Sunday, August 03, 2014

Cerita 1: Kotak Buku

Ehm. Mahu bermula dari mana ya?

Baik.

Cerita 1 : Kotak Buku

Saya ada membeli beberapa siri buku Bahasa Inggeris yang dikhaskan untuk early reader. Tetapi kegunaannya hanya terhad ketika sesi pembelajaran sahaja. 

Tidak lama selepas itu, jiran saya memberi sekotak buku Bahasa Inggeris yang mengandungi pelbagai judul. Maka, kami pakat-pakatlah sesama cikgu untuk memanfaatkan buku-buku tersebut. Saya letak di ruang meja saya untuk memudahkan mana-mana cikgu mahu menggunakannya. 

Seperti biasa, anak murid saya adalah seorang pemerhati yang hebat. Pada suatu hari (pada bulan Ramadhan yang lepas), sedang dia asyik bermain-main mengelilingi kelas (aktiviti kegemarannya), dia ternampak kotak buku itu. "Teacher, buku teacher ke?" ringkas sahaja soalannya. Saya pun angguk. Dalam hati, "Alamak, nampak pulak". "Boleh baca tak?" tanyanya lagi. Jikalau anak murid anda bertanya sedemikian dan anda pula seorang yang sangat suka orang lain membaca cuma anda sangat risau buku itu terkoyak, rasanya apakah perkataan yang akan keluar dari mulut saya selepas itu. Lalu kata saya, "Ok". Seperti yang dijangka , sebaik anak murid saya itu mengambil dan membacanya, anak-anak murid yang lain pun turut sama.

Melihat gelagat mereka yang sibuk membaca itu, datang idea mahu mewujudkan ruang membaca di dalam kelas. Balik ke rumah, saya menceritakan idea itu kepada seorang yang sangat suka mendengar. Dengan sokongannya (sokongan duit paling penting hahaha, berapalah sangat duit gaji saya sebagai seorang cikgu, perlu diingatkan I am no longer training consultant), maka kami pun membeli belah buku di kedai Hasani. Bermula dengan modal RM300-RM400, bolehlah dapat berpuluh buku. 

Campur buku jiran saya dan buku-buku yang baru dibeli itu, saya memerlukan 3 buah kotak untuk mengisinya. Kotak-kotak itu dihias dan diletakkan di atas meja saya (di belakang kelas). Maka jadilah ia kotak buku.

Kotak Buku

Saya pula, sejak terlancarnya (chewah ayat) kotak buku ini, selalu sahaja mengurut dada, memujuk hati banyak-banyak bersabar. Mana tidaknya, mahu runtuh jantung ini melihat kulit buku/helaian kertas terlipat. Almaklumlah saya seorang yang sangat (sangat sangat) menjaga buku. Tetapi, kekadang apabila fikir balik, ada sesetengah peraturan perlu diletak tepi dulu terutama apabila ia berkaitan dengan buku. Tambahan pula jikalau kita masih berada dalam Fasa1 iaitu fasa memupuk budaya membaca. 

Setiap pagi saya akan memberi nasihat (kekadang boleh sampai tahap membebel) agar susun semula, jangan rosakkan buku dan jangan baca ketika guru lain sedang mengajar. Dalam masa seminggu nampak sedikit juga perubahan itu. Tidak ada lagi aduan saya dengar mereka membaca ketika guru lain mengajar. Saya juga buat pemerhatian ketika mereka membaca, tidak ada pula saya lihat mereka 'mengasari' buku-buku itu. Itu yang saya pelik bagaimana pula boleh terlipat di sana-sini. Barulah saya faham, mungkin kulit buku itu sendiri yang nipis, tidak berapa tahan lasak dengan tangan budak. Patutlah buku-buku untuk budak biasanya berkulit tebal. 

Maka untuk kes-kes seperti ini, saya mengambil langkah pejam mata sahajalah. Biarlah mereka meneroka buku. itu selagi tidak mengoyakkannya dengan sengaja. Biar mereka terus berinspirasi. Saya risau kalau banyak sangat peraturan yang saya tetapkan, mood membaca itu akan hilang begitu sahaja. Tiba-tiba terbayang kisah Toto Chan dengan perpustakaan keretapi mereka. Gelagat yang diceritakan itu memang sama dengan suasana di kelas saya. Bising. Haha. Betullah kata orang, kanak-kanak tidak pernah berubah, mereka lahir ke dunia ini sebagai innocent people, dan kitalah yang merubah mereka. 

