Tuesday, August 25, 2015

Setelah Sebulan

Entri pada kali ini namanya, Setelah Sebulan. Ia cerita sebuah buku yang diperam setelah sebulan, baru selesai dibaca. Diusung ke sana ke sini. Dibaca sehelai dua setiap malam, kekadang buku yang membaca tuannya kerana terlelap tanpa disedari. Tetapi otak masih lagi menasihati, baca, baca .....

Alasan sibuk bukan sebaik-baik alasan bukan. Alhamdulillah, 'ala kulli hal, berjaya juga diselesaikan pembacaannya pada hari ini. Yay! Buku ke 30 untuk tahun ini yang berjaya dibaca. Ohh! Tidak habis-habis dengan misi 50 buku setahun itu ya.


Saya bukanlah pembaca setia tulisan Dr Maszlee walaupun saya memang suka mendengar beliau berbicara. Ada sesuatu yang segar dari segi pemikiran beliau yang boleh kita fikirkan dengan matang. Saya pula, seperti yang dikatakan tadi, hanya suka mendengar buah fikiran beliau, bukan membaca penulisannya. Maknanya, saya tidak begitu ada begitu beliau di rumah ini melainkan Kembara di Beirut. Ini buku kedua yang dibaca, kebetulan siri travelog juga, yang mengisahkan kisah selama 3 tahun 8 bulan beliau di Durham, UK. 

Setiap penulis travelog atau mana-mana penulis yang menulis kisah perjalanan mereka di sesuatu tempat, sebenarnya, jikalau anda perasan, mereka sangat cenderung kepada sesuatu, bergantung kepada bidang mereka. Jikalau mereka seorang pencinta sejarah, maka mereka cenderung melihat peninggalan sejarah dan mencari ibrah. Begitulah setiap penulis travelog, ada bidang yang mereka cenderung, dan penulisan mereka akan terarah ke situ. Itu yang uniknya, membaca buku travelog. Kita dibawa untuk memgenal cara berfikir seorang penulis dalam keadaan santai.

Dr. Maszlee, melalui buku ini, walaupun ia hanyalah kisah dan cerita sambung  belajar di Durham, tetapi penulis menulis bukan semata-mata itu. Buku ini mengandungi, secara tidak kita sedari,  sebuah pandangan yang segar, yang cuba membawa pembaca melihat dalam skop luas tentang akauntabiliti sesebuah negara. Sekaligus cuba mendidik pembaca untuk keluar dari kepompong pemikiran yang sempit, lalu melihat Islam ini sebagai sebuah negara yang rahmatan lil alamin. Menarik bukan, cerita santai tetapi sambil itu, mampu pula membawa pembaca mengenali beberapa sistem dan contoh luar negara yang mengajar kita tentang ketelusan.

Buku ini, sebelum ini, bukan kerana isi kandungannya yang menarik saya untuk membelinya. Faktor tarikan utamanya ialah monolog Ali Shariati di belakang muka buku, yang bertulis sebegini :

"What I want to say is......
Poverty goes everywhere and is ubiquitous......
Poverty is not being hunger, not being naked.....
...............
Poverty is dust which sits on unsold books in bookstore......
-----------
-----------
-----------
Poverty is not a night you spend without food...
Poverty is a day you spend without thinking..."

Boleh tak keruan saya dibuatnya oleh monolog itu, maka buku ini perlu cepat-cepat dibeli sebelum habis stok.Ngee.

Ada satu perkara lagi yang menarik sepanjang pembacaan. Setiap pembaca juga memiliki minat tersendiri dan cenderung mencari sesuatu tiap kali dia membaca. Saya pun begitu. Memandangkan saya mudah tertarik dengan sub topik yang bercerita tentang inspirasi menuntut ilmu dan maklumat buku, maka saya jumpa juga poin-poin itu di dalam buku ini. Satu tentang kenapa Dr Maszlee menyambung pengajian ke pringkat Phd. Keduanya, aduhai, tentang buku Alchemist. Selalu tak tertarik pun, tetapi, dari gaya Dr Maszlee mencoretkan sedikit tentang Alchemist di dalam buku ini (kena pula saya membaca bahagian ini di dalam LRT), aura itu barangkali sekaligus menghasut saya dengan jayanya. Oh, Alchemist......

Baiklah. Sekarang mahu membaca buku apa pula. Ehmm...tetapi sebelum itu, wahai masa, tolonglah berbaik dengan saya.

0 komen: