Sunday, April 05, 2015

Buku ke 11, 12, 13 & 14

Masa untuk menulis perkembangan aktiviti membaca. Tidak berapa berkembang sangat tetapi bolehlah.....

Bermula dari cuti sekolah pada bulan Mac lepas sehingga kini, ada 4 buah buku yang berjaya dibaca. Membaca bagaikan iman. Ada pasang surutnya. Saya pada ketika ini sedang mengalami 'musim tengkujuh'. Sentiasa siap sedia untuk berhibernisasi. Buku tetap dbeli dan sentiasa dipegang di mana-mana, namun tetap tidak sudah-sudah juga bacaannya. 

Setiap pembaca ada kaedah tersendiri untuk memotivasikan diri untuk sentiasa aktif membaca walaupun malas sentiasa datang. Saya, biasanya, akan membaca buku yang ringan-ringan dengan halaman yang nipis-nipis untuk memulihkan semangat membaca semula. Anggap ia sebagai appetizer!

Gambar di bawah ini ialah 'appetizer' yang saya maksudkan dan ia menjadikan 14 buah buku sudah dibaca pada tahun ini.



Jikalau mengikut akaun Goodreads, progres aktiviti membaca saya ialah seperti ini -2 books ahead of schedule. Wow! Bangga sedikit  nampak perkataan ahead itu. Haha. Ya,  'menjerumuskan' diri ke dalam reading challenge program pun salah satu cara untuk memotivasikan diri untuk membaca dengan konsisten. Bukannya beli buku tahun 2015, 2020 baru selesai dibaca. Nasihat untuk diri sendiri sebenarnya.

Fakta. Tahukah anda, 80% buah buku di rumah saya tidak pernah habis dibaca. Saya memiliki 3 buah rak dan setiap rak itu ada 3 pintu beserta 4 tingkat. Dan, kini saya berkira-kira mahu membeli lagi rak buku sebab kedahsyatan saya membeli buku tanpa sempadan. Saya terpaksa sedar diri yang saya ialah seorang pengumpul buku bukan pembaca. Oh tidak. Lebih baik guna istilah bibliophilia. Bunyi terpelajar sedikit.




Walaupun begitu, saya tetap gembira, kerana, pada tahun ini, saya berjaya mempengaruhi seorang kawan di sekolah untuk kekal aktif membaca. Juga, saya heret dia sekali membuka akaun Goodreads. Selalu saya 'stalking' akaun Goodreads beliau untuk melihat sudah berapa buah buku yang dibaca. Hehe. Sudah 7 buah buku rupanya. Semasa saya kerja di Intel, Lakshmi ialah mangsa hasutan saya. Di mana sekalipun kita berada, pastikan kita ialah salah satu agen perubahan dan pencetus yang baik.



Berbalik semula kepada buku buku 'appetizer' saya , yang 4 buah buku itu. Letak semula gambarnya di sini. Melihat gambar-gambar buku pun satu keseronokan sebenarnya. Sama keseronokannya apabila anda boleh menyentuh dan membelek satu demi satu buku di kedai buku walaupun anda tidak membelinya dan boleh membeli secara atas talian.  Hanya pembaca yang faham apa yang dimaksudkan dengan keseronokan itu.




Ikon Syabab tulisan Umar Muhammad Noor. Terbitan Telaga Biru. Memiliki jumlah halaman sebanyak 136. Dulu, tidak tertarik pun untuk membaca buku ini. Sebabnya, ia merupakan kompilasi artikel (tentang pemuda) majalah GenQ di mana saya merupakan pengumpul tegar majalah itu. Saya hanya tersangkut setelah membaca reviu 2 orang kawan saya di blog mereka masing-masing. Penting juga tukang reviu ini sebenarnya. Mereka boleh menjadi agen penghasut yang baik.  

Dan, ternyata memang isi kandungan buku ini menyejukkan hati. Topik yang yang dibincangkan mengena di jiwa. Saya suka subjek yang menyentuh tentang ilmu, membaca buku, dan penuntut ilmu. Lagipun, buku ini banyak bercakap tentang adab. Ditambah pula dimasukkan kisah-kisah para salafussoleh dan mukasurat yang berwarna-warni, memanglah sungguh appetizer yang sedap!

