan "Teen Islami". Setakat ini, saya mempunyai 4 buah buku yang mempunyai label "Teen Islami". Sebuah lagi belum dibaca.

Antara 3 buah yang sudah saya baca, Di Bawah Naungan CahayaMu adalah yang paling saya sukai. Ehm, bukan setakat suka rasa-rasanya, tetapi sudah mampu membantu membina persepsi yang baik di dalam minda saya untuk novel-novel jenis ini, sesuai dengan label "Teen Islami".

Hasil cari-cari di google, saya mendapat info tentang penulis novel ini. Desi Puspitasari sekarang berumur 25 tahun. Orang FLP (Forum Lingkar Pena). Saya mengenali FLP dari karya Habiburrahman El Shirazy. Dalam ruangan dedikasi Kang Abik , dia ada menyebut FLP. Mungkin FLP itu sama seperti MPR kita di Malaysia. Itu agakan saya sahaja.

Saya mencari-cari lagi di Google sebarang ulasan yang telah dibuat untuk novel ini. Mana tahu sudah ada yang membacanya. Saya terjumpa ulasan ini :- dari tim PTS sendiri. Antara kata penulis ulasan itu, novel ini kisah cinta yang halus dan malu-malu. Saya berfikir semula. Malu-malu? Ehm, mungkin! Tetapi saya setuju dengan terma "cinta yang halus". Sangat halus sebenarnya.

Ada 9 bab kesemuanya. Saya sudah dapat merasakan novel ini sebuah karya yang bakal saya sukai ketika saya membaca Bab 1 lagi. Cerita dimulakan dengan kisah di sebuah kelas. Adelia dan Rini pelajar kelas itu. Rini kawan baik kepada Adelia. Rini bertanya kepada Adelia apakah yang sedang dibacanya. Adelia menjawab dia tidak membaca tetapi sedang mengalamun. Rini bertanya semula apakah yang dilamunkan Adelia. Adelia menjawab, "bulan".

Pada kisah yang lain, ada pula watak Bagus. Bagus bercita-cita untuk menjadi seorang doktor. Apabila ditanya kenapa mahu menjadi doktor, kata Bagus, nanti dia boleh pulang ke desa, berbakti di sana dan bertemu bulan.

Seperti biasa, pada malam itu, Adelia naik ke atas bumbung rumahnya sambil membawa buku pelajarannya. Dia mahu ulangkaji di atas sana. Dia mahu bertemu bulan. Dia mahu bercakap-cakap dengan bulan. Mahu mengucapkan selamat malam.

Menurut Adelia, hanya bulan yang mahu mengerti dan setia menemaninya. Dia mahu bercakap-cakap lagi kepada bulan. Tetapi, cendawan sudah meminta Adelia membacanya. Lalu, Adelia mengeluarkan lampu picit. Mahu membaca cendawan. Sambil membaca, Adelia memberitahu bulan apa yang dibacanya, "Tahukah bulan, bahawa cendawan dibezakan berdasarkan spora dan reproduksinya". Tanya Adelia lagi, " Cendawan ada yang berguna. Ada juga yang beracun. Bulan nak tahu lagi?" (halaman 16). Adelia terus membaca dan menghafal konsep cendawan. Keesokannya ada ujian.

Saya tersenyum. Sekali-sekala saya membuat andaian yang tidak berasas, " Adakah semua anak tunggal seperti ini, suka berborak-borak dengan makhluk yang tidak akan mampu membalas balik kata-katanya?'. Dulu saya seperti Adelia. Tetapi saya tidak murung sepertinya. Cuma saya suka bercakap sendirian. Itu kisah ketika kecil-kecil dahulu. Sekarang pun pada usia 24, saya juga mungkin suka bercakap sendirian, cuma berbeza dengan yang dahulu, kini bercakap-cakap dengan blog dan buku saya pula.

Sambung balik ya kisah Adelia. Pada malam itu juga, Bagus sedang mengulangkaji pelajaran. Ibu Bagus menyediakan segelas coklat panas untuknya. Kata ibu, biar Bagus boleh mengulangkaji pelajaran dengan lancar. Tanya ibu lagi, "Mahu ditemani?".(halaman 17)

Bagus menolak pelawaan ibunya. Dia khuatir, nanti, kalau ibunya ada di samping Bagus, bulan tidak akan muncul. Bulan malu. Justeru itu, Bagus hanya memohon kepada ibunya untuk mendoakannya sahaja.

