Tuesday, March 01, 2011

Atsar

Pada tahun 2009, saya pernah menulis sebuah entri yang bertajuk Tuhan, Inilah Proposal Hidupku di blog ini. Ianya sempena meraikan sebuah buku kerja kelolaaan Jamil Azzaini. Saya menulis tentang cita-cita, harapan dan keluarga saya.

Selepas beberapa bulan, saya membuang entri itu. Entah kenapa. Mungkin kerana terlalu banyak orang yang membacanya. Mungkin juga ketika itu saya berniat ingin mengemaskini semula artikel itu kerana ada sedikit perubahan strategi. Mana tahu saya tertekan butang delete pula. Saya ingatkan saya masih menyimpan salinan entri itu di mana-mana - FB, draft blog atau C drive. Rupa-rupanya tidak.

Saya menerima emel dari seorang kenalan blog baru-baru ini. Mencari entri saya yang bukan berkenaan buku tetapi tidak dijumpainya di sini lagi. Saya mula berfikir. Mungkin entri Tuhan Inilah Proposal Hidupku maksud Cik Puan itu. Saya berjanji kepadanya yang saya akan menulis semula artikel itu. Tetapi saya perlukan masa. Pada hari ini, Allah telah memberikan saya kelapangan. Namun begitu, tulisan pada kali ini tidaklah sebegitu sama seperti tulisan terdahulu.

Pelan Rancangan Kehidupan

Saya ingat lagi, saya ada menyertakan pelan rancangan kehidupan sekali melalui entri terdahulu. Saya orangnya begitulah. Tidak habis-habis dengan pelan rancangan. Pada ketika saya menulis pelan rancangan itu, saya sebenarnya diselubungi oleh rasa ragu-ragu yang amat. Nampak tidak realistik pun ada cita-cita saya itu. Manakan tidak. Cita-cita utama mahu memiliki tadika @ sekolah dan secara tidak langsung berjaya membina modul pendidikan sendiri hasil penyelidikan dari sirah Rasulullah saw. Di samping itu ada pula cita-cita sampingan iaitu mahu menjadi ahli teknologi dalam bidang kejuruteraan telekomunikasi dan mahu melanjutkan pelajaran - Master dalam bidang Kejuruteraan Telekomunikasi. Itu tidak termasuk lagi dengan cita-cita teragung mahu menjadi suri rumah sepenuh masa kerana saya mahu menjaga anak-anak saya di masa akan datang.

Dalam masa yang sama, di dalam pelan rancangan saya itu, saya merancang sekali perkembangan kerjaya saya di xx. Konon pada ketika itu, saya mensasarkan pada awal tahun 2011 saya akan beralih ke jawatan sebagai exempt staff. Tetapi itu hanya angan-angan sahaja. Tidaklah pula saya bekerja keras untuknya kerana semangat untuk berhenti pada pertengahan tahun 2012 berada pada tahap maksima tinggi. Lagipun, apa yang ada di dalam kotak fikiran saya ialah saya perlu menyelesaikan degree saya yang dijangka akan selesai pada Mei 2011.

Kini.

Tahun 2011.

Jikalau merujuk pelan rancangan yang saya rancang pada 2 tahun lepas, tahun ini sepatutnya saya berjaya mendapat jawatan itu.

Dan inilah yang membuatkan saya terduduk dan bermuhasabah balik kerana Allah memakbulkan apa yang saya tulis di dalam pelan rancangan saya itu. Saya tidak sangka rupa-rupanya Allah tidak pernah mensia-siakan setiap impian kita walau ia hanya ditulis di atas kertas. Walaupun jawatan yang saya dapat itu bukanlah sebagai exempt staff, tetapi ia membuka peluang ke arah itu.


Keluarga

Saya bukan dari keluarga senang. Arwah kedua mak bapak saya buta huruf. Sudahlah itu kurang pula pemahaman Islam tetapi baik akhlaknya. Bersyukur apa yang Allah beri dan bersabar dengan apa yang Allah takdirkan, memang sudah menjadi budaya di dalam rumah kami. Saya selalu berfikir yang saya seorang penyabar. Tetapi apabila saya bermuhasabah balik, rupa-rupanya arwah mak bapak saya lagi penyabar.


Allah itu Maha Besar. Walaupun kami dilingkungi oleh kurangnya penghayatan dan pemahaman Islam, tetapi Allah memberikan saya hati yang sangat senang tertarik dengan Islam. Sejak dari kecil lagi (umur 7 tahun begitu) saya memang sentiasa ada inisiatif belajar membaca quran dan suka kepada solat. Pendek kata mak saya memang tidak perlu susah-susah dalam mendidik bab agama. Allah itu Maha Adil. Dia memberi kita kekurangan dan Dia juga memberi kita kelebihan untuk menampung kekurangan itu.

