Tuesday, September 03, 2013

Jaulah Mencari Ilmu

Bertolak

Baru-baru ini saya, Mazlan dan 3 orang rakan yang lain (Sarah, Kak Ramziah a.k.a Kak Ram + suami, Akh Najmuddin) menghadiri Konvensyen Bidadari (KB) 2013 dan Bengkel Suami Mithali (BSM) yang diadakan di Putrajaya International Convention Center (PICC). KB merupakan program yang khusus untuk wanita manakala BSM pula untuk lelaki.

Perjalanan ini bukan sahaja terhad kepada program mencari ilmu tetapi secara tidak langsung merangkap  juga di dalamnya sesi kenal-mengenal ahli keluarga kawan. Manakan tidak, kami menginap di chalet 'jajahan' keluarga Kak Ram. Semestinya, peluang beramah-mesra dengan ahli keluarganya terutama kedua ibu-bapa digunakan sebaik mungkin. Baru namanya orang muda yang pandai bergaul. Haha!

Kami bertolak dari Kulim pada 30 Ogos (Jumaat) kira-kira pada pukul 6.30 petang dengan menaiki  2 buah kereta yang berbeza. Tiba di Banting, spesifiknya tempat kami menginap, pada pukul 2 pagi.


Program KB dan BSM dilaksanakan secara serentak di 2 buah dewan yang berbeza. Program KB kaya dengan kepelbagaian gaya penyampaian penceramah dengan intisari topik yang saling lengkap-melengkapi dan menyentuh pelbagai isu wanita.

Hari Pertama

Kami tiba di PICC pada pukul 9.00 pagi. Terdapat 6 slot pada hari ini yang menampilkan pelbagai pembentang seperti Ustazah Nurhafizah Musa, Dr. Rubiah Kulup, Prof Muhaya, Ustazah Fatimah Syarha, Ummi Ros, dan tetamu undangan Syeikh Mirza Yawar Baig.

Awal pagi kami dimulakan dengan sentuhan Ustazah Nurhafizah Musa melalui tajuk pembentangan beliau,  Solat Khusyuk Penyejuk Hati. Ustazah bagaikan seorang doktor yang datang memberi penawar kepada hati yang sakit (seperti saya) dengan ungkapan-ungkapan beliau yang  seperti biasa sangat menyentuh hati. Ini sesi air mata untuk diri saya.

Slot kedua selepas itu yang dibentang oleh Dr. Rubiah Kulup, dengan tajuk Membentuk Keluarga Membangun Ummah agak rancak sedikit. Haha. Kami semua dihiburkan dengan celoteh Dr. Rubiah yang sangat bersemangat dan penuh dengan humor. Isi utama pembentangan beliau ialah tentang pendidikan anak-anak dan pembangunanan kekuatan seorang ibu yang merupakan guru pertama kepada anak-anak itu sendiri. Saya agak tergangggu dengan struktur penyampaian yang tidak berformat (bukan silap Dr. Robiah tetapi kerana saya ialah jenis analytical learner), namun begitu saya cuba mengawal konsentrasi dengan menulis apa sahaja yang disebut oleh Dr. Apabila melihat semula nota-nota itu, rupa-rupanya ia bukan sekadar pembentangan santai yang hanya diisi dengan lawak, tetapi terkandung di dalamnya pelbagai kaedah pendidikan. 

Selepas itu, menyusul pula Celik Mata dan Jiwa yang disampaikan oleh Prof Dr. Muhaya.Sesiapa yang biasa menonton rancangan Dr. Muhaya pasti sudah boleh mengagak isi kandungan utama pembentangan tersebut melalui tajuk yang diberikan. Kasih tanpa syarat, berfikiran positif, dan audit diri merupakan elemen penting yang disampaikan beliau.

Kira-kira pada pukul 1 petang, kami berehat untuk memberi laluan makan tengahari dan solat. Inilah masanya juga berjumpa dengan 2 orang lagi lelaki teman seperjalanan kami yang sedang berbengkel di dewan yang lain. 

