Sunday, September 05, 2010

3 Buah Buku Nasihat

3 buah buku ini dibaca sebaik kembali dari Haramain. Tambah lagi satu buku Lelaki Berkasut Merah untuk masukan yang berasingan. Saya masih dalam mood Haramain. Saya dapat rasakan hati saya sangat lembut menerima kebaikan pada ketika ini. Oleh kerana itu, setiap buku yang dibaca sentiasa berjaya menasihati saya dan saya menerima nasihat itu dengan positif. Dalam masa yang sama, saya juga risau adakah saya akan konsisten sebegini dalam beberapa bulan lagi ataupun beberapa minggu.

Bertransformasi menjadi kanak-kanak sebentar. Karya Aliff Danial ini selalu mendapat pujian daripada Puan Ainon. Mungkin kerana itu juga saya bertambah minat dan kecintaan untuk memiliki karya beliau. Saya tidak menyangka pula buku ini bersaiz besar. Saya ingatkan ia seperti novel kanak-kanak atau remaja yang biasa dibaca. Rupa-rupanya ia merupakan sebuah buku cerita illustrasi. Cerita ditulis dengan huruf yang sederhana besar dan pendek-pendek. Selepas itu ada pula banyak gambar. Memang sesuai untuk kanak-kanak dan ibu-bapa yang mahu membacakan buku untuk anak-anak mereka.

Saya ingat lagi ketika saya baru memasuki Darjah 1. Saya belum pandai membaca lagi pada ketika itu. Tetapi saya sangat begitu teruja apabila berjumpa dengan buku, mengulangkaji pelajaran atau pergi sekolah. Pada suatu hari kami sekelas dibawa memasuki perpustakaan sekolah. Saya mencapai sebuah buku illustrasi tentang haiwan jikalau tidak silap. Saya mahu membaca tetapi saya tidak tahu. Pada masa itu saya mahu kelihatan seperti sedang membaca buku. Jadi apa yang saya buat ialah mereka-reka cerita berdasarkan gambar yang saya nampak. Lucu pula.

Saya seronok membaca buku-buku yang bergambar. Bertambah ceria lagi jikalau buku itu mengandungi pelbagai gambar yang memberangsangkan dengan warna-warna yang memikat. Aduh seronoknya! Seolah-olah warna dan gambar itu telah memberi semangat kepada saya. Saya yakin perasaan ini akan bertambah positif lagi untuk kanak-kanak. Lagipun saya tidak rasa kanak-kanak begitu memerhatikan tulisan dan huruf. Mereka lebih mudah tertarik kepada gambar. Secara tidak langsung, ini akan membantu mereka untuk berfikir atau mungkin mereka-reka cerita berdasarkan gambar yang dilihat (seperti apa yang saya lakukan suatu ketika dahulu). Ibu-bapa pula sentiasa ada modal atau tidak kering idea untuk memancing mood anak-anak membaca dengan merujuk kepada gambar. Tambahan lagi, buku ini ada menyediakan beberapa permainan ringkas. Inilah antara kelebihan buku illustrasi.

Putera Fariri dan Buku Resipi Ajaib mengisahkan seorang putera raja dari Merilin yang berminat dalam dunia masak-memasak. Dia mahu menjadi Raja Chef. Hasratnya itu tercapai apabila ayah dan bondanya menyuruh Fariri keluar ke kota Merilin untuk belajar sesuatu tanpa mendedahkan identiti dirinya sebenar. Jadi kesempatan itu digunakan Fariri untuk bekerja di sebuah restoran Mari-Mari-La. Tetapi, oleh kerana tuan punya kedai itu mahu menguji pekerjanya sebelum diterima menjadi chef sebenar, maka Fariri diberi tugas yang bukan-bukan seperti mencuci pinggan mangkuk dan mengemas dapur. Alkisahnya buku ini mengisahkan perjuangan Fariri untuk mencapai impiannya sebagai Raja Chef. Teman setia Fariri dalam perjuangan ini ialah seekor tupai yang bernama Paipai dan sebuah buku resipi ajaib.