Apabila saya sudah besar sedikit, sayalah yang mengajar mak ayah saya bab-bab agama. Ketika saya berusia 16 tahun, saya mula terlibat dengan program yang dianjurkan oleh NGO Islam - HIKMAH. Di sinilah fikiran saya dicorakkan dan saya mula melihat Islam itu sebagai yang syumul. Saya mula belajar meletakkan fokus hidup saya. Saya mula meletakkan prinsip hidup saya yang saya hanya akan bercinta selepas berkahwin. Saya katakan pada diri saya, hidup saya ini untuk Islam.

Masa terus berlalu. Selepas SPM saya melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma di JMTI, Pulau Pinang dalam bidang kejuruteraan Mekatroniks. Pada ketika ini arwah mak saya sudah sakit beberapa bulan dan hampir lumpuh akibat paru-parunya sudah tidak boleh berfungsi. Secara mentalnya, saya bersiap sedia dengan kematian beliau dan Allah menjemputnya ketika saya sedang menduduki peperiksaan akhir semester 2. Sekali lagi Allah membantu saya. Allah memberikan saya ketabahan dan ketenangan. Saya menyelesaikan kertas peperiksaan dengan jayanya.

Sebaik arwah mak saya meninggal, semacam ada satu perasaan yang terlalu kuat kepada arwah bapak saya sehinggakan setiap malam saya sentiasa terfikirkan beliau. Saya risaukan beliau dengan usianya yang sudah mencecah 70 tahun. Saya risaukan kesihatannya. Saya risaukan beliau akan pergi meninggalkan saya. Banyak yang saya risaukan sehinggakan kadang-kadang saya paksa mata untuk tidur agar dengan itu saya tidak berfikir lagi tentang beliau. Saya terseksa menahan rindu begini selama 2 1/2 tahun. Saya balik ke Bintulu setahun sekali. Jaringan telefon pula tidak boleh dimanfaatkan sepenuhnya kerana arwah bapak saya tidak tahu mendail telefon dan tidak pandai bercakap melalui telefon. Seingat saya, arwah bapak saya tidak tahu pun memegang gagang telefon. Saya hanya berharapkan jiran dan kawan baik saya untuk melaporkan keadaan arwah bapak saya.

Tahun-tahun akhir saya di JMTI, saya membuat keputusan untuk bekerja sebaik diploma saya selesai. Di dalam masa yang sama, saya merancang untuk melanjutkan degree secara sambilan. Banyak faktor yang menyumbang kenapa saya membuat keputusan begini. Arwah bapak saya sudah tidak memiliki duit untuk menyambung pelajaran saya. Saya boleh sahaja membuat pinjaman tetapi saya sudah tidak boleh menahan rindu. Saya perlu mendapatkan pekerjaan dan menyara arwah bapak saya secepat mungkin.

Sekali lagi Allah membantu saya. xx sebagai sebuah syarikat multinasional idaman setiap orang telah melawat institusi tempat kami belajar buat pertama kalinya. Saya tersenarai antara pelajar untuk ditemuduga untuk jawatan juruteknik.

Saya menamatkan diploma saya pada akhir Jun 2005 dan pada 4 Julai 2005 saya melaporkan diri di xx. Saya sepatutnya bekerja mengikut shift. Namun begitu memandangkan saya ada perancangan untuk menyambung pelajaran dan semestinya kelas akan dibuat pada Sabtu dan Ahad, maka masalah ini diajukan kepada penyelia saya. Allah memudahkan urusan saya. Allah mencampakkan di dalam hati penyelia saya untuk bersetuju meletakkan saya dalam kumpulan equipment technician yang bekerja secara normal. Saya mula merancang untuk membawa arwah bapak saya menetap di Kulim selepas setahun bekerja kerana buat masa ini saya masih tidak mampu lagi dari segi kewangan. Banyak perlu dibayar, kereta, sewa rumah, yuran belajar RM2000/semester. Saya sepatutnya tidak perlu membeli kereta tetapi itulah satu-satu kenderaan yang mampu saya pandu. Saya tidak pandai menunggang motosikal. Yang teruknya basikal pun saya tidak tahu.