Dan

Inilah juga masa saya mencuci mata di gerai-gerai yang menjual pelbagai barang. Seperti biasa, barang yang sudah dijangka akan saya beli ialah seperti di bawah :

Ini gerai pertama yang saya kunjungi. Saya membeli semula buku Prophetic Parenting Cara Nabi Mendidik Anak. Dahulu saya pernah memiliki sebuah, tetapi sudah dihadiahkan kepada seseorang. Saya belum membacanya lagi,  tetapi banyak orang yang jumpai, seringkali mengatakan kebagusan buku ini. 2 buah buku yang lain itu pula, saya kira ia buku yang sangat jarang dijumpai di Kulim mahupun secara atas talian, jadi saya pun membelinya dengan niat menambah koleksi.


Kemudian, saya singgah di gerai Brotherhood Arts. Membeli Majalah JOM - edisi 17 dan 18. Ini juga merupakan antara koleksi peribadi saya.


Tiba-tiba saya terpandang sebuah gerai yang menjual tudung akel bidang 60. Aha! Tunggu apa lagi. Keluar sudah sifat keperempuanan saya memilih tudung-tudung yang berkenan di hati. Setelah berhempas pulas di situ tanpa sebarang penyesalan, saya pun meneruskan misi melawat gerai demi gerai. Cantik sungguh jubah-jubah di situ. Tetapi apabila terpandang harganya yang mencecah RM200, okay, bukan masanya. RM200 itu boleh membeli 1 buah buku rujukan di Kinokuniya. Haha!

Selepas itu, saya singgah di gerai Ibooks. Penerbit dan pengedar buku-buku dakwah. Mahu melihat dan menambah koleksi buku usrah. Buku-buku di bawah bukan merupakan buku baru (kecuali Motivasi Dakwah dan buku latihan Catatan Murabbi) di dalam dunia kaderisasi malah isi kandungannya sudah menjadi darah daging akibat didikan usrah sejak berusia 16 tahun lagi. Namun begitu,  semakin menua, semakin saya merasakan saya tidak mengkhatamkam pemahaman untuk mana-mana konsep atau buku-buku yang berkaitan. Apabila saya membaca Anthem, ia membuatkan saya banyak berfikir, terutama tentang 2 buah buku yang disebut di dalam novel itu. Pastinya saya bukan berfikir tentang isi kandungan 2 buah buku itu sebab ia sudah pun mesra di akal setelah sekian lama. Saya cuma berfikir tentang bagaimana Anthem boleh menerangkan konsep-konsep itu dengan lembut, indah dan menyentuh hati saya. Haish! Saya pun tidak faham apa yang saya melalut ini.



Slot ke-4 bermula pada pukul 2.40 petang. Pada kali ini giliran Ustazah Fatimah Syarha pula mengambil ruang pentas dengan tajuk pembentangan Kebebasan Wanita pada Zaman Risalah. Sesi pada kali ini berformat ala-ala bedah buku. Kebebasan Wanita itu sendiri merupakan tajuk sebuah buku yang mengandungi 5 jilid kesemuanya. Dalam ruang masa yang sedikit, beliau hanya akan berkongsi bermula dari bahagian pengantar sehingga ke Bab 1 Jilid 1. Namun begitu, sehingga pukul 4 petang, ada beberapa slaid lagi yang tidak sempat dikongsikan beliau yang mana secara sepintas lalu saya melihat slaid itu sangat informatif. Saya antara orang terkilan kerana walaupun sesi ini sangat membosankan dengan lambakan cetusan ilmiah, namun begitu saya sangat menikmatinya. Kredit untuk ustazah yang membentangkannya dengan sangat baik sekali.

Selepas itu, menyusul pula Ummi Ros (pengasas Raudhatus Sakinah) mengambil ruang pentas dengan membentangkan pelbagai isu sekitar remaja dan peranan Raudhatussakinah. Penyampaian yang sangat bersahaja, santai dan penuh dengan sentuhan keibuan menjadikan sesi yang biasa-biasa ini bertukar kepada sesi refleksi diri tentang tanggungjawab yang dimainkan untuk membantu ummah. Pelancaran buku Performing Physical Examinantion (An Introduction for Pre-Clinical Students) yang ditulis oleh Alia Nadhirah Ahmad Fakhri dilakukan di sesi ini juga. 

Program selesai kira-kira pada pukul 6 petang. Kini, masa untuk berehat dan solat. Slot seterusnya akan bermula pada pukul 8 malam. Di kesempatan itu, saya yang sangat teruja dengan sesi pelancaran buku sebentar tadi, singgah di gerai Cool Mum Super Dad untuk membeli buku Alia Nadhirah. 