Saya tersenyum lagi. Memang saya sentiasa tersenyum membaca novel ini. Kelakar. Mungkin kerana jalan cerita "rindu pada bulan" itu. Saya membuat andaian awal sebelum selesai membaca, "bulan untuk Bagus ialah Adelia dan bulan untuk Adelia ialah Bagus". Saya tidak sabar untuk mengetahui penghujung jalan ceritanya, justeru itu, seperti biasa, saya terus membaca bab-bab yang terakhir. Tetapi saya tidak berjumpa pula titik-titik perjumpaan antara Bagus dan Adelia. Saya sangat mahu mengetahui bagaimana nanti mereka akan dipertemukan dan saya juga mahu mengetahui apakah punca-puncanya "perpisahan" mereka.

Setelah selesai membaca, baru saya tahu bagaimana kisah cinta Adelia dan Bagus. Begini ceritanya. Sebenarnya, mereka tidak pernah bercinta. Tidak pernah melafazkan kata-kata cinta pun.

Dahulu, Bagus tinggal di kampung. Adelia pun tinggal di situ juga. Bagus dan Adelia sekelas. Darjah Lima. Tetapi mereka saling tidak mengenali antara satu sama lain. Bagus perasan Adelia di kelasnya. Tetapi dia tidak berani menegur. Adelia kelihatan suka berdiam diri.

Sehinggalah pada suatu hari guru Bahasa Indonesia mereka iaitu Cikgu Budi, menyuruh setiap pelajarnya membacakan hasil karangan mereka di hadapan kelas. Tiba giliran Adelia. Cikgu Budi mempersilakan Adelia membaca. Adelia membuka kertas karangannya yang dilipat dua. Dia tidak berkata apa-apa. Suasana kelas menjadi senyap. Adellia kaku. Matanya basah. Suaranya bergetar. Adelia menangis. Katanya, "Bapa sama ibu mahu bercerai" (halaman 213).

Bagus mendengar itu. Dia tidak faham apa makna perkataan cerai. Cuma, apa yang dia faham, keluarga Adelia tidak bahagia. Cikgu Budi cuba menenangkan anak-anak muridnya terutama Adelia. Rakan-rakan lain yang faham makna cerai bersimpati kepada Adelia. Adelia cuba menghapuskan air matanya. Dia tidak mahu kelihatan lemah di hadapan rakan-rakan.

Cuba teka apa yang terjadi selepas itu. Tanpa disangka-sangka, dalam suasana yang sedemikian, Bagus terus mengoyakkan kertas hasil karangannya. Semua kawan-kawan menoleh ke arah Bagus. Cikgu Budi juga menoleh. Adelia pun sama.

Kata Bagus, dia tidak sanggup membacakan hasil karangannya. Karangannya menceritakan kisah keluarganya yang bahagia. Dia tidak mahu menyakiti hati Adelia. Bibir Adelia bergerak-gerak tanpa suara. Itu untuk ucapan terima kasih kepada Bagus.

Kisah cinta mereka sampai di situ sahaja. Perasaan itu lahir di situ. Tidak ada adegan jumpa-jumpa atau tulis-tulis surat. Tidak ada. Cinta yang dipersembahkan di dalam novel ini hanyalah sebuah cerita cinta dan perasaan yang tidak diungkapkan. Ia cuma satu perasaan yang sangat halus mengalir di dalam hati kedua-dua remaja ini - Bagus dan Adelia.

Kemudian, tidak lama selepas itu, Bagus dan ahli keluarganya berpindah ke bandar. Bagus tidak mahu berpindah ke sana. Dia mahu tinggal di kampung. Akhirnya dia pasrah. Hari itu, semasa di dalam kereta yang sudah bersiap sedia bergerak ke bandar, Bagus sesekali menoleh ke belakang. Harap-harap boleh ternampak Adelia yang melintas menuju ke sekolah. Tetapi, Adelia tidak muncul. Dia bertekad suatu hari nanti dia akan ke kembali juga ke kampung. Kata ayah Bagus, dia harus rajin-rajin belajar, barulah suatu hari nanti dia boleh balik ke kampung. Bagus pegang kata-kata ayahnya itu.

