Monday, June 24, 2013

Bookathon

Bookathon.

Rentetan peristiwa membaca dan membeli buku pada minggu ke-25.

Isnin. Saya sampai di rumah dari tempat kerja dan masuk ke halaman ruang tamu. Lalu saya terpandang deretan buku di sofa. Spontan saya tersenyum. Hilang terus kepenatan bekerja. Oh, buku-bukuku. Saya suka letak buku yang mahu dibaca di tepi sofa. Sudah menjadi tabiat pula. Deretan buku yang disusun di tepi sofa itu bagaikan motivasi dan penyejuk mata. Ada orang suka melihat matahari terbenam, suasana pagi di kaki gunung dan saya pula tidak gemar semua itu. Saya suka melihat buku, rak buku, dan orang yang sedang membaca.

Pada minggu ini, agak istimewa sedikit. Ini kerana saya berlatih agar boleh membaca 100 halaman pada setiap malam. Pada kebiasaan, saya membaca 10-15 halaman. Itu pun kalau saya membaca pada malam itu. Masa tidur ialah pukul 10.00 malam dan saya anjakkan sedikit ke pukul 11.30.

Sumber Gambar : Sini
Agak berbaloi usaha itu kerana saya berjaya menghabiskan pembacaan sebuah buku karya Wan Zayuhisham Wan Yusoff bertajuk, Cikgu, Anak Saya Okey? Ada 195 halaman semuanya. Terbitan Galeri Ilmu.  Ia mula dibaca pada hari Isnin dan selesai pada hari Selasa. 2 malam yang produktif.

Ini bukan karya pertama penulis. Ada  buku sebelumnya yang dihasilkan. Buku ini memiliki 20 bab yang mengisahkan pengalaman dan pemerhatian penulis sepanjang berkecimpung di dalam dunia perguruan. Pelbagai kisah yang diceritakan beliau seperti peranan guru dalam menekankan aspek agama di dalam diri pelajar seperti solat dan aurat, keprihatinan akan kondisi pelajar yang mungkin melibatkan isu keluarga atau tahap pembelajaran, kepedulian ibu-bapa dan peranan PIBG, serta pelbagai isu semasa yang melibatkan psikologi murid dan impak teknologi. 

Melalui buku ini, penulis meluahkan secara telus pandangannya dari kaca mata seorang guru. Secara ringkasnya, guru di dalam buku ini bukanlah kerjanya menyuap ilmu dan mengejar silibus sahaja. Mereka digambarkan seperti - Guru yang mahu melihat anak didiknya menjadi manusia berguna. Guru yang gigih mempromosikan elemen peduli (concern) terhadap setiap pelajar. Guru yang percaya kekuatan diplomasi untuk menyelesaikan pelbagai masalah. Guru yang suka penglibatan ibu-bapa dalam membantu pihak sekolah menjayakan program pendidikan. Membaca buku ini membuatkan kita melihat profession perguruan sebagai satu profession yang sangat mulia. Berbanggalah anda jikalau anda seorang guru yang berjiwa guru....

Rabu. Cuti Baca Buku.

Khamis. Pun cuti membaca juga. Ini kerana hari ini ialah program membeli buku dengan riang rianya di Hasani Bookstore, Giant. Tidak perlu ronda satu kedai kerana secara puratanya saya akan ke kedai ini seminggu sekali untuk membuat rondaan atau dalam erti kata lain cuci mata. Saya tahu buku apa yang saya mahu beli. Seperti yang dirancangkan.

Tadaaaa....


Tidak cukup di situ, saya membeli belah atas talian pula kerana ada dua buah buku yang memuatkan karya Hlovate tidak dijual di kedai ini. Pergi ke Portal Jemari Seni. Beli 3 buah buku di situ - Pelangi, Gurindam Jiwa dan Anthem.  Beli lagi Anthem sebab Lakshmi, kawan baik saya itu, sudah membuat  Anthem kepunyaan saya seperti hartanya sendiri dan entah bilalah dia boleh mengkhatamkan buku itu walaupun sudah berulang kali saya katakan padanya, "You faham tak baca buku BM ni? ", Lalu apa katanya, "Hello, I'm Malaysian OK". Buku Anthem yang baru ini untuk Lakshmi.



