Tuesday, September 28, 2010

Ahad ke Ahad

Baru selesai dari sebuah pengembaraan.

Kembara buku.

Berjalan dari satu buku ke satu buku dari Ahad ( 12 September) ke Ahad (26 September).

Sumber Gambar
Bermula dengan Negeri 5 Menara. Sebuah novel yang ditulis berdasarkan kisah benar. Kisah penulis, Ahmad Fuadi (Alif) bersama 5 rakan-rakannya - Abdulkadir (Said), Kuswandani (Atang), Muhammad Munib (Dulmajid) , Adnin Armas (Raja), dan Ikhlas Budiman (Baso). Kisah 20 tahun yang silam di sebuah pesantren Jawa Timur iaitu Pondok Madani atau nama realitinya Pondok Modern Gontor. Tidak cukup dengan pembacaan, saya siap menonton siaran bual bicara Kick Andy : Negeri 5 Menara di Youtube di mana Ahmad Fuadi dan rakan-rakannya diwawancarakan. Saya juga siap bertanya dengan makcik-makcik di Kulim yang mempunyai pengalaman menghantar anak-anak di Gontor. Dahsyat betul saya ini.

Negeri 5 Menara mengajar pembaca tentang Man Jadda Wa Jadda atau Bahasa Melayunya- sesiapa yang berusaha dia akan berjaya. Saya juga jelas buku ini banyak mengajar pembaca tentang berani berimpian sesuatu yang mustahil. Sama seperti buku Laskar Pelangi. Cuma buku Laskar Pelangi, penghujung ceritanya sedih. Tetapi tidak untuk Negeri 5 Menara. Ahmad Fuadi dan 5 rakan-rakannya yang lain semuanya berjaya. Berjaya di sini bukanlah bermaksud banyak duit tetapi mereka berjaya menjadi manusia yang berguna untuk ummah. Berjaya memberi manfaat kepada orang lain. Berjaya kerana mereka sentiasa ada semangat cintakan ilmu walau dihimpit dengan kesusahan dan umur yang semakin meningkat. Itu definisi berjaya buat saya.

Tetapi saya paling terkesan di dalam banyak-banyak pengajaran yang saya perolehi melalui buku ini ialah tentang keikhlasan. Keikhlasan memberi ilmu. Keikhlasan menuntut ilmu. Keikhlasan berbakti kepada ummah.

Keunikan Gontor bukan terserlah melalui sistem pendidikannya yang mewajibkan penggunaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab 24 jam hatta di tandas sekalipun, atau melalui sistem disiplin yang ketat tanpa rotan tetapi keunikannya mungkin melalui guru-guru yang mewakafkan diri @ bekerja tanpa gaji mendidik pelajar-pelajar Gontor.

Sumber Gambar
Kembara buku seterusnya diselang-selikan dengan Travelog Iran dan Rindu Bau Pohon Tin. Rindu Bau Pohon Tin yang selesai dahulu pembacaan.

Selepas itu, saya sudah tidak mahu melepaskan Travelog Iran. Seronok! Saya rasakan seolah-olah separuh kaki sudah menginjak Iran. Sebelum ini, saya tidak tahu banyak tentang Iran. Mungkin dalam bayangan saya 1) Syiah, 2) Ahmadinejad atau Imam Khomeini atau 3) nuklear dan 4) menangis @ azadari.

Dina Y. Sulaeman ternyata seorang pemerhati yang bagus. Juga teliti dengan setiap apa yang dilihatnya. Tidak kiralah samada objek yang diperhatikan itu ialah manusia, budaya mereka atau monumen sejarah. Begitu terperinci diterangkan sehingga saya rasakan buku ini tanpa gambar sekalipun tidak sama sekali mencacatkannya.

Berbanding dengan suami penulis, Otong Sulaeman, yang menyumbang 3 bab di dalam Travelog Iran atau nama asal buku ini ialah Pelangi di Persia, beliau juga seorang pemerhati yang baik cuma tidak seteliti Dina. Namun begitu saya dapat mengesan melalui tulisannya yang beliau banyak bertafakur tentang setiap apa yang dilihatnya. Beliau mudah mengaitkan sesuatu dengan pelbagai iktibar dan pengajaran. Dina tidak ada itu. Tidak mengapa. Ini namanya saling lengkap-melengkapi.