Di Bawah Naungan Cahaya Mu bukan sahaja membawa mesej cinta yang tidak diungkapkan antara Bagus dan Adelia tetapi novel ini juga bercerita tentang cinta orang dewasa, kisah cinta ayah dan ibu Adelia.

Dahulu, ibu Adelia bekerja sebagai penyanyi dangdut. Ayahnya selalu datang ke situ untuk menonton persembahan ibunya walaupun dia tidak menyukai dangdut. Setelah berkahwin, ayah Adelia tidak membenarkan ibunya menyanyi lagi. Dia tidak mahu isterinya dinikmati oleh mata lelaki-lelaki lain. Dia mahu menyara ibu Adelia.

Ibu Adelia tetap berkeras mahu terus menyanyi. Ayah Adelia memberontak. Dia tidak memberi keizinan. Akhirnya mereka berdua mencari jalan keluar masing-masing. Ayah Adelia mencari jalan keluar dengan berfoya-foya. Andi pula jalan keluar untuk ibu Adelia. Andi adalah lelaki yang mahu memperisterikannya.

Ibu Adelia lebih menyintai suaminya berbanding Andi. Tetapi, dia tetap mahu berpisah dengan suaminya yang kaki mabuk itu. Suaminya itu tidak mampu memberikan kehidupan yang menyenangkan untuk mereka sekeluarga. Saya berpendapat, situasi ini, membuatkan Adellia pelik, kenapa walapun masih cinta tetapi tetap mahu berpisah. Begitu pelik cinta orang dewasa.

Ayah Adelia, seperti yang saya katakan tadi, seorang lelaki kaki mabuk. Pada suatu malam, dia balik dalam keadaan mabuk seperti malam-malam sebelumnya. Adelia seperti biasa akan memapah ayahnya, mendudukkannya di atas sebuah kerusi rotan, mengambilkan bantal untuk diletakkan di celah tengkuk ayahnya, mengusap muka ayahnya dengan tuala lembab yang sudah direndam dengan air suam, memicit tubuh ayahnya serta menyediakan kopi juga untuk ayahnya.

Sambil itu, Adelia melayan soalan-soalan ayahnya. "Bapa berdosakah". Lalu Adelia,bertanya semula "Dosa apa, Pa?". "Bapa kan suka berfoya-foya. Mabuk. Mesti banyak dosa, Lia. Adelia menjawab, "Tak, tak berdosa, Pa". Bapa Adelia menyanggah kata-kata anaknya itu, " Husy! Merepek kamu ini. Memang berdosalah!".Boleh baca lagi bermula di halaman 67. Ayah Adelia bertanya lagi, "Kamu tak mahu cari teman lelaki". Jawab Adelia "Tak mahu. Esok saja kalau sudah faham".

Saya suka baca bab ini, atau apa-apa sahaja kisah perbualan atau perbuatan antara ayah Adelia dan Adelia. Sungguh menyentuh hati. Terung terang saya katakan, memang saya akui watak ayah Adelia di dalam novel ini digambarkan sebagai seorang yang tidak berguna dan jahat, tetapi saya tetap dapat merasakan ayahnya seorang yang baik. Sekurang-kurangnya dia tahu perbuatan yang dilakukannya itu salah dan berdosa. Dia tidak berbangga dengan perbuatan yang dilakukannya itu. Cuma, mungkin keadaan dan situasi yang tidak menyokong dia untuk menjadi orang yang baik.

Mujur dia mempunyai seorang anak yang baik. Anak yang tidak membencinya malah memberi layanan yang terbaik sekali. Saya boleh bayangkan jikalau Adelia menyumpah-nyumpah ayahnya dalam keadaan ayahnya mabuk. Mungkin saja ayahnya akan bertukar menjadi seorang kaki pukul. Tetapi Adelia bukan sebegitu.

Di penghujung cerita, Di Bawah Naungan Cahaya Mu, ayah Adelia insaff. Saya pun suka baca bab ini. Anda mahu tahu, daripada kisah ayah Adelia mahu bertaubat itu, satu perkara yang ditunjukkan oleh Adelia yang begitu menyentuh hati saya , iaitu, Islam pernuh dengan kemudahan. Tidak sesekali menyusahkan. Ayah Adelia pula seorang yang sangat rendah hati. Tidak malu bertanya kepada anaknya. Malah pertanyaan itu berulang-ulang. Adelia juga bermenjawab berulang-ulang. "Al-Fatihah saja tak mengapa kan?". "Ya". Adelia senyum. (Lupa pula. Dialog ini dipetik dari halaman ke berapa ya?)