Alia Nadhirah merupakan anak kepada Puan Jamilah Samian, tokoh yang saya minat itu kerana kerja-kerja pembinaan legasi beliau yang sangat mengujakan saya. Saya membeli buku ini bukan kerana saya mahu membaca isi kandungannya (kerana ia tidak relevan dengan saya buat masa ini) tetapi kerana saya sangat kagum dengan penulis - usia yang muda dan tahu mengembangkan potensi serta tahu memanfaatkan masanya. Mudah-mudahan dengan pembelian ini, menaikkan semangatnya untuk terus membina legasi samada dari sudut kerjaya sebagai bakal doktor atau minat dalam bidang illustrasi. Bagi saya, tidak semua buku yang kita beli, kerana mahu mencari inspirasi di dalamnya, tetapi ada juga ketika kita membeli buku kerana mahu memberi semangat kepada penulis untuk terus dan terus menulis!

 

Tepat pukul 8 malam, sesi yang dinanti-nantikan bersama Syeikh Yawar Baig menyusul dengan tajuk pembentangan yang sangat catchy, Mothers - Go Out and Change The World. 

Kalau kamu mahu mengubah dunia, kamu harus percaya yang tugas paling kritikal perlu dilakukan ialah membesarkan anak-anak kamu dengan betul. Itu intipati mesej yang disampaikan oleh syeikh. Lalu kata beliau, bagaimana mahu melakukannya. Saya ringkaskan, ada 4 kesemuanya : Kenali Allah dan ajar anak-anak kamu mengenali Allah, rancang apa yang kamu harapkan anak-anak kamu menjadi apa di masa hadapan - it can't be outsourced kata beliau, letakkan strategi, dan buatlah pelaburan samada masa atau duit untuk menjayakannya.

Program tamat pada pukul 10 malam. Kami berlima kembali ke Banting sejurus selepas itu. Sempat juga menghadiri jamuan raya yang dianjurkan oleh kakak kepada Kak Ram. Banyak -banyak terima kasih untuk segala budi yang diberi. 

Hari Kedua

Pukul 9 pagi, program dimulakan dengan Wanita di Mata Allah - Dr. Harlina Siraj. Beliau membentangkan perkongsian dalam konteks wanita dan perjuangan wanita. Bermula dengan definisi wanita, penciptaannya, seterusnya begerak ke perjuangan memartabatkan hak wanita serta situasi wanita Islam pada hari ini yang sangat menyedihkan. Beliau mengakhiri pembentangan dengan sebaris kata-kata yang sangat sweet bagi saya : Mereka ( merujuk kepada srikandi yang syahid di Mesir) ialah bidadari, biiznillah, dan kita ialah bidadari, insyaAllah. 

Selepas itu ada sesi penggayaan bersama Puan Maryyani, Bergaya Menurut Islam. Ini memang betul-betul ilmu baru untuk saya dan saya tidak pernah terfikir untuk mengetahuinya. Haha. Sesi ini penuh dengan aktiviti yang interaktif. Penceramah merupakan seorang yang memiliki bakat penyampaian yang sangat bagus, sesuailah dengan kerjaya beliau sebagai perunding imej. Beliau mengatakan penggayaan melibatkan 3 perkara - penampilan, pergaulan dan pertuturan. Pada sesi kali ini, beliau hanya menyentuh tentang penampilan. Pelbagai perkara yang disentuh seperti bentuk tubuh badan, tatarias wajah dan langkah-langkah bergaya. Wow! Tiba-tiba rasa diri selekeh . Haha.

Ada satu lagi slot bersama Syeikh Yawar Baig sebelum mengakhiri sesi pagi. Pada sesi ini beliau memperkenalkan Standard Bearer Academy. Sebuah perkongsian yang penuh dengan semangat dan cita-cita untuk menghasilkan pejuang ummah. Syeikh seperti biasa ada sahaja memasukkan info-info baru yang sangat menggugah. Kelmarin, beliau bercerita tentang spesies haiwan sehingga membuatkan kami semua teruja, dan pada hari ini, beliau bercerita pula tentang sekolah-sekolah di dunia ini yang menghasilkan pemimpin dunia. Haish! Tetiba sahaja saya merasakan diri langsung tiada sumbangan untuk umat ini dan tiba-tiba juga saya merasakan cita-cita saya sangat kecil.