Selain itu, saya juga ke portal Deen Prints untuk membeli edisi Majalah JOM [Dakwah Itu Mudah] yang saya terlepas iaitu Siri 7, 9, 11, 12, 13, dan 14. Di Kulim ini, hanya ada satu sahaja (setahu saya) kedai yang menjual majalah ini iaitu di sebuah kedai kecil terletak di pekan Kulim yang dimiliki oleh seorang pakcik India Muslim. Dia menjual pelbagai suratkhabar, majalah dan komik. Masalahnya, saya bukan selalu ke kawasan ini, sebab itulah boleh terlupa. Alih-alih, apa??? dah terlepas beberapa siri. Mujur boleh membeli atas talian.

 Okay. Tamat program membeli buku berdasarkan bajet yang sudah ditetapkan dan dirancang. Tutup akaun. Tabahkan hati jikalau ternampak mana-mana buku yang berkenan di hati sehingga 20 Julai.

Jumaat. Tidak membaca buku juga. Mazlan ajak sekali lagi ke Giant atau spesifiknya Hasani Bookstore. Mahu membeli buku untuk dihadiahkan kepada kawannya. Ketika sibuk melihat Mazlan memilih-milih, tiba-tiba saya terpandang buku Catatan Penglipur Lara Sang Majistret. Aha...ini buku yang saya cari setelah sekian lama. Lalu saya pegang kemas buku itu. Percayalah apabila saya mula mengambil sebuah buku, maka bersiap sedialah wahai duit, pasti akan ada 2-3 buah buku menyusul. RM100 konon sebulan. Tertewas juga.

Haa, inilah hasilnya...Buku Urutan Mesra Buat Si Manja itu bukan buku saya. Buku yang mahu dihadiahkan kepada kawan Mazlan. Serius, isi kandungan buku ini agak bagus. Sempat saya membacanya sebelum Mazlan mengeluarkan beberapa perkataan, "Aaa, itu buku orang...". Oopps. Sangat bahaya jikalau saya sudah berkenan terhadap buku ini, silap hari bulan, tidak jadi dihadiahkan kepada orang. Hehe.

 


Sabtu. Setelah melakukan kerja-kerja asasi sebagai seorang wanita seperti memasak, mengemas rumah dan bergurau senda dengan penghuni rumah, barulah saya boleh bermesra-mesraan dengan  buku saya. Yeye! Inilah masanya saya membaca buku Catatan Penglipur Lara Sang Majistret karya Zabidi Mohamed. Buku ini tebalnya 255 halaman, juga terbitan Galeri Ilmu (GI). Erm, banyak juga buku GI yang saya baca kebelakangan ini. Saya membaca beberapa testimonial yang positif di dalam FB tentang buku ini, kerana itulah saya mahu membacanya.

Sumber Gambar : Sini

Buku ini ditulis dengan gaya penceritaan yang baik sekali. Penulis menyusun atur setiap plot cerita dengan kemas, tidak kelihatan terlalu membebel dan tidak terlalu menonjolkan dirinya sebagai hero yang selalu menyelesaikan masalah. Secara keseluruhan, ada 4 kisah lucu yang mahu dikongsikan penulis sepanjang karier beliau sebagai seorang majistret yang berkidmat di Kelantan. Buku ini memang penuh dengan kelucuan. Kelucuan di sini bukanlah bermaksud lucu sehingga anda ketawa berguling-guling. Cukup sekadar menggelikan hati dan membuat saya tersenyum.

Ini buku yang bagus jikalau anda mahu memahami suasana pekerjaan sebagai seorang majistret. Contohnya bagaimana beliau mengendalikan sebuah kes penyeludupan 3 kampit beras Siam oleh seorang makcik penjual nasi dagang. Penulis bercerita sehingga saya sebagai pembaca boleh menggambarkan prosedur perbicaraan yang melibatkan jurubahasa dan bagaimana majistret menimbang pelbagai situasi sebelum menjatuhkan hukuman. Dan melalui buku ini, saya baru tahu ada istilah penjara sehari...Tambah unik lagi, buku ini banyak bercerita tentang suasana hidup di Kelantan dan penulis tidak lokek pula berkongsi bahasa-bahasa baru yang dipelajarinya. Sedikit sebanyak, elemen sebeginilah yang menambahkan senyuman ketika membaca.

