Sunday, November 20, 2011

Anakku Hebat Anakku Soleh - Zahazan Mohamed

Alhamdulillah!

Saya membaca dan menulis lagi. Jikalau pada minggu lepas, saya memaksa diri untuk membaca, lain pula cerita pada minggu ini, kes susah berhenti membaca pula ceritanya. Aduh! Aduh! Bawa bersederhana Welma.

Ada 4 buah buku yang berjaya dibaca pada minggu ini - 1 novel remaja, 1 travelog dan 2 komik. Ini menjadikan jumlah buku yang dibaca setakat 20 November ialah sebanyak 14 buah buku.


Menurut target awal tahun, saya mensasarkan sebanyak 50 buah buku setahun. Nampaknya saya ketinggalan 37 buah buku di belakang. Tetapi, saya rasa saya mahu mengubah target itu menjadi 25 buah buku sahaja kerana saya mahu melengkapkan bacaan tadabbur Tafsir Al-Wadhih Juz 30 sebelum penghujung 2011.

Merujuk entri pada minggu lepas, saya menulisnya dengan mode tergesa-gesa. Oleh kerana itu, saya sengaja mengabaikan perkongsian Anakku Hebat Anakku Soleh tulisan Ustaz Zahazan Mohamed.


Semalam ketika saya mahu bercerita tentangnya, saya tidak tahu pula bagaimana untuk menyimpulkan pembelajaran yang saya perolehi daripada buku yang berjumlah sebanyak 205 halaman ini. Biasalah begitu bukan. Kita membaca dari satu buku ke satu buku. Akhirnya kita terlupa pengisian buku yang sudah kita baca. Mungkin ini penanda aras yang hati sangat kotor. Saya hanya ingat kepada reka letak dan susun atur yang berwarna-warni, mewah dengan gambar dan ilustrasi serta pengisian yang disampaikan dalam bentuk poin.

Bukan itu sahaja, ada juga beberapa pengisian yang menarik perhatian saya. Antara lain yang saya ingat ialah penulis ada menyatakan yang kaedah memukul anak-anak sebagai bentuk pendidikan haruslah diambil sebagai langkah terakhir. Gantikanlah dengan nasihat, penghargaan dan kemaafan. Itu lebih utama. Selain itu, penulis juga ada menyatakan yang ibu-bapa perlu mengelakkan diri memarahi atau menegur anak-anak yang melakukan kesalahan di hadapan orang lain. Ini kerana kaedah ini hanya akan menambahkan dendam di dalam hati mereka. 2 pengajaran yang membekas diperolehi dari Anakku Hebat Anakku Soleh.

Oleh kerana banyak yang saya terlupa terutama struktur pengisian buku ini, maka semalam saya mengulangkajinya semula. Tiba-tiba saya terfikir mahu menyediakan satu buku khas untuk menulis isi-isi penting untuk buku tertentu. Mudah untuk dibaca sebagai bentuk ulangkaji. Waduh! Banyak pula cita-cita budak yang seorang ini.

Anakku Hebat Anakku Soleh mengandungi 6 bab. Bab 1 dimulakan dengan definisi tarbiyah itu sendiri. Ha'a. Saya baru perasan penulis menggunakan perkataan tarbiyah dan bukan pendidikan. Ini kerana saya rasa tarbiyah bukan perkataan yang common di dalam masyarakat kita. Betulkah?

Saya kira tidak perlulah saya berkongsi tentang setiap definisi tarbiyah yang banyak itu. Cukuplah sekadar kita mengetahui ia bermakna pendidikan atau lebih spesifiknya pendidikan yang menyentuh tentang cara-cara membesarkan anak dengan kaedah tertentu. Jikalau menurut Sayyid Sabiq, aspek pendidikan itu merangkumi jasmani, akal, rohani, perasaan, sosial sehingga kanak-kanak itu menjadi anggota masyarakat yang berguna. Maklumat lengkap aspek-aspek ini disentuh oleh penulis pada Bab 3. Di situ, penulis ada menyatakan beberapa kaedah yang boleh membantu.