Kotak buku ini hanya untuk murid kelas saya sahaja. Tetapi ada beberapa kejadian pada bulan Ramadhan lepas yang membuatkan saya mengubah peraturan itu. Di sebelah kelas saya merupakan kelas yang lain. Dan murid kelas sebelah itu memanglah sangat 'merunsingkan jiwa'. Mana-mana guru yang mengajar di kelas itu, saya rasa perlu banyak-banyak berdoa agar terhindar daripada penyakit darah tinggi, strok atau sakit jantung untuk jangka masa panjang. Saya sendiri (yang betul-betul mahu menjadi pendidik yang mulia  hehe) pun tidak sanggup mengajar di kelas itu. Sedangkan yang bermasalah itu hanya 4-5 orang sahaja. Pukul rotan semuanya tidak makan. Walaupun mereka bukan murid saya, tetapi saya pun sakit hati melihat mereka mengejek-ejek guru. Sebelum ini saya rotan dan cubit jikalau ada kesempatan, tetapi kali ini saya ubah strategi. Saya ajak mereka ke ruang saya (spesifik meja guru di belakang kelas) dan saya katakan mereka boleh membaca buku di dalam kelas saya. Pada kali ini saya bercakap dengan super lemah lembut berbanding yang dahulu. Anda tahu, sekarang meja saya itu menjadi tempat lepak mereka. Jikalau mereka merayau di sekeliling sekolah pun, mereka akan singgah dahulu ke kelas saya (spesifiknya di belakang kelas) untuk membaca buku. Paling yang saya tidak boleh percaya, 2 daripada mereka itu memang orang yang tegar membaca (3 lagi itu memang datang untuk dapatkan ketenangan dan bermain-main sahaja). 

Maka dengan kedatangan mereka, bertambah lagi pembaca buku-buku di kelas saya. Kerisauan buku rosak semakin tinggi. Haha.

Mujur ada cuti seminggu sempena Hari Raya Aidilfitri, ada sesetengah buku yang berpotensi akan rosak, dibawa balik untuk sesi rawatan dan 'dipakaikan baju tahan lasak'.

Sesi Membalut Buku

Selesai dibalut. Tidak semua buku dibalut. Ada sesetengah buku yang berkulit agak keras, boleh dikecualikan.


Balik ke Ipoh, ada pula pameran buku Big Bad Wolf. Apa lagi, membeli belah lagi sebagai stok. Tidak akan diletakkan terus ke kotak buku, mungkin selepas sebulan baru saya akan tambah buku baru InsyaAllah. 

Buku-buku dari Big Bad Wolf

Saya perhatikan, waktu pagi sebelum sesi belajar adalah peak time untuk anak-anak murid saya membaca. Pada sebelah petang pula, mereka lebih banyak membuat 'aktiviti fizikal' seperti berlari-lari, menggunting kertas, mendukung kawan haha. Sejuk mata melihat mereka membaca dan bercerita tentang buku yang mereka baca. Saya kekadang itu senyum sahaja sambil berfikir, "Inilah generasi yang akan datang. Merekalah yang akan memimpin ummah ini. Tidak rugi pun buat pelaburan sedikit membeli buku untuk mereka".

Untuk jangka masa panjang, saya berfikir bagaimana mahu meluaskan penggunaaan buku dan boleh dinikmati oleh murid-murid lain. Bergabung dengan perpustakaan sekolah? Letak buku-buku ini di perpustakaan sekolah? Sudah saya fikirkan sebelum ini namun perlu tangguh dahulu cadangan itu saya kira kerana saya tidak berapa gemar dengan birokrasi.  Ini adalah inisiatif kedua mewujudkan ruang membaca untuk kanak-kanak. Pada kali pertama dahulu, kami mengeluarkan hampir RM1000 untuk membeli buku dan diletakkan di pejabat NGO yang kami berkhidmat, namun saya lihat tidak berapa mendatangkan impak. Buku-buku itu lebih banyak berfungsi sebagai bahan pameran dan bukan bahan bacaan. Inisiatif kali ke dua ini nampak sedikit berjaya. Mungkin kerana buku-buku itu diletakkan di tempat dan sasaran pembaca yang betul - bilik darjah dan secara fitrahnya, budak-budak memang suka membaca.


Suasana di waktu pagi Darjah 2 Mus'ab bin Umair sebelum sesi hafazan bermula 

Eh eh. Panjang pula bercerita. Baru Cerita 1. Cerita 2 ada lagi.

2 komen:

AdH said...

Welma, kagum dengan kamu mengeluarkan modal sendiri dan meletakkan buku di dalam kelas. Usaha yang sangat bagus! Saya memang buat di rumah (untuk anak-anak yang datang mengaji) tapi waktu saya tiada di rumah, saya terpaksa sorokkan kotak buku tersebut. JIka tidak...............tahu sahajalah ya.. Dan saya memang prefer buku berkulit keras. Terkawallah sedikit "darah tinggi" bila lihat buku-buku itu nanti. Haha..

Welma La'anda said...

Bukan duit saya lah Aina ;). Duit seseorang yang sayangkan kanak-kanak. Saya manalah mampu. Gaji saya hanya RM1100. :)

Betul Aina. Kalau buku tu terkoyak ataupun dibaca secara kasar-kasar, Allah sahaja yang tahu betapa sakitnya hati ini. Sebab itu selalu pujuk hati, mudah-mudahan mereka menjaddi pembaca tegar suatu hari nanti. Sekarang saya buat apa, jikalau mereka membaca, saya akan cuba elakkan daripada melihat mereka, supaya saya tak nampak kerosakan buku-buku tu.

Buku kulit keras masalahnya hanya satu. Mahal sedikit. Nasib baik ada Big Bad Wolf. Bolehlah dapat buku RM10 ke bawah.