Wednesday, October 23, 2013

Toto Chan, Biografi & Katak Oren

Semalam, keinginan sangat tinggi untuk mengemaskini blog. Balik dari kerja, terus menulis. Saya janji dengan diri sendiri akan mengemaskini blog setiap 2 minggu. Tiba-tiba pada pukul 10 malam, terfikir, "Kenapa aku rasa hambar semacam perasaan ni?". Terus berhenti menulis. Masuk tidur. Haha. Prinsip saya senang sahaja. Jikalau menulis tanpa ada semangat dan kejujuran yang mengiringinya, baik jangan menulis. Buang masa sahaja menipu diri sendiri.

Hari ini pula, macam ada rasa ikhlas dan jujur sedikit perasaan itu  (poyo. Haha)- Yey! Masa untuk bercerita 3 buah buku yang baru selesai dibaca pada hujung minggu baru-baru ini.


Toto-Chan, The Little Girl at the Window



Percaya atau tidak, sistem pendidikan pada hari ini hanya akan menghasilkan manusia yang kaku dengan kehidupannya. Baik dari segi intelektual, prinsip, personaliti ataupun sikap. Malah, suatu masa nanti, kemungkinan kita akan menyaksikan banyak manusia yang takut berjuang untuk dirinya sendiri., apatah lagi untuk orang lain. Namun begitu, dunia tetap menyaksikan ada sahaja manusia hebat yang mempunyai kesedaran untuk berjuang dan mencipta sistem pendidikan yang ideal dan lebih manusiawi. Antaranya ialah Sosaku Kobayashi (Mr. Kobayashi), pengasas Tomoe Gakuen. Kisah beliau diceritakan dan diabadikan oleh anak muridnya, Toto Chan di dalam buku kecil berwarna putih ini.

Tomoe Gakuen bukanlah sekolah yang biasa-biasa. Ia dibina dengan menggunakan duit sendiri oleh pengasasnya. Metod pengajarannya lain dari yang lain. Ada gabungan muzik dan unsur alam. Bilik darjah  sekolah ini terbina dari badan keretapi. Pelajar bebas duduk di kerusi mana yang mereka suka dan pada bila-bila masa. Sekolah mengkhaskan lantai dewan sebagai papan untuk mereka menconteng sesuka hati dengan kapur. Kelas dimulakan dengan mata pelajaran yang disukai pelajar - ada pelajar yang  suka  penulisan, maka dia akan mengarang. Ada pelajar yang suka mata pelajaran fizik, dia pula akan sibuk dengan aktiviti eksperimennya. Metod pengajaran sebegini membantu guru memerhati minat seseorang pelajar itu pada peringkat awal, kerana minat melambangkan karakter dan cara kanak-kanak itu berfikir. Justeru itu apabila mereka mendapat bilik perpustakaan baru ( yang merupakan sebuah kereta), pelajar yang sibuk membaca langsung tidak terganggu jikalau ada yang menyanyi sambil melukis di dalam perpustakaan. (Haha. Kekadang ada buku yang boleh menyebabkan kita melukis sambil menyanyi).

Buku kecil, sebanyak 228 halaman ini, mengandungi 61 kisah Toto Chan atau Tetsuko Kuronayagi seputar sekolah kesayangannya ini. Beliau sedaya upaya mahu menggambarkan keperibadian Sosaku Kobayashi dan kaedah pengajaran di Tomoe. Beliau seolah-olah tidak mahu terlepas sedikit pun memorinya di sini. Justeru itu ada babak-babak di dewan makan yang unik, di mana sekolah lain tidak akan memiliki suasana sebegitu. Setiap mereka dikehendaki membawa  bekalan makanan dengan memenuhi kriteria yang disebut oleh Mr. Kobayashi sebagai something from the ocean, something from the hills. Kisah mereka dengan Cikgu Petani di mana mereka bukan sahaja boleh belajar bertani terus dan langsung dari pakar tetapi secara tidak langsung sekolah membantu mereka membina high esteem terhadap petani. Tidak terlepas juga kisah reben rambutnya yang menyebabkan Mr. Kobayashi terpaksa mencari keliling bandar reben serupa itu gara-gara kasihankan seorang pelajar perempuannya yang menginginkan reben yang sama. Ini belum masuk lagi cerita Mr. Kobayashi mendengar cerita Toto Chan selama 4 jam tanpa menguap sehinggakan Toto Chan kering idea dan tidak tahu topik apa lagi yang mahu dia ceritakan. Kata-kata positif, You're really good girl yang sering diucapkan tanpa jemu oleh Mr. Kobayashi rupa-rupanya meninggalkan tanda dan bekas yang tidak boleh hilang selama-lamanya di dalam diri Toto Chan (walaupun pada masa itu, memang boleh tahan juga nakalnya sehingga dibuang sekolah lama. Haha)