Selepas 2-3 bulan bekerja, saya balik ke Bintulu untuk menjenguk arwah bapak saya dan sekaligus menyambut aildilfitri. Tetapi sebaik sahaja tiba di rumah, luruh hati saya sebagai seorang anak apabila melihat keadaan rumah yang membuatkan saya betul-betul mahu menangis. Peti sejuk yang tidak berfungsi. Lampu pendarfluor yang rosak. Dapur tidak berfungsi. Saya ingat lagi saya berbuka puasa dengan air paip setelah puas saya mencari tiada air bersih. Saya menjadi tertanya-tanya bagaimana kehidupan arwah bapak saya. Tidur dalam kegelapan. Tidak ada makanan. Arwah bapak saya selamba berkata, "Bapak makan di masjid". Saya rasakan ayah sudah seperti pengemis. Tambah sedih lagi apabila saya melihat kaki beliau bengkak kerana gout. Jalan terhincut-hincut pergi masjid.

Pada malam itu, saya memang tidak boleh tidur lena dan saya membuat keputusan drastik tanpa memikirkan kemampuan duit saya. Ayah saya mesti dibawa sekali ke Kulim sebaik selepas cuti raya. Saya mula mengira berapa duit yang saya ada. Saya baru bekerja selama 3 bulan. Gaji satu bulan RM1320. Tetapi sekali lagi Allah memudahkan. Duit itu cukup. Ngam ngam orang kata. Saya balik Kulim seminggu lebih awal untuk mencari rumah sewa dan membeli kelengkapan rumah. Seminggu kemudian arwah bapak saya tiba dan bermulalah kehidupan kami di Kulim. Kami tiada saudara mara. Kami hanya ada kawan. Kehidupan agak susah. Saya ingat lagi saya tidur di atas sejadah untuk beberapa bulan kerana tidak mampu membeli sebuah lagi tilam. Kereta pun hampir ditarik. Mujur samseng itu mempunyai sedikit perasaan kasihan. Saya faham bagaimana malunya perasaan meminjam duit daripada kawan semata-mata mahu membayar yuran.

Walaupun kehidupan agak susah, namun, saya tetap bahagia. Saya bersyukur arwah bapak saya berada di depan mata. Sakit, pening, makan, minum ada orang yang menjaganya. Ooops. Arwah bapak saya chef di rumah ini. Anak daranya tukang makan sahaja. Saya bersyukur saya tidak perlu lagi menangis dan mimpi ngeri hampir setiap malam kerana rindukan bapak saya.

Tahun ketiga saya bekerja, saya mendapat tajaan dari syarikat xx. Sebelum ini saya membayar duit pengajian dengan menggunakan duit gaji sendiri. Tahun itu jugalah saya mendapat kenaikan gred. Satu tapak untuk ke jawatan sebagai exempt staff. Pada tahun itu juga, bapak saya meninggal dunia. Saya langsung tidak menjangkanya. Saya balik rumah seperti biasa dengan perasaan riang gembira. Saya terkejut sebaik tiba di rumah, bapak saya menggelupur di biliknya. Beliau terjatuh dan hanya mengerang. Beliau hanya menyebut Allah. Saya membawanya dengan segera ke hospital dan beliau menghembuskan nafas pada pukul 4 pagi. Saya terkejut sehingga saya tidak tahu bagaimana mahu memberi reaksi.

Saya menerima ini semua sebagai takdir yang Allah tentukan untuk saya. Saya menganggapnya sebagai tarbiyah yang Allah titipkan untuk saya. Tetapi saya tidak pernah memarahi Allah kenapa Dia memberi takdir demikian kepada saya kerana saya sentiasa yakin Allah pasti mempunyai perancangan hebat untuk saya. Mungkin saya akan menyumbang sesuatu yang hebat suatu hari nanti untuk agama ini. Justeru itu, Allah memberi saya ujian yang begini hebat. Mungkin Allah mahu membersihkan hati saya agar saya tiada pergantungan lain selain dariNya. Chewah. Begitulah cara-cara memujuk diri.

Sebaik arwah bapak saya meninggal, saya berdoa sepanjang masa agar diberikan housemate. Saya tidak mahu berpindah dari rumah ini. Dalam masa 2 minggu, sekali lagi Allah membantu saya. Allah menitipkan saya 2 orang housemate. Itulah Ana dan Faezah. Rumah saya bukan pilihan untuk disewa kerana keadaannya yang terpaksa meredah ladang kelapa sawit. Secara logik memang agak mustahil sebenarnya untuk mendapatkan teman serumah dalam masa 2 minggu. Semuanya berlaku secara kebetulan. Ana tersesat ke rumah naqibah saya. Faezah yang kebetulan menelefon saya kerana ingin bertanya tentang melanjutkan pelajaran secara sambilan. Kedua-dua mereka baru selesai menamatkan pengajian. Itulah perancangan Allah. Dia ada ketetapan yang hanya akan berlaku bila tiba masanya.