Bukan itu sahaja, saya juga mendapat gambaran jelas tentang prosedur sebatan kepada pesalah. Di dalam buku ini, penulis menceritakan pengalamannya melihat 3 orang lelaki (berlainan bangsa) yang melakukan kesalahan rogol dan disebat sebanyak 6 kali sebatan. Saya pula berfikir, ini baru sebatan di dunia belum lagi di akhirat. Pasti berganda-ganda kesakitannya. Tetapi bukan itu yang mendominasi pemikiran saya. Saya lebih banyak berfikir tentang keadaan mereka yang masuk ke dalam ruang sebatan yang dalam keadaan memalukan. Sungguh, saya sedih pada bahagian ini.  Saya mula membaca pada pukul 12 tengahari dan selesai pada pukul 4 petang.

 
Sumber Gambar : Sini
Ahad. Aktiviti rutin saya agak padat pada hari ini. Maka aktiviti membaca pun on-off. Saya memilih buku Yang Pelik Lagi Hairan karya Sahrulazmi Sidek, terbitan KarnaDya dan berketebalan sebanyak 210 halaman. Seingat saya buku ini dibeli 3-4 tahun yang lepas. Sampai naik kuning warna kulit bukunya baru dibaca. Selesai dibaca pada pukul 5 petang. Hehe.

Buku ini bagus dari segi isi kandungan. Ada 33 bab yang ditulis pendek-pendek. Semuanya mengajak pembaca untuk banyak bermuhasabah tentang kehidupan ini yang memerlukan pelbagai rasa; manis, masam dan pahit. Disajikan pembaca dengan pelbagai analogi dan selepas itu disuruh kita berfikir tentang modal kehidupan dan keadaaan jiwa. Ditanya kita tentang definisi kebahagiaan dan diluaskan makna itu, biar jangan sempit kepada aspek material dan fizikal sahaja . Diberitahu kita tentang sikap manusia yang keliru dan ditunjukkan cara yang betul. Dibentangkan kepada kita tentang bekalan hidup dan dikisahkan pula kepada kita akan neraka dan syurga.

Sedikit oleh-oleh daripada buku yang boleh difikir-fikirkan :

Hidup jangan suka bertangguh-tangguh kerana banyak perkara dalam hidup yang berlaku tiba-tiba. (Halaman 86)

Gaya Hidup Kita : (Generasi Tok Wan) Kahwin > Dapat Anak > Anak pergi sekolah > (Generasi Anak) > Kerja > Beli Motor/Kereta/Rumah > Kahwin > Dapat Anak > (Generasi Cucu) Suruh pergi sekolah... Kalau kita hidup, nawaitu kita hendak sekolah tinggi, masuk universiti, kerja bergaji besar, boleh beli kenderaan dan rumah mewah. Inilah cita-cita ayah pada kita, cita-cita tok wan kita, cita-cita kita, kemudian ia jadi cita-cita pada anak kita, cita-cita semua. Pi mai pi mai tang tu juga. (Halaman 178-179)

Manusia jarang lupa memberi makan perutnya tetapi ramai manusia yang lupa hendak memberi makan mindanya (Halaman 182)

Aduss! Membaca buku ini membuatkan saya bertanya tentang persiapan saya ke kubur. Sesungguhnya, di dalam syurga semua percuma, namun untuk ke sana bukan percuma. Aduss. Longlai lagi. Cukupkah bekalan?

Dan Allah tidak akan menunda (kematian) seseorang apabila waktu kematiannya telah datang. Dan Allah Maha teliti terhadap apa yang kamu kerjakan. (Al-Munafiqun, 11)


4 komen:

Fazreen Misbae said...

wah..seronoknye jd awk..sy ni pn gila buku tapi keje skrg ni buat xde mse nak membaca..hatta sblm tidur pun..dpt habiskan Anthem pn sbb curi masa keje..hehe..

btw, thanks sudi drop comment di blog saya..dah lama rasanya takde org komen..dunia blog seakan sepi skrg ni.. ;)

Welma La'anda said...

Fazreen,
:) Saya doakan kamu semiga diberi masa lapang yang banyak untuk membaca. Peace.

WZWY said...

Setiap kali keluar rumah saya akan pastikan sebuah buku akan menemani saya sebagaimana telefon bimbit yang menjadi keperluan ramai orang.

Semoga Allah rahmati Welma La'anda. Salam Ramadhan.

Welma La'anda said...

WZWY,
Terima kasih untuk doanya.