Monday, May 13, 2013

Syria


2 buah buku yang saya miliki ini merupakan hasil karya Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Buku baru yang diperolehi menerusi tangkapan PBAKL baru-baru ini. Apabila melewati booth yang menjual karya-karya Dr. Zulkifli, saya tertarik dengan sebuah buku kecil yang tertulis pada muka hadapannya -Syeikh Muhammad Said Ramadan Al Buti Yang Kukenali (SMSRAYK) Tokoh ini saya kenali melalui bukunya Fiqh Sirah yang telah lama menjadi bahan bacaan kader-kader dakwah. Namun, sejak kebangkitan rakyat Syria (Mac 2011) terhadap rejim Asad, tokoh ini dilanda pelbagai kontroversi dek kerana pandangannya memihak kepada rejim itu. 

Apabila melihat saya berminat terhadap buku ini, penjaga booth di PBAKL tersebut menasihati saya untuk membeli sebuah buku lagi, pasangan kepada buku tentang Syeikh Ramadhan ini. Saya yang sangat mudah terpengaruh ini pun tanpa berfikir panjang mengambil buku yang dimaksudkan iaitu Krisis Syria dan Mauqif Ulama (KSMU).

Ada logiknya juga mengapa dikatakan 2 buah buku ini berpasangan. Ini kerana pengisiannya saling berkaitan dan memudahkan pembaca untuk memahami mengapa ada perbezaan pendapat di kalangan ulama dalam isu Syria. Lebih-lebih lagi pertembungan perbezaan pendapat ini melibatkan tokoh-tokoh ulama yang bukan calang-calang orangnya ( Syeikh Dr Yusuf Qardawi beserta lebih daripada 500 ulama di seluruh dunia vs Syeikh Ramadhan Al Buti).

Penulis melalui buku SMSRAYK cuba menjernihkan persepsi jahat yang dilemparkan kepada Syeikh Ramadhan Al Buti yang kelihatannya seolah-olah menggadaikan agama untuk kepentingan peribadi. Penulis mengajak pembaca untuk menyelusuri kehidupan Syeikh Ramadhan yang begitu mengagumkan, samada dari segi akhlak, peribadi, dakwah dan keilmuannya. Jatuh cinta dibuatnya. Cuma di akhir hayat beliau, dikatakan beliau terkhilaf di dalam fatwanya di mana beliau melarang rakyat Syria daripada keluar menentang pemerintah yang dipimpin orang Islam. Namun begitu, majoriti ulama dan yang terkehadapan sekali ialah Syeikh Dr Yusuf Qardawi tidak bersetuju dengan pendirian Syeikh Ramadhan berdasarkan hujah-hujah yang kuat. Malah Dr Raghib Al Sirjani sendiri mengatakan - "Asad adalah dari golongan Alawi pecahan Syiah Batiniah yang dianggap keluar dari akidah Islamiyyah. Justeru  isu wala' tidak lagi timbul.." (halaman 23).

Buku KSMU pula sesuai dibaca untuk mereka yang belum memiliki pendedahan asas tentang isu di Syria seperti saya. Justeru itu, saya sangat menghargai apabila penulis memulakan isi buku ini dengan sedikit pengenalan tentang negara Syria vs Bumi Syam, kelebihan dan sistem pemerintahan negara itu sehinggalah kepada isu kebangkitan rakyat dan pandangan ulama. Apa yang saya suka tentang buku ini ialah, pelbagai terma, definisi, konsep serta penjelasan tentang thaurah (kebangkitan rakyat) ,jihad, hudnah (genjatan senjata) dapat dipelajari. Oleh kerana itu, apabila membaca KSMU saya bukan sahaja membayangkan Syria tetapi juga cuba menghubungkaitkannya dengan peristiwa di negara-negara Islam yang lain. Connecting the dot, orang putih kata. 

Nasihat untuk saya dan pembaca blog ini. Kita jangan buta isu semasa tentang apa yang terjadi di negara-negara Islam di luar sana. Ini mungkin petanda Tamadun Islam akan mekar semula. Tiba-tiba saya teringat buku Ini Sejarah Kita. Dikatakan tamadun islam merupakan tamadun yang paling unik sekali. Sebagai contoh, Tamadun Rom dibina selama 2000 tahun tetapi hanya mengambil masa selama 3 tahun untuk jatuh. Begitu juga Tamadun Parsi mengambil masa hampir 1200 tahun untuk dibina tetapi untuk menjatuhkannya hanya sedikit masa diperlukan. Tetapi tidak untuk Tamadun Islam. Ia dibina selama 685 tahun (570-1255M) dan  tempoh kejatuhannya juga hampir sama dengan tempoh pembinaannya iaitu mengambil masa selama 669 tahun ( 1255M-1924M). Yakinlah, Islam akan kembali menguasai dunia. Ia tidak akan tidur selama-lamanya. Cuma, adakah kita salah seorang pejuang itu?

2 komen:

pengurus situs said...

Saya senang dengan tulisan Anda. Telebih mengenai AlButi. Saya kira AlButi masih seorang ulama, meski silaf memberikan pendapanya itu. Mungkin AlButi terlalu moderat. Tapi saya tahu lebih jauh...

Moga-moga saya bisa baca buku yang Anda kisahkan di sini.

Terima kasih atas sharingnya.
Salam.

Welma La'anda said...

Terima kasih atas kunjungannya.

Buku yang mengisahkan Buti dan kontroversinya sangat susah dijumpai. Ini sahaja setakat ini yang dijumpai. Saya secara peribadi, juga tertanya-tanya dengan pandangan beliau, yang dilihat beliau untuk tidak membuka syria kepada kuasa US dan
Yahudi.
Namun begitu di dalam masa yang sama, masih cinta akan beliau kerana saya membaca buku-buku beliau sejak remaja, dan iya, mungkin ada sesuatu yang kurang difahami. Wallahu alam