Tuesday, January 07, 2014

Reviu 7 Tahun

Edisi Kemaskini 1/7/14, 8.56PM

Sejak kecil lagi, hobi saya memang membaca. Pada masa itu ( 1990 - 1999) tidak banyak pilihan buku seperti sekarang. Tambahan pula saya menetap di Bintulu, Sarawak. Walaupun ia dikira pekan, namun stok bukunya tidaklah sehebat seperti di Kuching atau Miri. Saya seperti orang lain, yang sezaman dengan saya, tidak akan terlepas dari membaca buku-buku siri penyiasat tulisan Enid Blyton. Murah sahaja. Sebuah buku baru RM2.90. Selain itu, saya cukup gemar membaca buku-buku sejarah dan hikayat raja-raja Melayu. Saya tidak pasti ada tidak lagi buku-buku seperti ini pada era sekarang. Tidak dilupakan, saya juga sangat taasub dengan ensiklopedia. 

Genre bacaan saya mula bertukar arah ke bahan-bahan berbentuk dakwah dan tarbiyyah bermula 16 tahun. Semestinya, saya banyak membaca tentang Hassan Al-Banna, Syed Qutb , buku-buku seerah dan seangkatan dengannya.

Saya mula berjinak-jinak dengan novel terbitan Alaf 21 ketika melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma. Usia lebih kurang 19-20 tahun. Saya ingat lagi, novel pertama yang saya baca ialah Ombak Rindu tulisan Fauziah Ashaari. Namun, saya tidaklah sampai ke tahap pembaca tegar sehingga sanggup berhabisan duit membeli novel. Itu pun bukan semua tema cerita yang menepati citarasa. Saya masih sedikit selektif.


Saya mula bekerja pada usia 21 tahun. Tahun pertama bekerja memang agak memenatkan mental dan emosi. Tidak banyak masa diluangkan untuk membaca. Pada ketika itu, membaca hanyalah aktiviti yang akan dibuat ketika mempunyai masa lapang sahaja. Sehinggalah saya diperkenalkan dengan novel Ayat-Ayat Cinta tulisan Habiburrahman El-Shirazy (kalau tidak silap). Saya tidak sangat menumpu kepada cerita cinta di sebalik novel itu tetapi saya sangat suka (diulangi : sangat suka) lifestyle Fahri seperti yang digambarkan- kuat membaca, menuntut ilmu dan menelaah. Sejak hari itu ( kalau boleh saya katakan sedemikian), saya menjadi seorang pencandu buku. Wah. Ayat! Sesibuk mana pun saya akan cuba luangkan sedikit masa sebelum tidur untuk membaca beberapa halaman. Seingat saya buku yang awal-awal menjadi terapi sebelum tidur ialah karya-karya Faisal Tehrani seperti Advencer Si Peniup Ney dan Kombat 1511. Mahu diberitahu juga, dahulu, saya seorang pembaca berdisiplin. Saya hanya akan membeli buku baharu setelah buku yang sedang dibaca selesai dibaca.

2007


Ini adalah tahun saya mula mengenali PTS. PTS agak terkenal dari segi pemasaran  (dengan rekaan muka hadapan buku yang cantik-cantik)  dan idea novel Bahasa Melayu Tinggi (BMT).  Mereka memperkenalkan novel Jibunsyi pada ketika itu dan saya adalah merupakan salah seorang pembaca novel-novel sedemikian. Saya mula mengenali penulis Isa Kamari (selama ini hanya mengenali Faisal Tehrani sahaja) dengan buku fiskyen sejarah beliau.Ya, itulah kali pertama saya mengetahui genre buku sebegini. Tidak ketinggalan, saya mula berjinak-jinak dengan karya Tere Liye. Novel pertama beliau yang saya baca ialah Hafalan Shalat Delisa. Diumumkan : Saya ialah pembaca tegar karya-karya Tere Liye. 