Kerja

Jikalau air mata boleh ditadah, saya rasa sehingga 2010, mungkin sudah boleh sampai bergelen-gelen tong untuk menggambarkan betapa tidak sukanya saya bekerja sebagai juruteknik. (Hehe). Tetapi arwah bapak saya selalu menasihati, bersyukur dengan apa yang Allah beri. Yalah. Orang lain berhempas pulas mencari pekerjaan. Saya pula hanya duduk di JMTI dan xx datang kepada saya.

Saya berdepan dengan pandangan-pandangan orang yang sentiasa mengatakan saya tidak ada troubleshooting skill sedangkan itu core job saya. Mungkin betul kata mereka dan mungkin juga salah. Saya selalu menangis dengan persepsi itu. Tetapi seingat saya, saya tidak pernah putus asa. Manakan tidak. Apabila saya balik rumah, saya melihat arwah bapak saya yang menyejukkan hati. Saya mencari duit ini untuk dia, untuk kehidupan kami, untuk degree saya. Perasaan sedih itu terubat sendiri.

Pada mulanya, niat saya bekerja di xx adalah kerana mahu mendapat duit yang banyak. Saya teruja mendengar cakap-cakap senior saya yang mengatakan jikalau kita bekerja di kilang, kita boleh mendapat duit yang banyak hanya dengan OT.

Tetapi oleh kerana saya rasa stress, saya tidak mahu berfikir pasal duit. Lalu saya alihkan fikiran saya yang saya mahu mencari sebanyak ilmu sebagai juruteknik bukan duit. Saya orang yang suka belajar. Jadi apa-apa yang berkait dengan belajar adalah kesukaan saya.

Namun begitu tidak selalu juga saya positif. Tetapi Allah itu begitu Maha Memerhati, Maha Mengetahui dan tidak pernah membiarkan hamba-hambaNya mengharungi segala kesusahan bersendirian. 2 tahun kemudian, saya terlibat dalam satu pembentangan projek dan di situlah persepsi negatif ke atas saya mula surut. Saya mula dilihat sebagai seorang yang memiliki soft skill. Saya mempunyai 2 orang bos yang selalu ada di dalam fikiran saya. Kedua-dua mereka berbangsa cina. Mereka memainkan peranan besar dalam pembinaan kerjaya saya. Merekalah yang membantu saya dari segi memberi tunjuk ajar bagaimana menulis laporan teknikal, berkomunikasi dan menyediakan alat bantu pembentangan.

Bos saya sering bercakap - We should think in diffrence way! We should make changes! We should make impossible to be possible. Dalam masa yang sama, kami di belakang, akan berbisik-bisik, "Aku sudah dengar benda ini 5 tahun" ataupun "Kita juruteknik. Mana boleh sama dengan jurutera". Inilah lumrah. Bos akan sering dikata di belakang oleh anak-anak buahnya. Hehe. Ampun bos!

Bos saya memang agak dahsyat. Bos saya melayan kami sebagai jurutera. Hakikatnya kami hanya juruteknik sahaja. Beliau pernah bertanya kepada saya, challenge back orang putih kata - Apa yang xxx (seorang jurutera) boleh buat tetapi Welma (seorang juruteknik) tidak boleh buat? Dalam hati saya - authority tidak sama. Saya tidak berani menjawab soalannya kerana saya tahu bos saya sentiasa ada jawapan. Bos saya bukanlah orang yang melihat masalah ialah masalah. Beliau sentiasa melihat masalah ialah peluang. Tetapi beliau seorang yang sangat baik. Memang bekerja ala-ala pejuang. Pekerja Muslim perlu contohi beliau. Saya sendiri sehingga kini walaupun sudah berbeza organisasi, saya masih tetap meminta nasihat dan pandangan beliau.

Tanpa saya sedari, setelah 5 tahun ini, Allah telah memberikan kepada saya seperti apa yang saya niatkan 5 tahun dahulu. Saya mahu mencari ilmu dan Allah memberikan ilmu. Allah memberikan saya bos yang sentiasa mengajar kami untuk sentiasa berfikir sebagai jurutera bukan juruteknik.

Penyelia

Pada tahun lepas, sebaik saya balik dari umrah, tiba-tiba saya begitu aktif membuka portal intranet syarikat untuk memohon pekerjaan baru. Bekerja di tempat yang sama selama 5 tahun dengan skop kerja yang sama, memang boleh mendatangkan kejenuhan.

Dengan izin Allah saya mendapat jawatan penyelia (acting). Saya bukanlah calon yang terbaik untuk jawatan ini. Dalam dunia bekerja begitulah. Kita akan berdepan dengan sejuta komentar yang mengatakan kita tidak boleh, idea kita tidak bagus, dan macam-macam lagi. Jangan sesekali ambil hati dengan komen-komen negatif kerana ia hanya akan membuat rasa putus asa dan tidak percaya diri. Semua orang boleh mengatakan anda tidak boleh tapi anda harus mengatakan boleh. Chaiyok Welma!

Saya sentiasa percaya yang saya tidak perlu berubah personaliti kepada garang sikit. Saya hanya perlu menjadi diri sendiri. Saya bukan outgoing person dan saya tidak perlu menjadi outging person semata-mata untuk menunjukkan saya seorang penyelia yang bagus. Bukanlah maksud saya outgoing person itu tidak bagus. Cuma setiap orang ada stail dan personaliti masing-masing. Saya ada stail outgoing saya tersendiri. Mesej saya ialah, saya ada personaliti tersendiri dan saya tidak mahu meniru personaliti orang lain untuk kelihatan berkualiti.

Saya serahkannya semua kepada Allah. Saya memohon bantuan Allah memegang hati anak-anak buah saya dan orang yang bekerja dengan saya agar mereka tenteram di bawah seliaan saya. Sekarang ini saya merasakan diri saya adalah seperti Sultan Muhammad Al-Fateh pula. (Chewah. Sempat. Hehe. Tidak layak. Solat sunat rawatib pun tidak berapa menjaga)

Saya tidak berniat mahu membuktikan kepada mereka yang memandang rendah akan kebolehan saya sebagai penyelia. Saya cuma mahu mengaplikasikan pengalaman 5 tahun saya selama ini. Niat saya ialah mengmpul ilmu pengrusan sebaik mungkin. Saya mahu menggunakan sepenuhnya kekuataan soft skill saya memandangkan saya lemah troubleshooting skill. Dan saya mahu memberi apa yang bos saya pernah beri kepada saya iaitu menghargai anak-anak buah saya dengan cara melatih mereka sebagai knowledge worker. Saya mahu belajar ilmu pengurusan dengan mengekalkan imej lemah lembut (Ya kah? Jikalau Kak Min membaca ayat saya ini, pasti dia jatuh pengsan), soft spoken, dan penyayang. Ketegasan itu penting tetapi saya tidak mahu ia disama ertikan dengan karakter marah-marah dan suara lantang serta kuat. Akhir kata untuk Welma - Chaiyok Welma!

Berhenti Kerja

Saya tidak berniat untuk kerja lama di xx. Cukuplah 6 tahun 1/2. Kini ada 1 tahun 1/2 lagi. xx bukan destinasi saya. Ini cuma satu persinggahan yang asalnya dahulu saya niatkan untuk mencari duit untuk menyara ayah dan degree saya, tetapi Allah mentakdirkan saya memperolehi lebih daripada yang saya hajatkan. xx ialah universiti saya. Di sini saya belajar mengenal kekuatan dan kelemahan diri saya. Saya belajar membina keyakinan diri. Saya belajar kesabaran dan ketabahan. Saya belajar yang dunia persekolahan itu memang jauh bezanya dengan dunia pekerjaan. Di sini saya belajar yang bagaimana pun rancangan/pandangan orang lain untuk anda tetapi apabila anda yakin Allah bersama anda, Allah sentiasa akan mempermudahkan urusan anda InsyaAllah.

Belajar

Saya mula melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda pada Julai 2006 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan mengambill kursus Kejuruteraan Elektrik. Kelasnya setiap Sabtu (2 petang- 10 malam) dan Ahad (8.30 pagi - 4 petang). Kelas diadakan di Pulau Pinang dan pensyarah dari UTM Skudai akan turun ke sini setiap kali kelas diadakan. Jikalau anda ingin belajar secara sambilan dalam bidang kejuruteraan, saya syorkan UTM walaupun terdapat banyak kolej-kolej swasta ada menawarkan yang lebih murah dan cepat. Jikalau anda mencari kualiti dan pengiktirafan BEM, inilah tempatnya. Ijazah yang dikeluarkan adalah sama dengan pelajar sepenuh masa. BEM akan memastikan kursus sarjana yang dijalankan adalah standardize antara kursus yang dijalankan sepenuh masa dan separuh masa.Ujian akhir semester pula akan dijalankan serentak seluruh Malaysia dengan pelajar sepenuh masa. Cuma UTM memang agak payah sedikit kursusnya. Sepanjang saya belajar ini, saya jarang sekali berfikir untuk mendapat A. Saya hanya berfikir bagaimana mahu lulus. Bukan itu sahaja, yurannya juga mahal.

