Friday, October 23, 2015

Belajar Berkumpulan

Sedar tidak sedar, sekarang sudah 7 minggu saya mengharungi kehidupan sebagai pelajar separuh masa di USM. Ini bermakna masih ada 8 minggu lagi sebelum peperiksaan akhir tahun. Saya mengambil 3 subjek iaitu :
  • Aplikasi Teori dalam Kaunseling
  • Proses, Strategi & Teknik Kaunseling Individu
  • Penaakulan Statistik dalam Pendidikan
Kelas saya diadakan pada setiap hari Isnin dan hari Rabu. Ada juga kelas yang dibuat pada hari Sabtu dan ada juga masa-masa luang itu diisi dengan ulangkaji berkumpulan. Setakat sekarang, baru sekali sahajalah. Hehe. Beria menulisnya kan. Bercakap tentang mengulangkaji pelajaran, saya bukanlah seorang yang suka belajar atau kerja berkumpulan. Saya lebih suka buat seorang. Saya jarang sekali meminta bantuan orang. Jikalau saya mampu menyelesaikan sesuatu perkara itu, walaupun saya ada senarai jawatankuasa yang panjang, saya akan selesaikannya sendiri sebab saya tidak mahu menyusahkan orang lain. Lagipun, kekadang saya bekerja dengan pantas, orang lain pula lambat-lambat, jadi ini juga salah satu faktor saya suka buat sendiri.

Ada sahaja manusia sebegini. Kalau belajar kaunseling, semakin kita mudah mengenali diri sendiri. Contohnya, kenapa saya suka kerja yang berbentuk individu dan berperangai pelik sebegini, ini mungkin kerana saya seorang anak tunggal. Saya terbiasa dengan aktiviti bersendirian, jadi sekaligus aspek sosial saya tidak berapa baik.

Walaupun begitu, pengalaman saya bekerja di syarikat multinasional dengan menjawat pelbagai jawatan, bertemu pula dengan pelbagai perangai manusia, serta kini berkhidmat sebagai seorang guru, sekaligus, memberi pendedahan kepada saya untuk belajar bekerja secara berkumpulan. Belajar menerima kelemahan orang dan mencari kekuatan mereka agar kita boleh sama-sama menyumbang kepada apa sahaja aktiviti yang kita buat bersama.

Kini, ketika menjadi seorang guru, setiap kali sesi pembelajaran, saya akan cuba terapkan elemen kerja berkumpulan ini di kalangan anak murid saya. Saya tidak mahu mereka menjadi seperti saya seperti kecil dahulu, suka belajar sendiri, pandai sendiri-sendiri dan kalau orang mahu meniru hasil kerja, saya akan sembunyikan sebab saya tidak suka orang meniru dan kekadang saya fikir ini adalah balasan untuk mereka sebab tidak mahu belajar bersungguh-sungguh. Wah ini politik budak kecil ya. Dulu, saya belajar untuk sentiasa bersaing, siapa paling pandai, siapa paling cepat mendapat jawapan dan murid-murid yang sebegitu ialah orang berjaya.

Pengalaman bekerja selama hampir 10 tahun telah mematangkan saya. Kekadang, apabila saya melihat anak murid menutup buku mereka ketika menjawab soalan, ada juga yang cuba menyorok buku latihan, kerana takut orang meniru, mengingatkan saya pada zaman kecil dulu.  Okay sebenarnya kalau orang meniru kita, cuma kita jangan biar kawan kita hanya meniru. Kita ajar mereka bagaimana untuk menyelesaikan soalan tersebut. Apabila mereka sudah pandai, percayalah mereka tidak akan meniru lagi. Jadi kita dan kawan kita untung bersama-sama. Kita pandai, kawan kita pun pandai. Dunia ini memerlukan ramai orang pandai, bukan kita seorang. Bayangkan jikalau kita tidak benarkan kawan kita meniru, dia akan putus asa belajar, dia akan terus menerus meniru, pelajarannya akan semakin merosot, dan akhirnya dia akan tercicir dalam pelajaran. Siapa yang rugi? Kawan kita rugi dan kita pun sebenarnya berada dalam kerugian kerana kita hanya pentingkan diri sendiri, hanya seronok diri sendiri berjaya, dan ini bukan sifat mukmin sebenarnya.