Memandangkan dahulu, saya kerap juga membaca novel-novel biasa, jadi apabila membaca novel keluaran PTS yang sinonim dengan BMT, saya mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan dengannya. Namun begitu, semakin lama 'bermesra-mesra' dengan BMT, saya semakin tidak boleh membaca novel yang ditulis bukan dengan BMT. Pelikkan.

Saya memang suka menulis. Dahulu saya memiliki jurnal peribadi. Apabila saya semakin aktif membaca, datang 'angin' mahu menulis hasil-hasil pembacaan. Ianya untuk tatapan secara peribadi sebenarnya. Tidak sangka ada penulis dan pegawai pemasaran buku datang menjenguk teratak ini. Saya bukan pengulas buku. Apa yang saya tulis di sini hanyalah lebih kepada poin-poin yang saya mahu ingati. Jadi selalu terjadi, saya sedikit over menulis perkongsian itu sehingga habis satu buku. Haha. Justeru itu, saya mula mengambil inisiatif pada penghujung 2013 untuk melihat semula hasil-hasil tulisan yang terdahulu. Ada yang over sedikit itu perlu disimpan dalam bentuk draft.


2008

Ini tahun kedua blog ini dilahirkan. Jikalau diperhatikan gambar-gambar di bawah, anda akan perasan bahawa saya memang betul-betul 'PTS centric'. Pada tahun ini, saya diperkenalkan dengan buku bersaiz poket tulisan AaGym, novel Jibunsyi, novel cinta Islami, novel sci-fi dan novel teen Islami (novel remaja dari Indonesia yang dialih bahasa). Saya juga sudah mula berjinak-jinak dengan karya Bahruddin Bekri. Ia dimulakan dengan repson positif Faizah (teman serumah saya) yang membaca Doa untuk Aku. Kami terguling-guling ketawa membaca novel ini.

Begitulah saya sehingga tahun-tahun yang seterusnya.Tetap seorang yang 'PTS centric'. Saya pula memang pengunjung tetap portal Univesitipts.com. Memang pantang ada buku baru yang diwar-warkan, insyaAllah saya akan membelinya. Pada tahun ini, saya bukan sahaja pembaca aktif buku-buku PTS tetapi juga pembeli yang agak 'rakus' sedikit berbelanja. Tidak ada sudah istilah -habis baca, baru beli. Kini motto saya - beli dulu, baca kemudian.





2009

Tahun ketiga. Saya masih 'PTS centric' tetapi sudah pandai mengintai penerbit lain. Kedai buku Gramedia pula baru sahaja dibuka di Seberang Jaya. Satu lagi kedai buku yang selalu berjaya menghabiskan duit saya. Bertambahlah koleksi buku bahasa Indonesia yang memang sudah sedia ada. Selama ini, saya akan mengunjungi Fajarilmu sahaja jikalau mahu membaca karya-karya Indonesia yang lebih banyak variasi.

Saya juga ada membuat sedikit reviu untuk beberapa penerbit buku pada tahun 2008-2009.Tiada bayaran, cuma mereka akan memberi saya buku secara percuma. Namun, saya terpaksa memberhentikan 'servis' ini kerana tekanan kerja + belajar. Lagipun, saya merasakan mood/perasaan saya sedikit terganggu dengan membaca buku-buku yang saya tidak gemari. 





2010

Tahun keempat. Pada tahun ini, kali pertama saya mengunjungi pesta buku di KL. Mujur kami tidak mati ditimbus buku untuk menggambarkan betapa banyaknya buku-buku dibeli dan mahu dibawa balik ke Kulim.

Saya membaca pelbagai genre dan judul. Ikut mood. Sekejap saya mahu membaca karya-karya unik yang ditulis oleh Isa Kamari dan Faisal Tehrani. Saya sebenarnya suka bahasa yang mereka gunakan. Rasa macam menjadi seorang yang terpelajar. Sekejap lagi saya mahu membaca buku berunsurkan motivasi dan travelog. Ada juga judul-judul yang menjurus permasalahan ummah dan cerita-ceriti dunia umat Islam. Saya juga sempat membaca karya best seller di Indonesia pada ketika itu, 5 Menara. Dari novel ini , nama Gontor mula mendapat perhatian saya.