Penulis dan suami menetap di 3 buah kota selama di Iran iaitu di Qom, Qazvin dan Teheran. Tempoh semuanya ialah 8 tahun. Travelog Iran merupakan catatan kembara penulis dan suami yang melibatkan 9 kawasan di Iran iaitu Abyaneh yang memiliki kebun bunga ros di mana ia digunakan untuk mencuci kaabah, Shomal (Iran Utara) yang diduduki oleh golongan kaya, Isfahan, Khurramshar yang mengandungi sejarah peperangan Iran-Iraq, kawasan sunni di Sanandaj, Shiraz yang memiliki tinggalan sejarah Persepolis, pusat pemerintahan Cyrus the Great dan makam Sibawaih (pakar nahu bahasa arab) yang terpencil, Yazd ibukota kaum Zoroaster (majusi), Kerman dan terakhir ialah Teheran yang memiliki 1001 cerita tentang politik dan Ahmadinejad.

Penulis menetap di kawasan perumahan yang dikelilingi oleh masyarakat syiah. Namun, buku ini tidak ada bercerita tentang halangan-halangan beliau hadapi semasa hidup bersama masyarakat syiah. Penulis kelihatan seperti sudah beradaptasi dengan mereka. Sekali baca, mungkin pembaca akan terfikir yang penulis juga mungkin seorang syiah tetapi sebenarnya tidak. Realitinya, masyarakat Syiah dan Sunni hidup dalam keadaan rukun dan damai.

Penulis begitu jujur bercerita tentang pengalamannya bersama kawan-kawan di Iran. Kisah mereka menyambut Tahun Baru (Iran memiliki sistem kalendar sendiri. Ia bermula dari hijrah Nabi Saw tetapi bergerak mengikut pusingan matahari, tidak seperti kita yang mengikut pusingan bulan). Ada beberapa catatan penulis yang menarik hati terutama apabila mahu menggambarkan Iran. Rumah orang-orang Iran sangat bersih sehinggakan di dapur sekalipun diletakkan permaidani Parsi. Uniknya, pembantu rumah di Iran adalah sangat mahal dan menurut penulis sendiri selama beliau di sana, beliau hanya pernah menemui 2 orang pembantu dari Indonesia sahaja. Di Iran, sebelum perkahwinan, kaum lelaki harus menyediakan rumah untuk si isteri. Jikalau tidak mampu boleh menyewa rumah. Manakala isteri pula adalah menjadi tanggungjawabnya menyediakan isi-isi di dalam rumah seperti sofa, periuk nasi, katil, dan pelbagai lagi.

Oh. Banyak lagi! Dari cara penulis menulis, saya menyedari beliau sangat bahagia duduk di Iran. Saya yang membaca buku ini pun, turut sama merasakan kebahagiaan itu. Mungkin boleh saya katakan, kekaguman saya semakin bertambah terhadap kerajaan Parsi ini.Saya pernah terfikir sebegini. Jikalau saya diizinkan oleh Allah pergi ke Iran suatu hari nanti, mungkin untuk tujuan melancong, saya perlu membawa buku ini. Ia bagaikan peta Iran.

Sumber Gambar
Buku ketiga ialah Kaum-Kaum Yang Pupus karya Harun Yahya. Saya baru selesai membacanya pada awal pagi tadi. Mungkin kira-kira pukul 10 pagi.

Kaum-Kaum Yang Pupus mengandungi 9 penemuan bukti arkeologi berdasarkan kisah-kisah yang dinyatakan di dalam Al-Quran seperti lokasi banjir besar pada zaman Nabi Nuh, lokasi tempat lahir Nabi Ibrahim, lokasi negeri kaum Nabi Luth yang diterbalikkan, lokasi kaum 'Ad yang baru dijumpai baru-baru ini setelah ditimbus pasir untuk beberapa tahun, kaum thamud, firaun dan Nabi Musa, Kaum Saba', Puteri Balqis dan Nabi Sulaiman dan lokasi gua Ashabul Kahfi.

Walaupun kita sudah biasa dengan beberapa maklumat seperti lokasi Nabi Musa membelah lautan di Laut Merah atau Gua Ashabul Kahfi di Ephesus, tetapi sebenarnya pengkajian berterusan masih dijalankan dari masa ke semasa. Info-info yang kita miliki pada hari ini boleh saja dicabar pada bila-bila masa dengan hujah-hujah baru berdasarkan penemuan arkeologi yang lebih mantap.

Contohnya, peristiwa banjir besar ketika zaman Nabi Nuh as. Ada banyak pandangan terutama kalau menurut Old Testament, banjir ini berlaku secara global. Tetapi, Al-Quran hanya merujuk kepada kawasan tertentu dan kaum tertentu iaitu kaum Nuh. Menurut buku ini, lokasi banjir besar ketika Nabi Nuh ialah di Dataran Mesopotamia yang mempunyai Sungai Tigris dan Euphrates di mana dataran ini (menurut rekod) memang selalu terdedah kepada banjir kerana 2 sungai itu tadi. Tetapi ini bukan hujah utamanya. Diceritakan, ada 4 bandar utama di Mesopotamia yang dipercayai pernah berlaku banjir besar berdasarkan kajian tanah-tanahnya (kedaan tanah berbeza jikalau banjir secara tiba-tiba dan banjir yang normal) dan penemuan arkeologi, iaitu Ur, Urech, Kish dan Shurruppak. Kawasan banjir dikatakan seluas 160km lebar dan 600 km panjang dan ini meliputi seluruh kawasan Mesopotamia. 4 bandar itu termasuk dalam kawasan ini. Tetapi diingatkan juga di sini, geografi Mesopotamia adalah berbeza 3000SM dahulu kala dengan yang ada pada hari ini.

Buku ini membantu kita melihat sesuatu isu dari perspektif berbeza. Ia mengajar kita untuk sentiasa mengkaji dan mengkaji.

5 komen:

Anonymous said...

Adakah lokasi kaum Luth di Laut Mati (Dead Sea)?

Kawasan banjir Nabi Nuh bermula di Laut Hitam (Black Sea).

Kaum Thamud di selatan Semenanjung Arab, dekat Yemen tu.

Serupa ke jawapan saya dgn buku tu?

Welma La'anda said...
This comment has been removed by the author.
hasma said...

assalamualaikum Welma,

saya jumpa blog welma dari blog kawan saya Mesra Buku.

Welma kata tercari2 style tulis review buku tapi sebenarnya saya suka sangat dah dengan style Welma sekarang :)

saya personally tak kisah sangat kalau review tu lengkap sampai tak perlu baca buku sebab saya faham kadang2 kita pembaca sangat excited utk berkongsi apa yg kita baca atau mungkin kita tulis ulasan tu supaya kita sendiri tak lupa tentang isi buku tu. Sebenarnya bila kita tulis review buku kadang2 kita sendiri lebih faham akan isi dan tujuan penulis tulis buku tersebut, kan..

Welma, sudi tak jadi kawan saya? :) selamat berkenalan!

Welma La'anda said...

Waalaikumussalam
Kak Hasma atau Kak Wati ya :). Saya pernah juga jenguk blog akak sebab tracker system blog saya track blog akak. :)

Hehe. Saya sebenarnya letih tulis panjang2. Tapi ya betul akak, kita kadang2 sangat excited tentang sesuatu buku sehinggakan tak sedar, rupanya sudah buat karangan yang sangat panjang. :).Faktor ke dua tu pun betul juga, memang tujuan untuk mengingati - terutama untuk buku non fiction.

Saya sangat berbesar hati menerima akak sebagai kawan saya. :)
salam kenal-kenal

welmalaanda@gmail.com
saya ada facebook juga -
taip email keluar lah nama saya ;). Tapi tiada gambar. Nanti boleh send personally :)

kakHasma said...

welma, panggil saya kak hasma je, tu yg biasa kekawan panggil, ok akak dah add welma kat fb, jangan ignore request ek hehe