Thursday, November 10, 2011

2 Buah Buku

Dalam lebih kurang 3 minggu ini, Alhamdulillah dengan izin Allah, saya berjaya menyelesaikan pembacaan 'dengan penuh paksaan' untuk 3 buah buku ini. Ya, walaupun mengaku diri sebagai pembaca tegar, namun seringkali juga terkandas dengan unsur-unsur kemalasan atau nama lain untuk diberitahu kepada orang lain ialah tidak cukup masa. Kononnya.

Pada mulanya, saya ingin membaca 6 buah buku (yang nipis halamannya) dalam seminggu. Kononnya. Tetapi melihatkan hasil di bawah, secara purata saya hanya mampu membaca sebuah buku dalam seminggu. Namun begitu, tahniahlah Welma kerana berjaya bangkit dari rehat yang panjang tanpa buku. Bukan senang untuk konsisten dalam perkara kebaikan.

Pada entri kali ini, saya ingin bercerita tentang 2 buah buku ini - Travelog Wartawan Islam karya Roslan Hamid dan Catatan dari 40,000 Kaki tulisan Kapten Hafiz Firdaus. Kedua-dua buku ini memiliki persamaan walaupun mesej yang disampaikan berbeza dari segi objektifnya. Ia ditulis dengan santai, penuh kejujuran dari hati dan menyampaikan pandangan serta luahan tulus yang berbeza dari pandangan majoriti.

Saya suka menganggap Travelog Wartawan Islam sebagai sebuah buku muhasabah. Saya dibawa meneroka kehidupan yang berbeza dari hidup saya dari segi usia, pekerjaan dan suasana kehidupan. Penulis berjaya menggambarkan kepada pembaca yang tidak tahu-menahu tentang skop kerja bidang kewartwanan (Contohnya, Saya) tentang keadaan pekerjaan itu sebenar. Ini mencakupi penceritaan tentang komitmen kerja yang tidak mempunyai sempadan masa dan halangan-halangan prinsip diri sebagai seorang Muslim.

Seringkali sepanjang pembacaan membuatkan saya merasa betapa susahnya pekerjaan ini (maksud saya wartawan) boleh membantu kita menjadi seorang Muslim yang baik. Lebih terperinci lagi, maksud saya, menjaga dan tidak meninggalkan solat 5 waktu, halal-haram makanan di luar negara dan paling penting persoalan seperti yang dibangkitkan oleh penulis - sejauh mana hasil tulisan kita itu dikira sebagai amal- bagaimana pula dengan cerita-cerita hiburan dengan gambar-gambar yang mendedahkan aurat yang langsung tidak membawa apa-apa menfaat kepada pembaca - atau wartawan yang bekerja dengan syarikat akhbar yang berkonsepkan menyokong parti tertentu, sejauh mana dilema mereka berdepan dengan tanggungjawab melaporkan berita yang tulus dan ikhlas kepada masyarakat tanpa sebarang kepentingan.

Seringkali itu juga, saya semakin yakin, pasti ada penyelesaiannya. Bukankah kita menyakini Islam itu agama kontemporari yang bukan hanya sesuai diamalkan oleh ustaz-ustazah tetapi sesiapa juga termasuk wartawan. Dilema-dilema yang diutarakan oleh penulis ini memerlukan pengkajian dan penjelasan oleh pihak yang berpengetahuan agar kita boleh membantu golongan ini mempraktikkan Islam dalam setiap keadaan.

Secara amnya, Travelog Wartawan Islam mengisahkan seorang wartawan yang sedang mencari erti atau makna kehidupan yang sebenar. Namun beliau tidak menjumpainya di dalam bidang kewartawanan. Memetik kata beliau, "Pengorbanan seorang wartawan begitu besar tetapi apakah ia benar-benar memberi manfaat kepada seseorang itu di akhirat kelak?". Memetik lagi kata beliau, "Dunia wartawan ini terlalu sibuk sehingga tidak ada masa samada untuk menghadiri kelas pengajian agama di masjid, bersosial dengan masyarakat atau mengambil berat permasalahan di tempat tinggal mereka". Akhirnya pada Februari 2008, beliau nekad keluar daripada zon selesa dalam bidang kewartawan untuk memberi ruang kepada dirinya memperbaiki diri sebagai seorang Muslim.

Namun kerja tulis-menulis ini tidak ditinggalkan begitu sahaja. Kisah Antara Dua Kota merupakan hasil tulisan beliau sepanjang perjalanan ulang-alik antara Melaka dan Kuala Lumpur. Cerita-cerita ini dimuatkan di dalam kolum Berita Harian . Ia kemudian dibukukan dan merupakan syeksen kedua di dalam buku Travelog Wartawan Islam. Sebanyak 28 topik dimuatkan yang merangkumi pelbagai peristiwa antarabangsa dan masyarakat setempat.

Sepanjang pembacaan, baru saya sedar banyak rupanya peristiwa dunia yang saya terlepas pandang . Ngehee!

Beralih kita kepada perkongsian Catatan dari 40,000 Kaki karya Kapten Hafiz Firdaus. Buku ini merupakan Siri Pertama dan mengandungi 24 artikel yang dimuatkan di Majalah I bermula Disember 2008 hingga November 2010. Bezanya, artikel yang dimuatkan di dalam buku ini merupakan artikel original tanpa suntingan daripada editor majalah.

Buat masa ini, saya kira masih belum ada lagi Siri Kedua yang menyusul. Seperti yang dinyatakan pada awal entri, persamaan antara 2 karya yang saya kongsikan ini ialah ia merupakan luahan rasa penulis yang jujur dan berbeza dengan pandangan majoriti. Jika mahu dibandingkan dengan Travelog Wartawan Islam, karya Hafiz Firdaus ini ditulis dengan sinis dan boleh mengundang banyak perkara yang pembaca tidak setuju terutama apabila menyentuh tentang ibadat dan kepimpinan negara. Mungkin ada di antara pembaca termasuklah saya akan memberi rumusan, yang corak pemikiran penulis adalah sipi-sipi Wahabi. Satu kefahaman yang heboh suatu ketika dahulu. Tetapi saya cepat-cepat membuang hasutan itu kerana saya sendiri tidak berapa jelas apa yang dikatakan Wahabi itu.

Lagipun saya tidak nampak di mana pincangnya pandangan penulis apabila beliau mengemukakan pendapatnya tentang isu-isu ibadat, kepimpinan, atau masyarakat sejagat. Saya meraikan pemikiran beliau yang menyeru agar kita mencari ilmu dalam setiap amalan ibadah yang kita lakukan agar ia dilakukan bukan atas dasar ikut-ikutan. Saya setuju yang kita perlukan pembaharuan dalam agama. Ini bukan bermaksud Islam itu perlu dibaharukan, tetapi kaedah kita dalam menangani masalah Islam itu yang perlu dibaharukan. Islam bukan agama baharu tetapi kita percaya ia bersesuaian sepanjang zaman. Ia kontemporari. Ayat-ayat di dalam Al-Quran itu perlu dibongkar kerana solusi kepada permasalahan kita pada masa kini ada di dalamnya. Masalahnya, kita gagal untuk melakukan Research & Development (R&D) itu . Malah jikalau ada pandangan yang mahukan pembaharuan atau dalam erti kata lain, orang yang melakukan R&D itu, kita melabelkan orang itu sebagai keras dan pelampau. Kita sangat jarang memberi tindak balas yang membina dan memperbetulkan.

Wallahu alam


1 komen:

Anonymous said...

alhamdulillah...hebat jugak buku ini kisah perjalanan hidup mereka...