Setelah menyedari saya sudah agak jauh ketinggalan dengan misi buku ini, maka saya mahu mensasarkan 2 buah buku untuk dibaca pada setiap minggu bermula minggu ke-20. Target saya, semestinya 50 buah buku setahun dan saya perlu membaca sekurang-kurangnya 20 buah buku sehingga bulan Jun ini untuk mengelakkan saya 'tercungap-cungap' di penghujung tahun. Justeru itu, setiap hari saya sentiasa berfikir dan berusaha bagaimana untuk membaca dengan kadar cepat. Semangat gitu!
Alhamdulillah. Pada minggu lepas, walaupun hampir gagal, saya berjaya juga menyelesaikan bacaan untuk 2 buah buku.
Selama seminggu lepas, saya asyik berkepit dengan buku Angguk Geleng tulisan Pahrol Mohammad Juoi dan Husna Hassan. Konon mahu dibaca setiap hari sebelum tidur. Buku yang setebal 258 halaman ini dengan himpunan cerita pendek yang senang dihadam sepatutnya bukanlah cabaran yang besar untuk dibaca sebanyak 50 halaman pada setiap malam. Namun, saya mengambil masa selama 7 hari juga sebelum sampai ke halaman akhir. Ini buku baharu yang dibeli dan pastinya faktor penulis yang membuatkan saya membelinya.
Dibuai, dipujuk dan diperli. Itulah yang saya rasa sepanjang pembacaan dari satu kisah ke satu kisah. Selalu sahaja isi kandungan buku ini membuatkan saya rasa teruk, teruk dan teruk. Kekadang terfikir, bagaimana sebuah buku boleh memiliki kuasa sebegini. Bagaimana ia mampu menempelak si pembaca sehingga si pembaca tersedar, lalu berfikir dan membawa kepada keinsafan. Buku ini kaya dengan pelbagai cerita dan analogi. Ada orang yang mengklasifikasikan cerita-cerita ini sebagai sebuah satira. Betul juga, ini kerana satira itu sifatnya memerli dalam kelucuan.
Buku ini mengajar kita untuk yakin, percaya, dan bersangka baik dengan Allah.
Buku ini membantu kita untuk membina perhubungan yang lebih baik dengan orang sekeliling.
Buku ini mengajak kita untuk sentiasa memerhati alam ini kerana terlalu banyak pengajaran yang perlu dilihat dengan mata hati.
Buku ini memimpin kita untuk mencari ilmu sehingga bertemu hikmah/kebijaksanaan dan bukan setakat maklumat/pengetahuan.
Sesuai dengan isi kandungannya yang bukan menegur pembaca secara terus dan langsung, namun kalau anda membaca sambil melihat prestasi diri dan mencari keburukan diri yang perlu dibaiki, buku ini boleh membuatkan anda seperti dibasuh dan dicuci oleh sabun yang kuat kesan kimianya.
Buku ini membantu kita untuk membina perhubungan yang lebih baik dengan orang sekeliling.
Buku ini mengajak kita untuk sentiasa memerhati alam ini kerana terlalu banyak pengajaran yang perlu dilihat dengan mata hati.
Buku ini memimpin kita untuk mencari ilmu sehingga bertemu hikmah/kebijaksanaan dan bukan setakat maklumat/pengetahuan.
Sesuai dengan isi kandungannya yang bukan menegur pembaca secara terus dan langsung, namun kalau anda membaca sambil melihat prestasi diri dan mencari keburukan diri yang perlu dibaiki, buku ini boleh membuatkan anda seperti dibasuh dan dicuci oleh sabun yang kuat kesan kimianya.
Selesai buku Angguk Geleng itu, saya yang mudah gelabah ini, cepat-cepat mencapai buku kedua yang termasuk dalam senarai mahu dibaca segera. Almaklumlah, akan masuk minggu baharu dan saya masih belum mencapai 2 buah buku seminggu. Hehe.
Buku yang dimaksudkan itu ialah sebuah novel fiksyen sejarah bertajuk Pahlawan-Pahlawan Mamluk tulisan Mu'min Jarni. Buku ini dibeli pada tahun lepas dan setelah mengeramnya sekian lama, barulah datang nafsu mahu membacanya. Jujur saya katakan, ini kali pertama saya mendengar perkataan Mamluk. Ditambah pula ditulis pada muka hadapan buku- Perajurit Salahuddin Al-Ayubi, membuatkan saya tertanya-tanya tentang kaitan tokoh hebat itu dengan Mamluk.