Mr. Kobayashi  percaya setiap kanak-kanak lahir dengan fitrah yang baik (good nature) di mana ia akan mudah dirosakkan oleh suasana dan pengaruh orang dewasa. Cita-citanya  ialah untuk mencari dan membina fitrah yang baik itu supaya  kanak-kanak tersebut akan membesar dengan memiliki jati diri. Don't cramp their ambition. Their dreams are bigger than yours.  Begitu kata-kata Sosaku Kobayashi, pengasas Tomoe yang menerapkan pengajaran Eurythmics untuk membina dan mendidik sikap pelajar. Metod pengajaran beliau, tidak terlalu menumpu pembinaan kepandaian kognitif pada peringkat awal kanak-kanak seperti yang kita lakukkan pada hari ini. Kita berlumba-lumba mencari jalan bagaimana anak-anak kita boleh cepat membaca dan mengira sejak keluar dari perut ibu. Sosaku Kobayashi lebih banyak memfokuskan pembinaan karakter. Beliau lebih memahami peribahasa melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Sekolah ini akhirnya musnah akibat rentetan perang dunia kedua pada tahun 1945.

Akan ada lagi orang-orang yang seperti Mr. Kobayashi. Orang yang cintakan dunia pendidikan kanak-kanak. Salah seorangnya saya . Senyum meleret. Doakan.


Biografi Inspirasi Prof. Dr. Muhaya



Saya juga sudah selesai membaca Biografi Inspirasi Prof Dr. Muhaya -Sejernih Sinar Matamu yang ditulis oleh Rozninah Abd. Azib. Biografi ini dilahirkan dengan tujuan untuk berkongsi cerita dan pengalaman kehidupan Prof. Muhaya sebagai seorang yang berusia 50an yang pernah membuat kesilapan dan sentiasa memulakan langkah yang baik dalam kehidupan. Begitu kata beliau. Setiap pengisian di dalam biografi ini tidak terlepas daripada elemen Reset Minda yang dipelopori oleh Prof. sendiri. Dimasukkan konsep dan mesej ini pada setiap penceritaan bermula dengan kehidupan beliau ketika kecil , zaman remajanya yang diuji dengan keretakan keluarga, zaman kerjayanya sebagai doktor pelatih yang sangat memenatkan, perjuangannya menjadi doktor pakar sehingga memiliki jawatan professor, sebagai ibu, isteri, menantu  mertua, hubungan dengan staf dan dimasukkan juga di bab-bab akhir sedikit cerita tentang wawasan beliau.

Buku ini bukan sekadar  membawa kita mengenali Prof. Muhaya dengan lebih dekat tetapi  juga membantu kita melihat konsep Reset Minda dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Nama pun manusia. Kekadang apabila kita melihat orang berbuat kebaikan, kita secara tidak langsung turut termotivasi sama. Bayangkan jikalau dimasukkan elemen-elemen Reset Minda di dalam setiap penceritaan- Dunia dalaman, mempengaruhi dunia luaran. Apa yang kita ada, itu yang kita beri dan itu yang kita dapat. Jikalau kita memiliki sikap positif, sikap positif itulah yang kita akan beri kepada orang lain dan kita akan dapat pulangan positif juga.Ubah cara kita memandang. Fokus hanya pada yang positif. Padamkan yang negatif. - secara tidak langsung, kita akan secara automatik mendapat cas positif yang berganda-ganda banyaknya. Justeru itu, apabila habis membaca buku ini, pastinya ia tidak akan menambahkan kekaguman  kita kepada Prof. (kerana kekaguman hanya untuk Allah), tetapi  buku ini boleh membantu kita untuk berkejar-kejaran membina empayar kebaikan di akhirat nanti.

Buku ini menyentuh banyak perkara. Pastinya, Prof. banyak bercerita tentang kerjaya beliau sebagai doktor. Pelbagai  peristiwa yang pernah dialami beliau- kisah seorang pesakitnya yang mendoakan beliau dan doa itu makbul pula serta kisah keajaiban beliau melihat sel mata yang berkembang biak dengan cepat apabila dalam keadaan berzikir. Tidak lupa juga, pelbagai cerita ketika menjadi houseman di mana beliau banyak membantu pesakit dengan menggunakan duit emaknya. Menurut Prof., ketika beliau   baru menjadi houseman, beliau hanya seorang doktor yang merawat pesakit atas dasar tanggungjawab semata-mata. Tetapi apabila beliau mula stabil (keluarga, kerjaya dll)  beliau mula melihat kerjayanya bukan sekadar tanggungjawab tetapi perlu dilaksanakan dengan simpati dan empati. Rawatan bukan sekadar merawat fizikal  tetapi juga emosi.