kini, sudah 5 tahun saya belajar secara sambilan dan selama 5 tahun itu juga saya tidak memiliki hujung minggu yang lapang. 5 hari bekerja dan 2 hari belajar. Itu tidak termasuk kami perlu ke UTM Skudai untuk peperiksaan makmal selama seminggu setiap tahun dan 2 kali pembentangan projek sarjana muda. Kini saya hanya tinnggal 2 subjek sahaja dan 1 makmal. InsyaAllah pada Mei 2011 ini perjuangan selama 5 tahun ini akan selesai. Sejurus selepas itu, bermulalah bond saya di xx pada Jun 2011 hingga Jun 2012 seperti yang termaktub didalam undang-undang tajaan xx. Hooray! Boleh berhenti kerja.

Mengikut rancangan awal pelan kehidupan, saya merancang untuk menyambung pelajaran ke peringkat Master dalam bidang Kejuruteraan Telekomunikasi pada awal tahun 2012. Tetapi apabila fikir-fikir balik kenapa saya perlu belajar kejuruteraan lagi jikalau fokus hidup saya sebenarnya tadika @ sekolah @ membina silibus pendidikan untuk remaja dan kanak-kanak. Ia akan lebih elok jikalau saya terus memfokuskan diri belajar sedikit demi sedikit psikologi pendidikan dan perkembangan awal kanak-kanak. Buat penyelidikan sirah Rasulullah saw. Praktiskan pengurusan sekolah. Memandangkan sekarang tidak ada sekolah lagi, boleh praktiskan ilmu pengurusan di tempat kerja. Gunakan peluang yang Allah beri jawatan penyelia (walaupun hanya acting sahaja) untuk melatih diri ilmu pengurusan. Hadamkan isu-isu semasa yang berlaku di sekitar dunia pendidikan pada hari ini. Kemudian saya fikir, ok. Saya akan buat Master dalam Psikologi Pendidikan @ Perkembangan Awal Kanak-Kanak pada awal tahun 2012. Tetapi ada halangan pula. Memandangkan degree saya dalam bidang kejuruteraan, saya difahamkan agak susah jikalau saya ingin menyambung ke peringkat master dalam bidang pendidikan. Ia akan lebih baik jikalau ada pengalaman mengajar 3 tahun begitu.

Setelah muhasabah yang panjang, saya meletakkan target untuk menyambung Master Pendidikan pada tahun 2015 dan usia saya pada ketika itu ialah 31 tahun InsyaAllah. Saya masih dalam dilema samada ada saya mahu berhenti kerja pada pertengahan tahun atau hujung tahun 2012. Kemana hala saya selepas itu pun masih dalam dilema lagi - samada bekerja di kilang lain (dengan niat mengumpul duit untuk sekolah yang mahu dibina) atau terus berkhidmat di sekolah milik IKRAM. Ada pro dan kontranya. Impian sebenar ialah mengajar di Khalifah School Ampang. Tetapi itu pun jikalau saya berpindah ke sana tetapi saya langsung tidak ada perancangan. Hanya terdetik dalam hati. Buat masa ini, sebarang keputusan masih tidak dibuat. Masih dalam mood mujahadah membuang dalam hati perasaan cinta bonus yang boleh diperolehi kalau bekerja di kilang. Saya sendiri tidak tahu samada keputusan ini betul atau tidak. Saya serahkan kepada Allah. Masih beristikharah.

Fokus Hidup

Saya mahu dedikasikan hidup saya ini untuk membantu agama Allah. Saya infakkan harta dan jiwa saya. Dahulu saya mahu menjadi seorang jurutera telekomunikasi kerana saya mahu mencipta sesuatu yang bermanfaat untuk orang Islam terutama dalam bidang ketenteraan. Tetapi apabila saya melihat budaya kerja jurutera yang sering balik lewat, akhirnya saya tidak ada mood pula. Ini semua kerana saya seorang perempuan. Apa yang ada di dalam kepala saya ialah tugas seorang perempuan ialah mendidik anak-anaknya, memasak, memastikan rumah bersih, dan menyiapkan keperluan ahli keluarganya. Ini prioriti. Saya mahu menjadi seperti arwah mak saya. Apabila saya terlalu menumpu di tempat kerja untuk cita-cita sebagai jurutera itu, dengan balik yang tidak menentu, saya khuatir prioriti saya menjadi kucar-kacir. Memang ada orang yang mampu melakukannya seiring tetapi saya bukan orang itu. Lalu saya pun mengubah suai sedikit perancangan hidup.

