Tabiat membeli buku sudah tidak boleh dikawal. Ada sahaja setiap minggu buku yang dibeli. Tidak cukup pembelian secara atas talian pada minggu yang lepas (buku Socrates dan seangkatan dengannya), terkini buku baru yang saya miliki ialah Demi Masa, karya Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Masa Dalam Kehidupan, karya Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dan sebuah novel Sepetang di Kafe Biblioholic, karya Ainunl Muaiyanah.
Bermula Jumaat hingga Ahad, saya telah menyempurnakan 3 buah buku yang berkisar tentang masa dan umur ( 2 buah buku baru + 1 buah buku lama).
Demi Masa
Demi Masa , karya Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (68 halaman) merupakan sebuah buku motivasi ringkas yang dianggap penulis sebagai mukadimah untuk pembaca yang mahu belajar tentang penggunaan masa secara maksimum. Di dalamnya mengandungi 5 bab. Isi kandungannya seputar tafsir surah Al-Asr, hadith, mutiara kata dan kisah-kisah ulama - semuanya berkaitan tentang masa. Isi kandungan sebegini rupa semestinya sudah boleh dijangka acapkali kita membaca buku yang bertemakan tentang masa. Kita pasti dibentangkan dengan kisah ulama terdahulu yang begitu haloba dengan ilmu sehingga sanggup mengupah khadam untuk membaca buku ketika mereka berada di dalam tandas semata-mata kerana tidak mahu masa terbuang begitu sahaja, mengurangkan masa untuk makan dan tidur kerana mahu memberi fokus kepada aktiviti keilmuan dan pelbagai lagi cerita yang sangat menakjubkan para penuntut ilmu ini dalam memanfaatkan masa mereka. Bagi saya, ini adalah isi kandungan (content) wajib dan yang biasa kita pernah baca.
Ada sedikit kelainan yang saya jumpa di dalam Demi Masa, saya perasan ada beberapa nama ulama terkini yang jarang saya dengar dan baca (tidak banyak namun tetap ada) yang dimasukkan di dalam buku seperti Syeikh Hassan Habannakah Al-Midani (meninggal 1978) yang dikatakan mampu menelaah dan mengkaji ilmu sepanjang malam, Syeikh Ali At-Tantawi (meninggal ketika usia 50 tahun) membaca selama 10 jam sehari dan nama seperti Syeikh Abdul Ghani Al-Daqar (meninggal 2002) yang memulakan aktiviti pembacaannya selepas Subuh sehingga sebelum Maghrib. Mesej saya ialah dengan memasukkan dan menceritakan kisah ulama terkini di dalam buku sedikit sebanyak boleh membantu pembaca ( terutama untuk orang yang bersekolah bukan aliran agama seperti saya) mengenali para ulama terkini. Para penulis yang hanya menumpukan peribadi serta keazaman ulama terdahulu tanpa seimbang dalam menyentuh peribadi dan keazaman ulama di zaman ini hanya akan menyebabkan pembaca tertanya-tanya terhadap kesungguhan ulama masa kini.
Masa Dalam Kehidupan
Saya kira saya akan berjumpa isi kandungan yang hampir sama seperti buku Demi Masa (contohnya Tafsir Surah Al-Asr) di dalam buku ini (152 halaman), karya Dr. Yusuf Al-Qaradhawi. Namun jangkaan saya meleset kerana isi kandungannya secara total adalah perkara yang belum disentuh di dalam Demi Masa. Jikalau Demi Masa saya kategorikan sebagai buku Tahap 1 (Mukadimah), Masa dalam Kehidupan pula boleh dianggap sebagai buku Tahap 2. Isi kandungannya masih bersifat ringkas dan sederhana, khas untuk orang-orang pemula (beginner) namun perbahasan untuk setiap topik lebih kemas dengan masukan sumber-sumber Quran dan hadis yang siap dengan rujukan buat panduan pembaca. Mudah untuk kita sebagai pembaca mengetahui taraf dan sumber sesuatu hadis, itu yang saya amat suka untuk buku ini.
Masa Dalam Kehidupan terbahagi kepada 2 bahagian. Bahagian pertama secara ringkasnya menyentuh tentang
isu pengenalan masa seperti ciri-ciri serta tanggungjawab DAN apabila
menyentuh bab ini semestinya tidak boleh lari dari peringatan untuk
tidak membuang masa dan bersegera berbuat kebaikan. Bahagian 1 diakhiri dengan langkah demi
langkah cara hidup seorang muslim bermula dari awal pagi sehinggalah dia
tidur di malam hari.
Bahagian 2 pula membincangkan sikap manusia dengan 3 masa - masa lalu, masa sekarang dan masa hadapan. Penulis mengajar kita bagaimana untuk bertindak seimbang dengan ketiga-tiga masa itu. Bahagian ini diakhiri dengan peringatan untuk melakukan muhasabah diri setiap hari agar kita mengetahui apa yang sudah dilakukan dan belum dilakukan lagi. Kita ini bagaikan seorang peniaga yang melakukan semakan rekod hasil dan hutang, keuntungan serta kerugian perniagaan.Begitu kata penulis
Hidup Sekali Manfaat Selamanya
Di hujung-hujung bab buku Masa Dalam Kehidupan ada disebut tentang memanjangkan umur dan umur kedua. Membaca bab ini mengingatkan saya pada satu buku yang saya miliki (baru dibaca separuh sejak beberapa tahun yang lepas) iaitu Hidup Sekali Manfaat Selamanya (203 halaman), karya Dr. Muhammad Musa Asy-Syarif, seorang alim dari Arab Saudi.