Biografi ini juga  banyak memaparkan tulang belakang Prof. iaitu suami beliau sendiri., Dr. Azmi .Walaupun, suami Prof. kelihatan banyak di belakang tabir kejayaan isterinya, namun inilah orang penting yang paling banyak menyokong, mempengaruhi dan mengubah Prof. sehingga menjadi seperti sekarang. Kejayaan setiap pasangan bukan diukur dengan kejayaan material dan kedudukannnya di mata masyarakat, tetapi sejauh mana mereka saling lengkap-melengkapi untuk  membina keluarga yang diredhai Allah.

Satu lagi doktor yang saya nanti-nantikan buku biografi beliau  (yang bukan kompilasi dengan tokoh-tokoh lain) iaitu Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood. Tokoh wanita yang jikalau saya ternampak beliau di kaca tv atau  akhbar, saya automatik akan memberi perhatian. Semoga ada manusia yang berjiwa besar mahu menulis kisah beliau. Sangat rugi jikalau tiada usaha membukukan kisah wanita ini. Doakan.


The Orange Frog



Ini buku ketiga yang selesai dibaca. Syabas Welma! Nampaknya tahap kelajuan membaca kamu masih belum tergolong perlahan  sama level seperti  Three-toed sloth atau Giant Galapagos Tortoise. Haha.

The Orange Frog  tulisan Shawn Achor. Nipis sahaja, 93 halaman. Buku ini merupakan pre-reading untuk bengkel Leading Postive Performance. Diolah dalam bentuk metafora sebelum melangkah ke isi-isi sebenar.

Buku ini mengisahkan seekor katak, Spark, yang kulitnya sedikit demi sedikit bertukar menjadi warna oren setiap kali dia berfikir positif . Warna yang menarik perhatian  inilah yang menjadi ancaman kepada katak hijau yang lain sehingga mereka menjauhkan diri darinya. Mereka bimbang Heron (pemangsa) akan lebih mudah mengesani mereka.Sudah menjadi sistem kebiasaan di Island ( nama tempat katak-katak itu tinggal), mereka dikehendaki memilih kolam kediaman sebaik sukses menjadi katak.Ada 4 kolam yang mempunyai kriteria sikap penduduk katak yang berbeza ; Kolam  1 ( Prinsip Hidup : What I DO DOES matter/What I THINK DOESN'T matter), Kolam 2 ( Prinsip Hidup : What I THINK DOES matter/What I DO DOESN'T matter), Kolam 3 (Prinsip Hidup : NOTHING matters) dan Kolam 4 (Kolam yang cantik dan tiada penduduk katak kerana menjadi sarang Heron). 

Buku ini membawa tema - sikap positif boleh merebak dan mendominasi! Menjadi positif akan membantu kita lebih efektif dan mudah beradaptasi dengan suasana /ancaman yang baru - dalam konteks buku ini ialah - perubahan ekonomi dunia. Penjelasan lanjut untuk konsep positif  dijelaskan dengan lebih terperinci melalui buku beliau yang satu lagi iaitu The Happiness Advantage. Seram mahu membaca buku warna merah itu sebab saiz tulisannya yang 'mencucuk-cucuk' mata. Jikalau berkesempatan boleh menghadiri bengkel, insyaAllah boleh membantu pemahaman yang lebih baik.


Sekarang.
Hampir pukul 2 pagi.
Ya Allah. Terima kasih kerana menjumpakan saya dengan buku-buku yang best!

7 komen:

AdH said...

Welma, beli di mana buku pertama itu? Sudah lama saya cari. Huhu

Welma La'anda said...

Aina,
Saya beli kat Kinokuniya. Berbaloi sangat beli buku ni. Cubalah baca. Sangat memyentuh hati dan berkobar-kobar mahu menjadi guru yang baik.

Anonymous said...

Kisah Toto Chan ni, mengingatkan saya pada novel Lasykar Pelangi.

Sayanglah bahasa inggeris saya xberapa bagus, kalau tidak dah lama saya cari novel Toto Chan ni. Tapi teringin jugak nak cari, tak kisahlah kalau ambil masa untuk faham.

....yaz

Welma La'anda said...

Yaz,
Ada. Ada. Dalam bahasa indonesia. Kamu google dan "taip toto chan pdf indonesia". Dari situ boleh download free. Saya ada satu di rumah ini. Tetapi tidak pernah baca untuk edisi indonesia. Lagipun, edisi asal untuk buku ini ialah dalam bahasa jepun. Bahasa inggeris pun hanya terjemahan sahaja. Namun begitu, peterjemah bahasa inggeris ini ada ilmu muzik, jadi "aura" itu tetap tidak lari dari tulisan asal.
Kalau berminat, saya boleh hantar pdf ini ke email kamu :)

Welma La'anda said...
This comment has been removed by the author.
Anonymous said...

Fuh yoooo...!! buku yang ke-3 sangat best menarik hati saya..kak welma boleh cerita buku seterusnya..saya ternanti pulak kesudahan cerita tu...

AdH said...

Jazakallah khaira Welma. Saya dah download. Tapi nak beli versi Bahasa Inggerislah nanti. ^^