Monday, September 14, 2015

Kehidupan Bersama Buku

Saya masih sibuk dengan hari-hari yang penuh dengan pelbagai aktiviti. 
Antaranya ialah tentang yang ini :
Pembukaan sekolah baru di daerah Kulim.


Saya terlibat secara langsung dalam pasukan ini sebagai pembuat kertas kerja, merangka kewangan dan pelbagai lagi tugas. Pastinya, banyak hari-hari yang dilalui bersama pasukan ini membuatkan saya semakin banyak belajar. Belajar kemahiran baru, memperbaiki kemahiran interpersonal, melatih kesabaran, menghargai pendapat ramai dan kerja berpasukan. Paling penting ialah saya diberi peluang oleh Allah untuk menimba pengalaman membina sekolah bersama yang lain. Ianya satu pengalaman yang sangat berharga.

Harapan saya sangat besar dengan penubuhan sekolah ini. Saya berharap, secara peribadi, saya mampu menyumbang sesuatu yang sangat bermakna di dalam dunia pendidikan. Inilah masa kita bereksperimen dengan kaedah pendidikan yang terbaik untuk murid agar pembelajaran dan pendidikan yang holistik boleh dicapai. Secara teori ia memang mudah untuk dikata atau ditulis, namun sepak terajang di dalam dunia mengajar ini boleh tahan juga.

Ada pelbagai program keilmuan yang akan dan sedang saya hadiri. Program keilmuan ini pastinya melibatkan beberapa buah buku yang perlu dibaca agar program tersebut tidak menjadi hambar begitu sahaja. Antara program tersebut, ialah usrah. Ehmmm,,,,mungkin suatu hari nanti saya boleh kongsikan buku-buku usrah saya. Ianya banyak. Saya biasanya akan menghadiri usrah setiap hari Ahad, dan setiap hari Ahad jugalah menjadi sesi menelaah. Sebelum ke usrah, biasanya saya akan baca dahulu, sebab sesi usrah kami ini sangat santai dan spontan. Bila-bila masa naqibah saya akan bertanya spot question, soalan aras tinggi ke, jadi saya selalunya tidak mahu menjadi orang yang terpinga-pinga. Haha.

Selain usrah, ada juga mukhaiyyam (camping) dan nadwah (seperti seminar). Mukhaiyyam kami pada kali ini bertemakan Jaddid Hayatak. Saya yang pilih nama tu. Ia bersempena nama tajuk sebuah buku. Dan...saya masih belum membaca lagi buku tersebut. Seperti biasa bukan. Beli dahulu, baca kemudian.  Program nadwah pada kali ini juga ala-ala sesi bedah buku kerana setiap grup usrah akan mengupas topik-topik yang terdapat di dalam buku Pendakwah Bukan Penghukum. Ooopss..saya perlukan tenaga, semangat dan disiplin yang kuat untuk membaca sebaik-baiknya buku-buku ini agar program yang saya hadiri itu menjadi sangat bermakna. Gituu...




Program belajar di USM sudah bermula. Sekejap sahaja sudah masuk 2 minggu saya pergi kuliah.Memandangkan saya ialah pelajar part time, jadi saya hanya perlu menghadiri 2 kali kelas seminggu iaitu Isnin dan Rabu. Namun begitu, ada juga pelbagai urusan pendaftaran, permohonan biasiswa serta pelbagai urusan yang ada sangkut paut dengan belajar ini, masih belum siap. Antara yang utama ialah, pergi ke perpustakaan dan menelaah di sana. Saya mahu memulakan hari-hari saya dengan semangat belajar yang kuat (chewah) sebelum saya menjadi malas,.Jadi, saya merancang untuk bercuti pada hari Jumaat untuk menyelesaikan urusan-urusan tersebut. Murid-murid saya pula baru sahaja selesai UPSR dan ianya merupakan hari yang tepat untuk mengambil cuti. Yay!

Hari Jumaat itu, saya banyak habiskan masa di perpustakaan dan saya baru tahu rupanya, ada pelbagai perpustakaan di USM. Huhu. Pembetulan juga, masa saya bukan habis menelaah di perpustakaan, tetapi habis dengan menjejaki perpustakaan yang ada di USM serta memahami sistem dan segala prosedur.

Selama ini saya ingatkan perpustakaan di USM hanya ada sebuah (terukkan), iaitu bangunan yang berhadapan dengan tempat kerja Mazlan. Jadi, saya pun pergi ke situ dengan yakinnya. Masuk sahaja ke dalam bangunan, perkara pertama yang saya fikir ialah, 'eh mana buku', sebab yang banyak di situ, hanya meja dan kerusi. Saya pun naik dari satu tingkat ke satu tingkat ( tangganya di tengah-tengah bangunan, dalam keadaan memusing, jadi boleh nampak tingkat 1, 2 3 dan seterusnya).  Saya sudah nampak ada rak buku pada tingkat 4, dan sambil juga terpinga-pinga, "kenapa sedikit je buku". Saya pun jumpa pustakawan di situ dan dia sangatlah baikkkkkkk orangnya menerangkan kepada saya satu persatu fungsi perpustakaan itu. Dia siap ajar saya lagi cara-cara menggunakan sistem yang diboleh guna pakai untuk akses perpustakaan dan buku-bukunya. Kesimpulannya, perpustakaan yang ada banyak meja dan kerusi itu tadi ialah bangunan arkib untuk buku tesis. Sesuai untuk pelajar sarjana dan phd membuat penyelidikan. Ya, sayalah yang akan menjadi salah seorang penggunanya. Cuma saya baharu seminggu belajar ( dan masih sesat lagi dengan kedudukan kelas dan jalan), jadi saya belum pandai memanfaatkan perpustakaan itu lagi. Perpustakaan itu namanya Perpustakaan Hamzah Sendut. 


Selepas itu, saya pun keluar bangunan sambil 'meninjau' keadaan sekeliling mencari Perpustakaan Hamzah Sendut 1. Pustakawan sebentar tadi beritahu, saya boleh dapatkan pelbagai buku rujukan di perpustakaan tersebut. Tiba-tiba saya ternampak, betul-betul di hadapan saya berdiri, sebuah bangunan yang boleh nampak dari luar rak bukunya. Oooh, itulah kot.....Persoalan kedua, macam mana mahu ke situ. Setelah 2 kali percubaan, barulah saya sampai dengan selamatnya ke Perpustakaan Hamzah Sendut 1. Ehmmm, saya ternampak sesuatu. Ada jualan buku. Seronoknya. Saya membeli 2 buah buku yang berkaitan dengan kaunseling. Jikalau saya memiliki duit yang banyak, saya mahu membeli semua buku yang ada kaitan dengan kaunseling, dijadikan ia sebagai koleksi peribadi dan diletak di perpustakaan rumah. Mujur saya tiada duit.

Oh ya, bercakap tentang beli buku, sebelum hari Jumaat, saya ada juga singgah ke Book Garden di Kulim ( cawangan USM). Seperti biasa, saya tersangkut dengan 2 buah buku yang ada kaitan dengan pendidikan. Murah sahaja harganya. Anda boleh bayangkan, Mazlan membeli buku rujukan kimia hanya dengan RM1.20.

Balik cerita saya di USM, misi sebenar saya mencari perpustakaan ialah kerana saya mahu meminjam buku.  Tetapi, memandangkan saya ni kekadang agak bijak juga, saya boleh terlupa pula membawa kad matriks pada hari tersebut. Sudah separuh perjalanan, rasanya sudah sampai di jambatan baru teringat tentang kad matriks, jadi, teruskan sahaja perjalanan.  Memandangkan saya tidak mempunyai kad matriks, jadi saya tidak boleh meminjam buku. Saya pun ronda dari satu rak ke satu rak, dari satu tingkat ke satu tingkat....ooooppps, hanya berdaya ke tingkat satu dan 2 sahaja. Tingkat 2 itu pun hanya separuh, sebab kaki lenguh. Pertama kali dalam sejarah hidup saya, lenguh kaki di dalam perpustakaan.  Sambil meronda, saya tertarik dengan kata-kata di tepi rak buku. Ini salah satu contohnya. Curi-curi ambil gambar sebab malu kalau orang ternampak dan mengata saya, "budak zaman sekarang, takda kerja lain, selfie sajaaaa'.

Di sini, selain dari meronda-ronda, saya cuba manfaatkan dengan mencari buku yang saya kehendaki melalui sistem komputer yang disediakan. Terima kasih Encik pustakawan yang mengajar saya tadi tu. InsyaAllah, ilmu yang encik pustakawan ajar itu, walaupun nampak simple, tetapi sangat bermakna untuk saya. Bayangkan, kalau saya terus menerus memanfaatkan ilmu itu dengan mencari buku-buku yang saya kehendaki, saya baca buku tu, saya amalkan, saya sumbang kepada masyarakat, anak murid saya pula amalkan apa yang saya ajar - saya pasti ( dan saya doakan) Encik Pustakawan itu tadi mendapat pahala secara tidak langsung. Saya juga mula belajar menjejaki buku-buku yang saya ingini melalui kod yang diberi. Sebelum itu, semasa ronda dari satu rak ke satu rak tadi, saya sudah jumpa rak-rak tertentu yang menghimpunkan buku-buku yang saya kehendaki. 

Ini rak yang menghimpukan buku-buku kaunseling
Saya hanya mampu tengok sahaja buku-buku ini. Almaklumlah, orang yang tidak memiliki kad matriks, tidak boleh meminjam buku. Terfikir, mahu sembunyikan buku itu di rak mana-mana, nanti hari Isnin insyaAllah saya datang semula, pinjam buku tersebut. Tetapi tidak sampai hati pula. Jadi apa yang saya lakukan, saya pun balik ke Kulim semula untuk mengambil kad  matriks.


Kesimpulannya, ada banyak buku yang mewarnai kehidupan saya dalam beberapa minggu ini. Ada banyak juga perkara baru yang dilalui sekaligus ia menambahkan pengalaman dan ilmu baru. Sedikit memenatkan namun, saya seronok dengan kehidupan yang sebegini - terutama apabila ia melibatkan buku, belajar dan pendidikan. Cuma, saya perlukan banyak lagi kesungguhan dan disiplin agar apa yang saya lalui itu mampu menjadi ilmu yang bermanfaat untuk disumbangkan kepada masyarakat dan mendapat keredhaan Allah. Buku yang banyak , samada dipinjam atau dibeli adalah bagus, namun ianya tidak menjadi bermanfaat jikalau saya tidak mempunyai disiplin yang kuat untuk membaca dan menyelidikinya. Pembelajaran pada kali ini bukan semata-mata untuk meraih sekeping ijazah, tapi saya lebih suka menggunakan peluang ini untuk berkenalan dengan pelbagai orang, budaya, cara pemikiran, bergelumang dengan buku-buku dan menghasilkan sesuatu, contohnya penulisan jurnal. Harap tercapailah harapan itu ya...


1 komen:

Aina Dayana Hilmi said...

Assalamualaikum Welma,

Akhirnya tercapai juga hasrat untuk berada dalam sistem pendidikan dan membina institusi pendidikan seperti yang ditulis dalam pelan hidup Welma beberapa tahun lepas kan? Semoga berjaya Welma! Saya doakan :)