Sepanjang pembacaan saya suka pada ayat ini :

"Awak tidak penat?" tanya Paipai.
"Tidak. Saya tidak penat, " jawab Putera Fariri.
"Tetapi mengapa?" tanya Paipai
"Sebab saya ada awak dan impian, " jawab Putera Fariri (halaman 44)

Dan juga yang ini :

Bondanya, Permaisuri Maisarah selalu berpesan. Katanya, orang yang ada cita-cita tidak boleh banyak mengeluh. Semua kerja perlu dibuat dengan jujur dan penuh kasih sayang. (halaman 46)

Saya mengulang-ulang pembacaan untuk ayat ini beberapa kali. Ya betul seperti apa yang ditulis itu. Ia memberi peringatan kepada saya. Tidak lupa nasihat penulis di akhir halaman untuk adik-adik tetapi saya pula yang terkesan dengan pesanan itu iaitu tentang sikap kita untuk mencapai kejayaan yang besar. Sikap itu ialah penyayang, mudah tersenyum, tidak mudah putus asa dan rajin berusaha. Terima kasih buku!

Buku kedua yang saya selesaikan ialah Transformasi Ramadan. Buku kedua Ustaz Hasrizal yang saya baca setelah Secangkir Teh Pengubat Letih. Dibaca selang seli dengan Ma Yan. Ini merupakan kompilasi artikel berkenaan dengan Ramadan. Ringkas-ringkas sahaja. Cukuplah untuk memberi peringatan kepada kita tentang Ramadan. Ada artikel itu boleh dibaca di blog penulis sendiri.

Saya tertarik kepada artikel yang menyentuh tentang kalimah minal 'aideen wal faaizeen yang membawa pengertian kembali kepada fitrah dan inilah golongan yang berjaya. Ia membawa kepada muhasabah yang panjang untuk meneliti diri sendiri adakah sudah berjaya pada Ramadan ini. Adakah Ramadan ini hanya berjaya dari sudut menahan dahaga , lapar dan pelaksaaan tarawih sahaja tetapi tiada pencapaian dari sudut ketaqwaan . Setiap diri mampu menjawabnya dengan jujur.

Ramadan merupakan bulan perjuangan membersihkan diri agar semakin tunduk kepada penciptaNya. Bertuahlah kita jikalau kita termasuk dalam golongan orang-orang yang menghargai Ramadan. Ada 3-4 hari lagi sebelum Syawal. Masih sempat kita bekerja keras. Muhasabah balik dengan rasa ikhlas bertuhan. Selepas ini kita berjuang pula untuk konsisten selepas Ramadan. Berpenat-penatlah di dunia kerana rehat kita di akhirat.

Orang-orang soleh dahulu kala, sentiasa berdoa dalam 6 bulan selepas Ramadan agar diterima amalan puasa mereka pada bulan Ramadan itu dan mereka berdoa lagi 6 bulan sebelum Ramadan akan datang agar dipertemukan dengan Ramadan lagi. Semoga kita mengakhiri Ramadan ini dengan kejayaan dan bertemu semula denganya pada tahun hadapan untuk mengulangi kejayaan itu sekali lagi.

Ini ialah antara buku yang paling sukar sekali saya selesaikan. Sehingga saya mengamalkan bacaan pantas dan mungkin ada beberapa halaman yang tidak dibaca. Saya memang bermasalah apabila membaca buku yang sedih. Tambahan lagi jikalau ia melibatkan orang Islam dan saya tahu itu adalah kisah benar. Maka bertambah-tambahlah kekusutan jiwa ketika membacanya.

Ma Yan mengisahkan seorang remaja (lahir 1988 - 4 tahun lebih muda dari saya) yang berjuang untuk bersekolah. Keluarga sebelah ayahnya merupakan veteran perang. Namun begitu mereka memang mewarisi kemiskinan sejak sekian lama. Inilah yang membuatkan ibu-bapa Ma Yan tetap perlu bekerja keras membiayai persekolahan anak-anak mereka kerana mereka percaya hanya dengan pendidikan sahaja yang mampu mengubah kemiskinan itu. Mereka tidak mahu anak-anak mereka mewarisi kemiskinan mereka seperti mana mereka juga telah mewarisi kemiskinan ibu ayah mereka turun-temurun.

Pekerjaan utama yang dibuat ibu-bapa Ma Yan ialah bertani. Tetapi oleh kerana cuaca panas memanjang yang tidak menjamin kesuburan tanah memaksa mereka mencari pekerjaan lain di Mongolia. Ayahnya mencari pekerjaan sebagai buruh di tapak pembinaan yang boleh mendapat gaji beratus-ratus yuan. Tetapi, itu belum tentu mereka akan mendapat gaji kerana selalunya mereka akan ditipu oleh mandur tapak pembinaan itu. Begitu juga ibu Ma Yan, tangannya sampai bengkak-bengkak kerana bekerja dan sedihnya di dalam masa yang sama dia juga berjuang dengan kesakitan perut yang dihidapinya. Sakit perut yang dihidapi itu terpaksa dilupakan hanya kerana tiada wang yang cukup untuk perubatan. Duit yang ada perlu digunakan untuk pembiayaan yuran sekolah.