Saya mula berfikir apa lagi masalah umat Islam pada hari ini yang boleh saya bantu. Pendidikan. Ketika saya menunaikan umrah pada tahun lepas, saya tersentak. Allah tunjukkan kepada saya betapa hebatnya Rasulullah saw sebagai seorang guru terbaik mendidik masyarakat arab daripada masyarakat yang keras dan kasar kepada barisan sahabat yang begitu gigih memperjuangkan Islam dan mencintai Allah. Saya mula berfikir pasti ada metodnya. Dari situlah, azam saya berkobar-kobar mahu menjalankan kajian sirah Rasulullah saw dan memfokuskannya dalam bidang pendidikan. Saya mahu menemui formula itu untuk mencetak peribadi pelajar-pelajar yang tahu tujuan hidupnya ini ialah satu - untuk Allah, Rasulullah saw dan Islam. Saya mahu menjadi guru yang tulus dedikasi mendidik anak muridnya. Saya mahu mencetak Khalid Al-Walid yang jiwanya tidak kisah samada dia orang bawahan atau orang atasan tetapi masih tetap teguh bersemangat waja membela agama Allah. Saya mahu mencetak Abu Bakar As-Siddiq atau mungkin Abdul Rahman bin Auf yang menaja 100% perjuangan umat Islam. Saya mahu mencetak Salahuddin Al-Ayubi yang hidupnya tiada rehat. Sentiasa berdebu ke sana ke mari berjuang membebaskan Al-Aqsa.

Tadika @ sekolah itu hanya satu wadah. Penting untuk menjamin keberlangsungan penerapan idea-idea saya. Lagipun, apabila saya ada saham di dalamnya, maka agak mudah saya mengawal masa pergi dan balik kerja mengikut kesesuaian. Sekali lagi, saya tidak mungkin akan membinanya seorang diri. Semoga Allah mengurniakan saya barisan kawan yang boleh bersama-sama memperkuatkan antara satu sama lain.


Buat masa ini saya tidak memulakan lagi kajian sirah Rasulullah saw. Ini kerana bermula Januari hingga Jun 2011, saya hanya memfokuskan kepada 3 perkara sahaja dalam hidup saya iaitu menstabilkan kerja saya sebegai penyelia, menyelesaikan degree yang dijangka siap pada Mei 2011 dan membina serta memantau silibus program aulad yang diadakan purata sebulan sekali di bawah Program Ikram Kidz.

Buku

Alhamdulillah. Pada tahun ini, Allah masih lagi mengurniakan kelapangan di celah-celah kesibukan. Saya masih sempat bermesra dengan buku. Saya masih lagi menetapkan kuantiti 50 sebagai sasaran. Namun tidaklah pula saya memaksa diri untuk mencapai sasaran itu. Saya banyak membaca sambil bersantai atas sofa. Merehatkan diri dari kepenatan bekerja. Cuti Raya Cina ini saya dedikasikan untuk membuat aktiviti yang menyeronokkan iaitu membaca. Yurm. Yurm. Sedapnya buku. Boleh tahan juga saya mengeluarkan semua buku yang mahu dibaca. Tamak.

Tetapi saya hanya berjaya membaca 3 buah buku sahaja. Salah satunya ialah buku Hidup Sekali Manfaat Selamanya karya Dr. Muhammad Musa Asy-Syarif.


Agak lama juga masa diambil untuk buku ini. Saya tidak mahu tergesa-gesa menyelesaikannya. Saya lebih banyak termenung. Saya sebenarnya memikirkan tentang cita-cita. Jadi, ketika membaca buku ini saya lebih suka menghadam sedikit demi sedikit dan menasihati diri sendiri. Menurut penulis pada halaman 49, ada 4 tip wajib yang perlu kita ikuti jikalau kita mahu meninggalkan atsar yang mulia sebelum kematian kita. Pertama, memiliki hubungan yang baik dengan Allah. Kedua, memiliki keperibadian yang baik. Ketiga, memiliki rencana yang agung dan keempat memiliki ilmu yang luas dan wawasan yang tepat.

4 tip inilah yang membuatkan saya termenung panjang. Cuba merenung diri sendiri. Alamak. Banyak sungguh celanya. Saya hanya memiliki impian @ rencana agung iaitu tip ketiga. Saya mahu dedikasikan hidup saya untuk membantu agama Allah dan saya fokuskan diri saya dalam bidang pendidikan. Inilah atsar yang saya mahu tinggalkan untuk umat Islam.