Buat Pahala "Free" Gaya Rasulullah tulisan Mohd Khairul Nizam. Buku ini terbitan PTS. Nipis sahaja, 112 halaman. Buku ini dibeli sebab sudah tidak tahu mahu membeli apa di kedai buku. Lagipun, saya memang sudah sangat kritikal bermalas-malasan di rumah, sehingga membuatkan saya dan Mazlan merayau-rayau di kedai buku. Apabila bosan, berjalan-jalan pula, tipu sangat jikalau tidak membeli belah. Lagipun, tajuk yang agak catchy, itu yang menjadi salah satu faktor buku ini diambil. Penyampaian di dalam buku ini agak sedikit mendatar dan umum-umum sahaja. Saya mengharapkan banyak informasi yang bersifat How to berbanding menyentuh tentang konsep. Payah bukan jikalau sebelum baca sudah ada expectation!

Saya teringat buku menjemput Rezeki, Fathuri Salehuddin. Buku itu agak dahsyat juga ditulis dengan hampir 1/2 halaman buku berjela-jela bercakap tentang konsep (untuk buku ini, konsep rezeki). Tetapi cara pengolahan ayat dan susun atur setiap topik agak lancar (smooth) sehingga saya tidak kisah pun dengan elemen How to nya.

Saya pun membaca novel fiksyen juga. Ya.Sudah semakin aktif membaca novel. Pada kali ini tulisan Noor Suraya, Gadisku Wan Adnin. Inilah impak membaca Cintaku Luruh di Oxford. Terus tercari-cari buku penulis yang lain. 

Novel ini ditulis dengan bahasa yang mendamaikan. Menggunakan Bahasa Melayu yang indah, namun tetap tidak membuatkan ia kaku dengan emosi.Mengajar pembaca dengan kesopanan dan ketatasusilaan, sekaligus menampilkan keanggunan karakter watak utamanya, Wan Adnin. Diolah juga dengan menambah cerita sejarah kedah -siam menjadikan naskah ini bertambah aura 'klasik'nya. Cuma, sedikit terkilan kenapa Wan Adnin tidak memilih Raja Izhar. Raja Izhar pun baik-baik juga. Terkilan pada kali ini sama seperti membaca Cintaku Luruh di Oxford, kenapa penghujung cerita Zuha tidak bersama suaminya, Wassim dan penulis lebih cenderung menjodohkan Zuha dan Falah. Haih, inilah nasib saya yang membaca fiksyen, asyik tidak puas hati sahaja dengan ending cerita.

Akhir sekali, buku Adeline Foo dan Stephanie Wong. Sebuah karya conteng dari Singapura , Monkeying in Malaysia (The Travel Diary of Amos Lee). Ia tidak selucu, I sit, I write, I Flush, namun unsur-unsur lawak itu memang tetap ada.  Amos Lee melalui buku ini sudah berada di alam remaja, jadi pemerhatian dan penulisannya ada sedikit peningkatan dari segi kematangan. Pengaruh media sosial (seperti instagram) nampak sangat diterapkan di dalam buku ini. Tetapi, satu yang suka tentang siri Amos Lee. Ia mengajar kanak-kanak/remaja untuk berdikari dan mencuba pengalaman baru yang positif. Ia cuba membawa satu isu yang simple ( dalam buku ini tentang penjagaan haiwan liar) dan menampilkan remaja sebagai problem solver. Dan, saya juga suka penglibatan ibu-bapa Amos Lee di dalam kehidupan sehariannya sebagai pembimbing. 

Ok. 

Buku seterusnya yang diharapkan masuk dalam senarai berjaya dibaca ialah seperti gambar di bawah. Diletak sebegitu agar, setiap kali saya melalui rak buku ini, terutama ketika ke dapur, ke tandas dan sebagainya, sekaligus akan mengingatkan saya, yang saya perlu membacanya. Ini juga satu strategi.

2 komen:

Nurkhamimi Zainuddin said...

Jangan lupa belek-belek buku Hijab 0% Alasan keluaran Kemilau Publika ya :)

AdH said...

Wah, sudah 14 buah! Saya sudah malas buat ulasan buku tahun ini. oh.. :(

Istilah "penghasut" buatkan saya tersengih-sengih seorang diri. Haha..

Namun, saya boleh beri "reward" pada diri sendiri sebab sudah hampir 4 bulan tidak beli buku. Alasannya : saya sudah tiada ruang rak lagi untuk letak buku baharu. Sangat kritikal! T_T