Jikalau diperhatikan menerusi gambar di bawah, saya juga memiliki beberapa koleksi bahan bacaan untuk kanak-kanak dan remaja. Saya selalu membayangkan untuk memiliki sebuah perpustakaan yang memuatkan pelbagai buku-buku remaja dan kanak-kanak. Itulah tujuan utama kenapa saya memiliki koleksi sebegini. Saya pernah sekali cuba merealisasikan impian ini dengan menubuhkan perpustakaan mini di pejabat NGO yang saya sertai. Namun ia kelihatan kurang berjaya dan perlukan pembaikian lagi terutama dari segi sistem. Budak-budak semestinya sangat teruja dengan perpustakaan itu. Mereka sangat rajin meminjam dan membaca. Tetapi, buku pula semakin berkurang dan berselerak. 





2011

Sikit sahaja buku yang dibaca. Inilah tahun-tahun gelap untuk aktiviti membaca.Haha. Saya sibuk dengan jawatan baru sebagai penyelia yang mengkehendaki saya bekerja di dalam syif. Tidak lupa, pada tahun ini juga, saya berkahwin. Perubahan kehidupan akan sedikit sebanyak mencabar masa-masa lapang kita sebelum ini. Tapi tidak mengapa, kita akan belajar untuk menyesuaikannya dan terus maju ke hadapan. Yeah!


2012

Saya tidak pasti sejak bila saya mula berazam untuk membaca 50 buku setahun. Ini gara-gara terpengaruh dengan cabaran di Goodreads Malaysia. Namun saya tidak pernah mencapai misi itu kecuali pada tahun 2012. Saya siap mengambil cuti tahunan seminggu untuk merealisasikan misi ini. 

Tidak ada yang luar biasa jikalau dilihat koleksi buku di bawah. Campuran buku-buku dari PTS dan penerbit lain. Gabungan fiksyen dan  bukan fiksyen. Secara amnya, saya suka semua pilihan buku-buku di bawah. Saya seronok berkembara ke Ireland dengan Ustaz Hasrizal menerusi di Hamparan Shamrock, Nisah Haron dengan kembara buku beliau yang sangat mengujakan, Ustaz Zaharuddin dengan perjalanan menuntut ilmunya melalui Jangan Berhenti Berlari, Ummu Hani dengan perkongsian cita-cita menjadi penulis serta kisah inspirasi John Wood di dalam Leaving Microsoft to Change the World.

Saya seperti biasa memang tidak boleh lepas dengan buku remaja dan kanak-kanak seperti siri PELIT dan oh ya, saya sangat suka dengan buku conteng Fadhli Hamdan. Osem!! Saya sudah menjadi pengumpul tegar siri Jimi pula sekarang ini. Saya juga membaca novel remaja Siri Fiqah ( ada 2 siri) keluaran PTS dan saya sangat suka buku ini. Sehingga sekarang, pendapat peribadi saya, PTS masih mengungguli buku cerita kanak-kanak dan novel awal remaja dari segi kualiti penulisan. 







2013

Saya cuba sedaya updaya untuk mengawal judul/jenis buku yang dibaca. Saya mahu membanyakkan bacaan bukan fiksyen berbanding fiksyen. Jikalau fiksyen pun, saya hanya mahu memfokuskan membaca kesemua novel-novel Hlovate atau fiksyen sejarah sahaja. Ada juga drama-drama di televisyen yang merupakan adaptasi dari novel sedikit sebanyak mempengaruhi saya untuk membelinya. Setakat ini baru sebuah novel yang dibeli kerana terpengaruh. Saya bukanlah seorang penonton televisyen yang baik. Dalam seminggu mungkin ada dalam 2 jam saya menonton. Namun, kekadang ada juga masa-masanya saya terjerat. Saya pula jenis yang tidak sabar dan ingin mengetahui apa episod seterusnya. Jadi, cara terbaik daripada mengikat diri setiap 1 jam di hadapan tv setiap hari ialah membeli novel untuk drama tersebut.