Oh ya. Tidak lupa Komik Khalid Al-Walid terbitan Telaga Biru dan Kisah Haiwan Makkah Zaman Rasulullah saw karya Fatimah Syarha. 2 buah buku ini membuatkan saya menangis. Saya pun tidak faham dengan diri saya. Buku komik itu buat masa ini ada 3 siri semuanya. Khabarnya akan terbit 3 buah lagi dengan kisah para sahabat yang lain. Tidak sabar mahu membelinya. Cukupkan koleksi. Pada mulanya saya ingatkan karya Fatimah Syarha ini hanya sekadar kisah haiwan. Rupa-rupanya tidak. Ia kisah Rasulullah saw. Buku ini memiliki kembarnya - Kisah Haiwan Madinah Zaman Rasulullah saw. Buku ini dibaca sebagai persediaan program IKRAM Kidz kami yang akan diadakan pada 19 Februari ini dengan tema Jejak Rasul.

Memetik tulisan Peter Drucker melalui bukunya Eksekutif SMART (Terjemahan dari The Effective Executive) pada halaman 6, beliau menulis, "Napolean ada mengatakan, tidak ada satu pun pertempuran yang beliau menangi mengikut perancangan asal. Walaubagaimanapun, Napolean tetap merancang setiap pertempurannya dengan begitu teliti".

Saya sendiri tidak pasti adakah impian saya akan tercapai atau tidak. Adakah ia akan on-track sepanjang masa atau adakah lagi nanti perubahan strategi akan dibuat. Saya tidak tahu. Tetapi saya yakin, jikalau niat saya ikhlas mahu membantu agamaNya, Dia akan mudahkan untuk saya. Saya hanya perlu terus berdoa, terus berusaha, terus belajar, dan bertawakal. Namun begitu saya masih perlu terus bermujahadah lagi. Banyak sangat cela diri ini.

Wallahu alam

11 komen:

iman moscow said...

Assalamualaikum kak!!!

Iman ni!!! wah!!! like like like sgt2~ bru habes program.. semester bru akn mula 2 hr lg!! JAZAKILLAHU KHAYR!

moga dalam redha allah! sgt syg akk! moga allah temukan kita! :)

Welma La'anda said...

Waalaikumussalam Iman,
Hehe. Moga emndapat manfaat dari artikel ini. Ya. Moga Allah temukan kita insyaAllah ;)

Nakamura Kazuki said...

bertapa hebatnya awak welma...banyak dugaan dan cabaran dalam hidup awak dan awak mampu mengharunginya dengan tabah sekali...
saya sedikit ujian pun sudah goyah....huhuhu
apapun ok tumpukan pada study awak 3 months to go..mana tau ada rezeki..jumpa saya di TNB...'

adik saya dapat juruteknik di Fuji...alhamdulillah..cuma dia masih nak sambung belajar2..

Welma La'anda said...

Nakamura,
Fuji tu juruteknik dia akan dipaksa OT sampai tak larat dengar cerita. Agar mencabar sebenarnya belajar sambil bekerja. Kamu tajalah adik kamu belajar. 3 tahun sahaja. :).

Siti said...

salam welma,
jika sebelum ini kenal welma sebagai pencinta buku, hari ini banyak yang welma kongsikan tentang sisi lain kisah dan aspirasi hidup. selamat maju jaya dan moga Allah mudahkan perjalanan..

Welma La'anda said...

Salam,
Ya kak Siti. Terima kasih doanya. Amin.

GDIZ said...

As'kum
Welma, berusaha dan terus bertawakal ;) InsyaAllah, akan tercapai. Akak doakan.

Lagi satu, welma boleh jadi penulis juga. Semua entry tulisan yang baik ;)

*ada kawan akak, mengajar dekat JMTI Penang ;)

Welma La'anda said...

waalaikumussalam kak Gdiz,
Akak, doakan saya ya ;). Penulis???Eeer...saya tak konsisten menulis sebenarnya. Tapi diharapkan suatu hari nanti saya akan menulis sebuah buku, sekurang2nya.

oohhh..ya ka...siapa yer kawan akak kat JMTI tu? Mana tahu saya mengenalinya.

rasyidah said...

Assalamualaikum welma...kamu anak yang kuat..akak doakan kejayaan kamu dunia akhirat...kamu sangat tabah dan cekal...akak silent reader blog kamu selama ini...salam perkenalan...

Welma La'anda said...

Waalaikumussalam kak Rasyidah,
Salam perkenalan. Semoga mendapat manfaat dari blog saya ini :)

Anonymous said...

saya rasa terinspired!

alhamdulilah.

saya doa dan harap yang baik-baik untuk awak.

mummy aisyah