Selepas 3 slot berakhir di sesi pagi, seperti biasa, kami berehat. Selepas makan bersama kawan-kawan, saya berjalan-jalan di sekitar gerai-gerai jualan bersama Mazlan. Datang perasaan gedik bergambar. Ambil gambar kenangan - program kembara suami isteri.


Sesi sebelah petang dimulakan dengan  Dialah Ibu, Isteri dan Guru yang disampaikan oleh Puan Zalisa Alias (pengasas Genius Aulad). Ini merupakan seorang lagi tokoh di Malaysia yang saya kagumi kerana pencapaiannya dalam dunia pendidikan kanak-kanak. Beliau berkongsi tentang kaedah bercerita kepada anak-anak, homeschooling dan  motivasi untuk menyediakan kemahiran anak-anak melebihi apa yang disediakan sekolah. Saya sedar penyampaian beliau agak mendatar dan mengundang rasa bosan. Saya rasa sudah masanya kita mengasah diri untuk tekal ketika mencari ilmu. Jangan didik diri untuk sentiasa  menerima pembentangan yang ada unsur lawak sahaja baru kita mahu memberi perhatian. Jikalau terlelap, masih boleh dimaafkan kerana ia respon yang tidak boleh dikawal tetapi kita boleh mengawal bukan dari bermain-main dengan telefon bimbit.

Kemudian ada Forum : Wanita Berkaliber yang diisi dengan Puan Muna Izzah (moderator) dan barisan panelis seperti Puan Wardina Safiyyah, Ustazah Nazirah Muhammad, Puan Jamilah Samian dan Puan Azzah Abdul Rahman. Forum ini agak santai. Moderatornya ada kekuatan humor yang baik. Entah kenapa reaksi beliau sangat mencuit hati. Saya sangat suka cetusan yang dibangkitkan oleh  Puan Wardina Safiyyah (oh mungkin perkataan yang paling sesuai ialah menempelak) tentang mentaliti kita yang mahu hadir ke program ilmu apabila hanya ada artis yang diundang sahaja. Satu lagi poin yang saya beri fokus ialah apabila Ustazah Nazirah menyebut tentang 10 watak seorang muslimah iaitu, tetap dalam ketaatan, benar, sabar, khusyuk, bersedekah, berpuasa, memelihara kehormatan, banyak menyebut nama Allah dan 2 lagi itu saya tidak berapa dengar dan faham. Ngee. Boleh rujuk Surah Al-Ahzab, ayat 35.

Laluan untuk makan, solat dan berehat bermula pada pukul 5.45 petang hingga 8 malam. Kesempatan itu digunakan sebaik mungkin oleh kami bertiga, saya, Sarah dan Kak Ram. Hasil promosi saya sebentar tadi dengan menunjuk gambar yang saya ambil bersama Mazlan, mencetuskan perasaan mahu bergambar juga di lokasi yang ditunjukkan seperti di dalam gambar. Kami pergi ke sana dan seperti biasa malu-malu kucing. Haha! Kami tiada gambar berlima sebab kaum lelaki bukan seperti perempuan yang sentiasa berkepit. Jikalau terjumpa Mazlan, Akh Najmuddin pula tidak dijumpai dan begitulah sebaliknya. Banyak lagi gambar yang diambil tetapi ini sahaja yang boleh dikongsi (untuk blog) setelah penapisan dibuat oleh Mazlan.