Saya berhenti 'berkejar-kejaran' untuk mencapai 50 buku setahun di saat-saat akhir. Mengambil masa untuk refleksi kehidupan. Buku bukan hanya medium untuk kita mencari  dan menambah ilmu. Kadang-kadang ia juga mampu mencetuskan dan memberi inspirasi. Ada di antara buku-buku yang saya baca itu telah mempengaruhi saya melakukan sesuatu sehingga saya sanggup keluar dari zon selesa yang dinikmati selama ini. Perubahan itu menyebabkan sedikit sebanyak membuatkan saya berhenti sekejap membaca untuk berfikir.  Itulah alasan kenapa misi 50 buah buku setahun tidak tercapai.





2014

Pada tahun ini, saya insyaAllah akan berusia 30 tahun. Semestinya, saya mengharapkan satu kematangan dari segi pemilihan buku dan sikap dengan buku itu sendiri. Saya berharap pada usia sebegini, saya mampu mengamalkan perkara baik yang saya perolehi dari sesebuah buku. Besar juga harapan saya, semoga pada tahun ini saya bertukar dari pembaca menjadi penulis. Selalu terjadi, apabila kamu kerap membaca, tangan kamu juga akan mula 'menggatal' mahu menulis. Anggaplah saya sudah mencapai fasa itu.

7 komen:

airina said...

Wah! Saya suka yang para akhir sekali.
Moga impian menghasilkan karya akan terlaksana :))

InsyaAllah saya akan beli tanda sokongan! Yay!

Welma La'anda said...

Cik Puan Airina :)
Doakan. Tapi saya bercadang merahsiakan nama penulis. Haha. Kawan saya pernah tanya, kenapa nak rahsia. Lalu jawab saya, pertama, risau buku tak laku. Kedua, risau book reviewer kutuk buku saya.
Kawan saya kata, think positive. Mungkin buku jadi bestseller. Kalau kes macam ni, saya pun risau gak.

AdH said...

Welma! Seperti pernah kubaca alasan itu. Hehe..dalam Facebook, bukan? ^_^

Seperti biasa, catatan yang menyenangkan dan terperinci. Benarlah kamu ini seorang yang berprinsip dan berdisiplin. Semoga impian menjadi kenyataan ^_^

Anonymous said...

Salam akak, akak baca pelbagi jenis fesyen buku..saya harap akak bina fesyen buku yg best..Akak boleh kongsi buku dengan saya atau kawan-kawan lain tentang buku akak baca dengan "bina library online"..insha allah, jika tiada ada rintangan penulis buku tersebut.

Iskandar Syah Ismail said...

Salam Cikpuan,

Terima kasih kerana telah membaca buku Leaving Microsoft to Change the World. Sayalah penterjemahnya. Buku itu memberi inspirasi besar kepada saya bagi mengusahakan projek penubuhan perpustakaan di rumah anak yatim dan sekolah anak-anak miskin. Sehingga kini sudah ada 19 buah. Ia bermula dengan hanya sekotak buku.
Sekarang saya sedang mengusahakan projek perpustakaan yang ke-20.

Welma La'anda said...

Aina,
Tahun ini perlu pulun membaca . Eheh.

Tuan Iskandar,
Adakah Tuan memiliki blog yang mengandungi catatan pembinaan perpustakaan Tuan? Mungkin saya boleh mendapat kemaskini status melaluinya tentang projek tersebut. Mana tahu sedikit sebanyak boleh memberi inspirasi kepada saya juga.

iloveloaf ken said...

semoga berjaya!