Pada kebiasannya, sebelum membaca novel fiksyen sejarah, saya terlebih dahulu akan membaca buku bukan fiksyen untuk subjek tersebut. Contohnya, saya cuba pastikan yang saya sudah membaca buku biografi/bukan fiksyen dari sumber yang boleh dipercayai tentang Salahuddin Al-Ayubi terlebih dahulu sebelum membaca kisah beliau melalui novel fiksyen sejarah. Ini untuk memudahkan saya menyaring mana satu fakta yang benar dan rekaan. Seperti yang kita maklum, cara penulisan novel fiksyen sejarah terdedah kepada unsur-unsur khayalan dan wujud watak-watak yang direka.
Memandangkan saya tidak memiliki apa-apa bahan bacaan tentang subjek Mamluk yang boleh saya ulangkaji dahulu, maka nota penerbit pada halaman awal novel ini tidak boleh diabaikan. Sedikit sebanyak saya boleh mendapat gambaran asas siapa itu Mamluk, buku rujukan yang dicadangkan penulis, dan pengesahan tentang kisah/watak yang benar dan rekaan. Sekurang-kurangnya info sebegini boleh menjadi panduan sepanjang pembacaan. Secara keseluruhan, buku ini ditulis dengan baik. Maksud saya, penulis mengolah kisah dan cerita dengan baik sekali sehingga saya tidak mampu melepaskan buku. Baca dan terus baca. Jikalau berhenti atau memberi laluan untuk tidur, cerita yang tergantung membuatkan saya tidak sabar mahu mengetahui apa yang terjadi seterusnya. (Namun begitu saya tetap juga tidur walaupun tidak berapa lena hehe).
Kekadang, apabila saya membeli buku, saya antara sedar atau tidak, sudah siap-siap meletakkan expectation untuk buku tersebut. Contohnya, buku Pahlawan-Pahlawan Mamluk ini. Mungkin faktor utama saya membelinya ialah kerana ada nama Salahuddin Al-Ayyubi di hadapan muka buku. Justeru itu saya membayangkan ini pastinya kisah mamluk berjuang menegakkan Islam bersama-sama dengan Salahuddin Al-Ayyubi. Pastinya setelah habis membaca, semangat berjuang saya akan semakin berkobar-kobar. Namun setelah membaca novel ini, kisah perjuangan itu langsung tidak boleh dirasai walaupun ada diselit-selit. Malah saya merasakan novel ini hanya merupakan kisah seorang mamluk yang bernama Taghrii (mungkin watak rekaan) yang berusaha untuk menyelamatkan anak seorang bangasawan yang bernama Mayya (juga mungkin watak rekaan). Walau apa pun, saya patut berterima kasih kepada penulis kerana membantu saya refresh akan nama-nama tempat yang dijelajahi oleh Salahuddin Al-Ayyubi dalam misinya menyatukan daulah Islamiyyah.
2 komen:
Assalamu'alaikum wrt. wbt.
Saya setuju dengan petikan: "Seperti yang kita maklum, cara penulisan novel fiksyen sejarah terdedah kepada unsur-unsur khayalan dan wujud watak-watak yang direka."
Saya ketika mula-mula melihat buku-buku fiksyen sejarah islam seperti ini pun tergiur juga untuk membelinya. Namun setelah terbaca kritikan-kritikan Ustaz Hasrizal di dalam FB tentang method penulisan fiksyen sejarah yang meragukan terhadap seorang penulis fiksyen sejarah islam terkenal tanahair. Terus saya hilang minat untuk membaca novel fiksyen sejarah islam.
Nama pun fiksyen. Jadi sudah tentulah akan bercampur-aduk maklumat@cerita tersebut, antara hakikat kebenaran dengan imaginasi penulis semata-mata. Wallahu a'lam.....Yazid.
Waalaikumussalam.
Ada juga membaca komentar Ustaz Hasrizal tentang novel sebegini. Pertama sekali, saya mengaku kebenaran kata-katanya.
Kedua, berdasarkan pembacaan saya pada ruang komen FB Ustaz Hasrizal yang ditulis oleh pengunjung, saya tidak sangka, ada pembaca-pembaca novel fiksyen sejarah yang tidak tahu/aware novel sebegini memang terdedah kepada unsur khayalan dan mengambil cerita di dalam novel sebagai sumber rujukan.
Post a Comment