Saya kira tumpuan pembacaan saya tertumpu pada Bab 1 dan 2. Almaklumlah saya lebih gemar menelaah info tentang peringkat tumbesaran anak-anak dan tuntutannya serta teknik-teknik mendidik. Penulis membahagikan peringkat tumbesaran kepada 3 iaitu bawah 2 tahun, 2-5 tahun dan 5-12 tahun. Saya menyimpulkan pada usia sehingga kanak-kanak berumur 5 tahun, ibu-bapa perlu banyak mencurahkan kasih sayang dan memberi tunjuk ajar tentang kebaikan. Manakala pada usia 5-12 tahun pula, kanak-kanak perlu diajar tentang aspek agama seperti adab-adab, solat dan quran.

Penulis ada menyatakan peringkat umur dari 3-7 tahun adalah merupakan umur kritikal yang perlu dimanfaatkan oleh ibu-bapa dalam pembinaan dalaman (syaksiah) anak mereka. Mungkin pada usia sebeginilah, anak memerlukan peranan seorang ibu (dengan tidak menafikan peranan ayah) yang sepenuh masa di rumah berbanding pusat jagaan harian. Fakta menarik yang saya perolehi melalui buku Travelog Wartawan Islam. Di situ Roslan Hamid ada menulis perkongsian kajian yang bertajuk The Myth of Quality Time. Kita mungkin biasa mendengar ibu-bapa yang bekerjaya menyebut tentang masa berkualiti untuk anak-anak. Kajian yang dikongsikan itu meragui tentang kenyataan tersebut.

Ini ditambah pula dengan kajian lain di mana Ronald Revant (Pakar Psikologi) menulis, "Kanak-kanak perlukan tumpuan dan perhatian hampir sepanjang waktu. Adalah satu khayalan untuk berpendapat mereka boleh menepati jadual waktu anda dan anda boleh berkata, "Baiklah, kita ada masa setengah jam, apa masalah sayang?" (Halaman 166)

Kembali semula ke buku Anakku Hebat Anakku Soleh. Keluarga memainkan peranan penting di dalam pembinaan anak-anak. Penulis ada menyatakan yang keluarga perlu menyediakan asas atau yang diberi nama oleh penulis sebagai persediaan untuk dididik sebelum menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Ini bukanlah perkara baru dalam dunia pendidikan tetapi telah dipraktis oleh masyarakat Islam dahulu kala di mana terbukti mampu melahirkan ramai pemikir Islam yang berkualiti. Tanggungjawab ibu-bapa tidak berhenti setakat itu. Mereka perlu menghantar anak-anak mereka ke sekolah yang memberi pengajaran Islam yang baik serta mengambil tahu kawan-kawan yang digauli anak mereka. Peranan masjid juga tidak boleh dikesampingkan.

Akhir kata yang boleh saya katakan, apabila kita berada di alam barzakh, tiada lain yang kita nantikan melainkan ilmu kita yang bermanfaat serta doa anak-anak kita yang soleh. Mungkin pada ketika itu baru kita sedar, pelaburan membina anak-anak adalah lebih utama berbanding membina kerjaya atau harta material.

Saya tidak berapa sihat. Saya perlu segera menutup komputer ini. Nampaknya, pada minggu ini saya berhutang lagi. Bukan 1 tetapi 4 buah buku.

6 komen:

Anonymous said...

Buku cik welma baca tu bayak cabang untuk pendidikan kanak-2 peringkat awal lg...

Ummu Khaulah said...

Buku Indahnya Didikan Awal Anak Cara Islam terbitan PTS juga sangat membantu, Welma :)

Mazny said...

Salam Welma,
Masih ingat saya? Ukhti pernah melawat blog lama saya. Blog itu sudah tidak digunakan. Kini, saya menulis di blog yang baharu. Sudilah kiranya datang menjenguk? Terima kasih.

Mazny said...

Salam Welma,

Masih ingat saya? Ukhti pernah melawat ke blog saya dahulu.Blog itu sudah tidak digunakan lagi. Kini, saya menulis di blog yang baharu. Sudilah kiranya datang menjenguk?

Terima kasih.

Syafie said...

Assalamualikum Cik Welma buku Petua Mendidik Anak Menjadi Insan Positif karya Dato'Fadzilah Kamsah dan Haji Muhammad Zakaria,pun tak kurang hebatnya.Cara penyampaiannya mudah,menarik,bahasa yang digunakan mudah difahami sbb ianya diolah dengan baik sekali.

Syafie said...

Jom baca post terbaru kaedah mengenal produk dari kulit dan bulu babi

http://orderbookonline.blogspot.com/2012/02/3-kaedah-pengesanan-kulit-atau-bulu.html