Buku ini mengandungi 6 bab namun isi utama terkandung pada Bab 4, Tips-Tips Meninggalkan Atsar. Atsar menurut konteks perbincangan buku ini ialah merupakan amalan atau jejak tinggalan (legasi) kebaikan seorang manusia dan amalan itu terus diikuti/dimanfaatkan oleh generasi seterusnya walaupun manusia itu sudah tiada di dunia. Antara manusia yang berjaya menghasilkan legasi yang begitu mengagumkan ialah seperti Sibawaih (meninggal pada usia 33 tahun) seorang pakar nahu arab yang mana beliau telah menjadi perintis utama dalam menghasilkan buku panduan tentang ilmu nahu. Begitu juga dengan Imam Nawawi yang meninggal pada usia 44@45 tahun,
Ada 4 rukun yang perlu dipenuhi menurut penulis jikalau kita bercita-cita untuk meninggalkan atsar yang agung untuk generasi seterusnya iaitu hubungan yang baik dengan Allah, peribadi yang baik, memiliki rencana agung dan berpengetahuan luas. Penulis menghuraikan setiap rukun itu dengan panjang lebar siap dengan contoh-contoh manusia terkini. Oleh kerana itu ada beberapa nama baru yang saya kenal seperti Ir. Muhammad Taufik bin Ahmad yang telah mengislamkan sebanyak mencecah 3000++ orang Eropah hanya dengan menulis surat yang terkandung penerangan tentang Islam secara konsisten bertahun-tahun lamanya.
Dalam menentukan atsar yang mahu kita tinggalkan, penulis menganjurkan untuk kita melihat kekurangan dunia Islam pada hari ini. Dari situ, kita sesuaikan dan sejajarkan dengan kekuatan diri yang kita miliki. Ilmu dan kekuatan pendidikan yang kita ada ini perlu disalurkan sebaik-baiknya untuk umat Islam. Menurut penulis, masalah orang soleh yang berjuang (kebanyakan yang dijumpainya) ialah lemah di dalam memahami peristiwa di sekeliling, tidak mengetahui kelebihan agama sendiri dan kelemahan musuh, tidak mantap pengetahuan tentang ekonomi, politik, sejarah dan fakta.
Konvensyen Bidadari dan Bengkel Suami Mithali
Oh, ya! Ada satu perkara lagi yang saya mahu khabarkan. InsyaAllah saya, Mazlan dan beberapa kawan yang lain akan menghadiri Konvensyen Bidadari dan Bengkel Suami Mithali pada 31 Ogos & 1 September 2013. Seperti biasa, pasti ada gerai-gerai buku yang boleh menggugat poket jikalau kita berkunjung ke majlis ilmu sebegini. Belum tiba masa itu lagi, tim Konvensyen Bidadari sudah menguar-uarkan penjualan buku hasil karya Syeikh Mirza Yawar Baig (salah seorang speaker) menerusi lama FB mereka. Salah satu buku yang diuar-uarkan itu, Bringing Up Muslim Child juga merupakan tajuk pembentangan untuk salah satu slot di program itu. Apa lagi, meroyanlah saya dibuatnya!
Kira punya kira jikalau mahu membeli keempat-empat buah buku itu, mahunya mencecah RM100++ termasuk pos. Waduh! Boleh dibuatnya saya jatuh sengkek di ambang syawal ini. Dalam berkira-kira, beli ke tidak itu, entah macam mana Allah gerakkan hati saya meng-google salah satu buku tersebut dengan niat untuk membaca testimonial pembaca. Akhirnya, pencarian demi pencarian, sampailah ke laman web penulis, http://www.yawarbaig.org/#. Rupa-rupanya, penulis ada memuatkan e-book PERCUMA untuk 3 buah buku yang saya mahu beli itu. Jadi, saya hanya membeli buku Bringing Up Muslim Child sahaja. MasyaAllah, mulianya hati penulis ini. Jikalau saya penulis, saya pun rasanya tidak akan membuat e-book percuma jikalau ada buku yang berbentuk paperback terjual. Didoakan sebanyak-sebanyak kebaikan untuk kehidupan penulis dunia dan akhirat. Selamat duit saya. Jikalau anda mahu membeli edisi paperback, boleh saja membuat pesanan menerusi tim IMuslim. Membaca menerusi edisi paperback lebih seoronok sebenarnya. Lagipun boleh ditayang-tayang di rak buku. Ngee.
Tentatif Program |
Download Ebook :
Selamat berjuang di bulan Ramadhan. Tinggal 2 hari sahaja berbaki. Berusahalah, mana tahu ,tahun hadapan tidak berjumpa lagi :)
2 komen:
Welma, masya Allah. Sungguhlah kamu benar-benar memanfaatkan apa yang dibaca ;) Saya sekarang mencuri-curi waktu untuk membaca dengan 2 orang khalifah kecil di rumah. Oh, cemburunya saya ! ^^ (dengan catatan dari bacaan Welma).
Taqabbalallah minna wa minkum ^_^
Aina,
Belum lagi sampai peringkat memanfaatkan bahan bacaan. sedang berusaha. Doakan saya.
Saya juga cemburu dengan semangat kamu :)
Post a Comment