Saya sehingga kini masih tidak boleh membayangkan kesusahan Ma Yan menahan kelaparan kerana mahu mengumpul duit membeli pen yang berharga hanya 2 yuan. Setiap minggu dia akan diberi ibunya 1 yuan. 1 yuan itu digunakan selama 5 hari untuk membeli sedikit sayur yang boleh memberi rasa sedikit kepada makanan tengaharinya. Dia tidak makan nasi untuk makan malam kerana duit tidak mencukupi. Ma Yan hanya memakan kuih kukus. Ada 5 keping kuih kukus. Jadi dia akan memakan 1 keping untuk setiap malam. Tetapi oleh kerana dia mahu membeli pen, jadi dia perlu menyimpan setiap 1 yuan yang diberi ibunya itu selama 2 minggu, baru cukup 2 yuan. Dalam tempoh 2 minggu itu, Ma Yan hanya memakan nasi sahaja tanpa lauk. Kadang-kadang dia selang-selikan dengan minum air supaya cepat kenyang. Malangnya masuk minggu kedua, yang sepatutnya dia akan mendapatkan 1 yuan lagi, ibu Ma Yan tidak ada duit. Jadi Ma Yan terpaksa meneruskan bertahan hanya memakan nasi kosong sahaja untuk 1 minggu sehinggakan dia rasa mual dan tidak mampu memakan nasi itu lagi. Dia masih lapar tetapi tidak dapat memasukkan nasi itu ke mulutnya. Malu saya dibuatnya kerana saya selalu membazir makanan.

Akhirnya Ma Yan berjaya membeli sebatang pen yang berharga 2 yuan itu. Pen itulah yang digunakannya menulis catatan hariannya - tentang cita-citanya dan harapannya yang mahu tetap bersekolah tetapi mungkin terpaksa dilupakan hanya kerana kemiskinan. Catatan itulah juga yang diberi ibu Ma Yan kepada sekumpulan pengembara dari Perancis yang disangkanya mencari kanak-kanak bijak. Puji-pujian kepada Allah yang sentiasa memerhatikan hambaNya. Pengembara( yang ada di antara mereka adalah wartawan) bukan sahaja membaca catatan itu, tetapi membantu Ma Yan dengan menubuhkan tabung kebajikan untuk membantu persekolahan Ma Yan. Sehingga kini, khabarnya Ma Yan sedang melanjutkan pelajaran di Perancis dan ibunya pula terlibat aktif membantu kanak-kanak yang senasib dengan Ma Yan. Boleh baca berita lanjut di sini.

Sekurang-kurangnya berita ini melapangkan saya. Sepanjang pembacaan saya kuat berimaginasi yang saya perlu ke China membantu Ma Yan. Emosional pula. Resah di hati tentang nasib minoriti muslim di sana. Agak mustahil saya terbang ke China bukan tetapi sekurang-kurangnya cerita Ma Yan ini menyedarkan saya yang begitu banyak orang Islam terbiar di seluruh dunia ini malah kehidupannya mungkin lebih sadis. Saya tidak tahu bagaimanakah cara untuk membantu tetapi mungkin saya patut memulakannya dengan doa. Maksud saya mereka tidak akan dilupakan di dalam setiap doa-doa saya, "Ya Allah kasihanilah saudara-saudaraku di seluruh dunia, walau di mana mereka berada, yang dikenali ataupun tidak, ampunilah mereka, dekatkanlah mereka kepadaMu, keluarkanlah mereka dari kesempitan dan makbulkanlah hajat mereka".


Wallahu alam

4 komen:

Rahimah said...

terima kasih...terima kasih sangat sangat..

Welma La'anda said...

Cik Puan Rahimah,
Boleh saya tahu kenapa ;)

Rahimah said...

sebab awak menulis hingga sampai ke hati saya :)

jangan jemu atau penat menulis yer

DAMAI SURIA said...

Blog ini berinformatif dgn pasal buku2. Teruskan. Slm 'Idilfitri. Maaf zahir & batin.