Islam itu bukan hak milik orang tertentu. Ia bukan hak milik "orang-orang baik sahaja". "Orang-orang jahat" pun boleh memiliki Islam, boleh mendekati Islam. Asalkan dia ikhlas mahu mengenal Islam, mahu kembali kepada kebenaran. Ini semua soal hidayah. Hidayah Allah tidak pilih bulu. Hidayah Allah untuk semua. Ini kerana kasih sayang Allah untuk kita semua, ya betul, untuk kita semua.
Antok lahir dalam cerita hidup Adelia. Dia dan rakan mahasiswa yang lain menyewa tidak jauh dari rumah Adelia. Malam itu mereka berlatih untuk sebuah drama yag bertajuk Barabah. Para mahasiswa itu mengajak Adelia untuk turut serta.. Mereka kekurangan ahli. Adelia setuju tetapi degan syarat tiada adegan pegang-pegang. Tiba-tiba, sebelum latihan drama itu, Antok memegang tangan Adelia dengan tujuan, saya kira mengajaknya bersiap-sedia untuk latihan itu. Adelia terkejut, lalu lari pulang ke rumahnya.

Ratna juga lahir dalam cerita hidup Bagus. Ratna sangat menyukai Bagus. Bagus tidak suka padanya. Bagus juga tidak melayan Ratna, tidak duduk berdua-duaan, dan hanya bercakap soal yang patut sahaja walaupun Ratna sudah banyak kali meluahkan perasaannya. Dalam masa yang sama, Bagus tidak juga sangat berkeras kepada Ratna. Alasannya, dia tidak mahu bersikap kaku dengan orang yang masih tidak mengerti tentang Islam dan berharap golongan ini masih mahu terus mencari. Berdakwah dengan hikmah, mungkin itu maksudnya.

Penghujung cerita novel ini, tidak dinyatakan secara jelas apa kesudahan Bagus dan Adelia. Tetapi, saya memahami kesudahan cerita ini sebegini. Bagus dan Adelia ditakdirkan bersama. Bagus dan Adelia masih remaja lagi. Masih bersekolah. Masih ada tanggungjawab terhadap perkara-perkara utama yang lain selain perasaan cinta terutama tentang pelajaran. Jadi kisah mereka bersama setelah berlakunya proses pertemuan itu tidak sangat difokuskan, malah jikalau anda tidak membaca dengan betul-betul, anda akan rasakan seperti "cerita tergantung".

Anda juga boleh membuat kesimpulan sendiri terhadap penghujung cerita Di Bawah Naungan Cahaya Mu. Mungkin anda akan berbeza kesimpulan dengan saya. Tetapi sebelum itu saya nasihatkan anda harus membaca keseluruhan novel ini terlebih dahulu, baru anda boleh membuat kesimpulan.

Jikalau saya sudah berkahwin dan mempunyai anak yang berusia di awal remaja yang mahu membaca novel cinta, saya sangat berani mengizinkan membaca novel ini. Novel ini mengajar kita banyak perkara tentang cinta. Cinta itu adalah satu perasaan yang tidak salah. Kadang-kadang kita sendiri tidak sedar kehadirannya dan kita jugalah yang akan mencorakkan cinta itu. Terpulang kepada kita samada mahu menjadikan cinta itu kepada sesuatu yang diredhai Allah atau dibenci Allah.

Perasan cinta di awal remaja tidak salah. Kita tidak ada kuasa untuk menghalangnya. Cuma, kita harus faham, ada perkara-perkara lain yang perlu kita utamakan dalam usia sebegini. Masa muda atau masa remaja kita jangan disibukkan dengan cintan-cintun. Kita ada banyak tugas lain seperti mencari ilmu sebanyak-banyaknya serta berbakti kepada agama dan masyarakat. Fikiran kita jangan dipenuhkan dengan "pakwe-makwe". Bila sampai masanya, sudah berkemampuan, ha kahwin terus. Bercinta selepas kahwin.

Walahu alam
Sumber Gambar :

Friday, October 17, 2008

Meniti Batas - Zulkifli Khair

Oleh :
Welma La'anda (welmalaanda@gmail.com)
Tajuk :
Meniti Batas
Penulis : Zulkifli Khair
Halaman : 278 Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP

Ini bukan ulasan. Mungkin cuma luahan hati. Kisah saya dan novel terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Saya sedang menyiapkan ulasan untuk novel ini tetapi bukan untuk dipaparkan di blog saya. Ulasan ini untuk sebuah majalah Dewan Bahasa dan Pustaka.

Saya menghubungi editor majalah itu, menyatakan yang saya berminat untuk menghantar artikel resensi untuk ruangan Resensi Novel. Editor itu membalas email saya. Dia membahasakan dirinya bonda. Terharu saya. Saya doakan semoga dia sentiasa dalam kelompok yang berbahagia dunia dan akhirat.

Berbalik kepada ruangan Resensi Novel majalah tersebut, kata bonda, antara syarat yang dikenakan jikalau berminat menulis resensi untuk ruangan Resensi Novel ialah novel itu haruslah novel terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cetakan 2008. Sila nyatakan sekali tajuk novel yang mahu diulas untuk mengelakkan "overlaps", begitu kata bonda lagi.

Saya pun "selak" satu persatu novel-novel di rak buku rumah saya mencari novel-novel terbitan DBP. Aiik!!! Saya tidak berjumpa. Baru saya perasan, saya tidak pernah membeli novel-novel terbitan DBP. Saya mula mencari di laman maya. Saya pergi ke laman Dawama. Entah, mungkin saya tidak pandai mencari di situ, saya tidak berjumpa novel yang mahu saya beli dan ulas. Saya pun fikir, " biarlah, mungkin tidak ada jodoh mahu tulis di majalah itu".

Pada hari Isnin lepas, saya dan Faizah pergi ke Lembaga Tabung Haji untuk mengeluarkan duit. Nombor angka giliran saya menunjukkan saya perlu menunggu lama lagi. Jadi, saya dan Faizah pun pergi ke kedai buku Harfa yang terletak di hadapan Lembaga Tabung Haji. Niat di hati, memang mahu melihat, mana tahu ada novel-novel DBP.

Kami hampir bersila di rak buku yang menempatkan buku-buku terbitan DBP. Faizah menolong saya mencari novel-novel yang diterbitkan untuk tahun 2008. Kemudian, kami tersangkut pada sebuah novel remaja Wajah Seorang Dhia Hanun karangan D'Zainun Mustapha. Kulit depannya menarik. Kontra berbanding novel-novel lain yang terdapat di rak buku DBP itu yang kelihatan pudar dan gelap.

Kami pun mencari-cari lagi. Pencarian saya selalu saya dimulakan dengan melihat kulit buku. Saya rasa bukan saya sahaja, Faizah pun begitu. Jikalau kulitnya menarik, baru saya tarik dan lihat cetakan tahun ke berapa. Tetapi, memandangkan hampir kesemuanya novel-novel itu kelihatan suram, saya pun "tarik dan tengok" sahaja hampir keseluruhan novel yang ada di rak itu. Saya baca sedikit sinopsis di belakang buku. Jikalau cetakan tahun 2008 dan sinopsis pun mengandungi unsur-unsur membina, saya akan beli. Ha, tidak lupa, harga novel juga perlu diambil kira. Apa yang penting, pada fikiran saya, saya perlu ada novel terbitan DBP yang akan saya gunakan untuk ulasan ruangan Resensi Novel majalah keluaran DBP itu.

Saya menulis tajuk novel-novel yang saya mahu ulas itu dan nyatakannya dahulu pada bonda. Jikalau bonda bersetuju, baru saya membelinya. Email dihantar menyatakan tajuk novel-novel yang mahu diulas. Bonda kata, OK! Saya janji kepadanya, saya akan siapkan dalam masa 2 hari. Email itu saya hantar pada hari Isnin. Tengahari Selasa, saya pergi ke kedai buku Harfa untuk membeli novel-novel DBP yang saya mahu ulas itu. Wajah Seorang Dhia Hanun karya D'Zainun Mustapha dan Meniti Batas karya Zulkifli Khair, saya genggam, aya niatkan untuk ditulis ulasannya dan hasil ulasan itu perlu dihantar kepada bonda dalam masa terdekat.

Saya baru membaca Meniti Batas karya Zulkifli Khair pada Khamis sebelah pagi dan selesai pagi ini, Jumaat. Habis membacanya, membuatkan saya semakin tidak tahu bagaimana perlu saya mengulas novel ini. Saya "mencari" Zulkifli Khair di laman google. Saya mahu mengetahui latar belakang pendidikannya. Saya membaca sedikit biodata tentang beliau di Idea Menulis. Bukan "orang baru" rupanya. Saya sahaja yang baru mengenali. Patutlah gaya penulisannya membuatkan saya melopong, ya mungkin itu perkataan yang paling sesuai.

Kenapa melopong ? Kerana, jikalau Meniti Batas hanya dinilai berdasarkan kulit luarannya semata-mata, tentu saja anda tidak akan membelinya. Tetapi, apabila anda membacanya dan membelek halamannya satu persatu, anda akan menemukan sejuta pengetahuan dan inspirasi. Sebuah novel yang saya rasa bercerita secara jujur tentang kehidupan. Betul-betul membantu saya memahami jiwa lelaki walaupun bukan itu tema utama novel ini. Ia cuma kisah sepasang sahabat yang berjuang dalam perniagaan kerepek. Bukan itu sahaja, ia juga kisah keluarga, kisah cinta, kisah cita-cita dan harapan membangunkan diri yang dipagari dengan nilai-nilai agama.

Saya terkesan dengan kisah Yusuf dan Adibah. Adibah mungkin romantik melalui tulisan tetapi Yusuf merasakan realitinya Adibah tidak begitu. Kehadiran Nisya yang peramah dan pendengar baik sedikit sebanyak menggugat cintanya untuk Adibah. Tetapi, saya rasa bukan dia tidak mencintai Adibah, mungkin saja kerana Adibah dilihat lebih berjaya berbanding dirinya dan kurang berada di rumah. Yusuf perlukan perhatian. Adibah tidak tahu itu.

Semalam saya berpesan kepada teman-teman rumah saya sambil memegang novel ini, "kalau sudah berkahwin, jangan duduk jauh-jauh dari suami". Kisah Yusuf dan Adibah ini cuma selingan sahaja dalam novel Meniti Batas, tetapi entah bagaimana keajaiban penulisan itu, kalau penulis pandai bermain-main dengan fikiran pembaca, walaupun cuma selingan , ia tetap akan dirasakan sebahagian dari isi utama sesebuah buku. Mungkin saja, yang selingan itu akan sering diingati berbanding isi utama cerita. Begitulah Meniti Batas, segala cerita selingan-selingannya saya merasakan sentiasa hidup pada setiap pembacaan.

Saya sudah berfikir-berfikir isi-isi untuk ulasan majalah DBP itu. Saya akan kongsikan gagasan pemikiran perniagaan Yusuf dan Sazali sehingga tertubuhnya SY Group. Nampaknya saya perlu "jalan-jalan" halaman demi halaman dan buat catatan. Itu sebenarnya isi utama Menitis Batas. Itulah yang patut ditonjolkan. Itulah yang patut diceritakan biar ramai yang tahu novel ini bukan novel yang kosong. Tidak melampau kalau saya katakan, membacanya seperti anda membaca karya Faisal Tehrani. Bagi saya, apabila melihat karya Faisal Tehrani, pertama sekali yang saya fikir ialah, "owh, saya akan dapat banyak ilmu baru di dalamnya". Begitu juga dengan Meniti Batas, walau ia bukan karya Faisal Tehrani, tetapi cara menulis dengan bermodalkan ilmu itu dapat saya rasakan.

Nampaknya selepas ini, rajinlah saya ke rak buku DBP. Tetapi kali ini bukan dengan niat membeli untuk modal atau bahan mengulas, tetapi lebih kerana menghayati penulisan novel yang ada isi. Mungkin pihak DBP patut fikir-fikir tentang kulit muka hadapan untuk novel-novel keluaran mereka. Kasihan kepada kami para pembaca kerana tidak tahu ada novel-novel yang hebat terbitan DBP.

Nanti, kalau sudah siap ulasan sepenuhnya untuk novel ini, insyaAllah akan dikongsikan juga di laman ini. Cuma cepat atau lambat sahaja.

Wallahu alam

Sumber Gambar :
Meniti Batas : http://ideamenulis.wordpress.com/2008/04/25/terbit-juga-akhirnya/