Betulkah bidadari? Menjadi anak yang solehah rasanya lebih mudah berbanding menjadi seorang isteri yang solehah. Ngee.
Kemuncak dan penutup konvensyen ini ialah dengan pembentangan Syeikh Yawar Baig bertajuk Bringing Up A Muslim Child . Rata-rata isi pembentangan Syeikh merupakan perkara baru kepada saya samada dari sudut informasi maklumat (knowledge) atau pandangan (view). Saya perasan, setelah melalui 3 siri pembentangan beliau, Syeikh sangat gemar menyebut tentang legasi - apakah legasi yang kamu  mahu tinggalkan - dan melalui pertanyaan ini beliau akan mengaitkan tentang pendidikan anak-anak. Satu perkara yang beliau selalu sebut dan saya sangat suka iaitu membaca, membaca dan membaca. Ajar mereka berdoa. Ajar mereka tentang sunnah. Ajar mereka untuk meminta apa sahaja kepada Allah. Ajar mereka untuk mencapai kecemerlangan. Ajar mereka disiplin. Ajar mereka kerjasama bukan persaingan . Ajar mereka menjadi penyumbang bukan pengguna. Apabila mendidik, tumpukan kepada pembinaan karakter dan sikap. Itu antara poin-poin yang saya dapat melalui slot terakhir ini.

Sesi bersama Syeikh Mirza Yawar Baig
Balik

Majlis ditutup dengan doa yang panjang lebar diketuai oleh Syeikh Yawar Baig. Kami terus balik sejurus itu. Kami singgah di Kampar untuk menghantar Sarah dan tiba di sana kira-kira pada puku 1 pagi. Oleh kerana mata sudah tidak boleh dikawal, asyik mahu tertutup sahaja, maka saya dan Mazlan tidur di  RNR RTC, Simpang Pulai. Tidur yang sangat lena dan hanya sedar pada waktu Subuh. Sebaik menunaikan solat, kami meneruskan perjalanan balik ke Kulim. Alang-alang sudah melalui Ipoh, singgah sebentar menziarahi kedua-ibu bapa ( Ibu-bapa Mazlan, ibu-bapa mertua saya). Terkejut mereka kami datang awal-awal pagi. Haha. Tidak lama di situ. Hanya sejam sahaja. Sekadar sarapan bersama, bertanya khabar, dan borak-borak merapatkan hubungan kekeluargaan. Alhamdulillah tiba di Kulim, kira-kira pada pukul 10 pagi.

Alhamdulillah, kerana diberikan peluang menuntut ilmu dengan suasana yang kondusif.
Alhamdulillah, kerana perjalanan ini bukan sekadar mencari ilmu tetapi juga  wadah dalam merapatkan silaturrahim dengan Sarah, Kak Ram dan suaminya serta ahli keluarga mereka.
Ahammdulillah, kerana dalam sibuk bergembira mencari ilmu itu, masih sempat berkasih-sayang dengan ibu-bapa.
Alhamdulillah di atas segala-galanya

Saya akhiri dengan kata-kata ini yang saya perolehi melalui slaid pembentangan Dr. Rubiah :
Seorang ibu yang bijaksana nilainya sama dengan 10 orang guru di sekolah - MY Nasution

7 komen:

Nabilah Mustafa said...

assalamualaikum akak. suka saya dengan blog akak. cara akak review buku dan juga koleksi yang akak ada buat saya kagum.moga terus menulis dan mereview buku2 yang menarik. boleh jadi panduan untuk beli buku nnti. :) terima kasih untuk perkongsian ilmu ye kak.

Anonymous said...

Tahniah, saya fikir ini catatan terbaik dari blog saudari. moga ada manfaat untuk ummah terutama yang tidak berkesempatan pergi ke majlis ilmu yang gilang gemilang itu. Terima kasih.

Suerianni said...

Tahniah welma..perkongsian yang sangat bermanfaat.. mohon share kursus sebegini pada sue.. email suerianni@gmail.com

Suerianni said...

Tahniah welma..perkongsian yang sangat berharga Dan bermanfaat

FariDdA AshiKen BinTi Meor ShahaRiM said...

menariknye k.welma.. moga fi ade kesempatan tuk pg pd tahun2 akan dtg

Anonymous said...

Salam, sungguh menarik ilmu yang disampaikan dan bermanfaat..Bila ada progam tu lagi..HEBOH-HEBOH kan program tu...!!

Welma La'anda said...

Nabilah,
Salam kenal dan terima kasih datang ke sini. semoga beroleh manfaat sebanyak-banyaknya di blog saya.

Kepada sesiapa yang ada nama sebagai 'Anonymous;
Terima kasih. Semoga tulisan ini bermanfaat untuk anda

Sue,
No problem. InsyaAllah saya cuba emailkan atau tag di FB jikalau ada program sebegini lagi.

Fifi,
Tunggu Fifi balik ke Malaysia :)