Alhamdulillah saya dizinkan oleh Allah menyambung semula pelajaran secara formal. Sekaligus, ia membuatkan saya berfikir tentang sikap zaman kecil dahulu . Belajar dalam peringkat sarjana banyak melibatkan kerja berkumpulan. Kita juga harus faham setiap orang mempunyai beberapa limitasi dan halangan. Namun begitu, mereka juga mempunyai pelbagai lagi kekuatan dan kelebihan. Saya suka menjadi seorang pelajar yang pandai. Haha. Jadi kalau kerja tugasan tutorial saya sudah siap, saya akan kongsikan dengan kawan.  Jikalau mereka masih lagi tidak mendapat jawapan, saya akan kongsikan jawapan. Mereka boleh snap picture pun. Saya tidak kisah. Saya tidak risau mereka akan mendapat markah yang lebih tinggi, kerana saya suka mereka lebih pandai daripada saya. Satu prinsip yang saya pegang, saya akan kongsi jawapan dan saya akan ajar bagaimana saya mendapat jawapan sebegitu. Apabila mereka belajar sesuatu, secara naturalnya, mereka akan seronok datang ke kelas kerana ahli-ahli di dalam kelas ini suka membantu. Itulah tujuan pembelajaran - sama-sama pandai dan terus meningkatkan diri. Itulah juga semangat seorang cikgu. Cikgu bukan mahu mendidik seorang sahaja yang berjaya. Kalau boleh, satu kelas itu, mahu diajar sungguh-sungguh sehingga berjaya semuanya. Kejayaan bukan terhad dari sudut akademik tetapi kejayaan dilihat secara holistik - kejayaan bekerjasama dengan kawan-kawan, kejayaan bercakap baik, kejayaan menyelesaikan rasa tidak puas hati dan lain-lain lagi.


Saya pun, bukan semua perkara yang saya pandai. Contohnya, setakat ini ini saya rasakan subjek statistik macam kacang sahaja, sebab ketika ijazah sarjana muda dahulu, saya skor subjek tersebut. Namun begitu, rupanya saya tidak pandai menggunakan sistem SPSS. Orang yang saya ajar bagaimana menyelesaikan soalan statistik, orang yang sama itulah yang mengajar sistem SPSS kepada saya. Lihat, kita sebenarnya saling memerlukan antara satu sama lain, kerana kita ada kelebihan dan ada kekurangan. Kekurangan kita pula boleh diperbaiki dengan kelebihan yang dimiliki orang lain. Bukan itu sahaja, apabila kita belajar di dalam kumpulan, perkongsian akan berlaku. Semakin banyak kita berkongsi ilmu dan keprihatinan, kita akan mendapat pulangan yang baik juga. Semalam saya berkongsi soalan-soalan statistik untuk online test kepada kawan saya yang masih belum menjawab ujian tersebut. Dia pula berkongsi kepada saya bagaimana mahu menulis kes studi yang akan dihantar beberapa minggu lagi. Perkongsian yang dibuatnya itu membuatkan saya panik, sebab, anda tahu, saya memang selalu membuat kerja di minit-minit terakhir. Semangat kawan saya itu, telah menyebabkan saya mengulangkaji pelajaran hampir seharian pada hari ini. Untuk pengetahuan, saya tidak pernah buat ulangkaji secara serius sebelum ini, walaupun setelah 6 minggu kuliah.

Saya masih ingat kata-kata salah seorang pensyarah saya di minggu pertama dahulu. Beliau katakan, siapa yang mahu skor seorang-seorang di dalam subjek kaunseling, dia perlu balik semula ke tingkatan lima.

0 komen: